Welcome To My Life...

Wednesday, July 31, 2013

Kaca Mata Nakal


Alhamdulillah alhamdulillah alhamdulillah. Dua hari lepas jumpa semula spek mata aku yang hilang. Lepas empat hari aku pasrah untuk kehilangan spek yang aku pakai dah empat tahun, akhirnya Allah izinkan untuk aku temui. 

Sebenarnya, aku tak pernah berhenti berharap. Aku ada beritahu si jantung hati yang aku harapkan keajaiban. Sampai hari spek aku dikesan, aku masih lagi berharap. Moralnya, jangan berhenti berharap jika kita masih percaya.

Spek tu hilang masa aku tolong penyelia yang mengandung sebulan kat tempat kerja aku. Aku kerja sambilan di Hotel EDC di bahagian Housekeeping - Public Area. Masa tu aku tengah mop ruang bawah tanah (yang masih separa tanah). Tiba-tiba kakak penyelia mintak tolong angkat karpet. Tup tup hilang. Aku terkilan sebab spek tu jatuh dari mata aku.

Kakak penyelia kata aku tak bawak. Mana mungkin! Aku tak boleh memandu kalau aku tak pakai spek. Tak nampak. Petang tu aku memandu ke tempat kerja. Aku yakin jatuh dalam bilik tu. Tapi aku dah cari banyak kali. Tak jumpa jugak. Aku kecewa, tapi masih berharap dalam hati.

Lepas beberapa hari, kakak penyelia tu yang jumpa. Nah, aku cakap dia tak nak percaya. Baru dia tahu erti penyesalan! Malangnya, aku dah buat spek baru. Melayang duit. Aihh, nak raya ni lah ditimpa ujian. InsyaAllah ada hikmah yang tersembunyi.

Hilang kaca mata bagai hilang separuh penglihatan.

Kini aku lebih berhati-hati. Takut jatuh lagi. Belajar dari kesilapan. Ya, aku belajar sesuatu dari filem 'Wrong' (2012). Kita akan hargai sesuatu lepas kehilangan. Contoh dalam filem tu, jaket. Masa kita baru beli, kita sayang sangat. Jaga sehabis baik. Lepas beberapa ketika, kita mula hilang rasa teruja. Pakai jaket tu dah tak buat kita gembira.

Tapi... bila jaket tu hilang. Kita mula cari. Kita rindu nak pakai semula. Dan kalau kita jumpa lagi jaket tu, kita akan jaga dengan baik. Seperti mana kita mula-mula beli. Contoh yang sangat baik.

Kaca mata yang nakal sebab main sembunyi-sembunyi, aku akan jaga kau supaya tak jatuh lagi.



Monday, July 29, 2013

Kata Cinta



Kata KRU, tiga kata cinta itu 'wo ai ni', 'i love you', 'aku cinta padamu'. 

Sebenarnya cinta tak memerlukan kata. Terlihat dari sinar mata. Terserlah dalam kebisuan bahasa. Hadirnya bisa menguatkan jiwa. Juga mampu menghancurkan manusia. Walau hanya dengan sepatah kata, cinta itu dapat dirasa. Apabila ia benar-benar cinta, kata-kata bukan satu-satunya cara.

Petikan post FB bekas rakan sekelas aku kongsikan di bawah.

Alhamdulillah.

Kata-kata cinta yang hakiki, semoga terbias iman di laman hatimu teman.

Satu kata cinta Bilal,
"Ahad!"


Dua kata cinta Sang Nabi.
"Selimuti aku..! "

Tiga kata cinta Ummu Sulaim,
"Islammu, itulah maharku ! "


Empat kata cinta Abu Bakar,
" Ya Rasulullah, saya percaya..! "


Lima kata cinta 'Umar,
" Ya Rasulullah, izinkanku penggal lehernya! "


Jadi,
apakah kata cintamu?
Mulakan dengan yang tiada awal dan akhirnya, Allah.

Satu kata, dua kata, atau lima kata.
Jika ia cinta, ia pasti terasa.


Friday, July 26, 2013

Trip to Perak : Part 7


Salam Nuzul Quran 1434 H. ^_^

Argghh, maknanya cerita ni dah terperam lebih sebulan. Aku kerja sekarang ni. Balik je penat. Tak ada mood nak bercerita. 

Okey, bersambung kisah perjalanan hari terakhir di bumi Perak. Selepas singgah seketika di Muzium Diraja Perak, kami meneruskan perjalanan ke Galeri Sultan Azlan Shah. Singgah pula untuk bergambar di Istana Iskandariah. Ya, di luar saja. Pok cik guard (ekceli muda lagi) dengan poyonya tak bagi masuk. Kami bukan pengganas pun.


Bergaya sungguh Ipan, ketua program Cuti-Cuti 12M5.




Zul buat-buat malu nak tangkap gambar. Berlakon je tu! 


Okey, Zul sudah menunjukkan "gaya, mutu, keunggulan".





Ada orang kata, Ipan dalam gambar ni macam baru keluar mahkamah. Kes liwat. Yang pasti, aku tak terlibat.


Muslimah 12M5 tiba di Istana Iskandariah. 



It's a 12M5-only session.


Okey, panjang sangat dah entri ni. Penuh dengan gambar je. Macam sesi bergambar di luar Istana Iskandariah. Nak habis dah kisah Trip to Perak. Bahagian akhir bakal menyusul dalam masa yang singkat. 

Destinasi seterusnya : Galeri Sultan Azlan Shah.


720




Kira dalam diam
hari tambah tujuh
12 tengah malam
genap dua puluh

Jarum jam berpusing
bukan makin muda
kau kan kusunting
bila tiba masa

Tiada kupinta
rasa sebegini
lahir dalam jiwa
anugerah Ilahi

Hati bahagia 
jika kau ingat
kerna rasa cinta
hingga ke akhirat.



Wednesday, July 24, 2013

Wednesday, July 17, 2013

WW #52 : Good Relationship


Many people dream, but they don't work.


Enough said.


Tuesday, July 16, 2013

Trip to Perak : Part 6


Dalam bahagian lepas, aku ada sebut pasal satu peristiwa yang berlaku pada waktu tengah malam hari kedua kami di bumi Perak Darul Ridzuan. Isnin, 24 Jun 2013, di rumah nenek Adib. Biarlah kisah itu menjadi rahsia. Terlalu sulit untuk didedahkan. Semua angkara salah faham dan bahana kepenatan.

Pagi Selasa, 25 Jun 2013. Kami bersiap-siap untuk hari terakhir di Perak. Kami akan pulang pada waktu tengah hari. Pagi tu aunty sediakan mihun goreng. Memang terbaik dari ladang. Semalam nasi lemak. Hari ni mihun pulak. Lepas ni kalau ke Perak, singgah sana lagi. Haha.

Selepas sarapan, kami menikmati keindahan Masjid Ubudiah pada waktu pagi dan sesi bergambar pun bermula....


Rumah Allah yang begitu indah binaannya....


Adib, aku, Zul, dan.... 98% Ipan. ^_^


Bendahari dan ketua program. Ipan tak tau kenapa smart sangat hari terakhir tu. Oh, dan kelihatan Azri Aisha posing baik punyerrr di sebelah kiri gambar. :p

Kelihatan juga di belakang gambar, Zul sedang tekun memerhatikan semut merah bergusti. Syahid (berbaju hijau) sedang bersembang dengan Pak Cik Taktauapanamadia (baju putih belakang Ipan). Orang kampung dia tu. Temerloh, Pahang. Dan Adib.... menyertai diskusi. :p


Semua tekun mendengar taklimat ketua program tentang perjalanan hari terakhir di Perak. 


Liyana sangat tekun mendengar taklimat Ipan. :p


Muslimah 12M5 telah sampai di Masjid Ubudiah. Dari kiri: Fani, Temah, Yana, Ada, Meera, Kak Nas. :)



Bergambar kenangan di Masjid Ubudiah. InsyaAllah, panjang umur sampai lagi.

Selepas tu, destinasi seterusnya adalah Galeri Sultan Azlan Shah. Tapi kami pusing-pusing Kuala Kangsar dulu. Singgah sebentar di Muzium Diraja Perak.


Wahh, muslimah 12M5 dah sampai Muzium Diraja. Destinasi seterusnya: Istana Iskandariah.



<BERSAMBUNG>


Saturday, July 13, 2013

Tujuh x 99


Tujuh kali sembilan puluh sembilan. Enam-sembilan-tiga.

Semalam layan cerita Melayu. Dulu dah tengok filem Tujuh Petala Cinta. Jadi semalam aku sambung tengok sekuelnya, 99 Kali Rindu. Jangan tanya kenapa aku baru tengok filem yang dah lapuk dek hujan, lekang dek panas. Biasalah.... pelajar A-Level kan. Dulu belajar siang malam. ^_^

Boleh tahan lar 99 Kali Rindu. Tak ada lagi perempuan pakai niqab nak tak nak. Bagus je heroin paling utama (Qalbie) tutup aurat. Heroin kedua (Zazlena) tu standard anak orang kaya lar. Alhamdulillah, diizinkan Allah untuk mencatat nota-nota pengajaran dari skrip yang sangat mantap dan berbunga-bunga.

Mula-mula aku dah nekad tak nak tengok Tujuh Petala Cinta semula. Tapi ending 99 Kali Rindu membuatkan aku meronta-ronta nak tahu apa cerita Tujuh Petala Cinta. Sebenarnya aku dah lupa jalan cerita tu. Terpaksa lar layan balik. Seronok lar pulak tengok 'ustaz' dan 'ustazah' bercinta. 

Tapi jadi sedih tengok semula pengorbanan Hamka dalam Tujuh Petala Cinta untuk mengizinkan bekas tunangnya, Saidatul Nafisah berkahwin dengan Attar. Katanya, jodoh itu takdir Allah. Sedih saat dia bagi hadiah perkahwinan untuk Attar dan Saida. Sepatutnya itu hadiah perkahwinan dia dan Saida. 

Kisah cinta Attar bersambung dalam 99 Kali Rindu yang bergerak sangat perlahan. Skrip dibaca sepatah demi sepatah. Banyak jugak skrip menarik yang aku kira dapat diambil pengajaran. Kebanyakan pasal berdoa. Kita memohon kepada Allah, Tuhan pemilik segala cinta. Dialah yang melahirkan peraaan cinta mengikut kehendak-Nya. Dialah yang menitipkan kasih sayang dalam jiwa makhluk ciptaan-Nya. Allahuakbar.

"Bicaralah dari hati, ia akan jatuh ke hati." Jika kita berbicara dengan ikhlas, insyaAllah tutur kata itu akan menyentuh hati orang yang mendengar. Dari hati ke hati. "Berdoalah kepada Allah. Tiada yang mampu menolak takdir kecuali dengan berdoa." Kita bisa mengubah takdir yang telah tertulis di Luh Mahfuz dengan berdoa kepada Allah. Dialah yang Maha Berkuasa lagi Maha Perkasa. Ingatlah bahawa "permintaan iblis yang ingkar pun Allah makbulkan." Apa lagi kita hamba-Nya yang lemah yang hanya bergantung harap kepada Dia.

Satu lagi nota penting, "Allah memakbulkan doa hamba-Nya yang bersungguh-sungguh dalam berdoa". Allah tahu kita ikhlas atau tidak, bersungguh-sungguh atau main-main. Berdoalah dengan seikhlas hati. Jika kita tidak yakin Allah akan memakbulkan doa kita, siapa lagi akan percaya? Aku juga tertarik dengan dialog Pak Subita, "Kalau ada kemampuan, jangan hampakan harapan orang. Nanti Allah sekat apa yang kita inginkan." Benar, sangat benar.

Akhir sekali, "tak semua yang kita mahukan akan dapat kita miliki." Ayat ni ada kaitan dengan ending filem 99 Kali Rindu. Penutup yang aku kira tak adil bagi Attar, Qalbie dan Zazlena. Mungkin hanya adil bagi Saida. Huh, aku harap penutup cerita yang lebih baik. Ah, this life is not a fairytale. A reminder to myself.

Berdoalah, moga Allah memakbulkan permintaan kita.



Maafkan Aku : Bab 2


"MAAFKAN AKU"
Karya : M. Fizan

BAB 2

"Zati, nanti kalau ada apa-apa hal, kau tahu mana nak cari aku." 

"Orait bos, roger."

Senyuman diukir dan ibu jari kanan diangkat menandakan dia mengerti kata-kata rakannya. Rakan itu terus berlalu dari muka pintu belakang meninggalkan dia sendirian di dalam kelas. Semua rakan sekelas lain telah pulang. Dia masih belum mahu meninggalkan bilik itu. Ada tugasan yang perlu diselesaikan. Jika dia pulang ke rumah, sudah pasti dia akan terlena di katil.

Dia suka untuk pulang lewat selepas kelas berakhir. Biasanya dia akan ditemani rakan baiknya, Zakiyah Natasha. Namun dia tiada masalah untuk bersendirian. Dalam sunyi, dia belajar menghargai erti bunyi. Dalam kesunyian, dia belajar untuk berdikari. Menerima hakikat semua yang hadir akan berlalu pergi. Hanya Allah yang kekal abadi.

Serabut melihat lembaran kertas di atas meja. Dia menyusun semula supaya lebih teratur. Agar tak terlalu menyesakkan minda. Nanti lebih stres jadinya. Telefon bimbit diangkat dan diletakkan di sebelah kirinya. Mata menatap skrin untuk melihat jika ada sebarang cubaan berhubung oleh sesiapa. Ada tanda SMS diterima. Dahinya berkerut.

Jejaka itu lagi. Dia tidak tahu apakah dia perlu berasa gembira. Atau rimas seperti yang lazim dirasainya. Jika dulu, dia akan tersenyum membaca nama jejaka itu sebagai pengirim SMS. Kini tidak lagi. Tawar bersama kehadiran. Pudar bersama keterbiasaan. Jejaka itu selalu hadir. Tidak memberi ruang untuk dia merasakan rindu. Tidak memberikan jarak untuk dia merasakan erti kehilangan. SMS dibaca jua.

"Mesti dah balik kan? Rehat baik-baik."

Telefon bimbit diletakkan semula. Tangan kiri masih memegang telefon bimbit. Hatinya berbelah bahagi. Mahu dibalas atau tidak SMS itu? Hati berkata balas, minda berkata jangan. Dia jadi keliru. 'Awak, kenapa tak bagi peluang saya rindu?' hatinya berbicara. Mengharapkan sebarang komunikasi secara telepati dari hatinya terus ke hati jejaka itu.

Dia mengambil keputusan untuk membiarkan. Jika jejaka itu tidak tahu mencipta jarak, biar dia yang mengadakan jarak antara mereka. Bukan dia tak ada perasaan sayang terhadap lelaki itu. Biarlah dia menyimpan perasaan kasih dan cinta untuk yang berhak. Cukuplah kesakitan yang dia pernah alami kerana lelaki yang belum halal baginya. Sudah cukup sudah.

Sudah tiga tahun dia mengenali lelaki itu. Lelaki yang menyelamatkannya daripada hanyut dibuai kesedihan kerana ditinggalkan. Ya, dulu dia bahagia bersama lelaki itu. Namun perasaannya disakiti berkali-kali hingga rasa kasih itu kian pudar bersama masa. Dia sendiri tidak pasti salah siapa. Salah lelaki itu yang tidak menjaga hatinya atau salah dia sendiri yang tidak menghargai kehadiran lelaki itu?

"Boleh saya duduk sini?"

Perhatiannya ditarik daripada terus menatap buku. Seorang remaja lelaki berada di hadapannya. Kemas dengan pakaian uniform pengawas pusat sumber. Dia pula hanya pelajar biasa. Pernah juga ditawarkan untuk menjadi pengawas perpustakaan tetapi ditolaknya kerana tidak mahu ada komitmen. Dia senang dengan kebebasan seorang pelajar biasa.

"Duduk lah kalau awak tak ada kerja." Dingin dia membalas.

"Nor Izzati Safiya."

"Mana awak tahu nama saya?" Dia mula rasa kurang senang. Lelaki itu tersenyum.

"Nama saya Hafiz Andika." 

"Saya tak tanya pun."

Dia pun tak tahu kenapa remaja itu mengganggunya. Dia selalu melihat lelaki itu kerana dia selalu ke bilik rujukan di perpustakaan sekolah. Mereka tak pernah bertegur sapa. Entah mimpi ngeri apa yang dilalui Hafiz malam tadi, tiba-tiba datang menegurnya. Hafiz duduk di hadapannya. Dia mula rasa tak selesa. Tersengih-sengih. Mesti ada udang di sebalik batu ni.

Lama dia membiarkan Hafiz tersenyum di hadapannya. Malas nak dilayan. Selepas beberapa minit, dia mula rasa rimas. 'Dah kenapa mamat ni?' hatinya tertanya-tanya. Perhatiannya cuba ditumpukan untuk menelaah buku rujukan Kimia yang dipegangnya tapi dia tahu matanya melihat menembusi buku itu. Dia memerhati gelagat Hafiz. Dia harap Hafiz akan meninggalkannya tetapi hampa.

"Terima kasih atas segalanya...." 

Telefon bimbit di sebelahnya berdering. Satu panggilan masuk. Lagu Terima Kasih dendangan I Am Neeta yang menjadi nada dering mengejutkannya dari lamunan. Tersedar dari imbauan kenangan mengenali jejaka yang menghantar SMS kepadanya tadi. Punat ditekan untuk menjawab panggilan. Rakan serumah mengajaknya makan tengah hari bersama-sama. Alat tulis dan kertas-kertas yang bertimbun di hadapannya dikemas. Semua suis dimatikan sebelum dia beredar meninggalkan kelas W123.



Friday, July 12, 2013

Sempurna


Alhamdulillah.... segala puji hanya bagi Allah. Hari ni sempurna. Bukan tajuk lagu Andra & The Backbone. Hari ni ahli keluarga aku lengkap untuk berbuka puasa bersama-sama. Semua ada. Untuk dua Ramadhan yang lepas, aku berpuasa di Shah Alam sepanjang pengajian A-Level.

Tahun ni pulak, adik aku yang baru habis SPM dah mulakan pengajian diploma di UniMAP. Hujung minggu ni dia balik untuk berpuasa bersama famili. Alhamdulillah. Kakak aku pun dah habis diploma. Maka lengkap kembali ahli keluarga kami. Nikmat kurniaan Ilahi. 

Memang tak terungkapkan rasa syukur untuk berbuka puasa bersama mereka. Aku yang jemput adik aku pulang tadi. Salam 3 Ramadhan. ^_^ 

Untuk dua hari lepas, aku sudah rasa cukup bahagia untuk menikmati juadah berbuka puasa di samping keluarga tercinta. Hari ini lebih berbunga-bunga rasanya. Tak sabar nak makan masakan umi dan ayah. Alhamdulillah, famili aku masih lagi berbuka puasa semeja dan berkongsi makanan. Perkongsian itu nikmat. 

Adik bongsu aku, Atip, pun tunggu masuk waktu untuk berbuka bersama-sama. Dia tak nak makan sebelum kami makan. Bagus betul Atip. Walaupun usianya tujuh tahun, dia masih tak dipaksa untuk berpuasa. Aku masih ingat pesan murabbi. Kanak-kanak jangan dipaksa untuk berpuasa. Paksalah dia untuk mula bersolat. 

Kalau puasa, tapi tak solat, apa guna puasa? Solat itu tiang agama. Apabila kanak-kanak bersolat dengan rela, baru hadir kekuatan rohaninya. Baru boleh diajar berpuasa. Paksa solat tak mengapa. Dari keterpaksaan akan hadir kelaziman. InsyaAllah, kerelaan akan mekar sendiri.

Alhamdulillah, hari ini SEMPURNA. Selamat berbuka puasa. Jangan lupa solat terawih.



Trip to Perak : Part 5


Selepas berehat sepetang di Masjid Lama Taiping dan menunaikan solat Maghrib di sana, destinasi kami seterusnya adalah Zoo Taiping. Bebudak tu nak masuk Night Safari. Itu memang rancangan paling utama yang menguatkan Perak menjadi lokasi percutian kami. Pada mulanya, nak makan mi udang di Kuala Sepetang. Dek kerana kelewatan ke Bukit Larut, rancangan terpaksa ditukar.

Tiket masuk Night Safari adalah RM16 untuk seorang. Masa tu aku dah gusar. Aku ada masalah dek kerana keborosan terlampau. Nasib baik Allah kirimkan Zul untuk tenangkan aku. Dia kata "enjoy dulu, hal lain kita fikir kemudian". Alhamdulillah, dikurniakan seorang sahabat seperti beliau. Akhi yang aku hormati kerana Allah.

Duit RM50 seorang yang kami kumpul untuk kos minyak dah semakin susut. Maka ketua program, Ipan, memutuskan untuk kutip lagi RM20 seorang. RM16 untuk bayar tiketnya dan bakinya dimasukkan dalam tabung terkumpul. Tabung lah sangat. Aku yang pegang duit sebagai bendahari tak rasmi. Pening jugak aku nak kira duit keluar masuk sebab adanya Farid Ibrahim yang terlibat hari tu. Eh, Farid tak buat masalah pun. ^_^

Aku pun tak tahu apa menariknya Night Safari sampai kena bayar RM16. Banyak tuuuu. Lebih kurang masuk Zoo Taiping pada waktu siang. Tapi bezanya Night Safari ni dah gelap. Haha. TAK ADA BEZA. Aku pun nak tak nak je tengok haiwan-haiwan tu. Masuk pun sebab mereka nak masuk. Tak kan aku nak duduk luar sorang-sorang? Asalnya memang niat macam tu. Tapi.... masuk jugak lar.

Binatang apa ada? Standard zoo lar. Macam-macam ada.... Perut aku dah kelaparan. Aku dah fikir makan masa tu. Lebih kurang jam 9 malam. Lama jugak kami berkeliaran dalam tu. Mula-mula kami jalan kaki. Lepas tu, kami naik trem yang disediakan. Maka dapat lar penerangan tentang nama haiwan yang dah sedia ada tertulis di papan, dan nama panggilan beberapa ekor haiwan.

Pelik-pelik nama yang diberi. Ada Melur, ada Mawar, dan lain-lain. Haha. Tak ingat. Ada beberapa jenis binatang yang aku tak pernah tengok. Boleh tahan lar rasa teruja. Tapi adrenalin tak mengalir. Ada satu fakta je yang aku masih ingat hari ni. Ada satu binatang namanya empat. Apakah ia? Tapir a.k.a cipan a.k.a tenuk a.k.a BADAK TAMPUNG. Okey, tu fakta paling best. Sebab tu aku ingat. ^_^

Lepas tu.... kami keluarlah. Nak pergi makan pulak. Buat apa lama-lama dalam zoo. Kawan Kak Nas semua. Haha. Gurau je, Kak Nas. Sebelum tu..... tangkap gambar dulu....





Apa paling best kat dalam zoo? Bagi makan ikan. Haha. Tak ada apa yang menarik pun. Malam tu kami nak makan mi udang. Cari punya cari tak jumpa-jumpa. Jauh memandu tak ada satu pun. Semua dah habis. Jam 10.30 malam. Akhirnya, kami singgah di satu restoran yang masih bukak.

Malam tu satu peristiwa berlaku. Jeng jeng jeng.



<BERSAMBUNG>


Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif