Welcome To My Life...

Saturday, January 30, 2016

MLM2016/1: Suam

Assalamualaikum.

Maharaja Lawak Mega 2016 minggu pertama bermula malam tadi. Ketiadaan nama-nama besar membuatkan pertandingan ini kehilangan X factor. Namun, secara tak langsung, muka-muka baru diberikan platform untuk memperkenalkan diri mereka kepada para peminat industri lawak tanah air.

Pembukaan musim baru ini sedikit (baca: sangat) meleret dan membazir masa. Persembahan tarian yang diikuti persembahan nyanyian (ini bukan Akademi Fantasia!). Kemudian, ada pula pengenalan semua 15 peserta satu demi satu. Empat juri tetap mingguan juga diperkenalkan, tiada satu pun pelawak antara mereka: Ziana Zain dan Shaheizy Sam dari Malaysia, Najib Ali dari Singapura, dan Bunga Citra Lestari dari Indonesia.

Aku akan memberikan komen ringkas untuk setiap peserta bersama dua indikator tahap persembahan mereka. Rating Doktor Yang Berfikir (DYB) iaitu rating peribadi aku sendiri dari skala 10. Seterusnya, Meter HaHa yang diperkenalkan untuk menggantikan sistem bintang oleh para juri tetap MLM. Berikut adalah ringkasan persembahan minggu pertama:

1. Xola [Rating DYB: 3/10 | Meter HaHa: 3/5]
Hanya satu dua punchline yang lawak. Persembahan suam-suam kuku.

2. Puteh [Rating DYB: 2/10 | Meter HaHa: 3/5]
Puncline yang sederhana. Sangat bergantung kepada gerak tubuh mereka untuk menghiburkan penonton.

3. Bora [Rating DYB: 3/10 | Meter HaHa: 3/5]
Punchline yang suam. Tiada apa dapat dibanggakan dengan persembahan juara Projek Komedi Warna ini.

4. Shake [Rating DYB: 5/10 | Meter HaHa: 4/5]
Peserta berpengalaman ini mempunyai chemistry yang baik dalam gandingan mereka. Beberapa punchline yang 'panas' berjaya menghiburkan. 

5. Saywho [Rating DYB: 7/10 | Meter HaHa: 4/5]
Tidak menghairankan wakil dari Indonesia ini memberikan persembahan baik kerana pengalaman mereka di pentas Maharaja Lawak Mega. Lawak yang bersahaja. Terbaik!

6. Cham [Rating DYB: 2/10 | Meter HaHa: 3/5]
Kembalinya kumpulan ini di arena lawak sangat ditunggu-tunggu tetapi persembahan kali ini mengecewakan. Tiada punchline yang benar-benar menjadi.

7. Kavin Jay [Rating DYB: 3/10 | Meter HaHa 3/5]
Persembahan solo yang berani. Punchline juga suam, bolehlah mengukir senyuman.

8. BOS [Rating DYB: 6/10 | Meter HaHa: 4/5]
Persembahan yang menampilkan isu semasa termasuk meniru watak juri (Shaheizy Sam). Beberapa punchline yang baik.

9. Enjen [Rating DYB: 2/10 | Meter HaHa: 3/5]
Persembahan biasa, tiada punchline yang 'ummph'. Perlu mencari idea yang lebih baik.

10. Bocey [Rating DYB: 5/10 | Meter HaHa: 3.5/5]
Ada punchline yang baik seperti dijangka dari peserta kegemaran edisi kali ini. Bocey terus menggunakan modal mengutuk kawan dan membuli Abam. Persembahan peserta berpengalaman yang sedikit mengecewakan.

11. Chilok [Rating DYB: 7/10 | Meter HaHa: 3/5]
Membawa isu semasa (penajaan bola sepak dan Jadilah Seperti Rashid) dengan baik. Chemistry yang kemas antara ahli kumpulan. Secara peribadi, aku terhibur.

12. Awok [Rating DYB: 1/10 | Meter HaHa: 3/5]
Pentas MLM mungkin terlalu besar untuk muka baru ini. Tiada punchline yang bagus. Aku tak dapat senyum pun.

13. Joras [Rating DYB: 5/10 | Meter HaHa: 3/5]
Ada juga punchline yang 'panas', tetapi bak kata juri "we expect more" dari para pelawak berpengalaman dalam kumpulan Joras.

14. Rayza Mukmin [Rating DYB: 2/10 | Meter HaHa: 4/5]
Mungkin gugup beraksi di pentas besar, persembahan Rayza mengecewakan. Mencuba sebaik mungkin membawa cerita tentang 'nama', punchline Rayza tak membuatkan aku ketawa. Good try.

15. LOL [Rating DYB: 8/10 | Meter HaHa: 4/5]
Persembahan terakhir minggu pertama dan juga yang terbaik. Tauke Jambu tak menghampakan bersama rakan gandingan baru. Angah dan Ajak Shiro membuktikan mereka otai dengan lawak bersahaja.

---------------------------------

Secara keseluruhan, kegugupan dan persembahan hambar para peserta masih boleh dimaafkan kerana ini baru minggu pertama. Para juri 'berlembut' dalam memberikan komen semangat dan Meter HaHa yang lebih tinggi dari yang sepatutnya. Seperti dijangka, TIADA PENYINGKIRAN untuk minggu pertama.

Aku tahu bukan mudah untuk mencari ilham lawak. Aku tak pandai berlawak tapi sebagai penonton yang mahukan hiburan, aku memberikan rating dan komen sejujur yang mungkin, dengan harapan mereka akan kembali di pentas minggu kedua dengan idea yang lebih menggelikan hati.

Masih banyak ruang yang boleh diperbaiki. Perjalanan masih panjang. Misi mereka baru bermula.

M Fizan
300116, 0900


Friday, January 29, 2016

MLM 2016

Assalamualaikum.

Maharaja Lawak Mega kembali lagi dengan musim baru bermula minggu pertama malam ini (29 Januari). Lima belas peserta (13 kumpulan dan 2 solo) akan berentap untuk merebut hadiah juara (wang tunai RM500,000 dan trofi). Peserta dari negara jiran (Singapura dan Indonesia) turut memeriahkan MLM 2016. 

Berikut adalah senarai lengkap peserta yang diambil dari sini

1. Awok -- Filzah, Ain, dan Ayie
2. Bora -- Isa, Yan, dan Mamat [peserta Singapura]
3. Bocey -- Acey, Abam, dan Fad
4. BOS -- Ezad, Ajo, dan Abu
5. Cham -- Along dan Azrul
6. Chilok -- Chiwan, Achok, dan Kamal
7. Enjen -- Raja Azri, Acong, dan Yus
8. Joras -- Syuk, Rahim, dan Joey
9. LOL -- Angah, Tauke, dan Ajak
10. Puteh -- Mamak dan Ali
11. Saywho -- Vicha, Bocil, dan Agus [peserta Indonesia]
12. Shake -- Amir, Bell, dan Mie
13. Xola -- One, Chot, dan Wan
14. Rayza Mukmin [peserta solo]
15. Kavin Jay [peserta solo]

Hanya Bocey merupakan 'nama besar' dalam industri lawak tanah air yang menjadi peserta kali ini. Tiada Nabil, Sepahtu, Jozan, ataupun Zero. Ketiadaan nama-nama gah ini menjadikan persaingan lebih seimbang walaupun Bocey dilihat pilihan utama untuk menjadi juara.

Penyertaan berani Reza dan Kavin yang akan beraksi secara solo juga wajar dipuji. Artis yang pernah menjadi vokalis kumpulan Exist (Ezad) turut membuat kejutan dengan menceburi arena lawak. Kembalinya kumpulan Cham juga pasti menggembirakan para peminat mereka. Rahim yang pernah bersama kumpulan R2 dan Sepahtu akan bertanding atas nama Jaros bersama Syuk (Balas/SYJ) dan Joey (Jalor).

MLM kali ini pasti terasa ketiadaan legenda lawak tanah air, Yus, yang meninggal dunia tahun lepas. Rakan segandingannya dalam kumpulan Jambu, Tauke, akan bersama Angah dan Ajak (Shiro) dalam kumpulan LOL.

Empat juri tetap mingguan akan diketahui pada episod minggu pertama malam ini. Seperti musim-musim lalu, AC Mizal kekal menjadi pengacara. "Shah Alam, peace yo!"

Let's enjoy the show!



Kembali Aktif

Assalamualaikum.

Fuhh fuhh (tiup habuk). Bersawang habis blog Lelaki Dari Marikh. Kesibukan hidup menghalang aku dari aktif menaip. Sudah pasti alasan semata-mata. Berapa ramai orang yang lebih sibuk tapi mempunyai kesempatan untuk mengemas kini blog. 

Bila aku belek semula entri lama, baru aku sedar kali terakhir aku mengarang puisi adalah pada tahun 2014. Aku belek pun sebab mencari puisi lama hasil coretanku, atas permintaan seorang sahabat yang meminta aku menulis lirik. Sesungguhnya, banyak peristiwa yang telah berlaku sepanjang tahun lepas dan awal tahun 2016.

Berbicara hal global, ISIS telah melakukan serangan di Istanbul (Turki) dan Indonesia. Beralih ke dalam negara, bajet 2016 telah dibentang buat kali kedua semalam (28 Januari). Usul TPPA pula diluluskan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Pemberian Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) 2016 fasa pertama untuk golongan bujang dan berkahwin juga telah dilakukan. 

Beralih ke dunia hiburan, Lagu 'Potret' dendangan Akim & The Majistret memenangi Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-30 menewaskan lagu 'Assalamualaikum' (Faizal Tahir) dan 'Hanya NamaMu' (Caliph Buskers). Malam ini pertandingan Maharaja Lawak Mega 2016 akan bermula. 

InsyaAllah, blog ni akan berwajah baru. Aku nak tukar header. Dan nak perkenalkan satu segmen baru bertajuk 'Dokter Yang Berfikir'. InsyaAllah aku akan bahaskan isu semasa secara santai. Semuanya masih dalam perancangan. Moga Allah mengizinkan.

Sekian dulu. Allahuakbar!



Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif