Welcome To My Life...

Monday, April 25, 2016

Posting Kedua

Assalamualaikum.

Alhamdulillah, segala puji-pujian hanya bagi Allah. Aku baru saja menamatkan posting pertama untuk disiplin Internal Medicine selama tujuh minggu. Hari ni aku memulakan posting kedua dalam disiplin Family Medicine, juga selama tujuh minggu. Banyak yang aku belajar dalam posting sebelum ni. 

Memang ternyata sangat berlainan apabila berada dalam fasa klinikal. Lebih banyak hands-on dan interaksi dengan pesakit berbanding hanya menelaah buku semasa era pra-klinikal a.k.a zaman jahiliah. Orang selalu kata praktikal sangat berbeza realitinya berbanding teori. Hakikatnya, turun padang memberi pengalaman yang bermakna.

Tiga buah hospital di Negeri Sembilan dijelajah selama tujuh minggu lepas. Dua minggu pertama di Hospital Port Dickson, dua minggu seterusnya di Hospital Kuala Pilah, dan tiga minggu terakhir di Hospital Tuanku Jaafar (hospital besar Seremban). Sebab utama kami dipecahkan kepada tiga kumpulan adalah kerana tidak mahu wad medikal HTJ terlalu padat dengan para pelajar. 

Perjalanan ke Hospital PD mengambil masa setengah jam, dan perjalanan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (Kuala Pilah) pula memakan masa sejam. Keluar awal pagi. Memang mengantuk tapi terpaksa gagah demi menuntut ilmu. Maka berkongsi keretalah kami semua memandangkan tiada kenderaan yang disediakan. Apa yang aku ingat tentang Port Dickson adalah kem tenteranya dan juga pantai. Kuala Pilah pulak aku ingat Istana Besar Seri Menanti dan Ulu Bendul. 

Posting baru ni rasa macam nak rajin sikitlah (sikit je) sebab dengar khabar beberapa orang rakan gagal dalam posting ni sebelum kami. FamMed memang posting yang rileks. Tak masuk wad, lebih banyak masa di klinik. Tapi kadar kegagalan lebih tinggi berbanding posting lain. Posting yang tenang jangan disangka akan berjaya.

Minggu pertama ni banyak briefing saja. Hari ni Dr Chandra bercerita tentang apa itu Family Medicine. Turut diberitahu beza family physician dan general practitioner. Ramai GP yang bukak klinik ni tidak ada kepakaran dalam mana-mana disiplin, sekadar doktor yang bertauliah. Family physician pulak memang pakar dalam Family Medicine, atau dalam erti kata lain specialized general practitioner

Minggu depan baru masuk klinik. Empat klinik yang perlu dijajah. Klinik Kesihatan Seremban (yang paling dekat dengan rumah aku), KK Seremban 2 (tak berapa dekat), KK Senawang (jauh), dan KK Ampangan (pun jauh). Nampaknya lebih banyak prosedur dan hands-on. Dapat pulak mentor yang tough. Exam EOP (end of posting) nanti akan bergabung dengan mentor aku di IMU Bukit Jalil.

Terima kasih kepada mentor Internal Medicine, Prof Ari dan Prof James yang menilai prestasi aku dalam dua short cases untuk history taking dan physical examination. Prof Ari dari Sri Lanka yang penuh dengan pengalaman. Prof James yang nampak muda dan sangat sarkastik. Terima kasih juga semua yang mendidik di wad medikal terutama Dr Mina. 

Akhir kata, semoga lulus di posting kedua. Fighting!



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif