Welcome To My Life...

Monday, January 16, 2017

Enam Belas Tanpa Kalah

Assalamualaikum.

Jam 2 pagi, 16 Januari 2017. Manchester United 1-1 Liverpool. Keputusan yang menamatkan rentetan sembilan kemenangan berturut-turut. Beraksi di kubu sendiri, Manchester United bangkit dari ketinggalan untuk mengutip satu mata berharga dan sekurang-kurangnya memastikan perebutan slot Liga Juara-Juara Eropah masih terbuka. 



Sejak tewas 2-1 kepada kelab Turki, Fenerbahce, pada 3 November lalu dalam perlawanan Liga Europa, United telah merekodkan satu siri 16 perlawanan tanpa sebarang kekalahan. Jurang dengan kelompok pendahulu liga domestik juga berjaya dikurangkan. Manchester United di tangga keenam (selepas perlawanan malam tadi) hanya dipisahkan lima mata dari Tottenham Hotspurs di tangga kedua. Chelsea masih selesa, tujuh mata mendahului Spurs dan kelompok mengejar yang lain.


Perlawanan malam tadi sedikit mengecewakan para peminat Manchester United kerana gagal menewaskan musuh tradisi ber'mulut puaka', Liverpool, di gelanggang sendiri. Pemain termahal dunia, Paul Pogba yang beraksi cemerlang dalam beberapa perlawanan terkini bernasib malang apabila menjadi punca Liverpool menjaringkan gol. Selepas gagal menyempurnakan lorongan Henrikh Mkhitaryan sebelum itu, bola sepakan penjuru Liverpool terkena tangan Pogba untuk menghadiahkan sepakan penalti yang disempurnakan James Milner.

Namun beberapa nota positif dapat dilihat dari perlawanan tersebut. Gaya menyerang United yang semakin sinonim akhir-akhir ini tidak pudar dan sebenarnya United memiliki deretan peluang untuk mencatat kemenangan mudah mengatasi Liverpool. Malang sekali, dalam perlawanan besar seperti ini, para pemain United gagal mengambil peluang terhidang.


Semangat pantang menyerah yang ada dalam DNA kelab ini semasa era Alex Ferguson kembali semula. Walaupun ketinggalan satu gol dan Liverpool pula bertahan habis-habisan, United tetap mengasak benteng Liverpool dan akhirnya mendapat gol yang sangat berhak dijaringkan. Keampuhan benteng Liverpool menyerap serangan United akhirnya runtuh apabila Zlatan Ibrahimovic meneruskan prestasi gemilangnya dengan menanduk hantaran silang Antonio Valencia.

Pergerakan yang membina gol itu menarik perhatian kerana strategi pemain gantian Jose Mourinho berkesan. Mou memasukkan Wayne Rooney, dan kemudiannya Marouane Fellaini (yang sangat dibenci kebanyakan peminat United). Rooney yang mencipta gol tersebut dengan hantaran silang yang ditanduk Fellaini terkena tiang gol. Valencia melintangkan bola dan Ibrahimovic menyudahkannya dengan kemas. Ibra kuda tua berusia 35 tahun yang masih berbisa.

----------------------------

Dan nota paling positif dari keputusan semalam sudah pastilah rekod tanpa kalah 16 perlawanan yang masih berterusan. Manchester United kini berada di posisi keenam liga (lima mata dari tempat kedua), dalam pusingan keempat Piala FA, masih bersaing dalam pusingan kedua Liga Europa, dan mendahului agregat 2-0 dalam pusingan separuh akhir Piala Liga. 

Perjalanan perlawanan selepas ini sangat mudah. Hanya Manchester City menanti di akhir bulan Februari. Mengambil kira keputusan semalam City dibelasah 4-0 oleh Everton, perlawanan City seterusnya menentang Spurs dilihat akan dimenangi oleh Tottenham. Bermakna United (jika berjaya menewaskan Stoke City) akan mengambil alih posisi Manchester City selepas perlawanan hujung minggu ini. 

Glory glory Manchester United.



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif