Welcome To My Life...

Friday, September 21, 2018

UCL 18/19 #1: Dua Menang Dua Tewas

Assalamualaikum.

Perlawanan pertama, peringkat kumpulan.

Musim baru Liga Juara-Juara Eropah sudah bermula untuk edisi 2018/2019. Real Madrid merupakan juara bertahan dengan kejayaan hatrik tiga tahun berturut-turut bermula pada musim 2015/2016. Malah Real Madrid juga menjuarai pertandingan ini empat kali dalam lima tahun terakhir. Satu lagi kelab Sepanyol, Barcelona muncul juara pada musim 2014/2015 bermakna juara dalam lima tahun yang terakhir merupakan pasukan La Liga di Sepanyol.

Berikut adalah keputusan penuh perlawanan dalam semua kumpulan. 

----------

KUMPULAN A

Monaco 1-2 Atletico Madrid
Club Brugge 0-1 Dortmund

Dua kelab tuan rumah dalam perlawanan pertama. Kemenangan tipis untuk kedua-dua pasukan pelawat dari Sepanyol dan Jerman. Atletico Madrid bangkit di Perancis dengan gol daripada Diego Costa dan Jose Gimenez. Christian Pulisic pula menjadi wira Dortmund dengan gol lewat permainan di Belgium.

-----

KUMPULAN B

Inter Milan 2-1 Tottenham
Barcelona 4-0 PSV

Berbeza dengan kumpulan A, dua pasukan tuan rumah mencatat kemenangan dalam kumpulan ini. Gol lewat di Itali membantu Inter Milan dengan jaringan daripada Mauro Icardi dan Matias Vecino menterbalikkan keputusan perlawanan. Jaguh La Liga pula menang selesa di Sepanyol dengan legenda kelab, Lionel Messi meledak hatrik peribadi kelapan dalam sejarah pertandingan (yang terbanyak sepanjang zaman).

-----

KUMPULAN C


Liverpool 3-2 Paris Saint-Germain
Red Star Belgrade 0-0 Napoli

Liverpool menceriakan penyokong mereka dengan kemenangan di tempat sendiri menentang gergasi Perancis yang turut dibarisi Neymar dan Kylian Mbappe. Selepas mendahului 2-0, Liverpool membenarkan lawan bangkit untuk menyamakan kedudukan. Namun gol lewat Roberto Firmino cukup untuk memberikan tiga mata penuh kepada pasukan naib juara musim lalu. Red Star Belgrade pula memungut satu mata penting di Serbia dengan mengikat lawan dari Itali yang lebih kuat.

-----

KUMPULAN D

Schalke 1-1 Porto
Galatasaray 3-0 Lokomotiv Moscow

Tuan rumah terpaksa berpuas hati di Jerman apabila pasukan pelawat berpengalaman dari Portugal berjaya menyamakan kedudukan. Tuan rumah di Turki pula menang besar walaupun seorang pemain dilayangkan kad merah.

-----

KUMPULAN E

Ajax 3-0 AEK
Benfica 0-2 Bayern Munich

Ajax menang bergaya di depan penyokong sendiri dibantu oleh dua gol jaringan Nicolas Tagliafico. Gergasi Bundesliga Jerman, Bayern Munich juga mencatat kemenangan sulung menerusi jaringan Robert Lewandowski dan Renato Sanches.

-----

KUMPULAN F

Shakhtar Donetsk 2-2 Hoffenheim
Manchester City 1-2 Lyon

Tuan rumah di Ukraine terselamat daripada menanggung kekalahan apabila menyamakan kedudukan dua kali untuk mencuri satu mata daripada kelab Jerman. Namun berita lebih sensasi dalam kumpulan ini adalah kejayaan pelawat dari Perancis membenam gergasi dari England yang sarat dengan pemain bintang. Lyon mendahului dua gol di separuh masa pertama sebelum Bernardo Silva menjaringkan satu gol di babak kedua untuk merapatkan kedudukan.

-----

KUMPULAN G

Viktoria Plzen 2-2 CSKA Moscow
Real Madrid 3-0 Roma

Dua gol daripada Michael Krmencik di babak pertama tidak cukup untuk membantu tuan rumah menang di Republik Czech. Sepakan penalti lewat daripada Nikola Vlasic menghadiahkan satu mata untuk pelawat. Juara bertahan tiga musim berturut-turut dari Sepanyol pula tidak menghadapi masalah untuk membenam cabaran pelawat dari Itali.

-----

KUMPULAN H

Valencia 0-2 Juventus
Young Boys 0-3 Manchester United

Kedua-dua pasukan pelawat yang juga pasukan pilihan dalam kumpulan ini mengutip tiga mata awal. Dicemari insiden Cristiano Ronaldo dilayangkan kad merah, Miralem Pjanic menyempurnakan dua sepakan penalti untuk pelawat di Sepanyol. Jaguh Switzerland pula gagal mengatasi Manchester United yang mendapat inspirasi daripada Paul Pogba yang menjaringkan dua gol dan membuat satu bantuan gol.

-----------

Dua pasukan dari England mencatat kemenangan (Manchester United/Liverpool) dan dua lagi kecundang (Manchester City/Tottenham). 

Perlawanan kedua akan berlangsung pada 3 dan 4 Oktober.



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif