Friday, June 26, 2015

Hai Tahun Klinikal

Assalamualaikum.

Say 'hi' to clinical years. Another step forward, yet still long way to go.

Alhamdulillah, segala puji-pujian hanya bagi Allah yang mengizinkan aku terus melangkah dalam perjalanan penuh ranjau berliku dalam ijazah perubatan ini. Sebaik memeriksa e-mel dan mendapat makluman keputusan 'lulus', aku memanjatkan kesyukuran kepada Ilahi. Sungguh, hanya perkataan itu yang kuharapkan. 

Selamat tinggal fasa teori (pra-klinikal).

Tidaklah aku bermimpi untuk mendapat keputusan cemerlang lagi berkualiti. Jauh dari gred 'Ayam'. Mungkin gred 'Cicak' saja. Tapi itu tetap memberikan keputusan yang sama. Aku akan memulakan langkah dalam fasa klinikal. Berakhir sudah zaman teori. Kini masa era praktikal bermula. Seorang doktor perlu mempunyai asas binaan yang kukuh, tapi seorang doktor yang baik mestilah mampu melakukannya secara amali. Kerja seorang doktor bukan di atas kertas. 

Persediaan untuk peperiksaan aku sangatlah sedikit berbanding rakan yang lain. Aku kira keputusan 'atas urat' yang aku jangkakan sudah cukup memuaskan. Terima kasih cinta, kau buat ku bahagia. Eh, ternyanyi lagu pulak. 

Ahad ni dah balik KL semula. Perjalanan masih panjang.



Sunday, June 21, 2015

Double Celebration

Assalamualaikum.

Tajuk saja omputeh. Tulisan tetap bahasa kebangsaan. Malas nak mencoret dalam bahasa penjajah. Hari ni 21 Jun 2015 Masihi, bersamaan 4 Ramadhan 1436 Hijrah.

Sambutan berganda untuk keluarga aku.

Hari ni adalah hari ulang tahun kelahiran yang ke-20 untuk adik aku. Selamat hari lahir diucapkan dengan doa moga dipanjangkan usia, dimurahkan rezeki, dan bahagia selalu. Dan hari ni juga adalah sambutan Hari Ayah di Malaysia. 

Selamat Hari Ayah diucapkan kepada ayahanda tercinta yang telah menjadi seorang ayah selama hampir 24 tahun. Pengorbanan dan jasa ayah tak mungkin mampu dibalas oleh kami semua anak-anak. Hanya Allah jua yang dapat membalas pengorbanan ayah. Moga terus dipanjangkan usia dan semakin bertambah rezeki. Moga hidup sentiasa diberkati Allah.

InsyaAllah, satu hari nanti aku juga akan menjadi seorang ayah. Dan ayah adalah contoh terbaik yang akan aku ikuti. One fine day, i'll make you proud, father.



Saturday, June 20, 2015

Kafe Juruterbang

Assalamualaikum.

Hari ni aku menonton filem Melayu bertajuk 'Pilot Cafe' yang diadaptasi dari novel Ahadiat Akashah. Aku sempat membelek sedikit rebiu dari orang ramai tentang filem ini. Aku rasa malas pulak nak layan komen negatif yang gemar membandingkan filem tempatan dan filem Holywood. Dah tahu memang tak sama taraf, tak usahlah dibandingkan.

Inilah tahap filem Melayu dari dulu. Sekadar dibuat hiburan bolehlah. Nak diangkat bertaraf dunia memang jauh panggang dari api. Tak perlulah dibahaskan dan dikritik lagi dan lagi. Memang inilah saja kualiti filem Melayu (kecuali beberapa filem yang bagus). Ada juga yang mengatakan adaptasi ke layar perak ini tak sebagus penulisan novelnya. Satu lagi perbandingan yang keanak-anakan.

Tanpa membaca novelnya, aku simpulkan sinopsis filem Pilot Cafe:

Bekas juruterbang, Ameer (Fahrin Ahmad) menyelamatkan gadis kampung, Maya (Izara Aishah) yang lari ke kafenya. Berlakulah imbas kembali masa silam kotor Ameer yang menjadi juruterbang 'buaya darat' dengan bertukar-tukar perempuan menggunakan rupanya yang kacak. Maksiat menjadi hobinya. Semuanya berubah apabila dia bercinta dengan gadis yang paling dikasihinya, Sharmila (Neelofa). Maya pula ke kota raya Kuala Lumpur setelah kekasihnya, Rasyid (Remy Ishak) melarikan diri selepas Maya hamil kerana maksiat yang mereka lakukan.

Ameer insaf selepas Sharmila menghilangkan diri kerana Ameer mahu Sharmila menggugurkan kandungan, dan kematian rakan baiknya, Kapten Haris dalam nahas udara. Ameer menjaga Maya sehinggalah Maya melahirkan anak lelaki dan dihantar pulang ke kampung. Ameer mula menghargai seorang wanita dan menyesali dosa masa lalunya. Tiba-tiba, Ameer dipertemukan semula dengan Sharmila yang datang ke kafe bersama suaminya, Dr Khaleed. Sharmila membawa anak tidak sah taraf hasil hubungan cintanya bersama Ameer yang turut diberi nama 'Ameer'.

Penghujung cerita, Ameer menemui semula Maya menyatakan hasrat untuk menikahi Maya. Malangnya, cinta Ameer bertepuk sebelah tangan. Maya sudah menemui semula cinta hatinya, Rasyid dan mereka merancang untuk berkahwin. Ameer menerima keputusan Maya dengan kata-kata, "Walaupun saya tak mampu memiliki awak, cukuplah cinta yang saya ada."

Geram betul apabila filem ini bersambung. Ada sekuel yang aku tak sabar nak tonton. Aku nak tahu apa kesudahannya apabila Dr Khaleed undur diri dan meninggalkan Sharmila (yang telah mencintai Dr Khaleed yang menyelamatkannya) dengan alasan ingin mengubati penyakitnya di London. Dr Khaleed ingin Sharmila membina semula cintanya bersama Ameer.

Aku juga ingin tahu siapakah yang akhirnya dimiliki Ameer. Mungkinkah Maya? Tak mungkin. Semua jawapan persoalan aku ni ada dalam novel asalnya tapi aku mungkin lebih sedia menanti sekuel filem ini. Aku macam Maya yang tak mahu mengetahui jantina anaknya dan menanti sehingga saat dia melahirkan.

Pengajaran cerita Ameer dan Maya: "duit tak mampu membeli cinta". Walau setinggi gunung harta dan emas, takkan mampu membayar harga cinta sejati. Bukan kemewahan yang diimpikan semua wanita di dunia ni, tapi kebahagiaan. Dan wang bukanlah gantinya. Tiada maknanya duit berjuta jika hati tidak cinta. 

Jalan ceritanya agak menarik. Tapi filem ini tipikal dan klise seperti filem Melayu yang lain. Tak ada apa yang nak dibanggakan.



Menulis Semula

Assalamualaikum.

Alhamdulillah, dah tiga hari umat Islam berpuasa. Salam 3 Ramadhan dalam kalendar 1436 Hijrah. 

Rasa lain pulak bila tak perlu menghadap nota-nota kuliah untuk ditelaah. Sebelum ni nak hapdet blog pun rasa tak kena. Rasa bersalah pulak kalau menaip entri tapi tak ulang kaji untuk peperiksaan big bang bagi pelajar medik. Sembilan modul yang perlu dibaca membuatkan aku membatalkan hasrat mengetuk papan kekunci.

Rasa janggal pula bila tak perlu baca nota. Walau bagaimanapun, aku tetap bersyukur dah bebas dari tahun pra-klinikal. Nak menaip macam blogger pemes Dr Fatin Liyana pun tak ada timbul rasa serba salah. Alhamdulillah, syukur kepada Allah jua yang memberikan nikmat kesihatan.

Meskipun cuti cuma sepuluh hari saja sebelum kembali menyambung semester lima dengan projek community survey. Kena siapkan tugasan berkumpulan tu selama dua minggu sebelum cuti lagi. 'Selepas kesulitan pasti ada kemudahan'. Cuti raya yang lebih panjang. Lima minggu! Cuti tiga minggu pun dah cukup membahagiakan bagi pelajar perubatan. Inikan pula cuti lima minggu. Alangkah indahnya.

Cuti ni nak habiskan stok filem yang aku ada yang tak sempat aku tengok kerana sibuk mengulang kaji. Malas nak fikirkan keputusan peperiksaan. Lulus pun dah besar rahmat. Aku nak tenangkan fikiran saja buat sementara waktu. Tak fikir pun tugasan dua minggu tu. Tak sabar nak cuti lima minggu. Yee-haw!



Friday, June 19, 2015

Kembali

Assalamualaikum.

Niat di hati semalam nak iftar 1 Ramadhan 1436H bersama ibu bapa di rumah tak kesampaian apabila bas gagal tiba sebelum waktu berbuka puasa. Mula-mula memang perancangan asal nak balik pada sebelah malam selepas solat terawih. Aku mengubah strategi apabila malas nak tunggu lebih lama di kota raya metropolitan dan ingin segera pulang.

Tiket segera dicari dan tiket bas pada waktu tengah hari dibeli. Hajatnya nak buat kejutan pada umi dan ayah di rumah. Tiada makluman diberi. Aku bersiap dan menempuh perjalanan untuk membuat 'surprise'. Apakan daya, perancangan Allah mengatasi segalanya. Apa pun, aku bersyukur dapat juga iftar 'berat' di rumah. Iftar 'ringan' minum air dalam bas sebaik saja masuk waktu berbuka.

Alhamdulillah, baru saja menamatkan First Professional Exam Bahagian Pertama untuk teori. Sembilan modul sistem badan. InsyaAllah, aku akan meneruskan pengajian ke tahun ketiga andai berjaya lulus dalam peperiksaan tersebut. Baru sekarang aku rasa seronoknya bercuti tanpa perlu memikirkan soal pelajaran. Yang pening difikirkan nak sambung pengajian di luar negara atau tidak. Berat...

Walaupun hanya cuti 10 hari sebelum semester lima bermula bersama bermulanya era amali bagiku dalam bidang kedoktoran ini, aku tetap bersyukur dapat berpuasa bersama keluarga di rumah. Tiada bandingnya nikmat ini selepas nikmat Islam dan iman. InsyaAllah kalau dipanggil bakal mertua, nak jugak iftar bersama. ^_^



Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif