Welcome To My Life...

Thursday, December 24, 2015

Minggu Kedua

Assalamualaikum.

Alhamdulillah, baru saja menamatkan minggu kedua kerja. Kali pertama BERJAYA menjadi pembantu pengawas peperiksaan di universiti. Ya, kali pertama. Akhirnya, berjaya jua. Bukan apa. Sejak tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, aku tiada kesempatan. Kawan-kawan sekelas lain di sekolah menengah dulu ramai yang dah berjaya mengambil peluang tersebut. 

Dua tahun aku di A-Level untuk persediaan ke luar negara, dan dua setengah tahun lagi di International Medical University Bukit Jalil menyambung ijazah perubatan. Cuti semester aku sering tidak bertembung dengan waktu peperiksaan di universiti awam. Bila aku cuti, mereka sedang dalam semester pengajian. Bila peperiksaan mereka berlangsung pula, aku sudah kembali menyambung semester. 

Bezanya, kali ini aku cuti agak lama. Waktu peralihan dari fasa pra-klinikal untuk memasuki fasa klinikal yang mencabar. Cuti tiga bulan. Sesuatu yang asing bagi pelajar perubatan yang biasanya hanya cuti sekejap. Jarang dapat cuti panjang seperti pelajar dalam bidang lain.

Satu pengalaman yang berharga. Selepas temuduga, aku terpilih untuk memberi khidmat bakti untuk mencari duit hasil titik peluh sendiri. Cuti empat hari sempena Maulidur Rasul dan Krismas. Peperiksaan minggu pertama baru tamat. Empat hari dalam proses belajar yang menguji.

Hari pertama dan kedua berlaku kesilapan kerana Nazif masih naif. Kemudian, aku mula belajar untuk memperbaiki kesilapan. Bermula Isnin depan, aku akan bekerja setiap hari termasuk hujung minggu hari Jumaat dan Sabtu. Kerja berbayar tak kisah sangat. 

Moga rezeki mencurah dan dilimpahkan kepada keluarga ini.



Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif