Friday, March 17, 2017

Lapan Terbaik

Assalamualaikum.

Malam ini akan berlangsung majlis undian peringkat suku akhir kejohanan bola sepak tertinggi di benua Eropah untuk musim 2016/2017. Lapan pasukan terbaik untuk Liga Juara-Juara Eropah telah layak dan akan mengetahui nasib mereka malam ini.

---------------------------------

LIGA JUARA-JUARA EROPAH

Real Madrid (Sepanyol)
Borussia Dortmund (Jerman)
Juventus (Itali)
Atletico Madrid (Sepanyol)
Barcelona (Sepanyol)
Bayern Munich (Jerman)
Leicester City (England)
AS Monaco (Perancis)

3 kelab La Liga Sepanyol, 2 kelab Bundesliga Jerman, 1 kelab Serie A Itali, 1 kelab Liga Perdana Inggeris, dan 1 kelab Ligue 1 Perancis.

Leicester City adalah satu-satunya pasukan yang tidak dijangka akan melangkah sejauh ini, lebih-lebih lagi menjadi wakil tunggal England dengan tersingkirnya Chelsea, Arsenal, dan Manchester City. Selain Leicester dan Monaco, kelab-kelab lain sudah menjadi penghuni biasa peringkat kalah mati ini. Malah Real Madrid, Atletico Madrid, Barcelona dan Bayern Munich sudah beberapa musim mara ke peringkat separuh akhir. 

Sudah tiada lagi peraturan kelab dalam liga domestik yang sama tidak boleh bertemu. Maka kemungkinan Barcelona bertemu Real Madrid itu ada tetapi tipis. Barcelona yang tewas 4-0 kepada Paris Saint-Germain di tempat lawan bagaikan 99.99% menuju kekalahan sebelum keajaiban turun dari langit pada detik terakhir permainan menjadi kisah dongeng pari-pari yang akan dikenang zaman-berzaman.

Pasukan terkuat buat masa ini adalah Bayern Munich. Bayern menjaringkan gol seperti permainan tenis secara konsisten. Gaya serangan Bayern yang sukar dihentikan ini akan menjadi masalah kepada setiap lawan mereka. Menarik untuk dilihat kelab mana yang mampu mengekang gempuran Bayern Munich.

------------------------------------

LIGA EUROPA

Ajax Amsterdam (Belanda)
Anderlecht (Belgium)
Besiktas (Turki)
Celta Vigo (Sepanyol)
Genk (Belgium)
Lyon (Perancis)
Manchester United (England)
Schalke 04 (Jerman)

Kelab dari tujuh negara akan merebut slot ke separuh akhir. Dua wakil Belgium dan masing-masing satu wakil dari Belanda, Turki, Sepanyol, Perancis, England, dan Jerman. 

Manchester United adalah kelab gergasi tetapi saingan dari Ajax Amsterdam, Lyon dan Schalke khususnya tidak boleh dipandang mudah. Bola itu bulat, dan kejutan sentiasa berlaku.

---------------------------------

Para peminat akan berharap kelab kesayangan mereka tidak diundi bertemu pasukan gergasi. Manakala peminat neutral pula ingin melihat pertembungan hebat dua kelab besar. Sama-sama kita nantikan keputusan majlis undian malam nanti waktu Malaysia. 



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif