Welcome To My Life...

Saturday, February 27, 2021

Undian Selesai

Assalamualaikum.

Undian pusingan 16 terbaik untuk Liga Europa telah berlangsung semalam di Switzerland. Setiap pasukan telah mengetahui lawan yang akan dihadapi mereka. 

Berikut adalah lapan perlawanan di pusingan 16 terbaik:

Ajax vs Young Boys
Dynamo Kyiv vs Villarreal
Roma vs Shakhtar Donetsk
Olympiacos vs Arsenal
Dinamo Zagreb vs Tottenham
Manchester United vs AC Milan
Slavia Prague vs Rangers
Granada vs Molde

Pasukan kegemaran saya, Manchester United, yang berada di tempat kedua Liga Perdana Inggeris telah diundi menentang pasukan di tangga kedua Serie A Itali, AC Milan. Zlatan Ibrahimovic akan kembali menentang bekas majikannya. Pertemuan dua pasukan yang boleh dikatakan pencabar utama untuk muncul juara.

Slavia Prague yang menyingkirkan Leicester City akan menentang kelab Scotland, Rangers yang dibimbing oleh lagenda Liverpool, Steven Gerrard. Tottenham yang membelasah lawannya secara agregat dalam pusingan sebelum ini akan berdepan lawan dari Croatia.

Satu lagi kelab EPL, Arsenal pula akan menentang lawan dari Greece. Kelab-kelab EPL dijangka akan dapat melayakkan diri ke pusingan suku akhir. 

Perlawanan kedua timbal balas bagi pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara Eropah akan bersambung pada 10-11 Mac dan kemudian 17-18 Mac. Lapan pasukan terbaik yang mara ke suku akhir akan diketahui selepasnya. 

Ciao!



Friday, February 26, 2021

Layak

Assalamualaikum.

Awal pagi tadi (waktu Malaysia), Manchester United seri 0-0 dengan Real Sociedad di Old Trafford. Mikel Oyarzabal gagal menjaringkan sepakan penalti untuk Sociedad dalam separuh masa pertama. Manchester United yang menang perlawanan pertama layak ke pusingan 16 terbaik Liga Europa dengan agregat 4-0.

Dengan kedudukan agregat yang selesa, pengurus Ole Gunnar Solksjaer mengeluarkan pemain-pemain utama di separuh masa kedua untuk persediaan menentang Chelsea dalam saingan liga domestik hujung minggu ini. Pemain muda Amad Diallo dan Shola Shoretire mendapat minit permainan yang berharga.

Sekitar perlawanan lain, jaringan lewat Pierre-Emerick Aubameyang membantu Arsenal mara. Selepas seri 1-1 dalam perlawanan pertama, kedudukan seri 2-2 memihak Benfica kerana peraturan gol di tempat lawan. Arsenal layak dengan agregat 4-3.

Lebih awal, Tottenham membelasah Wolfsberger AC 4-0 di gelanggang sendiri untuk kemenangan agregat 8-1. Ajax membenam Lille 2-1 di kubu mereka untuk mara dengan agregat 4-2. AC Milan juga layak walaupun hanya mampu seri 1-1 di tempat mereka sendiri. Agregat 3-3 memihak AC Milan kerana mereka meledak dua gol di tempat lawan.

AS Roma menyingkirkan Braga dengan agregat 5-1. Malang bagi satu lagi kelab Liga Perdana Inggeris, Leicester City yang berada di top 3 liga domestik tetapi dikejutkan oleh kelab Republik Czech, Slavia Prague. Leicester kalah di gelanggang mereka 2-0 selepas seri 0-0 di tempat lawan.

Granada mencipta satu lagi kejutan dengan menewaskan kelab Itali, Napoli 3-2 secara agregat.

Semua 16 kelab yang layak akan menanti undian untuk pusingan Liga Europa berikutnya yang akan dilangsungkan serentak dengan majlis undian pusingan suku akhir Liga Juara-Juara Eropah.

Ciao!


Thursday, February 25, 2021

Seperti Dijangka

Assalamualaikum.

Dua perlawanan terakhir untuk perlawanan pertama timbal balas bagi pusingan kedua (16 terbaik) berlangsung awal pagi tadi (waktu Malaysia).

Di Itali, tuan rumah terpaksa akur tewas tipis kepada jaguh dari Sepanyol. Kad merah untuk Remo Freuler seawal minit ke-17 tidak membantu Atalanta. Namun, Real Madrid terpaksa menanti sehingga lewat permainan sebelum menjaringkan gol kemenangan.

Walaupun mencatat 19 percubaan ke arah gol dengan empat daripadanya tepat ke sasaran, hanya gol cantik Ferland Mendy dari luar kotak penalti yang memisahkan kedua-dua pasukan. Real Madrid pasti lega membawa bekalan satu gol di tempat lawan.

Di Jerman pula, Manchester City meneruskan rentak cemerlang mereka dengan satu lagi kemenangan. Joao Cancelo dan Bernardo Silva menjadi nadi kemenangan. Hantaran lambung Cancelo disudahkan oleh Bernardo di far post untuk gol pertama. Hantaran silang Cancelo sekali lagi mencetuskan kekacauan untuk gol kedua. 

Kali ini, Bernardo menghantar bola ke tengah kawasan enam ela dan Gabriel Jesus menyempurnakan dengan baik. Dua gol di tempat lawan pastinya berharga untuk Manchester City ketika prestasi semasa mereka menyukarkan Monchengladbach untuk mencipta kebangkitan.

---------

Selepas lengkap lapan perlawanan pertama, hampir semua pemenang di peringkat kumpulan mencatat kemenangan di tempat lawan. Juventus menjadi satu-satunya pasukan pemenang kumpulan yang tumbang apabila dikalahkan oleh Porto. PSG dan Bayern menjadi dua pasukan dengan bekalan selesa empat gol di tempat lawan dan margin tiga gol.

Masih ada satu lagi perlawanan untuk kita melihat kebangkitan. Adakah kita akan melihat La Remontada kedua daripada Barcelona menetang PSG? Mampukah Cristiano Ronaldo mencetuskan satu lagi kebangkitan yang terkenal?

Semuanya akan terjawab tidak lama lagi.

Ciao!



Peluang Cerah

Assalamualaikum.

Awal pagi Jumaat ini, pasukan-pasukan yang bertanding dalam Liga Europa akan bersaing dalam perlawanan kedua (format timbal balas) untuk pusingan 32 terbaik.

Ini adalah entri yang tertangguh. Entri ini sepatutnya saya tulis minggu lepas.

Pasukan kegemaran saya, Manchester United mencatat kemenangan selesa 4-0 menumbangkan Real Sociedad di gelanggang lawan di Sepanyol. Dalam perlawanan yang sangat berat sebelah itu, Manchester United merekodkan 13 percubaan ke arah gol berbalas lapan, dengan 10 daripadanya tepat ke sasaran. Bak kata pengulas televisyen, Manchester United seharusnya menang dengan margin yang lebih besar! 

Sayangnya, penyudah barisan depan Manchester United tidak setajam yang diharapkan dan mensia-siakan beberapa peluang yang selayaknya berada dalam jumlah jaringan. Bukanlah tamak, tetapi 4-0 tidak menggambarkan situasi di padang.

Manchester United melancarkan serangan bertali arus ke gawang Real Sociedad dan mereka tidak berhenti walaupun sudah mendahului dengan dua dan tiga gol. Mereka begitu lapar! Satu ciri yang begitu sinonim dengan pasukan Manchester United ketika di bawah bimbingan pengurus lagenda, Alex Ferguson.

Saya boleh katakan, itu adalah perlawanan terbaik Manchester United yang saya tonton untuk satu tempoh yang lama. Dan saya sangat-sangat berpuas hati dapat menonton perlawanan tersebut.

Dua jaringan Bruno 'Magnifico' Fernandes dan masing-masing satu daripada Marcus Rashford dan Daniel James memastikan Manchester United membawa bekalan selesa untuk perlawanan kedua di kubu sendiri.

Dan satu hal yang sangat menyenangkan saya: pemain muda Amad Diallo diberikan minit permainan oleh pengurus Ole Gunnar Solksjaer. Cuma Ole tidak memberikan peluang kepada Diallo lebih awal ketika permainan sudah pun selamat.

Diharapkan Ole akan memberikan ruang dan peluang kepada pemain muda dengan kedudukan agregat sudah pun selesa. Dijangka Manchester United tidak akan menghadapi masalah untuk menewaskan Sociedad buat kali kedua berturut-turut. 

Ciao!



Wednesday, February 24, 2021

Kelebihan

Assalamualaikum.

Dua lagi perlawanan pertama bagi pusingan kedua (enam belas terbaik) bagi saingan Liga Juara-Juara Eropah berlangsung awal pagi tadi (waktu Malaysia).

Dan dua lagi pasukan yang bertandang sebagai pasukan pelawat mencatat kemenangan dalam pusingan dengan format timbal balas ini. Untuk rekod, pasukan pelawat dalam perlawanan pertama adalah pasukan-pasukan yang menjadi lapan pemenang setiap kumpulan. Manakala pasukan tuan rumah pula merupakan pasukan di tempat kedua setiap kumpulan.

Di ibu kota Sepanyol, pendahulu La Liga, Atletico Madrid tumbang kepada pasukan Chelsea yang kini berada di tangga kelima Liga Perdana Inggeris. Jaringan tunggal menarik daripada Olivier Giroud di babak kedua memberi kelebihan tipis untuk Chelsea menanti kunjungan Atletico nanti. Satu gol di tempat lawan yang berharga.

Lazio pula kecundang di Itali. Layu berdepan dengan juara bertahan yang baru ditabalkan menjadi juara dunia. Empat gol yang dijaringkan oleh Robert Lewandowski, Jamal Musiala, Leroy Sane dan gol sendiri Francesco Acerbi menjadi bekalan selesa untuk Bayern Munich dalam perlawanan kedua. 

Saya tertarik dengan keputusan berani jurulatih Bayern iaitu Hans Flick untuk meletakkan Musiala yang baru berusia 18 tahun dalam kesebelasan utama bersama deretan bintang lain. Ternyata Musiala membalas kepercayaan itu dengan satu gol. Empat gol di tempat lawan. Defisit tiga gol. Hanya keajaiban yang dapat membantu Lazio untuk mengatasi Bayern dan mara ke pusingan suku akhir.

-------

Dua perlawanan terakhir bagi pusingan kedua akan berlansung awal pagi esok (waktu Malaysia) untuk melengkapkan lapan perlawanan.

Atalanta vs Real Madrid
Borussia Monchengladbach vs Manchester City

Saya menjangkakan kedua-dua pemenang kumpulan yang bermain sebagai pelawat akan menang juga malam ini. Sukar untuk Monchengladbach mengatasi Manchester City yang berada dalam prestasi dominan dalam saingan liga domestik pada ketika ini.

Ciao!



Thursday, February 18, 2021

Kejutan

Assalamualaikum.

Dua lagi perlawanan pusingan kedua Liga Juara-Juara Eropah berlangsung awal pagi tadi. 

Di Portugal, tuan rumah mencipta kejutan apabila menewaskan pasukan gergasi Serie A Itali, Juventus, yang diketuai oleh pemain handalan dunia, Cristiano Ronaldo. Dua gol dijaringkan di awal kedua-dua babak memberikan kelebihan untuk Porto. Ternyata Juventus tidak bersedia di awal separuh masa.

Apabila Porto meledak gol kedua, Cristiano Ronaldo menunjukkan isyarat 'satu' dengan jari telunjuk kepada rakan-rakan sepasukannya sebagai tanda mereka memerlukan satu gol untuk menghidupkan peluang. Dan 'gol di tempat lawan' emas yang dicari-cari itu berjaya dijaringkan oleh Federico Chiesa di hujung babak kedua.

Satu gol di tempat lawan ini mungkin penting untuk Juventus melangkah ke pusingan seterusnya. 

Sevilla tewas tipis di Sepanyol dalam satu lagi perlawanan yang berlangsung serentak. Pemenang Kumpulan F, Borussia Dortmund, menjaringkan tiga gol di antara dua gol tuan rumah. Ayam tambatan Dortmund yang juga pemenang anugerah Golden Boy 2020, Erling Haaland yang kini berusia 21 tahun gagal dikekang apabila meledak dua gol dan juga satu bantuan gol. 

Kecemerlangan Haaland ini membantu Dortmund mendapat tiga gol di tempat lawan walaupun hanya membawa perbezaan satu gol untuk beraksi di gelanggang sendiri nanti.

-------

Minggu depan, empat lagi perlawanan pertama bagi pusingan kedua akan dijalankan.

Atletico Madrid vs Chelsea
Lazio vs Bayern Munich
Atalanta vs Real Madrid
Borussia Monchengladbach vs Manchester City

Pertembungan Atletico menentang Chelsea pastinya yang paling mendapat perhatian kerana Atletico merupakan pendahulu La Liga Sepanyol ketika ini. Chelsea pula sedang berada dalam prestasi cemerlang sejak dipimpin oleh pengurus baru, Thomas Tuchel.

Lazio pastinya lawan yang mudah bagi Bayern. Begitu juga Monchengladbach memiliki peluang tipis untuk berdepan Manchester City yang sedang gemilang dalam saingan Liga Perdana Inggeris. Atalanta mempunyai peluang yang sedikit cerah jika Real Madrid tidak beraksi baik.

Namun, pusingan kedua ini menggunakan format timbal balas. Keputusan perlawanan pertama ini belum menjadi pemutus tetapi kelebihan jaringan di tempat lawan akan menjadi penentu siapa pemenang jika kedua-dua pasukan terikat selepas beraksi dalam dua perlawanan. 

Seperti kata-kata yang terkenal, bola sepak itu bulat dan dalam permainan bola sepak, apa-apa saja boleh berlaku. 

Ciao!



Wednesday, February 17, 2021

Kembali

Assalamualaikum.

Dah lama rasanya tak menulis sejak mula latihan housemanship di Kangar.

Seperti biasa, saya akan menulis satu hal yang begitu dekat dengan saya. Bola sepak.

Liga Juara-Juara Eropah, pusingan kedua (16 terbaik). Perlawanan yang pertama. Dua perlawanan pertama berlangsung awal pagi tadi. 

Di Camp Nou, tuan rumah Barcelona dijinakkan di tempat sendiri oleh Paris Saint-Germain yang dibimbing oleh Mauricio Pochettino. Barcelona mendahului menerusi sepakan penalti bintang sensasi mereka, Lionel Messi. Namun kebangkitan PSG sukar dikekang.

Hatrik bintang muda Perancis, Kylian Mbappe, dan jaringan Moise Kean memberikan 4 gol di tempat lawan dan jurang tiga gol untuk dibawa ke perlawanan kedua di gelanggang sendiri. Satu defisit besar yang perlu diatasi oleh Barcelona. Sejarah 'La Remontada' pada tahun 2017 terbayang-bayang ketika berdepan lawan yang sama. Secara realistik, kali ini keajaiban begitu mungkin sukar berlaku.

Dalam satu lagi perlawanan di Jerman, tuan rumah tewas juga. Jaringan Mohamed Salah dan Sadio Mane dalam separuh masa kedua cukup untuk Liverpool mengatasi Leipzig. Walaupun prestasi Liverpool terumbang-ambing dalam saingan domestik, kejayaan menjaringkan dua gol di tempat lawan meletakkan kedudukan mereka kukuh untuk mara ke pusingan suku akhir. Namun dengan prestasi semasa, sukar untuk membayangkan Liverpool dapat mara lebih jauh.

Dua perlawanan lagi akan berlangsung awal pagi esok:
Porto vs Juventus
Sevilla vs Borussia Dortmund

Secara peribadi, saya melihat dua pasukan pelawat akan menang juga malam ini. Sama-sama kita saksikan keputusan.

Ciao!


Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif