Welcome To My Life...

Tuesday, June 26, 2018

Piala Dunia 2018: Rating Peringkat Kumpulan

Assalamualaikum.

Berakhirnya perlawanan ketiga dalam Kumpulan H bermakna sempurna sudah peringkat kumpulan untuk Piala Dunia FIFA edisi ke-21 di Rusia. 

Berikut adalah rating setiap pasukan dalam semua lapan kumpulan.

-------


URUGUAY -- 7/10
Hanya menang tipis dalam dua perlawanan awal menentang Mesir dan Arab Saudi. Bangkit menang bergaya ke atas tuan rumah dalam perlawanan menentukan juara kumpulan. Tidak melepaskan sebarang gol memberikan mereka rating yang tinggi.

RUSIA -- 6.5/10
Kejutan daripada Rusia dengan ranking terendah dalam kumpulan. Mendapat sokongan padu selaku tuan rumah, Rusia garang membelasah Arab Saudi dan membenam Mesir. Namun, kecundang dalam ujian sebenar menentang Uruguay.

ARAB SAUDI -- 3/10
Bermula dengan dibelasah oleh tuan rumah, mereka kemudian tewas tipis kepada Uruguay. Gol lewat memberikan kemenangan dalam perlawanan pelengkap jadual menentang Mesir.

MESIR -- 1/10
Ranking dunia kedua terbaik dalam kumpulan ini. Tewas semua perlawanan. Kedua-dua gol dijaringkan oleh Mohamed Salah. Persembahan yang sangat buruk.

------


SEPANYOL -- 6/10
Bernasib baik memenangi kumpulan di hari terakhir dalam satu kumpulan yang penuh dengan detik 'roller coaster'. Diikat Portugal menerusi gol lewat Ronaldo. Menang tipis menentang Iran. Bangkit dua kali dalam perlawanan terakhir menentang Maghribi menunjukkan karakter sang juara.

PORTUGAL -- 5/10
Memulakan Piala Dunia selaku juara Euro 2016 dan berada di ranking keempat dunia tidak membantu Portugal. Mengharapkan hatrik Cristiano Ronaldo untuk seri dengan Sepanyol. Berhempas-pulas sebelum menang tipis menentang Maghribi. Mensia-siakan peluang memenangi kumpulan apabila membenarkan Iran mendapat gol penyamaan, dan begitu hampir untuk tersingkir.

IRAN -- 7/10
Rating tinggi untuk pasukan dari benua Asia ini. Gol lewat membantu mereka menewaskan Maghribi. Tewas tipis ketika menentang Sepanyol. Bangkit untuk mengikat Portugal dan hampir layak ke pusingan kedua jika Mehdi Taremi tidak mensia-siakan peluang keemasan dalam masa kecederaan.

MAGHRIBI -- 4/10
Persembahan yang boleh dibanggakan. Tewas kepada Iran menerusi gol sendiri dalam masa kecederaan. Hanya tewas tipis kepada Portugal. Mendahului Sepanyol dua kali tetapi dinafikan kemenangan bersejarah apabila Iago Aspas menjaringkan gol penyamaan.

------


*Satu kumpulan yang aneh -- sejumlah 9 gol saja dijaringkan oleh kesemua empat pasukan.

PERANCIS -- 6.5/10
Antara pilihan utama edisi kali ini, satu pasukan penuh dengan nama-nama besar. Mengekalkan rekod tanpa kalah dalam peringkat kumpulan. Perancis hanya menjaringkan tiga gol, satu saja lebih daripada tiga pasukan yang lain tapi sudah cukup untuk mereka menjuarai kumpulan. Gawang mereka hanya dibolosi sekali dan tidak dibolosi dalam dua perlawanan yang lain.

DENMARK -- 6/10
Boleh berbangga mereka mengatasi Peru yang mempunyai ranking dunia lebih tinggi dalam kejayaan mengiringi Perancis ke pusingan kedua. Bermula menang tipis menentang Peru, Denmark hanya mampu seri berdepan Australia merendahkan rating mereka. Berjaya mengikat Perancis tanpa jaringan dalam aksi terakhir walaupun hanya membiarkan Perancis mendominasi permainan. Aneh sekali mereka layak dengan hanya menjaringkan dua gol sahaja, tetapi juga tidak dibolosi dalam dua perlawanan.

PERU -- 3/10
Peru hanya tewas tipis kepada Denmark dan Perancis dalam dua perlawanan pertama, tetapi itu sudah cukup untuk menyingkirkan mereka. Kekalahan kepada Denmark adalah kunci kegagalan. Bangkit untuk membenam Australia tanpa dibolosi dalam perlawanan terakhir untuk sedikit menceriakan penampilan semula di pentas Piala Dunia sejak 1982.

AUSTRALIA -- 3.5/10
Memulakan saingan dengan ranking dunia jauh lebih rendah berbanding tiga pasukan lain, Australia bermain dengan tekanan yang rendah. Tewas tipis kepada Perancis dalam perlawanan pertama diikuti kejayaan mengikat Denmark. Misi mesti menang (aka misi mustahil) menentang Peru dalam perlawanan terakhir tidak tercapai ketika mereka mengharapkan kekalahan Denmark kepada Perancis. Kedua-dua gol Australia dalam edisi kali ini hasil sepakan penalti Mile Jedinak.

------


CROATIA -- 9.5/10
Satu persembahan yang cukup gemilang daripada skuad bimbingan Zlatko Dalic. Mengekalkan rekod sempurna 100%. Selain tidak dibolosi dalam dua perlawanan pertama, Croatia juga mencuri perhatian dunia apabila membelasah Argentina tiga gol tanpa balas dalam perlawanan kedua dan sepatutnya menjaringkan lebih banyak gol. Croatia hanya menang tipis menentang Iceland dalam perlawanan terakhir, tetapi mereka melakukannya dengan merehatkan hampir keseluruhan pasukan utama! Prestasi cemerlang ini meletakkan Croatia dilihat sebagai pencabar kepada pilihan-pilihan utama yang lain.

ARGENTINA -- 2/10
Prestasi sangat buruk daripada nama besar seperti Argentina yang jelas terlalu mengharapkan sentuhan magis daripada salah seorang pemain terbaik dunia sepanjang zaman, Lionel Messi. Bermula dengan diikat oleh Iceland, Argentina kemudian dibelasah oleh Croatia. Mereka turun dalam perlawanan terakhir dengan hanya tiga mata dapat melayakkan mereka ke pusingan seterusnya. Jaringan lewat Marcos Rojo menceriakan semua peminat Argentina ketika mereka sangat hampir untuk disingkirkan oleh Nigeria. Mungkin menjadi satu-satunya pasukan yang layak ke pusingan kedua dengan negatif perbezaan gol (lebih banyak gol membolosi gawang berbanding gol mereka). 

NIGERIA -- 4.5/10
Ranking paling rendah dalam kumpulan ini. Bermula dengan tewas kepada Croatia. Nigeria menundukkan Iceland dalam perlawanan kedua untuk berada dalam situasi menang-atau-seri menentang Argentina. Malangnya, selepas Victor Moses menyamakan kedudukan, mereka dibolosi gol lewat permainan yang menyaksikan mereka tersingkir. Persembahan yang boleh dibanggakan.

ICELAND -- 2/10
Memulakan kempen dengan kejayaan mengikat Argentina. Namun, rentak itu gagal diteruskan apabila tewas kepada Nigeria. Tewas kali kedua dalam perlawanan terakhir kepada Croatia yang hanya menurunkan pasukan simpanan. Debut di Piala Dunia yang ingin dilupakan bagi negara kecil ini.

------


BRAZIL -- 8/10
Memenangi kumpulan seperti dijangka dengan rekod bersih tanpa kekalahan. Memulakan aksi dengan seri menentang Switzerland di ranking ke-6 dunia walaupun mereka menjaringkan gol pendahuluan. Memenangi dua baki perlawanan dengan dua gol tanpa balas. Mendominasi ketiga-tiga perlawanan. Dua kali gawang mereka tidak dibolosi. Coutinho menjadi watak penting dengan dua gol dan satu bantuan gol. 

SWITZERLAND -- 6.5/10
Berada di ranking keenam dunia, Switzerland tidak mencapai standard yang diharapkan daripada mereka. Memulakan kempen dengan cemerlang dengan kejayaan mengikat Brazil. Switzerland menunjukkan karakter sang juara dengan gol lewat untuk menewaskan Serbia. Namun kegagalan mengatasi Costa Rica dalam perlawanan terakhir ketika dibolosi dua gol merendahkan rating mereka. Para pemain Switzerland tiada masalah menjaringkan gol (lima gol daripada lima pemain berbeza). Fakta ini mungkin membantu mereka untuk mara lebih jauh.

SERBIA -- 6.5/10
Pasukan dengan ranking terendah dalam kumpulan ini. Bukan mudah untuk berada dalam satu kumpulan dengan Brazil dan Switzerland. Serbia memulakan kempen dengan kemenangan tipis menentang Costa Rica dan tidak dibolosi. Mereka hampir mengutip satu mata dalam perlawanan kedua menentang Switzerland tetapi dihampakan oleh gol lewat Xherdan Shaqiri. Serbia bertahan dengan baik ketika menentang Brazil (ranking kedua dunia) tetapi Brazil berjaya mencari jalan untuk menembusi benteng mereka. Serbia boleh pulang dengan rasa bangga. 

COSTA RICA -- 5/10
Bermula dengan langkah kiri apabila tewas tipis kepada Serbia yang di ranking dunia lebih rendah. Mereka nyaris mengikat Brazil dalam perlawanan kedua tetapi dibolosi dua gol lewat dalam masa kecederaan babak kedua. Costa Rica menamatkan saingan dengan mencuri satu mata dari Switzerland. Sepakan penalti lewat permainan daripada Bryan Ruiz terkena palang dan melantun ke kepala penjaga gol, Yann Sommer untuk menyamakan kedudukan dan memberikan rating lebih terpuji. 


------


SWEDEN -- 8/10
Sweden menafikan semua ramalan sebelum saingan bermula apabila memenangi kumpulan yang melibatkan dua pasukan dengan ranking lebih tinggi termasuk pasukan nombor satu dunia dan juara bertahan, Jerman. Sweden memulakan saingan dengan kemenangan tipis mengatasi Korea Selatan. Sweden hampir mencuri satu mata daripada Jerman dalam perlawanan kedua tetapi dinafikan oleh sepakan percuma lewat daripada Toni Kroos. Sweden mesti menang dalam perlawanan terakhir untuk layak ke pusingan kedua dan mereka melakukannya dengan bergaya, membenam Mexico tiga gol tanpa balas. Persembahan Sweden wajar dipuji. Dua perlawanan tanpa dibolosi sebarang gol. Mereka bersedia untuk pusingan seterusnya. 

MEXICO -- 6/10
Mexico memulakan kempen dengan sempurna apabila menang tipis mengatasi juara bertahan, Jerman. Mereka meneruskan rentak kemenangan dengan menewaskan Korea Selatan sekali gus menyingkirkan pasukan dari benua Asia itu. Memasuki perlawanan terakhir, ramai meramalkan Mexico akan mengatasi Sweden dan muncul juara kumpulan. Malangnya, perkara sebaliknya berlaku dan mereka dibelasah 3-0 menyebabkan rating mereka hanya di tahap sederhana. 

KOREA SELATAN -- 4/10
Berstatus pasukan dengan ranking dunia paling rendah dalam kumpulan ini, Korea Selatan tewas seperti dijangka dalam dua perlawanan awal menentang Sweden dan Mexico. Namun mereka hanya kalah dengan perbezaan satu gol sahaja. Persembahan Korea Selatan dalam perlawanan terakhir menentang Jerman pastinya paling mengejutkan dan akan diingati dalam sejarah Piala Dunia. Dua gol lewat dalam masa kecederaan menyingkirkan juara bertahan untuk meneruskan 'sumpahan'.

JERMAN -- 2/10
Entah apa yang tidak kena, pasukan di takhta ranking dunia dan juga juara bertahan kecundang dan disingkirkan di tempat tercorot apabila mencatat dua kekalahan. Tewas mengejut kepada Mexico dalam perlawanan sulung, Jerman bangkit dengan karakter hebat untuk menewaskan Sweden menerusi gol lewat permainan. Mengetahui hanya kemenangan akan melayakkan mereka, armada Jerman mengasak kubu Korea Selatan bertubi-tubi tetapi tidak berhasil. Kekalahan kepada Korea Selatan bermakna Jerman menamatkan saingan di kedudukan terakhir.

------


BELGIUM -- 9/10
Ketika pasukan pilihan lain bergelut mencari rentak, Belgium memberikan amaran kepada semua pilihan utama. Memulakan cabaran mereka dengan membenam Panama, Belgium meneruskan kecemerlangan dengan membelasah Tunisia. Penentuan pemenang kumpulan dengan England dalam perlawanan terakhir terganggu dengan kemungkinan bertemu Brazil di suku akhir ketika kedua-dua pengurus pasukan menurunkan barisan kedua sahaja. Belgium menang tipis untuk menjuarai kumpulan dan mengekalkan rekod 100%. Prestasi cemerlang Romelu Lukaku dalam dua perlawanan awal pastinya menggembirakan penyokong Belgium.

ENGLAND -- 8.5/10
Bergelut dalam perlawanan pertama apabila terpaksa menanti jaringan lewat daripada Harry Kane untuk menewaskan Tunisia. Mereka garang dalam perlawanan kedua, membelasah Panama untuk menjadi antara pasukan terawal mara ke pusingan kedua selepas dua perlawanan pertama (bersama Belgium). Walaupun tewas dalam perlawanan terakhir, ia tidak boleh dijadikan ukuran kerana kedua-dua pasukan menurunkan barisan simpanan. Kekalahan kepada Belgium hanya bermakna England tidak mempunyai barisan simpanan yang cukup kuat.

TUNISIA -- 4/10
Pastinya kecewa dalam perlawanan pertama kerana begitu hampir untuk berjaya mengikat England tetapi dinafikan gol lewat. Tunisia meledak dua gol menentang Belgium tetapi dibolosi lima gol. Kemenangan tipis dalam perlawanan terakhir menentang Panama sekadar pengubat duka untuk mereka. 

PANAMA -- 1/10 
Berada sekumpulan dengan Belgium dan England, tiada harapan tinggi diletakkan kepada pasukan dengan ranking dunia terendah dalam kumpulan ini yang membuat penampilan sulung di Piala Dunia. Panama tewas kesemua perlawanan termasuk tewas dengan jumlah jaringan besar kepada Belgium dan England. Gol pertama mereka di Piala Dunia ketika menentang England diraikan dengan begitu meriah. Mungkin terpaksa menanti lama untuk kembali semula ke pentas Piala Dunia.

------


COLOMBIA -- 7.5/10
Jika mengambil kira hakikat mereka tewas perlawanan pertama, pastinya menakjubkan bagaimana mereka berjaya memenangi kumpulan ini selepas tamat saingan peringkat kumpulan. Colombia dikejutkan oleh Jepun dalam perlawanan pertama. Bertemu Poland dalam perlawanan seterusnya, tidak sukar untuk menjangka nasib mereka akan bertambah buruk. Sebaliknya berlaku, mereka mengejutkan Poland dengan kemenangan selesa. Mereka mesti menang dalam perlawanan terakhir menentang Senegal untuk layak ke pusingan kalah mati dan mereka berjaya. Kebangkitan ini menunjukkan karakter hebat dalam pasukan Colombia.

JEPUN -- 7.5/10
Memiliki ranking dunia paling rendah dalam kumpulan, Jepun memulakan kempen dengan mengejutkan Colombia. Kemudian, Jepun berjaya mengikat Senegal untuk terus berada di puncak kumpulan. Memasuki perlawanan terakhir, Jepun begitu bersemangat tetapi ia tidak berlaku seperti yang diharapkan. Gawang mereka dibolosi dan mereka sekadar bertahan untuk memastikan gawang tidak dibolosi lagi. Jepun layak kerana memiliki jumlah kad kuning yang sedikit walaupun berkongsi mata, jumlah jaringan, dan jumlah bolos yang sama dengan Senegal. Walaupun layak dengan tuah sebegitu, pujian harus diberikan kepada Jepun yang melalui tiga perlawanan tanpa menerima banyak kad kuning.

SENEGAL -- 5.5/10
Boleh merasakan mereka bernasib malang untuk tersingkir selepas memulakan pertandingan dengan bergaya. Menang perlawanan pertama menentang Poland, Senegal kemudian seri dengan Jepun untuk berkongsi takhta kumpulan. Jika berjaya seri menentang Colombia dalam perlawanan terakhir, Senegal akan memenangi kumpulan dan diiringi oleh Colombia (Jepun tersingkir). Malang sekali mereka gagal menyamakan kedudukan selepas Colombia mendahului. Terpaksa akur untuk disingkirkan kerana menerima lebih banyak kad kuning berbanding Jepun. 

POLAND -- 2/10
Walau bagaimana sekalipun cara Poland melihat kempen edisi kali ini, ia satu kegagalan. Hanya juara kumpulan selayaknya untuk Poland dengan ranking dunia paling tinggi. Malangnya, Poland bermula dengan buruk apabila dikejutkan oleh Senegal. Mereka bertembung dengan Colombia (yang juga tewas perlawanan pertama) dalam perlawanan berikutnya. Mereka dibelasah oleh Colombia dan tersingkir. Kemenangan tipis menentang Jepun dalam perlawanan terakhir hanya sekadar sagu hati kerana Jepun juga hanya membiarkan Poland mengutip tiga mata.

------------------

Edisi ke-21 Piala Dunia menyaksikan beberapa kejutan besar berlaku. Daripada 8 kumpulan, hanya empat pasukan dengan ranking paling tinggi dalam setiap kumpulan berjaya memenangi kumpulan masing-masing: Uruguay (Kumpulan A), Perancis (C), Brazil (E), dan Belgium (G).

Portugal (Kumpulan B) dan Argentina (D) dengan ranking tertinggi dalam kumpulan sekadar menjadi naib juara. Argentina sangat bernasib baik kerana gol lewat menyelamatkan mereka daripada disingkirkan oleh Nigeria.

Jerman (Kumpulan F) dan Poland (H) yang berstatus pasukan terbaik dalam kumpulan telah tersingkir, malah mendapat tempat tercorot. Jerman meneruskan sumpahan juara dunia dari Eropah yang bermula pada edisi 2002 di Korea Selatan dan Jepun. 



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif