Welcome To My Life...

Friday, May 3, 2019

Ada Apa Dengan Tapir?

Assalamualaikum.

Selamat Hari Bumi Sedunia dan Selamat Hari Tapir Sedunia. Hari Bumi Sedunia disambut pada tarikh 22 April setiap tahun manakala Hari Tapir pula diraikan pada 27 April setiap tahun.

Sejak bermain live game Dooit, penulis banyak mendapat pengetahuan am yang baru. Kali ini untuk minggu meraikan Hari Bumi (dengan kerjasama WWF Malaysia), penulis belajar pula tentang perlindungan hidupan liar di dunia secara am, dan menambah ilmu tentang tapir secara khusus. Untuk rekod, tapir adalah maskot Dooit!

Mengikut klasifikasi saintifik, tapir adalah sejenis haiwan MAMALIA dalam order "Perissodactyla". Berada dalam order ini menjadikan tapir lebih 'hampir' secara alamiah kepada kuda dan badak, berbanding dengan babi (yang dikaitkan kerana rupa tapir). Semua tapir berada dalam keluarga "Tapiridae" dan genus "Tapirus".

Secara asasnya, terdapat empat spesies tapir di dunia:

(1) Tapir Gunung (Tapirus pichaque)
(2) Tapir Tanah Rendah [juga Tapir Brazil atau Tapir Amerika Selatan] (Tapirus terrestris)
(3) Tapir Baird (Tapirus bairdii)
(4) Tapir Malaya (Tapirus indicus)

Pada tahun 2013, spesies kelima yang terkecil dikatakan telah ditemui:

(5) Tapir Kabomani (Tapirus kabomani)

Masih ada perdebatan sama ada spesies tapir kelima ini adalah variasi Tapir Brazil (Tapir Tanah Rendah) kerana hanya saiz yang kecil menjadi perbezaan. Hampir semua spesies tapir berada di benua Amerika Utara dan Amerika Selatan. Tapir Malaya menjadi satu-satunya spesies tapir dunia yang berada di benua Asia. 

-----

Nama lain bagi Tapir Malaya adalah Tapir Asia dan Tapir India. Tapir juga dikenali sebagai 'tenuk', 'cipan', dan 'badak tampung' dalam Bahasa Melayu. Tapir Malaya mempunyai satu ciri khas yang sangat unik iaitu warna badannya. Tapir Malaya boleh dikenali dengan mudah kerana berwarna hitam dan mempunyai bahagian berwarna putih dari bahu serta belakang badannya. Warna putih ini seperti tempat duduk (saddle).

CIRI FIZIKAL

Panjang Tapir Malaya biasanya antara 1.8 dan 2.5 meter, dengan ketinggian 90 - 110 sentimeter. Ekornya pendek saja (5-10 sentimeter). Berat mereka antara 250 ke 320 kilogram, tetapi tapir dewasa boleh mencecah berat 540 kilogram. Dan biasanya, tapir betina lebih besar berbanding tapir jantan! Tapir juga mempunyai belalai (snout) atau dipanggil proboscis yang berfungsi untuk mencari makanan dan sebagai snorkel semasa mereka berenang. Kaki depan tapir mempunyai empat jari, manakala kaki belakang pula tiga jari.

Tapir tidak mempunyai penglihatan yang baik. Selain mata yang kecil, mata tapir juga biasanya diliputi "blue haze" iaitu 'kekaburan kornea' kerana pendedahan berulang terhadap cahaya. Hal ini menyukarkan mereka untuk mencari makanan di waktu malam dan terdedah kepada ancaman pemangsa di dalam gelap. Namun begitu, tapir mempunyai pendengaran dan deria bau yang sangat baik untuk membantu pergerakan mereka.

KITARAN HIDUP

Kitaran hidup tapir menjadi salah satu punca semula jadi tapir semakin pupus. Tempoh mengandung bagi seekor tapir betina adalah selama 390-395 hari (13 bulan). Selain itu, anak yang dilahirkan pula hanya seekor (jarang berlaku kembar). Anak tapir yang dilahiran seberat lebih kurang 7 kilogram dan boleh mencecah 50 kilogram dalam masa sebulan. Anak Tapir Malaya merupakan yang terbesar semasa lahir (antara semua spesies) dan membesar lebih cepat berbanding spesies lain.

Berbanding tapir dewasa, anak tapir berwarna coklat dengan jalur atau bintik putih. Sama seperti tapir dewasa juga, warna ini memudahkan mereka untuk bersembunyi di dalam hutan. Warna ini akan bertukar ke warna dewasa dalam masa 4-7 bulan. Seekor tapir mencapai kematangan seksual pada usia 3 tahun.

Musim mengawan tapir adalah sekitar pertengahan tahun iaitu bulan April, Mei dan Jun. Seekor tapir betina biasanya melahirkan seekor anak setiap 2 tahun. Seekor tapir boleh hidup sehingga mencecah usia 30 tahun.

TABIAT

Tapir biasanya menanda kawasan dengan air kencing. Tapir adalah sejenis haiwan herbivor. Mereka makan daun dan tunas pokok. Kepelbagaian spesies pokok yang dimakan melebihi 100 spesies. Tapir merupakan agen pembiakan pokok yang penting. Najis tapir menjadi punca menyebarkan spesies pokok di dalam hutan.

Walaupun bersaiz besar, tapir boleh melarikan diri dengan laju apabila dalam bahaya. Tapir juga boleh mempertahankan diri kerana mempunyai rahang yang kuat dan gigi yang tajam (42-44 batang gigi).

Tapir suka tinggal berdekatan air kerana gemar berendam dan berenang. Selain itu, tapir juga merupakan haiwan yang aktif di waktu malam. Tapir lazimnya makan selepas matahari terbenam atau sebelum matahari terbit. Dan tapir tidur di tengah malam.

-----------

Trivia tentang Tapir Malaya:

1. Tapir Malaya merupakan spesies terbesar antara semua jenis tapir.
2. Kumpulan tapir dipanggil candle.
3. Tapir mungkin dilihat sama, tetapi boleh dibezakan secara individu dengan melihat tanda di bahagian leher.
4. Digelar 'pekebun hutan' kerana menyebarkan benih tumbuhan melalui najis mereka.
5. Sejenis haiwan yang senyap, pemalu dan biasa bersendirian.
6. Tapir mencari kaolin untuk meneutralkan racun dari tumbuhan beracun.
7. Anak Tapir Malaya yang lahir di Zoo Edinburg pada Februari 2019 dinamakan "Megat". Berita terkini adalah Megat telah pun meninggal dunia pada April 2019.

Dengan pembiakan yang perlahan dan kehilangan habitat menyebabkan tapir semakin pupus. Statistik PERHILITAN menunjukkan hanya tinggal 700-800 ekor Tapir Malaya di Malaysia dan angka ini mungkin terus berkurangan jika tiada langkah proaktif diambil.



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif