Welcome To My Life...

Wednesday, October 6, 2021

Piala Sudirman 2021: Malaysia vs Indonesia

Assalamualaikum.

Walaupun sudah beberapa hari berlalu, namun api perjuangan menentang Indonesia masih membara. Pertandingan berpasukan campuran ini dilangsungkan di Vantaa, Finland.

Entri ini adalah tentang pertembungan musuh tradisi dalam sukan badminton, Malaysia dan Indonesia. 

Indonesia selaku pilihan 3/4 pertandingan muncul pemenang Kumpulan C dengan membantai pasukan badminton Rusia 5-0, sebelum menang tipis 3-2 ke atas Kanada. Mereka menamatkan aksi peringkat kumpulan dengan mengatasi Denmark (pilihan 5/8) juga dengan keputusan 3-2.

Malaysia (pilihan 5/8) pula mara sebagai naib juara Kumpulan D dengan 2 kemenangan dan 1 kekalahan. Malaysia memulakan aksi dengan menang tipis 3-2 mengatasi England (pilihan 9/16). Malaysia menurunkan barisan simpanan dalam perlawanan kedua dan menang bergaya 5-0 ke atas Mesir. 

Dalam perlawanan penentuan juara kumpulan, barisan utama Malaysia yang direhatkan tumbang 1-4 kepada pilihan kedua kejohanan, Jepun. Hanya beregu lelaki, Aaron Chia/Soh Wooi Yik berjaya menyumbangkan mata selepas mengharungi 3 set. Kapten, Lee Zii Jia tewas straight set kepada perseorangan lelaki nombor 1 dunia, Kento Momota.

----------

Pusingan suku akhir Piala Sudirman 2021
MALAYSIA vs INDONESIA

Di atas kertas, peluang Malaysia adalah tipis. Indonesia turun dengan barisan yang lebih seimbang. Para pemain Indonesia memiliki reputasi hebat dengan berada di ranking 10 terbaik dunia. Kekuatan barisan pemain wanita Indonesia adalah jauh lebih baik berbanding Malaysia. Hal ini memainkan peranan penting dalam pertandingan berpasukan campuran. Hakikat ini tidak dapat dinafikan.

Adat pertandingan, rekod di atas kertas tak lagi penting.

Aksi suku akhir dimulakan dengan pertembungan beregu lelaki. Aaron Chia/Soh Wooi Yik di ranking ke-8 dunia menentang jaguh Indonesia dan beregu lelaki nombor 1 dunia, Marcus Gideon/Kevin Sukamuljo yang digelar Minions oleh para peminat fanatik badminton Indonesia. 

Untuk rekod, gandingan Aaron/Soh menewaskan Minions di peringkat suku akhir Sukan Olimpik Tokyo 2020 dalam laluan mereka memenangi pingat gangsa. Minions turun dengan misi untuk membalas dendam. Bagi kem Malaysia pula, harapan tinggi untuk Aaron/Soh menyumbangkan mata pertama kerana Indonesia memiliki kelebihan besar dalam acara wanita.

Aaron/Soh tidak mengecewakan! Mereka membawa A game mereka untuk membenam Minions dengan keputusan straight set 21-12, 21-15. Pertahanan Aaron/Soh sangat ampuh dan serangan mereka pula memaksa Minions melakukan kesilapan. Kemenangan penting ini menaikkan semangat di kem Malaysia.

Malaysia 1-0 Indonesia

-----

Seterusnya, acara perseorangan wanita. S. Kisona di ranking ke-53 dunia menentang Gregoria Mariska Tunjung di ranking ke-21 dunia. Perbezaan ranking lebih 30 tangga. Untuk rekod, Kisona pernah menewaskan Mariska dalam permainan tiga set dalam laluannya memenangi pingat emas perseorangan wanita di Sukan SEA Filipina 2019.

Kisona menampilkan semangat juang tinggi walaupun Mariska turun dengan reputasi lebih baik. Malang buat Kisona apabila tewas 20-22 dalam set pertama walaupun dia mendahului sejak dari awal permainan. Kisona menang 21-18 dalam set kedua untuk mengheret permainan ke set penentuan. 

Kedua-dua pemain selesa dengan permainan rali demi rali panjang yang memenatkan. Selepas berhempas pulas selama sejam, Mariska muncul pemenang dengan hanya menang tipis 21-19 dalam set ketiga. Kisona sepatutnya boleh menang straight set jika dia lebih fokus ketika mendahului di hujung permainan set pertama.

Malaysia 1-1 Indonesia

-----

Tiba masa untuk kapten pasukan menggalas cabaran. Seperti juga Aaron/Soh, perlawanan ini penting kerana jika Zii Jia tewas, Malaysia kemungkinan besar akan kalah.

Lee Zii Jia di ranking kelapan dunia. Lawannya Anthony Ginting yang merupakan pemain di ranking kelima dunia dan juga pemenang pingat gangsa perseorangan lelaki di Sukan Olimpik Tokyo 2020. Untuk rekod, Zii Jia pernah bertemu Ginting 3 kali sebelum perlawanan ini, dan tewas kesemuanya.

Mujurlah seperti Aaron/Soh, Zii Jia juga membawa A game di hari perlawanan. Zii Jia bukan saja menang menentang pemain yang tidak pernah dikalahkannya dan berada 3 ranking di atasnya. Malah Zii Jia menang straight set 21-11, 21-16. Ginting tidak ada jawapan kepada peningkatan permainan Zii Jia.

Kemenangan kapten yang membakar semangat rakan sepasukan.

Malaysia 2-1 Indonesia

-----

Kita tahu sukar untuk kita mengharapkan kemenangan daripada acara beregu wanita. Dan kita juga menjangka akan tewas straight set. Sebaliknya yang berlaku.

Pearly Tan/M. Thinaah merupakan beregu yang sedang meningkat naik dan berada di ranking ke-19 dunia. Lawan mereka pula, Greysia Polii/Apriyani Rahayu di ranking ke-6 dunia. Malah beregu Indonesia ini ialah pemenang pingat emas beregu wanita di Sukan Olimpik Tokyo 2020!

Dalam set pertama, Pearly dan Thinaah mengejutkan Polii/Rahayu dengan menyelamatkan 5 set point, bangkit dari ketinggalan 15-20 untuk mengikat kedudukan 20-20, malangnya tewas juga 20-22. Pearly/Thinaah menang set kedua 21-17 sebelum tumbang 18-21 dalam set penentuan. 

Di set ketiga ini juga Pearly/Thinaah menunjukkan semangat melawan yang sangat tinggi, mengutip enam mata berturut-turut ketika ketinggalan 12-20. Akhirnya Polii/Rahayu berjaya menamatkan perlawanan di match point ke-7 mereka, dan Pearly/Thinaah rebah kepenatan.

Semangat juang Pearly/Thinaah sangat menakjubkan. Pasangan Malaysia ini mempamerkan pertahanan ampuh ketika diasak serangan bertubi-tubi Polii/Rahayu. Pergerakan mereka juga lincah sehingga memaksa lawan melakukan kesilapan.

Malaysia 2-2 Indonesia

-----

Perlawanan penentuan. Indonesia masih memiliki kelebihan dalam acara beregu campuran.

Wakil Malaysia, Hoo Pang Ron dan Cheah Yee See di ranking ke-27 dunia. Mereka berdepan Praveen Jordan/Melati Oktavianti yang berada di ranking ke-4 dunia. Berbeza 23 tangga. 

Dengan semangat membara melihat perjuangan rakan sepasukan yang lain, Hoo/Cheah mengejutkan Praveen/Melati apabila menang set pertama walaupun tipis. Hoo/Cheah menguasai sebahagian besar set pertama sebelum menang 21-19.

Praveen/Melati yang memiliki reputasi lebih gah bangkit lebih garang di set kedua. Mereka mendahului pada satu ketika 6-1, 12-2, dan 18-3. Ketika ini, tumpuan Hoo/Cheah sudah bertukar ke arah set ketiga. Tiada guna lagi menghabiskan tenaga untuk mengejar. Hoo/Cheah tumbang di set kedua 9-21.

Perlawanan penentuan memasuki set penentuan!

Hoo/Cheah mendahului dari awal sehingga akhir di set terakhir ini. Gandingan Praveen/Melati tidak pernah langsung berada di depan. Hanya sempat menyamakan kedudukan dua kali pada mata 10-10 dan 11-11. Semangat Hoo/Cheah yang menyala telah membakar lawan mereka. 

Kunci kemenangan di set penentuan ini adalah selepas Praveen/Melati merapatkan kedudukan kepada 12-13. Hoo/Cheah mengutip 7 mata berturut-turut untuk berada di mata akhir 20-12! Ketika ini rakan-rakan sepasukan sudah bangkit untuk meraikan kejayaan.

Tetapi mereka terpaksa menunggu sedikit. Praveen/Melati mencipta suasana tegang di hujung permainan apabila menyelamatkan 4 match point sebelum akhirnya Hoo/Cheah menyempurnakan match point ke-5, itu pun selepas detik mendebarkan.

Pukulan pemain lawan ke belakang gelanggang dikatakan keluar oleh penjaga garisan. Keputusan ini dicabar oleh Praveen/Melati. Apabila review menunjukkan "OUT" bermakna Hoo/Cheah telah mengejutkan beregu nombor 4 dunia, rakan-rakan sepasukan menyerbu beregu campuran ini.

Tepat 2.50 pagi waktu Malaysia,

Malaysia 3-2 Indonesia

----------

Di atas kertas, semua pemain Indonesia memiliki ranking lebih baik dalam semua 5 acara.

Satu pujian yang tinggi wajar diberikan kepada para wira dan wirawati negara kerana menampilkan semangat juang luar biasa dan bermain habis-habisan.

Memang semangat lain macam sikit apabila kita menentang Indonesia. Rakan serantau tapi musuh tradisi di gelanggang. Macam mana pun kita jangan kalah dengan Indonesia! Apa pun yang berlaku, kita tak boleh kalah dengan Indonesia! Itu prinsip utama.

Tahniah. Satu memori yang akan kekal lama dalam ingatan saya.


Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif