Welcome To My Life...

Friday, June 17, 2016

Euro 2016: Peringkat Kumpulan #7

Assalamualaikum.

Euro 2016, hari ketujuh.

KUMPULAN C

"Kejutan Ireland Utara"

UKRAINE 0-2 IRELAND UTARA
Berada enam ranking dunia di bawah Ukraine tidak menghalang Ireland Utara dari mengejutkan Ukraine untuk mencatat kemenangan sulung dalam sejarah penyertaan mereka dalam kejohanan Euro. Babak pertama berakhir tanpa jaringan. Ireland Utara mendahului di awal separuh masa kedua apabila sepakan percuma Oliver Norwood melepasi semua pemain dan Gareth McAuley menanti untuk menanduk masuk ke gawang. Lewat di akhir masa kecederaan, Niall McGinn menambah gol kedua apabila pantas menyambar bola muntah selepas penjaga gol gagal menangkap rembatan rakan sepasukan McGinn. 

"Jerman Buntu"

JERMAN 0-0 POLAND
Kedua-dua pasukan menang perlawanan pertama dan kali ini mereka sekadar mampu berkongsi satu mata, keputusan seri tanpa jaringan pertama untuk edisi 2016. Keputusan yang melegakan Poland kerana berdepan pasukan pilihan. Arkadiusz Milik mempersiakan peluang keemasan untuk menjaringkan gol kemenangan Poland apabila gagal menanduk hantaran silang rakan sepasukan dari jarak empat ela ketika separuh masa kedua baru saja bermula. Peluang terbaik Jerman pula hadir apabila sepakan Mesut Ozil diselamatkan oleh penjaga gol.

Kedudukan: Jerman 4 mata; Poland 4; Ireland Utara 3; Ukraine 0

KUMPULAN E

"Itali Layak"

ITALI 1-0 SWEDEN
Itali menjadi pasukan kedua layak ke pusingan kedua selepas membenam cabaran Sweden, tanpa perlu menunggu keputusan satu lagi perlawanan dalam kumpulan ini. Gol lewat Eder memastikan kemenangan kedua berturut-turut Itali sekali gus mengesahkan kemaraan. Itali terpaksa menanti sehingga dua minit sebelum tamat masa permainan sebenar. Eder mengutip bola di kawasan sayap kiri sebelum membawa bola melepasi empat orang pemain Sweden dan merembat di luar kotak penalti. Satu gol solo yang memukau dan boleh mencabar untuk dianugerahkan gol terbaik Euro edisi 2016.



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif