Welcome To My Life...

Monday, October 15, 2018

Anak Muda Yang Menggegar Dunia

Assalamualaikum.

Untuk rekod, Malaysia tidak pernah memenangi sebarang pingat emas di pentas Sukan Olimpik sejak ia mula diadakan. Namun di bumi Argentina, Malaysia berjaya merangkul dua pingat emas untuk Sukan Olimpik Remaja.

Youth Olympic Games 2018, Buenos Aires.

----------

GOH JIN WEI


Bagi peminat setia sukan badminton tanah air, nama Goh Jin Wei tidak perlu diperkenalkan lagi. Pemain yang berusia 18 tahun dan dilahirkan di Bukit Mertajam ini merupakan juara perseorangan wanita remaja dunia pada tahun 2015 ketika edisi itu dilangsungkan di Lima, Peru. Ketika itu Jin Wei baru berusia 15 tahun. Kemudian pada usia 17 tahun, Jin Wei memenangi pingat emas Sukan SEA di depan penyokong sendiri.

Kali ini di Buenos Aires, Jin Wei menewaskan pilihan utama dari Thailand, Phittayaporn Chaiwan, dalam pertarungan tiga set di peringkat separuh akhir. Jin Wei bangkit daripada kekalahan set pertama dalam perlawanan tersebut. Dan Jin Wei melakukannya sekali lagi di pentas final. Tewas set pertama, Jin Wei bangkit dalam dua set berikutnya untuk menewaskan pemain China, Wang Zhiyi. 

Satu pencapaian membanggakan untuk Jin Wei kerana menjadi pemain badminton pertama memenangi gelaran juara remaja dunia dan pingat emas Sukan Olimpik Remaja. Bumi Amerika Selatan sekali lagi menjadi medan buruan yang sempurna buat pewaris takhta ratu badminton negara ini. Tahniah Goh Jin Wei!

------

PASUKAN HOKI 5 SEBELAH



Anak didik Wallace Tan membuat kejtuan dalam penampilan pertama skuad hoki di pentas Sukan Olimpik Remaja. Dengan format lima sebelah dan 10 minit permainan untuk separuh masa, pasukan hoki negara menewaskan Zambia 7-4 dalam perlawanan separuh akhir dan kemudian bangkit daripada ketinggalan 1-2 di separuh masa untuk meledak tiga gol dalam separuh masa kedua dan sekali gus membenam India 4-2 untuk mencipta sejarah.

Ketika abang-abang mereka juga beraksi cemerlang dengan memenangi pingat perak Sukan Asia di Indonesia tahun ini, pasukan bawah 18 tahun ini melangkah ke tahap lebih tinggi untuk bergelar juara Olimpik remaja. Pemain negara, Akhimullah Anuar juga menjadi penjaring terbanyak pertandingan dengan meledak 21 gol. 

Jika Akhimullah yang berusia 18 tahun dan rakan-rakannya dapat terus mengasah kemahiran mereka, tidak mustahil mereka ini akan mengetuai cabaran Malaysia di pentas Olimpik musim panas di Tokyo 2020. 

------------

Kejayaan ini tidak datang dengan mudah. Kita berjaya kerana kita pernah berani bermimpi dan berusaha untuk mencapai impian tersebut. Tahniah Goh Jin Wei dan pasukan hoki lima sebelah lelaki. Anda semua wira dan wirawati kami. 



Saturday, October 13, 2018

Sejarah Tercipta di Colombo

Assalamualaikum.

Bukan di Kuala Lumpur, ibu kota ibu pertiwi yang kita cintai. Tapi di Colombo, ibu kota Sri Lanka. Sejarah baru tercipta dalam buku rekod bola sepak Malaysia apabila Mohamadou Sumareh masuk sebagai pemain gantian untuk menjadi pemain naturalisasi pertama pasukan bola sepak Malaysia yang lahir di luar Malaysia.

Dilahirkan di Gambia dan berusia 27 tahun, Sumareh tidak mengecewakan!

Keputusan masa penuh: Sri Lanka 1-4 Malaysia

Malaysia mencatat kemenangan keempat berturut-turut dalam perlawanan antarabangsa selepas menewaskan Bhutan 7-0 pada bulan April, Fiji 1-0 pada bulan Julai dan Kemboja 3-1 pada bulan September lepas. Tanpa kelibat beberapa pemain utama yang masih sibuk dengan aksi Piala Malaysia terutamanya dari pasukan Johor Darul Takzim dan Perak, ketua jurulatih Tan Cheng Hoe menurunkan kesebelasan eksperimen menjelang Piala AFF Suzuki yang akan bermula pada 8 November. 


Tan Cheng Hoe memilih formasi 4-2-3-1 dengan penjaga gol Perak, Hafizul Hakim mengawal gawang. Matthew Davies, Irfan Zakaria, Adam Nor Azlin dan Fazly Mazlan membentuk pertahanan berempat. Dua pemain tengah bertahan digunakan iaitu Mahali Jasuli dan Syamer Kutty Abba. Trio Shahrel Fikri, Norshahrul Idlan dan Syazwan Zainon menyokong penyerang tunggal Zaquan Adha yang bertindak selaku kapten pasukan. Sumareh bermula di bangku simpanan.

Babak pertama agak mengecewakan. Malah Malaysia ketinggalan 1-0 apabila babak pertama berakhir. Satu serangan kilat Sri Lanka menyaksikan rembatan jarak jauh pemain Sri Lanka dari sayap kanan gagal ditangkap kemas Hafizul Hakim yang terlepas bola menyebabkan pemain Sri Lanka mudah menolak ke gawang terbuka. 

Kemasukan Sumareh di awal babak kedua mengubah perlawanan dengan menambah tenaga dan kelajuan dalam permainan pasukan Malaysia. Sumareh memainkan peranan penting untuk gol pertama dengan melorongkan bola ke sayap kanan. Hantaran silang itu gagal ditangkap kemas penjaga gol lawan (sama seperti Hafizul) dan Norshahrul Idlan atau Mat Yo mudah menolak masuk ke gawang.

Gol kedua dijaringkan melalui sepakan penjuru yang diambil pemain gantian, Syazwan Andik dan ditanduk cemerlang oleh Adam Nor Azlin. Selepas itu, Sumareh mencuri tumpuan. Satu lagi serangan di sayap kanan gagal dikekang pertahanan lawan dan percubaan Sumareh melakukan hantaran silang terbias pertahanan lawan ke gawangnya sendiri. 

Dan seorang lagi pemain gantian, Akhyar Rashid mencipta gol keempat dengan lariannya yang bermula di sayap kiri. Akhyar cuba melakukan percubaan sendiri tetapi dihadang pemain lawan. Hantaran 1-2 bijak antara Sumareh dan Akhyar menghadiahkan gol keempat dengan Akhyar melorongkan bola cantik untuk Sumareh menewaskan penjaga gol dengan gawang gol terbuka luas.

Satu debut antarabangsa untuk diingati bagi Mohamadou Sumareh. Tidak menghairankan jika kelibat Sumareh akan disaksikan dalam Piala AFF Suzuki nanti menentang Vietnam, Indonesia dan juga Thailand. Malaysia mempunyai barisan pemain yang baik untuk memburu piala rantau Asia Tenggara itu dengan adanya Akhyar, Sumareh, Shahrel dan juga Safawi Rasid. Jika Tan Cheng Hoe menurunkan pasukan terbaiknya, insyaAllah Malaysia akan berada di perlawanan akhir memburu kejuaraan!




Wednesday, October 10, 2018

UCL 18/19 #2: Liverpool Tumbang

Assalamualaikum.

Perlawanan kedua, peringkat kumpulan.

Beberapa situasi menarik berlaku. Pasukan bangkit daripada ketinggalan dua gol, dan drama gol lewat permainan. Berikut adalah keputusan penuh perlawanan dalam semua kumpulan. 

----------

KUMPULAN A

Atletico Madrid 3-1 Club Brugge
Dortmund 3-0 Monaco

Dua pasukan tuan rumah menjaringkan tiga gol. Dua gol daripada Antoine Griezmann dan satu lagi daripada Koke membantu kemenangan Atletico Madrid di Sepanyol. Borussia Dortmund juga menang bergaya di Jerman dan akan bertemu Atletico dalam perlawanan seterusnya.

-----

KUMPULAN B

Tottenham 2-4 Barcelona
PSV 1-2 Inter Milan

Kemenangan untuk kedua-dua pasukan pelawat. Lionel Messi meledak dua gol untuk membantu Barcelona menang sebagai pelawat di England. Inter Milan menang 2-1 untuk kali kedua berturut-turut dan sekali lagi bangkit daripada ketinggalan. Mauro Icardi sekali lagi menjadi wira untuk Inter Milan.

-----

KUMPULAN C

Paris Saint-Germain 6-1 Red Star Belgrade
Napoli 1-0 Liverpool

PSG bangkit daripada kekalahan kepada Liverpool dalam perlawanan pertama untuk membelasah pelawat dari Serbia. Neymar meledak hatrik untuk PSG termasuk dua sepakan percuma yang cantik. Napoli pula mendominasi permainan di gelanggang sendiri dan menghadiahkan kekalahan untuk skuad Jurgen Klopp. Lorenzo Insigne menjadi wira dengan jaringan lewat.

-----

KUMPULAN D

Lokomotiv Moscow 0-1 Schalke
Porto 1-0 Galatasaray

Dua kemenangan tipis. Weston McKennie menjadi wira pasukan Jerman di Russia dengan tandukan kemenangan dua minit sebelum masa permainan sebenar tamat berpunca daripada sepakan sudut. Tuan rumah juga menang di Portugal menerusi tandukan Moussa Marega.

-----

KUMPULAN E

Bayern Munich 1-1 Ajax
AEK 2-3 Benfica

Jaguh Jerman hanya mampu seri di tempat sendiri walaupun mendahului menerusi tandukan Mats Hummels. Kedua-dua pasukan kini terikat dengan empat mata. Benfica pula mendahului 2-0 di Greece tetapi gagal mengekalkan kedudukan tersebut. Mujur pemain gantian Alfa Semedo sempat memberikan kemenangan untuk mereka.

-----

KUMPULAN F

Hoffenheim 1-2 Manchester City
Lyon 2-2 Shakhtar Donetsk

Manchester City menang di Jerman juga menerusi gol lewat yang dijaringkan oleh David Silva. Hoffenheim mendahului dengan gol pada minit pertama tetapi gagal mempertahankan gawang mereka. Selepas bangkit daripada ketinggalan dalam perlawanan lepas, Shakhtar pula yang kecewa kali ini walaupun mendahului 2-0 di gelanggang lawan.

-----

KUMPULAN G

CSKA Moscow 1-0 Real Madrid
Roma 5-0 Viktoria Plzen

Juara bertahan tumbang di Rusia. Jaringan minit kedua oleh Nikol Vlasic sudah cukup untuk memberikan tiga mata penuh kepada pasukan tuan rumah. Roma pula menang bergaya di gelanggang sendiri dengan dibantu oleh hatrik daripada Edin Dzeko.

-----

KUMPULAN H

Juventus 3-0 Young Boys
Manchester United 0-0 Valencia

Hatrik untuk Paulo Dybala di depan penyokong sendiri di Itali. Kemenangan kedua untuk gergasi Itali yang akan menentang Manchester United dalam perlawanan seterusnya dengan diperkuatkan kehadiran semula Cristiano Ronaldo (digantung kerana dilayangkan kad merah dalam perlawanan pertama). Manchester United pula hanya mampu seri di depan penyokong sendiri. 

-----------

Kekalahan yang mengejutkan untuk juara dan naib juara musim lepas. Liverpool bukan saja tewas perlawanan malah turut kecundang penguasaan bola. 

Perlawanan ketiga akan berlangsung pada 24 dan 25 Oktober selepas liga domestik berhenti seketika untuk memberi laluan kepada perlawanan antarabangsa.



Mr. Ragaman

Assalamualaikum.

Sejak akhir-akhir ini, Faizal Tahir juga dikenali sebagai 'Mr. Ragaman'. Hal ini berlaku kerana muzik video lagu terbarunya. Dikenali sebagai seorang penyanyi berbakat besar yang tidak terbatas pada satu atau dua genre saja, FT telah menyanyikan lagu-lagu dengan pelbagai tema. Sebut saja kemanusiaan, cinta, patriotik, Islamik dan lain-lain.

Bermula dengan kumpulan nasyid Mirwana, FT kemudian bergerak solo dan menyertai pertandingan nyanyian One In A Million musim pertama pada tahun 2006. Walaupun Suki menjadi juara musim itu, FT tidak memandang ke belakang dan kariernya berkembang maju. Penulis mula mengenali FT dengan lagu masterpiece (baca: mahakarya) dia iaitu 'Mahakarya Cinta'. Ketika itu penulis di zaman remaja. Masih terngiang-ngiang di minda suara FT mendendangkan lagu Mahakarya Cinta.

Jika belum melakukannya, kalian boleh menonton video muzik rasmi dari label syarikat rakaman FT untuk lagu terbarunya, 'Ragaman'.



I didn't expect it to be so very beautiful in soooooo many ways. 

Jika anda memahami video muzik ini, ia menggambarkan Mr. Ragaman sedang bercerita kepada dua orang budak perempuan tentang ragam isterinya.

Apa yang menarik tentang video ini adalah pelbagai perasaan yang diluahkan di dalamnya untuk menguatkan liriknya yang santai dan tidak berat. Perasaan sayang, geram, jengkel dan bahagia yang bercampur. Masam manis perkahwinan.

Dan hanya di hujung video dizahirkan hakikat bahawa isteri Mr. Ragaman sebenarnya sudah meninggal dunia, dan Mr. Ragaman sedang mengimbau memori indah bersama arwah isterinya (sambil bercerita kepada dua orang budak perempuan tadi).

People come and go, but memories last forever (unless you lose your memory). 

Kalau belum menonton video ini lagi, sila tonton video ini sekarang!



Monday, October 8, 2018

Popular Ke Tak

Assalamualaikum.

Malam tadi berlangsung Anugerah Bintang Popular Berita Harian kali ke-31 di Putrajaya International Convention Center (PICC). Tahun lepas anugerah utama Bintang Paling Popular dimenangi oleh Fattah Amin

Orang kata popular tak semestinya bagus. Betul ke tidak??

Edisi kali ini disiarkan secara langsung di TV3 dan terdapat tiga orang pengacara iaitu Ajak Shiro dengan diapit oleh Zara Zya serta Janna Nick. Ada beberapa keputusan yang tepat seperti dijangka oleh penulis (pandangan peribadi) dan ada juga keputusan yang macam tak layak (like seriously?). 

Terdapat 14 kategori yang keputusannya diumumkan secara langsung (termasuk anugerah Bintang Paling Popular). Artis baru lelaki dan wanita popular dimenangi oleh Fendy Bakry (Mr. Grey) dan Farah Nabilah. Kemudian, Khai Bahar [okay] dan Wany Hasrita [???] memenangi penyanyi lelaki dan wanita popular. 

Pengacara TV popular dimenangi oleh Neelofa (expected) dan penyampai radio popular dimenangi oleh Haziq dari Hot FM [wtf?]. Artis komedi popular pula dimenangi oleh Zizan Razak [expected]. Kategori artis kolaborasi / duo / berkumpulan popular dimenangi oleh duo sensasi Syamel dan Ernie Zakri

Artis versatil popular dimenangi oleh tak lain dan tak bukan, the versatile Alif Satar. Dua kategori berikutnya dimenangi oleh pasangan hot meletop kebaboom yang sudah hampir setahun bernikah. Pelakon TV wanita popular dimenangi oleh si isteri dan selepas itu si suami pula memenangi kategori pelakon TV lelaki popular. Tak lain dan tak bukan Fazura dan Fattah Amin. Tak sukar sebenarnya untuk meramalkan kemenangan mereka berdua kerana dua fan base bergabung untuk memenangkan pasangan suami isteri. Not surprising. Populariti kedua-duanya saling membantu.

Emma Maembong [hmmm] memenangi kategori pelakon filem wanita popular dan kategori lelaki pula dimenangi oleh Zul Ariffin [pffft]. Dan..... anugerah bintang paling popular ABPBH 31 dimenangi oleh Wany Hasrita dengan mendapat dua juta lebih undian.

Noorkumalasari memenangi anugerah khas pencapaian sepanjang hayat. Untuk kategori online pula, Neelofa [hmmm] memenangi kategori artis sensasi. Fazura menang besar lagi apabila gandingannya bersama suaminya Fattah Amin memenangi anugerah pasangan sensasi drama dan kemudian gandingan bersama Zul Ariffin memenangi pasangan sensasi filem. Fatimah Omar Mukhlis memenangi kategori personaliti media sosial dan Arif Jiwa [expected] yang sangat comel memenangi anugerah instafamous cilik popular.

---------

What to say?

Kombinasi pengacara malam tadi walaupun meriah tapi tak cukup berkarisma untuk mengacarakan malam yang gilang-gemilang seperti ABPBH. Mungkin Alif Satar sepatutnya menjadi pengacara. Dan bagi penulis, Alif Satar antara yang paling layak memenangi kategorinya sebagai artis versatil popular. Bukan saja boleh menyanyi dengan baik, Alif sangat brilliant sebagai pengacara dan juga pelakon yang tidak kayu. He's really one in a million.

Dari segi persembahan pula, konsep mashup untuk beberapa lagu dilihat tidak sesuai dan cacamarba. Terutamanya mashup lagu Pematah Hati (Nabila Razali) dan Luar Biasa (Ismail Izzani). Hancur. Penulis rasa persembahan gabungan dua bekas bintang Akademi Fantasia, Aizat Amdan dan Hafiz Suip lebih menghiburkan. Penulis suka kebanyakan lagu Aizat dan Hafiz dan gandingan mereka smart. Aizat menyanyikan lagu Hafiz dan Hafiz juga menyanyikan bahagian lagu Aizat dan tidak merosakkan persembahan mereka. They are what we call 'performers'. 

Banyak artis yang menang anugerah kerana populariti saja (well, memang anugerah popular pun) dan bukan kerana kualiti yang ada pada mereka. Anugerah utama pun sangat mengejutkan. Ramai netizen yang menyatakan komen terkejut dengan kemenangan Wany. 

Bagi penulis, mungkin undian untuk pasangan Fazura dan Fattah pecah dua menyebabkan salah seorang daripada mereka tidak menang. Penulis lebih menjangkakan kemenangan Zizan Razak atau jika tidak pun, Neelofa akan menjadi bintang paling popular.

What's done is done. Tahniah kepada semua pemenang. 



Tuesday, October 2, 2018

Mimpi Yang Tak Sudah

Assalamualaikum.

Umpama mimpi yang tak sudah.

Begitulah yang boleh dikatakan tentang impian pasukan negara untuk layak beraksi di Piala Dunia bola sepak bawah 17 tahun secara merit. Mimpi anak-anak didik Lim Teong Kim dalam National Football Development Program (NFDP) untuk memperagakan aksi di bumi Peru tidak kesampaian.

Perlawanan ketiga peringkat kumpulan A,
Malaysia 0-2 Jepun

Selepas menang perlawanan pembukaan dan tewas perlawanan kedua kepada negara jiran, harapan menggunung disandarkan kepada skuad muda ini untuk menang. Dan apabila Tajikistan mendahului Thailand, mereka hanya perlu seri. Mereka gagal melakukan itu.

Gol pertama berpunca daripada kesilapan pemain yang melakukan kesilapan ASAS. Bola yang perlahan dari pemain lawan sepatutnya ditendang sejauh mungkin tetapi salah faham berlaku antara dua pemain Malaysia yang menyaksikan kedua-dua pemain membiarkan saja bola itu meleret ke dalam kotak penalti! Bola itu pantas direbut penyerang lawan yang menewaskan kapten Malaysia sebelum merembat kencang melepasi penjaga gol.

Walaupun gol kedua (lewat dalam masa kecederaan di hujung permainan) berpunca daripada kesilapan penjaga gol yang membaling bola tetapi tidak sampai kepada rakan sepasukan, gol kedua itu hanyalah melengkapkan nasib malang Malaysia. Bola rembatan jarak jauh pemain Jepun terkena palang, melantun terkena kaki penjaga gol, dan bergolek masuk ke dalam gawang. Membunuh terus peluang Malaysia untuk sekurang-kurangnya seri dan layak ke pusingan suku akhir.

-----------

Malaysia menewaskan Tajikistan 6-2 dalam perlawanan pertama dengan Luqman Hakim meledak EMPAT gol. Walaupun perlawanan itu berlangsung dalam situasi hujan, kecemerlangan Malaysia tidak boleh dinafikan sama sekali.

Apa yang berlaku selepas itu sama sekali tidak diduga. Malaysia tunduk 2-4 kepada Thailand dalam perlawanan seterusnya (tanpa penjaga gol utama yang dilayangkan kad merah di lewat permainan menentang Tajikistan) yang menghancurkan terus peluang untuk mara.

Tajikistan pula seri menentang Jepun 0-0 dalam perlawanan kedua (Jepun menurunkan skuad simpanan dengan menyimpan pasukan utama untuk menentang Malaysia) dan menewaskan Thailand 2-1 dalam perlawanan terakhir untuk melengkapkan kebangkitan mereka.

Dan ketika entri ini ditulis, Tajikistan telah pun layak ke Piala Dunia B-17 di Peru tahun depan selepas menumbangkan Korea Utara di suku akhir menerusi penentuan sepakan penalti 4-2 selepas seri 1-1 dalam masa permainan sebenar. Satu kebangkitan yang hebat!

Pasukan yang dibelasah oleh tuan rumah dalam perlawanan pertama bangkit untuk layak ke Piala Dunia! Tajikistan akan mewakili benua Asia ke Piala Dunia B-17 bersama Jepun, Australia, dan Korea Selatan dengan kejayaan mereka ke separuh akhir. Tajikistan akan menentang Korea Selatan manakala Jepun berentap dengan Australia untuk menentukan finalis Kejuaraan AFC B-16.

Malaysia menewaskan (malah membelasah) mereka dalam perlawanan pertama. Di mana silapnya?

----------

Secara keseluruhan, walaupun pasukan ini gagal menyamai pencapaian skuad 2014 yang tewas di pusingan suku akhir (hanya selangkah lagi untuk ke Piala Dunia B-17), namun prestasi mereka sebenarnya agak cemerlang. Lupakan kekalahan kepada Thailand yang sangatlah malang. Berikut adalah lima perkara yang menonjol walaupun dengan kegagalan Malaysia ke Piala Dunia.

(1) Luqman Hakim bakal penggempur berbisa

Penyerang muda ini takkan dapat melupakan perlawanan pertama menentang Tajikistan (sekali lagi diulang telah layak ke Piala Dunia selaku empat pasukan terbaik Asia!) dalam hujan di Stadium Nasional Bukit Jalil. Kepantasan dan kelincahan Luqman terlalu sukar untuk dikekang oleh para pemain Tajikistan. Tidak salah untuk mengatakan Luqman sepatutnya menjaringkan lebih daripada lima gol!

Empat gol yang dijaringkan menentang Tajikistan juga menarik. Gol pertama menyambar hantaran silang Najmuddin Akmal. Gol kedua menyempurnakan lorongan cantik dengan rembatan kencang kaki kanan. Gol ketiga menewaskan penjaga gol sebelum menolak bola ke gawang terbuka. Dan gol keempat dengan rembatan kaki kanan yang terkena tiang sebelum melantun masuk.

Luqman menambah koleksi jaringan dengan gol kelima peribadi dalam perlawanan kedua menentang Thailand, satu lagi perlawanan yang dia takkan pernah lupakan dalam kariernya. Luqman dilayangkan kad merah kerana mengangkat tinggi semasa cuba merebut bola. Sesuatu yang tidak disengajakan tapi cukup menjadi alasan bagi pengadil melayangkan kad merah. Malaysia yang baru menyamakan kedudukan 2-2 sedang cuba bangkit tapi semangat direntap.

(2) Bukan saja tentang Luqman

Benar, ketiadaan Luqman teramat sangat dirasai selepas dia dibuang padang ketika menentang Thailand dan dalam perlawanan seterusnya menentang Jepun. Namun, Malaysia juga sedang melahirkan beberapa lagi nama yang bakal menjadi bintang jika digilap dengan baik. Penjaga gol, Sikh Izhan begitu cemerlang semasa menentang Tajikistan dan juga dalam perlawanan terakhir menentang Jepun. Ketiadaannya dalam perlawanan berdepan Thailand sangat dirasai.

Selain Luqman, gandingannya di bahagian serangan juga tidak kurang hebatnya. Najmuddin Akmal beraksi baik menentang Jepun ketika terpaksa mengetuai serangan tanpa Luqman Hakim. Alif Mutalib beraksi cemerlang di bahagian sayap. Alif mencipta gol untuk Luqman dalam perlawanan pertama dan paling diingati larian tanpa putus asa ketika menentang Thailand yang menghasilkan gol penyamaan yang dijaringkan oleh Firdaus Kaironnisam. Alif Daniel dan Syukur Fariz juga beraksi baik.

Di bahagian pertahanan, Zikri Khalili beraksi dalam semua perlawanan di posisi bek kiri dan beraksi cemerlang menyerang dan bertahan. Firdaus Ramli juga kental di bek tengah dan menjadi kapten dalam perlawanan menentang Jepun. Tetapi Firdaus yang terlepas penyerang Jepun ketika Jepun menjaringkan gol pertama.

(3) Masa depan yang cerah

Skuad B-23 negara beraksi cemerlang dalam Kejuaraan AFC B-23 di China dan kemudian Sukan Asia di Indonesia. Pasukan ini tewas 2-1 di suku akhir Kejuaraan AFC dengan gol lewat Korea Selatan. Malaysia membalas dengan kemenangan 2-1 di peringkat kumpulan Sukan Asia ketika Safawi Rasid meledak dua gol. Malaysia hanya tewas tipis di pusingan kedua 1-0 kepada Jepun dengan sepakan penalti di lewat permainan.

Skuad B-19 pula cemerlang menjuarai Kejuaraan AFF B-19 di Indonesia dengan menewaskan Myanmar 4-3 dalam perlawanan akhir, gol kemenangan dijaringkan oleh Nik Akif Syahiran menerusi sepakan percuma yang sangat cantik. Pasukan ini akan bersaing di Indonesia bermula 18 Oktober ini dalam Kejuaraan AFC B-19 dengan misi ke separuh akhir untuk layak ke Piala Dunia B-20 tahun depan di Poland.

Skuad B-16 pula walaupun gagal mencapai misi ke Piala Dunia B-17 dan tersingkir di peringkat kumpulan, mereka sebenarnya boleh dipuji kerana membelasah Tajikistan dan juga menyaingi Jepun yang sudah lama membangun di peringkat akar umbi. Kedua-dua pasukan yang menyingkirkan Malaysia ini layak ke Piala Dunia B-17 di Peru.

(4) Malaysia hanya bernasib malang

Penjaga gol utama tidak dapat diturunkan menentang Thailand. Dan penyerang utama tidak dapat diturunkan menentang Jepun. Lihatlah apa yang berlaku apabila kedua-dua pemain ini beraksi bersama dalam satu perlawanan: Malaysia 6-2 Tajikistan. Hanya itu perlawanan yang boleh menggambarkan pasukan muda Malaysia ini di kekuatan terbaik.

Boleh dikatakan pasti Thailand tidak menang jika Sikh Izhan beraksi dan Luqman tidak dibuang padang. Dan kehadiran Luqman menentang Jepun pasti memberi masalah yang lebih besar kepada Jepun ketika Malaysia memberikan masalah kepada Jepun tanpa aksi Luqman.

Malang sekali para pemain Malaysia telah mengecewakan harapan menggunung rakyat Malaysia di depan penyokong sendiri.

(5) Akademi Mokhtar Dahari perlu diteruskan

Akademi yang dibuka khas untuk melahirkan generasi pelapis bola sepak Malaysia dengan melantik Lim Teong Kim sebagai pengarah. Malang sekali Lim telah dipecat sebagai ketua jurulatih pasukan B-16 sebaik saja Malaysia tersingkir. Benar, gajinya tinggi tetapi sesuai dengan pengalamannya melahirkan pelapis di kelab gergasi Jerman, Bayern Munich.

Tidak adil untuk menilai projek ini telah gagal hanya kerana mereka gagal ke Piala Dunia B-17 selepas empat tahun proses ini berjalan. Memang benar, Lim telah meletakkan sasaran tinggi tetapi dia tidak salah untuk bermimpi! Impian biar ke angkasa agar jatuhnya cuma ke awan. Di mana maruah kita jika hanya menyasarkan Kejuaraan AFF di peringkat rantau tanpa cuba mencabar dunia?!

Pasukan ini perlu terus digilap agar mereka dapat cuba pula untuk ke Piala Dunia B-20 nanti dengan harapan abang-abang mereka akan berjaya melakukannya tahun ini!

----------

Berilah semangat. Menang kita bangga, kalah kita setia. 



Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif