Wednesday, June 10, 2009

25 Madah Cinta Sepanjang Zaman

1. Cinta sejati adalah ketika dia mencintai orang lain, dan kamu masih mampu tersenyum, sambil berkata : aku turut bahagia untukmu.

2. Jangan sesekali mengucapkan selamat tinggal jika kamu masih mahu mencuba. Jangan sesekali menyerah jika kamu masih merasa sanggup. Jangan sesekali mengatakan kamu tidak mencintainya lagi jika kamu masih tidak dapat melupakannya.

3. Perasaan cinta itu dimulai dari mata, sedangkan rasa suka dimulai dari telinga. Jadi jika kamu mahu berhenti menyukai seseorang, cukup dengan menutup telinga. Tapi apabila kamu cuba menutup matamu dari orang yang kamu cintai, cinta itu berubah menjadi titisan air mata dan terus tinggal di hatimu dalam jarak waktu yang cukup lama.

4. Jangan simpan kata-kata cinta pada orang yang tersayang sehingga dia meninggal dunia, lantaran akhirnya kamu terpaksa catatkan kata-kata cinta itu pada pusaranya. Sebaliknya ucapkan kata-kata cinta yang tersimpan di benakmu itu sekarang selagi ada hayatnya.

5. Cinta bukan mengajar kita lemah, tetapi membangkitkan kekuatan. Cinta bukan mengajar kita menghinakan diri, tetapi menghembuskan kegagahan. Cinta bukan melemahkan semangat, tetapi membangkitkan semangat.

6. Sungguh menyakitkan mencintai seseorang yang tidak mencintaimu, tetapi lebih menyakitkan adalah mencintai seseorang dan kamu tidak pernah memiliki keberanian untuk menyatakan cintamu kepadanya.

7. Kadangkala kamu tidak menghargai orang yang mencintai kamu sepenuh hati, sehinggalah kamu kehilangannya. Pada saat itu, tiada guna sesalan kerana perginya tanpa berpatah lagi.

8. Jangan mencintai seseorang seperti bunga, kerana bunga mati kala musim berganti. Cintailah mereka seperti sungai, kerana sungai mengalir selamanya.

9. Minat bukan bermaksud cinta, bangga bukan bererti cinta, kagum juga bukan bermaksud cinta, dan suka juga tidak serasi dengan cinta, malah sayang pun bukan cinta. Tetapi, cinta itu adalah cinta.

10. Lemparkan seorang yang bahagia dalam bercinta ke dalam laut, pasti ia akan membawa seekor ikan. Lemparkan pula seorang yang gagal dalam bercinta ke dalam gudang roti, pasti ia akan mati kelaparan.

11. Cinta mampu melunakkan besi, menghancurkan batu, membangkitkan yang mati dan meniupkan kehidupan padanya serta membuat budak menjadi pemimpin. Inilah dahsyatnya cinta!

12. Permulaan cinta adalah membiarkan orang yang kamu cintai menjadi dirinya sendiri, dan tidak merubahnya menjadi gambaran yang kamu inginkan. Jika tidak, kamu hanya mencintai pantulan diri sendiri yang kamu temukan di dalam dirinya.

13. Bukan laut namanya jika airnya tidak berombak. Bukan cinta namanya jika perasaan tidak pernah terluka. Bukan kekasih namanya jika hatinya tidak pernah merindu dan cemburu.

14. Andai hadirnya cinta sekadar untuk mengecewakan, lebih baik cinta itu tak pernah hadir.

15. Di suatu hari kau datang dan bertanya padaku apa yang lebih penting : Dirimu atau nyawaku. Dan aku menjawab nyawaku lebih penting dan kau pun berlalu dengan penuh kekecewaan tanpa pernah kau sedari bahawa kaulah nyawaku itu. Sesungguhnya kau adalah cinta dan nyawaku dalam hidup ini.

16. Manusia tidak jatuh ‘ke dalam’ cinta, dan tidak juga keluar ‘dari’ cinta. Tapi manusia tumbuh dan besar dalam cinta.

17. “Aku mencintaimu”, sukarkah untuk dilafazkan?

18. Jangan pernah bermimpi tentang cinta tanpa mampu memperjuangkannya.

19. Memberikan seluruh cintamu kepada seseorang bukanlah jaminan dia akan membalas cintamu. Jangan mengharapkan balasan cinta, tunggulah sampai cinta berkembang di hatinya, tetapi jika tidak, berbahagialah kerana cinta tumbuh di hatimu.

20. Bukan dikatakan cinta apabila yang menjadi matlamatnya semata-mata untuk memiliki sepenuhnya. Tetapi cinta itu ialah perkongsian di dalam kecenderungan dan kegemaran serta perasaan bahawa diri orang yang anda cintai itu tidak kurang pentingnya dari anda.

21. Cinta yang suci dapat dilihat dari pengorbanan seseorang, bukanlah dari pemberian semata-mata.

22. Yang termanis daripada yang manis di dunia ini ialah pujian kekasih yang terlontar daripada rasa cintanya.

23. Perpisahan dalam percintaan yang belum puas, menambahkan eratnya kasih sayang. Itulah sebabnya matahari meninggalkan bumi pada malam hari.

24. Jika ada sepuluh orang yang mengambil berat terhadapmu, maka sudah pasti salah seorang daripada mereka adalah aku. Jika hanya seorang saja yang mengambil berat terhadapmu, maka sudah tentulah orang itu adalah aku. Dan jika tiada sesiapa lagi yang mahu mengambil berat terhadapmu, maka itu bermakna aku sudah tiada lagi di dunia ini.

25. Mungkin benar tatkala kita kehilangan barulah kita menyedari. Mungkin benar saat kita terluka barulah kita mengerti. Mungkin benar bila kita rasakan rindu yang sangat dalam barulah kita tahu seberapa besar makna dan erti seseorang bagi kita.


Sintok Space Kingdom - Episode 2

Suasana di dalam bilik gelap Sir Amien sememangnya amat menggerunkan. Gelap gelita dan kelam. Kalau tidak ada cahaya tujuh batang lilin yang dinyalakannya sudah tentu tiada apa yang kelihatan kerana dia berjubah hitam. Maharaja Faisal yang masuk bersama Sir Jamil duduk penuh syak wasangka di hadapan meja Sir Amien. Kaca Tilikan memisahkan mereka, terletak di tengah-tengah meja kecil itu. Maharaja Faisal memandang sekeliling bilik dengan ketakutan.

“Apakah gerangan ahli nujum memanggil beta ke mari?” Maharaja Faisal menyedarkan Sir Amien daripada meditasinya.

“Oh, sudah sampai! Ampunkan patik, tuanku. Patik sedang mendalami rahsia besar yang perlu disampaikan.” Sir Amien memandang Sir Jamil dengan riak kurang senang.

“Tidak mengapa. Beta kurang sibuk hari ini. Apakah rahsia itu, ahli nujum?” Maharaja Faisal tidak sabar-sabar untuk mengetahuinya.

“Ampunkan patik, tuanku! Bilik Ramalan tidak menerima kemasukan hamba yang hina selain maharaja yang berdaulat.” Sir Amien merenung tajam Sir Jamil.

“Bukankah beliau perdana menteri beta? Hinakah beliau berbanding kamu ahli nujum?” Suara Maharaja Faisal meninggi.

“Sembah patik harap diampun. Rahsia ini sangat sulit, tuanku.” Sir Amien menundukkan kepala.

“Bapa Sir Amien sudah banyak berjasa kepada nenek moyang beta. Perdana Menteri, beta mahu kamu keluar dan tunggu beta di luar.” Maharaja Faisal bertitah kepada Sir Jamil.

“Menjunjung perintah, tuanku!” Sir Jamil bangun dan beredar keluar sambil mengempas pintu Bilik Ramalan.

“Patik benar-benar kurang senang melihat kurangnya kesopanan Perdana Menteri.” Sir Amien mengeluh.

“Biar beta uruskan kemudian. Apakah rahsia sulit yang ingin kamu sampaikan?” Maharaja Faisal sudah tidak sabar menanti.

“Ahli nujum diraja telah menerima kunjungan seorang lelaki berjubah putih dalam mimpi patik sejak tiga hari yang lalu.” Sir Amien membuka cerita.

“Apa petanda yang dibawanya?” Maharaja Faisal mengurut janggutnya.

“The omen. Dia mengarahkan patik meramalkan tentang Wira Muda. Hasilnya sangat mengejutkan.” Sir Amien menggelengkan kepalanya.

“Apakah program Wira Muda beta akan hancur? Siapa petualangnya?” Maharaja Faisal menghentak meja kecil Sir Amien.

Mulut Sir Amien terkumat-kamit. Badannya bergoncang sedikit. Matanya terpejam rapat sambil bibirnya tidak berhenti-henti bergerak. Kepalanya yang bergoyang menakutkan Maharaja Faisal. Baginda sedar sudah tiba masanya ramalan akan dilafazkan oleh Sir Amien. Sepertimana yang diceritakan oleh almarhum ayahandanya, ahli nujum akan berkelakuan luar biasa sebelum membuat ramalan.

“Akan lahir empat Wira Muda dalam tempoh empat tahun dari sekarang untuk bertarung dengan Danial si laknat. Kuasa mereka perlu bersatu dengan empat gadis sakti dan lima pahlawan bersara demi The Last Encounter. Kehadiran mereka membawa berita baik buat alam seluruhnya tetapi membawa kematian kau, MAHARAJA!!!!” Sir Amien pengsan sebaik perkataan terakhir dilafazkan. Kepalanya terhentak di meja.

Maharaja Faisal menggeletar ketakutan. Suara Sir Amien begitu berlainan sekali, sangat garau. Kali terakhir dia mendengar ramalan sebegini kira-kira setahun yang lalu. Ramalan yang lain biasanya disampaikan di balai penghadapan dengan suara Sir Amien yang biasa. Baginda akan dibunuh. Itulah yang menggoncangkan keberaniannya. Baginda berlari keluar dan menitahkan untuk segera kembali ke kamar beradu.

Siapakah Lord Danial? Nantikan Episode 3

Cerpen 'Amira Zulkifli'

‘Biar betul’, aku langsung tak percaya bila nampak gadis bertudung litup yang melintas depan bilik guru tadi. Cantik gila perempuan Melayu terakhir tu. Aku cuba untuk mengejar dan memanggil tetapi gadis itu menghilang dalam bilik pengetua. ‘Cis, tak guna punya anak arnab, laju kau hilang’ desis hati kecilku. Penat aku berlari dari makmal bahasa di tingkat empat. Baru saja sampai di depan perpustakaan, dah hilang minah tu. Aku rasa macam nak tumbuk Muhammad Ali waktu macam ni. Aku bergegas ke bilik pengetua macam Watson Nyambek dan menjengah ke dalam tetapi zero.

Tiada kasut di luar bererti tiada orang di dalam. Aku yakin aku nampak dia tadi. Ini pelik bin luar biasa. Aku musykil binti terkejut. Satu bunyi menarik perhatianku. Aku sedang mencabut kasut ketika satu suara memanggilku. ‘Potong stim la binatang tu’ aku bermonolog. Siapalah kacau aku? Aku berpaling dan melihat. Budak tu lagi. Kasut kupakai semula dan berlari menemui Cikgu Ikram di depan perpustakaan. Dia boleh buat muka slumber biawak. Cikgu ni garang macam singa, sempat lagi senyum? Kuasa Tuhan ni ajaib kan.

“Cikgu nak apa?” Aku bertanya penuh kesantunan. Selalunya aku kasar.

“Tahniah, Najib. Kamu terpilih mewakili negeri ke peringkat kebangsaan dalam pertandingan robotik.” Senyumannya makin memikat. Aku lakilah, pak cik oi!

“Terima kasih.” Reaksiku nyata hambar dan memintas keseronokan ‘mi segera’nya.

“Oh ya, Najib! Kamu lari macam pelesit tadi. Kena kejar hantu ke?” Soalan budak tadika pulak dia bagi. Aku geram la macam ni.

Aku sendiri masih kabur dan kelabu. Aku yakin gadis itulah yang menawan hati romeoku sejak pertama kali bertentang mata, hidung dan mulut. At last, peluang untuk aku menegurnya tiba hari ini memandangkan waktu persekolahan dah habis. Aku balik lewat ni nak siapkan projek robotik. Aku keliru ribut apa yang membadai jiwa romantisku, aku rasa terpujuk untuk keluar dan terlihat minah bertudung litup. Aku yakin itu bukan silap mata David Blaine. Dialah orangnya, Amira Zulkifli!

“Dah sampai London, Najib?” Cis, cikgu botak ni perli aku! Aku santau beliau baru tahu.

“Paris pun dah singgah tadi. Saya pergi dulu.” Sempat lagi aku mengenakan dia sebelum berambus.

Aku kembali ke bilik pengetua. Hati yang meronta-ronta untuk menjadi James Bond memujukku masuk ke dalam. Aku berlegar-legar mencari gadis itu tetapi tak ada benda menarik dijumpai. Sikapku yang seperti cacing kepanasan rupanya menjadi mangsa perhatian CCTV bergerak. Aku tidak sangka pengetua telah lama memerhatikan gelagat superheroku. Aku hanya sedar apabila beliau menegur dengan hormatnya.

“Sepatutnya kamu tak ada di sini, Najib.” Macam nak luruh jantung aku dengar jerkahan macam itu. Lain kali bagilah salam, datuk!!!

“Saya hantar pen, cikgu.” Aku berlakon meletakkan pen.

“Pen? Siapa punya pen?” Soalan dihulur lagi.

“Pen sayalah.” Ops! Game over. Tomorrow never die...

“Pen kamu dihantar ke sini?” Tuan Hafiz tersenyum geli hati.

Ah, malu tahap dewa! Aku nak berdalih tetapi terjerat. Perangkap makan tuanlah kali ini. Aku membalas senyumannya sebelum berlalu pergi untuk ke bengkel kejuruteraan. Lain yang aku nak, lain pula yang muncul. Aku nak jumpa Amira, yang jumpa bala bencana. Dapat malu dengan free lagi percuma. Di manakah cik gadis itu? Aku akan memburu kau. Aku menghela nafas penuh keazaman.

***********

Aku memandang dewan dan terlihat minah itu lagi. Aku memecut sepantas kuda belang dikejar pontianak untuk menegurnya. Aku memanggilnya tetapi tiada respons. Langkahnya semakin meribut, sukar untuk aku tandingi. Aku tahu dia menyedari panggilan pulauku. Namun, mana mungkin minah pemalu itu akan melayan lelaki asing sepertiku. Beliau bukan cewek murahan. Itulah yang menawanku, I guess.

Aku mengejarnya kali ini. Selepas berkali-kali diseru, barulah dia sudi berpaling. Ya, masanya telah tiba. Aku menghentikan langkah tetapi alamak... terlebih brek daa..... Aku pun jatuh tersungkur. Malu sungguh kejadian aneh begini. Belum pernah berlaku lagi. Ini kali pertama. Dia menutup mulutnya dan ketawa. Aku pula sekadar tersengih seperti kerang busuk. Macam mana nak cover malu ni? Ah, control macho sajalah! Aku tersenyum manis kepadanya dan dia membalas. Aku cair saat ini. Aduhai...

“Kenapa abang panggil saya?” Terkedu aku mendengar panggilan itu. Dia panggil aku ‘abang’ la beb.

“Abang... abang... abang… nak...” Aku tak mampu menghabiskan ayat romeo yang klise tu.

“Nak apa?” Dia mengangkat keningnya. Sah, aku jatuh cinta lagi!!!

“Abang rasa abang nampak Mira dekat bilik pengetua tadi.” Aku menukar topik perbualan sepantas kilat.

“Ye, kenapa?? Mira hantar dokumen Cikgu Aima je.” Senyuman masih tidak lekang di bibirnya. Aduh, mencairkan hati romantisku!

“Tapi abang tak nampak kasut Mira. Di dalam pun takde sesiapa.” Aku curiga. Dia ni jin rasanya. Tak pun ada bau-bau bacang dengan pontianak.

“Don’t tell anyone. Mira masuk pakai kasut.” Dia tersenyum nakal. Betullah perangai sebijik macam jin. Muka lawa, perangai hampeh.

“Tapi mana ada orang kat dalam.” Aku tetap pelik dengan dia ni. Ada yang tak kena dengan minah ni.

“Poyo la abang. Mira kat bawah meja tadi. Kertas jatuh.” Sekali dia cakap aku poyo. Brutal jugak minah ni. Ingat perangai dia putih suci.

“Oh, macam tu! Mati-mati abang ingat hantu.” Dia ketawa geli hati.

“Hantu mana keluar siang. Abang poyo!” Dia menjelirkan lidah.

Malu sungguh!!! Baru aku tersedar hantu tak la rajin keluar siang-siang. Tapi aku dimomokkan dengan cerita hantu baru-baru ini. Pengawal keselamatan dikacau hantulah, pelajar perempuan histerialah, nenek kebayanlah, macam-macam versi cerita mistik. Rekaan betul. Buat aku malu saja sekarang ni. Mana nak letak muka hah??? Wanita pujaan pulak tu yang ‘pangkah’ aku.

“Abang jangan nak melencong. Tadi tergagap-gagap nak cakap apa?” Aik! Ingat lagi dia ni. Aku pun dah lupa.

“Abang nak berkenalan dengan Mira.” Aku buat gaya malu-malu kucing.

Aku dah nekad. Apa nak jadi, jadilah! Aku tak rela kecewa lagi kerana memendam perasaan sampai aku yang parah terluka. Harapanku setinggi Gunung Kilimanjaro. Harap-harap dia tak menolak permintaan hati nyanyian Letto yang aku dendangkan semula. Geli usus aku kalau dengar aku menyanyi. Isy, macam mana ni? Dia masih senyap sejuta bahasa, memikirkan yang terbaik. Ngeri sungguh kalau dia tolak.. Hahaha, aku tertawa dalam hati.

“Mira sudi?” Aku tak sabar menanti kucing bertanduk lapan.

“Sudi.” Dia mengangguk sambil menundukkan wajah.

Pandangan kami bertaut. Aku menghadiahkan senyuman termanis untuknya. Pipi dia dah blushing. Mesti layan blues ni. Bikin aku nak muntah hijau saja. Aku bagi signal pada dia supaya ikut aku. Aku nak berjalan di sisinya sampai akhir hayat. Aku tak nak balik. Emak, tolong kahwinkan aku!!! Hatiku ketawa lagi. Aku cuba memegang tangannya tapi dia menarik. Wah, ini muslimah ori!

“Bukan muhrim... haram pegang-pegang.” Dia mengingatkan tanpa memandang aku. Sempat lagi ‘pangkah’ aku.

Aku termalu sendirian. Kami terus berbual-bual mesra. Impian kayanganku sejak empat bulan lepas menjadi nyata dalam masa sehari yang aneh bin pelik. Mimpiku jadi realiti. Aku bahagia saat ini. Terima kasih, minah blushing! Mataku menghantar dia ke kereta ayahnya. Tanganku pula melambai mesra. Romantik pulak aku hari ini. Selalu hati keras macam batu. Hari ini selembut sutera. Itulah penangan kasih sayang!!!!!

***********

Setahun berlalu begitu saja. Pejam celik, pejam celik, celik pejam, celik pejam, dah habis tarikh dalam kalendar aku pangkah. Cukup 12 bulan. Aku dan Amira semakin rapat. Tapi tangan masih tak pegang. Haram tau, berdosa!! Intimnya kami menjadi durian mulut pihak pentadbiran. Berapi-api diorang kutuk aku. Ketua pengawas berpacaran dengan gadis mentah? Ramai yang muntah kuning, hitam dan coklat sebab tak percaya. Aku pun rasa macam mimpi.

Setiap kali nampak bilik guru, aku layan jiwang. Peristiwa misteri yang tak seram tahun lepas bermain bola sepak di padang ingatan. ‘Indah sungguh’ fikirku. Pertemuan tak terancang yang disengajakan olehku itu membina surau kami. Surau saja, baru bercinta beb. Aku cadang nak bina masjid cepat-cepat, tapi dia belum sedia. Nak ada kerjalah, nak rumahlah, nak tolong keluargalah, lantak kaulah. Sayang punya pasal, no problem punyo........

“Abang poyo!” Aku kenal suara tu. Minah blushing kesayangan aku.

Aku berjoging perlahan ke arahnya. Kami beriringan lagi. Sama seperti tahun lepas. Semua masih sama. Aku tetap aku, beliau tetap beliau. Tak banyak berubah kecuali pohon kasih yang aku semai dah bercambah. Baja semulajadi, romantis dan caring (perasan betul). Hasilnya bunga kasih makin mekar di taman hati. Hatiku berlagu riang lagi seperti selalu.

Aku dan dia melintas jalan untuk ke kedai makan. Aku tak perasan hadiah Amira yang diberi sebentar tadi terjatuh. Kami sudah sampai di seberang ketika aku terperasan hadiah yang belum kubuka itu tiada di tangan. Aku kembali ke tengah jalan. Semasa aku mengutip, terdengar jeritan nyaring Amira. Aku berpaling dan tubuhku ditolak. Aku jatuh terduduk. Aku tidak percaya apa yang aku lihat. Ini silap mata David Copperfield!!!

Mata aku menjadi saksi pembunuhan. Eh, silap! Menjadi saksi Amira dilanggar sebuah kereta. Aku tak sempat mengesan jenis kereta itu. Aku terkaku dan fikiranku ditiup angin. Aku tak dapat menelan kepahitan ini. Tragedi berdarah ini akan mengebom kebahagiaan kami. Tembok maut akan memisahkan kami. Aku mengambil masa untuk kembali berpijak di bumi nyata.

“Amira!!!!” Aku meraung sepenuh tenaga zahir dan batin.

************

Jarum jam terus berjoget dan menari. Aku rasa macam terlalu pantas, mungkin mengikut irama samba. Sudah sebulan aku setia menemani jasad minah blushing ni. Sekeras-keras hati batu aku pun hancur luluh melihat penderitaan beliau. Sampai gugur air mata aku. Kawan baik aku, si Johan selalu pesan, tak jantan la budak lelaki menangis. Aku pun halau beliau, aku cakap, pergilah kau mamat kerek, kau tak rasa apa yang aku rasa. Badan Amira berbalut sana dan sini, sikit lagi macam mumia. Sedih tau............

Aku menggenggam erat jari-jemarinya yang mulus. Ini pun menyedihkan aku. Aku mengingkari janji agar tidak memegang tangan bukan muhrim. Tapi aku tak rela biar dia bersendirian. Maafkan aku, Amira. Tiba-tiba, tangan dia bergerak. Aku mengesat air mata dan tidak percaya. Aku memanggil doktor yang terus membuat pemeriksaan. Aku kurang senang melihat tindakan beliau (doktor) kerana menghalau aku. Aku pula mati-mati berkeras ingin di samping Amira. Jururawat yang paling kerek pun buat muka gangster lalu aku pun fahamlah aku akan dipancung kalau berdegil.

“Masuklah.” Doktor menjemput ketika dia keluar bersama awek-awek beliau (jururawatlah maksudnya).

“Abang poyo.....” Air mataku menitis lagi.

“Ye, minah blushingku sayang..” Aku duduk di sisinya.

“Mira rindu abang.” Dia kelihatan sangat lemah. Sebaklah aku macam ni....

“Abang pun. Thanks to rescue me.” Amira terus menangis.

“Maafkan Mira sebab tinggal abang lama-lama.” Aku betul-betul nak keluar daripada situasi ni. Boleh tergugat ketabahan aku macam ni.

“Mira janji tak akan tinggalkan abang lagi?” Aku mengesat air matanya.

“Mira janji.” Dia mengesat air mataku dan mengukir senyuman menawan itu lagi.

Melodi cinta yang bertukar pilu dah ceria semula. Aku bersyukur kerana masih diberi peluang untuk bersama insan tersayang. Kami berbual-bual mesra seketika sebelum dia meminta izin untuk berehat. Aku menemani tidurnya dengan pandangan redup penuh kasih. Takkan aku sia-siakan pengorbanan sucinya. Air mata aku pun tidak mampu membeli budi itu. Aku akan jaga kau, minah blushing. Aku janji!

***********

Beberapa bulan kemudian, barulah Amira dibenarkan pulang. Malam itu, kami ke Bukit Asmara. Aku tak pasti apa nama sebenarnya. Itu nama gelaran yang diberikan ayahku. Dulu bukit ini menjadi saksi percintaan ibu bapaku. Tapi mereka tak berasmaradana. Jangan fitnah-fitnah pulak. Aku menerima cadangan bapaku tanpa banyak kerenah. Kebetulan, aku selalu jugak ke sini teropong pasangan belangkas. Pernah aku tengok ada pasangan kantoi dengan jabatan agama. Nasib merekalah yang malang.

“Mira rasa bintang yang mana macam abang.” Aku cuba berbual.

Aku bosan kerana hanya unggas dan cengkerik memekak sejak kami datang tadi. Sesekali burung hantu menyanyi lagu Kau dan Aku. Mahu saja aku lastik beliau. Amira yang baring di sebelahku lebih banyak tersenyum melihat bintang. Aku tidak mahu kacau kegilaannya. Kebetulan bulan dan bintang mengisi langit malam yang cerah. Aku menanti jawapannya kala burung hantu tadi masih berbunyi. Kali ini lagu My Heart Will Go On. Tunggulah sampai aku jumpa beliau.

“Yang paling terang itu abang dan Mira di sebelahnya.” Dia menunjuk bintang setelah sekian lama menyepi.

“Kenapa bukan Mira yang paling terang?” Aku mencuri pandang seraut wajah minah blushing. Aku cinta dia sepenuh hati.

“Sebab abang menerangi hidup Mira.” Jawapan yang ringkas tapi padat lagi mutakhir.

Pandangan kami bersatu. Aku dapat rasa kehangatan aliran asmara. Kami tertawa. Tanpa dipaksa, bibir kami semakin rapat. Macam ada magnet. Bibirnya kutub utara, bibirku kutub selatan. Ketika hampir tercantum, ada sesuatu memisahkan. Potong stim betullah, orang tengah layan asmara ni. Mataku melihat dia menggoyangkan jari telunjuk tanda tidak bersetuju sambil tersenyum nakal. Cis, termalu lagi aku!

“Abang poyo jangan la nakal. Nanti Mira report mak.” Dia ketawa manja. Aku pun dah mula blushing.

“Mira ni...” Ayatku dihukum tergantung sampai mati. Ada gangguan bekalan air liur daripada pihak berwajib.

“Hoi!!! Apa korang buat ni?” Tiga orang lelaki membawa lampu suluh. Aku pun naik kaget la.

“Ampun, datuk penunggu kubur. Kitorang tak puja nombor ekor pun.” Aku cuba berlakon depan pegawai jabatan agama ni.

“Sudah! Sudah! Korang ni muda lagi. Jangan la berkhalwat.” Minah blushing sebelah aku dah pucat dah.

“Ramai orang lagi kat belakang semak tu.” Aku menunjuk kiri dan kanan. Rombongan ustaz pun bertindak.

Aku ingat boleh lari daripada ceramah percuma. Rupanya indah fantasi daripada realiti. Tak pasal-pasal dapat ceramah. Dia cerita zinalah, maksiatlah, khalwatlah, kahwin mudalah, anak haramlah, aku pun pening jugak. Habis-habis dia cakap, aku tanya ‘dah habis?’. Tercengang beliau dengar soalan cepumas aku. Padan muka dia kena ‘silambam mulut’ masak cili api. Terbakar telinga dia, terus pulang ke rahmatullah. Eh, silap lagi! Pulang ke rumah maksud aku.

Ingat balik boleh rehat. Ayah aku tahu saja, terus dia bagi tazkirah lagi. Aku pun tadah telinga sampai sejam. Baru la boleh tidur dengan tenang. Tapi sebenarnya layan kenangan. Mata terpejam, tak boleh tidur pun. Insomnia agaknya. Huh, mintak simpang malaikat 44... Seronok kan bila dah tengok orang kesayangan pulih? Itulah kisahnya abang poyo dan minah blushing. Ops, sorry!! Kisah aku dan Amira Zulkifli....

Cerpen 'Cinta Kenduri'

Nabiha memasuki bilik Atira. Kipas berpusing laju. Rakan baiknya itu sedang membaca majalah hiburan, kegemaran nombor satunya. Kali ini dia nekad untuk memaksa Atira mengikutinya ke kenduri kahwin rakan sekerja mereka, Intan. Sejak semalam, sudah berpuluh-puluh kali dia mengajak. Segala ceramah sudah diberi. Tapi kawan yang seorang ini tak makan saman.

“Marilah ikut, Tiy. Sekali sekala saja makan free.” Nabiha puas mengajak.

“Kau ni dari semalam lagi. Aku ikutlah, cik puan datin...” Atira membuat keputusan.

Tidak terbayang keceriaan terpamer di wajah Nabiha. Apa yang disangkanya, ribut taufan Atira tapi sebaliknya persetujuan yang begitu mudah. ‘Kalau dari semalam macam ni kan senang’ desis hatinya. Sudah beribu gelen air liur dibazirkan, akhirnya begini saja memujuk Atira. Nabiha tersenyum sambil menggeleng-gelengkan kepala.

“Apa kau tunggu lagi? Jom la mak cik.” Atira sudah siap berpakaian.

“Mak datuk, cepatnya kau siap. Alien ke?” Terbeliak biji mata Nabiha.

“Setakat pakai baju, nenek aku pun lagi laju daripada kau.”

“Perli nampak.. Kau tak mandi ke?” Nabiha musykil. Selalunya Atira mandi sampai setengah jam tiga minit dan dua puluh satu saat.

“Semalam aku dah mandi. Cepat la melaram tu.” Jawapan Atira memecahkan derai tawa Nabiha.

‘Semalam cerita lainlah’ Nabiha bermonolog lagi. Malas rasanya nak menegur Atira. Nanti meletus pulak perang dunia macam selalu. Mereka pun segera menuju ke rumah Intan. Akhirnya kahwin juga Intan dan Zakuan. Sudah bercinta dekat lima tahun. Kalau tak kahwin, ingin dikutuk semahunya. Fikirannya menerawang jauh. Seketika kemudian, Nabiha ketawa sendirian. Tiba-tiba, bahunya dicuit Atira.

“Hoi, mengelamun ke?! Nasib baik tak redah orang.” Wajah Atira mencuka.

“Ampun, Tiy. Aku tergelak ingatkan Tan dengan Kuan. Kahwin jugak diorang kan?” Nabiha tersenyum.

Atira hanya mengangguk. Kereta yang dipandu Nabiha menderum laju di atas permukaan jalan kota raya Kuala Lumpur. Bandar metropolitan yang semakin pesat membangun. Selepas beberapa minit, Nabiha dan Atira tiba di destinasi mereka. Nabiha mencari tempat yang teduh untuk memarkir kereta. Kemudian, mereka jalan beriringan ke rumah pengantin kira-kira 200 meter di hadapan. Sambil itu, mereka rancak berbual melihat kemeriahan majlis. Mereka sedang ketawa ketika tiba-tiba Nabiha terlanggar seseorang. Kedua-duanya jatuh ke tanah.

“Hei, jalan tu tengok la orang.” Seorang lelaki menengkingnya. Manakan tidak, nasi dan air yang dibawa telah tumpah.

“Sorry la, encik.” Nabiha meminta maaf.

“Naik la lori dengan sorry kau.” Lelaki itu berlalu pergi.

“Seronok, Bie?” Gelak tawa Atira masih bersisa.

“Kau ni tak baiklah, Tiy. Aku kena sembur, kau boleh gelak-gelak lagi.” Nabiha menyapu rumput di bajunya.

“Aku ingat kau dah jatuh kolam. Gila hensem mamat tadi tu.” Atira masih sempat memuji.

“Banyak la kau jatuh kolam. Tak layan aku. Hensem tapi biadap. Macam monyet.” Nabiha masih marah.

“Monyet tak hensem, Bie.” Ketawa mereka berderai.

************

“Jauh fikiran, Min.” Teguran Mak Jah mengejutkan Iqram.

Segelas susu dihulurkan dan Iqram menyambutnya. Diletak di sudut meja kerjanya. Mak Jah duduk di katil. Seperti selalu, malam ini dia ditemani Mak Jah lagi. Sekurang-kurangnya untuk menceritakan apa yang dialaminya sepanjang hari. Kalau diharapkan ayah dan ibunya, pasti dia akan kesepian. Mereka selalu sibuk dengan kerja dan perniagaan.

“Tak jauh pun, dalam kawasan KL ni.” Suara Iqram semakin perlahan.

“Dalam maksud ayat kau tu, Min. Kau dah jumpa calon isteri ke?” Mak Jah meneka.

“Calon kekasih la. Pandai la Mak Jah ni. Selalu tahu apa yang saya nak cakapkan.” Iqram hanya tersengih sumbing macam kera.

“Aku yang besarkan kau, Min. Tak payah nak tipu aku.” Mak Jah membidas.

“Min suka dia la, Mak Jah. Entah bila dapat jumpa dia lagi.” Iqram mengharap sesuatu yang tak pasti.

“Bila kau jumpa budak tu?” Mak Jah cuba mengorek rahsia sulit negara.

“Kat kenduri Zakuan anak Datuk Harun petang tadi.” Iqram merenung jauh.

“Berdoalah kepada Tuhan, nak. Hanya kepada Dialah kita berserah hidup dan mati.” Mak Jah bersyarah lagi.

************

‘Macam manalah boleh lambat ni?’ Nabiha tergesa-gesa bersiap untuk ke pejabat. Hari ini dia akan terlewat lagi. Dia harus cepat. Kalau terlalu lewat, pasti akan menjadi mangsa sindiran berapi mulut laser Tan Sri Kamal. Sudahlah dia orang kanan syarikat selaku ketua pegawai pemasaran Kamal Corporation. Yang paling penting, dia perlu menghadiri mesyuarat penting syarikat hari ini. Gigi digosok ala kadar. Mandi pun tidak bersabun. Baju disarung cepat. Sarapan yang disediakan Atira tidak dijamah. Atira hanya menggeleng-gelengkan kepala.

Segera dia memecut kereta mewahnya. Hasil titik peluh bekerja, itulah yang dimilikinya. Asal ada kenderaan menghalang, pasti dihon dengan kuat. Perangkap laju tidak dipedulikan lagi. Bukan sekali dua dia disaman, sudah lali. Namun, dia tetap akan lewat kerana terperangkap dalam kesesakan lalu lintas. Dia melepaskan kemarahan pada stereng kereta. Itulah yang selalu dilakukannya setiap kali lewat. Paling teruk, tangannya akan membengkak. Hon ditekan bertubi-tubi.

Dia berlari ke lif. Teguran selamat pagi oleh para pekerja tidak diendahkannya. ‘Lambat pulak lif ni’. Dia perlu sampai ke tingkat dua puluh. Dia melihat jam. Sudah 9.30 bermaksud mesyuarat sudah berlangsung kira-kira setengah jam. Habislah dia menjadi sasaran bedilan meriam mulut cabul Tan Sri Kamal. Dia memarahi diri sendiri. Apabila lif sampai di tingkat dua puluh, dia tidak menanti dan terus ke bilik mesyuarat.

“Maafkan saya terlewat lagi.” Nabiha segera duduk di kerusinya apabila masuk.

“Saya ingatkan kamu cuti bersalin.” Mahu saja dia mencurah kopi di depan mata ke muka Tan Sri Kamal.

Semua wajah yang terlibat dalam mesyuarat itu memandangnya. Tiada lagi rasa malu di hati kerana ini bukan kali pertama dia terlewat. Sudah beberapa kali ditegur namun dia sendiri tidak mengerti mengapa dia harus terlewat. Dia hanya berpura-pura tidak mengerti. Mesyuarat terus berlangsung sehinggalah di hujungnya, Tan Sri Kamal berdiri bersama seorang lelaki. Lelaki yang dilanggarnya tempoh hari.

“Sekarang saya perkenalkan anak saya yang baru tamat pengajian di Amerika, Iqram Amin. Dia akan menggantikan tempat saya selaku bos besar di syarikat ini. Nabiha, saya mahu kamu berurusan serta merta esok untuk tujuan pemasaran.”

Nabiha tercengang. Senyuman manis Iqram disambut dengan wajah kelatnya.

*********

Pintu bilik diketuk dan sebaik dibenarkan masuk, dia segera melakukannya dan menghempas pintu. Tidak dipedulikan dengan siapa dia berhadapan. ‘Anggap dia macam cicak, dah la kurus kering’ pinta hati Nabiha. Iqram hanya ketawa melihat sikap Nabiha. Ternyata kemarahannya masih berbekas walaupun sudah seminggu peristiwa itu berlalu. Pendendam rupanya minah ni, itulah yang difikirkan Iqram.

“Sila duduk.” Iqram menjemput.

“Tak perlu ajar saya.” Nabiha menghempas fail yang dibawanya.

“Senyumlah sikit, Cik Buta.” Iqram ketawa geli hati. Menawan, gejolak hati Nabiha berkata.

“Jangan panggil saya macam itu, Encik Biadap.” Nabiha cuba memandang ke tempat yang lain.

“Pendendam jugak awak ni. Patutnya awak yang mintak maaf.” Iqram mengemaskan fail di mejanya yang berterabur.

“Cukup sekali. Orang biadap macam encik ni tak layak dapat permintaan maaf.” Nabiha membentak, agak kurang ajar sebagai heroin cerpen ni.

Terkejut Nabiha apabila melihat Iqram bangun dari kerusi dan menuju ke sebelahnya. Iqram melutut tanpa mempedulikan kemungkinan dia akan dipandang staf lain. Jatuhlah standardnya selaku anak Tan Sri Kamal. ‘Aku terpesona’ bisik hati kecil Nabiha melihat tindakan spontan Iqram Amin. Belum pernah Nabiha melihat orang kaya yang mempunyai hati semurni Iqram. Dia telah tertawan.

“Maafkan saya...” Iqram memegang tangan Nabiha tetapi ditepis.

“Ya, saya maafkan encik. Tolonglah bangun. Apa kata staf nanti.” Pandangan Nabiha meliar.

Iqram kembali ke tempat duduknya. Senyuman kepuasan kerana berjaya mencairkan wanita idaman di hadapannya. Sudah lama dia mencari di manakah gadis yang menakluk hatinya semasa kenduri itu. Selepas pulang, dia menyesal kerana menengking gadis itu dan berhajat memohon maaf. Hari ini cita-citanya tercapai dan doanya dimakbulkan.

“Janganlah berencik-encik dengan saya. Panggil Min saja dah cukup.” Iqram Amin memulakan semula perbualan dan menghulur salam persahabatan.

“Nabiha... Nabiha Syahira.” Ringkas balasan Nabiha tetapi tidak menyambut salam yang dihulurkan.

“Sebagai balasan atas nasi dan air saya yang tumpah, saya nak nombor telefon awak.” Pandangan mereka bersatu.

**********

“Sedap tak?” Iqram terus menyuap makanan.

“Dengan Min semuanya sedap.” Nabiha tersenyum.

Sudah tiga bulan berlalu sejak mereka bersua muka di pejabat Iqram. Dia tidak pernah menyangka hubungan mereka akan serapat ini. Tetapi apakan daya. Mana mungkin dia tidak tertawan dengan kelembutan, keramahan, kesopanan dan kehebatan Iqram. Iqram seorang yang puitis, romantis, baik hati, penyayang dan memiliki ciri-ciri lelaki idamannya. Tetapi mereka belum ada sebarang ikatan. Masih sahabat, teman tapi mesra.

“Buka mulut.” Mana mungkin dielak suapan Iqram. Nanti apa kata pelanggan restoran mewah itu yang lain. Senyuman mereka serentak.

Itulah yang menyenangkan hatinya setiap kali bersama Iqram. Nabiha akan dilayan seperti puteri raja dari kayangan. Sudah lama dia tidak merasakannya. Kali terakhir bersama Azim suatu masa dulu. Tapi sayang, Azim curang. Dia harus melupakannya. Sesekali pandangan mereka bersatu, pasti senyuman terukir. Dia tidak tahu, apa mimpi Iqram mengajaknya makan di restoran mewah malam ini. Selalunya mereka akan makan di hotel yang menjadi tempat kebiasaan mereka. Tiba-tiba ada panggilan di handphonenya.

“Hello!”

Sebak hati Nabiha. Lima minit perbualan yang penuh duka. Tidak sanggup dia mengherdik insan yang pernah bertakhta di hatinya itu. Azim memohon untuk kembali. Namun dia tidak mahu. Dia tidak ingin dilukai lagi. Tetapi dia akui, dia masih sayangkan Azim. Tidak pernah ada lelaki lain sejak dia berpisah dengan Azim. Hinggalah kemunculan Iqram dalam hidupnya. Perasaannya bercampur baur. Perlukah dia menerima semula kehadiran Azim? Atau perlukah dia mengecewakan hati yang pernah dicintainya itu? Kecurangan Azim benar-benar mengguris perasaannya.

Pertanyaan Iqram bertalu-talu tidak dilayan langsung. Dia ingin menenangkan perasaan. Dia berlari ke kolam renang di luar restoran. Dia duduk di satu kerusi yang kosong. Langsung tidak menghiraukan panggilan Ikram semasa dia berlari tadi. Nabiha sedar Iqram menghampiri namun dia belum bersedia untuk bersoal jawab dengan Iqram. Biarlah Iqram memahami perasaannya sendiri. Dilihat susunan lilin “I LOVE YOU” di kolam. Romantik sungguh, tetapi dia tidak sempat menghayati keindahan itu.

“Kenapa Biha nangis?” tanya Iqram perlahan.

“Azim nak kembali.” Air mata Nabiha makin lancar dan Iqram, hadir di sisi untuk meminjamkan bahunya.

Beberapa minit berlalu, lencun bahu Iqram dek penangan air mata Nabiha. Iqram hanya merelakan bahunya dipinjam oleh insan tersayang. Dia tidak menyangka susunan lilin di kolam khas untuk Nabiha dilihat lebih awal. Dia harus melamar secepat mungkin. Dia harus. Sebelum Nabiha bertanya, dia harus memulakannya. Dia lelaki sejati. Pantang keturunannya menyerah sebelum bertarung.

“Lupakanlah dia, Biha.” Itu yang mampu diucapkan Iqram.

“Ya, Min. Cantik kan susunan lilin tu.” Kepala Nabiha diangkat dan cuba mengalih topik perbualan mereka.

Inilah masa yang paling sesuai. Iqram menarik tangan Nabiha dari tempat duduk mereka ke tepi kolam. Dia memberi isyarat kepada seorang lelaki dan terdengarlah bunyi tembakan. Bunga api memancar ke ruang langit. Tertulis perkataan, ‘Iqram Amin sayang Nabiha Syahira’. Air mata Nabiha menitis lagi. Dia menekup mulut kerana terharu. Sungguh romantis jiwa Iqram. Dia menggenggam erat tangan lelaki itu.

“Sudikah Biha menjadi kekasih Min?” Iqram melutut di sisinya dengan sejambak bunga yang diberikan oleh seorang pelayan.

Nabiha sekadar menarik tangan Iqram untuk bangun dan menghadiahkan senyuman paling manis ke dalam mata jejaka itu. Hanya itu yang mampu dilakukan tanda persetujuannya. Sejambak mawar merah bertukar tangan. Tepukan gemuruh kedengaran. Tidak disangkanya ramai penonton yang menyaksikan drama itu. Seingatnya, tadi kolam itu kosong. Ini pasti kerja buah hatinya, Iqram Amin. Dia mencubit manja tangan Iqram.

*********

“Aku nak kau tinggalkan Iqram.” Itulah amaran Sarah petang tadi.

“Takkan sama sekali!” Nabiha berkeras.

“Kau akan menyesal!” Sarah tersenyum sinis.

Panas sungguh rasa hati Nabiha. Sarah mengugut untuk mencederakan Iqram jika Nabiha berdegil. Mana mungkin hati kecilnya sanggup menerima berita kecelakaan menimpa Iqram yang disayanginya. Dia rela berkorban dan meninggalkan Iqram demi keselamatan kekasihnya itu. Dia bercadang untuk bercuti dan menenangkan perasaan di Pulau Langkawi.

“Kau dah nekad, Bie?” Atira pula memujuknya supaya tidak pergi.

“Aku tak rela jadi apa-apa dekat Min. Aku sayang dia, Tiy.” Nabiha menangis lagi.

“Kita lodge police report nak?” Atira mencadangkan sambil memegang tangan Nabiha.

“Sarah tu gila, Tiy. Aku takut dia bunuh Min. Aku tak nak.” Sebak beraja di hati Nabiha. Dia menangis di pangkuan Atira.

“Tak perlulah sampai membawa diri, Bie. Aku rayu kat kau.” Atira cuba memujuk lagi.

“Kau kawan baik aku kan, Tiy? Aku mintak tolong sangat. Janganlah bocorkan rahsia aku dekat Min.” Nabiha menangis teresak-esak.

“Tapi..” Atira belum sempat mengakhiri ayatnya.

“Please, Tiy... Kau kawan baik aku.” Nabiha terus mengalirkan air mata.

“Macam budak kecik. Iyalah, aku janji.” Janji termeterai dan Nabiha memeluk sahabat baiknya.

*********

Sudah dua minggu dia menyimpan dukanya sendirian. Rindu pada Iqram sudah tidak mampu ditanggung Nabiha. Namun dia tidak rela membunuh kekasihnya itu. Biarlah Sarah memiliki Iqram tetapi dia tidak sesekali akan bercinta lagi. Dia berjanji pada dirinya sendiri, ini kali terakhir. Cinta yang dianyam kini musnah kerana nenek sihir itu. ‘Sarah, aku benci kau!!!’ hati Nabiha menangis. Hanya dia dan Tuhan yang mengetahui tangisan jiwanya saat itu.

Dia berjalan di tepi pantai dengan perasaan rindu bersulam benci. Dia rindu akan Iqram dan benci akan Sarah. Mengapa cinta dia dan Iqram harus diuji? Malam ini bintang bergemerlapan. Tetapi di manakah bintang hatinya yang paling terang. Walaupun dia cuba menjauhkan diri, tetapi dia mengharapkan Iqram ada di sisinya saat itu. Menemaninya kala dia kesepian. Tapi dia sedar semuanya hanya mimpi yang tak sudah.

“Dunia ini terlalu kejam.” Nabiha menjerit. Tidak dihiraukan reaksi tetamu pantai yang lain.

“Tidak!” Suara nakal seperti itu malas hendak dilayannya.

“Iqram Amin, di manakah kau?” Nabiha menjerit lagi sekadar memuaskan hatinya.

“Aku di sini, sayang!” Dia berpaling.

Dia seperti tidak percaya. Baru dia sedar suara yang sama menjawab kata-katanya tadi. Air matanya begitu mudah menitis dan tumpah lagi. Melihat Iqram yang dicintainya itu hadir saat dia memerlukan sangat mengharukan. Iqram berdiri di sisi Atira. ‘Jagalah kau, Tiy!’ hatinya mengancam Atira. Tetapi sudut lain hatinya memuji kewajaran tindakan Atira itu. Dia sendiri tidak tahu bagaimana melepaskan rindu kepada Iqram.

Iqram berlari ke arahnya dan dia melakukan perkara yang sama hinggalah mereka berhadapan lagi. Dia berasa selamat dalam renungan Iqram. Mana boleh peluk, haram woo... Dia tidak mahu saat ini berakhir. Dia mahu selamanya di sini. Cinta mereka bersatu lagi disaksikan bintang-bintang dan rembulan mengambang penuh. Atira menghampiri mereka. Dia melepaskan pandangan Iqram dan memeluk Atira.

“Tiy yang bagitahu ke mana Biha lari.” Iqram tersenyum. Ketika itu, Atira sudah berlalu dan lidah Nabiha kelu untuk berbicara.

“Maafkan Biha.” Nabiha cuba untuk berbual.

“Biha tak salah pun.” Iqram juga berasa janggal. Dulu mereka sangat mesra.

“Biha cuma nak Min selamat.” Nabiha membalas. Mereka sedang berbaring di pasir pantai.

“Sarah kemalangan.” Iqram menceriakan Nabiha.

“Jangan biarkan Biha terkapai lagi..” Genggaman tangan mereka bersatu tanpa dipaksa, bukan atas kerelaan mereka.

Nabiha dan Iqram terus bahagia. Cinta mereka kembali diikat di bawah sinaran bulan dan bintang seperti mana cinta mereka disatukan dalam suasana yang sama suatu masa dahulu. Kenangan itu singgah di benak fikiran Nabiha dan dia tersenyum lagi. Iqram pula senang melihat senyuman buah hati pengarang jantungnya yang dirinduinya. Dua minggu masa yang diambil untuk membuka mulut Atira membocorkan rahsia.

“Min janji takkan tinggalkan Biha, cinta kenduriku...” Mereka ketawa bahagia bersama.

Tuesday, June 9, 2009

Kasih Sayang Mengikut Bulan Lahir


JANUARI
- Mudah jatuh cinta
- Mudah melupakan perasaan cinta terhadap orang yang dicintai sekiranya dikhianati.
- Pandai mengambil hati pasangannya.
- Selalu berdiam diri ketika bertemu dengan pasangannya.
- Bersikap romantik tapi tidak pandai memperlihatkannya.
- Sikap cemburu yang tinggi terhadap pasangannya tapi tidak kisah sekirannya pasangannya cemburu terhadapnya
- Bakal jadi seorang bapa atau ibu yang penyayang.
- ramai kenalan, sedikit pemalu dan bersungguh-sungguh bila melakukan kerja

FEBRUARI
- Sukar untuk jatuh cinta .
- Amat hormat kepada pasangan.
- Amat suka memikat pasangan.
- Jujur dan berterus terang dalam perhubungan.
- Sentiasa nekad untuk bersama dengan pasangannya
- Sangat romantik pada dalaman dan bukan pada luaran (hanya pasangannya yang tahu) .
- Patuh kepada pasangannya dan selalu menjaga hati pasangan.
- Amat menjaga penampilan diri dan pasangannya.

MAC
- Mudah menawan hati pasangannya.- Sentiasa ingin didampingi oleh pasangannya.
- Sangat pemalu dalam meluahkan isi hati.
- Sangat baik dalam menjaga perhubungan.
- Amat sukar melupakan pasangan yang dicintai.
- Perasaan cemburu yang minima.
- Sangat manja dan sering ingin dimanjai pasangannya.
- Mudah memilih pasangan tanpa berfikir dengan waras.
- Sentiasa mengharapkan keistimewaan dari pasangan.

APRIL
- Individu yang amat sukar untuk jatuh cinta.
- Selalu memendam perasaan terhadap individu yang dicintai.
- Sukar dan malu dalam meluahkan isi hati.
- Sentiasa ingin diberi perhatian.
- Amat cemburu dalam perhubungan.
- Kesetiaan teguh terhadap pasangannya.
- Emosi cepat terusik dan mudah terluka.
- Sentiasa menjaga hati pasangan dan pandai memujuk.
- Romantik dan terlalu romantik.
- Sukar melupakan pasangan walaupun dilukai.
- Sukar berlaku curang dan amat menyayangi pasangan.

MEI
- Amat mudah jatuh cinta.
- Baik dan jujur dalam perhubungan.
- Pandai menarik hati pasangan.
- Perasaan cinta yang mendalam.
- Mudah untuk di pujuk.
- Mudah menerima cinta seseorang.
- Pilihan yang tepat dalam berpasangan.
- Nekad untuk menjaga hubungan yang baik.
- Pandai mengatur hidup pasangan (bukan Queen Control atau King Control) .
- Suka mengangankan sesuatu yang indah bersama pasangan.
- Sentiasa dahagakan kasih sayang dari pasangan tapi tak pandai memperlihatkan.
- Ambil berat dalam menjaga hubungan.

JUN
- Amat pandai menjaga hati pasangan sekiranya dia perempuan.
- Sukar melukai dan memahami hati pasangan.
- Mudah jatuh hati tapi terlalu memilih.
- Cerewet dalam hubungan.
- Selalu beremosi.
- Mudah merajuk dan mudah di pujuk.
- Selalu melindungi pasangan dari kritikan atau umpatan orang.
- Elok untuk menjadi ibu yang baik.
- Dahagakan pujian dari pasangan.

JULAI
- Amat suka didampingi pasangan.
- Sukar dimengerti oleh pasangan.
- Sentiasa menjaga maruah diri, pasangan dan perhubungan.
- Amat mudah dipujuk dan berterus terang.
- Amat menghargai kesetiaan pasangan.
- Mengambil berat dan mengasihi pasangan
- Berkebolehan untuk meluahkan isi hati terhadapindividu yang dicintai.
- Mudah terluka dan lambat untuk pulih.
- Suka merajuk dan dipujuk.
- Setia terhadap pasangan.
- Suka mendengar dan tidak suka membantah.
- Cemburu terhadap pasangan.
- Suka menilai dan menjaga perhubungan.

OGOS
- Pandai memujuk pasangan
- Suka memimpin pasangan.
- Romantik, Pengasih dan Penyayang.
- Kelam kabut dalam perhubungan.
- Sangat sensitif .
- Mudah meluahkan kata cinta pada sesiapa yang berkenan.

SEPTEMBER
- Bersopan dalam hubungan.
- bertolak ansur terhadap pasangan.
- Suka mengkritik pasangan.
- Sangat prihatin terhadap pasangan.
- Sangat sensitif dan emosi.
- Pandai memahami pasangan.
- Kurang menunjukkan perasaannya terhadap pasangan.
- Sukar melupakan sekiranya hati terluka.
- Mudah simpati dengan perasaan dan masalah pasangan.
- Pandai menyimpan perasaan.
- Suka berterus terang jika perkara itu tak disetujuinya.

OKTOBER
- Amat suka berkomunikasi dengan pasangan.
- Suka disayangi dan menyayangi pasangan.
- Sopan terhadap pasangan.
- Jujur dan jarang berpura-pura dengan pasangan.
- Mudah terluka hati sekiranya pasangan ada melakukan kesalahan terhadapnya.
- Emosi yang mudah terusik.
- Pengasih, Penyayang terhadap pasangan.
- Cemburu dan terlalu cemburu.
- Romantik
- Memahami pasangan.

NOVEMBER
- Cermat dan teliti dalam menjaga perhubungan.
- Amat berahsia dengan pasangan dan sesiapa.
- Agak degil dan kuat pendirian.
- Mudah ambil berat terhadap pasangan.
- Emosi yang mendalam.
- Perangai tidak dapat diramal terhadap pasangan.

DISEMBER
- Pemurah terhadap perhubungan
- Mudah jatuh cinta dalam masa yang sama.
- Tergesa-gesa dalam perhubungan
- Suka didampingi oleh pasangan.
- Benci bila dikongkong.
- Berbakat untuk kahwin lebih dari satu.(Utk Lelaki)
- Suka mempengaruhi pasangan.

Friday, June 5, 2009

Sintok Space Kingdom - Episode 1

Sekitar tahun 2096, hampir seluruh Eropah telah ditawan. Namun kubu terakhir di London kekal teguh dipertahankan. Tembok digital Prof Jimmy masih utuh untuk ditembusi ET-100. Kod-kod rahsia itu begitu luar biasa kukuhnya dan sukar dipecahkan Prof Danial. Di situlah ibu pejabat bala tentera PBB yang diketuai Jeneral Samuel Shakerin. Mereka sedar betapa mereka masih selamat selagi berada dalam tembok digital itu. Para panglima perang berkumpul di Meja Bulat Tentera PBB.

“Hampir seluruh Eropah telah ditakluk oleh Alexander baru.” Komander Azren mengeluh.

“Dia tiada perikemanusiaan. Zalim macam binatang.” Kapten Johan membalas. Nyata ketua tentera Afrika itu menyokong pendapat ketua misi pertahanan Eropah.

“Johan Taochingo, macam mana dengan Afrika?” Jeneral Samuel selaku pengerusi mula bersuara.

“Macam yang kau tahu berlaku di benua Amerika dan Asia, dua tiga negara sudah ditawan. Yang lain diserang setiap hari.” Kapten Johan menumbuk meja.

“Mengapa hanya dua atau tiga negara? Eropah sudah hampir menjadi padang jarak padang tekukur.” Komander Azren bernada geram.

“Seperti yang dijanjikannya dalam misi 46 tahun, satu demi satu benua. Eropah sudah hampir sempurna. Nampaknya dia berjaya terlalu awal.” Kapten Johan menjawab dengan suara yang sangat kecewa.

“Takkan semudah itu, Johan.” Leftenan Quayyum selaku ketua tentera Asia membidas.

“Apa maksud kau, Qay?” Kolonel George tidak puas hati. Ketua tentera Amerika sering mempunyai pendapat yang tegas.

“Kita semua tahu ramalan terbaru Sir Amien dari kerajaan Sintok.” Leftenan Quayyum menimbulkan persoalan.

“Dia selalu merepek tentang perkara-perkara pelik. Apa kau percaya dengan The Last Encounter?” Kapten Johan tidak bersetuju.

“Kadang-kadang dia terlalu mengarut. Tapi ramalannya tentang Danial benar-benar berlaku.” Jeneral Samuel segera membidas.

“Mungkin itu satu kebetulan, Sam. Haruskah kita percaya dengan Maharaja Faisal? Mungkin dia mahu menaikkan nama wiranya.” Kolonel George terus menghina.

“Kau terlalu pesimis, George. Program Wira Mudanya sudah banyak menyumbang kepada kekuatan tentera Asia.” Leftenan Quayyum pula tidak bersetuju. Itulah adat Meja Bulat Tentera PBB yang tidak pernah senyap.

“Namun tentera Asia juga tidak banyak membantu kita mengekang kemaraan Danial.” Kapten Johan meluahkan kekesalannya.

“Sir Amien ibarat Nostradamus. Dia anugerah Tuhan untuk manusia sejagat.” Leftenan Quayyum terus mengukuhkan hujahnya.

“Lupakan si tua kutuk itu, Qay. Apa katanya? Old Norgamen akan muncul semula pada tahun 2100. Manusia tua yang hilang itu.” Kolonel George terus memperlekehkan Sir Amien.

“Tak mustahil ia akan berlaku. Maklumat yang aku terima Old Norgamen selamat di makam purba di Mesir.” Nada suara Leftenan Quayyum penuh pengharapan.

“Sir Amien selalu membuat ramalan dan tilikan. Nyata Maharaja Faisal banyak mempergunakan ahli nujum mengarut itu.” Kapten Johan menghela nafas benci.

“Ramalan Amien tidak ada kaitan dengan Faisal. Amien selalu membuat ramalan yang menakutkan maharajanya itu.” Jeneral Samuel memberi pendapat.

“Kau benar, Sam. Danial akan menghadapi lawan paling hebat pernah ditemuinya. Bukan seorang, tapi empat orang.” Sinar ceria terpancar di wajah Komander Azren yang senyap sejak tadi.

“Lupakan semua itu. Apakah The Last Encounter ada kaitan dengan kita? Entah bila akan berlaku. Yang penting sekarang ini, Eropah sudah hampir jatuh.” Kolonel George cuba mengubah topik.

“The Last Encounter akan membantu kita, George. Aku percaya Meja Bulat ini takkan ditawan Danial. Kita akan mulakan penaklukan semula dari sini.” Leftenan Quayyum menghentikan niat Kolonel George.

“Benar! Kita akan nantikan pertarungan Wira Muda dan Danial. THE LAST ENCOUNTER!!!” Jeneral Samuel menjerit dengan nyaringnya.

Apakah sebenarnya The Last Encounter? Siapakah Sir Amien dan Maharaja Faisal? Nantikan Episode 2

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif