Welcome To My Life...

Saturday, June 20, 2015

Kafe Juruterbang

Assalamualaikum.

Hari ni aku menonton filem Melayu bertajuk 'Pilot Cafe' yang diadaptasi dari novel Ahadiat Akashah. Aku sempat membelek sedikit rebiu dari orang ramai tentang filem ini. Aku rasa malas pulak nak layan komen negatif yang gemar membandingkan filem tempatan dan filem Holywood. Dah tahu memang tak sama taraf, tak usahlah dibandingkan.

Inilah tahap filem Melayu dari dulu. Sekadar dibuat hiburan bolehlah. Nak diangkat bertaraf dunia memang jauh panggang dari api. Tak perlulah dibahaskan dan dikritik lagi dan lagi. Memang inilah saja kualiti filem Melayu (kecuali beberapa filem yang bagus). Ada juga yang mengatakan adaptasi ke layar perak ini tak sebagus penulisan novelnya. Satu lagi perbandingan yang keanak-anakan.

Tanpa membaca novelnya, aku simpulkan sinopsis filem Pilot Cafe:

Bekas juruterbang, Ameer (Fahrin Ahmad) menyelamatkan gadis kampung, Maya (Izara Aishah) yang lari ke kafenya. Berlakulah imbas kembali masa silam kotor Ameer yang menjadi juruterbang 'buaya darat' dengan bertukar-tukar perempuan menggunakan rupanya yang kacak. Maksiat menjadi hobinya. Semuanya berubah apabila dia bercinta dengan gadis yang paling dikasihinya, Sharmila (Neelofa). Maya pula ke kota raya Kuala Lumpur setelah kekasihnya, Rasyid (Remy Ishak) melarikan diri selepas Maya hamil kerana maksiat yang mereka lakukan.

Ameer insaf selepas Sharmila menghilangkan diri kerana Ameer mahu Sharmila menggugurkan kandungan, dan kematian rakan baiknya, Kapten Haris dalam nahas udara. Ameer menjaga Maya sehinggalah Maya melahirkan anak lelaki dan dihantar pulang ke kampung. Ameer mula menghargai seorang wanita dan menyesali dosa masa lalunya. Tiba-tiba, Ameer dipertemukan semula dengan Sharmila yang datang ke kafe bersama suaminya, Dr Khaleed. Sharmila membawa anak tidak sah taraf hasil hubungan cintanya bersama Ameer yang turut diberi nama 'Ameer'.

Penghujung cerita, Ameer menemui semula Maya menyatakan hasrat untuk menikahi Maya. Malangnya, cinta Ameer bertepuk sebelah tangan. Maya sudah menemui semula cinta hatinya, Rasyid dan mereka merancang untuk berkahwin. Ameer menerima keputusan Maya dengan kata-kata, "Walaupun saya tak mampu memiliki awak, cukuplah cinta yang saya ada."

Geram betul apabila filem ini bersambung. Ada sekuel yang aku tak sabar nak tonton. Aku nak tahu apa kesudahannya apabila Dr Khaleed undur diri dan meninggalkan Sharmila (yang telah mencintai Dr Khaleed yang menyelamatkannya) dengan alasan ingin mengubati penyakitnya di London. Dr Khaleed ingin Sharmila membina semula cintanya bersama Ameer.

Aku juga ingin tahu siapakah yang akhirnya dimiliki Ameer. Mungkinkah Maya? Tak mungkin. Semua jawapan persoalan aku ni ada dalam novel asalnya tapi aku mungkin lebih sedia menanti sekuel filem ini. Aku macam Maya yang tak mahu mengetahui jantina anaknya dan menanti sehingga saat dia melahirkan.

Pengajaran cerita Ameer dan Maya: "duit tak mampu membeli cinta". Walau setinggi gunung harta dan emas, takkan mampu membayar harga cinta sejati. Bukan kemewahan yang diimpikan semua wanita di dunia ni, tapi kebahagiaan. Dan wang bukanlah gantinya. Tiada maknanya duit berjuta jika hati tidak cinta. 

Jalan ceritanya agak menarik. Tapi filem ini tipikal dan klise seperti filem Melayu yang lain. Tak ada apa yang nak dibanggakan.



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif