Welcome To My Life...

Sunday, April 15, 2018

Datuk Lee

Assalamualaikum.


Hari ini milik Datuk Lee, dan tiada siapa boleh merampas pingat emas itu daripada Lee Chong Wei. Legenda negara yang sudah memenangi tiga pingat emas Sukan Olimpik berturut-turut dan juga pemenang pingat emas Sukan Komanwel edisi 2006 dan 2010 turun untuk merampas pingat emas acara perseorangan lelaki yang kali terakhir dimenangi oleh Parupalli Kashyap dari India dalam edisi 2014.

Datuk Lee juga turun dengan misi penting untuk membalas dendam kerana ditewaskan oleh lawan yang sama ketika final acara berpasukan campuran. Lawannya dalam perlawanan akhir kali ini bukan calang-calang. Rakan senegara Kashyap yang juga pemain di ranking nombor satu dunia ketika ini, Srikanth Kidambi. Sewaktu final acara berpasukan baru-baru ini, Kidambi mengetuai kejutan India ke atas Malaysia apabila menewaskan Lee Chong Wei dalam straight game.

Situasi itu dilihat akan berulang semula. Walaupun memulakan perlawanan dengan garang apabila mendahului 5-0, Kidambi bangkit semula dengan kombinasi permainan bijak dan smash kencang untuk mendahului di separuh set pertama. Kidambi mendahului sehingga ke mata akhir. Datuk Lee kelihatan seperti cuba bangkit namun gagal di halangan terakhir dan tewas 19-21.

Lee Chong Wei kini mesti menang set kedua. Kedua-dua pemain menampilkan permainan bermutu tinggi. Walaupun lawannya berusia 25 tahun, Datuk Lee yang berusia 35 tahun berjaya mengerah kudrat yang setanding. Pertahanan Datuk Lee begitu ampuh ketika diasak serangan demi serangan dari Kidambi. Kemudian Lee Chong Wei menunjukkan kekuatan serangannya yang gagal dibalas Kidambi. Walaupun Kidambi tangkas di atas gelanggang, Lee Chong Wei menang 21-14 untuk mengheret perlawanan ke set penentuan.

Dari segi tenaga, Kidambi mempunyai kelebihan. Namun, pengalaman yang menjadi kelebihan Datuk Lee. Ini zon yang sudah biasa baginya. Dia sudah berada di pentas akhir begitu kerap untuk menyerap tekanan yang menggunung. Tekanan itu yang tidak mampu ditanggung oleh Kidambi. Datuk Lee mendahului dari awal set ketiga sehingga ke penghujung. Pada satu ketika, Datuk Lee mendahului 18-10 sebelum menang 21-14 dan terbaring kepenatan selepas berjuang habis-habisan menentang pemain nombor satu dunia.


Lagu 'Negaraku' berkumandang buat kesekian kalinya kerana semangat juang dan keperwiraan Datuk Lee Chong Wei. 


Emas: Lee Chong Wei (Malaysia)
Perak: Srikanth Kidambi (India)
Gangsa: Rajiv Ouseph (England)

Di manakah pengganti Datuk Lee yang kita cari? Siapa yang akan mempertahankan pingat emas acara perseorangan lelaki empat tahun lagi? Tak mungkin Datuk Lee akan bertanding lagi.

Tahniah Datuk Lee Chong Wei. 


No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif