Welcome To My Life...

Friday, August 19, 2016

Dungun ke Rio



Sebelum beregu campuran badminton, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying menghadiahkan pingat perak kedua negara di gelanggang badminton, seorang pelumba berbasikal trek terlebih dulu membanggakan kontinjen Malaysia di velodrom.

Dua kali gagal menaiki podium di Beijing 2008 dan London 2012, akhirnya Rio 2016 menjadi saksi semangat dan kesungguhan jaguh berbasikal negara membuahkan hasil yang manis. Susuk tubuhnya kecil berbanding pelumba-pelumba lain yang mempunyai kelebihan fizikal. Namun mereka tidak dapat menggentarkan Azizulhasni Awang atau juga dikenali sebagai Jijoe dan PocketRocketMan

Siapa sangka impian besar anak kelahiran Dungun ini untuk bersaing di pentas tertinggi menjadi kenyataan. Memulakan aksi pusingan pertama, Jijoe gagal menamatkan saingan di posisi yang melayakkannya secara automatik. Jijoe terpaksa melalui pusingan repechage. Perlumbaan seterusnya yang getir kerana hanya pemenang saja yang boleh layak ke separuh akhir, dan Jijoe tidak mengecewakan.

Pusingan separuh akhir. Dua perlumbaan. Dua belas peserta. Hanya tiga peserta teratas dalam setiap perlumbaan akan layak ke final. Dan sekali lagi, Jijoe berjaya menempatkan diri di tangga ketiga untuk menjadi enam peserta terbaik keirin Olimpik Rio 2016.

Masanya tiba untuk Jijoe cuba membutirkan pingat emas. Misi emas #TeamAzizul. #GoForGold. Lawannya bukan calang-calang. Pelumba sensasi pasukan Great Britain, Jason Kenny. Permulaan pertama dibatalkan kerana Kenny dan Jijoe memintas motor yang mendahului para peserta. Perlumbaan dimulakan semula.

Sekali lagi, perlumbaan dibatalkan selepas para pelumba mengekori motor di depan kerana pelumba Jerman pula tak sabar untuk memulakan pecutan. Tiada pelumba disingkirkan. Perlumbaan dimulakan untuk kali ketiga. Motor keluar dan pecutan lancar. Kenny berjaya melepaskan diri ketika Jijoe terperangkap. Jijoe berjaya keluar di pusingan terakhir untuk memecut dan mengutip pingat gangsa.

Satu perlumbaan yang hebat dan Jijoe beraksi cemerlang untuk menaiki podium Olimpik. Bendera Malaysia berkibar. Jika tidak kerana dua permulaan yang dibatalkan, Jijoe pasti mempunyai tenaga yang lebih untuk mencabar Kenny.

Apa pun, tahniah diucapkan kepada anak Melayu berasal dari Dungun, Terengganu, yang memukau penonton dengan saiz yang kecil tapi keazaman yang besar. Jijoe membuktikan tiada yang mustahil selagi ada kesungguhan di dada. Faktor fizikal bukan menghalang kerana jika ada kemahuan, pastilah ada jalan.

We Malaysians are proud of you, the Pocket Rocket Man.




No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif