Welcome To My Life...

Sunday, April 8, 2018

Mimpi Indah

Assalamualaikum.

They may be crowned champion, but not against Manchester United, not in the Manchester derby!


Hanya satu keputusan iaitu kemenangan menentang musuh setempat akan memberikan kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim ini secara mutlak. Manchester United pula boleh seri untuk menangguhkan kejuaraan City sekurang-kurangnya ke minggu depan. Kemenangan skuad Jose Mourinho pula bermakna City perlu menanti sekurang-kurangnya dua minggu lagi untuk mengesahkan gelaran juara liga.

Jose Mourinho menggunakan formasi 4-3-3 sebagai pantulan kepada formasi sama digunakan Pep Guardiola untuk mengimbangi permainan Manchester City. David De Gea mengawal gawang di depan bek berempat Antonio Valencia, Eric Bailly, Chris Smalling, dan Ashley Young, Tidak seperti kebiasaan dalam formasi 4-2-3-1 yang digemarinya, Mourinho meletakkan pemain tengah bertiga Ander Herrera, Nemanja Matic, dan Paul Pogba untuk mengekang David Silva, Ilkay Gundogan dan Fernandinho di jentera tengah City. Jesse Lingard, Romelu Lukaku, dan Alexis Sanchez mengetuai serangan United.

Namun United berhempas-pulas di separuh masa pertama. City menyerang bertubi-tubi dan mendominasi permainan sepenuhnya. Gol pertama City akhirnya dijaringkan oleh kapten, Vincent Kompany yang sangat menggembirakan penyokong tuan rumah yang begitu ingin sekali merayakan gelaran liga di depan pasukan Manchester United. Kompany sentiasa cemerlang ketika dia diperlukan dan dia meluru bak peluru mengatasi kawalan Smalling untuk menanduk tepat.

Lima minit saja berselang, dan kemenangan seperti sudah milik City. Hantaran De Gea dipintas pemain lawan, dan pengadil meneruskan permainan ketika Leroy Sane dikasari. Kelebihan ini membawa kepada gol kedua City yang diledak oleh Gundogan yang bijak memusingkan badannya untuk menewaskan pertahanan sebelum rembatan leretnya mudah menewaskan De Gea.

Raheem Sterling patut menyalahkan diri-sendiri kerana dia sepatutnya mampu menjaringkan hatrik dalam separuh masa pertama. City menamatkan babak pertama dengan 2-0 tetapi dominasi penuh mereka gagal diterjemahkan dengan deretan peluang gagal disempurnakan. Permintaan sepakan penalti apabila bola terkena tangan Young (yang tergelincir) tidak dipedulikan pengadil. Di hari lain, City boleh mendahului dengan tujuh atau mungkin 10 gol di separuh masa pertama saja.

-------------------

Lain cerita di babak kedua. City gagal meneruskan momentum. Para pemain United pula seperti mendapat motivasi dari rehat separuh masa. Mereka lebih berani mara ke depan untuk mengatur serangan dan tidak membenarkan City menguasai permainan.

Gol semangat yang dicari-cari akhirnya dijaringkan oleh pemain yang dikritik hebat kerana tanda harganya, Paul Pogba.


Hantaran lambung Sanchez dari sebelah kanan hasil gerakan menarik para pemain United didada kemas oleh Herrera untuk menewaskan Kompany. Bola itu singgah di laluan Pogba yang tenang menanti penjaga gol City, Ederson, merebahkan diri sebelum menolak melepasi Ederson untuk merapatkan jurang. City mula goyah dan para pemain United kembali bersemangat.


Hanya 97 saat diperlukan Pogba untuk menunjukkan magisnya. Pogba menerima hantaran dari sayap kanan di tengah kawasan lawan, tenang membuat hantaran kepada Sanchez sebelum meneruskan larian. Pogba bagaikan bayangan yang tidak disedari membelah pertahanan City untuk berada di hujung hantaran lambung Sanchez yang bijak dan tepat.


Masih banyak yang perlu dilakukan Pogba ketika berjaya melepasi perangkap ofsaid. Pogba yang tidak dikawal perlu membuat sentuhan sempurna untuk menyudahkan hantaran lambung dari Sanchez. Pogba yang tinggi menanduk tepat untuk menewaskan Ederson dan mengejutkan peminat tuan rumah dengan dua gol pantas. Secara tiba-tiba, kedudukan 2-0 sudah menjadi 2-2. Entah dari mana.


Pogba memberi isyarat 'say what?' sebagai membalas fitnah Guardiola bahawa ejen Pogba telah menawarkan Pogba kepada Manchester City sebelum Pogba menjadi pemain Manchester United. Pogba juga telah mendiamkan para pengkritiknya yang begitu riuh menghina ketika dia kemarau gol. Dua gol penting untuk mengikat kedudukan ketika pasukan benar-benar memerlukan.


Pemain City bagai tersedar dari lena dan mula mengatur serangan. Namun Manchester United yang mendapat gol ketiga. Ketika mendapat sepakan percuma, Sanchez mengisyaratkan kepada rakan sepasukan untuk menyerang apabila dia melambungkan bola, seperti dia sangat yakin dengan apa yang akan dilakukannya.


Bagaikan petir yang memanah tepat, Smalling melepasi perangkap ofsaid dan menyudahkan sepakan percuma Sanchez. Smalling menebus kesilapannya dalam gol pertama City apabila dia gagal mengekang Kompany daripada melakukan tandukan. Kedudukan 2-0 di separuh masa sudah diterbalikkan. Pertahanan City perlu menyalahkan diri mereka kerana Smalling langsung tidak dikawal ketika dia meledak.


Semuanya di kepala (mental)

Pujian kepada De Gea yang menunjukkan sebab dia digelar penjaga gol terbaik dunia apabila berjaya menepis tandukan pemain gantian, Sergio Aguero yang kelihatan hampir pasti menjaringkan gol. Satu lagi permintaan sepakan penalti City ditolak apabila Young menerjah Aguero tetapi tidak diendahkan pengadil kerana Young berjaya menyentuh bola. Jika sedikit lambat, sepakan penalti pasti diberikan.


Lihatlah betapa bermaknanya kemenangan mengatasi musuh setempat kepada para pemain Manchester United yang berjuang dengan berani.





--------------------


Jika ada seseorang yang berkata United akan dapat mencatat kemenangan 100% dalam lima perlawanan berikutnya sebelum mereka menentang Chelsea apda 25 Februari, pasti orang itu sudah dikatakan gila.

Lima perlawanan berikutnya, skuad Jose Mourinho mengatasi segala kritikan dengan mencatat lima kemenangan termasuk menewaskan pasukan big 6 Chelsea dan Liverpool dan kemudian menangguhkan perayaan musuh setempat. Pasukan bimbingan Mourinho juga bangkit dari ketinggalan 2-0 dua kali ketika menentang Crystal Palace dan City untuk menang. DNA 'berjuang ke titisan peluh terakhir' yang pernah sinonim dengan skuad bimbingan Alex Ferguson dulu kini kembali.

Kedudukan Manchester United di posisi kedua liga semakin kukuh dengan kegagalan Liverpool mengatasi Everton dalam Merseyside derby di tempat lawan apabila seri tanpa jaringan.

Kebangkitan klasik ini terasa bagai mimpi. Mimpi ngeri untuk peminat City yang melihat kebangkitan pasukan jiran di gelanggang mereka.

Dan mimpi indah untuk peminat setia Manchester United.



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif