Welcome To My Life...

Friday, April 27, 2018

Selangkah Lagi

Assalamualaikum.

Perlawanan pertama, separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah 2017/2018.

Melihat situasi ketika ini, dua finalis yang akan berentap di Kiev, Ukraine pada hujung bulan Mei nanti sudah nampak bayangnya. Satu kemenangan besar di tempat sendiri, dan satu kemenangan tipis di tempat lawan.

----------------

LIVERPOOL 5-2 AS ROMA

Para peminat Liverpool sudah boleh berkira-kira untuk mengatur perjalanan dari England ke Ukraine jika ditakdirkan pasukan mereka mara ke final sekali lagi. Selaku juara Eropah lima kali (terakhir pada 2005), penantian 13 tahun sepertinya akan berakhir. Selepas bertahun-tahun meratapi kelemahan pasukan, penyokong setia kipas-susah-mati Liverpool begitu bersyukur dianugerahkan trio sensasi Mo Salah, Sadio Mane, dan Roberto Firmino. 

Sebelum perlawanan ini, trio 'heavy metal football' ini sudah meledak 83 gol secara kolektif. Trio Spurs (Harry Kane, Son Heung-Min, dan Christian Eriksen) di tempat kedua dengan kekurangan 14 gol. Trio Manchester City (Raheem Sterling, Sergio Aguero, Gabriel Jesus) di tangga ketiga, hanya satu gol di belakang trio Spurs.

Selepas perlawanan tamat, jumlah gol trio ini meningkat kepada 88. Dua gol lagi untuk Salah (jumlah 43 dalam semua pertandingan), satu gol untuk Mane, dan dua untuk Firmino. Salah memulakan pesta apabila menewaskan Alisson dengan satu ledakan kaki kiri berkelas dunia yang tepat ke penjuru atas gawang. Salah tidak dapat dikekang lagi apabila menyambut lorongan Firmino dengan menyungkit bola melepasi Alisson.

Salah mencipta gol ketiga Liverpool dengan hantaran tepat kepada Mane. Salah terus menggila dengan mencipta gol pertama Firmino. Gol kelima pula dijaringkan apabila Firmino menanduk hasil sepakan penjuru. Selepas Salah dikeluarkan, baru Roma mendapat peluang. Edin Dzeko mendada kemas hantaran jauh Daniele De Rossi sebelum bijak menewaskan Loris Karius. Diego Perotti menyempurnakan sepakan penalti untuk gol kedua Roma di tempat lawan.

---------------

BAYERN MUNICH 1-2 REAL MADRID

Pertembungan antara dua gergasi bola sepak Eropah ketika ini. Bayern Munich yang dalam misi memburu treble Eropah musim ini. Real Madrid pula walaupun terlepas gelaran liga kepada Barcelona, masih lagi juara bertahan Eropah untuk dua musim terakhir. Walau berapa teruk aksi mereka dalam pertandingan liga domestik, Real Madrid bagaikan begitu serasi dengan pentas berprestij benua ini.

Tuah tidak memihak Bayern. Seawal minit ketujuh, sayap lincah veteran mereka, Arjen Robben cedera dan terpaksa digantikan dengan Thiago Alcantara. Robben menyertai Manuel Neuer dan Arturo Vidal dalam senarai pemain cedera. Baru lepas detik setengah jam permainan pula, Jerome Boateng pula terpaksa dikeluarkan kerana kecederaan. 

Sebelum Boateng dikeluarkan, Bayern sudah mendahului. Lorongan pintar James Rodriguez melepaskan larian Joshua Kimmich yang memecut sebelum bijak merembat terus menewaskan Keylor Navas ketika semua orang menjangkakan hantaran lintang kepada Robert Lewandowski.

Real Madrid bangkit kembali. Sebelum ke bilik persalinan, Marcelo menyamakan kedudukan apabila menyambut tandukan Dani Carvajal dari sayap kanan dengan rembatan leret kaki kiri yang tepat. Siapa lagi yang boleh diharapkan kalau bukan bek kiri handal dari Brazil ini yang juga menjaringkan gol ketika menewaskan PSG dalam pusingan kedua dan ketika menundukkan Juventus di suku akhir.

Gol kemenangan dan juga gol kedua di tempat lawan dijaringkan oleh Marco Asensio. Kesilapan Rafinha melakukan hantaran dipintas Asensio yang pantas menolak kepada Lucas Vasquez. Asensio meneruskan larian dan menerima lorongan cemerlang dari Vasquez. Asensio mudah menyempurnakan serangan kilat yang mengecewakan penyokong tuan rumah.

--------------------

Liverpool dan Real Madrid memiliki kelebihan. Nampaknya wakil England akan mencabar penyandang juara dari Sepanyol.

Peluang Roma agak tipis tapi begitu juga dikatakan dalam dua pusingan kalah mati sebelum ini yang mereka menangi kedua-duanya dengan peraturan 'gol di tempat lawan'. Dalam pusingan kedua, Roma menang perlawanan kedua di gelanggang mereka 1-0 untuk layak walaupun agregat terikat 2-2. Situasi sama berulang di pusingan suku akhir. Tewas 4-1 di Sepanyol, peluang mereka untuk layak dinafikan semua pemerhati bola sepak yang waras. Namun sebaliknya, mereka melakukan La Remontada di bumi Rome. Kemenangan 3-0 adalah satu keajaiban. Mereka terikat agregat 4-4 tetapi tetap layak.

Mereka berada dalam situasi sama ketika ini. Dibolosi lima gol di gelanggang Liverpool, tetapi Roma juga memiliki dua gol di tempat lawan. Pilihan Roma ketika ini adalah menang dengan jurang tiga gol sama ada 3-0 atau 4-1 untuk layak sekali lagi dengan peraturan 'gol di tempat lawan' walaupun agregat terikat 5-5 atau 6-6. Bermakna Roma wajib menjaringkan sekurang-kurangnya tiga gol tanpa balas. Perkara yang tidak mustahil seperti mereka buktikan ketika menentang Barcelona. Namun, harapan itu tipis kerana mereka perlu mengekang Mo Salah dari terus mengganas. Hampir mustahil tetapi mereka pernah lakukan. 

Bagi Bayern pula, peluang mereka lebih cerah tetapi mereka juga perlu menjaringkan sekurang-kurangnya dua gol di gelanggang Real. Jika ada sesuatu yang harus menyemarakkan semangat mereka, Juventus baru saja melakukan perkara luar biasa itu dalam pusingan suku akhir sebelum ini. Tewas 3-0 di Itali, Juve membalas dengan tiga gol di Stadium Santiago Bernabeu untuk mengikat agregat. Ketika perlawanan seperti akan memasuki masa tambahan (tiga gol di tempat lawan sudah berbalas), Cristiano Ronaldo menjaringkan sepakan penalti di lewat permainan untuk Real Madrid.

Roma dan Bayern Munich boleh melakukannya, dengan syarat, mereka mesti percaya.



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif