Welcome To My Life...

Saturday, June 30, 2018

Previu Pusingan Kedua Piala Dunia FIFA 2018 #2

Assalamualaikum.

Previu Pusingan 16 Terbaik (Bahagian 2)

16 pasukan akan merebut tempat ke pusingan lapan terbaik (suku akhir). Banyak kejutan berlaku menyebabkan beberapa pilihan utama gagal memenangi kumpulan dan meletakkan mereka dalam situasi sukar. Contohnya, Argentina terpaksa berdepan Perancis dalam pusingan kedua. Salah satu daripada dua pilihan utama pertandingan akan disingkirkan.

Berikut adalah carta pusingan kedua sehingga ke perlawanan akhir (tekan gambar untuk saiz besar):


Bracket sebelah kiri boleh dikatakan sangat sukar. Ia melibatkan Portugal (juara Euro 2016) dan tiga lagi pilihan hangat iaitu Perancis, Brazil, dan Belgium. Jika memenangi perlawanan masing-masing, Brazil akan bertembung dengan Belgium di suku akhir. Satu pertembungan yang pastinya sangat menarik antara dua pasukan yang sarat dengan bintang-bintang ternama.

Perancis pastinya mempunyai kelebihan berbanding Argentina. Lionel Messi sudah lama dikatakan mendukung Argentina (one-man team) dan magisnya pasti ditagih. Jika Portugal dan Argentina menang, dua pemain terbaik dunia yang sedang merebut Ballon d'Or, Cristiano Ronaldo dan Messi, akan bertembung di suku akhir. Walaupun ada peluang, kemungkinan kedua-dua pasukan menang adalah tipis.

Berikut adalah previu ringkas untuk lapan perlawanan pusingan kedua:

-----------

Bracket kiri

(1A-2B) Uruguay vs Portugal
Ranking dunia (Oktober '17): 17-3

Jika ranking dunia menjadi ukuran, pastinya Portugal mempunyai kelebihan. Juara Euro 2016 ini diterajui oleh Cristiano Ronaldo yang telah meledak 4 gol termasuk hatrik menentang Sepanyol. Namun harus diingat, Uruguay adalah satu daripada hanya tiga pasukan yang mempunyai rekod kemenangan 100% dan gawang mereka masih tidak dibolosi. Portugal pula sebenarnya hampir disingkirkan oleh Iran dalam perlawanan ketiga. Mampukah pertahanan ampuh Uruguay mengekang Cristiano Ronaldo?

---

(1C-2D) Perancis vs Argentina
Ranking dunia (Oktober '17): 7-4

Pertemuan awal antara dua pasukan yang berada dalam kedudukan 10 terbaik ranking dunia kerana kegagalan Argentina memenangi kumpulan. Perancis berjaya memenangi Kumpulan C tetapi tidak begitu meyakinkan. Perancis dan Argentina menjaringkan tiga gol dalam tiga perlawanan. Ketika pertahanan Perancis lebih utuh dengan hanya dibolosi satu gol, benteng Argentina telah ditembusi lima gol. Apa sekalipun keputusan perlawanan, salah seorang daripada Antoine Griezmann dan Lionel Messi akan tersingkir dari pertandingan.

---

(1E-2F) Brazil vs Mexico
Ranking dunia (Oktober '17): 2-16

Semua parameter menunjukkan kepada kemenangan Brazil. Bukan saja kerana ranking lebih tinggi tetapi juga aksi di Rusia. Brazil mengekalkan rekod bersih tanpa kalah (satu seri) sementara Mexico ditewaskan oleh Sweden dalam perlawanan terakhir kumpulan. Brazil mendominasi kesemua tiga perlawanan yang mereka lalui dengan sentuhan Coutinho membantu kemenangan Brazil dalam semua perlawanan mereka. Hanya keajaiban dapat membantu Mexico untuk menang.

---

(1G-2H) Belgium vs Jepun
Ranking dunia (Oktober '17): 5-44

Sangat berat sebelah. Berdasarkan carta 16 pasukan yang layak di atas, Belgium berada di tangga teratas dan Jepun di kedudukan ke-15. Besar kemungkinan Belgium akan menyerang bertubi-tubi dan Jepun terpaksa bertahan dan mengharapkan serangan kilat. Peluang Belgium untuk mara boleh dikatakan 95%. Jepun pasti berharap mereka dapat mengulangi kejutan ketika menentang Colombia dalam perlawanan pertama. Namun Belgium berada di puncak prestasi dengan Romelu Lukaku berada di tahap prestasi terbaik, begitu juga Kevin De Bruyne dan Eden Hazard.

------

Bracket kanan

(1B-2A) Sepanyol vs Rusia
Ranking dunia (Oktober '17): 8-65

Aneh sekali melihat Rusia berada di atas Sepanyol dalam carta 16 pasukan terbaik. Walaupun berada dalam kumpulan sukar, Sepanyol tidak meyakinkan apabila seri menentang Portugal dan Maghribi. Rusia pula garang menewaskan Arab Saudi dan Mesir sebelum kembali berpijak di bumi dengan kekalahan kepada Uruguay. Rusia akan mendapat sokongan padu daripada penyokong tuan rumah, dan pertahanan Sepanyol kelihatan begitu lemah. Sepanyol sudah dibolosi lima gol, rekod buruk yang dikongsi bersama Argentina.

---

(1D-2C) Croatia vs Denmark
Ranking dunia (Oktober '17): 18-19

Berdasarkan ranking dunia, peluang kedua-dua pasukan seimbang. Namun Croatia berada di kedudukan ke-2 dalam carta 16 pasukan terbaik di atas ketika Denmark hanya di tangga ke-14. Croatia mengejutkan apabila memenangi kumpulan yang turut melibatkan Argentina, malah mereka membelasah Argentina dalam perlawanan kedua. Denmark mungkin mengharapkan kekentalan pertahanan mereka yang hanya dibolosi satu gol, sama seperti Croatia. Peluang Croatia lebih cerah.

---

(1F-2E) Sweden vs Switzerland
Ranking dunia (Oktober '17): 25-11

Sangat mengejutkan untuk Sweden berada dalam perlawanan ini menentang Switzerland. Mereka menyingkirkan Jerman walaupun tewas kepada Jerman dalam perlawanan kedua. Switzerland telah meledak lima gol yang dijaringkan oleh lima pemain berbeza. Kemampuan serangan Switzerland akan menguji benteng Sweden. Gawang Switzerland berjaya dibolosi dalam semua perlawanan peringkat kumpulan.

---

(1H-2G) Colombia vs England
Ranking dunia (Oktober '17): 13-12

Peluang 50-50 untuk kedua-dua pasukan. England mempunyai kelebihan kerana dapat merehatkan pemain-pemain utama dalam perlawanan terakhir kerana telah layak selepas perlawanan kedua tamat. Moral dalam kem Colombia berada di tahap yang tinggi selepas bangkit daripada kekalahan menentang Jepun untuk membenam Poland dan kemudian Senegal. England pastinya lawan yang lebih mencabar dan Colombia akan kehilangan pemain kreatif jika James Rodriguez tidak berjaya pulih daripada kecederaan.

--------------

Ramalan perlawanan suku akhir:

Portugal vs Perancis
Brazil vs Belgium
Sepanyol vs Croatia
Sweden vs England



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif