Welcome To My Life...

Sunday, August 18, 2013

Aku dan Merah


Inilah al-kisah aku dan Bawang Merah.

"Kenapa Jo suka Manchester United?"

Nice question, Acip. Itulah soalan yang dikemukakan oleh adik aku yang baru Darjah Lima. Dialah satu-satunya ahli keluarga aku yang minat sukan seperti aku. Sampai kadang-kadang aku tak larat layan dia beritahu macam-macam ketika abangnya ni sudah mula ada urusan yang jauh lebih penting dan menyakitkan kepala daripada sukan dan bola sepak. 

Anehnya, aku masih ingat, sewaktu dia masih kanak-kanak berusia lima tahun, aku selalu berebut televisyen dengan Acip. Dia dulu suka tengok kartun. Dan aku akan selalu terpaksa mengalah kerana dia mula menangis. Kadang-kadang sampai meraung. Itu dulu. Aku tak tahu bila minatnya terhadap sukan berkembang. Tapi sekarang dia baca perkembangan bola sepak di FB, sesuatu yang aku sendiri tak lakukan.

Menjawab soalan Acip, aku sendiri tak tahu bila saatnya aku mula menyokong Manchester United dan apa sebabnya. Yang pasti, sejak zaman kanak-kanak lagi, aku suka pasukan dengan simbol berwarna merah. Merah itu berani? Merahmu bara semangat waja? 


Ya, Ferrari, pasukan merah pertama yang aku sokong. Aku tak sokong Ferrari kerana warna pasukannya merah. Aku dah lama tak peduli tentang perkembangan Formula Satu yang membosankan. Dulu aku peminat nombor satu, walaupun tak fanatik sampai beli tiket untuk tonton di Litar Sepang. 

Aku sokong Ferrari masa zaman Michael Schumacher dulu. Kemudian, aku ingat Rubens Barichello, Felipe Massa, dan Fernando Alonso. Aku dah tak sokong Ferrari sejak zaman kejatuhan mereka. Aku dah hilang minat sejak Renault dan Mclaren mengambil alih penguasaan F1. Nampaknya aku bukanlah penyokong setia Ferrari.


Manchester United, pasukan Syaitan Merah yang aku minat sejak kecil lagi. Hingga sekarang. Walaupun Alex Ferguson sudah bersara, aku masih menyokong skuad pimpinan David Moyes bererti aku memang sangat meminati pasukan ini. Aku sanggup bangun lewat untuk menyaksikan perlawanan di awal pagi. Aku sudah melihat pengurus beberapa pasukan bertukar bersilih ganti tetapi Ferguson menjadi lambang ketahanan dan kesabaran.

Walaupun Moyes akhirnya menggantikan Ferguson, aku akan tetap menyokong United. Meskipun sudah tiada lagi kelibat Ruud van Nistelrooy, David Beckham, Cristiano Ronaldo, Gary Neville, dan Paul Scholes yang telah meninggalkan United sepanjang aku menuju kedewasaan. Nampaknya Wayne Rooney juga akan berpindah kelab ke Chelsea.

Buat Acip, abangmu ini tiada jawapan sempurna untuk menjawab soalanmu itu. Tetapi merah adalah kegemaranku. Jika merah itu berani, berani itu aku.



2 comments:

Syazana Zainn said...

tahu man u pun sebab beckham hihi

kalau tak mmg tak tahu

:D

M Fizan said...

@Syazana Zainn hihi. united memang sinonim dengan beckham dan ronaldo sepertimana ferrari sinonim dengan schumacher :)

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif