Welcome To My Life...

Thursday, December 24, 2015

Minggu Kedua

Assalamualaikum.

Alhamdulillah, baru saja menamatkan minggu kedua kerja. Kali pertama BERJAYA menjadi pembantu pengawas peperiksaan di universiti. Ya, kali pertama. Akhirnya, berjaya jua. Bukan apa. Sejak tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, aku tiada kesempatan. Kawan-kawan sekelas lain di sekolah menengah dulu ramai yang dah berjaya mengambil peluang tersebut. 

Dua tahun aku di A-Level untuk persediaan ke luar negara, dan dua setengah tahun lagi di International Medical University Bukit Jalil menyambung ijazah perubatan. Cuti semester aku sering tidak bertembung dengan waktu peperiksaan di universiti awam. Bila aku cuti, mereka sedang dalam semester pengajian. Bila peperiksaan mereka berlangsung pula, aku sudah kembali menyambung semester. 

Bezanya, kali ini aku cuti agak lama. Waktu peralihan dari fasa pra-klinikal untuk memasuki fasa klinikal yang mencabar. Cuti tiga bulan. Sesuatu yang asing bagi pelajar perubatan yang biasanya hanya cuti sekejap. Jarang dapat cuti panjang seperti pelajar dalam bidang lain.

Satu pengalaman yang berharga. Selepas temuduga, aku terpilih untuk memberi khidmat bakti untuk mencari duit hasil titik peluh sendiri. Cuti empat hari sempena Maulidur Rasul dan Krismas. Peperiksaan minggu pertama baru tamat. Empat hari dalam proses belajar yang menguji.

Hari pertama dan kedua berlaku kesilapan kerana Nazif masih naif. Kemudian, aku mula belajar untuk memperbaiki kesilapan. Bermula Isnin depan, aku akan bekerja setiap hari termasuk hujung minggu hari Jumaat dan Sabtu. Kerja berbayar tak kisah sangat. 

Moga rezeki mencurah dan dilimpahkan kepada keluarga ini.



Thursday, November 26, 2015

MSN

Assalamualaikum.

Matchday 5 Part 1

Awal pagi semalam milik trio berbisa Barcelona. Lionel MESSI, Luis SUAREZ, dan NEYMAR (atau MSN), terus mengganas dan meratah pasukan lawan dengan ketajaman gandingan mereka. Jumlah gol yang dijaringkan trio ini saja sudah melebihi gol yang dijaringkan keseluruhan pasukan Real Madrid untuk tahun 2015. Satu perkataan, mesin!

------------------------------

KUMPULAN E

BATE Borisov 1-1 Bayer Leverkusen
(Mikhail Gordeichuk, Admir Mehmedi)
Barcelona 6-1 AS Roma
(Luis Suare x2, Lionel Messi x2, Gerard Pique, Adriano, Edin Dzeko)

Jaringan penyamaan lewat dari Admir Mehmedi membenarkan pelawat dari Jerman untuk bertahan dalam merebut slot ke pusingan seterusnya dalam aksi di Belarus. Peluang Leverkusen masih belum tertutup memasuki perlawanan terakhir. Posisi tempat kedua untuk mengiringi Barca masih terbuka untuk tiga lagi pasukan. Takhta pemenang kumpulan pula sudah sah milik Barca yang membelasah pelawat dari Itali dalam aksi di gelanggang sendiri. Trio MSN masih lagi gagal dikekang.

Kedudukan: Barcelona 13; Roma 5; Leverkusen 5; BATE 4

------------------------------------

KUMPULAN F

Arsenal 3-0 Dinamo Zagreb
(Mesut Ozil, Alexis Sanchez x2)
Bayern Munich 4-0 Olympiakos
(Douglas Costa, Robert Lewandowski, Thomas Muller, Kingsley Coman)

Arsenal (England) mengatasi pelawat dari Croatia dengan tiga gol tanpa balas untuk menghidupkan sisa-sisa peluang untuk layak ke pusingan kalah mati. Bayern pula mencatat kemenangan keempat dari lima perlawanan untuk mengukuhkan cengkaman di persada. Seperti juga trio MSN milik Barca, bisa gandingan berkembar Robert Lewandowski dan Thomas Muller menjadi igauan pasukan lawan.

Kedudukan: Bayern 12; Olympiakos 9; Arsenal 6; Zagreb 3

-----------------------------------

KUMPULAN G

Porto 0-2 Dynamo Kyiv
(Andriy Yarmolenko, Derlis Gonzalez)
Maccabi Tel-Aviv 0-4 Chelsea
(Gary Cahill, Willian, Oscar, Kurt Zouma)

Porto tewas lagi, kali ini di tempat sendiri (Portugal). Kemenangan pelawat menghidupkan peluang pasukan Ukraine itu untuk melangkah jauh. Chelsea pula membelasah tuan rumah di Israel untuk mencerahkan kemungkinan mara ke pusingan kedua. Chelsea hanya mendahului dengan satu gol menuju ke penghujung permainan, dan berjaya menambah tiga lagi gol untuk menang bergaya.

Kedudukan: Chelsea 10; Porto 10; Dynamo Kyiv 8; Maccabi 0

-------------------------------------

KUMPULAN H

Zenit 2-0 Valencia
(Oleg Shatov, Artem Dzyuba)
Lyon 1-2 Gent
(Jordan Ferri, Danijel Milicevic, Kalifa Coulibaly)

Tuan rumah, Zenit, menang di Rusia dengan dua gol tanpa balas untuk menjadi satu-satunya pasukan yang mencatat lima kemenangan berturut-turut dan mengutip mata maksimum. Kelab Belgium, Gent, pula menang di Perancis untuk memintas Valencia dan merampas tempat kedua.

Kedudukan: Zenit 15; Gent 7; Valencia 6; Lyon 1

-------------------------------

Trio Barca, Messi-Suarez-Neymar (MSN), dan peledak hebat Bayern, Lewandowski-Muller, terus memusnahkan lawan demi lawan. Mungkinkah Barca dan Bayern beradu kekuatan dalam final bulan Mei tahun depan? Jika ya, gandingan manakah lebih berbisa? Persoalan itu kita biarkan menjadi tanda tanya.

Bagaimanakah nasib pasukan gergasi Real Madrid, Juventus, Manchester United, dan Manchester City? Semuanya akan terjawab dalam perlawanan kelima Kumpulan A-D.


Saturday, November 21, 2015

Brilliant Victory

Assalamualaikum.

Glory glory Manchester United!

Pasukan kegemaran aku baru saja memenangi perlawanan Liga Perdana Inggeris sebentar tadi. Beraksi di tempat lawan, Manchester United menumbangkan Watford 2-1. Walaupun menjaringkan gol di awal babak pertama dan mendahului sepanjang perlawanan, sepakan penalti yang diperoleh lewat di hujung permainan hampir memberikan satu mata bertuah buat Watford yang tidak ada bezanya seperti merompak dari yang berhak. Namun, tuah bersama United. 

United memulakan perlawanan tanpa beberapa bintang utama. Anthony Martial, Wayne Rooney, Michael Carrick, dan Marouane Fellaini, tidak cergas untuk beraksi. Memphis Depay yang sekian lama memanaskan bangku simpanan kembali disenaraikan dalam kesebelasan utama selaku penyerang tunggal. Juan Mata, Ander Herrera, dan Jesse Lingard membentuk gandingan tiga serangkai di belakang Depay. Kepercayaan pengurus, Louis Van Gaal, dibalas Depay apabila penyerang itu menjaringkan gol pembukaan United.

Selepas gol itu, United tidak berdepan banyak masalah menguasai permainan seperti biasa. Manchester United dan penguasaan bola sangat sinonim musim ini dengan Van Gaal menerapkan corak membina serangan secara perlahan. Namun sesekali Watford mara menduga kemampuan penjaga gawang United, David De Gea. Keputusan 1-0 kekal sehingga tinggal beberapa minit lagi untuk tamat masa permainan sebenar. Marcos Rojo mengasari pemain lawan dan pengadil menghadiahkan sepakan penalti kepada tuan rumah.

Troy Deeney menyempurnakan sepakan tersebut untuk menceriakan penyokong Watford. Para peminat United merasakan satu mata yang akan dikutip Watford seperti dicuri dari mereka kerana United telah mendahului hampir keseluruhan perlawanan. Itulah peraturan permainan bola sepak di mana pemenang perlawanan bukan ditentukan oleh pasukan yang lebih banyak menguasai bola. United gagal menterjemah serangan kepada gol dan dosa mereka itu wajar dihukum.

Masih ada sedikit masa untuk drama. United tidak berhenti memburu gol seperti kebiasaan sebaliknya mencari gol kemenangan. Gol berharga yang dicari itu berjaya ditemui dalam masa kecederaan apabila Bastian Schweinsteiger pantas menyambar bola muntah yang ditepis penjaga gawang Watford. Schweinsteiger melakukan hantaran lintang yang ditampan penjaring gol Watford (Deeney) ke gawang sendiri. United mendahului buat kali kedua dengan baki masa kurang dua minit sebelum wisel penamat ditiupkan.

Akhirnya, kemenangan berharga di tempat lawan menjadi milik Manchester United. Mereka kini di takhta liga buat seketika sebelum Arsenal bertembung dengan West Brom, manakala Manchester City berdepan cabaran Liverpool. Perjalanan masih panjang, dan juara hanya akan ditabalkan pada bulan Mei. Namun United kini berada dalam posisi baik untuk merebut kejuaraan liga.




Tuesday, November 17, 2015

It's Over

Assalamualaikum.

Alhamdulillah, finally Sem 5 exam is over. I'm just glad that it's over. Objective Structured Clinical Examination. I have been waiting for this exam since I first stepped in IMU Bukit Jalil. 10 total stations, with 8 active stations for one day. Total 16 active stations in two days. They call this exam Big Bang Part II for a reason. 

InsyaAllah, semuanya berjaya dijawab dengan baik. Keputusan? Biarlah takdir yang menentukan. Ada masa 10 hari sebelum keputusan peperiksaan diumumkan pada 27 November. Cuti tiga bulan sudah pun bermula menandakan tamatnya fasa pra-klinikal dan separuh perjalanan dalam pengajian ijazah perubatan.

Fasa klinikal akan bersambung di Seremban bulan Mac nanti. Mimpi untuk belajar di luar negara sudah berakhir. Tapi mimpi untuk menjadi seorang doktor masih tetap diperjuangkan. Tiada penyesalan memilih jalan yang panjang berliku ini. 

Malam ini, senior Muslim semester lima akan diraikan. Rasa seperti baru semalam aku menjadi pelajar semester pertama meraikan senior di semester lima. Kini tiba giliran aku untuk diraikan oleh para junior. Begitu pantas masa berlalu.

Perjalanan masih panjang.


Saturday, November 7, 2015

Akhirnya

Assalamualaikum.

Akhirnya.... kemenangan menjadi milik Manchester United. Sukar untuk menjadi penyokong pasukan ini apabila tiga keputusan seri tanpa jaringan berturut-turut termasuk peristiwa tersingkir dari Piala Liga. Walaupun hanya satu gol, sudah cukup untuk menggembirakan penyokong setia seperti aku. Pintu masih terbuka luas dan Manchester United belum sah layak tetapi hanya tinggal dua lagi perlawanan.

Bagaimana nasib pasukan lain?

----------------------------------

KUMPULAN A

Shakhtar Donetsk 4-0 Malmo
 (Olexandr Gladkiy, Darijo Srna, Eduardo, Alex Teixeira)
Real Madrid 1-0 Paris Saint-Germain
 (Nacho)

Tuan rumah menang besar di Ukraine namun masih mengharapkan keajaiban jika berhasrat ke pusingan seterusnya kerana dua pasukan gergasi masih kekal di persada kumpulan. Kejayaan Real Madrid memungut tiga mata penuh di tempat sendiri (Sepanyol) mengatasi pelawat dari Perancis meletakkan mereka di takhta kumpulan.

Kedudukan: Real 10; PSG 7; Shakhtar 3; Malmo 3

-----------------------------------

KUMPULAN B

Manchester United 1-0 CSKA Moscow
(Wayne Rooney)
PSV Eindhoven 2-0 Wolfsburg
(Jurgen Locadia, Luuk de Jong)

Saingan kumpulan ini masih terbuka untuk kesemua pasukan. Kemenangan tipis Manchester United di England meletakkan mereka selaku pendahulu, hanya satu mata di depan dua lagi pasukan. Kemenangan tuan rumah di Belanda menewaskan pelawat dari Jerman pula meletakkan mereka dengan kutipan mata yang sama. Baki dua lagi perlawanan akan menentukan.

Kedudukan: Manchester United 7; PSV 6; Wolfsburg 6; CSKA 4

--------------------------------------

KUMPULAN C

Astana 0-0 Atletico Madrid
Benfica 2-1 Galatasaray
(Jonas, Luisao, Lukas Podolski)

Gergasi La Liga Sepanyol, Atletico Madrid, hanya mampu seri tanpa jaringan di Kazakhstan dan membenarkan Benfica memintas mereka selaku pendahulu. Kemenangan tuan rumah di Portugal mengatasi pelawat dari Turki menjayakan misi mereka untuk merampas takhta kumpulan.

Kedudukan: Benfica 9; Atletico 7; Galatasaray 4; Astana 2

----------------------------------

KUMPULAN D

Borussia Monchegladbach 1-1 Juventus
(Fabian Johnson, Stephan Lichtsteiner)
Sevilla 1-3 Manchester City
(Benoit Tremoulinas, Raheem Sterling, Fernandinho, Wilfried Bony)

Seri satu sama di Jerman. Kelebihan buat pelawat dari Itali yang semakin selesa untuk layak dengan hanya berbaki dua perlawanan. Manchester City (England) pula menang bergaya di Sepanyol untuk sah layak ke pusingan kalah mati.

Kedudukan: Manchester City 9; Juventus 8; Sevilla 3; Monchengladbach 2

----------------------------------------

KUMPULAN E

Barcelona 3-0 BATE Borisov
(Nyemar x2, Luis Suarez)
AS Roma 3-2 Bayer Leverkusen
(Mohamed Salah, Edin Dzeko, Miralem Pjanic, Admir Mehmedi, Javier Hernandez)

Barcelona juga sah layak ke pusingan seterusnya selepas membenam cabaran kelab Belarus di tempat sendiri. Satu lagi slot masih boleh direbut tiga lagi pasukan apabila Roma menang tipis di Itali untuk memintas pelawat dari Jerman dan merampas posisi tempat kedua.

Kedudukan: Barca 10; Roma 5; Leverkusen 4; BATE 3

-------------------------------------

KUMPULAN F

Bayern Munich 5-1 Arsenal
(Robert Lewandowski, Thomas Muller x2, David Alaba, Arjen Robben, Olivier Giroud)
Olympiakos 2-1 Dinamo Zagreb
(Felipe Pardo x2, Armin Hodzic)

Bayern membelasah pelawat dari England di Jerman untuk mengukuhkan peluang mereka memenangi kumpulan. Peluang Arsenal kini semakin tipis apabila Olypmiakos juga menang. Pasukan Greece itu menewaskan pelawat dari Croatia hasil dua gol yang dijaringkan pemain gantian, Felipe Pardo.
Kedudukan: Bayern 9; Olympiakos 9; Arsenal 3; Zagreb 3

----------------------------------

KUMPULAN G

Maccabi Tel-Aviv 1-3 Porto
(Eran Zahavi, Cristian Tello, Andre Andre, Miguel Layun)
Chelsea 2-1 Dynamo Kyiv
(Aleksandar Dragovic og, Willian, Aleksandar Dragovic)

Pasukan Israel tewas kali keempat berturut-turut dari empat perlawanan apabila tumbang sekali lagi kepada pelawat dari Portugal. Sementara itu, jaringan lewat Willian membantu Chelsea menewaskan Dynamo Kyiv di England untuk memintas kelab Ukraine tersebut dalam perebutan tempat kedua.

Kedudukan: Porto 10; Chelsea 7; Dynamo Kyiv 5; Maccabi 0

----------------------------------

KUMPULAN H

Lyon 0-2 Zenit
(Artem Dzyuba x2)
Gent 1-0 Valencia
(Sven Kums)
Kelab Rusia, Zenit, mencatat kemenangan keempat dan mengekalkan rekod 100% apabila menewaskan Lyon. Kemenangan tipis kelab Belgium, Gent, di tempat sendiri pula menghidupkan peluang mereka untuk layak ke pusingan seterusnya. Hanya dua mata memisahkan Gent dan pasukan Sepanyol di tempat kedua, Valencia, yang mereka tewaskan.
Kedudukan: Zenit 12; Valencia 6; Gent 4; Lyon 1

-----------------------------------

Beberapa pasukan telah sah layak tetapi masih banyak slot yang belum diisi. Saingan dalam beberapa kumpulan telah tertutup, ketika saingan dalam dua kumpulan masih terbuka luas untuk semua pasukan. Hanya tinggal dua perlawanan sebelum lengkap senarai 16 pasukan yang akan berentap dalam pusingan kalah mati.




Sunday, October 25, 2015

Manchester is Red

Assalamualaikum.

I'm confident. Tonight Manchester should be painted red.

Malam ini pertembungan jiran setempat bandar Manchester. Dua pasukan gergasi bola sepak Inggeris ketika ini. Jam 3 petang waktu England bersamaan pukul 10 malam waktu Malaysia. Perlawanan penting di awal musim untuk menentukan pasukan yang lebih bagus kerana kedua-dua pasukan memulakan musim dengan cemerlang.

Lewat malam tadi, Arsenal menang tipis mengatasi Everton 2-1 untuk terus mengukuhkan status mereka selaku pencabar kejuaraan musim ini. Arsenal kini sedang berada di tahap prestasi terbaik. Manakala Chelsea terus malang. Kekalahan 2-1 kepada pasukan West Ham terus memberikan tekanan buat juara bertahan yang kian jauh dari perlumbaan merebut takhta liga. West Ham pula mengukir rekod hebat apabila menewaskan empat pasukan Big Boys musim ini selepas turut menewaskan Manchester City, Arsenal, dan Liverpool.

Beralih seketika berbicara mengenai Piala Dunia Ragbi 2015. Perlawanan separuh akhir pertama malam tadi pukul 11 malam waktu Malaysia menyaksikan gergasi All Blacks menewaskan Springboks 20-18 dalam pertarungan sengit yang menyaksikan hanya dua try dilakukan. Kedua-dua try tersebut dilakukan oleh pasukan New Zealand. Kesemua mata Afrika Selatan diperoleh melalui sepakan penalti. Lima daripadanya dilakukan oleh pemain muda berusia 21 tahun, Handre Pollard. Satu lagi sepakan penalti Afrika Selatan disempurnakan oleh Patrick Lambie. 

Namun, ternyata keperkasaan New Zealand - yang terkenal dengan tarian Haka sebelum perlawanan - tidak dapat diatasi oleh Afrika Selatan. New Zealand akan menanti pemenang perlawanan separuh akhir kedua antara Argentina (Pumas) menentang Australia (Wallabies).

Ramai meramalkan Argentina akan mara ke perlawanan akhir. Persoalan itu akan terjawab malam ini. Perhatian aku tertumpu kepada perlawanan Manchester derby yang melibatkan pasukan kegemaran aku, Manchester United!

Apa pun keputusan malam ini tidak akan menentukan juara liga. Juara hanya akan ditabalkan bulan Mei nanti. Perjalanan masih panjang. Glory glory Manchester United.




Saturday, October 24, 2015

Derby Day

Assalamualaikum.

It's a very big important day in the English Premier League calendar. It's Manchester derby again.

Dulunya perlawanan ini hanya pertembungan antara pasukan setempat di bandar Manchester. Kini situasi sudah berubah dan kepentingan sudah mula bertambah. Perlawanan ini adalah persaingan dua seteru gergasi bola sepak Inggeris yang akan menentukan pilihan untuk menjadi juara. 

Melihat perkembangan pasukan Chelsea yang bermula buruk dan Liverpool pula dengan prestasi tidak menentu, hanya dua kelab utama Manchester (United dan City) akan berebut kejuaraan dengan kelab Arsenal yang berpusat di London.

Pasukan Manchester City memiliki kelebihan di atas kertas dengan pasukan yang lebih baik dibarisi bintang-bintang ternama lagi berkualiti. Namun aksi di atas padang akan menentukan pemenang yang lebih layak. Penguasaan bola juga tidak menjamin kemenangan kerana peraturannya, pasukan yang menjaringkan satu gol lebih dari pihak lawan akan memungut tiga mata penuh. Itu pengajaran yang pahit bagi Bayern Munich (jaguh Jerman) yang tewas kepada Arsenal dalam Liga Juara-Juara Eropah minggu ini.

Pasukan Manchester City tidak kebal. Mereka telah kalah musim ini dan pasukan Manchester United mempunyai kualiti yang cukup untuk merobek pertahanan City. Walau bagaimanapun, harus diingat bahawa gaya permainan United yang lebih bercorak penguasaan bola akan berdepan masalah menghadapi permainan menyerang jiran mereka.

Manchester United tidak menunjukkan selera untuk menang ketika kedudukan terikat satu sama dalam perlawanan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah pertengahan minggu ini. Sebaliknya Manchester City terus mengasak kubu lawan dan akhirnya berhasil menjaringkan gol kemenangan.

Jika ada satu perkara yang harus diingat oleh para pemain Manchester United, hal itu adalah penguasaan bola tidak memberikan kemenangan dalam sukan bola sepak. Jaringkan satu gol lebih banyak dari pihak lawan, tidak kira jika anda bermain buruk atau dikeji selepas perlawanan. Itu saja caranya untuk pulang sebagai pemenang!



Thursday, October 22, 2015

Tipis

Assalamualaikum.

Matchday 3 Part II

Lapan lagi perlawanan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah musim 2015/2016 berlangsung awal pagi tadi waktu Malaysia. Tiada pasukan yang menang di tempat lawan. Banyak kemenangan tipis untuk tuan rumah. Manakala Manchester United, PSG, dan Real Madrid, hanya mampu seri. 
-------------------------------------

KUMPULAN A
 
Malmo 1-0 Shakhtar
(Markus Rosenberg)
PSG 0-0 Real Madrid

Kedudukan: PSG 7, Real 7, Malmo 3, Shakhtar 0

Tuan rumah menang tipis di Sweden dengan gol awal Rosenberg cukup untuk menghadiahkan kekalahan ketiga berturut-turut kepada pelawat dari Ukraine dalam kumpulan ini. Manakala dua gergasi gagal dibezakan di Perancis dengan keputusan seri tanpa jaringan dicatatkan.

---------------------------------------

KUMPULAN B

CSKA 1-1 Manchester United
(Seydou Doumbia; Anthony Martial)
Wolfsburg 2-0 PSV
(Bas Dost, Max Kruse)

Kedudukan: Wolfsburg 6, Man United 4, CSKA 4, PSV 3

Pelawat dari England hanya mampu seri satu sama di Rusia selepas terpaksa mengharungi perjalanan jauh. Martial menebus kesilapan menghadiahkan sepakan penalti yang mengakibatkan gol pasukan lawan, dengan menanduk cantik hantaran silang Antonio Valencia. Juara Belanda pula tewas di Jerman dengan kemenangan agak selesa bagi tuan rumah.

----------------------------------------

KUMPULAN C

Atletico Madrid 4-0 Astana
(Saul Niguez, Jackson Martinez, Oliver Torres, Denys Dedechko og)
Galatasaray 2-1 Benfica
(Selcuk Inan, Lukas Podolski; Nicolas Gaitan)

Kedudukan: Atletico 6, Benfica 6, Galatasaray 4, Astana 1

Pasukan Sepanyol membelasah pelawat dari Kazakhstan untuk mencatat kemenangan kedua. Kemenangan bergaya itu meletakkan Atletico berkongsi takhta kumpulan dengan Benfica. Kelab Portugal tersebut tewas di bumi Turki apabila dikejutkan oleh Galatasaray walaupun pasukan Benfica menjaringkan gol pendahuluan seawal minit kedua. 

---------------------------------------

KUMPULAN D

Juventus 0-0 Monchengladbach
Manchester City 2-1 Sevilla
(Adil Rami og, Kevin De Bruyne; Yevhen Konoplyanka)

Kedudukan: Juventus 7, Man City 6, Sevilla 3, Monchengladbach 0

Juventus seri tanpa jaringan dengan pelawat dari Jerman di Itali. Keputusan itu mengekalkan rekod tanpa kalah Juventus di pentas utama benua Eropah musim ini. Manakala gergasi England menjaringkan gol kemenangan lewat permainan untuk mengecewakan pelawat dari Sepanyol yang hampir membawa pulang satu mata berharga.

-------------------------------------

Tamat sudah saingan separuh pertama dalam peringkat kumpulan musim ini. Masih berbaki tiga perlawanan sebelum pertandingan diteruskan dengan pusingan kalah mati. Dua slot dalam setiap kumpulan masih terbuka untuk diisi.

It's still early!



Wednesday, October 21, 2015

Meriah

Assalamualaikum.

Matchday 3 Part I

Perlawanan ketiga peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah musim 2015/2016 berlangsung meriah. Lapan gol dijaringkan dalam perlawanan Roma menentang Leverkusen. Bayern pula tewas walaupun mendominasi permainan.
------------------------------

KUMPULAN E

BATE 0-2 Barcelona 
(Ivan Rakitic x2)
Leverkusen 4-4 Roma
(Javier Hernandez x2, Kevin Kampl, Admir Mehmedi; Daniele De Rossi x2, Miralem Pjanic, Iago Falque)

Kedudukan: Barcelona 7, Leverkusen 4, BATE 3, Roma 2

Barca (Sepanyol) berpeluang cerah untuk melangkah ke pusingan kedua selepas mengatasi kelab Belarus di tempat lawan. Dua gol Ivan Rakitic dibantu dua kali oleh Neymar. AS Roma (Itali) pula mengikat Leverkusen di Jerman dengan Javier Hernandez dan Daniele De Rossi menjaringkan dua gol untuk pasukan masing-masing. Selepas ketinggalan 2-0, Roma bangkit untuk mendahului 4-2 namun gagal mempertahankan gawang dari dibolosi lagi.
--------------------------

KUMPULAN F

Arsenal 2-0 Bayern
(Olivier Giroud, Mesut Ozil)
Dinamo Zagreb 0-1 Olympiakos
(Ideye Brown)

Kedudukan: Bayern 6, Olympiakos 6, Zagreb 3, Arsenal 3

Selepas separuh saingan peringkat kumpulan, tiada pasukan yang berpeluang cerah untuk mara. Kesemua pasukan dalam kumpulan ini masih berpeluang. Arsenal (England) meledak dua kali di gelanggang sendiri untuk mengejutkan jaguh Jerman, Bayern Munich, yang mencatat 70% penguasaan bola. Jaringan tunggal Brown sudah cukup untuk kelab Greece memenangi perlawanan di Croatia.

---------------------------------

KUMPULAN G

Porto 2-0 Maccabi Tel-Aviv
(Vincent Aboubakar, Yacine Brahimi)
Dynamo Kiev 0-0 Chelsea

Kedudukan: Porto 7, Kiev 5, Chelsea 4, Maccabi 0

Kemenangan Porto (Portugal) di tempat sendiri mengatasi kelab Israel membolehkan mereka menduduki takhta kumpulan ini. Keputusan seri di Ukraine antara Dynamo Kiev dan Chelsea (England) menyaksikan tiga pasukan masih berpeluang untuk melangkah jauh. Peluang Maccabi Tel-Aviv sudah hampir tertutup melainkan mereka berjaya memenangi semua tiga perlawanan dalam separuh kedua peringkat kumpulan.
------------------------------

KUMPULAN H

Zenit 3-1 Lyon
(Artem Dzyuba, Hulk, Danny; Alexandre Lacazette)
Valencia 2-1 Gent
(Lasse Nielsen og, Stefan Mitrovic og; Thomas Foket)

Kedudukan: Zenit 9, Valencia 6, Gent 1, Lyon 1

Pasukan Perancis tumbang di Rusia yang menyaksikan Zenit terus gah mencatat kutipan mata sempurna dengan tiga kemenangan berturut-turut. Valencia (Sepanyol) pula mencatat kemenangan kedua mengatasi pasukan Belgium di tempat sendiri. Peluang Gent dan Lyon kelihatan sudah hampir tertutup.

-------------------------------

Selepas separuh pertama peringkat kumpulan berlangsung, saingan Kumpulan E, Kumpulan F, dan Kumpulan G masih terbuka luas. Manakala pasukan yang layak ke pusingan kalah mati dari Kumpulan H semakin jelas.

Malam ini perlawanan Kumpulan A-D pula akan berlangsung membabitkan pasukan gergasi seperti Manchester United, Manchester City, Real Madrid, dan Paris Saint-Germain.




Monday, October 12, 2015

Golden Chance Missed

Assalamualaikum.

10 Oktober 2015

Two of the best players, two of the finest takers. Yet they failed when it mattered most. Not even master can prevent defeat on the unlucky day.

Not so unlucky.

Sukan bola sepak IMU Cup 2015.

Kami memulakan pagi Sabtu dengan kemenangan bergaya 3-0 mengatasi pasukan Griffin untuk memenangi kumpulan. Pasukan aku, Taurus, akan menentang Draco di tempat kedua dalam Kumpulan B. Manakala Hydra di belakang kami akan menentang pemenang kumpulan B, Pegasus.

Pegasus yang menewaskan Draco 1-0 dalam perlawanan penentuan pemenang kumpulan dikejutkan apabila tewas kepada juara tahun lepas, Hydra 2-0. Tiba giliran kami untuk menebus kehampaan tahun lepas dengan sekadar meraih pingat gangsa. Misi kami untuk mara ke perlawanan akhir dan merangkul pingat emas pula kali ini.

Hakikatnya, pasukan ini adalah 'Golden Generation' (generasi emas) rumah sukan Taurus. Buktinya, pasukan ini dibarisi juara futsal IMU Cup tahun lepas yang berjaya mempertahankan pingat emas tahun ini. Kali pertama aku bermain sukan bola sepak IMU Cup semasa semester pertama, kami tewas di peringkat kumpulan. Kali kedua tahun lalu dalam semester tiga, aku pulang dengan pingat gangsa. Kali ini aku mahu pencapaian yang lebih baik.

Tamat perlawanan, kedudukan terikat tanpa jaringan. Tiada masa tambahan. Sepakan penalti akan menentukan pemenang. Draco akan memulakan penentuan sepakan penalti. Aku selaku penyerang pasukan turut tersenarai dalam lima pengambil sepakan penalti. Kapten memberikan kepercayaan untuk aku mengambil sepakan ketiga. Malangnya, ketika aku mengambil sepakan itu, pasukan Draco telah mendahului 2-0. Dua pemain Taurus yang pertama telah gagal menyempurnakan sepakan masing-masing. Begitu juga seorang pemain Draco. Aku melangkah dengan penuh harapan pasukan terpikul di bahu. 

Aku memandang bola di hadapanku. Fokus. Cuba menenangkan diri yang sangat gementar. Jika aku gagal, kami hampir pasti tewas. Aku sudah tahu di mana aku akan menyempurnakan sepakan itu. Aku hanya perlu memastikan sepakanku cukup kuat dan tidak tersalah sepak. Aku menarik nafas sedalam mungkin. Pengadil meniup wisel. Langkahan bermula. Aku menyepak ke sebelah kanan penjaga gol dan mudah menewaskan penjaga gawang lawan. Kedudukan 1-2.

Selepas tamat lima sepakan penalti untuk kedua-dua pasukan, kedudukan terikat 3-3. Dua lagi rakan sepasukan aku menjaringkan sepakan masing-masing. Pengadil menggunakan peraturan yang aneh bagi aku tetapi dipersetujui kedua-dua kapten pasukan. Pengadil melambung syiling untuk menentukan siapakah yang akan mengambil sepakan keenam yang merupakan 'sudden death'. Draco mendapat sepakan tersebut. Jika sepakan itu dijaringkan, mereka terus menang. Jika penjaga gol Taurus berjaya menyelamatkan sepakan itu, Taurus terus menang.

Malangnya, seperti yang aku telah gambarkan dari tajuk dan permulaan entri ini, sepakan itu berjaya dijaringkan dan Draco menewaskan Taurus untuk melangkah ke final. Hakikatnya, pasukan Taurus merupakan pasukan terbaik. Hanya faktor nasib tidak menyebelahi kami.

Have to wait for next year!


Monday, October 5, 2015

Kecewa

Assalamualaikum.

Kecewa. Sangat kecewa. Begitulah gambaran perasaan aku ketika ini dengan tewasnya pasukan kegemaran, Manchester United, dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris semalam menentang musuh tradisi, Arsenal. Bergembiralah penyokong pasukan-pasukan musuh Manchester United dengan kekalahan pasukan yang memiliki kejuaraan liga domestik Inggeris terbanyak dalam sejarah.


Lapan perlawanan 'Super Sunday' antara pasukan-pasukan besar dalam liga utama Eropah.

Bayern Munich mengukuhkan cengkaman dan dominasi penuh dalam Bundesliga (Jerman) dengan membelasah serta memusnahkan pencabar terdekat, Borussia Dortmund 5-1 di gelanggang sendiri. Thomas Muller dan Robert Lewandowski terus mengganas dengan masing-masing meledak dua gol. Napoli pula rakus menghancurkan AC Milan 4-0 dalam perlawanan Serie A (Itali). Paris Saint-Germain pula menundukkan Marseille 2-1 dalam perlawanan Ligue 1 (Perancis). PSV Eindhoven menewaskan Ajax Amsterdam 2-1 dalam perlawanan Eredivisie (Belanda).

'Super Sunday' Liga Perdana Inggeris (England) pula menyaksikan Arsenal menewaskan pendahulu liga minggu lepas, Manchester United di tempat sendiri dengan kemenangan bergaya 3-0. Tiga gol dalam masa 20 minit pertama perlawanan dengan dua jaringan Alexis Sanchez cukup untuk memastikan 'Gunners' mengutip tiga mata penuh sebelum aksi perlawanan antarabangsa. Everton dan Liverpool pula seri satu sama dalam Merseyside 'derby'. 

Madrid 'derby' dalam La Liga (Sepanyol) berakhir dengan Atletico Madrid dan Real Madrid berkongsi mata selepas terikat 1-1. Malang buat Barcelona apabila tewas di gelanggang lawan kepada Sevilla tanpa kelibat bintang utama mereka, Lionel Messi. Kekalahan ini meletakkan Barca semakin tertekan dengan prestasi mereka ketika ini. 

KONKLUSI
Bayern Munich telah mendominasi Bundesliga dengan mencatat lapan kemenangan berturut-turut daripada lapan perlawanan. Gol yang dijaringkan juga begitu banyak apabila membelasah Wolfsburg dan Borussia Dortmund. Gandingan serangan Muller dan Lewandowski begitu mantap dan sukar disekat. Jentera tengah Bayern yang dibarisi Mario Gotze, Kingsley Coman, Douglas Costa, Arturo Vidal, Xabi Alonso dan Thiago Alcantara juga begitu hebat. Tidak mustahil Bayern akan menguasai pentas Eropah musim ini.




Saturday, August 29, 2015

Musim Baru

Assalamualaikum.

Undian peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah musim baru 2015/2016 berlangsung jam 12 tengah malam waktu Malaysia semalam (Jumaat). Beberapa pertembungan menarik akan disaksikan apabila pasukan pertama dalam kumpulan (Pot 1) merupakan juara liga-liga utama di Eropah. Kelab seperti Real Madrid, Manchester City, Arsenal, dan Manchester United dalam Pot 2 akan menentang salah satu dari juara-juara liga domestik ini.

Kumpulan A dan Kumpulan D dilihat sebagai calon yang boleh dilabel 'Kumpulan Maut' ketika kumpulan lain menyaksikan pasukan pilihan diramal dapat melepasi dengan mudah. Mari kita lihat analisa setiap kumpulan.

----------------------------

KUMPULAN A

Paris Saint-Germain (FRA)
Real Madrid (ESP)
Shakhtar Donetsk (UKR)
Malmo (SWE)

PSG dan Real dilihat mempunyai peluang cerah melepasi peringkat kumpulan. Namun cabaran Shakhtar tidak boleh diperlekehkan. Shakhtar mempunyai pengalaman luas di pentas berprestij bola sepak Eropah ini. Malmo dilihat sudah pasti gagal layak ke pusingan kalah mati. Peluang Malmo meneruskan cabaran di Liga Europa tidak pula boleh dinafikan.

----------------------------------

KUMPULAN B

PSV Eindhoven (NED)
Manchester United (ENG)
CSKA Moscow (RUS)
Wolfsburg (GER)

Juara Belanda, PSV, akan menyaksikan bekas penyerangnya, Memphis Depay kembali bersama pasukan baru yang juga pasukan kegemaran aku, Manchester United. Sama ada memenangi kumpulan atau sekadar naib juara, United sudah pasti dapat layak ke pusingan seterusnya. Pasukan yang mengiringi masih terbuka untuk direbut tiga pasukan yang lain.

-------------------------------------------

KUMPULAN C

Benfica (POR)
Atletico Madrid (ESP)
Galatasaray (TUR)
Astana (KAZ)

Benfica dan Atletico dijangka mudah mara lebih jauh. Galatasaray walaupun tidak asing beraksi di pentas tertinggi benua ini, namun dijangka tidak mempunyai kualiti yang cukup untuk menyaingi dua pasukan pilihan utama kumpulan ini. Astana wajar bangga dapat beraksi kali pertama di kejuaraan ini dan perlu mengambil sebanyak mungkin pengalaman kerana mereka sudah pasti tersungkur. Hanya keajaiban dapat menafikan fakta ini.

------------------------------------------

KUMPULAN D

Juventus (ITA)
Manchester City (ENG)
Sevilla (ESP)
Borussia Monchengladbach (GER)

Calon 'Kumpulan Maut'. Monchengladbach mungkin mempunyai peluang paling tipis. Manchester City dengan prestasi terkini dalam liga domestik dilihat mempunyai kualiti yang cukup utuh untuk memenangi kumpulan. Sama ada Juventus atau Sevilla yang akan mengiringi City masih menjadi persoalan. Juve telah menjual beberapa pemain utama termasuk Carlos Tevez, Arturo Vidal, dan Andrea Pirlo. Mungkin Sevilla boleh berkira-kira untuk menari di pusingan kedua.

----------------------------------------------

KUMPULAN E

Barcelona (ESP)
Bayer Leverkusen (GER)
AS Roma (ITA)
BATE Borisov (BLR)

Pertahanan Barcelona dilihat lemah dalam beberapa perlawanan terkini. Namun, kumpulan ini masih mudah untuk Barca. BATE boleh mengumpul pengalaman sebanyak mungkin kerana tiga pasukan yang lain terlalu kuat untuk mereka. Roma atau Leverkusen dijangka akan menjadi naib juara di belakang Barca. 

----------------------------------------

KUMPULAN F

Bayern Munich (GER)
Arsenal (ENG)
Olympiacos (GRE)
Dinamo Zagreb (CRO)

Kumpulan yang mudah untuk juara Bundesliga. Kualiti yang dimiliki Bayern terlalu ampuh. Arsenal juga memiliki peluang cerah untuk mengiringi Bayern. Dua pasukan lain dalam kumpulan ini hanya sekadar pelengkap. Cuma pengalaman Olympiacos tidak boleh diperlekehkan. Arsenal mungkin perlu berwaspada. 

---------------------------------------

KUMPULAN G

Chelsea (ENG)
Porto (POR)
Dynamo Kiev (UKR)
Maccabi Tel-Aviv (ISR)

Kumpulan yang sangat mudah bagi Chelsea. Hanya Porto dijangka dapat memberikan saingan kepada juara bertahan Liga Perdana Inggeris. Wakil Ukraine dan Israel pula hanya sekadar melengkapkan senarai pasukan. Chelsea dan Porto merupakan pasukan berpengalaman dalam kejuaraan ini dan pastinya kelebihan itu akan membantu mereka.

----------------------------------------

KUMPULAN H

Zenit Saint Petersburg (RUS)
Valencia (ESP)
Lyon (FRA)
Gent (BEL)

Satu-satunya kumpulan tanpa pilihan utama untuk memenangi kejuaraan ini musim ini. Juara liga Rusia, Zenit, sudah tentu memiliki kelebihan tetapi mereka bukanlah nama besar yang menjadi sebutan untuk menjadi juara Eropah. Pasukan-pasukan lain dalam kumpulan ini juga tidak memiliki kelebihan ketara antara satu sama lain. 

--------------------------------------

Barcelona, Bayern Munich, dan Real Madrid masih nama gergasi. Salah satu antara mereka akan menjadi juara kali ini. Manchester City unggul dalam liga domestik tapi masih mentah di pentas utama Eropah. Manchester United sangat berpengalaman namun kedegilan pengurus untuk tidak mendapatkan penyerang berbisa menjadi satu kelemahan. Pertembungan PSG vs Real, Juve vs City, dan Bayern vs Arsenal pastinya menarik untuk disaksikan. 

Masih ada enam perlawanan pusingan kumpulan untuk diharungi. Semuanya masih terlalu awal untuk diperkatakan. Kejutan boleh berlaku. Dan keajaiban adalah sesuatu yang tidak bisa diramal.



Sunday, August 23, 2015

Seri Tapi Kalah

Assalamualaikum..

Pasukan kesayangan aku, Manchester United, baru saja seri tanpa jaringan (0-0) dengan kelab Newcastle tadi. Walaupun seri, tapi rasanya seperti kekalahan. Aku lebih suka menang dengan gol hasil satu percubaan tepat berbanding keputusan seri dengan beberapa percubaan tepat yang tidak membuahkan hasil.

Mengecewakan. Keputusan ini diharap dapat membuka mata Louis Van Gaal yang terus berdegil untuk tidak membeli penyerang baru. Permainan berpasukan Manchester United sudah menunjukkan peningkatan. Penguasaan bola 70% bukanlah sesuatu yang buruk. Begitu juga serangan bertali arus yang mengasak kubu lawan bertubi-tubi.

Namun, di sebalik dominasi itu, hakikatnya bola sepak bukanlah sukan yang dimenangi dengan menguasai permainan. Sebaliknya, pasukan yang menjaringkan sekurang-kurangnya lebih satu gol baru berhak keluar sebagai pemenang.

Manchester United masih mengekalkan rekod tanpa kalah selepas empat perlawanan sebagai nota positif. Permainan juga semakin baik. Jika diteruskan aksi menyerang dalam perlawanan kedua play-off menentang Club Brugge di tempat lawan, sudah pasti gol dan Manchester United hanya dijarakkan masa. 

Hakikat Manchester United memerlukan penyerang berkualiti sebelum tempoh perpindahan tamat tidak dapat dinafikan. Masih ada seminggu lebih untuk Louis Van Gaal dan Ed Woodward berbuat demikian atau usaha untuk mencabar kejuaraan liga agak sukar. Masa semakin suntuk,




Sunday, July 26, 2015

Menang Lagi

Assalamualaikum.

Tahniah kepada pasukan kegemaranku, Manchester United, yang berjaya mencatat kemenangan ketiga berturut-turut dalam jelajah Amerika Syarikat untuk mengekalkan rekod bersih kemenangan seratus peratus. Selepas menewaskan Club America 1-0, United mengalahkan San Jose Earthquakes 3-1. Awal pagi tadi (waktu Malaysia), United mengatasi juara bertahan kelab Eropah, Barcelona 3-1. 

Kesemua gol Manchester United dijaringkan oleh pemain yang berbeza. Selepas Morgan Schneiderlin dalam perlawanan pertama, diikuti Juan Mata, Memphis Depay, dan Andreas Pereira dalam perlawanan kedua, tiba giliran Wayne Rooney, Jesse Lingard dan Adnan Januzaj awal pagi tadi. 

Louis Van Gaal memberi kesebelasan bayangan untuk bertemu Tottenham Hotspurs dalam perlawanan pertama musim baru Liga Perdana Inggeris awal bulan depan. David De Gea mengawal gawang di belakang benteng pertahanan dibarisi Matteo Darmian, Phil Jones, Daley Blind, dan Luke Shaw dalam formasi 4-2-3-1. Michael Carrick dan Morgan Scheiderlin berada di depan kubu pertahanan. Ashley Young, Memphis Depay, dan Juan Mata berada di belakang penyerang tunggal, Wayne Rooney.

Rooney menanduk masuk gol pertama United selepas menyambut kemas sepakan penjuru Young. Satu jam pertama perlawanan menyaksikan tiada lagi tambahan jaringan. Selepas detik sejam, Van Gaal menukar kesemua sebelas pemain dengan barisan yang lebih muda. Aksi pemain muda ini sangat bertenaga. Hanya beberapa minit beraksi, hantaran lintang Tyler Blackett mudah dirembat masuk Lingard untuk meletakkan United selesa di depan.

Rafinha menjaringkan gol sagu hati buat Barca apabila sepakan voli cantiknya menewaskan penjaga gol gantian, Sam Johnstones. Tak lama selepas itu, Januzaj memusingkan badannya kemas di dalam kotak penalti lawan untuk memperdaya pertahanan dan menewaskan penjaga gol untuk memastikan kemenangan selesa untuk United.

Peminat Barca terus memberikan alasan ketiadaan Lionel Messi dan Neymar menjadi punca kekalahan pasukan itu. Alasan itu sekadar menggambarkan betapa Barca hanya mengharapkan Messi dan Neymar walaupun Luis Suarez tetap memberikan ancaman tanpa dua orang rakan sepasukannya. Jika Barca menang, sudah tentu peminat mereka mengkritik United. Murah pula memberikan alasan apabila pasukan mereka gagal mencatat kemenangan. 

Selepas perlawanan terakhir jelajah menentang Paris Saint-Germain, tumpuan pasukan United beralih sepenuhnya kepada perlawanan pertama liga sebelum pusingan kelayakan Liga Juara-Juara Eropah. Glory glory Manchester United!



Sunday, July 12, 2015

Pemain Baru

Assalamualaikum.

Selepas membeli penyerang, Memphis Depay, dari PSV Eindhoven (Belanda), aktiviti pembelian pemain baru kelab Manchester United sangat perlahan. Nama demi nama bertukar ganti dikaitkan dengan kelab terbesar bola sepak dunia. Jika dihimpunkan semua pemain yang dikaitkan dengan United, cukuplah untuk mereka semua beraksi dalam Liga Perdana Inggeris. Malangnya, itu sekadar khabar angin yang tidak benar. Semuanya memberi harapan palsu.

DEPAY

DARMIAN

Tapi semalam (Jumaat), khabar gembira buat para peminat Manchester United di seluruh dunia. Laman web rasmi kelab itu membuat dua pengumuman dalam sehari. Paling awal adalah berita persetujuan bersama antara Bayern Munich (Jerman) dan United untuk menyaksikan perpindahan pemain tengah berpengalaman, Bastian Schweinsteiger.

Seterusnya, bek kanan, Matteo Darmian, pula disahkan telah menjadi pemain baru Manchester United selepas berpindah dari kelab Torino (Itali). Kehadiran tiga pemain ini mengukuhkan lagi pasukan United yang baru kembali bersaing dalam kejuaraan berprestij Liga Juara-Juara Eropah. 

Namun, United perlu terus menambah kekuatan untuk bersaing dengan Chelsea dan Manchester City untuk kembali merajai liga domestik. Dua pemain yang dikaitkan hampir pasti menjadi milik United adalah Nicolas Otamendi (bek tengah Valencia) dan Morgan Schneiderlin (pemain tengah Southampton). Kehadiran kedua-dua pemain ini akan menjadikan United pencabar kejuaraan liga. 

Gandingan Schneiderlin dan Schweinsteiger akan mendominasi bahagian tengah, salah satu kelemahan United musim lepas. Begitu juga kehadiran Depay yang akan menambah sengat di bahagian serangan. Namun, pembelian Otamendi dan Scheiderlin masih khabar angin. Aku hanya akan gembira apabila melihat berita pengumuman di laman web rasmi kelab.

Tapi dengan tiga pemain baru yang sudah sah akan menguatkan cabaran United, aku sudah boleh memasang impian untuk melihat kelab kesayangan ini kembali mencabar di persada liga.




Thursday, July 2, 2015

Puasa di Ampangan

Assalamualaikum.

Hari ni berpuasa sambil melakukan soal selidik di Negeri Sembilan. Para pelajar semester lima ijazah perubatan bergerak ke enam lokasi klinik kesihatan berbeza untuk mengkaji beberapa tajuk dalam populasi yang berbeza. Aku dan rakan-rakan dalam satu bas menuju ke Klinik Kesihatan Ampangan. Tak pernah sampai ke sana. Aku tidur saja dalam bas memandangkan perjalanan kami seawal jam 7.30 pagi.


Ada dua kisah menarik yang nak diceritakan hari ni. Nak membebel kat buah hati pun dia sibuk sangat dengan praktikal. 

Kisah pertama, seorang pak cik berusia 76 tahun yang baru menghantar darahnya untuk diperiksa di makmal. Namanya Pak Cik Sulung, seorang yang sangat peramah. Sebaik dia memulakan bicara, celotehnya sangat sukar dihentikan. Aku yang kebosanan sekadar melayan. Pak cik ni berasal dari Temerloh, Pahang. Yang menariknya, dia tahu tempat tinggal aku di Changlun, Kedah. Aku sebut Sintok. Biasanya orang luar lebih lazim dengan Sintok kerana adanya Universiti Utara Malaysia.

Rupa-rupanya, pak cik ni dulu kerja bidang topografi di Changlun. Zaman Changlun ni masih hutan lagi. Bersungguh dia bercerita. Aku pun jadi seronok menceritakan kemajuan Changlun sekarang yang pesat membangun. 'Dah ada pasaraya' kataku. Siap cakap Siam pak cik ni dengan aku. Maaflah pok cik, saya ni tak reti bahasa Siam.


Kisah kedua, budak kecik berbaju Ultraman. Budak lelaki yang namanya Nik. Umurnya tiga tahun, tapi yang ditunjuknya dua jari saja. Comel budaknya ^_^ Aku dan rakan-rakan yang lain sibuk mengusik budak ni ketika emaknya mengisi borang soal selidik. Budak ni kelakar. Dia gigit air tin milo yang dipegangnya tanpa diminum lagi. Berlari ke sana sini. Tak reti duduk diam.

Yang lagi comel, bila kawan aku mintak air milo yang dia pegang. Dia senyum sambil memeluk kemas air tin milo tersebut. Kawan aku pun umpan. 'Abang ada air nescafe, kita tukar' sambil menunjukkan beg. Sebenarnya tak ada pun. Saja acah budak kecik. Dia tak layan. 'Abang ada Ultraman'.

Reaksi dia? Mata bersinar. Tanda minatnya pada Ultraman bukan sekadar pada baju yang dipakai. Seronok tengok telatah budak tu. Hai lah adik. ^_^


Kesimpulannya, hari ni memang memenatkan. Tidur lagi dalam bas sepanjang perjalanan balik. Kawan-kawan aku dah tidur lagi kat klinik tu. Tidur di kerusi. Macam-macam hal. Walaupun rasa tak bermaya, tanggungjawab sebagai pelajar perlu ditunaikan. Puasa tak membuatkan kita lemah. Kami menunjukkan teladan kepada rakan-rakan not-yet-Muslim. InsyaAllah, moga Allah berikan hidayah kepada mereka.


Friday, June 26, 2015

Hai Tahun Klinikal

Assalamualaikum.

Say 'hi' to clinical years. Another step forward, yet still long way to go.

Alhamdulillah, segala puji-pujian hanya bagi Allah yang mengizinkan aku terus melangkah dalam perjalanan penuh ranjau berliku dalam ijazah perubatan ini. Sebaik memeriksa e-mel dan mendapat makluman keputusan 'lulus', aku memanjatkan kesyukuran kepada Ilahi. Sungguh, hanya perkataan itu yang kuharapkan. 

Selamat tinggal fasa teori (pra-klinikal).

Tidaklah aku bermimpi untuk mendapat keputusan cemerlang lagi berkualiti. Jauh dari gred 'Ayam'. Mungkin gred 'Cicak' saja. Tapi itu tetap memberikan keputusan yang sama. Aku akan memulakan langkah dalam fasa klinikal. Berakhir sudah zaman teori. Kini masa era praktikal bermula. Seorang doktor perlu mempunyai asas binaan yang kukuh, tapi seorang doktor yang baik mestilah mampu melakukannya secara amali. Kerja seorang doktor bukan di atas kertas. 

Persediaan untuk peperiksaan aku sangatlah sedikit berbanding rakan yang lain. Aku kira keputusan 'atas urat' yang aku jangkakan sudah cukup memuaskan. Terima kasih cinta, kau buat ku bahagia. Eh, ternyanyi lagu pulak. 

Ahad ni dah balik KL semula. Perjalanan masih panjang.



Sunday, June 21, 2015

Double Celebration

Assalamualaikum.

Tajuk saja omputeh. Tulisan tetap bahasa kebangsaan. Malas nak mencoret dalam bahasa penjajah. Hari ni 21 Jun 2015 Masihi, bersamaan 4 Ramadhan 1436 Hijrah.

Sambutan berganda untuk keluarga aku.

Hari ni adalah hari ulang tahun kelahiran yang ke-20 untuk adik aku. Selamat hari lahir diucapkan dengan doa moga dipanjangkan usia, dimurahkan rezeki, dan bahagia selalu. Dan hari ni juga adalah sambutan Hari Ayah di Malaysia. 

Selamat Hari Ayah diucapkan kepada ayahanda tercinta yang telah menjadi seorang ayah selama hampir 24 tahun. Pengorbanan dan jasa ayah tak mungkin mampu dibalas oleh kami semua anak-anak. Hanya Allah jua yang dapat membalas pengorbanan ayah. Moga terus dipanjangkan usia dan semakin bertambah rezeki. Moga hidup sentiasa diberkati Allah.

InsyaAllah, satu hari nanti aku juga akan menjadi seorang ayah. Dan ayah adalah contoh terbaik yang akan aku ikuti. One fine day, i'll make you proud, father.



Saturday, June 20, 2015

Kafe Juruterbang

Assalamualaikum.

Hari ni aku menonton filem Melayu bertajuk 'Pilot Cafe' yang diadaptasi dari novel Ahadiat Akashah. Aku sempat membelek sedikit rebiu dari orang ramai tentang filem ini. Aku rasa malas pulak nak layan komen negatif yang gemar membandingkan filem tempatan dan filem Holywood. Dah tahu memang tak sama taraf, tak usahlah dibandingkan.

Inilah tahap filem Melayu dari dulu. Sekadar dibuat hiburan bolehlah. Nak diangkat bertaraf dunia memang jauh panggang dari api. Tak perlulah dibahaskan dan dikritik lagi dan lagi. Memang inilah saja kualiti filem Melayu (kecuali beberapa filem yang bagus). Ada juga yang mengatakan adaptasi ke layar perak ini tak sebagus penulisan novelnya. Satu lagi perbandingan yang keanak-anakan.

Tanpa membaca novelnya, aku simpulkan sinopsis filem Pilot Cafe:

Bekas juruterbang, Ameer (Fahrin Ahmad) menyelamatkan gadis kampung, Maya (Izara Aishah) yang lari ke kafenya. Berlakulah imbas kembali masa silam kotor Ameer yang menjadi juruterbang 'buaya darat' dengan bertukar-tukar perempuan menggunakan rupanya yang kacak. Maksiat menjadi hobinya. Semuanya berubah apabila dia bercinta dengan gadis yang paling dikasihinya, Sharmila (Neelofa). Maya pula ke kota raya Kuala Lumpur setelah kekasihnya, Rasyid (Remy Ishak) melarikan diri selepas Maya hamil kerana maksiat yang mereka lakukan.

Ameer insaf selepas Sharmila menghilangkan diri kerana Ameer mahu Sharmila menggugurkan kandungan, dan kematian rakan baiknya, Kapten Haris dalam nahas udara. Ameer menjaga Maya sehinggalah Maya melahirkan anak lelaki dan dihantar pulang ke kampung. Ameer mula menghargai seorang wanita dan menyesali dosa masa lalunya. Tiba-tiba, Ameer dipertemukan semula dengan Sharmila yang datang ke kafe bersama suaminya, Dr Khaleed. Sharmila membawa anak tidak sah taraf hasil hubungan cintanya bersama Ameer yang turut diberi nama 'Ameer'.

Penghujung cerita, Ameer menemui semula Maya menyatakan hasrat untuk menikahi Maya. Malangnya, cinta Ameer bertepuk sebelah tangan. Maya sudah menemui semula cinta hatinya, Rasyid dan mereka merancang untuk berkahwin. Ameer menerima keputusan Maya dengan kata-kata, "Walaupun saya tak mampu memiliki awak, cukuplah cinta yang saya ada."

Geram betul apabila filem ini bersambung. Ada sekuel yang aku tak sabar nak tonton. Aku nak tahu apa kesudahannya apabila Dr Khaleed undur diri dan meninggalkan Sharmila (yang telah mencintai Dr Khaleed yang menyelamatkannya) dengan alasan ingin mengubati penyakitnya di London. Dr Khaleed ingin Sharmila membina semula cintanya bersama Ameer.

Aku juga ingin tahu siapakah yang akhirnya dimiliki Ameer. Mungkinkah Maya? Tak mungkin. Semua jawapan persoalan aku ni ada dalam novel asalnya tapi aku mungkin lebih sedia menanti sekuel filem ini. Aku macam Maya yang tak mahu mengetahui jantina anaknya dan menanti sehingga saat dia melahirkan.

Pengajaran cerita Ameer dan Maya: "duit tak mampu membeli cinta". Walau setinggi gunung harta dan emas, takkan mampu membayar harga cinta sejati. Bukan kemewahan yang diimpikan semua wanita di dunia ni, tapi kebahagiaan. Dan wang bukanlah gantinya. Tiada maknanya duit berjuta jika hati tidak cinta. 

Jalan ceritanya agak menarik. Tapi filem ini tipikal dan klise seperti filem Melayu yang lain. Tak ada apa yang nak dibanggakan.



Menulis Semula

Assalamualaikum.

Alhamdulillah, dah tiga hari umat Islam berpuasa. Salam 3 Ramadhan dalam kalendar 1436 Hijrah. 

Rasa lain pulak bila tak perlu menghadap nota-nota kuliah untuk ditelaah. Sebelum ni nak hapdet blog pun rasa tak kena. Rasa bersalah pulak kalau menaip entri tapi tak ulang kaji untuk peperiksaan big bang bagi pelajar medik. Sembilan modul yang perlu dibaca membuatkan aku membatalkan hasrat mengetuk papan kekunci.

Rasa janggal pula bila tak perlu baca nota. Walau bagaimanapun, aku tetap bersyukur dah bebas dari tahun pra-klinikal. Nak menaip macam blogger pemes Dr Fatin Liyana pun tak ada timbul rasa serba salah. Alhamdulillah, syukur kepada Allah jua yang memberikan nikmat kesihatan.

Meskipun cuti cuma sepuluh hari saja sebelum kembali menyambung semester lima dengan projek community survey. Kena siapkan tugasan berkumpulan tu selama dua minggu sebelum cuti lagi. 'Selepas kesulitan pasti ada kemudahan'. Cuti raya yang lebih panjang. Lima minggu! Cuti tiga minggu pun dah cukup membahagiakan bagi pelajar perubatan. Inikan pula cuti lima minggu. Alangkah indahnya.

Cuti ni nak habiskan stok filem yang aku ada yang tak sempat aku tengok kerana sibuk mengulang kaji. Malas nak fikirkan keputusan peperiksaan. Lulus pun dah besar rahmat. Aku nak tenangkan fikiran saja buat sementara waktu. Tak fikir pun tugasan dua minggu tu. Tak sabar nak cuti lima minggu. Yee-haw!



Friday, June 19, 2015

Kembali

Assalamualaikum.

Niat di hati semalam nak iftar 1 Ramadhan 1436H bersama ibu bapa di rumah tak kesampaian apabila bas gagal tiba sebelum waktu berbuka puasa. Mula-mula memang perancangan asal nak balik pada sebelah malam selepas solat terawih. Aku mengubah strategi apabila malas nak tunggu lebih lama di kota raya metropolitan dan ingin segera pulang.

Tiket segera dicari dan tiket bas pada waktu tengah hari dibeli. Hajatnya nak buat kejutan pada umi dan ayah di rumah. Tiada makluman diberi. Aku bersiap dan menempuh perjalanan untuk membuat 'surprise'. Apakan daya, perancangan Allah mengatasi segalanya. Apa pun, aku bersyukur dapat juga iftar 'berat' di rumah. Iftar 'ringan' minum air dalam bas sebaik saja masuk waktu berbuka.

Alhamdulillah, baru saja menamatkan First Professional Exam Bahagian Pertama untuk teori. Sembilan modul sistem badan. InsyaAllah, aku akan meneruskan pengajian ke tahun ketiga andai berjaya lulus dalam peperiksaan tersebut. Baru sekarang aku rasa seronoknya bercuti tanpa perlu memikirkan soal pelajaran. Yang pening difikirkan nak sambung pengajian di luar negara atau tidak. Berat...

Walaupun hanya cuti 10 hari sebelum semester lima bermula bersama bermulanya era amali bagiku dalam bidang kedoktoran ini, aku tetap bersyukur dapat berpuasa bersama keluarga di rumah. Tiada bandingnya nikmat ini selepas nikmat Islam dan iman. InsyaAllah kalau dipanggil bakal mertua, nak jugak iftar bersama. ^_^



Sunday, April 5, 2015

Jurang

AMARAN: *entri bola sepak*
 
Assalamualaikum.
 
Yeayyy! Pasukan kegemaran, Manchester United, menang lagi semalam. Kacak dan bergaya macam ahli-ahli rumah Baitul Kacak! Salam 4-1 kepada rakan serumah yang meminati Liverpool, pasukan yang di'gulai' semalam menjadi lauk yang lazat diratah. 
 
 
  Tahniah kepada Manchester United yang mencatat kemenangan kelima berturut-turut. Louis Van Gaal akhirnya telah menemui ramuan terbaiknya dan mengekalkan barisan yang sama yang menewaskan Tottenham Hotspurs dan Liverpool dalam dua perlawanan sebelum ini. Hanya Marcos Rojo menggantikan Chris Smalling yang cedera di posisi bek tengah.
 
 Tiga gol termasuk ledakan menarik Wayne Rooney meranapkan benteng pasukan pelawat yang bertahan sepanjang permainan. Dua gol lagi dijaringkan oleh Ander Herrera yang terus memberikan sebab untuk Van Gaal mengekalkan namanya dalam kesebelasan utama. 

Tiga perlawanan selepas ini akan menentukan sama ada Manchester United mampu bersaing di pentas berprestij Liga Juara-Juara Eropah musim depan. United akan berdepan City dalam Manchester derby di gelanggang sendiri sebelum berdepan Chelsea dan Everton di tempat lawan.
Glory glory Manchester United.





Monday, March 30, 2015

Dilema Arjuna

Assalamualaikum.
 
Petang ni baru selesai jumpa Kak Ummi di Student Service Department (SSD). Sebenarnya Kak Ummi dah cari aku minggu lepas lagi. Dia suruh kawan aku maklumkan. Tapi aku terlupa sangat-sangat. Hari ni dia suruh kawan sorang lagi pulak maklumkan kepada aku yang dia nak jumpa aku.

Maka lepas kelas tamat jam 5.20 petang aku terus ke SSD untuk berurusan dengan dia. Sebulan lepas aku ada maklumkan yang aku nak guna switch option dari Partner Medical School ke Seremban. JPA dah emel untuk mintak surat permohonan rasmi. 

Entahlah. Hati sang arjuna sedang dalam dilema. Terlalu banyak faktor yang membuatkan aku ragu-ragu untuk menyambung pengajian di luar negara walaupun aku masih dalam Program Ijazah Luar Negara. Selain keinginan yang telah malap, faktor masa sangat penting dalam perkiraan aku. 

InsyaAllah aku akan menamatkan semester lima hujung tahun ini. Aku hanya akan ke luar negara pada bulan September tahun depan jika aku meneruskan hasrat untuk meneruskan pengajian di sana. Graduasi aku akan lambat setahun daripada rakan-rakan aku yang sama batch ketika ini. 

Keputusan IELTS juga masih menjadi persoalan. Aku perlu mendapat band 7.0 untuk setiap komponen. Masih ada dua daripada empat komponen IELTS (Writing dan Speaking) yang aku gagal mencapai syarat minimum. Kali terakhir aku mengambil ujian IELTS, aku mendapat band 6.5 untuk kedua-dua komponen. Aku tak yakin untuk melepasi syarat minimum untuk semua komponen kalaupun aku mengambil semula ujian IELTS. 

Banyak lagi perkara yang perlu difikirkan. Nama ibu bapa yang perlu dijaga. Maafkan diri ini andai gagal mencapai hasrat ummi dan ayah. u_u




Monday, March 23, 2015

Puas

Assalamualaikum.

Kemenangan 2-1 mengatasi musuh tradisi sentiasa bermakna. Lebih bermakna apabila semua haters menjangkakan kekalahan Manchester United dan terpaku apabila United bergaya mengatasi lawan di Anfield.

"Habislah MU. Game lepas ni semua susah."

And then they said Manchester United will struggle. ^_^


Great team responds on the pitch. Manchester United berdepan siri laluan sukar apabila berdepan Arsenal dalam Piala FA. Seterusnya perlu menentang Tottenham Hotspurs (home), Liverpool (away), Manchester City (home), Chelsea (away), Everton (away), dan Arsenal (home) sekali lagi. Semua musuh meramalkan United akan menghadapi masalah. Malangnya, mereka silap. 

Selepas kekalahan 2-1 kepada Arsenal dalam Piala FA, United bangkit mencatat dua kemenangan berturut-turut. Usai membenam cabaran Spurs 3-0, United berdepan pula dengan musuh ketat yang berada di tahap prestasi terbaik dan mencatat kemenangan selepas kemenangan. Kali terakhir Liverpool kalah dalam liga musim ini adalah ketika tewas 3-0 kepada Manchester United di Old Trafford pada bulan Disember lepas. 

Sangat ironi apabila pasukan yang sama mengakibatkan kekalahan Liverpool sekali lagi untuk mengukuhkan cengkaman di tempat keempat dengan berbeza lima mata dari Liverpool di tangga kelima. Misi United untuk beraksi di pentas Eropah kian mekar.

Juan Mata meletakkan United di depan dalam babak pertama apabila menyempurnakan lorongan cantik Ander Herrera dan merembat dengan kaki kanan. Kapten Liverpool, Steven Gerrard yang masuk di awal babak kedua menggantikan Adam Lallana hanya beraksi 40 saat sebelum dilayangkan kad merah kerana memijak kaki Herrera selepas turut merempuh Mata.

Mata menambah gol kedua peribadi apabila menyambut hantaran lambung pemain gantian, Angel Di Maria, dengan sepakan akrobatik yang memukau penonton. Sepakan itu langsung menewaskan Simon Mignolet di gawang Liverpool dan meletakkan United dalam kedudukan selesa.

Walaupun Daniel Sturridge berjaya mengurangkan defisit untuk pasukan tuan rumah, United utuh bertahan untuk membawa pulang tiga mata penuh ketika peminat pasukan lain tidak meletakkan sebarang harapan kepada Manchester United. Wayne Rooney sempat mensia-siakan peluang dalam masa kecederaan apabila gagal menjaringkan sepakan penalti.

Keputusan di akhir perlawanan sangat adil bagi Manchester United yang mendominasi penguasaan bola. Simpati buat rakan serumah aku yang merupakan penyokong tegar Liverpool dan kekal positif ketika sama-sama menonton semalam. Hahaha. Glory glory Manchester United!




Saturday, March 21, 2015

Arabian Night

Assalamualaikum.
 
Alhamdulillah, rezeki malam ni rakan serumah belanja makan di Restoran Papero. Hari ni baru tema 'Arabian Night' ni dicanang. Awal minggu ni dia cuma cakap nak belanja. Mungkin sebagai tanda kesyukuran dia berjaya melepasi tahun pertama perubatan baru-baru ni.
 
 
Kami pergi berempat. Dekat je dengan rumah sewa kami. Tapi tak jalan kaki. Pergi naik teksi. Kami gerak lepas solat maghrib. Sampai sana dah pukul 8.30 malam. Perut berkeroncong mintak diisi dengan kadar segera. Lapar....


Aku pesan chocolate milkshake. One of my favourite. Dan.... alhamdulillah, memang sedap. Sangat sedap sebenarnya. Rasa macam tak nak habiskan. Rasa nak minum lagi dan lagi. Sampai dah habis air ni pun aku sedut lagi dari straw.


Tiga orang rakan serumah aku semua pesan shawarma. Aku saja yang mintak chicken grill dengan andaian makanan ni lagi besar dan shawarma kecik. Ternyata aku salah. Shawarma besar gila! Dan ayam ni nampak kerdil. Tsk tsk. Tapi... alhamdulillah, ni pun cukup mengenyangkan. 


Haaaa.. insan kelaparan nak makan ni. Saya makan dulu deh! Bukan selalu dapat rasa makanan Arab ni. Jadi orang Arab aku malam ni. Syukur alhamdulillah atas rezeki kurniaan Allah. Dengar kata keluarga di Kedah jamuan nasik kandar Royale malam ni. Alhamdulillah. Segala puji-pujian hanya bagi Allah. ^_^





Sama Hebat

Assalamualaikum.

Undian pusingan suku akhir Liga Juara-Juara Eropah musim 2014/2015 berlangsung semalam.

Paris Saint-Germain (Perancis) vs FC Barcelona (Sepanyol)
Atletico Madrid (Sepanyol) vs Real Madrid CF (Sepanyol)
FC Porto (Portugal) vs Bayern Munich (Jerman)
AS Monaco (Perancis) vs Juventus (Itali)

Monaco adalah pasukan yang dikira paling lemah antara lapan pasukan terakhir ini. Juventus bertuah untuk diundi menentang pasukan yang tidak mempunyai bintang yang sangat menggerunkan melainkan kekayaan yang setaraf PSG dan Chelsea. Juve yang diketuai Carlos Tevez dan Paul Pogba dijangka mudah melangkah ke separuh akhir seperti mereka membelasah Borussia Dortmund 5-1 dalam pusingan kedua.

Bayern juga mendapat undian mudah antara tiga pasukan pilihan (termasuk Barca dan Real) yang diramalkan akan memenangi kejuaraan musim ini. Porto adalah pasukan berpengalaman dalam kejuaraan ini tetapi Bayern memiliki senjata yang cukup ampuh untuk meranapkan impian pasukan dari Portugal itu. Hanya tuah yang mampu membawa Porto melangkah jauh.

Atletico vs Real, ulangan final musim lepas. Atletico berpeluang membalas dendam kali ini tetapi Atletico sebenarnya sudah menjadi musuh ketat Real sejak perlawanan itu. Atletico sukar ditewaskan dalam beberapa perlawanan kedua-dua pasukan berentap. Diego Simeone (pengurus Atletico) dilihat mempunyai rahsia untuk menghadapi Real Madrid dan pasti gembira untuk berdepan pasukan Carlo Ancelotti dalam dua perlawanan lagi.

Satu lagi pasukan kaya dari Perancis, PSG, akan berdepan Barca dalam satu lagi perlawanan yang dijangka sengit. Namun, PSG akan beraksi tanpa penyerang sensasi mereka, Zlatan Ibrahimovic yang dilayangkan kad merah dalam perlawanan menentang Chelsea. Barcelona pula sedang berada di tahap prestasi terbaik diketuai Lionel Messi yang kini sukar disekat dengan menjaringkan serta mencipta gol-gol Barca. Bisa gandingan Messi bersama Neymar dan Luis Suarez juga cukup untuk menggentarkan mana-mana pasukan.

Selepas analisis, empat pasukan yang aku jangka akan merebut trofi berprestij ini adalah Barcelona, Real Madrid, Bayern Munich, dan Juventus. Perlawanan pertama akan berlangsung pada 14/15 April diikuti perlawanan kedua pada 21/22 April.



Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif