Welcome To My Life...

Sunday, November 12, 2017

Hanya Yang Berani

Assalamualaikum.

Bermain dengan api. Bukan sebarangan orang yang mampu. Hanya yang berani saja.

'ONLY THE BRAVE'
Rating penulis: 9/10

*spoiler alert*

*spoiler alert*

*spoiler alert*

Filem ini adalah berdasarkan kisah benar 19 orang ahli Granite Mountain Hotshots yang terbunuh dalam kebakaran Bukit Yarnell pada tahun 2013. Satu pengakhiran yang tragis bagi wira-wira Prescott, Arizona ini. 

Filem ini dimulakan dengan kebakaran. Mood dibina tanpa berlengah. Satu kelebihan tentang pembikinan filem ini adalah ia kaya dengan bahasa teknikal tentang pemadaman kebakaran oleh para hotshot ini. Seperti para penonton juga berada dalam kalangan mereka (walaupun mengambil masa untuk faham).

Plot filem ini disambung dengan perjalanan awal Eric Marsh yang merupakan pengurus satu pasukan hotshot. Konflik Eric dan isterinya, Amanda, juga disajikan. Bagaimana Amanda terpaksa berdikari kerana Eric akan selalu keluar jauh dalam misi memadam kebakaran. Satu kisah selari diselitkan. Penulis tidak tahu adakah watak sampingan ini benar-benar wujud dalam kisah Yarnell Hill Fire.

Watak Brendan sebagai seorang yang bermasalah kemudian cuba mengubah hidupnya apabila mengetahui kekasihnya hamil. Brendan tidak lari, sebaliknya cuba bertanggungjawab. Ketika ini, penulis sangka Brendan juga akan mati pada akhirnya.

Pasukan hotshot yang diuruskan oleh Eric ini diketuai oleh kapten Jesse Steed. Mereka pada awalnya hanya berstatus krew gred rendah dan hanya menjadi pasukan sokongan dalam usaha memadamkan kebakaran hutan. Eric meminta bantuan Duane untuk membantunya mendapatkan penilaian bagi meningkatkan status mereka.

Ketika dalam sesi penilaian, penilai mereka yang berpengalaman telah diherdik oleh Eric kerana mengganggu pertimbangannya dalam memberi arahan. Eric menyesal kemudiannya kerana pasukannya mungkin gagal dan impiannya mungkin musnah kerana egonya. Dia hanya mahu melakukan apa yang terbaik pada pandangannya dalam situasi tersebut.

Duane menyampaikan berita gembira bahawa penilai tersebut telah meluluskan kenaikan status mereka. Walaupun penilai itu tidak suka dengan perangai Eric, penilai itu menghormati kehebatan pasukan Eric. Nama 'Granite Mountain Hotshot' telah dipilih oleh Eric.

Filem ini turut menyelitkan kisah budak nakal Mackenzie yang menghidupkan suasana cerita dengan perangainya yang dengki terhadap budak baru, Brendan. Turut diselitkan adalah konflik Eric-Amanda yang berterusan kerana Eric tidak memikirkan tentang anak walaupun mereka telah berhubungan selama enam tahun. Amanda kecewa kerana hidupnya telah banyak berubah sejak bersama Eric.

Tiba-tiba Yarnell Hill Fire datang merenggut segala kebahagiaan. Eric terpaksa meninggalkan Amanda demi tuntutan tugas. Amanda harus faham. Penduduk bandar memerlukan Granite Mountain Hotshot. Jika tidak, kebakaran itu akan 'membaham' bandar Prescott, Arizona. Ketika ini, Granite Mountain Hotshot bergabung dengan Blue River Hotshot. Mereka telah diberi arahan yang perlu dipatuhi dengan tiga trigger points. Titik-titik ini adalah berdasarkan kemaraan api. Mereka perlu berundur apabila api marak ke titik kedua. Bandar perlu dikosongkan apabila api sampai ke titik ketiga.

Malang sekali, Yarnell Hill Fire marak terlalu pantas. Apabila api sampai di titik kedua, Eric masih degil dan tidak mahu berundur. Dia meminta pasukannya turun ke lereng bukit untuk melindungi kawasan itu. Hari itu sangat malang bagi mereka semua. Api marak sangat pantas dengan dibantu angin. Mereka dikepung kerana api mengejar mereka dari belakang dan menutup jalan keluar mereka dari depan. Mereka terpaksa berlindung di bawah satu beg untuk setiap ahli ketika api itu melintas di atas mereka. Mereka sudah dilatih dengan situasi ini jika terperangkap. Rasanya seperti 'kiamat' tetapi jika mereka boleh bernafas, mereka masih boleh hidup. Tetapi tidak kali ini.

Doktor yang dihantar untuk mencari mereka telah menemui satu kawasan di mana 19 ahli disahkan mati. Api yang terlalu besar telah membakar mereka sehingga rentung menjadi abu. Suasana ketika ini sangat sayu. Brendan terselamat dan mendengar berita ini melalui komunikasi radio. Brendan diselamatkan oleh pengurus Blue River Hotshot ketika dia menjadi peninjau untuk pasukannya.

-----------------------

Sesuatu yang aku belajar dari filem ini adalah bagaimana para hotshot ini melawan api dengan api. Mereka membina 'garisan', kemudian menghidupkan api untuk menahan kemaraan kebakaran. Kredit kepada pasukan pembikinan filem, mereka berjaya membawa penonton menyelami lautan emosi bersama para hotshot sehingga detik mereka dijemput 'pulang'.

Begitu sakit melihat watak Brendan yang kehilangan rakan-rakan seperjuangannya. Brendan hanyalah watak selari yang turut bersama dalam perjuangan Granite Mountain Hotshot sebelum 19 ahlinya rentung dalam Yarnell Hill Fire pada tahun 2013.

Keyboard off.





No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif