Welcome To My Life...

Sunday, April 16, 2017

Terbuka Singapura 2017: Final

Assalamualaikum.

Kejuaraan perseorangan lelaki telah sah milik pemain India sebelum perlawanan berlangsung lagi dan hanya empat acara lain menjadi tanda tanya. Berikut adalah keputusan penuh peringkat akhir Terbuka Singapura 2017.

MS: Sai Praneeth (India) vs Srikanth Kidambi (India) 17-21 21-17 21-12
MD: Mathias Boe/Carsten Mogensen (Denmark) vs Li Junhui/Liu Yuchen (China) 21-13 21-14
WS: Tai Tzu Ying (Taiwan) vs Carolina Marin (Sepanyol) 21-15 21-15
WD: Kamilla Rytter/Christinna Pedersen (Denmark) vs Misaki Matsutomo/Ayaka Takahashi (Jepun) 21-18 14-21 21-15
XD: Lu Kai/Huang Yaqiong (China) vs Dechapol Puavaranukroh/Sapsiree Taerattanachai (Thailand) 19-21 21-16 21-11

Dua pemain India, kedua-duanya berusia 24 tahun. Tiga set diperlukan untuk memisahkan yang terbaik antara mereka. Tewas set pertama tidak mematahkan semangat Sai Praneeth untuk bangkit dalam dua set berikutnya dan membawa pulang kejuaraan berharga dalam kariernya.

Pertembungan final beregu lelaki antara dua generasi yang jauh perbezaan umur. Beregu veteran dari Denmark yang penuh pengalaman dan beregu muda dari China yang sedang meningkat naik. Ternyata perbezaan pengalaman itu menjarakkan. Pasangan Denmark yang menyingkirkan beregu nombor satu dunia di separuh akhir tidak menghadapi masalah untuk menang straight set.

Final perseorangan wanita adalah ulangan final Terbuka Malaysia. Misi balas dendam Carolina Marin tidak kesampaian. Jika di Kuching, Sarawak, Marin berjaya mengheret permainan ke set penentuan, kali ini Marin gagal. Marin tewas dengan skor yang sama dalam kedua-dua set kepada ratu badminton dunia ketika ini yang terus menyinar.

Pilihan kedua pertandingan dari Denmark mengejutkan beregu nombor satu dunia dan juga pilihan utama dari Jepun. Menang set pertama, harapan Kamilla Rytter Juhl dan Christinna Pedersen untuk menang mudah tidak kesampaian. Mengaku kalah di set kedua, Kamilla dan Christinna memastikan Misaki Matsutomo dan Ayaka Takahashi tidak mampu mengatasi mereka dalam set penentuan.

Pasangan China, Lu Kai dan Huang Yaqiong memenangi kejuaraan Siri Super ketiga dari empat yang dipertandingkan setakat ini apabila membenam cabaran lawan dari Thailand. Selepas tewas kepada rakan senegara di Malaysia minggu lalu, Lu Kai/Huang Yaqiong tidak mahu kempunan lagi. Tewas tipis set pertama, dua set berikutnya menjadi milik mereka untuk mengesahkan dominasi di pentas antarabangsa ketika ini.

Pertandingan Siri Super akan berehat sementara bagi memberi laluan kepada Piala Sudirman (berpasukan campuran) di Australia bulan depan dan akan bersambung di Indonesia pada bulan Jun.



Saturday, April 15, 2017

Terbuka Singapura 2017: Semi Final

Assalamualaikum.

Terbuka Singapura bermula sebaik saja Terbuka Malaysia anjuran Celcom Axiata berakhir di Kuching, Sarawak, minggu ini. Kejuaraan Siri Super kedua berturut-turut. Tanpa penyertaan Lee Chong Wei dan Lin Dan, pemain lain mencuri tumpuan dalam acara perseorangan lelaki.

Berikut adalah keputusan penuh peringkat separuh akhir.

Perseorangan Lelaki
Srikanth Kidambi (India) vs Anthony Ginting (Indonesia) 21-13 21-14
Sai Praneeth (India) vs Lee Dong Keun (Korea Selatan) 21-6 21-8

Satu demi satu halangan dilepasi dan tanpa diduga menentang sebarang ramalan, dua pemain perseorangan dari India akan berentap sesama sendiri dan memastikan kejuaraan ini milik India. Kedua-dua pemain India berusia 24 tahun ini boleh dikatakan menang mudah menentang lawan masing-masing. Sai Praneeth lebih hebat, langsung tidak membenarkan Lee Dong Keun mengutip 10 mata dalam kedua-dua set.

----------------------------

Beregu Lelaki
Mathias Boe/Carsten Mogensen (Denmark) vs Marcus Gideon/Kevin Sanjaya (Indonesia) 11-21 21-11 21-14
Li Junhui/Liu Yuchen (China) vs Berry Angriawan/Hardianto (Indonesia) 15-21 21-10 21-16

Dua beregu Indonesia dalam dua perlawanan separuh akhir dengan harapan untuk pertemuan sesama sendiri pemain Indonesia. Dan kedua-dua pasangan Indonesia ini tewas dalam pertarungan tiga set. Pasangan Marcus Gideon/Kevin Sanjaya yang telah memenangi ketiga-tiga Siri Super yang dipertandingkan sebelum ini terpaksa akur dengan kemantapan gandingan veteran Denmark. Otai masih berbisa! Beregu muda China pula menyingkirkan gandingan Berry Angriawan/Hardianto.

------------------------------

Perseorangan Wanita
Carolina Marin (Sepanyol) vs Sung Ji Hyun (Korea Selatan) 21-9 21-12
Tai Tzu Ying (Taiwan) vs Zhang Beiwen (USA) 21-19 21-15

Carolina Marin menang mudah menentang perseorangan utama Korea Selatan untuk menempah pertarungan dengan lawan yang sama yang menewaskannya dalam final Terbuka Malaysia seminggu sebelumnya. Misi balas dendam juara Olimpik Rio 2016 ini pasti membakar semangatnya. Ratu badminton dunia dari Taiwan pula pastinya tenang memburu kejuaraan Siri Super ketiga dari empat yang baru dipertandingkan.

-------------------------------

Beregu Wanita
Kamilla Rytter/Christinna Pedersen (Denmark) vs Chang Ye Na/Lee So Hee (Korea Selatan) 28-26 21-11
Misaki Matsutomo/Ayaka Takahashi (Jepun) vs Jung Kyung Eun/Shin Seung Chan (Korea Selatan) 21-17 21-17

Jika dua beregu Indonesia tewas dalam acara lelaki, beregu wanita pula menyaksikan dua beregu Korea Selatan tersungkur dalam pertembungan empat pasangan pilihan utama. Pasangan berpengalaman dari Denmark, Kamilla Rytter/Christinna Pedersen mengharungi saat getir dalam set pertama sebelum menang 28-26 dan kemudian menang mudah dalam set kedua. Beregu nombor satu dunia, Misaki Matsutomo/Ayaka Takahashi pula menang straight game dengan skor yang sama.

-----------------------------

Beregu Campuran
Dechapol Puavaranukroh/Sapsiree Taerattanachai (Thailand) vs Tan Kian Meng/Lai Pei Jing (Malaysia) 18-21 21-11 21-14
Lu Kai/Huang Yaqiong (China) vs Kim Gi Jung/Shin Seung Chan (Korea Selatan) 16-21 21-17 21-12

Satu-satunya harapan Malaysia ditumbangkan dalam tiga set. Jika Tan Kian Meng/Lai Pei Jing tidak meningkatkan prestasi, pingat emas acara ini akan menjadi milik Thailand di Sukan SEA 2017 yang akan berlangsung di Kuala Lumpur. Lawan pasangan Thailand ini di final ialah Lu Kai/Huang Yaqiong yang juga bertungkus-lumus dalam tiga set sebelum menyingkirkan Shin Seung Chan dalam acara kedua. Malang bagi Seun Chan yang tewas dalam dua perlawanan separuh akhir (beregu wanita/campuran).

--------------------------------------

Hanya satu wakil Malaysia di pusingan separuh akhir dan wakil tunggal itu telah tewas, bermakna tiada pemain Malaysia akan beraksi di pentas final di Singapura. Mengecewakan, sangat mengecewakan. Aksi tidak konsisten yang dipamerkan Goh V Shem/Tan Wee Kiong menyaksikan harapan yang digalas mereka kian pudar. Selepas memenangi Dubai World Superseries Final akhir tahun lalu dan mencapai puncak ranking nombor satu dunia, V Shem/Wee Kiong jatuh mendadak selepas itu. Kisah yang sama seperti Koo Kien Keat/Tan Boon Heong satu ketika dulu.

Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur semakin hampir, akan berlangsung Ogos nanti. Ketika Indonesia mendominasi acara beregu lelaki dan Thailand kian kukuh dalam acara beregu campuran, harapan Malaysia tidak mempamerkan prestasi stabil untuk diharapkan memenangi pingat emas di bumi sendiri. Jika Lee Chong Wei beraksi di Kejohanan Dunia di Glasgow, Scotland, pemain pelapis dalam acara perseorangan lelaki tidak boleh diharapkan menentang armada Indonesia.

Apa pun, tumpuan sepenuhnya kepada aksi final esok. Perlawanan tumpuan adalah pertembungan ulangan antara Tai Tzu Ying dan Carolina Marin dalam final kedua berturut-turut.



Monday, April 10, 2017

Celcom Axiata Terbuka Malaysia 2017: Final

Assalamualaikum.

Terbuka Malaysia 2017 anjuran Celcom Axiata yang berlangsung di Kuching, Sarawak, melabuhkan tirainya dengan lima aksi final. Perbezaan generasi dapat dilihat dalam senarai pemain. Dua legenda agung badminton bertembung dalam perlawanan akhir perseorangan lelaki. Dua pakar beregu China dari generasi baru pula beraksi dalam dua acara.

Berikut adalah keputusan penuh perlawanan akhir. Dua kejuaraan untuk China, dan masing-masing satu untuk Indonesia, Taiwan, dan Jepun. Malang sekali tiada anak tempatan memenangi acara di bumi sendiri. 

MS: Lin Dan (China) vs Lee Chong Wei (Malaysia) 21-19 21-14
MD: Marcus Gideon/Kevin Sanjaya (Indonesia) vs Fu Haifeng/Zheng Siwei (China) 21-14 14-21 21-12
WS: Tai Tzu Ying (Taiwan) vs Carolina Marin (Sepanyol) 23-25 22-20 21-13
WD: Yuki Fukushima/Sayaka Hirota (Jepun) vs Huang Yaqiong/Tang Jinhua (China) 21-17 18-21 21-12
XD: Zheng Siwei/Chen Qingchen (China) vs Lu Kai/Huang Yaqiong (China) 21-15 21-18

Jaguh China dan salah seorang legenda perseorangan lelaki terhebat sepanjang zaman, Lin Dan, membuktikan dia ialah bintang utama generasi yang menuju penghujung dengan kemenangan straight set ke atas legenda tuan rumah, Dato' Lee Chong Wei. Perseteruan mereka merentasi masa lebih sedekad dan deretan kejuaraan seluruh dunia antara mereka. Kemenangan terbaru Lin ini melebarkan rekod mengatasi Chong Wei kepada 25-11.

Beregu sensasi Indonesia, Marcus Fernaldi Gideon dan Kevin Sanjaya Sukamuljo terus mencipta gelombang dalam dunia badminton apabila menjuarai kejuaraan Siri Super ketiga berturut-turut selepas Seluruh England dan Terbuka India. Walaupun diberi cabaran tiga set oleh pasangan muda dan berpengalaman dari negara Tembok Besar China, gandingan yang disamakan dengan Rexy Mainaky/Ricky Subagja ini membuktikan keunggulan dengan aksi pantas dan lincah.

Ratu badminton dan pemain nombor satu dunia ketika ini, Tai Tzu Ying dari Taiwan bertembung dengan juara Olimpik Rio 2016, Carolina Marin dari Sepanyol. Ibarat buku bertemu ruas. Jika Tai mahu lawan setanding dengan kekuatannya, Marin ialah musuh yang setara. Selepas cuba mengejar habis-habisan, Tai tewas jua set pertama 23-25. Tai selaku juara Seluruh England menang dua set berikutnya untuk mengukuhkan statusnya di takhta ranking dunia sebagai pemain wanita terbaik masa ini.

Kemaraan Yuki Fukushima/Sayaka Hirota dalam acara beregu wanita tidak dapat disekat lagi. Menentang beregu China yang juga sedang mendaki puncak, Yuki dan Sayaka mensia-siakan kemenangan set pertama apabila tumbang di set kedua. Namun mereka mempunyai cukup kekuatan mental untuk menang set penentuan sekali gus ditabalkan juara Terbuka Malaysia dan menjadi beregu Jepun seterusnya yang boleh diharapkan selepas pasangan nombor satu dunia, Misaki Matsutomo dan Ayaka Takahashi yang ditewaskan di peringkat separuh akhir.

Dua pasangan China berentap sesama sendiri dalam aksi final untuk mengesahkan kejuaraan milik China. Zheng Siwei yang tewas dalam final beregu lelaki sudah pun terlebih dulu memenangi acara ini yang dipertandingkan lebih awal. Bergandingan dengan ratu beregu berusia 19 tahun, Chen Qingchen, mereka menang straight game menentang juara Seluruh England, Lu Kai dan Huang Yaqiong. Malang sekali buat Yaqiong yang tewas kedua-dua aksi final kali ini (beregu wanita/campuran).

Tirai telah dilabuhkan. Duka buat Malaysia kerana tiada pemain yang mewakili Malaysia menjadi juara. Harapan utama dan terbaik, Dato' Lee terpaksa akur kepada musuh tradisinya. Beregu lelaki utama, Goh V Shem/Tan Wee Kiong tersingkir awal. Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying terpaksa menarik diri dari aksi beregu campuran kerana Liu Ying cedera dan mereka juga berundur dari Terbuka Singapura selepas ini. Pemain-pemain muda yang lain tidak boleh diharapkan.

Indonesia memiliki gandingan beregu ampuh Marcus Fernaldi Gideon/Kevin Sanjaya Sukamuljo dan Ricky Karandasuwardi/Angga Pratama yang menjadi pasangan yang mahu dikalahkan semua. Taiwan memilik ratu badminton dunia, Tai Tzu Ying. Sepanyol memiliki Carolina Marin selaku pencabar utama Tai. Jepun berbangga dengan kekuatan dalam acara wanita. Nozomi Okuhara dan Akane Yamaguchi dalam acara perseorangan, dan empat gandingan beregu yang mantap: Misaki Matsutomo/Ayaka Takahashi, Naoko Fukuman/Kurumi Yonao, Shiho Tanaka/Koharu Yonemoto, dan Yuki Fukushima/Sayaka Hirota.

China sudah pun mempersiapkan armada muda mereka untuk menggantikan para pemain senior. Para pemain muda mereka menjadi pakar beregu (Zheng Siwei, Chen Qingchen, Huang Yaqiong) yang boleh beraksi dalam dua acara. Perseorangan lelaki (Shi Yuqi) dan perseorangan wanita (Chen Yufei, He Bingjiao) juga sudah diisi.

China sudah bersedia untuk menggegar dunia, dan Malaysia masih lena. 



Sunday, April 9, 2017

Celcom Axiata Terbuka Malaysia 2017: Separuh Akhir

Assalamualaikum.

A

Perseorangan Lelaki
Lin Dan (China) vs Son Wan Ho (Korea Selatan) 27-25 19-21 21-16
Lee Chong Wei (Malaysia) vs Wong Wing Ki (Hong Kong) 21-12 21-9

Lin Dan berhempas pulas dalam tiga set sebelum menundukkan tentangan sengit dari perseorangan utama Korea Selatan. Lee Chong Wei selaku bintang tuan rumah pula tidak mengecewakan para peminatnya yang memenuhi stadium dengan kemenangan mudah seperti yang dijangka. Pertemuan epik antara dua legenda akan berlaku lagi.

----------------

Beregu Lelaki
Fu Haifeng/Zheng Siwei (China) vs Chai Biao/Hong Wei (China) 17-21 21-14 21-19
Marcus Gideon/Kevin Sanjaya (Indonesia) vs Takeshi Kamura/Keigo Sonoda (Jepun) 21-16 21-13

Juara Olimpik Rio 2016, Fu Haifeng, mara lebih jauh dengan pasangannya yang lebih muda apabila menumbangkan rakan senegara dalam pertarungan tiga set, bangkit dari kekalahan set pertama. Lawan mereka di final bukan calang-calang. Beregu Indonesia yang sedang meningkat naik dan juga juara All England yang menunjukkan jalan keluar kepada beregu emas Jepun.

------------------

Perseorangan Wanita
Tai Tzu Ying (Taiwan) vs Sung Ji Hyun (Korea Selatan) 20-22 21-13 21-12
Carolina Marin (Sepanyol) vs Nozomi Okuhara (Jepun) 23-21 21-19

Pemain nombor satu dunia dari Taiwan kelihatan bergelut di permulaan set pertama namun bangkit memberi cabaran sebelum terpaksa akur. Namun dua set berikutnya membuktikan keupayaan Tai tidak dapat dikekang oleh Sung. Lawannya di final iala juara Olimpik Rio 2016 yang menyingkirkan pemain rendah dari Jepun yang cuba memberi tentangan habis-habisan tetapi Marin mempunyai cukup kekuatan untuk menang.

--------------------

Beregu Wanita
Yuki Fukushima/Sayaka Hirota (Jepun) vs Misaki Matsutomo/Ayaka Takahashi (Jepun) 21-18 21-19
Huang Yaqiong/Tang Jinhua (China) vs Chang Ye Na/Lee So Hee (Korea Selatan) 22-20 18-21 21-16

Beregu sedang meningkat naik dari Jepun, Yuki Fukushima/Sayaka Hirota menang straight game untuk mengejutkan beregu nombor satu dunia dan juga pilihan utama kejohanan dari negara Matahari Terbit tersebut. Lawan mereka di final ialah beregu muda China yang bertarung tiga set sebelum melepasi halangan beregu handalan Korea Selatan.

-------------------------

Beregu Campuran
Zheng Siwei/Chen Qingchen (China) vs Zhang Nan/Li Yinhui (China) 21-19 21-14
Lu Kai/Huang Yaqiong (China) vs Tontowi Ahmad/Liliyana Natsir (Indonesia) 21-8 21-16

Dominasi beregu muda China tidak dapat dihalang. Tiga beregu China di semi final dan dua mara lebih jauh seperti yang dijangka. Zheng Siwei/Chen Qingchen menundukkan rakan senegara untuk menempah pertemuan akhir dengan juga rakan senegara. Lu Kai/Huang Yaqiong menunjukkan jalan keluar kepada juara Olimpik Rio 2016 dengan kemenangan mudah. Masa untuk generasi baru!

-----------------------------

Dua pakar beregu China meneruskan aksi dalam dua acara untuk aksi final. Zheng Siwei (beregu lelaki/campuran) dan Huang Yaqiong (beregu wanita/campuran) bagaimanapun akan berdepan satu sama lain dalam final beregu campuran dan hanya salah seorang dari mereka mungkin bergelar juara dua acara.

Perlawanan tumpuan hari ini di Kuching, Sarawak, sudah semestinya pertembungan dua legenda sepanjang zaman yang masih beraksi. Perseteruan Lee-Lin sudah berlarutan lebih 10 tahun sejak dari sirkit remaja lagi. Masing-masing di penghujung karier dan pertemuan kali ke-38 ini menambah perisa dalam kisah permusuhan mereka di gelanggan. Rekod memihak Lin Dan 25-12 tetapi Lee Chong Wei adalah jaguh dengan 11 kejuaraan Terbuka Malaysia dan dalam misi memburu kejuaraan kali ke-12 sepanjang karier gemilangnya.

Ayuh Lee Chong Wei! Malaysia memang boleh!



Saturday, April 8, 2017

Celcom Axiata Terbuka Malaysia 2017: Suku Akhir

Assalamualaikum.

Terbuka Malaysia 2017 anjuran Celcom Axiata berterusan dengan aksi suku akhir. Hanya wakil tunggal negara iaitu Dato' Lee Chong Wei terus gagah membawa nama Malaysia dan Lee Chong Wei terus menceriakan kem negara. Beberapa kejutan berlaku dalam acara lain.

Berikut adalah keputusan penuh peringkat suku akhir.

Perseorangan Lelaki
Lin Dan (China) vs Jonatan Christie (Indonesia) 21-15 14-21 21-9
Lee Chong Wei (Malaysia) vs John Hyeok Jin (Korea Selatan) 21-11 21-14
Son Wan Ho (Korea Selatan) vs Ajay Jayaram (India) 21-18 21-14
Vincent Wong (Hong Kong) vs Chen Long (China) menang percuma

Lin Dan menghadapi tentangan sengit dari pemain muda Indonesia sebelum pengalaman memisahkan legenda dari pemain berbakat. Bintang tuan rumah, Lee Chong Wei tiada masalah untuk menang mudah straight set menentang lawan muda dari Korea Selatan. Pemain senior Korea Selatan dan perseorangan utama tiada masalah menyingkirkan pemain India. Vincent Wong dari Hong Kong pula bernasib baik untuk berada dalam kelompok empat terbaik kerana juara Olimpik Rio 2016 menarik diri.

-------------------------------

Beregu Lelaki
Marcus Gideon/Kevin Sanjaya (Indonesia) vs Li Junhui/Liu Yuchen (China) 7-21 21-17 21-17
Takeshi Kamura/Keigo Sonoda (Jepun) vs Bodin Isara/Nipitphon Phuangphuapet (Thailand) 21-16 21-19
Fu Haifeng/Zheng Siwei (China) vs Or Chin Chung/Tang Chun Man (Hong Kong) 21-18 21-18
Chai Biao/Hong Wei (China) vs Kittinupong Kedren/Dechapol Puavaranukroh (Thailand) 21-19 20-22 21-16

Juara All England dari Indonesia tewas mudah set pertama namun bangkit dalam dua set berikutnya untuk menghantar beregu China pulang. Beregu Jepun menang straight game berdepan beregu Thailand. Dua pasangan China melengkapkan slot separuh akhir. Fu Haifeng/Zheng Siwei mengatasi tentangan beregu Hong Kong. Chai Biao/Hong Wei pula berhempas pulas dalam rubber game berdepan satu lagi gandingan Thailand.

-------------------------------

Perseorangan Wanita
Carolina Marin (Sepanyol) vs Ratchanok Intanon (Thailand) 21-8 18-21 21-12
Tai Tzu Ying (Taiwan) vs Chen Yufei (China) 21-17 20-22 24-22
Nozomi Okuhara (Jepun) vs Akane Yamaguchi (Jepun) 21-18 22-20
Sung Ji Hyun (Korea Selatan) vs Sun Yu (China) 21-11 21-15

Tiada seorang pun pemain wanita China layak ke separuh akhir acara perseorangan. Juara Olimpik Rio 2016, Marin menundukkan Intanon dari Thailand dalam perlawanan klasik antara mereka. Pemain nombor satu dunia dari Taiwan pula menumbangkan bintang muda China. Nozomi Okuhara menang straight game ke atas rakan senegaranya. Slot terakhir diisi oleh pemain utama Korea Selatan yang membenam cabaran seorang lagi pemain China.

---------------------------------

Beregu Wanita
Chang Ye Na/Lee So Hee (Korea Selatan) vs Kamilla Rytter/Christinna Pedersen (Denmark) 12-21 21-15 21-14
Misaki Matsutomo/Ayaka Takahashi (Jepun) vs Huang Dongping/Li Yinhui (China) 18-21 21-14 21-17
Yuki Fukushima/Sayaka Hirota (Jepun) vs Chen Qingchen/Jia Yifan (China) 21-18 25-23
Huang Yaqiong/Tang Jinhua (China) vs Bao Yixin/Yu Xiaohan (China) 21-17 21-14

Dua beregu Jepun menguasai arena dengan menyingkirkan dua pasangan China dalam laluan mereka ke separuh akhir. Misaki Matsutomo/Ayaka Takahashi selaku pilihan utama bertarung rubber game untuk menang dan rakan senegara mereka Yuki Fukushima/Sayaka Hirota menang straight set berdepan Chen Qingchen/Jia Yifan juga dari China. Chang Ye Na/Lee So Hee dari Korea Selatan bertungkus lumus untuk menyingkirkan beregu Denmark. Huang Yaqiong/Tang Jinhua meneruskan cabaran China apabila menyingkirkan rakan senegara Bao Yixin/Yu Xiaohan.

-------------------------------

Beregu Campuran
Zheng Siwei/Chen Qingchen (China) vs Reginald Lee/Chau Hoi Wah (Hong Kong) 21-16 21-9
Tontowi Ahmad/Liliyana Natsir (Indonesia) vs Choi Sol Gyu/Chae Yoo Jung (Korea Selatan) 16-21 23-21 22-20
Lu Kai/Huang Yaqiong (China) vs Dechapol Puavaranukroh/Sapsiree Taerattanachai (Thailand) 21-16 21-17
Zhang Nan/Li Yinhui (China) vs Joachim Fischer/Christinna Pedersen (Denmark) 23-21 21-19

Acara ini didominasi China dengan tiga wakil mereka gagah melangkah lebih jauh. Ini bermakna hanya Tontowi Ahmad/Liliyana Natsir yang menyingkirkan beregu Korea Selatan menjadi pemisah antara China dan kejuaraan beregu campuran. Zheng Siwei/Chen Qingchen memusnahkan impian beregu Hong Kong dengan kemenangan mudah. Lu Kai/Huang Yaqiong juga menang straight game menentang beregu Thailand dan Zhang Nan/Li Yinhui menghantar beregu Denmark pulang.

---------------------------------

Harapan Malaysia masih menyala dengan Lee Chong Wei masih unggul mengerah kudrat. Lawannya di separuh akhir boleh dikatakan bukan masalah kerana Chen Long dari China memberi kemenangan percuma. Lin Dan (China) akan menghadapi Son Wan Ho (Korea Selatan) dan kemungkinan pertemuan epik Lee-Lin masih cerah.

Dua pemain China, Zheng Siwei (beregu lelaki/campuran) dan Huang Yaqiong (beregu wanita/campuran) akan beraksi dalam dua acara hari ini. Kehebatan para pemain pakar beregu China masih unggul dengan kehadiran generasi muda yang akan terus membawa nama negara Tembok Besar China.




Friday, April 7, 2017

Celcom Axiata Terbuka Malaysia 2017: Pusingan Kedua

Assalamualaikum.

Pertandingan badminton Super Siri Premier Terbuka Malaysia 2017 yang berlangsung di Kuching, Sarawak, diteruskan dengan pusingan kedua. Malang di kem negara dalam pusingan pertama semalam apabila beberapa wakil negara tersungkur. 

Antara yang tersingkir termasuklah dua pasangan beregu yang memenangi pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016, Goh V Shem/Tan Wee Kiong dan Chan Peng Soon/Goh Liu Ying. V Shem/Wee Kiong tumbang kepada beregu Hong Kong, Or Chin Chung/Tang Chun Man manakala Peng Soon/Liu Ying disingkirkan oleh Edi Subaktiar/Gloria Widjaja (Indonesia).

Cabaran negara diteruskan oleh Chooi Kah Ming/Low Juan Shen (beregu lelaki); Lee Chong Wei (perseorangan lelaki); Goh Jin Wei (perseorangan wanita); Ong Yew Sin/Teo Ee Yi (beregu lelaki); dan Chow Mei Kuan/Lee Meng Yean (beregu wanita). Empat dari lima wakil negara akan menentang lawan dari China dan Dato' Lee akan berdepan musuh dari Hong Kong.

Berikut adalah keputusan pusingan kedua setiap acara.

-----------------------------------------

Perseorangan Lelaki

Suku akhir: Indonesia (1), Malaysia (1), Korea Selatan (2), China (2), Hong Kong (1), India (1)

Pemain muda Indonesia, Jonatan Christie menundukkan pemain utama Taiwan untuk meneruskan cabaran. Lee Chong Wei pula menjadi satu-satunya wakil tuan rumah yang masih bersaing dengan kemenangan mudah mengatasi lawan dari Hong Kong. Son Wan Ho (Korea) menewaskan lawan dari Indonesia dan rakan senegaranya Jeon Hyeok Jin menyingkirkan lawan dari Perancis.

Lin Dan dan Chen Long juga meneruskan persaingan China. Lin Dan mudah membenam pemain Thailand ketika Chen Long berhempas pulas mengatasi rakan senegara. Vincent Wong (Hong Kong) juga menundukkan rakan senegara. Ajay Jayaram (India) pula mengejutkan bintang sensasi dan pilihan keempat dari Denmark, Viktor Axelsen.

-------------------------------------------

Beregu Lelaki

Suku akhir: China (3), Indonesia (1), Thailand (2), Jepun (1), Hong Kong (1) 

China akan diwakili tiga pasangan. Chai Biao/Hong Wei mudah mengalahkan pasangan tuan rumah, Chooi Kah Ming/Low Juan Shen. Fu Haifeng/Zheng Siwei pula menundukkan satu lagi pasangan Malaysia, Ong Yew Sin/Teo Ee Yi. Li Junhui/Liu Yuchen pula menyingkirkan lawan dari Indonesia. Beregu sensasi Indonesia, Marcus Gideon/Kevin Sanjaya akan meneruskan cabaran negara Garuda itu selepas mengecewakan satu lagi beregu China.

Dua beregu Thailand pula masing-masing menewaskan pasangan dari Denmark dan Taiwan. Pilihan kedua dari Jepun, Takeshi Kamura/Keigo Sonoda juga layak selepas mengalahkan satu lagi beregu Taiwan. Slot terakhir milik beregu Hong Kong, Or Chin Chung/Tang Chun Man yang memenangi perlawanan menentang beregu Indonesia.

----------------------------------------------

Perseorangan Wanita

Suku akhir: Korea Selatan (1), Sepanyol (1), China (2), Jepun (2), Taiwan (1), Thailand (1)

Sung Ji Hyun menjadi wakil tunggal Korea Selatan dalam acara ini menewaskan musuh dari Taiwan. Carolina Marin (Sepanyol) mudah mengatasi tentangan pemain Thailand. China akan diwakili dua pemain. Chen Yufei menewaskan Goh Jin Wei (Malaysia) dalam pertarungan dua pemain muda yang juga bekas juara remaja dunia. Jin Wei pernah menewaskan Yufei dalam Kejohanan Remaja Dunia 2015. Sun Yu pula menyingkirkan musuh dari Amerika Syarikat.

Dua wakil dari Jepun ialah Akane Yamaguchi dan Nozomi Okuhara, yang masing-masing menundukkan lawan dari Taiwan dan Hong Kong dengan kemenangan mudah straight set. Pemain nombor satu dunia, Tai Tzu Ying meneruskan kibaran bendera Taiwan dan bintang handalan Thailand, Ratchanok Intanon, akan terus membawa cabaran negaranya. Tai dan Ratchanok menewaskan rakan senegara untuk melangkah ke suku akhir.

------------------------------------------------

Beregu Wanita

Suku akhir: Denmark (1), Jepun (2), China (4), Korea Selatan (1)

Empat negara besar menguasai acara beregu wanita ketika ini dan masing-masing akan mempunyai wakil di pusingan suku akhir. Kamilla Rytter/Christinna Pedersen (Denmark) menang ke atas beregu Indonesia dengan straught set. Misaki Matsutomo/Ayaka Takahashi (Jepun) yang juga pilihan utama juga menyingkirkan satu lagi pasangan Indonesia. Rakan senegara Misaki/Ayaka iaitu Yuki Fukushima/Sayaka Hirota menewaskan satu lagi beregu Jepun, Naoko Fukuman/Kurumi Yonao. Chang Ye Na/Lee So Hee meneruskan aksi untuk Korea Selatan dengan kemenangan ke atas beregu Bulgaria.

China mendominasi dengan empat slot (50%). Huang Dongping/Li Yinhui menewaskan pasangan Jepun, Shiho Tanaka/Koharu Yonemoto dalam pertarungan rubber game. Keampuhan mental beregu China terserlah lagi apabila beregu muda mereka, Chen Qingchen/Jia Yifan juga menang rubber game menentang beregu Malaysia walaupun ketinggalan 10-17 di set penentuan sebelum menang 25-23. Huang Yaqiong/Tang Jinhua menewaskan satu lagi pasangan China, Luo Ying/Luo Yu. Bao Yixin/Yu Xiaohan pula menyingkirkan pilihan ketiga dari Korea Selatan, Jung Kyung Eun/Shin Seung Chan.

-------------------------------------------

Beregu Campuran

Suku akhir: Hong Kong (1), Denmark (1), China (3), Korea Selatan (1), Indonesia (1), Thailand (1)

Reginald Lee/Chau Hoi Wah (Hong Kong) menyingkirkan beregu Indonesia. Joachim Fischer/Christinna Pedersen (Denmark) mengecewakan pasangan Jepun. Choi Sol Gyu/Chae Yoo Jung (Korea Selatan) menewaskan pilihan keenam dari Indonesia, Praveen Jordan/Debby Susanto selepas pertarungan rubber game. Pilihan kedua dari Indonesia yang juga juara Olimpik 2016, Tontowi Ahmad/Liliyana Natsir mendapat kemenangan percuma selepas lawan dari Denmark menarik diri.

Wakil tunggal Thailand dalam acara ini, Dechapol Puavaranukroh/Sapsiree Taerattanachai menang straight set mengatasi pasangan suami isteri Adcock dari England. China akan diwakili tiga beregu. Zhang Nan/Li Yinhui menewaskan beregu Hong Kong dan Zheng Siwei/Chen Qingchen menewaskan beregu Thailand. Lu Kai/Huang Yaqiong pula mengalahkan rakan senegara Wang Yilyu/Huang Dongping dengan kemenangan 2-0.

----------------------------------------------------

Armada China menguasai slot pusingan suku akhir dengan 14 wakil dari 40 orang yang layak. Hanya Lee Chong Wei akan meneruskan saingan bagi Malaysia selepas empat wakil lain yang bertarung semalam gugur layu satu demi satu. Goh Jin Wei (juara remaja dunia 2015) berusia 17 tahun ketika ini baru pulih dari kecederaan dan dapat dimaafkan kerana tewas kepada lawan dari China yang pernah ditewaskan dalam sirkit remaja.

Kekuatan China dalam acara beregu (tiga lelaki, empat wanita, tiga campuran). Dua pemain wanita mereka akan beraksi dalam dua acara (beregu wanita dan campuran) iaitu Chen Qingchen dan Li Yinhui. Seorang pemain lelaki mereka pula juga beraksi dalam dua acara (beregu lelaki dan campuran) iaitu Zheng Siwei. Kehebatan China dalam disiplin ini akan diteruskan dengan barisan pemain muda yang bertenaga



Wednesday, April 5, 2017

Diari Selektif #2 - Tenanglah Rambo

Assalamualaikum.

4 April 2017
11 pagi

"Kejap lagi saya bagi air ya." Sekilas aku terpandang staff nurse sedang berbicara dengan seorang pesakit. Ketika itu aku sedang mengikuti ward round bersama house officer, medical officer dan boss (pakar) di katil sebelah. 

"Dia selalu gasping." Aku tersenyum kepada staff nurse itu yang sentiasa ramah melayan Rambo.

"Tu tanda dia nak lawan. Dia nak sihat, dia nak balik."

Respons staff nurse itu aku sambut dengan senyuman. Mampukah Rambo? Sepanjang aku memulakan praktikal di wad ini, Rambo adalah antara pesakit terawal yang aku lihat dan sentiasa menangkap perhatian aku.

Rambo di katil 4 itu boleh dikatakan sentiasa tercungap-cungap seperti tidak cukup nafas apabila sedar. Dan bacaan SpO2 yang dipasang di jarinya sering menunjukkan bacaan lebih 95% dan biasanya keadaan oksigen sempurna 100%. Gaya Rambo seperti tidak cukup oksigen.

Keadaan Rambo setiap hari sangat menyedihkan. Terbaring tanpa kekuatan normal badannya dengan lubang udara tracheostomy di lehernya untuk bantuan pernafasan. Makanan diberikan melalui RTF (Ryles tube feeding). Pertuturan Rambo tak mengeluarkan suara. GCS (glascow coma scale) apabila disemak akan ditanda Vt bagi aspek verbal, iaitu salah satu dari tiga komponen GCS selain 'motor response' dan 'eye opening'.

Rambo masih muda, berusia lebih kurang 30 tahun. Mungkin kekuatan badannya sebelum itu normal. Namun nikmat itu hilang apabila dia mendapat penyakit GBS (Guillain Barre syndrome) yang menyerang peripheral nervous system. Rambo kehilangan kekuatan tangan dan kakinya (lumpuh).

Aku tinggalkan Rambo hari itu seperti biasa. Jumpa esok, Rambo.

-----------------------------------------------------

5 April 2017
8.30 pagi

"Girl, mana patient bed 4 tu?" 

Dr Ram bertanya kepada doktor pelatih yang sedang mengambil darah dari seorang lagi pesakit. Doktor itu yang bertugas on call malam tadi dan tahu situasi di wad. Dr Syu, rendah orangnya, dengan face mask selalu di muka.

"Dah LO (last office)." Dr Syu memaklumkan.

Aku baru sedar katil Rambo kosong. Tiada lagi Rambo yang berjuang dari sehari ke sehari untuk bertahan sehari lagi. 

"Bila?"

"Baru pagi tadi. Jam 6 pagi." Tersentak.

"What happened?" Dr Ram ingin kepastian.

"Tak tahu. Saya ada di wad lain. Staff nurse maklumkan patient asystole."

Begitulah cerita akhir hidup Rambo. Perginya senyap tanpa disedari. Tiada suara untuk menjerit bahawa dia dalam kesakitan seperti pesakit lain yang menjerit-jerit dalam wad. Satu kejutan bagi aku. Kepergian kali pertama di wad itu, walaupun tidak di depan mata aku. Sudah lama dia berjuang, biarlah dia berehat. Tenanglah Rambo, tenanglah di sana.

-tamat bahagian dua-



Sunday, April 2, 2017

Terbuka India 2017: India Ceria

Assalamualaikum.

Buat kali kedua berturut-turut dalam kejohanan Siri Super BWF, pasca All England, kini Terbuka India menyaksikan lima juara dari lima negara berbeza. Tuan rumah juga ceria dengan kejayaan manis srikandi kebanggaan mereka.

Dua juara All England, dalam acara beregu lelaki dan beregu campuran juga, telah memenangi kejuaraan dalam acara masing-masing di sini. Berikut adalah keputusan penuh aksi final:

MS: Viktor Axelsen (Denmark) v Chou Tien Chen (Taiwan) 21-13 21-10
MD: Marcus Gideon/Kevin Sanjaya (Indonesia) v Ricky Suwardi/Angga Pratama (Indonesia) 21-11 21-15
WS: PV Sindhu (India) v Carolina Marin (Sepanyol) 21-19 21-16
WD: Shiho Tanaka/Koharu Yonemoto (Jepun) v Naoko Fukuman/Kurumi Yonao (Jepun) 16-21 21-19 21-10
XD: Lu Kai/Huang Yaqiong (China) v Zheng Siwei/Chen Qingchen (China) 22-24 21-14 21-17

Tanpa bayangan bintang-bintang Asia yang lain, jagoan Eropah, Viktor Axelsen membuktikan kehebatannya dengan kemenangan mudah mengatasi perseorangan utama Taiwan. Marcus Gideon/Kevin Sanjaya yang menang di All England juga tidak menghadapi banyak masalah, menewaskan rakan senegara dalam aksi lebih kurang setengah jam saja.

Bintang kesayangan tuan rumah, PV Sindhu, menebus kekalahannya di final Sukan Olimpik dengan menundukkan lawan yang sama dari Sepanyol. Misi balas dendam tertunai di bumi sendiri! Shiho Tanaka/Koharu Yonemoto menewaskan rakan senegara dengan ranking lebih tinggi. Satu lagi juara All England, Lu Kai/Huang Yaqiong menumbangkan rakan senegara yang juga beregu nombor satu dunia dalam pertarungan sengit.

Pertandingan bersambung di bumi Malaysia untuk satu lagi kejuaraan Siri Super Premier.



Terbuka India 2017: Separuh Akhir

Assalamualaikum.

Semalam berlangsung peringkat separuh akhir untuk kejuaraan Siri Super Terbuka India 2017. Nasib kurang baik bagi harapan tunggal negara yang masih bersaing iaitu pasangan beregu campuran pemenang pingat perak di temasya Sukan Olimpik Rio 2016 iaitu Chan Peng Soon/Goh Liu Ying yang terpaksa memberi kemenangan percuma kerana Goh Liu Ying tidak sihat untuk meneruskan cabaran.

Acara beregu didominasi oleh satu negara. Beregu lelaki sah milik pemain Indonesia, beregu wanita sah milik pemain Jepun, dan beregu campuran sudah sah menjadi milik pemain China. Perseorangan lelaki hampir menyaksikan pertempuran sesama pemain Denmark tetapi tidak kesampaian. Berikut adalah keputusan penuh pusingan separuh akhir. 

Perseorangan Lelaki
Chou Tien Chen (Taiwan) vs Anders Antonsen (Denmark) 21-17 21-14
Viktor Axelsen (Denmark) vs Ng Ka Long (Hong Kong) 21-12 21-13

Kekalahan Antonsen bermakna tiada aksi final antara pemain Denmark di India. Tanpa bayangan legenda Lee Chong Wei, Lin Dan, atau Chen Long, pemain muda berbakat Denmark, Viktor Axelsen, mengambil tempat untuk mencabar kejuaraan menentang bintang utama Taiwan.

-----------------------

Beregu Lelaki
Marcus Gideon/Kevin Sanjaya (Indonesia) vs Mads Petersen/Mads Pieler (Denmark) 21-14 18-21 21-9
Ricky Suwardi/Angga Pratama (Indonesia) vs Li Junhui/Liu Yuchen (China) 21-16 13-21 21-16

Pertemuan sesama sendiri dua beregu dari negara Garuda. Angga/Ricky menundukkan pasangan China yang menyingkirkan beregu utama Malaysia. Kemudian giliran beregu nombor satu dunia yang baru ditabalkan untuk mengukuhkan kedudukan mereka dan memenangi kejuaraan Siri Super kedua berturut-turut selepas menjuarai All England.

---------------------------

Perseorangan Wanita
PV Sindhu (India) vs Sung Ji Hyun (Korea Selatan) 21-18 14-21 21-14
Carolina Marin (Sepanyol) vs Akane Yamaguchi (Jepun) 21-16 21-14

Bintang tuan rumah, Sindhu menceriakan para peminatnya dengan kemenangan rubber game menentang pemain dengan ranking lebih tinggi. Begitu juga pemenang pingat emas Sukan Olimpik, Carolina Marin, yang menewaskan pemain dari Jepun di ranking lebih tinggi daripadanya. Pertemuan Sindhu dan Marin ini adalah ulangan final Sukan Olimpik Rio 2016 yang dimenangi Marin. Misi balas dendam!

-----------------------

Beregu Wanita
Shiho Tanaka/Koharu Yonemoto (Jepun) vs Jung Kyung Eun/Shin Seung Chan (Korea Selatan) 21-16 19-21 24-22
Naoko Fukuman/Kurumi Yonao (Jepun) vs Yuki Fukushima/Sayaka Hirota (Jepun) 21-16 21-13

Dua beregu Jepun akan berentap. Shiho/Koharu mengejutkan beregu nombor tiga dunia dalam pertarungan tiga set yang sangat sengit. Naoko/Kurumi yang juga beregu nombor dua Jepun selepas Misaki Matsutomo/Ayaka Takahashi juga menang mengatasi satu lagi beregu Jepun, Yuki/Sayaka.

-------------------------

Beregu Campuran
Zheng Siwei/Chen Qingchen (China) vs Chan Peng Soon/Goh Liu Ying (Malaysia) walkover
Lu Kai/Huang Yaqiong (China) vs Chris Adcock/Gabrielle Adcock (England) 21-13 21-13

Pertemuan dua beregu pilihan utama dari negara Tembok Besar China. Beregu nombor satu dunia, Zheng/Chen menang percuma selepas Goh Liu Ying terpaksa menarik diri kerana masalah kesihatan. Lu/Huang pula menundukkan pasangan England yang sama ditewaskan di separuh akhir All England iaitu suami isteri Adcock. Lu/Huang akan cuba menambah kejuaraan selepas juga memenangi All England. 

----------------------------

Tiga aksi final (semuanya beregu) akan menyaksikan pertembungan sesama sendiri. Tiga juara beregu semuanya dari negara berbeza. 

MS: Chou Tien Chen (Taiwan) v Viktor Axelsen (Denmark)
MD: Ricky Suwardi/Angga Pratama (Indonesia) v Marcus Gideon/Kevin Sanjaya (Indonesia)
WS: Carolina Marin (Sepanyol) v PV Sindhu (India)
WD: Shiho Tanaka/Koharu Yonemoto (Jepun) v Naoko Fukuman/Kurumi Yonao (Jepun)
XD: Zheng Siwei/Chen Qingchen (China) v Lu Kai/Huang Yaqiong (China) 

Dua beregu juara All England 2017, Marcus Gideon/Kevin Sanjaya (beregu lelaki) dan Lu Kai/Huang Yaqiong (beregu campuran) akan cuba memenangi kejuaraan Siri Super di India ini.




Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif