Welcome To My Life...

Sunday, November 30, 2014

Ceria 2

Assalamualaikum.

Bahagian 2.

----------------------------------
MANCHESTER UNITED 3-0 HULL CITY


Pasukan kegemaran aku sejak kecil, Manchester United, beraksi di gelanggang sendiri. Theatre of Dreams, Old Trafford. Pengurus Louis Van Gaal berdepan krisis kecederaan terutama di barisan pertahanan dengan kehilangan beberapa pemain utama. Barisan yang diturunkan masih kuat. Formasi 3-5-2. David De Gea; Chris Smalling, Michael Carrick, Marcos Rojo; Antonio Valencia, Marouane Fellaini, Juan Mata, Angel Di Maria, Ashley Young; Wayne Rooney, Robin Van Persie.

Valencia dan Young beraksi di bahagian sayap. Fellaini dan Di Maria mengawal jentera tengah dengan Mata beraksi di belakang gandingan penggempur berkembar Rooney-RVP. United bernasib baik untuk menang dalam perlawanan menentang Arsenal sebelum ini walaupun pihak lawan menguasai permainan. Namun United mendominasi perlawanan menentang Hull dari sepak mula sehingga wisel terakhir.

Serangan bertali arus dilancarkan ke kubu lawan dan hanya masa yang menentukan bila masanya gawang Hull akan dibocori. Masalah kecederaan pemain United bertambaha apabila Di Maria berhenti berlari dan memegang pahanya ketika permainan belum pun mencecah usia 20 minit. Namun penggantinya, Ander Herrera tak mengambil masa lama untuk menyesuaikan diri dengan tempo permainan.

United mendapat gol pendahuluan selepas sepakan penjuru Rooney menimbulkan keadaan kacau bilau di depan gawang Hull. Bola gagal dikeluarkan dan penjaga gol menolak bola tepat kepada Smalling yang menyepak. Penjaga gol cuba menahan. Pengadil melihat jam tangannya untuk mendapatkan kepastian dan teknologi garisan gol mengesahkan sepakan Smalling telah melepasi garisan. Kali pertama United mendapat manfaat daripada teknologi baru ini.

Malam tadi aku dapat menonton perlawanan live streaming tanpa tersekat-sekat. Kali pertama sejak sekian lama. Aku dapat menikmati permainan cantik dan kemas para pemain United. Mereka bertukar-tukar hantaran dan sabar membina serangan. Gol kedua United sangat menarik. Mata melakukan hantaran lambung yang ditanduk Herrera kepada Van Persie. Bola dihantar kepada Rooney yang melencongkan bola ke penjuru bawah untuk meneruskan prestasi cemerlang di peringkat kelab dan antarabangsa.

Sebelum itu Robin Van Persie mempunyai peluang untuk menjaringkan gol tetapi sepakannya tepat kepada penjaga gol. Namun Van Persie gagal disekat untuk menjaringkan gol ketiga apabila Herrera merampas bola di kawasan lawan sebelum melorongkan kepada rakan sepasukannya. Van Persie membawa bola ke kaki kirinya sebelum merembat kencang dari luar kotak penalti ke penjuru atas dan mengangkat tangannya tanda puas hati. Van Persie dikritik hebat dan dikatakan aksinya dalam pemerhatian. Gol itu membuktikan dia masih berbisa dan berharga.

Manchester United mencatat kemenangan liga ketiga berturut-turut untuk kekal dalam kelompok empat pasukan terbaik. Mereka perlu sekurang-kurangnya mengekalkan kedudukan itu untuk layak ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan. Aksi malam tadi adalah yang terbaik ditampilkan pasukan bimbingan Van Gaal musim ini. United perlu mengatasi Stoke dalam perlawanan pertengahan minggu sebelum menghadapi pasukan tangga kedua Southampton hujung minggu nanti.

Para pemain United mula menampakkan keserasian. Walaupun berdepan senarai panjang pemain yang cedera, Van Gaal berjaya membentuk satu pasukan yang masih kuat dibarisi bintang-bintang berkelas dunia. Apabila Ander Herrera dan Adnan Januzaj hanya memanaskan bangku simpanan, semua pasti tahu betapa berkualiti barisan utama United.

No Di Maria, no problem.



Ceria

Assalamualaikum.

Bahagian 1.

Semalam adalah hari Sabtu yang menceriakan bagi aku. Dan juga produktif. Banyak kerja yang diselesaikan semalam walaupun masih ada satu tugasan yang membawa markah untuk penilaian tahun kedua. Sebenarnya aku baru saja ada ruang untuk bernafas setelah menghabiskan beberapa tugasan penting. Dua perlawanan pasukan bola sepak kegemaran aku berlangsung semalam dan kedua-duanya menang. ^_^

-------------------------------

MALAYSIA 3-1 SINGAPURA


Aku tonton siaran langsung perlawanan terakhir Kumpulan B Piala AFF Suzuki 2014 ini bersama rakan serumah. Perlawanan bermula jam 8 malam. Perlawanan penting yang menentukan nasib pasukan Harimau Malaya. 'Misi mesti menang' untuk menjadi naib juara kumpulan dan mengiringi Thailand yang sudah pun layak selaku pemenang selepas menewaskan Singapura dan Malaysia dalam dua perlawanan awal. 

Singapura ada pilihan untuk seri dan memilih strategi 'permainan tertutup' dengan bertahan sebaik mungkin. Malaysia melancarkan serangan demi serangan bertali arus dengan penjaga gol Malaysia, Khairul Fahmi hanya sekadar menjadi pemerhati dalam separuh masa pertama.

Singapura memulakan babak kedua dengan cuba mencari gol yang akan menyukarkan peluang Malaysia untuk mara. Namun, selepas percubaannya terkena palang dalam babak pertama, Safee Sali tidak mensia-siakan peluang meletakkan Malaysia dengan rembatan padu berbisa selepas detik sejam untuk menutup mulut pengkritik.

Malaysia terus mencari gol kedua untuk selesa di depan tetapi melepaskan peluang demi peluang. Aku resah kerana satu gol saja cukup untuk menghancurkan impian Malaysia. Dan gol yang aku sudah jangka itu tiba jua selepas berkali-kali peluang diberikan kepada Singapura. Khairul Fahmi beraksi cemerlang sepanjang perlawanan di gawang Malaysia tetapi gagal menangkap sepakan percuma pemain lawan dan Khairul Amri pantas menyambut bola muntah tersebut. Entah kenapa, aku masih belum kecewa kerana Malaysia masih ada masa untuk respons.

Aku membesar dengan percaya adanya keajaiban dan aku yakin Singapura masih belum layak selagi wisel penamat tidak dibunyikan. Memasuki masa kecederaan, masih tidak ada tanda-tanda keajaiban akan menjadi realiti. Sebaliknya, Singapura mendapat beberapa lagi sepakan percuma tidak jauh dari kotak penalti Malaysia. Dan Khairul Fahmi beberapa kali menjadi penyelamat. 

Aku ada memberitahu rakan serumah bahawa tuah kemenangan lewat mungkin menjadi milik Malaysia selepas sepakan Safee terkena tiang dan Gary Steven Robbat mendapat kad kuning untuk perlanggaran tidak sengaja dengan pemain lawan. Akhirnya, doa itu termakbul jua. Malaysia mendapat sepakan penalti dalam masa kecederaan walaupun aku tidak melihat sebarang insiden. Dan aku terkejut apabila pengadil menghadiahkan sepakan penalti. Rasa bersyukur sangat-sangat. Ulang tayang menunjukkan Amri Yahyah dikasari. 

Safiq Rahim bersedia untuk mengambil sepakan dengan harapan menggunung rakyat Malaysia untuk melihat Harimau Malaya mara terbeban di bahunya. Jika dia gagal, Malaysia akan tersingkir dengan keputusan seri. Kekuatan mental sangat penting dalam situasi getir sebegini. Bukan semua pemain mampu mara dan menggalas tanggungjawab dengan risiko besar dipersalahkan sepanjang hayat. Dan.... Safiq tenang meletakkan Malaysia kembali di depan. Belum selesa tetapi Malaysia hanya perlu bertahan.

Singapura melancarkan serangan untuk mendapatkan gol yang akan meranapkan perasaan seluruh rakyat Malaysia. Mereka mendapat sepakan penjuru di saat-saat akhir permainan dan penjaga gawang Hassan Sunny mara untuk cuba menjaringkan gol penting. Khairul Fahmi menolak bola dari sepakan sudut itu dan beberapa pemain Malaysia menjauhkan bola dari kotak penalti Malaysia.

Indra Putra Mahayuddin mendapat bola di tengah padang dan menolak bola jauh ke depan. Pintu gawang terbuka luas kerana penjaga gol masih di kawasan Malaysia. Aku mahu Indra Putra merembat dari tengah padang sebelum itu tetapi keputusannya tepat. Pengalaman luas dimiliki Indra menyaksikan dia menyepak tenang untuk gol yang memusnahkan sebarang peluang Singapura. 3-1. Memang gol itu nampak mudah tetapi 70% pemain akan gagal menjaringkan gol itu. Sepakan Indra tepat ke sasaran.

Penyokong tuan rumah kecewa. Ini kali kedua dalam edisi 2014 Singapura tewas lewat permainan. Sebelum ini Thailand menewaskan mereka 2-1 juga di hujung perlawanan. Juara bertahan tersingkir di laman sendiri. Juara baru akan ditabalkan. Harimau Malaya mempunyai dua perlawanan untuk mara ke final. Sebelum impian itu menjadi kenyataan, mereka perlu melepasi Vietnam pada 7 Disember dan 11 Disember. 

Ayuh Harimau Malaya! Malaysia boleh!

-------------------------

-BERSAMBUNG-



Saturday, November 29, 2014

Semakin Hangat

Assalamualaikum

Matchday 5.

KUMPULAN A

Atletico 4-0 Olympiacos
[Raul Garcia (1), Mario Mandzukic (3)]

Malmo 0-2 Juventus
[Fernando Llorente (1), Carlos Tevez (1)]

Kedudukan: Atletico 12; Juventus 9; Olympiacos 6; Malmo 3

-----------------------------------------------

KUMPULAN B

Basel 0-1 Real Madrid
 [Cristiano Ronaldo (1)]

Ludogorets 2-2 Liverpool
 [Dani Abalo (1), Georgi Terziev (1) | Rickie Lambert (1), Jordan Henderson (1)]

Kedudukan: Real 15; Basel 6; Liverpool 4; Ludogorets 4

----------------------------------------------- 

KUMPULAN C

Zenit 1-0 Benfica
[Danny (1)]

Leverkusen 0-1 Monaco
 [Lucas Ocampos (1)]

Kedudukan: Leverkusen 9; Monaco 8; Zenit 7; Benfica 4

----------------------------------------

KUMPULAN D

Anderlecht 2-0 Galatasaray
 [Chancel Mbemba (2)]

Arsenal 2-0 Dortmund
 [Yaya Sanogo (1), Alexis Sanchez (1)]

Kedudukan: Dortmund 12; Arsenal 10; Anderlecht 5; Galatasaray 1

--------------------------------------

KUMPULAN E

CSKA Moscow 1-1 Roma 
 [Vasili Berezutski (1) | Francesco Totti (1)]

Manchester City 3-2 Bayern
 [Sergio Aguero (3) | Xabi Alonso (1), Robert Lewandowski (1)]

Kedudukan: Bayern 12; Roma 5; City 5; CSKA 5

-----------------------------------------

KUMPULAN F

PSG 3-1 Ajax
[Edinson Cavani (2), Zlatan Ibrahimovic (1) | Davy Klaassen (1)]

APOEL 0-4 Barcelona
[Luis Suarez (1), Lionel Messi (3)]

Kedudukan: PSG 13; Barcelona 12; Ajax 2; APOEL 1

---------------------------------------
 
KUMPULAN G

Schalke 0-5 Chelsea
[John Terry (1), Willian (1), Jan Kirchhoff (1-og), Didier Drogba (1), Ramires (1)]

Sporting 3-1 Maribor
[Carlos Mane (1), Nani (1), Islam Slimani (1) | Jefferson (1-og)

Kedudukan: Chelsea 11; Sporting 7; Schalke 5; Maribor 3

-----------------------------------  

KUMPULAN H

 BATE 0-3 Porto
 [Hector Herrera (1), Jackson Martinez (1), Cristian Tello (1)]

Shakhtar 0-1 Athletic
 [Mikel San Jose (1)]

Kedudukan: Porto 13; Shakhtar 8; Athletic 4; BATE 3
-------------------------------------

Pasukan yang sah layak ke pusingan kalah mati:

Kumpulan A - Atletico Madrid
Kumpulan B - Real Madrid (juara)
Kumpulan D - Borussia Dortmund; Arsenal
Kumpulan E - Bayern Munich (juara)
Kumpulan F - PSG; Barcelona
Kumpulan G - Chelsea (juara)
Kumpulan H - Porto (juara), Shakhtar


Analisis
10 daripada 16 slot telah diisi. Dua slot dari Kumpulan C masih menjadi rebutan. Empat pemenang kumpulan juga sudah diketahui.

Thursday, November 6, 2014

Messi Cipta Sejarah

Assalamualaikum.

Matchday 4 Part 2

Lionel Messi dan sejarah bukanlah asing. Rekod demi rekod dipecahkan. Malam tadi, Messi menyamai jumlah jaringan Raul (71 gol) untuk menjadi penjaring terbanyak Liga Juara-Juara sepanjang zaman pada usia 27 tahun. Luiz Adriano pula menjaringkan hatrik lagi selepas meledak lima gol menentang lawan sama dalam perlawanan lalu.
Apa pula nasib Manchester City?

-------------------------------

KUMPULAN E

Manchester City 1-2 CSKA Moscow
Bayern 2-0 Roma

Di England, City tewas lagi selepas gagal menumbangkan CSKA di gelanggang lawan. Tandukan Seydou Dumbia meletakkan pelawat di depan sebelum sepakan percuma Yaya Toure menyamakan kedudukan. Doumbia menjaringkan gol kemenangan CSKA ketika City menamatkan permainan dengan sembilan orang pemain. Di Jerman, jaringan Franck Ribery dan Mario Gotze mengesahkan status Bayern selaku pemenang kumpulan dengan berbaki dua perlawanan. 

Kedudukan: Bayern 12; Roma 4; CSKA 4; City 2

-----------------------------------

KUMPULAN F 

PSG 1-0 APOEL
 Ajax 0-2 Barcelona

Di Perancis, jaringan minit pertama Edinson Cavani membawa tuan rumah mara ke pusingan kalah mati. Di Belanda pula, dua gol Lionel Messi membantu pasukannya melangkah jauh dan juga meletakkan dirinya selaku penjaring terbanyak kejohanan sepanjang zaman.

Kedudukan: PSG 10; Barcelona 9; Ajax 2; APOEL 1

---------------------------

KUMPULAN G

Sporting 4-2 Schalke
Maribor 1-1 Chelsea

Di Portugal, Sporting membalas kekalahan dalam perlawanan lepas dengan membenam pelawat dari Jerman hasil jaringan Naby Sarr, Jefferson, Nani dan Islami Slimani. Gol sendiri Slimani dan jaringan Dennis Aogo mengubati kekecewaan Schalke. Di Slovenia, Agim Ibraimi meletakkan tuan rumah di depan sebelum Nemanja Matic menyamakan kedudukan untuk pelawat.

Kedudukan: Chelsea 8; Schalke 5; Sporting 4; Maribor 3

----------------------------------

KUMPULAN H

Athletic 0-2 Porto
Shakhtar 5-0 BATE

Gol Jackson Martinez dan Yacine Brahimi cukup untuk memberikan kemenangan kepada pelawat di Sepanyol. Porto sudah sah mara ke pusingan seterusnya. Shakhtar juga mengukuhkan kedudukan dengan kemenangan selesa di tempat sendiri di Ukraine. Shakhtar masih berpeluang memenangi kumpulan selepas hatrik Luiz Adriano ditambah dua lagi gol dari Darijo Srna dan Alex Teixeira.

Kedudukan: Porto 10; Shakhtar 8; BATE 3; Athletic 1

------------------------------------ 

Empat lagi pasukan mara. Dua dari Kumpulan F dan masing-masing satu dari Kumpulan E dan Kumpulan H. Bayern sah menjadi juara kumpulan dan tiada ragu lagi pasukan yang layak dari Kumpulan F. Chelsea akan mengesahkan kemaraan sekiranya memenangi perlawanan seterusnya dalam Kumpulan G.


Real dan Dortmund Mara

Assalamualaikum.

Matchday 4 Part 1

Real Madrid terus garang dengan mencatat kemenangan keempat berturut-turut dalam aksi Liga Juara-Juara untuk layak ke pusingan kalah mati. Borussia Dortmund juga mara dengan statistik sama, menang empat perlawanan walaupun begitu goyah dalam liga domestik. Arsenal pula dikejutkan dengan kebangkitan lewat Anderlecht. 
Bagaimana pula nasib Juventus?

----------------------------------

KUMPULAN A

Malmo 0-2 Atletico
Juventus 3-2 Olympiacos

Di Sweden, pemain Atletico menunjukkan bisa penyudah mereka. Malmo menguasai perlawanan dan melancarkan lebih banyak serangan namun dua gol Koke dan Raul Garcia cukup untuk memberikan kemenangan kepada pelawat. Di Itali pula, dua gol dalam tempoh dua minit membolehkan Juve membalas dendam selepas tewas di tempat lawan dalam perlawanan sebelum ini. Sepakan percuma Andrea Pirlo dipadamkan jaringan Alberto Botia dan Delvin N'Dinga. Namun gol sendiri penjaga gol Roberto dituruti dengan ledakan Paul Pogba begitu pantas menceriakan penyokong tuan rumah.

Kedudukan: Atletico 9; Juventus 6; Olympiacos 6; Malmo 3

-----------------------------------

KUMPULAN B

Basel 4-0 Ludogorets
Real Madrid 1-0 Liverpool

Tuan rumah menang bergaya di Switzerland. Jaringan Breel Embolo, Derlis Gonzalez, Shkelzen Gashi dan Marek Suchy cukup untuk membalas kekalahan di tempat lawan dalam perlawanan sebelum ini. Di Sepanyol, tuan rumah menang tipis hasil jaringan Karim Benzema walaupun menguasai sebahagian besar perlawanan.

Kedudukan: Real 12; Basel 6; Liverpool 3; Ludogorets 3

-----------------------------------------

KUMPULAN C

Zenit 1-2 Leverkusen
Benfica 1-0 Monaco

Di Rusia, pelawat menang selepas dua gol Son Heung-Min meletakkan pasukan Jerman selesa di depan. Jaringan lewat Jose Rondon merapatkan kedudukan tetapi tuan rumah gagal mencuri satu mata. Lain pula ceritanya dengan gol lewat di Portugal. Ledakan lewat Talisca mengecewakan pelawat dari Perancis.

Kedudukan: Leverkusen 9; Monaco 5; Zenit 4; Benfica 4

---------------------------------------------

KUMPULAN D

Dortmund 4-1 Galatasaray
Arsenal 3-3 Anderlecht

Di Jerman, tuan rumah melupakan kehampaan aksi liga domestik dengan membelasah pelawat dari Turki. Jaringan Marco Reus dan Sokratis Papastathopoulos dirapatkan Hakan Balta tetapi gol Ciro Immobile dan gol sendiri Semih Kaya memberikan kemenangan selesa untuk tuan rumah. Di England, tuan rumah selesa mendahului 3-0 menerusi sepakan penalti Mikel Arteta, gol Alexis Sanchez dan Alex Oxlade-Chamberlain dan menyangka mereka sudah menang. Tetapi dua gol Vanden Borre dan jaringan penyamaan minit akhir oleh Aleksandar Mitrovic menggembirakan pelawat.

Kedudukan: Dortmund 12; Arsenal 7; Anderlecht 2; Galatasaray 1

-----------------------------------------

Hanya Real Madrid (Kumpulan B) dan Borussia Dortmund (Kumpulan D) sudah sah layak. Arsenal juga boleh layak jika menang perlawanan seterusnya. Persaingan Kumpulan A dan Kumpulan C masih terbuka. Persaingan Kumpulan E-H berterusan malam ini melibatkan nama-nama besar seperti Chelsea, Manchester City, Bayern Munich dan AS Roma.      




Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif