Welcome To My Life...

Saturday, October 13, 2018

Sejarah Tercipta di Colombo

Assalamualaikum.

Bukan di Kuala Lumpur, ibu kota ibu pertiwi yang kita cintai. Tapi di Colombo, ibu kota Sri Lanka. Sejarah baru tercipta dalam buku rekod bola sepak Malaysia apabila Mohamadou Sumareh masuk sebagai pemain gantian untuk menjadi pemain naturalisasi pertama pasukan bola sepak Malaysia yang lahir di luar Malaysia.

Dilahirkan di Gambia dan berusia 27 tahun, Sumareh tidak mengecewakan!

Keputusan masa penuh: Sri Lanka 1-4 Malaysia

Malaysia mencatat kemenangan keempat berturut-turut dalam perlawanan antarabangsa selepas menewaskan Bhutan 7-0 pada bulan April, Fiji 1-0 pada bulan Julai dan Kemboja 3-1 pada bulan September lepas. Tanpa kelibat beberapa pemain utama yang masih sibuk dengan aksi Piala Malaysia terutamanya dari pasukan Johor Darul Takzim dan Perak, ketua jurulatih Tan Cheng Hoe menurunkan kesebelasan eksperimen menjelang Piala AFF Suzuki yang akan bermula pada 8 November. 


Tan Cheng Hoe memilih formasi 4-2-3-1 dengan penjaga gol Perak, Hafizul Hakim mengawal gawang. Matthew Davies, Irfan Zakaria, Adam Nor Azlin dan Fazly Mazlan membentuk pertahanan berempat. Dua pemain tengah bertahan digunakan iaitu Mahali Jasuli dan Syamer Kutty Abba. Trio Shahrel Fikri, Norshahrul Idlan dan Syazwan Zainon menyokong penyerang tunggal Zaquan Adha yang bertindak selaku kapten pasukan. Sumareh bermula di bangku simpanan.

Babak pertama agak mengecewakan. Malah Malaysia ketinggalan 1-0 apabila babak pertama berakhir. Satu serangan kilat Sri Lanka menyaksikan rembatan jarak jauh pemain Sri Lanka dari sayap kanan gagal ditangkap kemas Hafizul Hakim yang terlepas bola menyebabkan pemain Sri Lanka mudah menolak ke gawang terbuka. 

Kemasukan Sumareh di awal babak kedua mengubah perlawanan dengan menambah tenaga dan kelajuan dalam permainan pasukan Malaysia. Sumareh memainkan peranan penting untuk gol pertama dengan melorongkan bola ke sayap kanan. Hantaran silang itu gagal ditangkap kemas penjaga gol lawan (sama seperti Hafizul) dan Norshahrul Idlan atau Mat Yo mudah menolak masuk ke gawang.

Gol kedua dijaringkan melalui sepakan penjuru yang diambil pemain gantian, Syazwan Andik dan ditanduk cemerlang oleh Adam Nor Azlin. Selepas itu, Sumareh mencuri tumpuan. Satu lagi serangan di sayap kanan gagal dikekang pertahanan lawan dan percubaan Sumareh melakukan hantaran silang terbias pertahanan lawan ke gawangnya sendiri. 

Dan seorang lagi pemain gantian, Akhyar Rashid mencipta gol keempat dengan lariannya yang bermula di sayap kiri. Akhyar cuba melakukan percubaan sendiri tetapi dihadang pemain lawan. Hantaran 1-2 bijak antara Sumareh dan Akhyar menghadiahkan gol keempat dengan Akhyar melorongkan bola cantik untuk Sumareh menewaskan penjaga gol dengan gawang gol terbuka luas.

Satu debut antarabangsa untuk diingati bagi Mohamadou Sumareh. Tidak menghairankan jika kelibat Sumareh akan disaksikan dalam Piala AFF Suzuki nanti menentang Vietnam, Indonesia dan juga Thailand. Malaysia mempunyai barisan pemain yang baik untuk memburu piala rantau Asia Tenggara itu dengan adanya Akhyar, Sumareh, Shahrel dan juga Safawi Rasid. Jika Tan Cheng Hoe menurunkan pasukan terbaiknya, insyaAllah Malaysia akan berada di perlawanan akhir memburu kejuaraan!




No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif