Welcome To My Life...

Monday, July 12, 2021

Final EURO: Malam Yang Aneh 1

Assalamualaikum.

Final EURO: Bahagian 1

Awal pagi tadi waktu Malaysia (malam di Stadium Wembley, England), dua pasukan terbaik dalam edisi Kejohanan Eropah (EURO) 2020 berentap untuk menentukan juara yang akan menjulang piala keagungan bola sepak Eropah.

Selepas pasukan nombor 1 dunia, Belgium, menyingkirkan juara bertahan, Portugal, di pusingan kedua (enam belas terbaik), hakikat yang mudah adalah para peminat bola sepak neutral akan dapat melihat juara baru ditabalkan. Soalannya: pasukan yang mana?

Ada sejarah penantian panjang bagi kedua-dua finalis.

Itali hanya pernah memenangi EURO sekali iaitu pada 53 tahun yang lalu (1968). England pula tidak pernah memenangi EURO dan layak buat kali pertama ke final EURO! England juga menanti 55 tahun untuk layak ke final kejohanan utama (major tournament) selepas melakukannya di halaman sendiri pada tahun 1966 ketika mereka menjulang Piala Dunia buat kali pertama dan terakhir.

Mungkin Belgium atau Perancis adalah pilihan utama ketika bermula EURO 2020, tetapi memasuki final, boleh dikatakan Itali dan England adalah dua pasukan yang paling layak.

Untuk rekod, Itali memasuki perlawanan akhir dengan rekod tanpa kalah sepanjang 33 perlawanan terakhir. Hanya dua pasukan memegang rekod tanpa kalah lebih panjang (35 perlawanan). Itali tidak bolos sebarang gol di peringkat kumpulan, tetapi bolos sekali kepada Austria (pusingan kedua), Belgium (suku akhir) dan Sepanyol (separuh akhir).

Rekod pertahanan England lebih ampuh. England mara ke final dengan hanya dibolosi satu gol ketika menentang Denmark di peringkat separuh akhir! England menjadi pasukan pertama yang memulakan kempen EURO dengan 5 clean sheet (tanpa bolos) berturut-turut. Memang dahsyat!

Itali layak ke pusingan kalah mati selaku pemenang Kumpulan A, dan England pula memenangi Kumpulan D.

Boleh dikatakan, ini adalah final idaman yang dinanti-nantikan para peminat bola sepak neutral.

Laungan peminat England sebelum perlawanan: "Football is coming home!"

Laungan balas peminat Itali: "It's coming to Rome!"


-bersambung-




Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif