Welcome To My Life...

Thursday, April 29, 2021

Sebelah Kaki Di Final

Assalamualaikum.

Tamat perlawanan pertama untuk peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah musim 2020/2021. Maka boleh dikatakan, sebelah kaki sudah berada di final. 

Untuk rekod, keempat-empat pasukan berjaya menjaringkan gol. Bukan separuh akhir yang berat sebelah.

----------------

REAL MADRID 1-1 CHELSEA

Tuan rumah terlebih dahulu ketinggalan apabila Christian Pulisic tenang menggelecek penjaga gol Thibaut Courtois sebelum melepaskan ledakan yang membelah pertahanan. Gol di tempat lawan yang sangatlah berharga.

Real Madrid berjaya membalas menerusi penyerang sensasi mereka, Karim Benzema. 

Tiada pemenang di ibu kota Sepanyol tetapi Chelsea memiliki kelebihan.

-------

PARIS SAINT-GERMAIN 1-2 MANCHESTER CITY

Kapten PSG, Marquinhos meletakkan pasukannya di depan apabila menanduk kemas sepakan penjuru oleh Angel Di Maria. Marquinhos menjadi pemain ketiga yang menjaringkan gol dalam perlawanan suku akhir dan separuh akhir untuk dua musim berturut-turut. 

Ketika detik sejam, PSG masih di depan. Tidak lama kemudian, kedudukan berubah. Satu hantaran lintang dari Kevin De Bruyne kelihatan tidak membahayakan tetapi sebaliknya berlaku. 

Hantaran itu tidak disambar oleh mana-mana pemain Manchester City. Namun, ia berjaya memperdaya Keylor Navas di gawang PSG. Bola itu sepatutnya boleh diselamatkan, tetapi Navas tidak fokus.

Satu lagi situasi yang malang menghancurkan terus kubu PSG. Sepakan percuma Riyad Mahrez menuju ke arah benteng PSG. Malang sekali, ia tembus antara dua pemain PSG dan sekali lagi menewaskan Navas. Tidak sepatutnya berlaku tetapi ia tetap terjadi.

-----------------

Melihat situasi ketika ini, final antara dua kelab Inggeris masih ada potensi yang besar. Chelsea dengan satu gol di tempat lawan. Manchester City menang dengan memiliki kelebihan dua gol di tempat lawan.

Belum masanya untuk memadam harapan Real Madrid dan PSG. 

Jika ada satu pasukan yang boleh melakukan kebangkitan, pastilah PSG pasukan itu. Awal pagi tadi, Neymar dan Kylian Mbappe telah disenyapkan.

Adakah kita dapat melihat dua lagi perlawanan epik nanti?

Ciao!



Friday, April 16, 2021

Mari Ke Itali

Assalamualaikum.

Awal pagi tadi, Manchester United melangkah semakin hampir dengan kejuaraan Liga Europa. 

Berbekalkan kemenangan 2-0 di Sepanyol, United hanya perlu mengelak kekalahan untuk mara. Dan gol awal adalah sesuatu yang sangat membantu.

Edinson Cavani yang melakukan tandukan terbang menentang Spurs dalam perlawanan liga domestik, sekali lagi menemui sentuhan emasnya. Tandukan Paul Pogba disambut Cavani dengan sepakan kaki kiri yang tepat ke sasaran di awal permainan.

Harapan Granada untuk memadam defisit tiga gol menemui jalan buntu. Sebaliknya, United menambah derita pelawat. Hantaran lintang Alex Telles di akhir babak kedua ditanduk pertahanan lawan ke gawang sendiri.

Agregat 4-0, dan clean sheet (tidak dibolosi) dalam perlawanan ketiga berturut-turut dalam saingan Liga Europa.

---------

Sekitar perlawanan suku akhir yang lain, AS Roma diikat oleh Ajax Amsterdam di gelanggang sendiri. Jaringan Brian Brobbey di awal babak kedua memberi sedikit sinar harapan untuk pasukan pelawat.

Namun detik kebangkitan tidak menjelma, sebaliknya sisa-sisa harapan dipadamkan terus oleh jaringan penyamaan daripada Edin Dzeko. AS Roma layak dengan agregat 3-2.

Arsenal pula membedil kelab Republik Czech, Slavia Prague 4-0 tanpa belas kasihan. Selepas terikat 1-1 dalam perlawanan pertama, Arsenal mara gagah dengan agregat selesa 5-1.

Kelab Sepanyol, Villarreal membenam wakil Croatia, Dinamo Zagreb 2-1 di tempat sendiri. Kemenangan di kedua-dua gelanggang memberikan kejayaan agregat 3-1.

---------

Dua perlawanan separuh akhir dengan format timbal balas sudah disahkan:

Manchester United vs AS Roma
Villarreal vs Arsenal

Terdapat kemungkinan final Liga Europa nanti akan ditentukan oleh Manchester United dan Arsenal. Dan ketika Manchester City dan Chelsea tidak bertembung sesama sendiri dalam separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah, terdapat satu kebarangkalian yang menarik.

Manchester City dan Chelsea akan berentap di perlawanan akhir Liga Juara-Juara, manakala Manchester United dan Arsenal pula merebut trofi Liga Europa.

Ini bermakna kelab Liga Perdana Inggeris mendominasi pentas akhir peringkat benua Eropah!

Dan lebih gila: jika kedua-kedua kelab Manchester menjadi juara!

Gila, memang gila.

Ciao!



Thursday, April 15, 2021

Kutubkhanah

Assalamualaikum.

Adalah menjadi impian besar saya untuk memiliki satu bilik di rumah saya sendiri nanti untuk dijadikan ruang membaca yang penuh dengan buku-buku.

Perpustakaan. Library. Kutubkhanah.

Panggillah ia apa saja. Satu ruang yang dapat melepaskan hormon endorfin dalam tubuh saya. 



Inilah kutubkhanah kecil saya pada hari ini bertarikh 15 April 2021.

Disusun mengikut penerbit atau genre (lebih kepada komik dan puisi). Inilah penerbit-penerbit yang menerbitkan buku yang menjadi minat saya.

FIXI dengan novel-novel fiksyen indie dengan majoritinya bergenre thriller, seram dan misteri. Ada juga yang ditulis dengan unsur komedi. 

KOMRAD dengan buku-buku yang menghimpunkan anekdot dan juga kisah-kisah hidup. Pengalaman dari orang-orang seperti kadi, pegawai bank, pelajar perubatan, pegawai sumber manusia (HR). Juga ada kompilasi fiksyen seram daripada Puaka Bersekutu.

BUKU PRIMA dengan novel-novel fiksyen seram dan buku-buku PROJEK SERAM mereka.

PATRIOTS PUBLISHING dengan buku-buku sejarah dan pengetahuan am yang disampaikan dengan santai secara pop ilmiah. Terbaru, Patriots sudah menerbitkan karya fiksyen di bawah imprin mereka, MAHAKARYA.

HIJJAZ RECORDS PUBLISHING dengan buku-buku sejarah dan juga biografi tokoh.

IMAN PUBLICATION dengan buku-buku agama dan motivasi.

PROLOG MEDIA dengan novel-novel fiksyen yang lain dari kebiasaan.

KATA-PILAR dengan koleksi anekdot, dan yang paling saya suka, buku-buku puisi. 

Ada lagi buku-buku lain fiksyen dan bukan fiksyen dari rumah penerbitan lain.

Baru-baru ini saya membeli sejumlah 23 buah buku puisi terbitan INSTITUT TERJEMAHAN & BUKU MALAYSIA ketika jualan mega di Shopee. 

Puisi sangat dekat dengan saya. Saya suka membaca puisi-puisi yang disusun indah. Dan untuk menghiburkan hati yang lara, saya juga membaca komik sebagai hiburan.

Dan, memang sikit novel-novel cinta dalam kutubkhanah saya. Tak berapa minat nak baca novel-novel cinta di pasaran yang klise, fantasi (tak realistik), dan tebal. Novel-novel cinta yang banyak diadaptasi menjadi drama televisyen. Kata orang, 'drama pukul 7'!

Alhamdulillah, judul-judul dalam koleksi saya semakin mekar mewangi. 

Ciao!



Lengkap Empat

Assalamualaikum.

Sempurnalah sudah senarai empat pasukan yang akan berentap di separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah musim ini. Mereka akan merebut trofi kebanggaan bola sepak Eropah. 

Awal pagi tadi, dua lagi pasukan menyertai Paris Saint-Germain dan Chelsea yang layak semalam.

----------

BORUSSIA DORTMUND 1-2 MANCHESTER CITY
(agregat 2-4)

Kisah dongeng sudah berakhir untuk Erling Haaland dan Borussia Dortmund. Akhirnya mereka tumbang kepada gergasi bola sepak Inggeris. 

Pemain muda England sendiri yang meledak lebih awal untuk Dortmund. Jude Bellingham menjadi pemain Inggeris termuda yang menjaringkan gol dalam sejarah Liga Juara-Juara Eropah. Rembatan kaki kanan Bellingham gagal diselamatkan oleh Ederson walaupun berjaya ditepis.

Dortmund akan layak jika menang 1-0 kerana menjaringkan dua gol di kubu City, tetapi hal itu tidak terjadi. City menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti Riyad Mahrez. Dan seorang lagi pemain muda England memadamkan terus harapan Dortmund.

Ledakan kaki kiri dari luar kotak penalti bermakna Foden menjaringkan gol dalam kedua-dua perlawanan suku akhir ini. Ketika di England, Foden menjaringkan gol kemenangan di lewat permainan.

-------

LIVERPOOL 0-0 REAL MADRID
(agregat 1-3)

Tiada kisah kebangkitan agung yang mampu dilakar di Anfield. Turun dengan defisit dua gol, Liverpool perlu sekurang-kurangnya menjaringkan gol untuk menekan Real tetapi hal itu juga tidak berlaku. Penguasaan bola agak seimbang. Percubaan tepat sedikit memihak Liverpool dengan 5 berbalas 3. Trio Mane-Firmino-Salah gagal mencetuskan sebarang magis.

Selepas gagal mempertahankan takhta Liga Perdana Inggeris, kegagalan di peringkat benua ini pasti memberikan tekanan kepada pengurus Jurgen Klopp.

----------

Dua pasukan dari England, masing-masing satu dari Perancis dan Sepanyol.



Dua perlawanan separuh akhir yang pastinya menarik:

PSG vs Manchester City
Real Madrid vs Chelsea 

Saya lebih teruja dengan pertembungan PSG dan City yang sudah ibarat perlawanan akhir. Pertembungan semula Mauricio Pochettino dan Pep Guardiola. 

Untuk rekod, pasukan Spurs bimbingan Pochettino menyingkirkan City yang dipimpin oleh Guardiola dalam saingan ini pada musim 2018/2019. Terikat dengan agregat 4-4, Spurs layak dengan kelebihan gol di tempat lawan.

Mungkinkah tragedi itu berulang untuk Pep Guardiola dan Manchester City?

Ketika ini terdapat kemungkinan dua pasukan Liga Perdana Inggeris bertemu sesama sendiri jika menewaskan lawan masing-masing, mengulangi final musim 2018/2019 antara Spurs dan Liverpool.

Dan ada juga kemungkinan kedua-dua pasukan dari England ini tersingkir jika jalan takdir menentukan PSG akan menentang Real Madrid.

Ciao!


Wednesday, April 14, 2021

Juara Baru

Assalamualaikum.

Ada satu hal yang pasti daripada aksi Liga Juara-Juara Eropah awal pagi tadi. Para peminat akan menyaksikan juara baru ditabalkan pada aksi final nanti. 

Dua perlawanan peringkat suku akhir berlangsung dan dua pasukan mengesahkan tempat di separuh akhir.

----------

CHELSEA 0-1 PORTO
(agregat 2-1)

Apabila Porto tewas di Portugal dalam perlawanan pertama, saya menyangka perlawanan ini akan menjadi mudah bagi Chelsea. Ternyata Porto membuktikan mengapa mereka layak berada di peringkat ini dan setanding dengan pasukan-pasukan gergasi yang lain. 

Chelsea di bawah bimbingan Thomas Tuchel terkenal dengan penguasaan bola. Namun, malam tadi 55% penguasaan didomnasi oleh pasukan pelawat. Porto hadir dengan misi mesti menang dan memerlukan dua gol tanpa balas untuk mengheret Chelsea ke masa tambahan.

Porto berjaya menang! Namun malang sekali, hanya satu gol yang berjaya dijaringkan oleh pemain gantian, Mehdi Taremi lewat di hujung permainan. 

-------

PARIS SAINT-GERMAIN 0-1 BAYERN MUNICH
(agregat 3-3)

Bayern membuktikan mengapa mereka adalah juara bertahan benua Eropah. Dimalukan di gelanggang sendiri, Bayern membalas balik dengan melakukan perkara yang sama di gelanggang sama. Bayern juga mendominasi penguasaan bola dengan 54%. 

Eric Maxim Choupo-Moting menjaringkan gol tunggal perlawanan di hujung babak pertama. Untuk rekod, Choupo-Moting meledak dalam kedua-dua perlawanan bertemu PSG. 

Skor yang sama dengan final Liga Juara-Juara Eropah musim lepas di mana Bayern Munich menjulang trofi. Bezanya kali ini, ada dua perlawanan dengan format timbal balas. Peraturan gol di tempat lawan memberikan kelebihan kepada PSG dengan 3 gol berbalas 1.

Misi balas dendam telah sempurna.

-----------

Satu dari England, dan satu dari Perancis. Dua perlawanan lagi akan berlangsung esok.

Borussia Dortmund v Manchester City
Liverpool v Real Madrid

Adakah England akan memiliki tiga wakil di separuh akhir? Atau Jerman dan Sepanyol akan memastikan setiap negara hanya ada satu wakil di separuh akhir?

Semuanya akan terjawab tak lama lagi.

Ciao!



Monday, April 12, 2021

Kemenangan Bermakna

Assalamualaikum.

Manchester United menewaskan Tottenham Hotspurs malam tadi dengan bergaya. Ada beberapa sebab kemenangan 3-1 malam tadi sangat bermakna:

1. Dilakukan di gelanggang lawan.
2. Membalas dendam kekalahan 6-1 di Old Trafford awal musim ini.
3. Berjaya bangkit dari ketinggalan satu gol.
4. Membuktikan Ole Gunnar Solksjaer mempunyai taktikal yang dapat menandingi Jose Mourinho.
5. Memalukan bekas pengurus, Jose Mourinho (yang terkenal angkuh).

Ole menurunkan kesebelasan utama yang boleh dikatakan antara yang terkuat musim ini. Dean Henderson menjaga gawang di hadapan Aaron Wan-Bissaka, Harry Maguire, Victor Lindelof, dan Luke Shaw. Fred dan Scott Mctominay melindungi benteng pertahanan. Tiga pemain tengah iaitu Marcus Rashford, Paul Pogba dan Bruno Fernandes menyokong penyerang tunggal Edinson Cavani.

Manchester United sepatutnya berada lebih awal di depan jika gol Cavani tidak dibatalkan. Cavani menggempur lorongan cantik daripada Pogba menewaskan Hugo Lloris di gawang Spurs. 

Malangnya, gol itu dibatalkan pengadil selepas meneliti video VAR. Mctominay dipersalahkan kerana mengasari Son Heung Min ketika membina gol tersebut. Kekasaran itu bolehlah dikatakan agak lembut dan bukannya disengajakan. Keputusan yang aneh.

Tidak lama kemudian, Son dan Spurs menjaringkan gol pula di hujung berlawanan. Hantaran Harry Kane membelah pertahanan untuk Lucas Moura melintangkan bola kepada Son yang mudah menewaskan Henderson.

Ketinggalan satu gol di separuh masa, kemungkinan untuk kalah dua kali berturut-turut dalam satu musim kepada Spurs menghantui pemain United. Namun, mereka bangkit lebih gagah di separuh masa kedua. 

Fred yang tidak menjaringkan gol dalam Liga Perdana Inggeris sejak kali terakhir pada tahun 2018, akhirnya meledak. Fred bermain hantaran satu-dua yang cantik dengan Bruno dan Rashford sebelum melorongkan bola kepada Cavani. Rembatan Cavani ditepis Lloris tepat di hadapan Fred yang tidak mensia-siakan peluang terhidang.

Keputusan Ole untuk menggantikan Rashford dengan Mason Greenwood membuahkan hasil. Greenwood bijak melakukan hantaran lintang dari sayap kanan yang disambut oleh Cavani dengan tandukan terbang menewaskan Lloris. 

Dan Greenwood sendiri menjaringkan gol pada minit terakhir masa kecederaan. Menyambut hantaran Pogba, Greenwood memperdaya pertahanan dengan gerak badan lincah sebelum merembat deras menewaskan Lloris yang berjaya menyentuh bola tetapi tidak cukup untuk menepis keluar.

--------

Satu gol untuk Cavani (dua jika golnya pada separuh masa pertama dikira). Satu bantuan gol untuk Pogba (dua jika gol Cavani tak dibatalkan). Dan satu gol serta satu bantuan gol untuk Greenwood sebagai pemain gantian. 

Satu misi balas dendam yang berjaya disempurnakan. Pogba, Fred, dan Shaw secara peribadi membalas kritikan Mourinho terhadap mereka ketika menjadi pengurus United dahulu. Mereka yang dulu bukanlah yang sekarang.

Dalam perlawanan yang lain, pemain United yang dipinjamkan ke West Ham terus cemerlang dengan meledak dua lagi gol. Dalam dua perlawanan liga sebelum ini, Lingard menjaringkan gol dan juga mencipta bantuan gol. Nampaknya Lingard sedang mencipta fenomena di West Ham. Pemain yang sedang berada di tahap keyakinan sangat tinggi.

-------

Situasi ketika ini: United tujuh mata di depan Leicester City di tangga ketiga. Namun, ketinggalan 11 mata di belakang pasukan setempat, Manchester City. United beraksi kurang satu perlawanan berbanding City dan boleh merapatkan jurang kepada 8 mata jika menang perlawanan dalam tangan tersebut (dengan baki enam perlawanan). 

Manchester United perlu menang semua baki 7 perlawanan liga untuk menekan Manchester City.

Salam Ramadhan. Ciao!



Thursday, April 8, 2021

Dendam Terbalas

Assalamualaikum.

Jika semalam, dua pasukan tuan rumah mencatat kemenangan di gelanggang masing-masing dalam perlawanan pertama saingan suku akhir yang berformat timbal balas. Awal pagi tadi pula, dua pasukan pelawat yang menunjukkan taring mereka.

Dan lebih penting, misi balas dendam gergasi Paris tercapai!

----------

BAYERN MUNICH 2-3 PARIS SAINT-GERMAIN

Perlawanan ulangan final musim lepas. Tiada balas dendam yang lebih indah daripada melakukannya di stadium musuh sendiri. Itulah misi yang berjaya disempurnakan oleh PSG.

Neymar menjadi arkitek yang mencipta dua gol awal PSG. Tolakannya kepada Kylian Mbappe disudahkan dengan rembatan kencang kaki kanan. Kemudian, hantaran lambung Neymar menemui Marquinhos yang tenang menewaskan Manuel Neuer. 

Ketinggalan 0-2 tidak melemahkan semangat juara bertahan. Eric Maxim Choupo-Moting menanduk masuk gol yang merapatkan jurang. Sepakan percuma Joshua Kimmich berjaya ditanduk oleh Thomas Muller untuk menyamakan kedudukan.

Mbappe sekali lagi menjadi pemusnah Bayern. Menyambut lorongan cantik Angel Di Maria, Mbappe tenang memperdaya pertahanan lawan sebelum sepakan leretnya mengelirukan Neuer untuk gol kedua peribadinya.

------

PORTO 0-2 CHELSEA

Porto turun selaku pasukan paling underdog antara semua lapan pasukan yang bersaing di pusingan suku akhir ini. Turun berdepan pasukan bimbingan Thomas Tuchel, Porto tiada jawapan.

Hantaran Jorginho disambut kemas oleh Mason Mount yang memusingkan badannya sebelum merembat kencang menewaskan penjaga gol. Ben Chilwell kemudiannya mengambil kesempatan atas kesilapan pertahanan untuk melakukan larian pintar membelah pertahanan. Chilwell tenang melepasi penjaga gol untuk menolak bola ke gawang terbuka. 

----------

Peraturan gol di tempat lawan adalah satu peraturan yang penting dalam saingan peringkat kalah mati Liga Juara-Juara Eropah. Dua pasukan pelawat yang menang awal pagi tadi membawa bekalan penting untuk kembali ke kubu mereka.

PSG mempunyai tiga gol di tempat lawan. Walaupun hanya membawa kelebihan satu gol, PSG mempunyai banyak pilihan keputusan di Paris nanti. Selain mengelak kekalahan yang memastikan mereka layak, mereka juga boleh kalah 0-1 atau 1-2 dan masih lagi boleh mara. 

Begitu juga dengan Chelsea. Dua gol tanpa balas dan dua gol di tempat lawan. Beraksi di gelanggang sendiri nanti, Chelsea boleh tewas 0-1 dan 1-2 dan masih meneruskan langkah ke separuh akhir. Secara realistik, peluang Porto untuk bangkit dan menyingkirkan Chelsea adalah sangat tipis.

Ciao!




Wednesday, April 7, 2021

Kenduri Gol

Assalamualaikum.

Perlawanan pertama untuk pusingan suku akhir Liga Juara-Juara Eropah, dengan format timbal balas. Dua pasukan tuan rumah menang.

----------

MANCHESTER CITY 2-1 BORUSSIA DORTMUND

Impian City untuk memenangi quadruple musim ini terus menyala. Dortmund ditunjangi penyerang muda sensasi bukanlah lawan yang boleh dipandang enteng. Namun, penguasaan bola 60% membantu misi City.

Hantaran lintang Riyad Mahrez disempurnakan oleh kapten Kevin De Bruyne untuk meletakkan City di depan. Dortmund menyangka mereka berjaya merentap semangat City apabila lorongan cantik Haaland berjaya disudahkan oleh Marco Reus untuk 'gol di tempat lawan' yang sangat berharga ketika permainan berbaki enam minit saja mengikut masa sebenar.

Seorang lagi penyerang muda sensasi ketika ini, Phil Foden memastikan City membawa kelebihan untuk beraksi di Jerman nanti apabila menjaringkan gol kemenangan di lewat permainan. 

-----

REAL MADRID 3-1 LIVERPOOL

Ulangan final Liga Juara-Juara Eropah musim 2017/2018 yang dimenangi oleh Real Madrid dengan keputusan akhir yang sama (3-1). Penguasaan bola seimbang, tetapi Real Madrid mempunyai lebih banyak percubaan tepat ke arah gol yang berjaya diterjemahkan kepada kemenangan.

Bintang muda, Vinicius Junior menyambut kemas hantaran lambung jarak jauh daripada Toni Kroos sebelum merembat kencang melepasi penjaga gol, Alisson. Kesilapan Trent-Alexander Arnold sembilan minit kemudian membawa padah apabila tandukannya tepat ke arah Marco Asensio yang bijak menewaskan Alisson.

Mohamed Salah merapatkan kedudukan apabila berada di kedudukan yang sempurna untuk menjaringkan 'gol di tempat lawan'. Vinicius memastikan Real Madrid mendapat bekalan selesa untuk dibawa ke England dengan gol kedua peribadi dengan menyempurnakan tolakan daripada Luka Modric.

-----------

Masih ada satu lagi perlawanan untuk kedua-dua pasukan. Kelebihan yang dibawa tidak cukup besar untuk Manchester City dan Liverpool. Tambahan pula, Dortmund dan Liverpool masing-masing menjaringkan gol di tempat lawan yang penting jika kedudukan agregat terikat. 

Contohnya, kemenangan 1-0 di Jerman nanti sudah cukup untuk Dortmund layak ke separuh akhir walaupun keputusan itu hanya akan mengikat agregat 2-2. 

Dua lagi perlawanan pertama untuk suku akhir akan berlangsung awal pagi esok.

Bayern Munich vs PSG
Porto vs Chelsea 

Saya teruja untuk melihat pemenang antara Bayern menentang PSG. Ini akan menjadi ulangan final musim lepas yang menyaksikan Bayern muncul juara dan masih mengekalkan status sebagai juara bertahan. PSG turun dengan misi balas dendam!

Ciao,



Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif