Welcome To My Life...

Tuesday, January 24, 2017

Bangkit Lagi

Assalamualaikum.

Saat rebah terduduk kerna diuji lagi dengan dugaan yang tiada henti. Aku teringat sajak 'If' karya agung Rudyard Kipling. 

"If you can watch the things you gave your life to, broken,
and stood and build 'em up with worn-out tools.

If you can make one heap of all your winnings, 
and risk it on one turn of pitch-and-toss,
And lose, and start again at the beginnings,
and never breathe a word about your loss."

Walau runtuh, binalah sekali lagi.

Berkali-kali jatuh, bangkitlah dan terus berlari.


Saturday, January 21, 2017

Haraki

Assalamualaikum.

Haraki ya, bukan harakiri. *lol*

Tokoh gerakan Islam yang sangat terkenal, Imam Hassan al-Banna pernah disoal tentang kenapa beliau tidak menulis buku-buku untuk dibaca dan semangatnya meresap semasa zaman beliau? Jawapannya mudah, beliau melihat buku-buku tidak kekurangan di perpustakaan-perpustakaan, sudah lebih dari cukup. Sikap malas mencari ilmu yang menjadi masalah para belia. Fokus beliau lebih kepada melahirkan rijal yang akan menjadi pejuang mengembalikan kegemilangan Islam.

-----------------------

Masih ingat kejatuhan Presiden Morsi di Mesir?

Beliau dilantik dari sistem demokrasi yang sah. Namun ditumbangkan pemimpin tentera yang khianat. Di manakah silap Presiden dari jemaah Ikhwanul Muslimin ini yang soleh dan begitu inginkan kebangkitan Islam di rantau sana? Apakah kesilapan Morsi yang tak termaafkan? Beliau telah melantik al-Sisi sebagai ketua angkatan bersenjata, orang kanan yang bakal mengkhianatinya dalam sejarah geopolitik. 

Ada satu kata-kata agung dalam sejarah: "Jika kamu mendengar gunung akan berubah tempat, percayalah. Namun jika kamu dengar orang jahat akan berubah akhlaknya, janganlah kamu percaya.'

Morsi menganggap al-Sisi sebagai seorang yang akan berubah dan menyokong revolusi Islam di Mesir. Namun sikap bersangka baik Morsi ini memakan diri dan meruntuhkan revolusi itu kemudiannya. Morsi yang kurang pengalaman dalam gerakan Islam gagal membaca 'sifir' musuhnya dan terperangkap dalam jerat licik yang sangat halus.

Akibatnya, usaha Ikhwanul Muslimin selama berpuluh tahun lamanya hancur musnah dalam sekelip mata. Barisan kepimpinan Ikhwan dan para penyokong ditangkap lalu dibunuh. Morsi sendiri ditangkap. Sesungguhnya, kesilapan itu datang dari kurangnya pengetahuan beliau mengenai harakah Islam untuk memahami strategi kotor musuh politik. 

------------------------------

Musuh-musuh Islam tidak pernah berhenti berfikir siang dan malam cara untuk menjatuhkan 'ruh' umat Islam. Akhirnya, mereka berjaya kerana memecahbelahkan perpaduan khilafah Islam. Mereka memecahkan sistem khilafah kepada negara-negara kecil yang mudah dikawal dengan dasar 'pecah dan perintah'. Mereka membiarkan umat Islam leka berbalah tentang perkara cabang dan lupa akan persoalan pokok yang paling utama: bahawa dunia ini sedang diatur menuju kehadiran The Happy Millenium.

Maka kunci utama untuk kebangkitan Islam itu sendiri adalah KESATUAN. Jika pemikiran berjaya disatukan, barulah matlamat kita berjaya dipusatkan untuk mengembalikan semula sistem khilafah untuk memakmurkan bumi ini sebagaimana tugas manusia dalam firman Allah dalam kitab mukjizat agung al-Quran.



Wednesday, January 18, 2017

Pasti Berubah

Assalamualaikum.

*Nota: keputusan perlawanan dikemas kini selepas setiap perlawanan.

21 perlawanan Liga Perdana Inggeris musim 2016/2017 telah berlalu. Masih lagi 17 perlawanan berbaki. Hanya separuh perjalanan ditempuhi. Perjalanan masih panjang. Masih ada 51 mata maksimum untuk dikutip. Chelsea selesa di persada, tujuh mata di depan Tottenham Hotspurs dan Liverpool. Arsenal, Manchester City, dan Manchester United pula tidak jauh di belakang Spurs dan Liverpool. 

Selain Chelsea yang bertakhta, lima kelab masih berpeluang untuk menamatkan musim ini dalam posisi 'top four' untuk layak ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan. Hanya lima mata memisahkan Spurs di tangga kedua dan Manchester United di tangga keenam. Perbezaan yang sangat tipis. Selepas seri dengan Liverpool minggu lalu, siri perlawanan United selepas ini lebih mudah.

Berikut adalah senarai lima perlawanan seterusnya untuk Top Six ketika ini:

1) Chelsea (52 mata) -- vs Hull, Liverpool, Arsenal, Burnley, Swansea
Hull, Burnley, dan Swansea sepatutnya tidak menjadi masalah bagi pendahulu liga untuk mengutip mata penuh. Tetapi dua perlawanan penting berturut-turut menanti di hujung bulan nanti, menentang Liverpool di Anfield dan kemudian menyambut Arsenal di Stamford Bridge. Dua perlawanan ini akan menentukan sama ada Chelsea mampu bergelar juara liga atau tidak.

2) Tottenham (45 mata) -- vs Manchester City, Sunderland, Middlesbrough, Liverpool, Stoke
Walaupun Manchester City berada dalam kedudukan Top Five, tetapi peristiwa dibelasah Everton minggu lalu membuatkan Spurs yang sangat garang ketika ini mungkin terlalu kuat. Perlawanan penting menentang Liverpool yang kini berkongsi mata menanti pada 11 Februari. Perlawanan lain bukan masalah bagi Spurs.

3) Liverpool (45 mata) (+0) -- vs Swansea (2-3), Chelsea, Hull, Tottenham, Leicester
Dua perlawanan besar yang akan menentukan nasib Liverpool musim ini bertemu Chelsea dan Tottenham, dua pasukan di atas mereka ketika ini. Swansea, Hull dan Leicester tidak akan dapat mengejutkan Liverpool melainkan mungkin dapat mencuri satu mata.

4) Arsenal (44 mata) -- vs Burnley, Watford, Chelsea, Hull, Southampton
Perlawanan menentang Chelsea pada 4 Februari nanti adalah satu-satunya perlawanan yang perlu merisaukan Arsenal kerana lawan yang lain boleh dikatakan mudah untuk mereka.

5) Manchester City (42 mata) -- vs Tottenham, West Ham, Swansea, Bournemouth, Manchester United
Tiga perlawanan yang sukar bagi City. Spurs yang sedang di kemuncak prestasi, West Ham yang kental, dan Manchester United yang semakin meningkat. Jika gagal menewaskan Swansea dan Bournemouth, peluang City semakin tipis.

6) Manchester United (40 mata) (+1) -- vs Stoke (1-1), Hull, Leicester, Watford, Manchester City 
Pasukan di tangga keenam dengan siri perlawanan yang paling mudah. Hanya Manchester City yang boleh menggugat United tetapi jika gaya serangan United ketika ini dapat dikekalkan, sorakan 'Manchester is red' akan bergema di seluruh bandar Manchester bermula bulan Mac.
---------------------------------------------

Chelsea yang tumbang di tangan Tottenham akan diuji lagi menentang Liverpool dan Arsenal. Tottenham yang sedang mengganas pula akan cuba meratah Manchester City seterusnya. City masih lagi terasa luka dibaham Everton 4-0 di tempat lawan. Liverpool yang bernasib baik mencuri mata dari Old Trafford perlu berdepan Chelsea dan seterusnya Spurs.

Perlawanan lebih mudah untuk Arsenal dan Manchester United. Skuad United bimbingan Jose Mourinho berjaya meneruskan kecemerlangan 16 perlawanan tanpa sebarang kekalahan dengan Fenerbahce (Turki) menjadi pasukan terakhir menewaskan United dalam perlawanan Liga Europa. Liverpool sangat bernasib baik berjaya mengekang United dari mencatat kemenangan kesepuluh berturut-turut walaupun United memiliki deretan peluang terhidang yang gagal disambar.

Hanya skuad City yang semakin lemah menanti di akhir bulan Februari. Selain itu, pasukan United yang semakin serasi dan mantap akan mudah meneruskan rekod tanpa kalah mereka. Jika semua berlaku seperti yang dijangka, awal bulan Mac nanti, Manchester United akan berada dalam Top Three dan mencabar kejuaraan liga. Sama-sama kita nantikan.

Glory glory Manchester United.


Monday, January 16, 2017

Enam Belas Tanpa Kalah

Assalamualaikum.

Jam 2 pagi, 16 Januari 2017. Manchester United 1-1 Liverpool. Keputusan yang menamatkan rentetan sembilan kemenangan berturut-turut. Beraksi di kubu sendiri, Manchester United bangkit dari ketinggalan untuk mengutip satu mata berharga dan sekurang-kurangnya memastikan perebutan slot Liga Juara-Juara Eropah masih terbuka. 



Sejak tewas 2-1 kepada kelab Turki, Fenerbahce, pada 3 November lalu dalam perlawanan Liga Europa, United telah merekodkan satu siri 16 perlawanan tanpa sebarang kekalahan. Jurang dengan kelompok pendahulu liga domestik juga berjaya dikurangkan. Manchester United di tangga keenam (selepas perlawanan malam tadi) hanya dipisahkan lima mata dari Tottenham Hotspurs di tangga kedua. Chelsea masih selesa, tujuh mata mendahului Spurs dan kelompok mengejar yang lain.


Perlawanan malam tadi sedikit mengecewakan para peminat Manchester United kerana gagal menewaskan musuh tradisi ber'mulut puaka', Liverpool, di gelanggang sendiri. Pemain termahal dunia, Paul Pogba yang beraksi cemerlang dalam beberapa perlawanan terkini bernasib malang apabila menjadi punca Liverpool menjaringkan gol. Selepas gagal menyempurnakan lorongan Henrikh Mkhitaryan sebelum itu, bola sepakan penjuru Liverpool terkena tangan Pogba untuk menghadiahkan sepakan penalti yang disempurnakan James Milner.

Namun beberapa nota positif dapat dilihat dari perlawanan tersebut. Gaya menyerang United yang semakin sinonim akhir-akhir ini tidak pudar dan sebenarnya United memiliki deretan peluang untuk mencatat kemenangan mudah mengatasi Liverpool. Malang sekali, dalam perlawanan besar seperti ini, para pemain United gagal mengambil peluang terhidang.


Semangat pantang menyerah yang ada dalam DNA kelab ini semasa era Alex Ferguson kembali semula. Walaupun ketinggalan satu gol dan Liverpool pula bertahan habis-habisan, United tetap mengasak benteng Liverpool dan akhirnya mendapat gol yang sangat berhak dijaringkan. Keampuhan benteng Liverpool menyerap serangan United akhirnya runtuh apabila Zlatan Ibrahimovic meneruskan prestasi gemilangnya dengan menanduk hantaran silang Antonio Valencia.

Pergerakan yang membina gol itu menarik perhatian kerana strategi pemain gantian Jose Mourinho berkesan. Mou memasukkan Wayne Rooney, dan kemudiannya Marouane Fellaini (yang sangat dibenci kebanyakan peminat United). Rooney yang mencipta gol tersebut dengan hantaran silang yang ditanduk Fellaini terkena tiang gol. Valencia melintangkan bola dan Ibrahimovic menyudahkannya dengan kemas. Ibra kuda tua berusia 35 tahun yang masih berbisa.

----------------------------

Dan nota paling positif dari keputusan semalam sudah pastilah rekod tanpa kalah 16 perlawanan yang masih berterusan. Manchester United kini berada di posisi keenam liga (lima mata dari tempat kedua), dalam pusingan keempat Piala FA, masih bersaing dalam pusingan kedua Liga Europa, dan mendahului agregat 2-0 dalam pusingan separuh akhir Piala Liga. 

Perjalanan perlawanan selepas ini sangat mudah. Hanya Manchester City menanti di akhir bulan Februari. Mengambil kira keputusan semalam City dibelasah 4-0 oleh Everton, perlawanan City seterusnya menentang Spurs dilihat akan dimenangi oleh Tottenham. Bermakna United (jika berjaya menewaskan Stoke City) akan mengambil alih posisi Manchester City selepas perlawanan hujung minggu ini. 

Glory glory Manchester United.



Thursday, January 12, 2017

Menang Lagi

Assalamualaikum.

Glory glory Manchester United!

 It has been a long time since Manchester United playing a brilliant attacking football. It has been ages since Manchester United score goals in every match. This fearsome Red Devils is enjoying good spell again under the guidance of manager Jose Mourinho since Sir Alex Ferguson departed.

Permulaan yang perlahan membuatkan ramai peminat tegar Manchester United mahukan Mourinho mencari jalan untuk memulihkan keyakinan atau dia juga perlu keluar seperti mana David Moyes dan Louis Van Gaal pasca era Alex Ferguson. Beberapa keputusan seri 1-1 ketika sudah mendahului tidak dapat diterima oleh para penyokong United kerana Chelsea tidak keciciran mata membuatkan kedudukan United dari pendahulu semakin terjarak.  

Bermula dengan kemenangan 2-0 menentang Zorya Luhansk dalam Liga Europa, kemudiannya menang enam perlawanan liga berturut-turut: menewaskan Tottenham Hotspurs 1-0, Crystal Palace 2-1, West Brom 2-0, Sunderland 3-1, Middlesbrough 2-1, dan West Ham 2-0. Kemenangan kesembilan berturut-turut dicatat mengatasi Reading 4-0 dalam perlawanan Piala FA dan seterusnya menumbangkan Hull 2-0 dalam semi-final Piala Liga. Keseluruhannya, 20 gol dijaringkan dan hanya 3 gol membolosi gawang. Statistik ini bermakna jentera serangan dan pertahanan United semakin ampuh. 

Perlawanan seterusnya menentang Liverpool di kubu Old Trafford. Misi mencatat kemenangan kesepuluh berturut-turut. Perlawanan terakhir kedua-dua pasukan: Manchester United menundukkan Hull 2-0 ketika Liverpool tumbang 1-0 kepada Southampton, dalam perlawanan separuh akhir Piala Liga.

United kini hanya ketinggalan lima mata di belakang Liverpool di tangga kedua. Kemenangan di gelanggang sendiri akan mengurangkan lagi defisit dan terus memberi tekanan kepada Liverpool. Kemenangan ini juga sangat penting untuk moral penyokong kerana Liverpool adalah musuh tradisi zaman-berzaman dan kemenangan bermakna hak mengutuk diberikan kepada peminat Manchester United.

Teruskan perjuangan Syaitan Merah. Glory glory. Semoga kemenangan memihak United jam 12 malam hari Isnin waktu Malaysia.



Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif