Welcome To My Life...

Wednesday, November 22, 2017

Gantung

Assalamualaikum.

Penulis baru selesai membaca novel hebat karya seorang doktor perubatan, Nadia Khan. Dia yang juga penulis novel 'Kelabu', 'Pakar' dan sekuel kepada 'Gantung' sendiri iaitu 'Gantung:2'

GANTUNG
Rating peribadi: 8.5/10

*Amaran: Anda perlu membaca novel ini dua kali untuk benar-benar faham.

Anda hanya tahu anda telah terperangkap apabila sampai ke hujung cerita. Plot twist yang digunakan oleh Nadia memang sangat gila. Penulis cabar anda untuk baca kali pertama dan sudah dapat menangkap perbezaan garis masa dari awal cerita lagi. 

Sebenarnya, anda boleh dapat tangkap jika anda fokus dari awal untuk mencari jawapan. Sebaliknya jika anda membaca sekadar untuk santai seperti penulis, anda pasti silap. Klu demi klu dihidangkan satu demi satu oleh Nadia dari permulaan novel lagi, tetapi anda hanya akan dapat mengesan jika anda benar-benar membaca. 

Faktor ini yang membuatkan penulis dapat memberikan rating tinggi kepada novel ini yang telah diulang cetak berkali-kali. Mengapa tidak rating sempurna?

*Amaran: Novel ini penuh kekejaman, keganasan, dan unsur kandungan dewasa yang melampau. Tidak sesuai untuk bacaan kanak-kanak dan remaja.

Penulis akan ringkaskan kedua-dua garis masa yang dicantum menjadi satu novel.

---------------------------------

Garis masa pertama

Cerita dimulakan dengan pengenalan hero utama, pelajar Tingkatan 4, Gibran Zahim atau Gibbs, seorang anak orang kaya yang sangat nakal. Cikgu-cikgu tidak suka dengan Gibbs tetapi mereka tidak dapat berbuat apa-apa kerana ayah Gibbs adalah penaung penting sekolah itu, SMK Cemerlang Gemilang Terbilang (SMKCGT). Gibbs ada tiga rakan baik: Raymond Da Silva aka Ray seorang pengarah teater/drama sekolah, Khairil Jalaluddin aka KJ yang suka menyakat orang, dan Jailani aka Troll seorang atlet sekolah.

Mereka digelar The Musketeers. Mereka ada satu kod (Musketeer Code) di mana ahli kumpulan ini tak boleh ada steady girlfriend. Kod ini juga menyebut mereka akan berkongsi wanita untuk ditiduri. Oleh sebab mereka sangat terkenal di sekolah, ramai gadis di sekolah itu sanggup mematuhi kod itu kerana menyukai salah seorang ahli kumpulan ini.

Masalah bermula bila Gibbs menyukai ketua pelajar sekolah itu, Fara. Pada mulanya, Gibbs menerima undian tertinggi untuk menjadi ketua pelajar tetapi dia telah menolak tawaran itu. Gibbs cuba mendekati Fara tetapi gadis itu bersikap dingin kepadanya. Gibbs dan rakan-rakan dapat menyedari rakan sebilik Fara, Deepa sangat meminati Gibbs.

Telah berlaku insiden bas rosak yang memulakan kisah cinta Gibbs-Fara. Gibbs menghantar Fara ke rumah pak cik Fara menaiki motosikalnya. Gibbs mula mengenali Fara dengan lebih dekat, bahawa Fara mempunyai kelebihan untuk melihat roh/hantu sejak kecil. Gibbs berjaya menundukkan Fara di rumah pak ciknya buat kali pertama. Gibbs dan Fara bersetuju merahsiakan perkara itu dari pengetahuan ahli Musketeers yang lain. Fara menyatakan kasihnya kepada Gibbs dan memberikan rantai tangan miliknya untuk melindungi Gibbs dari ternampak hantu.

Deepa membocorkan rahsia Gibbs kepada Troll. Deepa menawarkan dirinya untuk ditiduri mereka kerana dia tahu kewujudan Musketeer Code. Ahli-ahli Musketeer tidak memarahi Gibbs kerana berahsia kerana mereka sedar ketulusan cinta Gibbs kepada Fara. Mereka merancang untuk mengajar Deepa kerana terlalu terdesak. Tanpa mereka sangka, perbuatan ini akan mengubah hidup mereka selama-lamanya.

KJ dan Troll bersubahat membogelkan Deepa dan mengambil gambarnya untuk simpanan mereka. Deepa pulang dengan rasa malu yang teramat sangat kerana dihina oleh KJ. Deepa tidak datang ke sekolah untuk beberapa ketika selepas peristiwa memalukan itu. Deepa kembali dan meminta untuk bertemu janji dengan Gibbs hanya sekali. Gibbs bersetuju kerana rasa bersalah. Pada malam yang dijanjikan, Gibbs menanggalkan rantai tangan yang diberikan oleh Fara (kerana rasa bersalah) dan keluar bertemu Deepa. Satu panggilan telefon ketika temu janji di restoran tepi tasik itu mengejutkan kerana Deepa ditemui menggantung diri di dewan teater sekolah!

Mereka cuba untuk melupakan kejadian itu tetapi masing-masing terasa dengan apa yang berlaku kecuali KJ. Mereka menyambung persekolahan di Tingkatan Lima.

Garis masa pertama berakhir di sini dan apa yang berlaku seterusnya hanya diketahui melalui garis masa kedua.

Garis masa kedua (sepuluh tahun kemudian)

Garis masa ini sukar ditafsir di awal cerita kerana nama watak tidak disebut. Penceritaan garis masa kedua ini dari awal hanyalah antara beberapa watak termasuk guru kaunselor dan seorang lelaki yang dipanggil semula untuk membantu menyelesaikan masalah.

Garis masa kedua ini melibatkan Lina dan Jeremy pada tahun 2021. Kedua-duanya diganggu hantu. Lina mendapatkan bantuan kaunselor yang pantas mengesan Lina berseorangan di bilik 108 Blok Teratai. Jeremy pula seperti juga Lina, seorang yang tidak punya kawan, sangat meminati teater kerana idolanya adalah bekas senior sekolah, Raymond (Ray). Selepas pertemuan Lina dengan kaunselor, Lina telah menegur Raymond untuk bertanya tentang gangguan hantu dan mereka berkawan sejak itu. Malah Lina juga telah mendedahkan sisi gelap dirinya (ketagih seks) yang menjadi rahsia dirinya sendiri.

Kaunselor itu telah memanggil sahabat lamanya yang bernama Khalil Abdullah. Pada mulanya, Khalil tidak mahu kembali ke sekolah dan mengingati apa yang cuba dilupakannya. Namun, kesempatan untuk berjumpa dengan 'seseorang' itu sudah cukup untuk membawanya kembali berpijak di tanah itu sekali lagi selepas sekian lama.

Menuju ke hujung novel watak Khalil semakin jelas ialah figura Ray selepas 10 tahun, manakala kaunselor sekolah itu pula ialah Fara. Dua hantu yang tiba-tiba mengganas di SMKCGT ialah roh Gibbs dan roh KJ yang masih tergantung di Tingkatan Lima. Jeremy dan Lina hanya menjadi mangsa. Roh KJ tahu tentang ketagihan Lina yang selalu mencari kepuasan di bandar.

Roh Gibbs tidak tahu sebenarnya dia telah mati, tetapi roh KJ tahu dan cuba merahsiakan. Dua roh ini seperti masih di zaman sekolah mereka (dalam garis masa pertama). KJ mahu terus bergembira dalam 'zaman kegemilangan'nya. Khalil/Ray mendapat ilham untuk menyampaikan hal sebenar kepada Gibbs iaitu melalui teater. Pementasan teater ini merungkai segalanya yang terjadi. Satu tragedi di tahun terakhir persekolahan mereka.

Pementasan terakhir ini jugalah yang membuatkan cantuman dua garis masa ini terang lagi nyata. Betapa dua garis masa ini telah wujud dari awal dan dipisahkan oleh satu garisan senipis benang. Apa yang tidak disebut dalam garis masa pertama disebut di sini. Bagaimana abang angkat Deepa yang merupakan gangster telah menembak mati Gibbs, KJ, dan Troll ketika mereka di dalam bilik. Bilik ini tidak dikunci (seperti diceritakan oleh Ray dalam sekuel Gantung:2). Ray dengan sengaja telah dibiarkan hidup untuk menyesali tindakan mereka dan meneruskan hidupnya dalam kesengsaraan rasa bersalah sepanjang hayat.

----------------------------------

Novel ini adalah kisah psycho thriller yang digarap dengan sangat kemas. Novel ini telah diadaptasi menjadi drama Malaysia-Indonesia. Bintang Indonesia, Randy Pangalila membawakan watak Gibbs di kaca televisyen.

Beberapa perkara mengurangkan rating peribadi penulis. Unsur kandungan dewasa terlalu melampau bagi penulis walaupun itu adalah satu realiti masa kini. Pergaulan bebas antara pelajar SMKCGT sehingga sanggup menggadai maruah, dan juga cinta gay Ray terhadap Gibbs. Unsur-unsur ini disampaikan oleh Nadia dengan terperinci sehingga boleh menjadi pencetus kepada pembaca remaja yang masih keliru dan celaru dengan identiti mereka.

Kelemahan seterusnya adalah jurang masa sepuluh tahun antara insiden pertama dan peristiwa berikutnya. Punca roh Gibbs dan KJ muncul selepas begitu lama tidak dijelaskan. Adakah 10 tahun di dunia manusia hanya 10 hari di dunia roh? Mengapa roh mereka berdua mengambil masa panjang untuk bertindak lebih agresif? Timbul juga persoalan tentang roh Troll yang tidak mendatangkan kekacauan.

Ada satu aspek positif yang penulis harus puji. Permainan emosi yang diberikan oleh Nadia begitu explicit. Tentang perasaan Ray dan Fara kepada Gibbs yang masih tidak berubah walaupun selepas 10 tahun berlalu. Betapa Fara sangat mencintai Gibbs sehingga sanggup menjadi kaunselor di SMKCGT dan mendiamkan kekacauan hantu Gibbs hanya semata-mata kerana ingin bersama Gibbs. Fara selalu bertemu roh Gibbs di belakang blok Delta (yang roh Gibbs anggap masih di zaman sekolah). Pelajar sering melihat kaunselor bercakap seorang diri.

Ray telah memeluk agama Islam dan memilih nama Khalil (kesilapan ejaan Kahlil dari nama Kahlil Gibran) untuk mengabadikan nama seseorang yang paling dicintainya. Nadia begitu terperinci ketika menjelaskan cinta songsang Ray yang suka melihat rambut Gibbs ketika basah.

Novel ini penuh dengan cinta dan dosa, tetapi kurang cacat celanya!



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif