Welcome To My Life...

Thursday, August 16, 2018

Sukan Asia 2018 - Harimau Muda Garang

Assalamualaikum.

Benar, ia hanyalah perlawanan pertama. Dan benar juga, ia masih terlalu awal. Namun, pujian harus diberikan kepada pasukan bola sepak bawah-23 tahun negara yang memulakan kempen Sukan Asia dengan kemenangan penting 3-1 mengatasi Kyrgyzstan.

Tanpa Azam Azih yang tidak dilepaskan oleh persatuan bola sepak negeri Pahang (pentingkan diri dan tak patriotik!), Ong Kim Swee menurunkan barisan kegemarannya dalam formasi kegemaran 3-4-3. Haziq Nadzli mengawal gawang dengan dilindungi oleh bek bertiga Dominic Tan, Irfan Zakaria dan Adam Nor Azlin. Baddrol Bakhtiar dan Nik Akif Syahiran mengawal jentera tengah dengan diapit oleh bek sayap Syazwan Andik dan Rizal Ghazali di kiri dan kanan. Trio sensasi SAS -- Syafiq Ahmad, Akhyar Rashid, Safawi Rasid -- membentuk gandingan serangan. 

Malaysia bermain dengan baik dalam babak pertama. Serangan demi serangan diatur ke kubu lawan dengan kawalan bola yang tenang dan mantap. Gol yang dicari-cari akhirnya terhasil apabila kelincahan Akhyar memerangkap pertahanan lawan. Akhyar dijatuhkan dalam kotak penalti, dan Safawi menyempurnakan sepakan penalti itu walaupun bola terkena tiang gol terlebih dahulu.

Babak pertama tamat dengan Malaysia berada di depan. Malaysia memulakan babak kedua dengan perlahan. Kyrgyzstan dibenarkan untuk mengawal bola dan mencatur gerakan demi gerakan ke kubu Malaysia. Akhirnya, gawang Malaysia bocor apabila hantaran silang dari sebelah kanan disambut dengan tandukan untuk menewaskan Haziq.

Malaysia perlu bangkit untuk memastikan laluan lebih selesa sebelum bertemu Korea Selatan. Gandingan kombo Safawi-Akhyar terus menikam Kyrgyzstan. Kali ini Safawi bertukar membuat bantuan gol dengan hantaran silang rendah yang disambut dengan rembatan kencang oleh Akhyar. Ternyata bintang muda Kedah ini sedang dalam laluan menjadi legenda bola sepak Malaysia.

Safawi terus menjadi nadi serangan negara apabila mengetuai serangan kilat yang meletakkan Malaysia dalam kedudukan selesa. Hantaran lintang Safawi ditanduk oleh Syafiq Ahmad untuk memastikan tiga mata penuh milik Malaysia.

Perlawanan selepas ini lebih sukar. Korea Selatan memberi amaran kepada Malaysia dengan membelasah Bahrain 6-0. Son Heung-Min hanya berada di bangku simpanan. Sama ada khidmat Son akan digunakan menentang Malaysia akan terjawab nanti. Anak didik Ong Kim Swee memburu penghormatan di pentas tertinggi benua Asia dan ini masanya untuk mereka membalas dendam kepada Korea Selatan dalam perlawanan suku akhir Kejohanan AFC B-23 awal tahun ini. 

Salam perjuangan. 



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif