Welcome To My Life...

Sunday, October 25, 2015

Manchester is Red

Assalamualaikum.

I'm confident. Tonight Manchester should be painted red.

Malam ini pertembungan jiran setempat bandar Manchester. Dua pasukan gergasi bola sepak Inggeris ketika ini. Jam 3 petang waktu England bersamaan pukul 10 malam waktu Malaysia. Perlawanan penting di awal musim untuk menentukan pasukan yang lebih bagus kerana kedua-dua pasukan memulakan musim dengan cemerlang.

Lewat malam tadi, Arsenal menang tipis mengatasi Everton 2-1 untuk terus mengukuhkan status mereka selaku pencabar kejuaraan musim ini. Arsenal kini sedang berada di tahap prestasi terbaik. Manakala Chelsea terus malang. Kekalahan 2-1 kepada pasukan West Ham terus memberikan tekanan buat juara bertahan yang kian jauh dari perlumbaan merebut takhta liga. West Ham pula mengukir rekod hebat apabila menewaskan empat pasukan Big Boys musim ini selepas turut menewaskan Manchester City, Arsenal, dan Liverpool.

Beralih seketika berbicara mengenai Piala Dunia Ragbi 2015. Perlawanan separuh akhir pertama malam tadi pukul 11 malam waktu Malaysia menyaksikan gergasi All Blacks menewaskan Springboks 20-18 dalam pertarungan sengit yang menyaksikan hanya dua try dilakukan. Kedua-dua try tersebut dilakukan oleh pasukan New Zealand. Kesemua mata Afrika Selatan diperoleh melalui sepakan penalti. Lima daripadanya dilakukan oleh pemain muda berusia 21 tahun, Handre Pollard. Satu lagi sepakan penalti Afrika Selatan disempurnakan oleh Patrick Lambie. 

Namun, ternyata keperkasaan New Zealand - yang terkenal dengan tarian Haka sebelum perlawanan - tidak dapat diatasi oleh Afrika Selatan. New Zealand akan menanti pemenang perlawanan separuh akhir kedua antara Argentina (Pumas) menentang Australia (Wallabies).

Ramai meramalkan Argentina akan mara ke perlawanan akhir. Persoalan itu akan terjawab malam ini. Perhatian aku tertumpu kepada perlawanan Manchester derby yang melibatkan pasukan kegemaran aku, Manchester United!

Apa pun keputusan malam ini tidak akan menentukan juara liga. Juara hanya akan ditabalkan bulan Mei nanti. Perjalanan masih panjang. Glory glory Manchester United.




Saturday, October 24, 2015

Derby Day

Assalamualaikum.

It's a very big important day in the English Premier League calendar. It's Manchester derby again.

Dulunya perlawanan ini hanya pertembungan antara pasukan setempat di bandar Manchester. Kini situasi sudah berubah dan kepentingan sudah mula bertambah. Perlawanan ini adalah persaingan dua seteru gergasi bola sepak Inggeris yang akan menentukan pilihan untuk menjadi juara. 

Melihat perkembangan pasukan Chelsea yang bermula buruk dan Liverpool pula dengan prestasi tidak menentu, hanya dua kelab utama Manchester (United dan City) akan berebut kejuaraan dengan kelab Arsenal yang berpusat di London.

Pasukan Manchester City memiliki kelebihan di atas kertas dengan pasukan yang lebih baik dibarisi bintang-bintang ternama lagi berkualiti. Namun aksi di atas padang akan menentukan pemenang yang lebih layak. Penguasaan bola juga tidak menjamin kemenangan kerana peraturannya, pasukan yang menjaringkan satu gol lebih dari pihak lawan akan memungut tiga mata penuh. Itu pengajaran yang pahit bagi Bayern Munich (jaguh Jerman) yang tewas kepada Arsenal dalam Liga Juara-Juara Eropah minggu ini.

Pasukan Manchester City tidak kebal. Mereka telah kalah musim ini dan pasukan Manchester United mempunyai kualiti yang cukup untuk merobek pertahanan City. Walau bagaimanapun, harus diingat bahawa gaya permainan United yang lebih bercorak penguasaan bola akan berdepan masalah menghadapi permainan menyerang jiran mereka.

Manchester United tidak menunjukkan selera untuk menang ketika kedudukan terikat satu sama dalam perlawanan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah pertengahan minggu ini. Sebaliknya Manchester City terus mengasak kubu lawan dan akhirnya berhasil menjaringkan gol kemenangan.

Jika ada satu perkara yang harus diingat oleh para pemain Manchester United, hal itu adalah penguasaan bola tidak memberikan kemenangan dalam sukan bola sepak. Jaringkan satu gol lebih banyak dari pihak lawan, tidak kira jika anda bermain buruk atau dikeji selepas perlawanan. Itu saja caranya untuk pulang sebagai pemenang!



Thursday, October 22, 2015

Tipis

Assalamualaikum.

Matchday 3 Part II

Lapan lagi perlawanan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah musim 2015/2016 berlangsung awal pagi tadi waktu Malaysia. Tiada pasukan yang menang di tempat lawan. Banyak kemenangan tipis untuk tuan rumah. Manakala Manchester United, PSG, dan Real Madrid, hanya mampu seri. 
-------------------------------------

KUMPULAN A
 
Malmo 1-0 Shakhtar
(Markus Rosenberg)
PSG 0-0 Real Madrid

Kedudukan: PSG 7, Real 7, Malmo 3, Shakhtar 0

Tuan rumah menang tipis di Sweden dengan gol awal Rosenberg cukup untuk menghadiahkan kekalahan ketiga berturut-turut kepada pelawat dari Ukraine dalam kumpulan ini. Manakala dua gergasi gagal dibezakan di Perancis dengan keputusan seri tanpa jaringan dicatatkan.

---------------------------------------

KUMPULAN B

CSKA 1-1 Manchester United
(Seydou Doumbia; Anthony Martial)
Wolfsburg 2-0 PSV
(Bas Dost, Max Kruse)

Kedudukan: Wolfsburg 6, Man United 4, CSKA 4, PSV 3

Pelawat dari England hanya mampu seri satu sama di Rusia selepas terpaksa mengharungi perjalanan jauh. Martial menebus kesilapan menghadiahkan sepakan penalti yang mengakibatkan gol pasukan lawan, dengan menanduk cantik hantaran silang Antonio Valencia. Juara Belanda pula tewas di Jerman dengan kemenangan agak selesa bagi tuan rumah.

----------------------------------------

KUMPULAN C

Atletico Madrid 4-0 Astana
(Saul Niguez, Jackson Martinez, Oliver Torres, Denys Dedechko og)
Galatasaray 2-1 Benfica
(Selcuk Inan, Lukas Podolski; Nicolas Gaitan)

Kedudukan: Atletico 6, Benfica 6, Galatasaray 4, Astana 1

Pasukan Sepanyol membelasah pelawat dari Kazakhstan untuk mencatat kemenangan kedua. Kemenangan bergaya itu meletakkan Atletico berkongsi takhta kumpulan dengan Benfica. Kelab Portugal tersebut tewas di bumi Turki apabila dikejutkan oleh Galatasaray walaupun pasukan Benfica menjaringkan gol pendahuluan seawal minit kedua. 

---------------------------------------

KUMPULAN D

Juventus 0-0 Monchengladbach
Manchester City 2-1 Sevilla
(Adil Rami og, Kevin De Bruyne; Yevhen Konoplyanka)

Kedudukan: Juventus 7, Man City 6, Sevilla 3, Monchengladbach 0

Juventus seri tanpa jaringan dengan pelawat dari Jerman di Itali. Keputusan itu mengekalkan rekod tanpa kalah Juventus di pentas utama benua Eropah musim ini. Manakala gergasi England menjaringkan gol kemenangan lewat permainan untuk mengecewakan pelawat dari Sepanyol yang hampir membawa pulang satu mata berharga.

-------------------------------------

Tamat sudah saingan separuh pertama dalam peringkat kumpulan musim ini. Masih berbaki tiga perlawanan sebelum pertandingan diteruskan dengan pusingan kalah mati. Dua slot dalam setiap kumpulan masih terbuka untuk diisi.

It's still early!



Wednesday, October 21, 2015

Meriah

Assalamualaikum.

Matchday 3 Part I

Perlawanan ketiga peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah musim 2015/2016 berlangsung meriah. Lapan gol dijaringkan dalam perlawanan Roma menentang Leverkusen. Bayern pula tewas walaupun mendominasi permainan.
------------------------------

KUMPULAN E

BATE 0-2 Barcelona 
(Ivan Rakitic x2)
Leverkusen 4-4 Roma
(Javier Hernandez x2, Kevin Kampl, Admir Mehmedi; Daniele De Rossi x2, Miralem Pjanic, Iago Falque)

Kedudukan: Barcelona 7, Leverkusen 4, BATE 3, Roma 2

Barca (Sepanyol) berpeluang cerah untuk melangkah ke pusingan kedua selepas mengatasi kelab Belarus di tempat lawan. Dua gol Ivan Rakitic dibantu dua kali oleh Neymar. AS Roma (Itali) pula mengikat Leverkusen di Jerman dengan Javier Hernandez dan Daniele De Rossi menjaringkan dua gol untuk pasukan masing-masing. Selepas ketinggalan 2-0, Roma bangkit untuk mendahului 4-2 namun gagal mempertahankan gawang dari dibolosi lagi.
--------------------------

KUMPULAN F

Arsenal 2-0 Bayern
(Olivier Giroud, Mesut Ozil)
Dinamo Zagreb 0-1 Olympiakos
(Ideye Brown)

Kedudukan: Bayern 6, Olympiakos 6, Zagreb 3, Arsenal 3

Selepas separuh saingan peringkat kumpulan, tiada pasukan yang berpeluang cerah untuk mara. Kesemua pasukan dalam kumpulan ini masih berpeluang. Arsenal (England) meledak dua kali di gelanggang sendiri untuk mengejutkan jaguh Jerman, Bayern Munich, yang mencatat 70% penguasaan bola. Jaringan tunggal Brown sudah cukup untuk kelab Greece memenangi perlawanan di Croatia.

---------------------------------

KUMPULAN G

Porto 2-0 Maccabi Tel-Aviv
(Vincent Aboubakar, Yacine Brahimi)
Dynamo Kiev 0-0 Chelsea

Kedudukan: Porto 7, Kiev 5, Chelsea 4, Maccabi 0

Kemenangan Porto (Portugal) di tempat sendiri mengatasi kelab Israel membolehkan mereka menduduki takhta kumpulan ini. Keputusan seri di Ukraine antara Dynamo Kiev dan Chelsea (England) menyaksikan tiga pasukan masih berpeluang untuk melangkah jauh. Peluang Maccabi Tel-Aviv sudah hampir tertutup melainkan mereka berjaya memenangi semua tiga perlawanan dalam separuh kedua peringkat kumpulan.
------------------------------

KUMPULAN H

Zenit 3-1 Lyon
(Artem Dzyuba, Hulk, Danny; Alexandre Lacazette)
Valencia 2-1 Gent
(Lasse Nielsen og, Stefan Mitrovic og; Thomas Foket)

Kedudukan: Zenit 9, Valencia 6, Gent 1, Lyon 1

Pasukan Perancis tumbang di Rusia yang menyaksikan Zenit terus gah mencatat kutipan mata sempurna dengan tiga kemenangan berturut-turut. Valencia (Sepanyol) pula mencatat kemenangan kedua mengatasi pasukan Belgium di tempat sendiri. Peluang Gent dan Lyon kelihatan sudah hampir tertutup.

-------------------------------

Selepas separuh pertama peringkat kumpulan berlangsung, saingan Kumpulan E, Kumpulan F, dan Kumpulan G masih terbuka luas. Manakala pasukan yang layak ke pusingan kalah mati dari Kumpulan H semakin jelas.

Malam ini perlawanan Kumpulan A-D pula akan berlangsung membabitkan pasukan gergasi seperti Manchester United, Manchester City, Real Madrid, dan Paris Saint-Germain.




Monday, October 12, 2015

Golden Chance Missed

Assalamualaikum.

10 Oktober 2015

Two of the best players, two of the finest takers. Yet they failed when it mattered most. Not even master can prevent defeat on the unlucky day.

Not so unlucky.

Sukan bola sepak IMU Cup 2015.

Kami memulakan pagi Sabtu dengan kemenangan bergaya 3-0 mengatasi pasukan Griffin untuk memenangi kumpulan. Pasukan aku, Taurus, akan menentang Draco di tempat kedua dalam Kumpulan B. Manakala Hydra di belakang kami akan menentang pemenang kumpulan B, Pegasus.

Pegasus yang menewaskan Draco 1-0 dalam perlawanan penentuan pemenang kumpulan dikejutkan apabila tewas kepada juara tahun lepas, Hydra 2-0. Tiba giliran kami untuk menebus kehampaan tahun lepas dengan sekadar meraih pingat gangsa. Misi kami untuk mara ke perlawanan akhir dan merangkul pingat emas pula kali ini.

Hakikatnya, pasukan ini adalah 'Golden Generation' (generasi emas) rumah sukan Taurus. Buktinya, pasukan ini dibarisi juara futsal IMU Cup tahun lepas yang berjaya mempertahankan pingat emas tahun ini. Kali pertama aku bermain sukan bola sepak IMU Cup semasa semester pertama, kami tewas di peringkat kumpulan. Kali kedua tahun lalu dalam semester tiga, aku pulang dengan pingat gangsa. Kali ini aku mahu pencapaian yang lebih baik.

Tamat perlawanan, kedudukan terikat tanpa jaringan. Tiada masa tambahan. Sepakan penalti akan menentukan pemenang. Draco akan memulakan penentuan sepakan penalti. Aku selaku penyerang pasukan turut tersenarai dalam lima pengambil sepakan penalti. Kapten memberikan kepercayaan untuk aku mengambil sepakan ketiga. Malangnya, ketika aku mengambil sepakan itu, pasukan Draco telah mendahului 2-0. Dua pemain Taurus yang pertama telah gagal menyempurnakan sepakan masing-masing. Begitu juga seorang pemain Draco. Aku melangkah dengan penuh harapan pasukan terpikul di bahu. 

Aku memandang bola di hadapanku. Fokus. Cuba menenangkan diri yang sangat gementar. Jika aku gagal, kami hampir pasti tewas. Aku sudah tahu di mana aku akan menyempurnakan sepakan itu. Aku hanya perlu memastikan sepakanku cukup kuat dan tidak tersalah sepak. Aku menarik nafas sedalam mungkin. Pengadil meniup wisel. Langkahan bermula. Aku menyepak ke sebelah kanan penjaga gol dan mudah menewaskan penjaga gawang lawan. Kedudukan 1-2.

Selepas tamat lima sepakan penalti untuk kedua-dua pasukan, kedudukan terikat 3-3. Dua lagi rakan sepasukan aku menjaringkan sepakan masing-masing. Pengadil menggunakan peraturan yang aneh bagi aku tetapi dipersetujui kedua-dua kapten pasukan. Pengadil melambung syiling untuk menentukan siapakah yang akan mengambil sepakan keenam yang merupakan 'sudden death'. Draco mendapat sepakan tersebut. Jika sepakan itu dijaringkan, mereka terus menang. Jika penjaga gol Taurus berjaya menyelamatkan sepakan itu, Taurus terus menang.

Malangnya, seperti yang aku telah gambarkan dari tajuk dan permulaan entri ini, sepakan itu berjaya dijaringkan dan Draco menewaskan Taurus untuk melangkah ke final. Hakikatnya, pasukan Taurus merupakan pasukan terbaik. Hanya faktor nasib tidak menyebelahi kami.

Have to wait for next year!


Monday, October 5, 2015

Kecewa

Assalamualaikum.

Kecewa. Sangat kecewa. Begitulah gambaran perasaan aku ketika ini dengan tewasnya pasukan kegemaran, Manchester United, dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris semalam menentang musuh tradisi, Arsenal. Bergembiralah penyokong pasukan-pasukan musuh Manchester United dengan kekalahan pasukan yang memiliki kejuaraan liga domestik Inggeris terbanyak dalam sejarah.


Lapan perlawanan 'Super Sunday' antara pasukan-pasukan besar dalam liga utama Eropah.

Bayern Munich mengukuhkan cengkaman dan dominasi penuh dalam Bundesliga (Jerman) dengan membelasah serta memusnahkan pencabar terdekat, Borussia Dortmund 5-1 di gelanggang sendiri. Thomas Muller dan Robert Lewandowski terus mengganas dengan masing-masing meledak dua gol. Napoli pula rakus menghancurkan AC Milan 4-0 dalam perlawanan Serie A (Itali). Paris Saint-Germain pula menundukkan Marseille 2-1 dalam perlawanan Ligue 1 (Perancis). PSV Eindhoven menewaskan Ajax Amsterdam 2-1 dalam perlawanan Eredivisie (Belanda).

'Super Sunday' Liga Perdana Inggeris (England) pula menyaksikan Arsenal menewaskan pendahulu liga minggu lepas, Manchester United di tempat sendiri dengan kemenangan bergaya 3-0. Tiga gol dalam masa 20 minit pertama perlawanan dengan dua jaringan Alexis Sanchez cukup untuk memastikan 'Gunners' mengutip tiga mata penuh sebelum aksi perlawanan antarabangsa. Everton dan Liverpool pula seri satu sama dalam Merseyside 'derby'. 

Madrid 'derby' dalam La Liga (Sepanyol) berakhir dengan Atletico Madrid dan Real Madrid berkongsi mata selepas terikat 1-1. Malang buat Barcelona apabila tewas di gelanggang lawan kepada Sevilla tanpa kelibat bintang utama mereka, Lionel Messi. Kekalahan ini meletakkan Barca semakin tertekan dengan prestasi mereka ketika ini. 

KONKLUSI
Bayern Munich telah mendominasi Bundesliga dengan mencatat lapan kemenangan berturut-turut daripada lapan perlawanan. Gol yang dijaringkan juga begitu banyak apabila membelasah Wolfsburg dan Borussia Dortmund. Gandingan serangan Muller dan Lewandowski begitu mantap dan sukar disekat. Jentera tengah Bayern yang dibarisi Mario Gotze, Kingsley Coman, Douglas Costa, Arturo Vidal, Xabi Alonso dan Thiago Alcantara juga begitu hebat. Tidak mustahil Bayern akan menguasai pentas Eropah musim ini.




Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif