Welcome To My Life...

Monday, July 31, 2017

Valerenga

Assalaualaikum.

Perlawanan jelajah kedua terakhir bagi United.

Valerenga 0-3 Manchester United

Senarai pemain:
Romero; Darmian (Tuanzebe), Bailly (Lindelof), Jones (Smalling), Blind (Fosu-Mensah); Carrick (Herrera), Fellaini (Andreas Pereira), Pogba (McTominay); Mkhitaryan (Martial), Mata (Mitchell), Rashford (Lukaku)

Menjelang perlawanan Piala Super UEFA menentang Real Madrid tidak lama lagi, Mourinho menurunkan barisan yang kuat untuk menghadapi lawan di Oslo, Norway. Gandingan bek tengah Bailly-Jones memulakan perlawanan diapit Darmian dan Blind. Carrick-Fellaini-Pogba membentuk barisan tengah ampuh untuk trio serangan Mkhitaryan-Rashford-Mata. United mendominasi perlawanan seperti dijangka, tetapi gol yang ditunggu tak kunjung tiba. 

Selepas sepakan percumanya terkena benteng pertahanan, Pogba melakukan satu percubaan cantik yang terkena tiang. Pogba dan palang begitu sinonim musim lepas, apabila palang beberapa kali menghalang Pogba dari berada dalam senarai penjaring. Akhirnya, hasil hantaran silang Mkhitaryan, tandukan Fellaini terbias pertahanan lawan dan masuk ke gawang untuk gol pertama United. Satu bukti kegunaan Fellaini ketika tersebar khabar angin Fellaini sedang dirisik kelab Galatasaray.

Tamat separuh masa. Mourinho menukar formasi di separuh masa kedua, dari 4-3-3 kepada 3-5-2. Mourinho juga menukar semua pemain selain penjaga gol. Gandingan tiga pertahanan Tuanzebe-Lindelof-Smalling dipilih. Dua bek sayap ialah Fosu-Mensah (kanan) dan Mitchell (kiri). Jentera tengah dikawal Herrera-Pereira-McTominay. Martial dan Lukaku mengawal jentera serangan.

Hanya dua minit yang diperlukan Lukaku untuk menambah koleksi golnya. Sepakan penjuru Andreas Pereira ditanduk kencang untuk meletakkan United dalam kedudukan selesa. Dua pemain terakhir yang kekal dari separuh masa pertama, Pogba dan Romero, digantikan oleh Scott McTominay dan Joel Pereira. Semua kesebelasan utama telah diganti. 

McTominay menyinar. Gol ketiga diledak cantik. Pemain tinggi lampai berkulit putih ini hampir menjaringkan gol kedua peribadi dan gol keempat United tetapi sepakan lemahnya ke arah gawang terbuka berjaya disekat pertahanan lawan. Namun, bakat McTominay tidak boleh dilepaskan Mourinho. Pemain ini mesti dikekalkan untuk masa depan yang gemilang.

------------------------------------------------

Khabar angin bertiup sebelum perlawanan. Matic sedang menjalani ujian perubatan di padang latihan United. Wakil kelab Galatasaray pula mengatakan mereka sedang berunding untuk membeli Fellaini. Mourinho tidak menafikan tentang Matic, dengan menyatakan dia hanya mahu bercakap tentang perkara yang 'rasmi'. Mourinho juga menolak khabar tentang Fellaini dengan menegaskan kepentingan Fellaini untuknya.

United akan menghadapi perlawanan terakhir jelajah menentang Sampdoria awal pagi Khamis nanti (2.45 pagi waktu Malaysia). Mourinho pasti mengharapkan keputusan positif sebelum turun berdepan juara bertahan Eropah, Real Madrid.



Sunday, July 30, 2017

Kuala Pilah Drill

Assalamualaikum.

Minggu kelima aku dalam posting Obstetrics & Gynaecology (perbidanan dan sakit puan). Tiba giliran kumpulan aku untuk ke peripheral posting yang bertujuan untuk memberi ruang kepada kami belajar lebih banyak dan mengurangkan kesesakan di hospital besar.

Tradisinya, di hospital daerah ini, kami akan berguru dengan seorang pensyarah yang sangat bersemangat dalam mengajar. Sudah banyak cerita-cerita yang didengar tentang kesukaran dan tahap cabaran di sini, jauh dari zon selesa yang menjadi kebiasaan.

Alhamdulillah, selepas seminggu, boleh dikatakan aku belajar lebih banyak berbanding empat minggu (sebulan) sebelumnya. Semuanya kerana 'tekanan' (yang positif) dari pensyarah tersebut, Dr Tun. Dr Tun kerap menekankan perkara asas adalah jawapan kepada banyak persoalan. Tak perlu untuk selalu memikirkan jawapan yang kompleks.

"I have taught in Bukit Jalil, but no one remembers..." (dengan reaksi kecewa)
"Use your brain..." (sambil jari telunjuk mengetuk kepala)
"Common sense, right?"

Dr Tun ialah mentor aku bagi posting ini. Seringkali aku dirujuk sebagai 'my mentee'. Masih jelas saat dia menilai cara kami membuat obstetric examination (memeriksa perut ibu mengandung).

"I will amputate your thumb."
"Repeat five times."
"Minus ten marks."

Bagi Dr Tun, practise makes perfect. Hanya dengan latihan demi latihan yang akan membantu kami untuk tidak lupa. Dia juga berkongsi cara dia belajar semasa zaman universiti dulu. Dia akan membaca langkah-langkah prosedur sebelum melihat prosedur (sama ada pembedahan dan sebagainya). Pengulangan baginya sangat penting dalam mengingati ilmu.

"No pain, no gain"
"Seeing is believing"

Dr Tun juga sering menekankan: melihat adalah cara mudah untuk percaya dan tidak lupa. Pesakit adalah guru yang terbaik. Setiap pesakit begitu unik. Rejim harian Dr Tun untuk para pelajar sangat keras. Berada di hospital pagi, petang, dan malam. Sangat meletihkan, tapi Dr Tun selalu mengingatkan: "no pain, no gain".

-----------------------------------

HOTEL
Memandangkan kelas malam kami berakhir pada jam 11.30 malam, perjalanan pulang ke Seremban pasti memenatkan. Ditambah hakikat bahawa kami perlu berada semula pada sebelah pagi. Maka aku dan ahli kumpulan yang lain menetap di 'Desa Inn'. Kadar harga yang diberikan kepada kami adalah RM50 sebilik. Harga istimewa untuk pelajar IMU yang selalu menghuni di situ dari setiap batch.

Aku dan sorang lagi lelaki dalam kumpulan diberikan bilik dengan dua katil single. Luas biliknya sangat selesa. Penyaman udara sangat sejuk. Sabun mandi disediakan. Internet juga memuaskan. Kualiti yang berbaloi dengan harga.

MAKANAN
Kami tidak ketandusan makanan yang lazat. Berhampiran hospital ada Kafe Seri Melang dengan masakan Melayu yang sangat sedap. Berdekatan hotel kami ada satu restoran kecil dengan makanan India yang menyelerakan. Aku juga berpeluang merasa piza di Pizza Station yang sangat hampir dengan Pizza Hut

----------------------------

Di sini, bilik bersalin seperti tempat wajib bagi kami. Aku menyaksikan saat bersalin normal kali pertama, dan juga pembedahan Caesarean section yang pertama. Begitu banyak hands-on semasa obstetric examination. Memang satu tempoh yang paling penting dalam mencari pengalaman. 'Frasa-frasa wajib' Dr Tun seperti lagu yang bermain di ingatan.

Terima kasih, Dr Tun. Terima kasih, Kuala Pilah.




Tuesday, July 25, 2017

Menang Penalti

Assalamualaikum.

Pemenang Liga Juara-Juara Eropah bertembung dengan pemenang Liga Europa. Bayangan perlawanan Piala Super UEFA pada 8 Ogos nanti yang akan menemukan dua pasukan ini sekali lagi.

Manchester United 1-1 Real Madrid
*United menang penentuan sepakan penalti 2-1

Satu perlawanan yang sangat aneh. Jarang sekali penentuan sepakan penalti berakhir dengan jumlah jaringan yang begitu sedikit. 

Senarai pemain (4-3-3):
Romero (De Gea); Fosu-Mensah (Blind), Bailly (Smalling), Jones (Lindelof), Darmian (Valencia); Carrick (Herrera) ((McTominay)), Fellaini, Andreas Pereira (Pogba); Martial, Rashford (Lukaku), Lingard (Mkhitaryan)

Jose Mourinho tegar dengan prinsipnya untuk memberikan masa permainan yang adil kepada semua pemain untuk membuktikan keupayaan mereka. Walaupun menentang pasukan sebesar Real Madrid yang merupakan juara bertahan benua Eropah, Mourinho tetap merehatkan nama-nama utama seperti Henrikh Mkhitaryan, Paul Pogba, Antonio Valencia, David De Gea, dan Romelu Lukaku.

Namun kesebelasan pilihan Mourinho tetap hebat. Memilih formasi 4-3-3. Tiga pemain tengah yang diberi kepercayaan mengawal jentera tengah ialah Michael Carrick (kapten), Marouanne Fellaini dan Andreas Pereira. Trio serangan pula dibarisi Anthony Martial, Marcus Rashford, dan Jesse Lingard. Gandingan tiga serangkai yang sangat pantas.

Gol pertama perlawanan dijaringkan Lingard yang mudah menampan masuk hantaran Martial. Cara Martial melakukan hantaran tersebut memukau seluruh dunia. Larian Martial memecah masuk dari sayap kiri menewaskan lima orang pemain hasil skil menggelecek yang sangat luar biasa. Lingard mendapat gol yang sewajarnya selepas permainan yang cemerlang.

Lapan pertukaran dilakukan di awal babak kedua: David De Gea, Chris Smalling, Victor Lindelof, Daley Blind, Ander Herrera, Paul Pogba, Henrikh Mkhitaryan, dan Romelu Lukaku. Herrera bertahan tidak sampai sepuluh minit kerana dikasari dan digantikan oleh Scott McTominay. Beberapa peluang dicipta pemain tengah yang masih muda ini. Hantaran silang cantik McTominay kepada Fellaini sepatutnya disudahkan dengan baik tetapi Fellaini gagal. Valencia menjadi pertukaran terakhir, masuk menggantikan Darmian.

Kedudukan 1-1 kekal sehingga wisel akhir ditiupkan.

-----------------------

Penentuan sepakan penalti:

Manchester United (2)
Anthony Martial (x)
Scott McTominay (x)
Henrikh Mkhitaryan (/)
Victor Lindelof (x)
Daley Blind (/)

Real Madrid (1)
Mateo Kovacic (x)
Oscar Rodriguez (x)
Luismi Quezada (/)
Theo Hernandez (x) [miss to side]
Casemiro (x) [hit crossbar]

Tiada masa tambahan selepas tamat masa permainan sebenar. Format pertandingan menjadikan sepakan penalti sebagai penentu kemenangan. Pemain yang memukau dengan bantuan gol cantik kepada Lingard iaitu Anthony Martial menjadi pemain pertama mengambil sepakan dan gagal; sepakannya tinggi melepasi palang gol. Martial lega kerana De Gea menghalang sepakan Kovacic. Sepakan McTominay juga ditepis Kiko Casilla sebelum De Gea sekali lagi menjadi wira, menyekat sepakan Oscar.

Pemain kelima yang mengambil sepakan, Mkhitaryan meletakkan United di depan. Quezada pantas menyamakan kedudukan. Lindelof yang menghadiahkan sepakan penalti dalam masa permainan sebenar, gagal pula menyempurnakan peluangnya, sepakannya terlalu dekat dengan Casilla. Lindelof bernasib baik apabila Hernandez yang dikasarinya dalam 90 minit permainan, menyepak ke sisi gawang United. 1-1 selepas lapan sepakan.

Blind mengambil sepakan kesembilan dan terakhir untuk United. Blind memilih tepat ke tengah untuk menewaskan Casilla, sebelum Casemiro yang menyamakan kedudukan dalam masa sebenar menerusi sepakan penalti, gagal menjadi penyelamat sekali lagi. Sepakan Casemiro terkena palang dan Manchester United menang 2-1 selepas tujuh sepakan penalti gagal.




Sunday, July 23, 2017

Reviu 'Dunkirk'

Assalamualaikum.

Christopher Nolan sememangnya terkenal dengan karya-karya hebat seperti trilogi 'Batman', filem 'Memento', 'Inception', dan 'Interstellar' yang mencapai kutipan untung sangat hebat di seluruh dunia. Nolan kembali dengan filem terbarunya, 'Dunkirk' yang layak ditarafkan mahakarya.

Rating peribadi: 10/10

Latar belakang
Pertempuran Dunkirk (26 Mei-4 Jun 1940) adalah kisah benar semasa Perang Dunia Ketiga yang berlaku di Dunkirk (Perancis) antara British/Perancis menentang tentera Jerman. Askar British (British Expeditionary Force) dan Perancis diserang sehingga terpaksa berundur ke tepi laut di Dunkirk. 'Dunkirk Evacuation' adalah peristiwa penting dalam sejarah Perancis dan England. Jarak pantai Dunkirk d Perancis hanya kurang 40 kilometer dari England dan dua negara ini dipisahkan oleh Selat Dover. 

Seramai 400,000 askar British yang terperangkap di pantai Dunkirk boleh melihat tanah air mereka tapi kapal perang tidak dapat menghampiri tepi pantai kerana kurang kedalaman. Operasi Dynamo dilancarkan Presiden, Winston Churchill ketika askar-askar Perancis sedang bertempur dengan askar-askar Jerman di Lille. 

---------------------------

Filem Nolan biasanya sukar difahami kerana pengarah ini tidak suka bercerita dengan jalan cerita yang lurus dan mudah diramal. Nolan lazimnya dalam filem-filem beliau akan menggunakan jalan cerita tidak linear dan membuat otak penonton bekerja. Sama juga dalam filem Dunkirk ini, Nolan memberikan klu yang jika disedari, akan memudahkan penonton memahami jalan cerita. Aku terfikir juga semalam tentang klu-klu yang diberikan tapi gagal untuk mencari kaitan. Hari ini, ia jelas, terang, dan nyata.

Seminggu di jeti
Tentera British terpaksa menunggu bantuan tiba. Mereka sudah terkepung. Serangan tentera Jerman mengundurkan mereka dan tentera Perancis hingga ke tepi pantai Dunkirk. Kedalaman pantai itu tidak cukup untuk kapal perang British bergerak hampir ke tepi. Bot dan kapal lebih kecil terpaksa dihantar. Watak Kolonel dalam filem ini menyatakan sasaran mereka untuk dibawa pulang hanya 40,000 sedangkan jumlah askar yang ada hampir 400,000. Keadaan tidak aman dengan tentera Jerman menggunakan jalan udara atas arahan Presiden Hitler. 

Sehari di laut
Sebaik seruan dilakukan kepada masyarakat awam untuk membantu membawa pulang tentera, sebanyak hampir 700 buah bot/kapal (The Little Ships of Dunkirk) untuk membantu misi menyelamat. Salah satu karakter orang awam dalam filem ini ialah watak Encik Dawson yang membawa bot bersama anaknya dan seorang lagi lelaki, George. Mereka bergerak bersama kapal-kapal lain dalam walaupun kacau bilau di laut dengan serangan udara dari pihak Jerman.

Sejam di udara
Garis masa di udara hanya sejam antara kapal-kapal terbang Luftwaffe dan kapal-kapal terbang Spitfires. Jerman melakukan serangan udara untuk menggagalkan Operasi Dynamo. Hanya tiga kapal terbang ditunjukkan dalam filem ini (skuad Fortis). Aspek altitud dan minyak begitu ditekankan. Dogfight antara juruterbang Luftwaffe dan Spitfires berulang-ulang. Babak kapal terbang Fortis 2 membuat pendaratan kecemasan kerana ditembak sangat menarik. Begitu juga babak Fortis 1 mendarat biasa selepas kehabisan minyak. Kapal terbang Spitfires ini sememangnya stabil walaupun kehabisan minyak (satu fakta yang disampaikan dengan sangat baik oleh Nolan).

Dunkirk yang sempurna
Tiga jalan cerita di jeti, laut, dan udara diadun dengan sangat baik sehingga menjadi satu mahakarya yang mengagumkan. Moral yang cuba disampaikan Nolan begitu mudah: bahawa tentera dan masyarakat awam saling memerlukan. Jika biasanya tentera yang menyelamatkan masyarakat awam, sejarah Operasi Dynamo ini menyaksikan sebaliknya berlaku.

Satu kekuatan filem Dunkirk adalah kurangnya dialog yang dituturkan. Nolan menggunakan kekuatan visual untuk menceritakan sejarah besar British ini. Bahasa filem aras tinggi ini adalah 'show but don't tell'. Nolan tidak menyuap penonton satu-persatu tapi mahu otak penonton bekerja.

Nolan juga sangat terperinci dalam ketepatan fakta sejarah. Filem ini majoritinya tentang tentera, laut, pantai, dan udara. Askar-askar Nazi Jerman tidak kelihatan kerana pada ketika ini mereka sedang bertempur di Lille dengan tentera Perancis. Itu juga sebabnya majoriti askar di pantai ialah askar British.



Saturday, July 22, 2017

Reviu 'Baby Driver'

Assalamualaikum.

Amaran: spoiler! spoiler! spoiler!

Crazy cracking movie but it's beautiful!

Rating peribadi: 9/10

Aku baru saja menonton filem 'Baby Driver'. Aku memilih untuk menonton filem ini di pawagam kerana ratingnya yang tinggi di IMDb (8.3). Trailer filem ini yang aku lihat sebelum bermula tayangan 'War for the Planet of the Apes' juga nampak menarik.

Filem ini dibuka dengan bang! Aksi rompakan dan seterusnya kejar-mengejar dengan polis yang menarik. Jiwa kelajuan hero filem ini, 'Baby' yang menjadi pemandu kepada para perompak itu terserlah sambil earphone dipasang di telinganya mendengar lagu kegemaran. Rompakan pertama ini 'Baby' terlibat bersama 'Buddy' dan kekasihnya 'Darling' dan seorang lagi lelaki. Ketua kepada kumpulan ini ialah 'Doc'. Fakta tentang Doc: dia tidak gemar bekerja dua kali dengan kru rompakan yang sama.

Apabila filem ini berlanjutan, penglibatan 'Baby' dalam siri rompakan ini didedahkan 'Doc' kepada 'Bats', 'JD' dan seorang lagi perompak bahawa 'Baby' telah 'berhutang' dengan 'Doc' kerana mencuri kereta Mercedes 'Doc' satu ketika dulu dan bekerja semata-mata untuk membayar hutangnya. Rompakan pada pembukaan filem adalah sepatutnya yang kedua terakhir sebelum dia melangsaikan hutangnya semasa merompak bersama 'Bats'.

'Doc' memaklumkan kepada 'Bats' bahawa 'Baby' mendengar lagu di telinga kerana mengalami masalah 'tinnitus' iaitu bunyi berdering di telinganya. 'Bats' cuba mencabar kesabaran 'Baby' kerana tak banyak berbicara tetapi gagal. Rompakan dengan 'Bats' yang sepatutnya menjadi kerja terakhir 'Baby' untuk membayar hutang 'Doc' terhadap van pembawa wang bank berjaya hasil kecekapan pemanduan 'Baby'. Selepas pulang ke markas, 'JD' dibunuh oleh 'Bats' yang tidak berpuas hati.

Konflik bermula apabila 'Baby' jatuh cinta dengan heroin di kedai Bo's Diner iaitu Debora. 'Baby' mendapati bahawa Debora juga suka mendengar lagu dan menyanyi sama sepertinya. Debora mempunyai impian untuk lari dari realiti dan menyusuri lebuh raya yang sunyi hanya berdua sambil mendengar lagu. 'Baby' bercadang untuk menunaikan impian Debora memandangkan kerjanya bersama 'Doc' sudah berakhir.

Malang bagi 'Baby', gerak gerinya diekori 'Doc' yang mengganggu makan malamnya bersama Debora dan mengajak 'Baby' menjadi pemandu untuk satu lagi rompakan. 'Doc' mengugut untuk mencederakan 'Baby' serta membunuh orang-orang yang 'Baby' sayangi seperti Debora dan juga lelaki tua yang menjaga 'Baby' sejak kematian ibu ayahnya dalam kemalangan, iaitu Joe yang bisu. 'Baby' setuju dalam terpaksa.

'Baby' terkejut apabila kru rompakan kali ini ialah 'Bats', 'Buddy' dan 'Darling'. Semasa membeli senjata dari rakan niaga 'Doc', 'Bats' telah menimbulkan kekacauan dengan membunuh semua geng di sana kerana risau akan ditangkap selepas menyedari rakan niaga 'Doc' bekerja sebagai polis. Kepulangan mereka ke markas 'Doc' disambut kemarahan 'Doc' kerana dia tidak menerima panggilan pengesahan yang biasa. Lazimnya, selepas urusan pembelian, 'Doc' akan menerima kod 'Bananas' melalui panggilan. 'Bats' menipu dengan mengatakan pihak sana memulakan tembakan dan diiyakan oleh 'Buddy'.

Bermulalah klimaks cerita apabila 'Baby' mahu lari bersama Debora tapi cubaannya pada jam 2 pagi gagal kerana dihalang 'Bats' dan 'Buddy'. 'Baby' terpaksa setuju untuk menjadi pemandu kepada rompakan pejabat pos. Selepas rompakan wang pos itu selesai, 'Baby' menghentam lori di depan keretanya. 'Bats' terbunuh kerana badan tertusuk tiang. 'Baby', 'Buddy' dan 'Darling' lari sambil dikejar pihak polis.

Dalam satu aksi tembak-menembak, 'Darling' telah ditembak mati. 'Baby' lari bersama wang pos yang dirompak. Apabila sampai di Bo's Diner pada sebelah malam untuk membawa Debora lari jauh bersamanya, 'Baby' terkejut melihat 'Buddy' sedang menunggunya bersama sepucuk pistol. Dalam cubaan melarikan diri dari 'Buddy', 'Baby' singgah ke markas 'Doc' untuk meminta satu kaset lagu yang penting baginya. Sebelum sempat lari, 'Buddy' yang telah ditembak di Bo's Diner sampai di tempat letak kereta dan membunuh 'Doc'. Berlaku pertarungan terakhir yang akhirnya menyaksikan 'Buddy' juga mati selepas menembak kedua-dua belah telinga 'Baby'.

'Baby' dan Debora dikepung polis pada pagi esoknya dan 'Baby' menyerah diri kerana tidak mahu lari lagi. 'Baby' dipenjarakan dalam tempoh 25 tahun walaupun ada testimoni baik dari beberapa orang termasuk Joe dan Debora. 'Baby' dibebaskan awal kerana berkelakuan baik dan melihat Debora menantinya seperti yang dijanjikan.

Sweet and happy ending.



Friday, July 21, 2017

Manchester is Red

Assalamualaikum.

100%, tiga kemenangan dari tiga perlawanan.


Selepas membenam Los Angeles Galaxy 5-2 dan kemudian menewaskan Real Salt Lake 2-1, Manchester United berdepan kelab dari bandar yang sama, Manchester City, untuk derby pertama di luar negara.

Keputusan akhir perlawanan: Manchester United 2-0 Manchester City

Dua penyudah yang cemerlang dari dua orang penyerang, dan gawang tidak dibolosi. Keputusan sempurna untuk pasukan utama bandar Manchester ini untuk mendiamkan jiran setempat.

Senarai pemain Manchester United:
De Gea (Romero); Valencia (Fosu-Mensah), Lindelof (Bailly), Smalling (Jones), Blind (Darmian); Herrera (Carrick), Pogba; Rashford (Martial), Mkhitaryan (Fellaini), Lingard (Andreas Pereira); Lukaku

Mourinho memulakan perlawanan dengan formasi 4-2-3-1 (4-5-1) dengan empat pertahanan berbanding tiga pertahanan yang digunakan ketika menentang LA Galaxy. Jika ditolak Juan Mata yang cedera, skuad ini boleh dikatakan skuad terbaik yang dapat dibariskan Mourinho untuk musim baru. 

Kedua-dua pasukan berbalas serangan di awal permainan. Ederson beraksi cemerlang di gawang City, beberapa kali menghalang percubaan jarak jauh Ander Herrera. Gol yang dinanti-nantikan akhirnya tiba apabila hantaran lambung Paul Pogba ditanduk Romelu Lukaku untuk melepasi Ederson. Lukaku berdepan sudut yang sukar tetapi rembatan kencang kaki kirinya tepat ke sasaran! Hanya dua minit berselang, lorongan cantik Henrikh Mkhitaryan disudahkan dengan baik oleh Marcus Rashford.

Beberapa pemain dimasukkan dari bangku simpanan oleh kedua-dua pengurus untuk memberikan masa permainan yang adil kepada anggota skuad. Tetapi keputusan 2-0 kekal sehingga wisel akhir ditiupkan. Hak bersorak di bandar Manchester milik para peminat United!

Perlawanan seterusnya bertemu Real Madrid, jam 5 pagi Isnin (waktu Malaysia)



Tuesday, July 18, 2017

Menang Lagi

Assalamualaikum.

Perlawanan pra-musim kedua di bumi Amerika Syarikat. Keputusan penuh:

REAL SALT LAKE 1-2 MANCHESTER UNITED
Separuh masa: 1-2
Kad merah: Antonio Valencia

Skuad separuh masa pertama: 
Joel Pereira; Fosu-Mensah, Lindelof, Jones, Blind; Carrick, McTominay; Mkhitaryan, Pogba, Lingard; Lukaku

Skuad separuh masa kedua:
Romero; Valencia, Smalling, Bailly, Darmian; Herrera, Andreas Pereira, Fellaini; Mata (Mitchell), Martial (Tuanzebe), Rashford

Secara keseluruhan, permainan Manchester United kali ini tidak memuaskan jika dibandingkan dengan perlawanan menentang Los Angeles Galaxy sebelum ini. Real Salt Lake lebih memberikan cabaran dan para pemain United kelihatan tergugat. Jose Mourinho sekali lagi memberikan masa permainan kepada semua pemainnya.

United bermula perlahan dan para pemain Real Salt Lake mengatur serangan demi serangan ke kubu United. Akhirnya Luis Silva meletakkan pasukannya di depan hasil lorongan cantik Jefferson Savarino. Gol penyamaan United hadir menerusi Henrikh Mkhitaryan. Jesse Lingard bertukar hantaran dengan Romelu Lukaku sebelum Lingard menolak bola kepada Mkhitaryan yang menahan sebelum meledak dengan sentuhan kedua.

Gol kedua (dan kemenangan United) dijaringkan Lukaku yang tenang menggelecek pertahanan dan penjaga gol lawan sebelum menewaskan pertahanan terakhir di dalam kotak penalti. Penyudah itu nampak mudah tetapi ketenangan Lukaku wajar dipuji. Gol yang menaikkan semangat dan keyakinan menjelang musim baru.

Tiada tambahan gol di separuh masa kedua tetapi beberapa insiden berlaku. Antonio Valencia mengasari pemain lawan di tengah padang. Pengadil meminta Mourinho menukar Valencia tetapi ditolak oleh Mourinho. Pengadil terus melayangkan kad merah kepada Valencia. Juan Mata pula tercedera dan digantikan oleh Demetri Mitchell. Anthony Martial pula kecewa selepas digantikan dengan Axel Tuanzebe pada minit terakhir permainan.

Perlawanan seterusnya lebih getir menentang Manchester City. Mourinho menyatakan polisi masa permainan mungkin diubah dari 45-45 kepada semua pemain menjadi 60-30 untuk memberikan keadilan kepada semua menentang pasukan-pasukan besar seperti City, Real Madrid, dan Barcelona dalam jelajah kali ini.





Monday, July 17, 2017

Bergaya

Assalamualaikum.

Sesi latihan pra-musim adalah masa yang sempurna bagi kelab-kelab di seluruh dunia untuk persediaan bagi musim baru dan juga menguji para pemain yang baru dibeli untuk disesuaikan dalam formasi pengurus. 

Seperti kebiasaan, Manchester United sekali lagi memilih Amerika Syarikat sebagai lokasi latihan pra-musim mereka kali ini. 

Keputusan perlawanan pertama Manchester United di bumi Amerika Syarikat:
MANCHESTER UNITED 5-2 LOS ANGELES GALAXY
(separuh masa: 3-0)

Skuad separuh masa pertama: De Gea; Jones, Smalling, Blind; Valencia, Fellaini, Herrera, Carrick, Lingard; Mata, Rashford

Skuad separuh masa kedua: Joel Pereira; Tuanzebe, Lindelof, Bailly; Fosu-Mensah (Mitchell), Pogba, Andreas Pereira, Mkhitaryan, Darmian; Martial, Lukaku

Jose Mourinho menukar keseluruhan pasukannya untuk separuh masa kedua bagi memberikan minit permainan yang adil kepada semua. Dua pemain baru, Victor Lindelof dan Romelu Lukaku bermula di bangku simpanan ketika Mourinho memulakan perlawanan dengan skuad yang sama musim lepas. Dan skuad separuh masa pertama beraksi cemerlang untuk mendahului 3-0. Seawal minit kedua, Marcus Rashford mudah meledak berpunca dari kesilapan pertahanan LA Galaxy.

Rashford kemudian menambah gol kedua dengan rembatan leret hasil lorongan cantik Juan Mata. Rashford mencipta gol ketiga United dengan menolak bola kepada Marouane Fellaini yang tenang membuat penyudah untuk kedudukan selesa. Skuad bertukar semasa rehat separuh masa.

Henrikh Mkhitaryan meledak gol keempat United, mudah menolak masuk hantaran Anthony Martial. Gol kelima dijaringkan Martial sendiri hasil hantaran dari Timothy Fosu-Mensah. Giovani dos Santos sempat meledak dua kali untuk merapatkan jurang tetapi kemenangan tetap milik United yang menceriakan peminat di seluruh dunia.

Perlawanan kedua bertemu Real Salt Lake esok jam 10 pagi waktu Malaysia.



Sunday, July 16, 2017

Nombor Skuad

Assalamualaikum.

Senarai nombor skuad para pemain Manchester United untuk musim baru 2017/2018 telah dikeluarkan sebelum perlawanan pra-musim menentang Los Angeles Galaxy di Amerika Syarikat pagi tadi.

1-11

12-22


Sebanyak 25 pemain telah diberi nombor jersi yang akan dipakai sepanjang musim baru nanti. Berikut adalah nombor jersi dan nama pemain:

1. DAVID DE GEA (penjaga gol)
2. VICTOR LINDELOF (pertahanan)
3. ERIC BAILLY (pertahanan)
4. PHIL JONES (pertahanan)
5. MARCOS ROJO (pertahanan)
6. PAUL POGBA (pemain tengah)
8. JUAN MATA (pemain tengah)
9. ROMELU LUKAKU (penyerang)
11. ANTHONY MARTIAL (pemain tengah/penyerang)
12. CHRIS SMALLING (pertahanan)
14. JESSE LINGARD (pemain tengah)
15. ANDREAS PEREIRA (pemain tengah)
16. MICHAEL CARRICK (pemain tengah)
17. DALEY BLIND (pertahanan)
18. ASHLEY YOUNG (pemain tengah)
19. MARCUS RASHFORD (penyerang)
20. SERGIO ROMERO (penjaga gol)
21. ANDER HERRERA (pemain tengah)
22. HENRIKH MKHITARYAN (pemain tengah)
23. LUKE SHAW (pertahanan)
24. TIMOTHY FOSU-MENSAH (pertahanan)
25. ANTONIO VALENCIA (pertahanan)
27. MAROUANE FELLAINI (pemain tengah)
36. MATTEO DARMIAN (pertahanan)
38. AXEL TUANZEBE (pertahanan)

Tiga pemain telah meninggalkan Manchester United secara kekal setakat ini: Zlatan Ibrahimovic (dilepaskan), Wayne Rooney (ke Everton), dan Adnan Januzaj (ke Real Sociedad). Ibrahimovic meninggalkan jersi nombor 9 yang telah diambil oleh Lukaku. Rooney meninggalkan jersi nombor 10 yang telah lama dipakai.

Kini, pemilik jersi nombor 7 dan nombor 10 menjadi tanda tanya.



Friday, July 7, 2017

Reviu 'Spiderman: Homecoming'

Assalamualaikum.

*AMARAN: entri penuh dengan spoiler!

Malam tadi aku diberikan kesempatan untuk menonton filem adiwira 'Spiderman: Homecoming' yang baru ditayangkan di Malaysia. 

Rating: 9/10

AKSI

Filem ini tidaklah padat dengan aksi dari awal sehingga akhir. Babak aksi aku kira sudah cukup memadai. Kesan khas aku kira bagus walaupun di mata aku teknologi dalam filem ini seperti melampau. Teknologi canggih yang terpaksa dihadapi oleh lelaki labah-labah (baca: Spiderman) amat luar biasa. Babak-babak aksi ini sudah semestinya tidak realistik tetapi sederhana untuk mengujakan.

CINTA

Tiada Spiderman tanpa heroinnya. Watak heroin dalam filem ini bukanlah seorang yang berkulit putih tetapi seorang yang berkulit agak gelap dan bernama Liz. Peter Parker meminati Liz tetapi tidak mempunyai keberanian untuk melafazkannya (sehingga hujung filem!). 

Malangnya, bagi aku yang romantis, layanan hero (Peter Parker) terhadap Liz dalam filem ini sangat tidak memuaskan. Pengakhiran kisah Peter dan Liz juga sangat tidak menyenangkan. Diulang, sangat menjengkelkan.

PLOT TWIST

Spoiler! Spoiler!! Spoiler!!! Menarik sekali plot twist yang digunakan dalam filem ini. Sedang asyik Peter menyayangi Liz dan berjaya mengajak Liz sebagai pasangan ke parti homecoming di sekolah mereka, dan ketika datang ke rumah Liz untuk menjemput Liz ke parti itu, Peter mendapati ayah Liz ialah musuh yang dihadapinya dari awal filem.

RUMUSAN

Secara ringkasnya, filem ini berkisar tentang cubaan Peter Parker dalam Program Intern Stark (Ironman) di mana Peter sangat amat teringin untuk menyertai pasukan Avengers. Kisah utama sepanjang filem ini adalah usaha Peter untuk menambat hati Tony Stark. Peter mengambil langkah berani untuk berseorangan menentang watak antagonis yang menggunakan teknologi canggih. Satu ketika, sut Spiderman Peter telah dirampas untuk mencabar kebolehannya. 

Di samping kisah utama, kisah sampingan termasuklah usaha Peter memikat cinta Liz, kisah pasukan dekatlon akademik sekolah mereka diketuai Liz ke peringkat kebangsaan, kisah Peter dan mak ciknya May, kisah Ned rakan baik Peter yang obesiti, dan kisah antagonis cuba menjual senjata canggih kepada penjenayah untuk kelangsungan hidup. 

KESELURUHAN

Aku tidak dapat memberikan rating yang lebih tinggi kerana aku agak kecewa dengan kesudahan cinta Peter dan Liz dalam filem ini. Liz terpaksa berpindah kerana ayahnya telah ditangkap. Maka terpisahlah Liz dari Peter (mungkin buat seketika).

Satu lagi tidak memuaskan hati aku adalah penolakan Peter Parker di akhir cerita apabila Tony Stark menawarkan tempat dalam pasukan Avengers untuknya. Peter memilih untuk menjadi wira kepada rakyat marhaen di kejiranannya dari menyambut impiannya untuk berjuang dengan adiwira-adiwira Avengers. Peluang itu dilepaskan Peter yang mengejutkan Tony kerana dia telah mengatur satu sidang media pelancaran ahli baru Avengers iaitu Spiderman. Sedikit komedi di hujung cerita.

Spiderman akan kembali bersama Avengers dalam filem Marvel akan datang. 



Tuesday, July 4, 2017

Doktor Jumpa Doktor

Assalamualaikum.

Ahad, 2 Julai 2017.

Rasa lemah satu badan. Maka berangkatlah diri ini ke klinik kesihatan. Dah lama rasanya tak rasa kurang sihat sampai macam ni. Bahana viral fever.

Daftar, kemudian ambik nombor giliran. Maju ke kaunter saringan. Tekanan darah agak tinggi. Nurse tanya demam dah berapa hari, kemudian tanya pulak nak ambik darah tak. Aku geleng. Dah lama rasanya tak ambik darah. InsyaAllah, sebagai bakal doktor, aku yakin ini bukan demam denggi.

Lepas tunggu beberapa ketika, baru dapat jumpa doktor. Soalan sama diajukan lagi: demam dah berapa hari. Doktor lelaki ni pulak suruh pergi ambik darah. Dengan berat hatinya aku gagahkan jugak walaupun malas rasanya. Tak lain tak bukan, nak rule out demam denggi. 

Terpaksa menunggu lagi. Bila sampai giliran aku, dua orang nurse (termasuk seorang sister) cuba tak dapat. Tiga kali cucuk di kedua-dua lengan kiri dan kanan. Katanya veins dah nampak tapi tak nak timbul walaupun aku dah genggam tangan. 

Doktor yang nak darah aku tadi terpaksa dipanggil. Dia cuba sekali terus dapat, alhamdulillah. Nak dapat tu pun dah empat kali cucuk jugaklah. Belum kira nurse tadi pusing-pusing jarum sebab tak dapat darah.


Kemudian ke makmal pula. Lepas dapat keputusan ujian darah, baru jumpa doktor. Aku dah semak dulu keputusan sebelum masuk. Memang clear. Tak ada tanda yang konsisten dengan denggi (hematocrit tinggi tanda darah menjadi pekat, dan platelet rendah). Bacaan hematocrit aku hari tu lebih kurang 45, konsisten dengan bacaan hemoglobin (lebih kurang 15). Biasanya hematocrit memang tiga kali ganda hemoglobin. Bacaan platelet pula 403 (normal 150-400).

Doktor pun sahkan aku tidak mengalami demam denggi (seperti yang dijangka). Tak pasal-pasal kena cucuk empat kali. Aku diberi ubat demam (paracetamol), ubat selsema (loratadine), antibiotik (EES) dan ubat batuk (diphenhydramine). Aku mintak ulang blood pressure measurement. Doktor pun buatlah dua kali sambil bercerita bahawasanya tekanan darah memang akan naik bila demam.

Sebenarnya doktor, saya dah tahu semua tu. Saja saya nak tengok doktor ni macam mana. Penyabar orangnya Dr. S. 



Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif