Welcome To My Life...

Monday, April 25, 2016

Posting Kedua

Assalamualaikum.

Alhamdulillah, segala puji-pujian hanya bagi Allah. Aku baru saja menamatkan posting pertama untuk disiplin Internal Medicine selama tujuh minggu. Hari ni aku memulakan posting kedua dalam disiplin Family Medicine, juga selama tujuh minggu. Banyak yang aku belajar dalam posting sebelum ni. 

Memang ternyata sangat berlainan apabila berada dalam fasa klinikal. Lebih banyak hands-on dan interaksi dengan pesakit berbanding hanya menelaah buku semasa era pra-klinikal a.k.a zaman jahiliah. Orang selalu kata praktikal sangat berbeza realitinya berbanding teori. Hakikatnya, turun padang memberi pengalaman yang bermakna.

Tiga buah hospital di Negeri Sembilan dijelajah selama tujuh minggu lepas. Dua minggu pertama di Hospital Port Dickson, dua minggu seterusnya di Hospital Kuala Pilah, dan tiga minggu terakhir di Hospital Tuanku Jaafar (hospital besar Seremban). Sebab utama kami dipecahkan kepada tiga kumpulan adalah kerana tidak mahu wad medikal HTJ terlalu padat dengan para pelajar. 

Perjalanan ke Hospital PD mengambil masa setengah jam, dan perjalanan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (Kuala Pilah) pula memakan masa sejam. Keluar awal pagi. Memang mengantuk tapi terpaksa gagah demi menuntut ilmu. Maka berkongsi keretalah kami semua memandangkan tiada kenderaan yang disediakan. Apa yang aku ingat tentang Port Dickson adalah kem tenteranya dan juga pantai. Kuala Pilah pulak aku ingat Istana Besar Seri Menanti dan Ulu Bendul. 

Posting baru ni rasa macam nak rajin sikitlah (sikit je) sebab dengar khabar beberapa orang rakan gagal dalam posting ni sebelum kami. FamMed memang posting yang rileks. Tak masuk wad, lebih banyak masa di klinik. Tapi kadar kegagalan lebih tinggi berbanding posting lain. Posting yang tenang jangan disangka akan berjaya.

Minggu pertama ni banyak briefing saja. Hari ni Dr Chandra bercerita tentang apa itu Family Medicine. Turut diberitahu beza family physician dan general practitioner. Ramai GP yang bukak klinik ni tidak ada kepakaran dalam mana-mana disiplin, sekadar doktor yang bertauliah. Family physician pulak memang pakar dalam Family Medicine, atau dalam erti kata lain specialized general practitioner

Minggu depan baru masuk klinik. Empat klinik yang perlu dijajah. Klinik Kesihatan Seremban (yang paling dekat dengan rumah aku), KK Seremban 2 (tak berapa dekat), KK Senawang (jauh), dan KK Ampangan (pun jauh). Nampaknya lebih banyak prosedur dan hands-on. Dapat pulak mentor yang tough. Exam EOP (end of posting) nanti akan bergabung dengan mentor aku di IMU Bukit Jalil.

Terima kasih kepada mentor Internal Medicine, Prof Ari dan Prof James yang menilai prestasi aku dalam dua short cases untuk history taking dan physical examination. Prof Ari dari Sri Lanka yang penuh dengan pengalaman. Prof James yang nampak muda dan sangat sarkastik. Terima kasih juga semua yang mendidik di wad medikal terutama Dr Mina. 

Akhir kata, semoga lulus di posting kedua. Fighting!



Sunday, April 24, 2016

Wembley, Here We Come!

Assalamualaikum.

I'm a happy supporter. It feels so good to be in final again and even better to win it with dramatic injury-time winner!

Manchester United will fight to win FA Cup final in Wembley this May 21.

Men of the match: Anthony Martial; David De Gea; Marouane Fellaini.

Susah nak pilih pemain terbaik perlawanan antara tiga orang ni. Masing-masing bagi sumbangan penting. Martial dengan assist untuk gol Fellaini, dan gol kemenangan dalam masa kecederaan babak kedua. De Gea dengan beberapa aksi menyelamat penting termasuk menepis sepakan penalti Romelu Lukaku semasa United mendahului 1-0. Fellaini pula menjaringkan gol pertama dan menghadang peluang keemasan Lukaku.

Manchester United memulakan perlawanan dengan formasi 4-1-4-1. David De Gea mengawal gawang. Michael Carrick mengawal kawasan tengah di hadapan benteng Timothy Fosu Mensah, Chris Smalling, Daley Blind, dan Marcos Rojo. Bahagian seragan dibarisi Jesse Lingard, Wayne Rooney, Marouane Fellaini, dan Anthony Martial. Penyerang tunggal ialah Marcus Rashford.

United mendominasi babak pertama dengan kelincahan Fosu Mensah, Lingard, Martial dan Rashford yang muda dan bertenaga. Fellaini dan Rooney pula menguasai bahagian tengah dengan sangat baik. United mempunyai banyak peluang yang gagal disempurnakan. Begitu juga Everton, terutama Lukaku yang rembatannya ditanduk di depan garisan gol oleh Rooney menerusi satu serangan kilat.

Fellaini akhirnya meletakkan United di depan selepas menyudahkan hantaran kemas Martial yang masuk dari sayap kiri. Babak pertama tamat dengan United selayaknya mendahului. Kubu Everton diserang berkali-kali dan para pemain Everton seperti tiada jawapan menangani barisan serangan United yang muda.

Namun Everton lebih menguasai separuh masa kedua dengan asakan bertubi-tubi ke gawang United. Mereka mendapat sepakan penalti selepas Ross Barkley dijatuhkan Fosu Mensah semasa merebut bola. Malang buat Lukaku apabila De Gea berjaya membaca arah yang ditujunya walapun sepakan Lukaku sangat padu dan hampir ke penjuru. De Gea tidak berdaya menghalang jaringan penyamaan Everton apabila hantaran lintang Gerard Deulofeu ditampan Smalling ke gawang sendiri. Game on!

Ander Herrera masuk menggantikan Fellaini beberapa saat sebelum masa sebenar permainan tamat dan tak lama kemudian mendapat kad kuning selepas menghalang larian Barkley. Beberapa detik saja tinggal sebelum perlawanan memasuki masa tambahan apabila hantaran Herrera melepaskan larian Martial di antara pertahanan. Pemain sayap lincah itu yakin dan tanpa keraguan meletakkan penyudah ke penjuru bawah kanan gawang sebelum berlari ke arah penyokong Manchester United untuk meraikan jaringan kemenangan.

Dah lama sebenarnya aku tak melihat semangat yang ada dalam DNA kelab kegemaran aku. Semangat juang sehingga wisel penamat. Never-say-die attitude. United dan gol kemenangan lewat permainan dalam Fergie time (masa kecederaan) memang sangat sinonim dan akrab.


Safe pair of hands

De Gea the hero

Epic injury-time winner!

 

 

Memang puas hati. Jumpa di Wembley 21 Mei nanti.



Saturday, April 23, 2016

MLM2016/13 - Se Mi Fi Nal

Assalamualaikum.

Malam tadi berlangsung minggu separuh akhir Maharaja Lawak Mega 2016. Lima peserta yang tinggal berentap untuk merebut hanya empat slot ke minggu final. Bermakna satu peserta perlu mengucapkan selamat tinggal kepada pentas ini selepas tiga bulan bertarung. Joras yang terselamat kerana tiada penyingkiran minggu lepas memulakan persembahan diikuti LOL, Puteh, Bocey, dan Rayza.

Setiap peserta perlu membuat dua persembahan minggu ini dengan tema 'trend terkini' dan 'pantun'. Malangnya, trend terkini tu perlu berkisar tentang penaja, Oppo. Sangatlah terhad dan memualkan. Apapun, itulah cara promosi yang terpaksa ditelan. Mujurlah para peserta ada kreativiti untuk hilangkan kebosanan.

Berikut adalah rating ringkas para peserta untuk kedua-dua persembahan.

JORAS
Trend terkini: 6/10
Pantun: 8/10

LOL 
Trend terkini: 6/10
Pantun: 4/10

Puteh
Trend terkini: 5/10
Pantun: 7/10

Bocey
Trend terkini: 6/10
Pantun: 7/10

Rayza
Trend terkini: 6/10
Pantun: 6/10

---------------------------------------

Bagi tema 'trend terkini', tak ada peserta yang benar-benar menyengat. Mungkin sebab terpaksa mempromosikan Oppo sebagai penaja membuatkan kreativiti mereka terbatas. Bagi tema 'pantun', aku paling suka persembahan peserta kegemaran aku, Joras. Padat dengan pantun sepanjang persembahan. Yang lain bagi aku merapu. Pantun sangat sikit dan langsung tak kena dengan tema.

Akhirnya, satu-satunya peserta solo yang tinggal tersingkir jua. Sukar untuk mengatakan Rayza Mukmin tidak layak tersingkir. Joras, Bocey, dan LOL mempunyai pengikut yang ramai dan persembahan mereka juga memberikan merit untuk menjadi finalis. Antara Rayza dan Puteh yang perlu tersingkir, Rayza jua terpaksa mengucapkan selamat tinggal. Tapi aku tidak akan mempersoalkan jika Puteh tersingkir kerana Rayza antara peserta kegemaran aku yang sentiasa ada idea kreatif walaupun beraksi secara berseorangan.

Keseluruhannya, kualiti peserta di minggu semi final masih tidak menggambarkan prestij Maharaja Lawak. Aku harap persembahan di minggu akhir nanti lebih padat dengan komedi supaya layak diberikan 5 Ha oleh juri dan semoga juara yang layak akan ditabalkan minggu depan. 





Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif