Welcome To My Life...

Tuesday, July 10, 2018

Previu Separuh Akhir Piala Dunia FIFA 2018 #2

Assalamualaikum.

Previu Pusingan Separuh Akhir (Bahagian 2)


Hanya tinggal dua perlawanan sebelum juara dunia baru ditabalkan (penyandang juara sudah tersingkir). Antara empat pasukan ini, hanya Belgium berada dalam kelompok lima terbaik ranking dunia. Dua pasukan (England dan Croatia) berada di luar kelompok sepuluh terbaik (top 10). Dua pasukan terbaik daripada segi ranking dunia akan bertarung sesama sendiri.

Kedua-dua perlawanan ini antara bekas pemenang Piala Dunia (sekali) dengan pasukan yang tidak pernah memenangi Piala Dunia. Boleh dikatakan pemain dalam semua pasukan adalah generasi emas bagi negara mereka.


Berikut adalah previu ringkas untuk perlawanan separuh akhir.

-------------------------

Bracket kiri

(1C-1G) Perancis vs Belgium
Ranking dunia (7 Jun 2018): 7-3

20 tahun sudah berlalu sejak Perancis menjulang trofi keramat di tanah sendiri. Belgium pula belum pernah menang. Daripada segi serangan, Belgium lebih baik daripada Perancis. Belgium menang semua lima perlawanan setakat ini. Belgium juga menumbangkan Brazil yang memiliki pertahanan kental. Jentera serangan Perancis juga bukan calang-calang. Walaupun hanya tiga gol dijaringkan di peringkat kumpulan, Perancis membenam Argentina dengan empat gol diikuti menembusi benteng utuh Uruguay dengan dua gol.

Jangan terkejut jika perlawanan ini berakhir dengan jumlah jaringan besar (3-2 atau 4-3). Atau perlawanan ini mungkin juga berlarutan ke masa tambahan.

-----

Bracket kanan

(1C-2G) Croatia vs England
Ranking dunia (7 Jun 2018): 20-12

Dua pasukan yang telah melalui situasi masa tambahan. Croatia lebih penat kerana melalui detik getir penentuan sepakan penalti dua kali. Hakikat ini menunjukkan karakter pemain-pemain Croatia yang cekal dalam keadaan yang begitu mencabar. Jaringan gol mungkin dapat disaksikan dalam masa permainan sebenar. Namun tidak menghairankan jika perlawanan ini diheret ke penentuan sepakan penalti lagi. Croatia telah menjadi pasukan kedua yang menang penentuan sepakan penalti dua kali dalam satu edisi. Mampukah mereka melakukannya tiga kali berturut-turut dan menjadi pasukan pertama dalam sejarah yang berjaya?

England mahu menamatkan penantian 42 tahun sejak memenangi Piala Dunia tunggal ketika 'generasi emas' Croatia mahu memenangi trofi sulung mereka. Motivasi dalam kem kedua-dua pasukan berada di puncak.

-------------------------

Ramalan perlawanan akhir:

Belgium vs Croatia



Previu Separuh Akhir Piala Dunia FIFA 2018

Assalamualaikum.

Previu Pusingan Separuh Akhir (Bahagian 1)

Kekalahan Uruguay dan Brazil bermakna tiada lagi wakil dari benua lain di atas muka bumi yang akan mencabar dominasi pasukan dari benua Eropah. Empat pasukan Eropah akan berentap sesama sendiri. Separuh akhir Piala Dunia kali ini umpama separuh akhir pertandingan Euro.

Hanya dua trofi Piala Dunia yang pernah dimenangi oleh empat pasukan ini jika dicampurkan (England pada 1966, dan Perancis pada 1998). Jika Belgium menewaskan Perancis dan Croatia menewaskan England, sudah terjamin akan ada pasukan yang bakal memenangi Piala Dunia pertama mereka.

Berikut adalah carta empat pasukan yang masih berpeluang untuk memenangi trofi keramat ini selepas menempuhi lima perlawanan (ranking dunia pada Oktober 2017 dalam kurungan):


Belgium selayaknya berada di tangga pertama carta. Satu-satunya pasukan yang masih kekal dengan rekod kemenangan 100%, pasukan dengan jumlah gol terbanyak (14), dan perbezaan jaringan dan bolos terbesar (+9). Belgium juga tidak pernah melalui situasi masa tambahan (yang meletihkan) selain Perancis di tangga kedua. Daripada segi jumlah gol yang membolosi gawang, semua pasukan setara. Hanya England yang pernah tewas dalam edisi kali ini (kepada Belgium di peringkat kumpulan).

Dua pasukan di dua tangga teratas akan bertemu sesama sendiri untuk menentukan pasukan yang layak berentap dengan pemenang perlawanan Croatia-England.

Previu pertembungan antara pasukan akan disambung dalam Bahagian 2. 


Piala Dunia FIFA 2018 -- Suku Akhir

Assalamualaikum.

Berakhir sudah empat perlawanan suku akhir Piala Dunia FIFA 2018 di Rusia, edisi ke-21 pertandingan. Empat pasukan terakhir kini akan menentukan juara yang berhak.

Tiga daripada empat perlawanan berakhir tanpa memerlukan masa tambahan. Hanya Rusia-Croatia yang berlarutan sehingga ke penentuan sepakan penalti. Berikut adalah ulasan ringkas untuk semua perlawanan pusingan suku akhir.


URUGUAY 0-2 PERANCIS

Tanpa Edinson Cavani yang cedera ketika menewaskan Portugal, Uruguay adalah satu pasukan yang tumpul jentera serangannya. Dari awal pertandingan lagi, Uruguay bergantung kepada gandingan Luis Suarez dan Cavani. Tanpa Cavani, Suarez gagal mencetus inspirasi yang diperlukan. Barisan pertahanan Perancis tidak diuji dengan cukup. Antoine Griezmann menjadi watak penting. Sepakan percuma Griezmann ditanduk oleh Raphael Varane untuk gol pertama. Ledakan jarak jauh Griezmann ditampan Fernando Muslera ke gawang sendiri untuk membawa Perancis ke separuh akhir.

-----

BRAZIL 1-2 BELGIUM

Pertembungan antara dua pasukan terbaik yang tinggal selepas penyingkiran Jerman. Brazil tidak bernasib baik apabila Fernandinho menjaringkan gol sendiri berpunca daripada situasi sepakan sudut. Situasi Brazil semakin sukar apabila Belgium menggandakan kelebihan menerusi satu serangan kilat yang diinspirasikan oleh Romelu Lukaku dan disempurnakan oleh ledakan kencang daripada Kevin De Bruyne. Walaupun mendominasi permainan dan pemain gantian, Renato Augusto, merapatkan kedudukan menerusi tandukan hasil hantaran lambung Coutinho. Brazil bermain dengan baik, namun kecemerlangan Thibaut Courtois menafikan setiap serangan yang dilancarkan.

-----

SWEDEN 0-2 ENGLAND

Sweden lebih terkenal sebagai pasukan dengan pertahanan yang mantap. Walaupun barisan mereka seimbang di semua bahagian, tetapi jentera serangan mereka tidak setajam England. Ternyata England selayaknya menang dengan menguasai permainan (57%) dan berjaya menembusi keampuhan benteng Sweden. Harry Maguire menanduk sepakan penjuru Ashley Young untuk gol pertama. Dele Alli pula menanduk hantaran cantik Jesse Lingard untuk meneruskan misi "It's coming home". Perjalanan ini bagaikan mimpi bagi skuad England kerana mereka melakukan apa yang 'Generasi Emas' mereka tidak mampu lakukan sebelum ini.

-----

RUSIA 2-2 CROATIA (penalti 3-4)

Croatia menjadi hanya pasukan kedua dalam sejarah Piala Dunia (selain Argentina pada 1990) yang memenangi penentuan sepakan penalti dua kali dalam satu edisi. Kemenangan ini juga adalah yang kedua berturut-turut bagi Croatia beraksi lebih 120 minit di atas padang. Walaupun ini bermakna mereka tidak mampu membunuh permainan dalam masa sebenar, tetapi ia juga bermakna para pemain mereka mempunyai karakter dalam menghadapi tekanan yang tinggi, terutamanya penjaga gol Croatia, Danijel Subasic yang sekali lagi menjadi wira. 

----------------------

Jadual pusingan separuh akhir (waktu Malaysia).

Rabu (11 Julai)
Perancis vs Belgium (2 pagi)

Khamis (12 Julai)
Croatia vs England (2 pagi)

Previu dua perlawanan ini dalam entri akan datang.




Sunday, July 8, 2018

Tengkujuh

Assalamualaikum.

Seantero dunia kecoh dengan berita 12 remaja Thailand dan seorang jurulatih bola sepak yang terperangkap dalam Gua Tham Luang di Chiang Rai, Thailand sejak dua minggu lepas. Gua yang mereka masuki ketika hujan lebat telah dinaiki air dan membuatkan mereka tidak dapat keluar. 

Pasukan penyelam tentera laut Thailand dan pakar penyelam dari seluruh dunia telah memasuki kawasan tersebut untuk menghantar bantuan dan melakukan tinjauan. Berikut adalah pilihan cara untuk misi menyelamat.


Penulis teringat pengalaman masuk ke Gua Tempurung ketika cuti semester bersama rakan-rakan. Penulis dan rakan-rakan memilih pakej ekstrem di mana kami dibawa mengelilingi gua melalui jalan yang berliku dan penuh ranjau termasuklah ruang-ruang sempit dan gelap. Penulis yang fobia dengan ruang sempit masih ingat perasaan ketika itu. Perasaan takut akan dihempap gua yang runtuh dan tiada siapa yang akan dapat menyelamatkan.

Banjir di dalam gua menyukarkan lagi usaha membawa mangsa keluar. Jika mahu menebuk gua (rujuk gambar di atas), ia boleh memakan masa selama dua bulan. Pilihan ketiga pula adalah menanti musim monsun berakhir beberapa bulan lagi.

Kemas kini: Ketika entri ini ditulis, dua remaja lelaki telah berjaya dikeluarkan kerana air mulai surut. Misi menyelamat besar dimulakan pada tarikh 8 Julai 2018. 

Ujian yang diberikan Allah adalah sebagai iktibar untuk kita renungi. Allahuakbar.

Kemas kini #2: Sehingga tengah malam 8 Julai 2018, enam orang mangsa telah berjaya dikeluarkan dalam 'Misi Mustahil'. 



Friday, July 6, 2018

Previu Suku Akhir Piala Dunia FIFA 2018 #2

Assalamualaikum.

Menjelang perlawanan suku akhir antara lapan pasukan yang tinggal, kita akan lihat peluang antara pasukan. Sebelum itu, kita lihat dulu nasib-nasib pasukan pilihan di awal pertadingan.


Daripada 8 pilihan hangat semasa pertandingan bermula, empat telah tersingkir. Jerman menjadi satu-satunya pasukan yang ditendang di peringkat kumpulan walaupun berstatus juara bertahan. Sepanyol, Argentina, dan Portugal tersungkur di halangan seterusnya. 


Berikut adalah previu ringkas untuk empat perlawanan suku akhir:

------------------------

Bracket kiri

(1A-1C) Uruguay vs Perancis
Ranking dunia (7 Jun 2018): 14-7

Uruguay memiliki rekod pertahanan yang lebih baik berbanding Perancis, tetapi Perancis boleh dikatakan ujian sebenar yang pertama untuk benteng Uruguay. Mereka menjaringkan jumlah gol yang sama. Namun ketika Uruguay mengharapkan sentuhan magis daripada Luis Suarez dan Edinson Cavani, beban jaringan Perancis dikongsi oleh beberapa orang pemain. Barisan tengah Perancis mungkin akan mendominasi permainan.

---

(1E-1G) Brazil vs Belgium
Ranking dunia (7 Jun 2018): 2-3

Malang sekali dua pasukan dengan ranking dunia tertinggi (dan mungkin dua pasukan dengan permainan terbaik) perlu berentap seawal pusingan suku akhir. Brazil memiliki pertahanan yang mantap dengan hanya dibolosi satu gol. Namun lawannya bukan calang-calang. Belgium memiliki rekod serangan terbaik antara semua lapan pasukan dengan 12 gol telah dijaringkan. Perlawanan ini mungkin menjadi satu perlawanan terbuka yang menghiburkan, atau kedua-dua pasukan mengambil pendekatan selamat.

------

Bracket kanan

(2A-1D) Rusia vs Croatia
Ranking dunia (7 Jun 2018): 70-20

Rusia di ranking dunia terendah (46 tangga di bawah Sweden) antara lapan pasukan yang tinggal. Semangat tuan rumah mendokong Rusia mengejutkan Sepanyol di pusingan kedua. Croatia memiliki barisan pertahanan yang jauh lebih baik. Barisan Croatia juga sangat seimbang di semua bahagian. Apa yang tidak dimiliki Sepanyol mungkin dimiliki Croatia dan itu akan menyingkirkan tuan rumah daripada pertandingan ini.

---

(1F-2G) Sweden vs England
Ranking dunia (7 Jun 2018): 24-12

Perlawanan yang seimbang. Sweden mengejutkan semua pemerhati apabila memenangi Kumpulan F dan mereka masih lagi bertahan. Kunci kemenangan Sweden adalah disiplin pertahanan. Dan bukan itu saja, Sweden juga memiliki barisan yang kekuatannya seimbang di semua bahagian. England dikatakan semakin positif melihat satu demi satu pasukan pilihan disingkirkan. Namun, impian mereka untuk membawa pulang Piala Dunia selepas 52 tahun mungkin tidak kesampaian, sekali lagi.

--------------------------

Ramalan perlawanan separuh akhir:

Uruguay vs Belgium
Croatia vs Sweden 



Wednesday, July 4, 2018

Previu Suku Akhir Piala Dunia FIFA 2018

Assalamualaikum.

Previu Pusingan Suku Akhir (Bahagian 1)

Selepas tamat lapan perlawanan pusingan kedua, tinggallah lapan pasukan yang akan merebut piala keagungan sukan bola sepak. 

Tiada lagi pasukan daripada Kumpulan B dan Kumpulan H. Manakala Kumpulan A dan Kumpulan G masih mempunyai dua wakil. Daripada 8 pasukan ini: enam pasukan dari benua Eropah (konfederasi UEFA) dan baki dua lagi dari benua Amerika Selatan (CONMEBOL). Berikut adalah analisis pasukan yang layak berbanding jumlah pasukan asal dari setiap konfederasi semasa pertandingan bermula:

AFC: 0 daripada 5
CAF: 0 daripada 5 
CONCACAF: 0 daripada 3
CONMEBOL: 2 daripada 5
UEFA: 6 daripada 14


Daripada carta 10 pasukan terbaik ranking dunia, hanya TIGA pasukan yang tinggal antara lapan pasukan di suku akhir. Chile (ranking 9) langsung tidak layak. Pasukan nombor satu dunia dan penyandang juara, Jerman, mengetuai pasukan-pasukan dalam kelompok 10 terbaik yang tersingkir diikuti Portugal, Argentina, Switzerland, Poland, dan Sepanyol. 

Berikut adalah carta lapan pasukan yang masih tinggal (ranking dunia pada Oktober 2017 dalam kurungan):


Hanya Belgium dan Uruguay masih kekal dengan rekod kemenangan 100%. Tiga pasukan: Croatia, England dan Rusia terpaksa mengharungi masa tambahan dan penentuan sepakan penalti untuk layak. Croatia dan Rusia akan berentap sesama sendiri untuk merebut slot ke separuh akhir.

Belgium memiliki jumlah jaringan terbesar dengan 12 gol, diikuti oleh England dan Rusia (9). Uruguay dan Brazil memiliki rekod pertahanan terbaik (hanya dibolosi satu gol), diikuti oleh Croatia dan Sweden (2 gol). Uruguay, Brazil dan Sweden berkongsi rekod tidak dibolosi dalam 75% perlawanan mereka (3 daripada 4). 

Belgium juga memiliki jurang terbesar antara gol yang dijaringkan dan gol yang membolosi gawang mereka (+8). Itulah sebabnya Belgium berada di takhta carta.

Previu pertembungan antara pasukan akan disambung dalam Bahagian 2. 



Piala Dunia FIFA 2018 -- Pusingan Kedua

Assalamualaikum.

16 pasukan telah beradu kekuatan untuk merebut lapan slot di pusingan suku akhir. Beberapa keputusan menarik dapat disaksikan. Pilihan-pilihan utama terus mara kecuali....

Berikut adalah ulasan ringkas untuk setiap perlawanan dalam pusingan kedua.


URUGUAY 2-1 PORTUGAL

Uruguay mengekalkan rekod pertahanan baik walaupun dibolosi buat pertama kali selepas empat perlawanan. Dua gol Edinson Cavani cukup untuk menyingkirkan juara Euro 2016. Portugal menguasai perlawanan dengan 62% penguasaan bola, 20 percubaan ke arah gol dan 10 sepakan penjuru tetapi tidak dapat diterjemahkan kepada kemenangan. Keampuhan benteng Uruguay mengecewakan Portugal dan Cristiano Ronaldo.

-----

PERANCIS 4-3 ARGENTINA

Perlawanan dengan jumlah jaringan terbanyak untuk pusingan kedua. Terikat 1-1 ketika rehat separuh masa, Argentina mendahului di awal babak kedua tetapi Perancis berjaya bangkit dengan rembatan cantik Benjamin Pavard dan dua gol daripada Kylian Mbappe. Argentina mencatat 59% penguasaan bola. Bahagian serangan Perancis bukanlah terlalu hebat tetapi sebenarnya pertahanan Argentina yang terlalu longgar. Lionel Messi pastinya kecewa kerana pasukannya tidak dapat membantu Messi mencapai impian. 

-----

BRAZIL 2-0 MEXICO

Perlawanan yang seimbang. Brazil membuktikan status mereka sebagai pilihan utama selepas satu demi satu pilihan tersingkir. Kemenangan ini adalah kemenangan 2-0 ketiga berturut-turut untuk skuad bimbingan Tite selepas terikat satu sama dengan Switzerland dalam perlawanan pembukaan. Neymar membuktikan dialah ayam tambatan Brazil dengan meledak satu gol dan mencipta gol kedua jaringan Roberto Firmino. 

-----

BELGIUM 3-2 JEPUN

Belgium menjadi hanya satu daripada dua pasukan (selain Uruguay) yang masih kekal dengan rekod kemenangan 100%. Dan cara mereka melakukannya menunjukkan karakter sang juara. Selepas babak pertama tamat tanpa sebarang jaringan, Jepun menyentak semangat Belgium dengan dua gol jaringan Genki Haraguchi dan Takashi Inui. 48 tahun berlalu sejak Jerman bangkit dari ketinggalan 2-0 dan memenangi perlawanan pusingan kalah mati dalam Piala Dunia. Belgium berjaya bangkit dengan tandukan Jan Vertonghen serta Marouane Fellaini untuk mengikat kedudukan. Serangan kilat yang disempurnakan Nacer Chadli dalam masa kecederaan berjaya mengelak masa tambahan dan membawa Belgium bertemu Brazil. 

-----

SEPANYOL 1-1 RUSIA (penalti 3-4)

Bekas juara edisi 2010, Sepanyol tersungkur walaupun mendominasi 74% penguasaan bola dan melakukan 1029 hantaran bola (hampir lima kali ganda berbanding hantaran Rusia). Namun, ketiadaan idea kreatif membantutkan serangan Sepanyol yang gagal menembusi benteng Rusia. Hakikatnya, kedua-dua gol dalam perlawanan ini dijaringkan oleh pemain Rusia. Gol Sepanyol berpunca daripada jaringan sendiri Sergei Ignashevich. Tuan rumah meneruskan kisah pari-pari mereka.

-----

CROATIA 1-1 DENMARK (penalti 3-2)

Croatia gagal mencatat kemenangan keempat berturut-turut. Croatia tersentak apabila Mathias Jorgensen meletakkan Denmark di depan seawal minit pertama. Selepas jaringan penyamaan daripada Mario Mandzukic, kedua-dua pasukan gagal menambah jaringan sehingga tamat masa tambahan. Croatia sebenarnya hampir dapat mengelak penentuan sepakan penalti tetapi Luka Modric gagal menyempurnakan sepakan penalti pada minit terakhir masa tambahan. Kasper Schmeichel meneruskan kecemerlangan dengan menyelamatkan dua lagi sepakan penalti. Namun kecemerlangan Danijel Subasic menghalang tiga sepakan penalti Denmark membawa Croatia melangkah semakin hampir untuk mengulangi pencapaian terbaik mereka mara ke separuh akhir dalam edisi 1998.

-----

SWEDEN 1-0 SWITZERLAND

Sweden menjadi salah satu daripada hanya tiga pasukan yang tidak dibolosi dalam tiga per empat perlawanan (selain Brazil dan Uruguay). Barisan pertahanan Sweden hanya ditembusi dua kali dalam perlawanan menentang juara 2014, Jerman di peringkat kumpulan. 64% penguasaan bola Switzerland tidak membantu mereka ketika ledakan Emil Forsberg membantu Sweden untuk membuat perhitungan dengan England.

-----

COLOMBIA 1-1 ENGLAND (penalti 3-4)

Perlawanan yang seimbang. Harry Kane meledak gol keenam peribadi dalam edisi kali ini untuk mengukuhkan kedudukan di takhta penjaring terbanyak. Kane menyempurnakan sepakan penalti untuk satu lagi gol mudah. Colombia terpaksa menanti sehingga masa kecederaan untuk mengheret England ke masa tambahan. Yerry Mina menjaringkan gol menerusi tandukan dalam perlawanan ketiga berturut-turut. England yang tidak bernasib baik dalam penentuan sepakan penalti dalam edisi-edisi yang lalu mengubah sejarah mereka dengan mencatat kemenangan kali pertama.

-------------

Empat perlawanan suku akhir yang ditunggu-tunggu para peminat bola sepak di seluruh dunia. Jadual pusingan suku akhir (waktu Malaysia).

Jumaat (6 Julai)
Uruguay vs Perancis (10 malam)

Sabtu (7 Julai)
Brazil vs Belgium (2 pagi)
Sweden vs England (10 malam)

Ahad (8 Julai)
Rusia vs Croatia (2 pagi)

Previu semua perlawanan dalam entri akan datang.



Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif