Welcome To My Life...

Thursday, June 16, 2016

Euro 2016: Peringkat Kumpulan #6

Assalamualaikum.

Euro 2016, hari keenam.

KUMPULAN A

"Switzerland Terselamat"

ROMANIA 1-1 SWITZERLAND
Romania di ranking ke-22 dunia (tujuh ranking di bawah Switzerland) berjaya mencuri satu mata. Selepas tewas perlawanan pembukaan menentang Perancis, Romania terlebih dulu membuka jaringan. Bogdan Stancu menambah gol kedua dalam kejohanan kali ini, sekali lagi menerusi sepakan penalti. Kapten Switzerland menarik baju pemain Romania di dalam kotak penalti, dan Stancu tidak mensia-siakan peluang menjaringkan gol. Admir Mehmedi menjadi penyelamat Switzerland. Berpunca dari satu sepakan sudut yang gagal dikeluarkan, rembatan kencang kaki kiri Mehmedi cukup untuk menghalang Romania mengutip tiga mata penuh. 

"Perancis Mara"

PERANCIS 2-0 ALBANIA
Tuan rumah menjadi pasukan pertama layak ke pusingan kalah mati. Albania di ranking ke-42 dunia berjaya mengekang Perancis (ranking 17) sepanjang masa sebenar permainan, tetapi dihampakan dua gol lewat. Adil Rami melakukan hantaran silang dari sayap kanan ketika detik akhir perlawanan dan pemain gantian, Antoine Griezmann, yang tidak dikawal menanduk tepat ke sasaran. Albania cuba untuk menyamakan kedudukan tetapi satu serangan balas pantas Perancis menghasilkan gol kedua. Dimitri Payet sekali lagi meledak, kali ini di hujung masa kecederaan. Payet tenang menggelecek dua pertahanan di dalam kotak penalti sebelum menewaskan penjaga gol.

Kedudukan: Perancis 6 mata; Switzerland 4; Romania 1; Albania 0

KUMPULAN B

"Pemain Gantian Wira"

ENGLAND 2-1 WALES
Satu lagi perlawanan yang berakhir dengan jaringan kemenangan lewat permainan. Kali ini England mengecewakan Wales apabila bangkit dari ketinggalan. Ayam tambatan Wales, Gareth Bale, sekali lagi meledak dengan sepakan percuma cantik dari jarak 35 ela yang ditepis Joe Hart ke dalam gawang. Taktik pengurus England, Roy Hodgson, menukar Raheem Sterling dengan Jamie Vardy dan Harry Kane dengan Daniel Sturridge berkesan. Hantaran Sturridge ditanduk pertahanan Wales ke depan gol dan Vardy berada di posisi sempurna untuk menjaringkan gol penyamaan. Sturridge muncul wira apabila memulakan gerakan dan menyempurnakan serangan untuk gol kedua England dalam masa kecederaan babak kedua.

Kedudukan: England 4; Wales 3; Slovakia 3; Rusia 1




No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif