Welcome To My Life...

Sunday, May 2, 2021

Kebangkitan

Assalamualaikum.

Kebangkitan adalah perkara yang indah untuk disaksikan dalam bola sepak. Terutamanya jika ia dilakukan oleh pasukan yang kita minati. 

Awal pagi Jumaat (30 Mac), Manchester United mempersembahkan kepada dunia satu kebangkitan agung dalam sejarah bola sepak Eropah. Satu kisah kebangkitan yang akan dikenang oleh generasi ini untuk satu tempoh yang panjang, mungkin sehingga puluhan tahun. 

Antara kisah kebangkitan termasyhur yang setanding dengan ceritera kebangkitan terhebat yang lain.

----------

Beraksi di gelanggang sendiri, pengurus Ole Gunnar Solksjaer pasti mahu pasukannya tidak dibolosi sebelum bertandang ke kubu musuh nanti. Ole menurunkan kesebelasan terbaik. David De Gea menjaga gawang menggantikan penjaga gawang utama (ketika ini) Dean Henderson. 

Aaron Wan-Bissaka, Harry Maguire, Victor Lindelof, dan Luke Shaw membentuk rangkaian pertahanan berempat yang menjadi benteng kukuh Ole hampir untuk sepanjang musim. Fred dan Scott Mctominay menjadi pilihan Ole seperti biasa untuk fungsi double pivot dalam formasi asas yang digemarinya iaitu 4-2-3-1.

Barisan serangan berempat di hadapan kubu ini adalah antara yang terbaik yang dapat dihimpunkan setakat ini apabila semua cergas. Marcus Rashford, Bruno Fernandes dan Paul Pogba membentuk jentera ampuh tiga serangkai yang menyokong penyerang tengah tunggal, Edinson Cavani aka El Matador.

Dan gol pertama United adalah contoh klasik apabila barisan serangan United berada pada tahap terbaik. Pogba membelah pertahanan dari sayap kiri. Hantarannya kepada Cavani disambut dengan satu sentuhan yang terus melorongkan bola kepada Bruno. Pemain tengah sensasi Portugal itu bijak melakukan penyudah chip kaki kanan untuk meledak gol pertama.

Tidak sampai sepuluh minit pun United mendahului, Roma menyamakan kedudukan. Malang bagi Pogba yang memberikan sepakan penalti apabila cubaannya menghalang hantaran lintang secara meluncur menyaksikan bola terkena tangannya. Kapten Roma, Lorenzo Pellegrini tenang menyempurnakan sepakan penalti.

Dan selepas detik setengah jam, Roma mengejutkan United dengan menjaringkan gol kedua. Serangan di sayap kiri yang gagal dipatahkan menyaksikan hantaran silang Pellegrini disambar penyerang Edin Dzeko. Gol itu menjadi rekod bagi Dzeko apabila meledak gol menentang United dalam tiga dekad berbeza bersama tiga pasukan yang berbeza! 

Memasuki bilik persalinan di waktu rehat, United ketinggalan 1-2 dalam pusingan separuh akhir dengan format timbal balas. Jika kedudukan ini kekal, masalah bagi United kerana Roma sedang memiliki kelebihan dua gol di tempat lawan.

Situasi ketika ini: United sudah tersingkir dari Piala Liga dan juga Piala FA. Berada di kedudukan kedua Liga Perdana Inggeris dengan 10 mata di belakang Manchester City (berbaki 5 perlawanan), kejuaraan liga juga seperti bukan milik United musim ini. Maka kejuaraan Liga Europa adalah satu-satunya yang masih boleh digenggam.

Separuh masa: Manchester United 1-2 AS Roma

-------

Memulakan babak kedua, Ole tidak melakukan sebarang pertukaran walaupun sedang ketinggalan kepada pihak pelawat. Ole percaya barisan para pemainnya boleh bangkit. Kata kunci di sini adalah kepercayaan. Ole tidak rakus atau gelojoh untuk menukar pemain semata-mata untuk membuat pertukaran kerana sedang ketinggalan.

Dan kepercayaan itu berbalas ketika hanya tiga minit usia babak kedua. Satu serangan balas pantas menyaksikan United menyamakan kedudukan. Hantaran Pogba tepat kepada Cavani yang menolak kepada Bruno. Menanti beberapa detik, Bruno melorongkan semula bola kepada Cavani yang merembat kencang ke penjuru atas kiri gawang. Satu penyudah klasik daripada seorang penyerang tengah! Bantuan gol Bruno itu sekali gus membalas bantuan Cavani untuk gol peribadinya tadi.

Selepas detik sejam permainan, United menjarakkan diri daripada kedudukan seri 2-2 apabila menjaringkan tiga gol dalam masa 11 minit saja. Satu tempoh menyerang yang begitu sensasi. 

Pogba dan Bruno bergandingan lagi. Pogba menolak kepada Bruno yang meleretkan bola kepada Wan-Bissaka di sayap kanan. Hantaran silang Wan-Bissaka berjaya ditepis oleh penjaga gol tetapi singgah tepat di depan Cavani yang mudah merembat bola muntah tersebut untuk meledak gol kedua peribadinya. Cavani berada di tempat yang sempurna pada detik yang sempurna.

Beberapa minit kemudian, keadaan menjadi semakin parah buat Roma. Satu hantaran silang Rashford dari sayap kanan gagal disambut oleh Cavani. Tetapi Chris Smalling melanggar Cavani dengan lewat dan pengadil menghadiahkan sepakan penalti. Bruno Fernandes tenang menjaringkan gol kedua peribadinya pula.

Dan ketika mencecah tiga suku permainan, Pogba mengambil giliran sebagai penjaring. Satu sepakan sudut terus kepada Bruno yang melakukan hantaran lintang sempurna tepat kepada Pogba. Satu lonjakan dan Pogba menanduk kencang menewaskan penjaga gol. Hantaran itu begitu sempurna, sepertinya Pogba dan Bruno sudah bermain bersama untuk bertahun lamanya sehingga Bruno tahu di mana Pogba berada. 

United hanya melakukan pertukaran pemain pertama selepas gol kelima tersebut dengan Mason Greenwood menggantikan Rashford. Dan sepuluh minit kemudian, Greenwood sendiri meledak gol keenam United yang menambah luka parah Roma.

Ia sekali lagi berpunca daripada serangan balas pantas. Hantaran Bruno menemui Cavani. Ketika itu, masih banyak yang perlu dilakukan Cavani. Tetapi dengan hanya satu sentuhan ajaib (outside of the boot) dengan kaki kanan, Cavani berjaya melakukan hantaran membelah pertahanan dan tepat kepada Greenwood.

Greenwood mengambil sedikit masa untuk mengumpul kekuatan sebelum melepaskan rembatan kencang kaki kanan untuk menyempurnakan malam indah bagi Manchester United.

Masa penuh: Manchester United 6-2 AS Roma

----------

Satu kebangkitan ajaib. Ketinggalan 1-2 di separuh masa dan menang 6-2 di akhirnya. Lima gol tanpa balas di separuh masa kedua. Kata orang, "a game of two halves". Separuh masa kedua menjadi milik Manchester United sepenuhnya.

Dua pemain yang berjaya mencatat dua gol dan dua bantuan gol dalam satu perlawanan. Bruno Fernandes dan Edinson Cavani. Pemain terbaik perlawanan yang diundi ialah Cavani. Tetapi impak Bruno sejak dibeli oleh United tidak dapat dinafikan.

Masih ada satu lagi perlawanan, masih ada 90 minit harapan untuk Roma pula membalas kebangkitan. United sudah meletakkan sebelah kaki di final. Perjuangan belum selesai. Sisa-sisa harapan Roma masih menyala.

Dua gol di tempat lawan adalah bekalan yang baik. Tetapi untuk menewaskan United dengan margin lebih empat gol, dan melihat prestasi gemilang United ketika ini. Kebangkitan itu hampir mustahil untuk Roma. 

Kata orang, Roma ada "a mountain to climb".

Mampukah Roma melakukannya? Atau Manchester United akan mencatat kemenangan kedua di bumi Itali?

Sama-sama kita nantikan. Menarik juga untuk disaksikan jika Ole berani memberi minit permainan kepada pemain muda seperti Amad Diallo dan Shola Shoretire memandangkan kelebihan selesa yang dimiliki ketika ini.

Ciao!




Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif