Welcome To My Life...

Saturday, June 30, 2018

Previu Pusingan Kedua Piala Dunia FIFA 2018

Assalamualaikum.

Previu Pusingan 16 Terbaik (Bahagian 1)

Separuh daripada 32 pasukan yang bertanding telah disingkirkan, bermakna tinggal 16 pasukan terbaik (dua dari setiap kumpulan) yang akan merebut hak menjadi juara dunia sukan bola sepak bagi edisi ke-21 Piala Dunia.

Selepas 48 perlawanan, 122 gol telah dijaringkan oleh 86 orang pemain (purata 2.54 gol dalam satu perlawanan). Harry Kane (England) mendahului carta penjaring dengan 5 gol, satu gol di depan Romelu Lukaku (Belgium) dan Cristiano Ronaldo (Portugal), dan dua gol di depan Denis Cheryshev (Rusia) dan Diego Costa (Sepanyol). Semua 32 pasukan berjaya menjaringkan sekurang-kurangnya satu gol. Hanya satu perlawanan saja menyaksikan tiada gol dijaringkan (Perancis vs Denmark, 0-0).


Berikut adalah senarai 16 pasukan yang layak dari setiap kumpulan (pemenang diikuti tempat kedua):

Kumpulan A -- Uruguay; Rusia 
Kumpulan B -- Sepanyol; Portugal
Kumpulan C -- Perancis; Denmark
Kumpulan D -- Croatia; Argentina
Kumpulan E -- Brazil; Switzerland
Kumpulan F -- Sweden; Mexico
Kumpulan G -- Belgium; England
Kumpulan H -- Colombia; Jepun

Daripada 16 pasukan ini: 10 pasukan dari benua Eropah (konfederasi UEFA), empat dari benua Amerika Selatan (CONMEBOL), satu dari benua Amerika Utara dan Caribbean (CONCACAF) yang diwakili Mexico, dan satu dari benua Asia (AFC) yang diwakili Jepun. Tiada pasukan Afrika yang akan mewakili benua itu. Berikut adalah analisis pasukan yang layak berbanding jumlah pasukan asal dari setiap konfederasi semasa pertandingan bermula:

AFC: 1 daripada 5
CAF: 0 daripada 5 
CONCACAF: 1 daripada 3
CONMEBOL: 4 daripada 5
UEFA: 10 daripada 14

Penguasaan pasukan-pasukan Eropah ini jelas membuktikan sebab kuota pasukan Eropah jauh lebih besar untuk sistem 32 pasukan dalam Piala Dunia. Jumlah pasukan ini akan dikembangkan kepada 48 pasukan dalam Piala Dunia edisi ke-23 pada tahun 2026 di tiga negara (Amerika Syarikat, Mexico, dan Kanada) 

Berikut adalah carta 16 pasukan yang bersaing di pusingan kedua (ranking dunia pada Oktober 2017 dalam kurungan):


Tiga pasukan iaitu Belgium, Croatia, dan Uruguay mengekalkan rekod kemenangan 100%. Belgium menjaringkan gol paling banyak di peringkat kumpulan (9 gol). Uruguay menjadi satu-satunya pasukan yang masih belum dibolosi sebarang gol tetapi sukar untuk mengukur kekuatan Uruguay yang hanya sekumpulan dengan Mesir, Arab Saudi, dan Rusia.

Terdapat empat pasukan lain yang hanya dibolosi satu gol iaitu Croatia, Brazil, Perancis, dan Denmark. Argentina (ranking ke-5 dunia ketika ini) yang bernasib baik untuk melepasi Kumpulan D menjadi salah satu daripada hanya dua pasukan yang layak ke pusingan 16 terbaik dengan perbezaan gol negatif (gol bolos melebihi gol yang dijaringkan). Jepun pula mengatasi Senegal dalam Kumpulan H kerana mempunyai jumlah kad kuning yang sedikit.

Melihat kepada carta di atas, Belgium, Croatia dan Brazil adalah tiga pilihan hangat. Namun Belgium dan Brazil akan bertembung seawal pusingan suku akhir (jika kedua-duanya menang) kerana berada dalam bracket yang sama.

Pertembungan antara pasukan akan dibicarakan lebih lanjut dalam Bahagian 2.




No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif