Welcome To My Life...

Friday, September 21, 2018

UCL 18/19 #1: Dua Menang Dua Tewas

Assalamualaikum.

Perlawanan pertama, peringkat kumpulan.

Musim baru Liga Juara-Juara Eropah sudah bermula untuk edisi 2018/2019. Real Madrid merupakan juara bertahan dengan kejayaan hatrik tiga tahun berturut-turut bermula pada musim 2015/2016. Malah Real Madrid juga menjuarai pertandingan ini empat kali dalam lima tahun terakhir. Satu lagi kelab Sepanyol, Barcelona muncul juara pada musim 2014/2015 bermakna juara dalam lima tahun yang terakhir merupakan pasukan La Liga di Sepanyol.

Berikut adalah keputusan penuh perlawanan dalam semua kumpulan. 

----------

KUMPULAN A

Monaco 1-2 Atletico Madrid
Club Brugge 0-1 Dortmund

Dua kelab tuan rumah dalam perlawanan pertama. Kemenangan tipis untuk kedua-dua pasukan pelawat dari Sepanyol dan Jerman. Atletico Madrid bangkit di Perancis dengan gol daripada Diego Costa dan Jose Gimenez. Christian Pulisic pula menjadi wira Dortmund dengan gol lewat permainan di Belgium.

-----

KUMPULAN B

Inter Milan 2-1 Tottenham
Barcelona 4-0 PSV

Berbeza dengan kumpulan A, dua pasukan tuan rumah mencatat kemenangan dalam kumpulan ini. Gol lewat di Itali membantu Inter Milan dengan jaringan daripada Mauro Icardi dan Matias Vecino menterbalikkan keputusan perlawanan. Jaguh La Liga pula menang selesa di Sepanyol dengan legenda kelab, Lionel Messi meledak hatrik peribadi kelapan dalam sejarah pertandingan (yang terbanyak sepanjang zaman).

-----

KUMPULAN C


Liverpool 3-2 Paris Saint-Germain
Red Star Belgrade 0-0 Napoli

Liverpool menceriakan penyokong mereka dengan kemenangan di tempat sendiri menentang gergasi Perancis yang turut dibarisi Neymar dan Kylian Mbappe. Selepas mendahului 2-0, Liverpool membenarkan lawan bangkit untuk menyamakan kedudukan. Namun gol lewat Roberto Firmino cukup untuk memberikan tiga mata penuh kepada pasukan naib juara musim lalu. Red Star Belgrade pula memungut satu mata penting di Serbia dengan mengikat lawan dari Itali yang lebih kuat.

-----

KUMPULAN D

Schalke 1-1 Porto
Galatasaray 3-0 Lokomotiv Moscow

Tuan rumah terpaksa berpuas hati di Jerman apabila pasukan pelawat berpengalaman dari Portugal berjaya menyamakan kedudukan. Tuan rumah di Turki pula menang besar walaupun seorang pemain dilayangkan kad merah.

-----

KUMPULAN E

Ajax 3-0 AEK
Benfica 0-2 Bayern Munich

Ajax menang bergaya di depan penyokong sendiri dibantu oleh dua gol jaringan Nicolas Tagliafico. Gergasi Bundesliga Jerman, Bayern Munich juga mencatat kemenangan sulung menerusi jaringan Robert Lewandowski dan Renato Sanches.

-----

KUMPULAN F

Shakhtar Donetsk 2-2 Hoffenheim
Manchester City 1-2 Lyon

Tuan rumah di Ukraine terselamat daripada menanggung kekalahan apabila menyamakan kedudukan dua kali untuk mencuri satu mata daripada kelab Jerman. Namun berita lebih sensasi dalam kumpulan ini adalah kejayaan pelawat dari Perancis membenam gergasi dari England yang sarat dengan pemain bintang. Lyon mendahului dua gol di separuh masa pertama sebelum Bernardo Silva menjaringkan satu gol di babak kedua untuk merapatkan kedudukan.

-----

KUMPULAN G

Viktoria Plzen 2-2 CSKA Moscow
Real Madrid 3-0 Roma

Dua gol daripada Michael Krmencik di babak pertama tidak cukup untuk membantu tuan rumah menang di Republik Czech. Sepakan penalti lewat daripada Nikola Vlasic menghadiahkan satu mata untuk pelawat. Juara bertahan tiga musim berturut-turut dari Sepanyol pula tidak menghadapi masalah untuk membenam cabaran pelawat dari Itali.

-----

KUMPULAN H

Valencia 0-2 Juventus
Young Boys 0-3 Manchester United

Kedua-dua pasukan pelawat yang juga pasukan pilihan dalam kumpulan ini mengutip tiga mata awal. Dicemari insiden Cristiano Ronaldo dilayangkan kad merah, Miralem Pjanic menyempurnakan dua sepakan penalti untuk pelawat di Sepanyol. Jaguh Switzerland pula gagal mengatasi Manchester United yang mendapat inspirasi daripada Paul Pogba yang menjaringkan dua gol dan membuat satu bantuan gol.

-----------

Dua pasukan dari England mencatat kemenangan (Manchester United/Liverpool) dan dua lagi kecundang (Manchester City/Tottenham). 

Perlawanan kedua akan berlangsung pada 3 dan 4 Oktober.



Saturday, September 15, 2018

Pendaftaran MMC

Assalamualaikum.

Lebih kurang tiga minggu yang lepas, penulis terpaksa bergerak dari Kedah ke Kuala Lumpur untuk urusan rasmi pendaftaran sementara di Malaysian Medical Council selepas menamatkan pengajian ijazah sarjana muda perubatan.

Lima tahun degree dan dua tahun A-Level. Total tujuh tahun yang sangat lama. Dalam tempoh ini ramai rakan sebaya dah beranak-pinak. Ada yang kahwin muda, anak pun dah besar. Sedar tak sedar, umur pun dah menjauhi usia remaja. Masih dalam kategori muda.

Berikut adalah kisah benar perjalanan yang memenatkan dalam tempoh hanya 24 jam.

----------

27 OGOS 2018
11 malam -- Changlun ke Seremban (bas)

-----

28 OGOS 2018
7.15 pagi -- Terminal One ke IMU (teksi)
9.30 pagi -- IMU ke Stesen KTM (Grab)
9.52 pagi -- Seremban ke Kuala Lumpur (KTM)
12.55 tengah hari -- sampai di MMC
4pm -- Kuala Lumpur ke Bandar Tasik Selatan (LRT)
8.30pm -- Bandar Tasik Selatan ke Changlun (bas)

-----------



Kisahnya, penulis guna pengangkutan awam. Kalau ikut cerita mereka yang pernah pergi, lokasi MMC ni tak jauh daripada stesen LRT Pasar Seni. "Tak sampai 10 minit jalan kaki" itu kata rakan penulis yang bergraduasi daripada Melaka Manipal Medical College dan sudah selesai urusan pendaftaran sementara.

Selepas sejam setengah perjalanan menaiki KTM dari Seremban, penulis tersilap turun di stesen KL Sentral, sedangkan stesen Kuala Lumpur adalah stesen seterusnya. Penulis terpaksa menunggu lebih setengah jam untuk menaiki KTM semula.

Dugaan pula di stesen Kuala Lumpur. Selepas berjalan kaki begitu jauh untuk keluar ke jejantas, tibalah bahagian yang paling menguji. Berada di satu tempat yang baru yang sangat asing dalam keadaan cuaca tengah hari yang teramat sangat panas terik sehingga peluh mula mengalir!

Melihat peta Kuala Lumpur yang berada di tengah jejantas, penulis masih tiada klu mana arah yang perlu dituju. Bangunan HQ Pos Malaysia megah di depan mata penulis. Jika diikutkan panduan dari blog, penulis perlu bergerak dengan HQ Pos Malaysia di sebelah kanan. Masalahnya penulis berada di tengah-tengah. Kiri dan kanan jaraknya sama jauh. Tekanan semakin tinggi.

Penulis buka peta Google di telefon pintar. Destinasi yang dituju sangat dekat. Tapi di kota yang luas yang begitu asing ini, penulis tak tahu bagaimana untuk mula. Mengikut naluri, penulis mengikut laluan ke arah kiri kerana laluan ke sebelah kanan menuju stesen LRT.

Sampai di sebelah bangunan HQ Pos Malaysia. Sangkut, tersekat. Tidak tahu ke mana hendak dituju walaupun peta Google di tangan. Baju mula basah dengan peluh macam mandi hujan. Mujurlah saat itu, bantuan Allah tiba. Seorang hamba Allah dari bangunan Pos sedang membelek telefon pintarnya. Ketika ini penulis ragu-ragu hendak menegur atau tidak.

Orang kata, 'malu bertanya sesat jalan'!

Dengan sisa-sisa keberanian yang ada dan muka yang ditebalkan dengan 'topeng', penulis gagahkan juga untuk bertanya arah. Lelaki itu tidak tahu destinasi penulis. Penulis berikan landmark bangunan MARDI.

Hamba Allah: Eh, bukan MARDI kat Serdang ke?
Penulis: Ada satu kat sini, kalau ikut panduan saya.
Hamba Allah: Kejap, saya cek Waze.

Dia betul-betul bukak aplikasi Waze. Segan dah rasa. Tapi siapa lagi hendak diharapkan.

Hamba Allah: Apa landmark lain ye?
Penulis: Saya nak pergi MMC. Dekat je dari sini.
Hamba Allah: Eh, tu bukan dekat Putrajaya ke?
Penulis: Tak, dekat sini. Dekat je tapi tak tahu kat mana.

Hamba Allah sekali lagi membelek aplikasi Waze. Rakannya pun tiba. "Oh, dekat je ni. Jom ikut saya. Saya tunjuk jalan". Penulis pun menurut langkah hamba Allah dan rakannya.

Hamba Allah: Awak turun sana. Masuk laluan bawah tanah. Keluar sebelah sana. Jalan terus ikut arah Masjid Negara. Sampailah tempat tu.
Penulis: Terima kasih banyak.
Hamba Allah: Doktor lah ni? Nanti boleh saya dapat rawatan percuma bila jumpa lagi.

Penulis tersenyum selepas mengucapkan terima kasih sekali lagi. Ya, laluan bawah tanah itulah yang penulis cari. Sama seperti dalam panduan. Laluan itu sebenarnya penulis sudah nampak tadi. Penulis sering diajar dalam perubatan "your eyes cannot see what your mind does not know". Penulis sambung perjalanan. Masih ada satu salinan dokumen yang perlu disahkan. Salinan transkrip peperiksaan yang baru diambil di kampus Seremban sebaik saja sampai dari Kedah.

Penulis menuju ke sekolah Methodist perempuan yang hanya di seberang jalan dari kompleks Kementerian Kesihatan Malaysia. Di saat yang begitu mendesak, tak ada pulak pegawai yang boleh sahkan salinan itu di pejabat: penolong kanan dan pengetua. Dugaan lagi. Sempatlah penulis melepaskan lelah di luar pejabat dengan baju yang dibasahi peluh.

Selepas selesai urusan di sekolah tersebut, penulis pun bergerak ke destinasi utama. Ketika penulis berjaya tiba di depan pintu masuk MMC, jam sudah pun menunjukkan waktu 12.55 tengah hari dan staf sudah keluar untuk waktu rehat. Penulis pun bergerak ke surau dengan hati yang redha. Time to recharge! Bukak aircond dan kipas kelajuan maksima. Masa untuk sejukkan badan.

Selepas selesai semua urusan di MMC (hampir jam 3.30 petang), saya pun segera bergerak untuk ke Terminal Bersepadu Selatan. Lebih kurang sepuluh stesen jugak dengan LRT. Tiket bas pun dibeli untuk perjalanan jam 8.30 malam. Penulis pun menghabiskan masa melihat ragam manusia di terminal yang sentiasa sibuk.

Penulis dari Kedah pun terasa seksa terpaksa melakukan perjalanan ini yang sepatutnya dilakukan di atas talian pada zaman teknologi moden lagi canggih. Penulis memikirkan nasib rakan-rakan dari Sabah dan Sarawak yang terpaksa ke Kuala Lumpur hanya untuk urusan ini. Sangat menyusahkan.

Sekian saja bahagian pertama pendaftaran sementara.



Monday, September 3, 2018

Coretan Sukan Asia 2018 #4

Assalamualaikum.

So near yet so far.

Kata orang, kalau sudah bukan rezeki, nasi depan mulut pun tak dapat masuk.

Katalah apa saja. Bukan rezeki. Tidak bernasib baik. Kecuaian sendiri. Kita sudah mencuba. Yang berlalu takkan berulang lagi. Peluang secerah itu mungkin hanya sekali seumur hidup, atau jika bertuah, mungkin ada sekali atau dua kali lagi. 

Kapten, Sukri Mutalib, serta rakan-rakan sepasukan pasti sukar tidur lena memikirkan bagaimana kemenangan berjaya lolos dari genggaman mereka ketika ia sudah begitu hampir pasti digenggam. 

Hanya sepuluh minit daripada kejayaan agung sukan hoki negara.

Beraksi kali kedua di pentas final (selepas Guangzhou 2010) menentang lawan yang baru kali pertama menikmati aksi final, Malaysia berdepan halangan terakhir untuk tiket automatik ke Olimpik Tokyo 2020. Tiada India atau Pakistan buat kali kedua dalam sejarah hoki Sukan Asia. Malaysia di ranking ke-13 dunia berdepan Jepun di ranking ke-16.

Malaysia mendahului 1-0 menerusi pukulan sudut penalti Razie Rahim sebelum Jepun menyamakan kedudukan. Dua jaringan padang yang cantik dari Tengku Ahmad Tajuddin dan jaringan pukulan sudut penalti daripada Faizal Shaari meletakkan Malaysia selesa dengan kedudukan 4-1.

Jepun menambah satu lagi gol sebelum Amirol Aideed menampan bola ke dalam gawang untuk Malaysia mendahului 5-2 dalam suku terakhir dengan hanya 10 minit masa permainan yang tinggal. Ketika ini, bumi Jepun sudah terbayang di depan mata para pemain. Persis mereka mendarat di lapangan terbang Tokyo pada tahun 2020. Jurang bukan satu tapi tiga gol, apa lagi yang boleh menggugat mereka.

Ketika inilah, tiba-tiba saja taufan melanda entah datang dari mana. Para pemain Jepun seperti dirasuk bagaikan lupa mereka sedang ketinggalan tiga gol menentang barisan Malaysia yang berpengalaman. Mereka menjaringkan satu demi satu gol untuk mengejar Malaysia. Dua gol pantas dijaringkan untuk merapatkan kedudukan 5-4 sebelum Koji Yamasaki menyempurnakan sesuatu yang awalnya mustahil bagi Jepun. Tiada yang mustahil dalam kamus mereka.

Drama belum berakhir.

Malaysia mendapat pukulan sudut penalti di lewat permainan ketika menewaskan India di separuh akhir. Kali ini, Malaysia sekali lagi diberikan pukulan sudut penalti dan Tengku Ahmad Tajuddin melengkapkan hatriknya untuk Malaysia mendahului buat kali yang ketiga dalam perlawanan ini, dengan hanya dua minit masa permainan berbaki. DUA MINIT.

Deja vu. Babak di separuh akhir bagaikan berulang. Malaysia hanya perlu bertahan. Itu adalah situasi yang ideal. Sungguh tidak bernasib baik apabila Jepun diberikan pukulan sudut penalti dengan kurang satu minit lagi masa permainan. Dan Jepun menjaringkan gol itu ketika jam perlawanan menunjukkan baki 20 SAAT.

Masa penuh: Malaysia 6-6 Jepun.

Apa yang berlaku selepas itu adalah sejarah. Malaysia menurunkan barisan pemain yang sama ketika menewaskan India menerusi penentuan penalti. Hanya empat pemain Malaysia sempat mengambil pukulan. Dan hanya Firhan Ashaari seorang saja yang menyempurnakan pukulan pertama. Faizal Shaari, Meor Azuan dan Tengku Ahmad Tajuddin (penjaring hatrik) layu di bawah tekanan tinggi ketika pemain Jepun memastikan kemenangan 3-1 yang tidak dapat dibalas.

Jepun menjuarai hoki lelaki Sukan Asia dengan hanya satu percubaan di pentas final pertama mereka.

Malaysia kecundang lagi, buat kali kedua. Bumi Tokyo yang melambai mesra ketika Malaysia mendahului 5-2 pada satu ketika di babak terakhir, rupanya cuma mempermainkan perasaan. Semangat juang Jepun yang tidak pernah menyerah kalah membunuh harapan sukan Malaysia sekali lagi.

Para peminat sukan takkan lupa apabila Jepun menumbangkan Malaysia 3-2 di pentas final Piala Thomas 2014. Dan baru-baru ini, skuad bola sepak bawah 23 tahun Jepun menundukkan skuad negara di pusingan kedua bola sepak Sukan Asia dengan keputusan 1-0 menerusi jaringan penalti di lewat permainan. Ternyata Jepun memintas Malaysia di selekoh terakhir.

"Mimpi saya berkecai." - S. Kumar

Mimpi kami semua juga berkecai. Mimpi rakyat Malaysia hancur musnah. Tapi mimpi itu percuma. Mimpi itu milik kita. Sekarang kita bermimpi lagi.



Sunday, September 2, 2018

Liga Juara-Juara Eropah Kembali Lagi

Assalamualaikum.

Dan... musim baru Liga Juara-Juara Eropah akan bermula. Undian 32 pasukan kepada 8 kumpulan sudah dilakukan dan berikut adalah keputusannya. 


KUMPULAN A
Atletico Madrid (Sepanyol)
Borussia Dortmund (Jerman)
Monaco (Perancis)
Club Brugge (Belgium)

Atletico Madrid berpeluang cerah untuk memenangi kumpulan. Dortmund dan Monaco akan bersaing untuk mengiringi Atletico. Club Brugge mungkin sekadar mengutip pengalaman.

----

KUMPULAN B
Barcelona (Sepanyol)
Tottenham Hotspurs (England)
PSV Eindhoven (Belanda)
Inter Milan (Itali)

Kumpulan yang menarik. Tottenham sekali lagi diundi bersama gergasi Sepanyol selepas musim lalu sekumpulan dengan Real Madrid. Barcelona perlu berhati-hati kerana Tottenham memenangi kumpulan mereka musim lepas sebelum tewas di pusingan 16 terbaik. PSV dan Inter Milan memiliki sedikit peluang untuk menyaingi Barca dan Spurs.

----

KUMPULAN C
Paris Saint-Germain (Perancis)
Napoli (Itali)
Liverpool (England)
Red Star Belgrade (Serbia)

Kumpulan yang menarik juga tetapi PSG dan Liverpool dijangka mudah layak ke pusingan seterusnya dengan kekuatan skuad yang dimiliki. Napoli sedikit pincang selepas pengurus, Maurizio Sarri, berpindah ke Chelsea. Red Star Belgrade dijangka tidak mampu menandingi pasukan besar yang lain. 

----

KUMPULAN D
Lokomotiv Moscow (Rusia)
Porto (Portugal)
Schalke 04 (Jerman)
Galatasaray (Turki)

Satu kumpulan yang pastinya terbuka. Porto mempunyai kelebihan dari segi pengalaman untuk bertanding di pentas tertinggi Eropah. Begitu juga Galatasaray dan Schalke 04. Sukar untuk meramalkan dua pasukan yang akan terus mara. Mungkin satu slot untuk Porto.

----

KUMPULAN E
Bayern Munich (Jerman)
Benfica (Portugal)
Ajax (Belanda)
AEK Athens (Greece)

Boleh dikatakan kumpulan yang mudah untuk gergasi Bundesliga, Bayern Munich. Dari segi pengalaman, Benfica mungkin memiliki kelebihan berbanding Ajax dan AEK.

----

KUMPULAN F
Manchester City (England)
Shakhtar Donetsk (Ukraine)
Lyon (Perancis)
Hoffenheim (Jerman)

Deja vu bagi Shakhtar kerana diundi sekumpulan dengan Manchester City buat musim kedua berturut-turut. Manchester City memenangi kumpulan musim lalu dengan diiringi Shakhtar ketika Napoli disingkirkan. Lyon mungkin dapat memberikan cabaran kepada Shakhtar untuk tempat kedua.

----

KUMPULAN G
Real Madrid (Sepanyol)
Roma (Itali)
CSKA Moscow (Rusia)
Plzen (Republik Czech)

Kumpulan yang mudah untuk Real Madrid dan juga Roma. Watak pembunuh gergasi telah dimainkan Roma musim lepas dan pastinya mereka mengidamkan perjalanan sejauh itu lagi musim ini. Selain Real Madrid, Roma dijangka tidak berdepan banyak masalah untuk menempah slot ke pusingan seterusnya.

----

KUMPULAN H
Juventus (Itali)
Manchester United (England)
Valencia (Sepanyol)
Young Boys (Switzerland)

Saingan yang dijangka menarik. Undian seperti ini sepatutnya mudah bagi Manchester United dengan barisan pemain yang mereka ada. Namun, prestasi semasa dalam liga domestik tidak menyokong United. Valencia mungkin memberikan masalah. Dan jika United tidak berhati-hati, Young Boys juga akan menjadi racun.

--------------

Secara keseluruhan, tiada banyak masalah untuk kelab-kelab besar seperti Real Madrid, Barcelona, PSG, Bayern Munich, Manchester City dan Liverpool. Dalam majoriti kumpulan, ada dua nama besar yang dijangka mudah mara ke pusingan kalah mati. Napoli mungkin dapat menggugat PSG dan Liverpool. Manchester United perlu mencapai potensi mereka untuk mengatasi Juventus dan Valencia. 

Pakar Liga Juara-Juara Eropah, Cristiano Ronaldo akan beraksi bersama pasukan barunya, Juventus, selepas berpindah dari Real Madrid. Apakah kejutan dapat disaksikan?

We will wait, and see


Coretan Sukan Asia 2018 #3

Assalamualaikum.

Jika dikatakan Malaysia boleh menundukkan India sebelum perlawanan, mungkin boleh dikatakan gila. Mungkin juga hanya satu suku rakyat Malaysia yang percaya pasukan hoki negara mampu melakukannya. Tambahan lagi, Malaysia tewas dalam perlawanan penting menentang Pakistan 1-4 di peringkat kumpulan walaupun memenangi semua perlawanan yang lain.

Kita berbicara tentang keajaiban dalam sukan apabila menentang pasukan gergasi, dan keajaiban itulah yang disaksikan semalam.

India, pasukan di ranking kelima dunia dan juga juara bertahan Sukan Asia (pemenang emas di Incheon 2014), terpaksa akur dengan semangat juang luar biasa yang ditunjukkan pasukan hoki negara yang terkenal dengan jolokan 'Speedy Tigers'. 

Kebangkitan skuad hoki Malaysia diiktiraf dunia apabila bintang-bintang ternama dunia berhijrah ke liga domestik negara untuk melihat sendiri tahap permainan di liga Malaysia. Penyertaan pakar pukulan sudut penalti Argentina, Gonzalo Peillat, membuktikan pengiktirafan ini. Dan semalam, pasukan India yang bertaraf dunia menjadi mangsa.

Selepas menumbangkan Malaysia beberapa kali dalam perlawanan terakhir, tidak sukar untuk memahami sebab mengapa India begitu yakin memasuki perlawanan separuh akhir. Malaysia turun sebagai underdog kerana India baru saja memecahkan rekod dunia. Para pemain India menjaringkan 76 gol dalam peringkat kumpulan (menewaskan Indonesia 17-0, Hong Kong 26-0, Jepun 8-0, Korea Selatan 5-3, dan Sri Lanka 20-0).

Separuh masa pertama tamat dengan kedudukan 0-0. Hanya di suku ketiga, India mendahului Malaysia menerusi pukulan sudut penalti selepas beberapa kali diberikan peluang. Malaysia membalas menerusi jaringan padang daripada Faizal Shaari. Gol penyamaan itu tidak kekal lama apabila India kembali di depan, sekali lagi menerusi pukulan sudut penalti. India mendahului 2-1 sehingga hujung suku keempat.

Malaysia mendapat pukulan sudut penalti ketika permainan hanya berbaki satu minit. Pukulan itu sangat penting bagi Malaysia kerana jika gagal, Malaysia perlu pulang dengan satu lagi kekalahan kepada India dalam buku rekod. Razie Rahim mempunyai idea yang lain. Pukulan sempurnanya berjaya mengheret India ke penentuan penalti.

Firhan Ashaari, Meor Azuan, Faizal Shaari, Tengku Ahmad Tajuddin, dan Fitri Shaari menunjukkan kekuatan mental untuk mewakili pasukan. Selepas lima pukulan pertama, kedudukan terikat 2-2 dengan Tengku Ahmad Tajuddin, Meor Azuan dan Faizal Shaari gagal menyempurnakan pukulan. Tetapi mereka menebus kesilapan itu dengan jaringan dalam situasi sudden death.

S. Kumar menjadi wira apabila menyelamatkan pukulan terakhir lawan untuk membawanya dan pasukan ke final impian. Lebih penting lagi, India telah disingkirkan!

-----

Jepun menewaskan Pakistan 1-0 dalam perlawanan separuh akhir kedua untuk menempah perlawanan akhir dengan Malaysia. Untuk rekod, ini adalah kali pertama dalam sejarah penyertaan Jepun mereka berjaya mara ke perlawanan akhir Sukan Asia.

Malaysia mendapat satu lagi peluang untuk mengejar kemasyhuran menjadi juara Sukan Asia dan sekali gus layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020. Kali pertama Malaysia ke final adalah pada tahun 2010 di Guangzhou, China.

Apa sekali pun keputusan final nanti, satu juara baru akan ditabalkan selepas Korea Selatan, India, dan Pakistan. 



Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif