Welcome To My Life...

Thursday, November 30, 2017

Asia's Got Talent: Semi Final #3

Assalamualaikum.

Separuh akhir yang ketiga dan terakhir untuk rancangan Asia's Got Talent musim kedua. Tiga lagi peserta dari lapan yang bertanding akan mara ke Grand Final. Lapan bakat yang dipilih oleh juri semasa Judges' Audition akan memberikan persembahan terbaik mereka. Sesi kali ini juga akan melibatkan dua peserta yang mendapat golden buzzer dari juri semasa sesi uji bakat. 

Dua peserta yang mendapat undian terbanyak dari penonton dari separuh akhir kedua, dan layak ke Grand Final ialah The Sacred Riana (Indonesia) dan Adem Dance Crew (Republik Kyrgyz).

------------------------------

Ulasan persembahan lapan peserta di malam separuh akhir ketiga:

1) Yumbo Dump (Jepun)
Menggunakan badan untuk membuat bunyi yang menggelikan hati penonton. Secara peribadi, penulis menyokong David Foster yang tidak menggemari persembahan ini. Tiada yang terlalu istimewa.

2) Viriya Rici (Indonesia)
Tarian breakdance yang lebih lincah berbanding semasa uji bakat. Persembahan yang sangat bertenaga. Baru berusia 11 tahun, Viriya comel dan memang artis semulajadi. Susunan pentas yang baik.

3) Feng E (Taiwan, golden buzzer)
Pemain ukulele elektrik cilik yang mendapat golden buzzer dari David Foster. Persembahan yang lebih baik berbanding sesi uji bakat. Muzik yang begitu indah didengar. Feng E sangat tenang bagi seorang kanak-kanak. Memukau dan menghiburkan.

David Foster bersedia untuk menekan golden buzzer sekali lagi jika boleh. David memuji Feng E sebagai satu-satunya manusia di dunia yang dapat membuat persembahan seperti itu.

4) Krittaya Ariyasit (Thailand)
Persembahan sempurna yang mendapat penghormatan berdiri dari juri dan penonton. Berlatarbelakangkan dunia bawah laut, Krittaya membuatkan penonton berdebar dengan persembahan berani bermain di udara menggunakan tali. Krittaya berkali-kali seperti tergantung di udara. Sangat cekap dalam menguasai kebolehan ini.

5) Akira Kimura (Jepun, golden buzzer)
Persembahan magik yang biasa. Walaupun bertenaga, trick Akira mudah dibaca dan diakui sendiri oleh Jay Park. Pelik melihat persembahan dari Akira yang mendapat golden buzzer dari Anggun.

6) Sumit Sadawarti (India)
Persembahan nyanyian yang menyentuh perasaan. Walaupun hanya statik, nada suara Sumit menarik terutamanya nada rendah yang dipuji oleh Anggun. Sumit menerima nasihat David Foster untuk tidak menggunakan piano dan fokus kepada nyanyian.

7) Sobhi Shaker (Malaysia)
Persembahan terbaik malam ini yang mendapat penghormatan berdiri dari penonton. Persembahan yang sangat 'gila' dan membuatkan penonton teruja. Card trick yang sangat menarik. Sobhi membawa mesej besar yang disampaikan: #StopAllWar. Menamatkan persembahan dengan tulisan Asia's Got Talent di atas kad terup yang kosong. Two thumbs up.

8) Urban Crew (Filipina)
Persembahan penutup yang bertenaga. Tarian akrobat dari beberapa orang penari ini walaupun ada sikit kesilapan, tidak mengurangkan keterujaan penonton melihat aksi-aksi berani. Jay Park memuji persembahan mereka sebagai berkelas dunia.

------------------------------

David Foster, Anggun, dan Jay Park sebulat suara memilih Feng E untuk layak secara automatik ke Grand Final.

Oleh sebab Sobhi Shaker gagal mendapat Pilihan Juri, dia kini perlu bersaing dengan enam peserta lain untuk mendapat dua undian terbanyak. Maka menjadi tanggungjawab penulis untuk mengundi Sobhi dengan harapan dia akan dapat membuat persembahan terbaik di malam Grand Final minggu depan.

Taip Asia's Got Talent Vote di Google dan 10 undian untuk Sobhi Shaker.

Keyboard off.



Asia's Got Talent: Semi Final #1

Assalamualaikum.

Aneh juga entri tentang semi final pertama hanya keluar selepas entri semi final kedua. Penulis hanya menonton episod kedua semi final di saluran 701 Astro AXN. Semua persembahan peserta semi final pertama ini ditonton di Youtube. 

Lapan peserta membuat persembahan. Tiga akan layak ke final. Satu secara automatik melalui Pilihan Juri, dan dua lagi yang mendapat undian terbanyak dari penonton selama tiga hari. 

1) Power Storm Crew (Thailand) [tersingkir]
Persembahan tarian breakdance yang sangat bertenaga. Beberapa ahli dengan kekuatan tangan yang menakjubkan.

2) Angela July (Indonesia) [*Pilihan Juri]
Persembahan nyanyian sambil bermain harp. Suara yang dinamik. Sememangnya layak untuk mara ke Grand Final secara automatik. 

3) Andrew Lee (Malaysia) [tersingkir]
Tanpa bias walaupun Andrew dari Malaysia, persembahan magik yang menghiburkan. Seorang yang kacak dan pandai berjenaka, Andrew sepatutnya dapat mara ke final. Juri suka dengan persembahannya.

4) Deniel Sarmiento (Filipina) [tersingkir]
Permulaan yang perlahan dengan hanya melompat-lompat menunjukkan kelenturan badan seperti seorang atlet gimnastik. Menamatkan persembahan dengan aksi di gelung yang menarik. 

5) The Sisters (Singapura) [tersingkir]
Dua adik-beradik yang cantik dengan suara yang sangat harmoni. Persembahan bersama dengan koir yang memang lazat di telinga. Tak layak tersingkir.

6) Neil Rey Garcia Llanes (Filipina) [*layak]
Persembahan beatbox yang hebat dibahagikan kepada dua bahagian. Bahagian kedua dengan irama tujuh bunyi yang berlainan dirancakkan dengan koreografi yang mantap. Selayaknya mendapat undian tertinggi. 

7) Ekklesia (Korea Selatan) [tersingkir]
Satu persembahan memukau dari trio penyanyi opera. Mendapat penghormatan berdiri dari juri dan penonton di studio. Tiga suara yang hebat. Dikritik oleh produser muzik, David Foster kerana dia lebih sukakan persembahan semasa uji bakat. 

8) Canion Shijirbat (Mongolia) [*layak]
Satu persembahan menarik hasil gabungan pergerakan dan rekaan grafik. Memang mengagumkan juri dan penonton. Layak mendapat undian penonton untuk mara ke final.

----------------------

Malam ini, dua peserta yang mendapat undian terbanyak dari penonton dari separuh akhir kedua akan diumukan sebelum bermula sesi separuh akhir ketiga. Lapan lagi peserta akan merebut tiga slot terakhir ke Grand Final.

Keyboard off.



Sunday, November 26, 2017

Dendam Terlerai

Assalamualaikum.

Alhamdulillah, baru sampai bumi Seremban selepas cuti rehat seminggu di kampung halaman bersama famili tercinta. 

Rasanya dah lama tak menulis tentang perkembangan dunia badminton walaupun masih mengikuti rapat di halaman Facebook. Akhir-akhir ini begitu susah nak melihat pemain Malaysia beraksi di final peringkat tinggi iaitu Kejohanan Siri Super. Kebetulan Dato' Lee Chong Wei baru saja berjaya. Hari ini memang istimewa.

Keputusan penuh Siri Super Terbuka Hong Kong 2017:

XD: Zheng Siwei/Huang Yaqiong (China) vs Mathias Christiansen/Christinna Pedersen (Denmark) 21-15 21-13

WD: Chen Qingchen/Jia Yifan (China) vs Apriyani Rahayu/Greysia Polii (Indonesia) 14-21 21-16 21-15

WS: Tai Tzu Ying (Taiwan) vs PV Sindhu (India) 21-18 21-18

MD: Marcus Gideon/Kevin Sanjaya (Indonesia) vs Mads Conrad/Mads Pieler 21-12 21-18

MS: Lee Chong Wei (Malaysia) vs Chen Long (China) 21-14 21-19

--------------------

Dua gandingan baru bertemu dalam final beregu campuran menyaksikan kemenangan berpihak kepada pasangan China dengan straight set. Zheng Siwei yang berpasangan dengan Chen Qingchen sebelum ini mengalahkan Christinna Pedersen yang sebelum ini pernah bergandingan dengan Joachim Fischer.

Beregu muda China, Chen Qingchen dan Jia Yifan menundukkan beregu dari Indonesia dalam pertarungan sengit. Chen Qingchen kini boleh dikatakan ratu beregu China untuk beberapa tahun akan datang. Indonesia mempunyai masa depan cerah jika pemain mudanya, Apriyani Rahayu dapat memenuhi potensi untuk menjadi pakar beregu.

Ratu badminton dunia dari Taiwan, Tai Tzu Ying yang baru kembali pulih dari kecederaan bahu menang straight set ke atas musuh tradisi dari India yang sedang meningkat naik. Acara perseorangan wanita dilihat seimbang pada tahun ini dengan adanya saingan dari Ratchanok Intanon (Thailand), Akane Yamaguchi dan Nozomi Okuhara (Jepun), Sung Ji Hyun (Korea Selatan), Chen Yufei serta He Bingjiao (China), Saina Nehwal (India), dan juara Olimpik, Carolina Marin (Sepanyol).

Acara beregu lelaki terus didominasi pasangan Indonesia, Marcus Gideon/Kevin Sanjaya yang digelar 'Minions' oleh para peminat mereka. Marcus/Kevin menumbangkan beregu Denmark dalam final untuk melengkapkan tahun yang cemerlang bagi mereka. 

Final acara perseorangan lelaki paling ditunggu-tunggu. Pertemuan ulangan final Sukan Olimpik Rio 2016. Chen Long dalam mood terbaik selepas merangkul kejuaraan Terbuka China minggu lepas dengan mengalahkan juara dunia, Viktor Axelsen dari Denmark. Lee Chong Wei pula mara ke perlawanan akhir selepas beberapa kali terkandas di pusingan awal tahun ini.

Wira Malaysia ini ternyata di tahap terbaik. Selepas menundukkan Shi Yuqi (yang menyingkirkan Lin Dan), Dato' Lee membalas kekalahannya di Brazil dengan kemenangan straight set. Walaupun tiada pingat emas Olimpik menjadi taruhan dan kejuaraan Terbuka Hong Kong ini tidak sebesar prestij Olimpik, kemenangan ini penting untuk moral Dato' Lee.

Tahniah Lee Chong Wei. 

Keyboard off



Friday, November 24, 2017

AGT: Semi Final #2

Assalamualaikum.

Semalam telah berlangsung sesi separuh akhir kedua untuk rancangan Asia's Got Talent musim kedua. Terdapat tiga sesi semi final untuk menentukan sembilan finalis ke Grand Final nanti. Tiga peserta akan layak dari setiap minggu semi final (satu Pilihan Juri pada malam tersebut, dan dua lagi yang mendapat undian terbanyak dari penonton selama tiga hari). 

Penulis tidak menonton separuh akhir pertama. Namun di awal rancangan semalam, dua peserta yang mendapat undian terbanyak penonton diumumkan mara ke Grand Final: Canion Shijirbat (Mongolia-golden buzzer) dan Neil Rey Garcia Llanes (Filipina). Peserta yang menjadi Pilihan Juri dari separuh akhir pertama ialah Angela July dari Indonesia (sumber: Wikipedia). 

Berikut adalah senarai lapan peserta yang merebut tiga tempat di final:

1. Adem Dance Crew (Republik Kyrgyz) #AGTVote9
2.* Mafarikha (Malaysia) #AGTVote10
3. The Sacred Riana (Indonesia) #AGTVote11
4.* Fitri Cerado (Filipina) #AGTVote12
5. 218 Dance Crew (Vietnam) #AGTVote13
6.* Syah Riszuan (Singapura) #AGTVote14
7. XTrap (Jepun) #AGTVote15
8. DM-X Comvalenoz (Filipina) #AGTVote16

Penulis tidak mahu komen tentang persembahan nyanyian (bertanda *) oleh Mafarikha, Syah Riszuan dan Fitri Cerado. Nyanyian sudah tentu adalah hiburan tetapi penulis tidak dapat mengulas tentang sudut teknikal.

Lima lagi persembahan lain sangat menghiburkan. Adem Dance Crew dengan tarian yang menggunakan kelenturan badan. Kumpulan Adem ini juga ialah peserta yang mendapat golden buzzer dari juri Jay Park semasa pusingan kelayakan. The Sacred Riana dengan persembahan ringkas tapi menakutkan. Ada satu patung manusia tiba-tiba muncul dari dalam kotak dan menakutkan juri Anggun. 218 Dance Crew dengan persembahan tarian menggunakan lampu LED. XTrap dengan persembahan menggunakan jari. DM-X Comvalenoz pula penuh tenaga ketika menari.

Pilihan Juri (Judges Pick) minggu ini yang layak ke Grand Final ialah DM-X Comvalenoz yang dipilih sebulat suara oleh David Foster, Anggun, dan Jay Park. Secara peribadi, penulis menyukai persembahan Adem Dance Crew (#AGTVote11), 218 Dance Crew (#AGTVote13), dan XTrap (#AGTVote15). The Sacred Riana menghiburkan bagi penulis tetapi terlalu ringkas. 

Dua daripada tujuh peserta yang mendapat undian terbanyak akan menyertai empat peserta yang sedang menanti. Dua peserta ini akan diumumkan semasa permulaan separuh akhir ketiga. 

Sesi ketiga semi final akan melibatkan lapan lagi peserta iaitu Akira Kimura (Indonesia-golden buzzer), Feng E (Taiwan-golden buzzer), Krittaya Ariyasit (Thailand), Sobhi Shaker (Malaysia), Sumit Sadawarti (India), Urban Crew (Filipina), Viriya Rici (Indonesia), dan Yumbo Dump (Jepun). Tiga lagi peserta akan melengkapkan senarai finalis.

Keyboard off.



Thursday, November 23, 2017

UCL 17/18 #5

Assalamualaikum.

Perlawanan kelima peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah. Beberapa pasukan akan mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati, dan beberapa pasukan pula akan sah tersingkir.

Setakat ini sudah empat pasukan layak ke pusingan seterusnya selepas empat perlawanan: Paris Saint-Germain (Perancis), Bayern Munich (Jerman), Manchester City (England), dan Tottenham Hotspurs (England).

---------------------------

KUMPULAN A
CSKA Moscow 2-0 Benfica
Basel 1-0 Manchester United

KUMPULAN B
Paris Saint-Germain 7-1 Celtic
Anderlecht 1-2 Bayern

KUMPULAN C
Qarabag 0-4 Chelsea
Atletico Madrid 2-0 Roma

KUMPULAN D
Sporting Lisbon 3-1 Olympiacos
Juventus 0-0 Barcelona

KUMPULAN E
Spartak Moscow 1-1 Maribor
Sevilla 3-3 Liverpool

KUMPULAN F
Napoli 3-0 Shakhtar
Manchester City 1-0 Feyenoord

KUMPULAN G
Besiktas 1-1 Porto
Monaco 1-4 Leipzig

KUMPULAN H
Dortmund 1-2 Tottenham
APOEL 0-6 Real Madrid

--------------------------------

Kemenangan CSKA Moscow dan Basel dalam kumpulan A bermakna perlawanan terakhir akan menentukan pasukan yang layak. Manchester United sudah 90% selamat dari segi matematik. PSG mencipta rekod jaringan baru dalam peringkat kumpulan selepas membelasah Celtic di Paris. Bayern pula menang tipis dalam kumpulan sama.

Chelsea mengesahkan tempat di pusingan 16 terbaik apabila membelasah kelab Azerbaijan. Atletico Madrid menghidupkan sisa-sisa harapan dalam kumpulan C. Sporting Lisbon membenam Olympiacos di Portugal ketika Barcelona mengikat Juventus di tempat lawan.

Dua keputusan seri dalam kumpulan E. Liverpool mendahului tiga gol tetapi Sevilla bangkit untuk seri dan mengingatkan Liverpool tentang kebangkitan hebat Liverpool ketika final edisi 2005 di Istanbul. Napoli dan Manchester City terus gah dalam kumpulan F apabila menundukkan lawan masing-masing.

Porto mengikat Besiktas di Turki. Satu lagi perlawanan kumpulan G menyaksikan Leipzig menang bergaya di Perancis dengan membelasah Monaco. Tottenham bangkit dari ketinggalan untuk menundukkan Dortmund di Jerman. Real Madrid pula membalas kritikan dalam perlawanan kedua kumpulan H dengan kemenangan selesa.

Empat lagi pasukan mara: Besiktas (Turki) dan Real Madrid (Sepanyol), Chelsea (England), dan Barcelona (Sepanyol). Hanya tinggal 8 tempat untuk diisi. Pasukan-pasukan lain terpaksa menanti perlawanan terakhir kumpulan.

Keyboard off.



Wednesday, November 22, 2017

Gantung

Assalamualaikum.

Penulis baru selesai membaca novel hebat karya seorang doktor perubatan, Nadia Khan. Dia yang juga penulis novel 'Kelabu', 'Pakar' dan sekuel kepada 'Gantung' sendiri iaitu 'Gantung:2'

GANTUNG
Rating peribadi: 8.5/10

*Amaran: Anda perlu membaca novel ini dua kali untuk benar-benar faham.

Anda hanya tahu anda telah terperangkap apabila sampai ke hujung cerita. Plot twist yang digunakan oleh Nadia memang sangat gila. Penulis cabar anda untuk baca kali pertama dan sudah dapat menangkap perbezaan garis masa dari awal cerita lagi. 

Sebenarnya, anda boleh dapat tangkap jika anda fokus dari awal untuk mencari jawapan. Sebaliknya jika anda membaca sekadar untuk santai seperti penulis, anda pasti silap. Klu demi klu dihidangkan satu demi satu oleh Nadia dari permulaan novel lagi, tetapi anda hanya akan dapat mengesan jika anda benar-benar membaca. 

Faktor ini yang membuatkan penulis dapat memberikan rating tinggi kepada novel ini yang telah diulang cetak berkali-kali. Mengapa tidak rating sempurna?

*Amaran: Novel ini penuh kekejaman, keganasan, dan unsur kandungan dewasa yang melampau. Tidak sesuai untuk bacaan kanak-kanak dan remaja.

Penulis akan ringkaskan kedua-dua garis masa yang dicantum menjadi satu novel.

---------------------------------

Garis masa pertama

Cerita dimulakan dengan pengenalan hero utama, pelajar Tingkatan 4, Gibran Zahim atau Gibbs, seorang anak orang kaya yang sangat nakal. Cikgu-cikgu tidak suka dengan Gibbs tetapi mereka tidak dapat berbuat apa-apa kerana ayah Gibbs adalah penaung penting sekolah itu, SMK Cemerlang Gemilang Terbilang (SMKCGT). Gibbs ada tiga rakan baik: Raymond Da Silva aka Ray seorang pengarah teater/drama sekolah, Khairil Jalaluddin aka KJ yang suka menyakat orang, dan Jailani aka Troll seorang atlet sekolah.

Mereka digelar The Musketeers. Mereka ada satu kod (Musketeer Code) di mana ahli kumpulan ini tak boleh ada steady girlfriend. Kod ini juga menyebut mereka akan berkongsi wanita untuk ditiduri. Oleh sebab mereka sangat terkenal di sekolah, ramai gadis di sekolah itu sanggup mematuhi kod itu kerana menyukai salah seorang ahli kumpulan ini.

Masalah bermula bila Gibbs menyukai ketua pelajar sekolah itu, Fara. Pada mulanya, Gibbs menerima undian tertinggi untuk menjadi ketua pelajar tetapi dia telah menolak tawaran itu. Gibbs cuba mendekati Fara tetapi gadis itu bersikap dingin kepadanya. Gibbs dan rakan-rakan dapat menyedari rakan sebilik Fara, Deepa sangat meminati Gibbs.

Telah berlaku insiden bas rosak yang memulakan kisah cinta Gibbs-Fara. Gibbs menghantar Fara ke rumah pak cik Fara menaiki motosikalnya. Gibbs mula mengenali Fara dengan lebih dekat, bahawa Fara mempunyai kelebihan untuk melihat roh/hantu sejak kecil. Gibbs berjaya menundukkan Fara di rumah pak ciknya buat kali pertama. Gibbs dan Fara bersetuju merahsiakan perkara itu dari pengetahuan ahli Musketeers yang lain. Fara menyatakan kasihnya kepada Gibbs dan memberikan rantai tangan miliknya untuk melindungi Gibbs dari ternampak hantu.

Deepa membocorkan rahsia Gibbs kepada Troll. Deepa menawarkan dirinya untuk ditiduri mereka kerana dia tahu kewujudan Musketeer Code. Ahli-ahli Musketeer tidak memarahi Gibbs kerana berahsia kerana mereka sedar ketulusan cinta Gibbs kepada Fara. Mereka merancang untuk mengajar Deepa kerana terlalu terdesak. Tanpa mereka sangka, perbuatan ini akan mengubah hidup mereka selama-lamanya.

KJ dan Troll bersubahat membogelkan Deepa dan mengambil gambarnya untuk simpanan mereka. Deepa pulang dengan rasa malu yang teramat sangat kerana dihina oleh KJ. Deepa tidak datang ke sekolah untuk beberapa ketika selepas peristiwa memalukan itu. Deepa kembali dan meminta untuk bertemu janji dengan Gibbs hanya sekali. Gibbs bersetuju kerana rasa bersalah. Pada malam yang dijanjikan, Gibbs menanggalkan rantai tangan yang diberikan oleh Fara (kerana rasa bersalah) dan keluar bertemu Deepa. Satu panggilan telefon ketika temu janji di restoran tepi tasik itu mengejutkan kerana Deepa ditemui menggantung diri di dewan teater sekolah!

Mereka cuba untuk melupakan kejadian itu tetapi masing-masing terasa dengan apa yang berlaku kecuali KJ. Mereka menyambung persekolahan di Tingkatan Lima.

Garis masa pertama berakhir di sini dan apa yang berlaku seterusnya hanya diketahui melalui garis masa kedua.

Garis masa kedua (sepuluh tahun kemudian)

Garis masa ini sukar ditafsir di awal cerita kerana nama watak tidak disebut. Penceritaan garis masa kedua ini dari awal hanyalah antara beberapa watak termasuk guru kaunselor dan seorang lelaki yang dipanggil semula untuk membantu menyelesaikan masalah.

Garis masa kedua ini melibatkan Lina dan Jeremy pada tahun 2021. Kedua-duanya diganggu hantu. Lina mendapatkan bantuan kaunselor yang pantas mengesan Lina berseorangan di bilik 108 Blok Teratai. Jeremy pula seperti juga Lina, seorang yang tidak punya kawan, sangat meminati teater kerana idolanya adalah bekas senior sekolah, Raymond (Ray). Selepas pertemuan Lina dengan kaunselor, Lina telah menegur Raymond untuk bertanya tentang gangguan hantu dan mereka berkawan sejak itu. Malah Lina juga telah mendedahkan sisi gelap dirinya (ketagih seks) yang menjadi rahsia dirinya sendiri.

Kaunselor itu telah memanggil sahabat lamanya yang bernama Khalil Abdullah. Pada mulanya, Khalil tidak mahu kembali ke sekolah dan mengingati apa yang cuba dilupakannya. Namun, kesempatan untuk berjumpa dengan 'seseorang' itu sudah cukup untuk membawanya kembali berpijak di tanah itu sekali lagi selepas sekian lama.

Menuju ke hujung novel watak Khalil semakin jelas ialah figura Ray selepas 10 tahun, manakala kaunselor sekolah itu pula ialah Fara. Dua hantu yang tiba-tiba mengganas di SMKCGT ialah roh Gibbs dan roh KJ yang masih tergantung di Tingkatan Lima. Jeremy dan Lina hanya menjadi mangsa. Roh KJ tahu tentang ketagihan Lina yang selalu mencari kepuasan di bandar.

Roh Gibbs tidak tahu sebenarnya dia telah mati, tetapi roh KJ tahu dan cuba merahsiakan. Dua roh ini seperti masih di zaman sekolah mereka (dalam garis masa pertama). KJ mahu terus bergembira dalam 'zaman kegemilangan'nya. Khalil/Ray mendapat ilham untuk menyampaikan hal sebenar kepada Gibbs iaitu melalui teater. Pementasan teater ini merungkai segalanya yang terjadi. Satu tragedi di tahun terakhir persekolahan mereka.

Pementasan terakhir ini jugalah yang membuatkan cantuman dua garis masa ini terang lagi nyata. Betapa dua garis masa ini telah wujud dari awal dan dipisahkan oleh satu garisan senipis benang. Apa yang tidak disebut dalam garis masa pertama disebut di sini. Bagaimana abang angkat Deepa yang merupakan gangster telah menembak mati Gibbs, KJ, dan Troll ketika mereka di dalam bilik. Bilik ini tidak dikunci (seperti diceritakan oleh Ray dalam sekuel Gantung:2). Ray dengan sengaja telah dibiarkan hidup untuk menyesali tindakan mereka dan meneruskan hidupnya dalam kesengsaraan rasa bersalah sepanjang hayat.

----------------------------------

Novel ini adalah kisah psycho thriller yang digarap dengan sangat kemas. Novel ini telah diadaptasi menjadi drama Malaysia-Indonesia. Bintang Indonesia, Randy Pangalila membawakan watak Gibbs di kaca televisyen.

Beberapa perkara mengurangkan rating peribadi penulis. Unsur kandungan dewasa terlalu melampau bagi penulis walaupun itu adalah satu realiti masa kini. Pergaulan bebas antara pelajar SMKCGT sehingga sanggup menggadai maruah, dan juga cinta gay Ray terhadap Gibbs. Unsur-unsur ini disampaikan oleh Nadia dengan terperinci sehingga boleh menjadi pencetus kepada pembaca remaja yang masih keliru dan celaru dengan identiti mereka.

Kelemahan seterusnya adalah jurang masa sepuluh tahun antara insiden pertama dan peristiwa berikutnya. Punca roh Gibbs dan KJ muncul selepas begitu lama tidak dijelaskan. Adakah 10 tahun di dunia manusia hanya 10 hari di dunia roh? Mengapa roh mereka berdua mengambil masa panjang untuk bertindak lebih agresif? Timbul juga persoalan tentang roh Troll yang tidak mendatangkan kekacauan.

Ada satu aspek positif yang penulis harus puji. Permainan emosi yang diberikan oleh Nadia begitu explicit. Tentang perasaan Ray dan Fara kepada Gibbs yang masih tidak berubah walaupun selepas 10 tahun berlalu. Betapa Fara sangat mencintai Gibbs sehingga sanggup menjadi kaunselor di SMKCGT dan mendiamkan kekacauan hantu Gibbs hanya semata-mata kerana ingin bersama Gibbs. Fara selalu bertemu roh Gibbs di belakang blok Delta (yang roh Gibbs anggap masih di zaman sekolah). Pelajar sering melihat kaunselor bercakap seorang diri.

Ray telah memeluk agama Islam dan memilih nama Khalil (kesilapan ejaan Kahlil dari nama Kahlil Gibran) untuk mengabadikan nama seseorang yang paling dicintainya. Nadia begitu terperinci ketika menjelaskan cinta songsang Ray yang suka melihat rambut Gibbs ketika basah.

Novel ini penuh dengan cinta dan dosa, tetapi kurang cacat celanya!



Sunday, November 19, 2017

Back With A Bang

Assalamualaikum.

Manchester United menang di kubu, bukan berita baru.


Perlawanan liga pertama selepas aksi antarabangsa yang turut melibatkan perlawanan terakhir kelayakan Piala Dunia 2018. Manchester United membenam Newcastle United 4-1, satu kemenangan yang meyakinkan.

Kali terakhir United beraksi dalam liga, mereka tewas kepada Chelsea di Stamford Bridge. Namun sebelum perlawanan kali ini, kem Manchester United diceriakan dengan kembalinya tiga pemain penting yang beraksi cemerlang sebelum mereka cedera: Paul Pogba, Zlatan Ibrahimovic dan Marcos Rojo. 

Sebelum United turun bermain lewat malam tadi (waktu Malaysia), pencabar-pencabar utama sudah mencatat kemenangan. Arsenal menumbangkan Spurs dalam derby utara London, Manchester City menundukkan Leicester, manakala Chelsea dan Liverpool juga menang selesa mengatasi lawan masing-masing.

Para peminat United ceria apabila melihat senarai nama kesebelasan utama yang dikeluarkan:
David De Gea | Antonio Valencia; Chris Smalling; Victor Lindelof; Ashley Young | Nemanja Matic; Paul Pogba; Anthony Martial; Juan Mata; Marcus Rashford | Romelu Lukaku

Kecederaan Phil Jones dan Eric Bailly meletakkan gandingan Smalling-Lindelof di pertahanan tengah. Kembalinya Pogba menyingkirkan Ander Herrera dan Marouane Fellaini ke bangku simpanan. Henrikh Mkhitaryan langsung tidak berada dalam senarai pemain walaupun tidak cedera. Martial dan Rashford memulakan perlawanan bersama-sama buat kali pertama. Ini adalah barisan terbaik dan terkuat yang dimiliki United, dan sudah lama diimpikan oleh peminat. Akhirnya, Jose Mourinho mendengar seruan peminat setia.

Newcastle terlebih dulu mendahului apabila hantaran silang DeAndre Yedlin disepak Dwight Gayle, terkena palang sebelum menyentuh jaring. Malang nasib Lindelof yang tergelincir ketika cuba menghalang Gayle. Para pemain United terus tenang mengasak kubu Newcastle.

Gol penyamaan United akhirnya hadir selepas asakan bertali arus. Tarian Pogba di sayap kanan berjaya menewaskan pemain lawan sebelum hantaran silangnya yang indah ditanduk Martial. Sememangnya kepentingan Martial dalam pasukan United tidak dapat disangkal lagi. Manchester United menamatkan separuh masa pertama di depan apabila hantaran silang Young ditanduk Smalling. HT 2-1.

Pogdance

Separuh masa kedua bersambung, United tidak memperlahankan rentak kerana sebarang keputusan selain kemenangan akan menyukarkan peluang mereka mengejar Manchester City. Satu serangan kilat menghasilkan gol ketiga. Hantaran silang Lukaku dari sebelah kanan ditanduk Rashford ke laluan Pogba yang mudah melakukan tap in sebelum menari riang. Lukaku yang melihat Ibrahimovic memanaskan badan, sempat meledak gol keempat hasil hantaran Mata. Gol ini sangat penting bagi Lukaku yang menamatkan kemarau jaringan gol.

Lion is back

Pada usia 36 tahun, dan selepas tujuh bulan tidak beraksi kerana kecederaan, bintang Sweden kembali untuk mengukuhkan skuad Manchester United. Kemasukan Zlatan menggantikan Martial mendapat sorakan gemuruh penyokong di Old Trafford. Zlatan hampir menjaringkan gol apabila sepakan guntingnya ditepis Rob Elliott. 

Setelah lama menanti kepulangan Pogba, kehadiran semula bekas pemain termahal dunia ini selari dengan kembalinya kemenangan besar United. Ketika ketiadaan Pogba, jentera tengah United ketandusan ilham dan tiada kreativiti. Kini Pogba dan Zlatan kembali untuk memacu United ke puncak liga.

Perlawanan seterusnya, Manchester United akan beraksi dalam perlawanan kelima peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah dengan misi mengekalkan rekod kemenangan 100%. Jose Mourinho mungkin merehatkan Pogba untuk mengelakkan kecederaan.

Keyboard off.



Saturday, November 18, 2017

Senarai Lengkap Piala Dunia 2018

Assalamualaikum.


Telah selesai perlawanan terakhir dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2018. Play-off antara pasukan di tangga kelima kelayakan zon Amerika Selatan dan juara kelayakan zon Oceania. Pertembungan Peru dan New Zealand untuk menentukan pasukan ke-32 dan terakhir yang akan ke Rusia tahun depan.

Lengkap sudah senarai 32 pasukan.


Penampilan dalam Piala Dunia

Brazil menjadi pasukan dengan penampilan terbanyak (21 kali). Panama dan Iceland akan membuat kemunculan sulung di pentas tertinggi bola sepak dunia. Pasukan lain dengan penampilan sedikit di Piala Dunia termasuklah Senegal (kali kedua) dan Mesir (ketiga). Beberapa pasukan membuat kemunculan semula selepas gagal layak dalam edisi sebelum ini.

Beberapa nama besar pula gagal layak ke Rusia kali ini. Itali dan Belanda adalah dua pasukan ternama yang tidak mendapat tiket dari zon Eropah. Juara-juara benua juga mengecewakan. Chile (juara Amerika Selatan), Amerika Syarikat (juara Amerika Utara/Caribbean), Cameroon (juara Afrika) dan New Zealand (juara Oceania) juga tidak mendapat tempat.

32 pasukan mengikut zon

-------------------------

Berikut adalah senarai pasukan yang layak mengikut zon

EROPAH (14)
Rusia; Belgium; Jerman; England; Sepanyol; Poland; Serbia; Iceland; Perancis; Portugal; *Switzerland; *Croatia; *Sweden; *Denmark

AMERIKA SELATAN (5)
Brazil; Uruguay; Argentina; Colombia; **Peru

ASIA (5)
Iran; Jepun; Korea Selatan; Arab Saudi; **Australia

AMERIKA UTARA/CARIBBEAN (3)
Mexico; Costa Rica; Panama

AFRIKA (5)
Nigeria; Mesir; Senegal; Maghribi; Tunisia

*play-off Eropah
**play-off antara benua

------------------------------------

Menanti undian

32 pasukan ini telah dibahagikan kepada empat pot. Undian peringkat kumpulan akan dilakukan pada 1 Disember ini. Para peminat di seluruh dunia tidak sabar menantikan pasukan mana yang akan berada dalam 'kumpulan maut'. Pasukan-pasukan pilihan utama berada dalam pot 1. Senarai pasukan dalam setiap pot ini ditentukan berdasarkan ranking dunia FIFA bulan Oktober 2017. Croatia menggantikan pasukan pilihan, Itali, yang tersingkir.

Peraturan undian:
(1) Satu pasukan akan diambil dari setiap pot untuk membentuk lapan kumpulan yang melibatkan empat pasukan.
(2) Dalam satu kumpulan, tidak boleh ada lebih dari dua pasukan dari benua Eropah; dan tidak lebih dari satu pasukan dari konfederasi lain.

Berikut adalah antara kumpulan maut yang dapat dibentuk mengikut peraturan di atas. Ranking dunia pasukan di dalam kurungan.

Jerman (1) + Sepanyol (8) + Costa Rica (22) + Nigeria (41)

Brazil (2) + Peru (10) + Denmark (19) + Serbia (38)

Jerman dan Sepanyol dalam satu kumpulan? Pasti hebat. Namun kumpulan kedua lebih menggerunkan dengan tiga pasukan dalam kelompok 20 pasukan terbaik dunia. Peraturan baru yang meletakkan pasukan dalam setiap pot mengikut ranking dunia terakhir (16 Oktober 2017) menjanjikan persaingan yang lebih seimbang dan menarik.

Sama-sama kita nantikan keputusan undian pada 1 Disember nanti.

Keyboard off.



Wednesday, November 15, 2017

EOP

Assalamualaikum.

Minggu keenam dalam posting pembedahan (surgery).

Hari ni penulis ada peperiksaan amali (long case) untuk end of posting (EOP). Penulis perlu interviu pesakit dan juga melakukan pemeriksaan untuk membincangkan kes itu dengan pensyarah yang menjadi mentor penulis dalam posting ini. 

-------------------

'Prof asks us to clerk patient in 3B'

Mesej dalam kumpulan Whatsapp menghiasi pagi penulis. Sia-sia saja penulis menghabiskan masa on call untuk berbual dengan pesakit di wad 3A semalam. Kena interviu pesakit yang lain pula. Kena mula dari awal!

-----------------

Penulis melangkah berat ke wad 3B. Melihat rakan-rakan lain yang berkongsi mentor sudah memulakan long case mereka. Penulis tidak tahu pesakit di wad ini kerana penulis sudah enam minggu berada di wad 3A. Penulis melihat sekeliling wad dan berkira-kira untuk menangguhkan peperiksaan EOP ini ke hari esok. Rosak mood penulis.

Ketika penulis sudah hampir berputus asa, tiba-tiba penulis rasa berani untuk berbual dengan seorang lelaki muda berkaca mata yang sedang duduk di atas kerusi di sebelah katilnya. Dia nampak stabil. Mukanya tenang, tak nampak garang. Penulis segera membuka bed head ticket (BHT). Masa semakin suntuk.

Penulis membaca penyakit yang dihidapinya sejak kecil. Ventricular septal defect. Hmm. Dextrocardia. Menarik. Penulis membaca pula sebab dia datang ke hospital kali ini (presentation). Tak ada kaitan dengan penyakit lama tetapi bolehlah untuk penulis 'goreng' depan mentor. Penulis memperkenalkan diri, menyatakan tujuan, dan memulakan sesi long case

Penulis tanya apa yang relevan mengikut struktur history taking yang dipelajari. Seboleh mungkin penulis cuba untuk membuatkan brother itu selesa dan tidak rimas dengan soalan demi soalan yang penulis lemparkan. 

-----------------------

Rakan penulis sudah habis membincangkan kesnya dengan mentor. Tiba giliran penulis. Berdebar juga rasa, walaupun ini bukan kali pertama penulis melakukan case presentation. Baru saja penulis melafazkan ayat pertama, tiba-tiba seorang pegawai perubatan lelaki di wad itu menyapa mentor penulis (Prof D). Prof memaklumkan bahawa penulis sedang menjalani peperiksaan.

"This is not a good case for exam."

Penulis masih ingat jelas kata-katanya, bagai 'membunuh' penulis ketika itu juga. Ketika penulis memilih kes ini, sudah disedari kes ini tidak mudah. Hanya mampu mengukir senyuman. Seterusnya, penulis tersilap menyatakan 'passing out stool with blood' (membuang air besar dengan darah) sebagai hematochezia. Sebenarnya penulis sendiri tidak pasti.

"Told ya, this is suicide case."

Sekali lagi pegawai perubatan tadi bersuara menyatakan penulis telah silap memilih kes ini untuk dibincangkan. Penulis tak kisah kerana penulis sudah tiada pilihan lain tadi. Penulis menyudahkan cerita tentang pesakit. Masa untuk membentangkan hasil pemeriksaan.

Kes ini menarik kerana banyak findings. Di kukunya boleh dilihat clubbing dan cyanosis. Nadinya berbeza rentak di kedua-dua belah tangan. Kuat di sebelah kanan, dan perlahan di sebelah kiri. Di dadanya terlihat jelas parut thoracotomy yang dilakukan dua kali untuk melakukan shunt bagi jantungnya. Ada juga dua parut pembedahan untuk memasukkan pacemaker

Seorang yang tabah pada usia yang masih muda.

-----------------------

Pesakit ini mempunyai dextrocardia. Ini bermakna posisi jantungnya di sebelah kanan dada dan bukan di sebelah kiri seperti manusia lain. Bukan itu saja, dia juga mempunyai situs inversus, di mana posisi hati dan limpanya bertukar. Hatinya yang sepatutnya berada di bawah jantung kini di sebelah kiri badan. 

Oh ya, penilaian untuk penulis berjalan lancar dan penulis lulus posting ini dengan selamat. Terima kasih kepada mentor atas tunjuk ajar.

Masa untuk cuti seminggu bagi merehatkan penulis dari tekanan tahun akhir yang mencengkam.

Keyboard off.



Sunday, November 12, 2017

Hanya Yang Berani

Assalamualaikum.

Bermain dengan api. Bukan sebarangan orang yang mampu. Hanya yang berani saja.

'ONLY THE BRAVE'
Rating penulis: 9/10

*spoiler alert*

*spoiler alert*

*spoiler alert*

Filem ini adalah berdasarkan kisah benar 19 orang ahli Granite Mountain Hotshots yang terbunuh dalam kebakaran Bukit Yarnell pada tahun 2013. Satu pengakhiran yang tragis bagi wira-wira Prescott, Arizona ini. 

Filem ini dimulakan dengan kebakaran. Mood dibina tanpa berlengah. Satu kelebihan tentang pembikinan filem ini adalah ia kaya dengan bahasa teknikal tentang pemadaman kebakaran oleh para hotshot ini. Seperti para penonton juga berada dalam kalangan mereka (walaupun mengambil masa untuk faham).

Plot filem ini disambung dengan perjalanan awal Eric Marsh yang merupakan pengurus satu pasukan hotshot. Konflik Eric dan isterinya, Amanda, juga disajikan. Bagaimana Amanda terpaksa berdikari kerana Eric akan selalu keluar jauh dalam misi memadam kebakaran. Satu kisah selari diselitkan. Penulis tidak tahu adakah watak sampingan ini benar-benar wujud dalam kisah Yarnell Hill Fire.

Watak Brendan sebagai seorang yang bermasalah kemudian cuba mengubah hidupnya apabila mengetahui kekasihnya hamil. Brendan tidak lari, sebaliknya cuba bertanggungjawab. Ketika ini, penulis sangka Brendan juga akan mati pada akhirnya.

Pasukan hotshot yang diuruskan oleh Eric ini diketuai oleh kapten Jesse Steed. Mereka pada awalnya hanya berstatus krew gred rendah dan hanya menjadi pasukan sokongan dalam usaha memadamkan kebakaran hutan. Eric meminta bantuan Duane untuk membantunya mendapatkan penilaian bagi meningkatkan status mereka.

Ketika dalam sesi penilaian, penilai mereka yang berpengalaman telah diherdik oleh Eric kerana mengganggu pertimbangannya dalam memberi arahan. Eric menyesal kemudiannya kerana pasukannya mungkin gagal dan impiannya mungkin musnah kerana egonya. Dia hanya mahu melakukan apa yang terbaik pada pandangannya dalam situasi tersebut.

Duane menyampaikan berita gembira bahawa penilai tersebut telah meluluskan kenaikan status mereka. Walaupun penilai itu tidak suka dengan perangai Eric, penilai itu menghormati kehebatan pasukan Eric. Nama 'Granite Mountain Hotshot' telah dipilih oleh Eric.

Filem ini turut menyelitkan kisah budak nakal Mackenzie yang menghidupkan suasana cerita dengan perangainya yang dengki terhadap budak baru, Brendan. Turut diselitkan adalah konflik Eric-Amanda yang berterusan kerana Eric tidak memikirkan tentang anak walaupun mereka telah berhubungan selama enam tahun. Amanda kecewa kerana hidupnya telah banyak berubah sejak bersama Eric.

Tiba-tiba Yarnell Hill Fire datang merenggut segala kebahagiaan. Eric terpaksa meninggalkan Amanda demi tuntutan tugas. Amanda harus faham. Penduduk bandar memerlukan Granite Mountain Hotshot. Jika tidak, kebakaran itu akan 'membaham' bandar Prescott, Arizona. Ketika ini, Granite Mountain Hotshot bergabung dengan Blue River Hotshot. Mereka telah diberi arahan yang perlu dipatuhi dengan tiga trigger points. Titik-titik ini adalah berdasarkan kemaraan api. Mereka perlu berundur apabila api marak ke titik kedua. Bandar perlu dikosongkan apabila api sampai ke titik ketiga.

Malang sekali, Yarnell Hill Fire marak terlalu pantas. Apabila api sampai di titik kedua, Eric masih degil dan tidak mahu berundur. Dia meminta pasukannya turun ke lereng bukit untuk melindungi kawasan itu. Hari itu sangat malang bagi mereka semua. Api marak sangat pantas dengan dibantu angin. Mereka dikepung kerana api mengejar mereka dari belakang dan menutup jalan keluar mereka dari depan. Mereka terpaksa berlindung di bawah satu beg untuk setiap ahli ketika api itu melintas di atas mereka. Mereka sudah dilatih dengan situasi ini jika terperangkap. Rasanya seperti 'kiamat' tetapi jika mereka boleh bernafas, mereka masih boleh hidup. Tetapi tidak kali ini.

Doktor yang dihantar untuk mencari mereka telah menemui satu kawasan di mana 19 ahli disahkan mati. Api yang terlalu besar telah membakar mereka sehingga rentung menjadi abu. Suasana ketika ini sangat sayu. Brendan terselamat dan mendengar berita ini melalui komunikasi radio. Brendan diselamatkan oleh pengurus Blue River Hotshot ketika dia menjadi peninjau untuk pasukannya.

-----------------------

Sesuatu yang aku belajar dari filem ini adalah bagaimana para hotshot ini melawan api dengan api. Mereka membina 'garisan', kemudian menghidupkan api untuk menahan kemaraan kebakaran. Kredit kepada pasukan pembikinan filem, mereka berjaya membawa penonton menyelami lautan emosi bersama para hotshot sehingga detik mereka dijemput 'pulang'.

Begitu sakit melihat watak Brendan yang kehilangan rakan-rakan seperjuangannya. Brendan hanyalah watak selari yang turut bersama dalam perjuangan Granite Mountain Hotshot sebelum 19 ahlinya rentung dalam Yarnell Hill Fire pada tahun 2013.

Keyboard off.





Saturday, November 4, 2017

UCL 17/18 #4

Assalamualaikum.

Pusingan kedua untuk peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah musim 2017/2018. Tiga perlawanan yang terakhir sebelum dua pasukan dari setiap kumpulan mara ke pusingan kalah mati manakala satu pasukan di tempat ketiga setiap kumpulan akan memasuki Liga Europa secara automatik.

--------------------

KUMPULAN A
Basel 1-2 CSKA Moscow
Manchester United 2-0 Benfica

KUMPULAN B
Paris Saint-Germain 5-0 Anderlecht
Celtic 1-2 Bayern

KUMPULAN C
Atletico Madrid 1-1 Qarabag
Roma 3-0 Chelsea

KUMPULAN D
Sporting Lisbon 1-1 Juventus
Olympiacos 0-0 Barcelona

KUMPULAN E
Sevilla 2-1 Spartak Moscow
Liverpool 3-0 Maribor

KUMPULAN F
Napoli 2-4 Manchester City
Shakhtar 3-1 Feyenoord

KUMPULAN G
Porto 3-1 Leipzig
Besiktas 1-1 Monaco

KUMPULAN H
Dortmund 1-1 APOEL
Tottenham 3-1 Real Madrid

-------------------------------

CSKA Moscow menang di Switzerland untuk menghidupkan peluang untuk mengiringi Manchester United yang mengalahkan Benfica kali kedua berturut-turut. Manchester United mengekalkan rekod 100% untuk berada di puncak kumpulan A. PSG terus mengungguli kumpulan B dengan membelasah Anderlecht di Paris. Bayern hampir pasti mengiringi mereka dengan kemenangan tipis di Scotland.

Atletico Madrid terus menyukarkan peluang mereka sendiri apabila seri dengan kelab Azerbaijan buat kali kedua berturut-turut, kali ini di gelanggang sendiri. Kemenangan selesa Roma di Itali bermakna mereka berjaya memintas Chelsea untuk berada di tangga pertama kumpulan C. Kedua-dua perlawanan kumpulan D berakhir dengan keputusan seri. Juventus gagal menang di Portugal yang bermakna peluang Sporting Lisbon masih belum tertutup.

Sevilla menang tipis di Sepanyol untuk memintas Spartak Moscow dalam kumpulan E ketika Liverpool membenam Maribor sekali lagi untuk kekal di takhta kumpulan. Manchester City membuktikan keunggulan di Eropah apabila menundukkan Napoli buat kali kedua. Shakhtar Donetsk juga menang dalam satu lagi perlawanan kumpulan F, mengakibatkan Feyenoord masih tidak mengutip sebarang mata.

Porto menang bergaya di Portugal untuk memintas Leipzig di tangga kedua kumpulan G. Besiktas mengikat Monaco untuk terus kukuh di tangga teratas kumpulan. Borussia Dortmund hanya mampu seri di Jerman dan hampir pasti menempah tiket ke Liga Europa. Tottenham Hotspurs mengejutkan Real Madrid di England untuk merampas takhta kumpulan H.

Dalam beberapa kumpulan, masih ada peluang untuk beberapa pasukan. Ada pasukan yang telah layak ke pusingan kalah mati dengan berbaki dua perlawanan lagi. Monaco (Perancis) yang musim lepas melangkah jauh dalam pusingan kalah mati berada dalam situasi bahaya. Atletico Madrid juga hampir pasti ke Liga Europa.




Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif