Welcome To My Life...

Saturday, December 14, 2019

Diari Housemanship #2

Assalamualaikum.

Menyambung kisah housemanship penulis daripada pengalaman sendiri. Tiada yang lebih benar melainkan hakikat dan realiti. Pahit itu ubat, manis itu racun. 

Posting pertama: medical (perubatan am)

---

SYIF

Jadual setiap minggu:
3x syif AM (7 pagi - 5 petang)
1x syif PM (7 pagi - 9 malam)
1x Night (on-call 8 malam - 10 pagi esoknya)
1x post-night (kelepasan syif selepas jam 10 pagi)
1x Hari Kelepasan (cuti)

Sebagai rekod, ini adalah jadual yang ideal dengan jumlah house officers yang cukup. Semua orang akan mendapat satu hari cuti setiap minggu. Mendengar cerita rakan serumah penulis misalnya dalam posting O&G (perbidanan/sakit puan), ada yang terpaksa bekerja syif double PM atau double night dalam seminggu kerana tak cukup pegawai perubatan siswazah. Bayangkan pun dah seksa, apatah lagi yang melalui?

Syif yang paling disukai pastinya syif AM. Tapi di medical posting, balik lewat adalah perkara yang biasa. Pada mulanya penulis agak stres kerana tak dapat balik on time. Balik lewat dua jam pada pukul 7 petang. Kalau asyik balik lewat, tak ada bezalah dengan tempoh tagging. Jadi apa untungnya kerja sistem syif?

Selepas beberapa ketika, penulis redha. Penulis merendahkan jangkaan. Berada dalam rotation ini tidak boleh mengharapkan untuk balik on time.

Walaupun hanya sekali seminggu, syif PM dan juga night/on-call sangat sukar. Hanya empat orang (atau lima jika bertuah) houseman yang tinggal. Seorang houseman perlu menjaga dua wad. Menghadapi pass-over, kes baru, pesakit yang tidak stabil, atau kerja dari pagi yang belum selesai. Memang stres!

----

CUTI

Ada beberapa kategori cuti yang diterangkan kepada kami semasa Program Transformasi Minda. Cuti berekodlah, cuti tanpa rekodlah, bla bla bla. Penulis tak ingat semuanya. Penulis hanya ingin bercerita tentang cuti yang penulis lihat dalam empat bulan ini.

Cuti mingguan seperti diterangkan dalam kata kunci 'Syif' di atas adalah Hari Kelepasan. Satu kali setiap minggu. Boleh dikatakan dua cuti separuh hari tambahan juga. Satu untuk hari on-call di mana kami hanya masuk syif pada jam 8 malam. Dan esoknya kami bebas selepas jam 10 pagi.

Seterusnya cuti rehat. Jumlah cuti yang dihadkan sebanyak 25 hari dalam setahun. Jika dipecahkan pula kepada tiga rotation/posting yang kami perlu lalui dalam setahun, bermakna lebih kurang 9-8-8 atau 8 atau 9 hari cuti rehat untuk setiap satu rotation/posting.

Jika kami bekerja pada hari cuti umum (mengikut negeri bekerja) dalam jadual kerja yang ditetapkan, kami layak untuk memohon cuti ganti. Sebagai contoh, penulis sendiri bekerja pada cuti Hari Malaysia (16 September). Mengikut cakap-cakap senior, mereka akan kumpul CU (cuti umum) ini untuk diqada pada hujung posting (cuti EOP atau end of posting).

Memohon (request) cuti berbeza mengikut jabatan. Kami di medical posting dimasukkan dalam Whatsapp group untuk mohon cuti selepas sebulan kami bekerja, Berbeza pula dengan rakan-rakan di O&G yang terpaksa menunggu dua bulan sebelum dapat memohon cuti ganti atau cuti rehat.

Memohon cuti pula tidak semestinya terus lulus. Cuti ini perlu mendapat kebenaran dan pengesahan daripada penyelia. Biasanya jika jumlah housemen mencukupi, cuti akan diluluskan tanpa masalah. Berdasarkan cerita senior pula, cuti pernah dibekukan apabila jabatan kekurangan housemen. Cuti umum lebur begitu saja tanpa dapat diganti.

Selain cuti-cuti boleh dirancang ini, terdapat juga cuti-cuti kecemasan. Contohnya MC apabila tidak sihat. Ataupun lebih mengejut seperti emergency leave (EL). Secara logiknya, cuti-cuti tak dijangka ini memberi masalah (baca: sakit kepala) kepada ketua yang terpaksa menukar jadual rakan lain.

Dan lebih mencetuskan kekecohan apabila EL tidak dimaklumkan kepada ketua. Dah tengah nak ward round dengan Medical Officer baru tahu dia EL!

----

to be continued...



Diari Housemanship #1

Assalamualaikum.

Sungguh, begitu pantas rasanya empat bulan berlalu. Seperti anak panah, seperti peluru, atau seperti apa jua yang bergerak pantas tanpa kita sedari. Barangkali angin?

Lama dah rasanya nak berkongsi cerita tentang 'housemanship' atau latihan pegawai perubatan siswazah di negeri utara tanah air. Namun sering saja tertangguh, sama ada kerana masa tak mengizinkan atau kondisi diri yang tak optimum. 

Untuk mengatakan ianya sukar saja tidak cukup menggambarkan keadaan sebenar penulis sepanjang empat bulan ini. Dalam beberapa kata kunci, penulis akan bercerita secara ringkas tentang pengalaman yang mendewasakan.

---

HOUSEMANSHIP

Seperti di hospital lain juga (tak kira di Semenanjung Malaysia atau Malaysia Timur), tempoh latihan housemanship ketika ini adalah 2 tahun. Empat bulan untuk setiap rotation/posting. Bermakna tiga posting/rotation dalam setahun. Secara keseluruhan, seorang pegawai perubatan siswazah akan menempuhi enam rotation/posting dalam tempoh latihan ini.

Sebenarnya, tempoh dua tahun yang ditetapkan ini baru saja berlangsung beberapa tahun. Sebelum ini, tempoh latihan adalah selama satu tahun saja. Ternyata, tempoh satu tahun terlalu singkat untuk menjadikan house officers cukup matang dan kompeten. Terlalu banyak ilmu yang perlu dikuasai dalam masa yang pendek. 

Maka keputusan dibuat untuk memanjangkan tempoh latihan demi memastikan house officers yang menjadi medical officers kemudian nanti SELAMAT kepada para pesakit yang mendapatkan perkhidmatan kesihatan.

---

ORIENTASI

Penulis tak berapa pasti dengan situasi di hospital lain. Tapi di hospital tempat penulis berkhidmat, kami melalui satu minggu tempoh orientasi selepas tamat Program Transformasi Minda. Tempoh masa untuk kami bertenang sebelum menghadapi 'ribut' ujian sebenar. 

Kami diberikan beberapa sesi pengenalan sistem. Juga program Basic Life Support untuk bersedia menghadapi kecemasan sebagai first responder. Dan program khas Kementerian Kesihatan iaitu Patient Safety.

Satu fakta menarik juga, batch intake kami juga (Ogos atau 4/2019) merupakan pengambilan terbesar dalam sejarah hospital! Ketumbukan kami seramai 31 orang. Biasanya kurang daripada 20 orang. 

---

NAH, MEDICAL POSTING!

Ketika pembahagian posting/rotation dibuat semasa minggu orientasi, hati penulis berdebar-debar! 

"Janganlah dapat medical posting... janganlah dapat medical posting..." begitu kudus doa penulis di dalam hati agar tidak ditempatkan dalam medical posting sebagai rotation pertama. Sebagai fakta, internal medicine adalah teras kepada bidang perubatan. Semua posting/rotation lain akan melibatkan perubatan am juga.

"Nazif... medical..." Bum! 

Begitulah realiti menghentam ketika kita benar-benar tidak bersedia. Betulkah apa yang didengar tadi? Penulis senyum dan ketawa memandang rakan-rakan yang dikenali semasa minggu orientasi. Ketawa mengenangkan nasib diri yang terpaksa menghadapi medical posting sebagai rotation sulung. Terbaik! (baca nada sinis)

Dengar cakap-cakap senior, medical posting adalah tempoh yang sukar kerana kesibukan yang akan dihadapi. Maklum sajalah, perubatan am akan melayan kerenah semua pesakit yang bukan dalam kategori pembedahan, tulang atau mengandung/sakit puan.

Keseluruhannya kami 31 orang dipecahkan seperti berikut: 8 orang ke Jabatan Perubatan Am, 8 orang ke Jabatan Pediatrik, 6 orang ke Jabatan Obstetrik/Ginekologi, 5 orang ke Jabatan Ortopedik, dan baki 4 orang ke Jabatan Pembedahan.

---

TAGGING

Bolehlah dikatakan tempoh tagging selama dua minggu adalah yang paling sukar selama empat bulan ini. Untuk second poster dan ke atas, mereka boleh offtag (menamatkan tempoh tagging) kurang dari seminggu. Tapi bagi first poster, wajib dua minggu. 

Nak offtag takut juga. Offtag bermakna perlu menghadapi on-call. Dengan keadaan ilmu first poster yang serba kekurangan, macam mana nak on-call di mana pasukan adalah terhad dan terpaksa menjadi barisan paling depan aka first responder kepada masalah kecemasan dalam wad!

Masa tagging di hospital penulis adalah 7 pagi hingga 10 malam. Tetapi masa itu hanya di atas kertas. Hakikatnya, kami perlu datang lebih awal (sekitar jam 6.15 ke 6.30 pagi) untuk reviu keadaan pesakit. Masa balik pula biasanya tidak tepat. Bekerja lebih masa adalah realiti yang terpaksa ditelan. Balik sejam lewat pun dah besar rahmat orang kata.

Tempoh tagging ini memang sukar! Setiap hari pulang pada waktu malam dengan realiti perlu datang subuh esok. Kitaran yang sama. Dengar saja sudah letih bukan? Apatah lagi kami yang perlu melalui. Tipulah kalau tak rasa tertekan. Tagger hanya mahu offtag kerana tak sanggup lagi menghadapi rutin gila lebih 16 jam setiap hari. Bukannya kerana kami sudah bersedia untuk on-call

----


to be continued....


Wednesday, November 20, 2019

Harimau Malaya Mengaum Garang

Assalamualaikum.

Melihat rembatan kencang Safawi Rasid untuk gol kedua peribadinya dan juga gol kedua pasukan Malaysia malam tadi adalah satu momen yang sangat diidamkan. 

Sudah lama rasanya penulis menanti kembalinya zaman kegemilangan bola sepak Malaysia sejak mengikuti perkembangan pasukan bola sepak negara. Boleh dikatakan ketika ini adalah zaman emas bola sepak Malaysia, bukan saja untuk pasukan senior, malah pasukan bawah umur yang lain. Percaturan mengambil Lim Teong Kim untuk Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) mula menampakkan hasil. Sayangnya Lim sudah pulang ke Jerman kerana khidmatnya tidak dihargai lagi.

Selepas menewaskan Tajikistan 1-0 dalam perlawanan persediaan hasil rembatan padu Safawi, Malaysia menghadapi dua perlawanan kelayakan Piala Asia dan Piala Dunia di gelanggang sendiri. Pasca menumbangkan Thailand hasil magis Brendan Gan (gol dan bantuan gol), Malaysia berdepan pula musuh serumpun, Indonesia. Untuk rekod, Malaysia membenam Indonesia di depan penyokong mereka 3-2. 

Malaysia dengan misi mesti menang. Kemenangan akan memberikan tiga mata berharga dalam memburu slot ke pusingan akhir kelayakan benua Asia untuk ke Piala Dunia. Indonesia secara matematiknya sudah tidak berpeluang lagi dengan empat kekalahan maksimum daripada empat aksi. 

Walaupun Syafiq Ahmad dan Matthew Davies tidak dapat diturunkan kerana kecederaan dan penggantungan, Malaysia menurunkan barisan terkuat. Khairul Azhan mengawal gawang di depan benteng berempat Syahmi Safari, Shahrul Saad, Aidil Zafuan dan Corbin Ong. Azam Azih, Brendan Gan dan Syamer Kutty mengepalai jentera tengah di belakang gandingan serangan tiga serangkai Mohamadou Sumareh, Safawi Rasid dan Akhyar Rashid. 

Malaysia mendominasi permainan dari sepak mula. Jaringan yang ditunggu-tunggu oleh ribuan penyokong Malaysia yang memenuhi stadium akhirnya dijaringkan oleh Safawi Rasid. Hanya satu langkah diperlukan Safawi untuk melencongkan sepakan percuma cantik berkelas dunia yang pasti memukau setiap mata yang memandang. Teknik sepakan yang menakjubkan itu menyerlahkan satu hakikat yang bukan lagi rahsia: kaki kiri Safawi sangat-sangat berbisa. 

-------------

Memasuki babak kedua, Tan Cheng Hoe mengeluarkan Akhyar Rashid yang tidak menjadi dan memasukkan penyerang berpengalaman, Norshahrul Idlan. Gol kedua yang mematikan harapan Indonesia sekali lagi dijaringkan oleh Safawi Rasid. Dia memanfaatkan kesilapan pertahanan untuk mencuri bola sebelum meledak satu rembatan padu yang tiada tolok bandingnya. Seperti kata pengulas Astro Arena, "rembatan yang hampir mengoyakkan jaring". 

Indonesia mendapat peluang untuk merapatkan kedudukan tetapi sepakan penalti yang diperoleh gagal disempurnakan. Farizal Marlias yang menjatuhkan pemain lawas menebus kesilapannya dengan aksi menyelamat bak wira. Senyuman puas Farizal disambut sorakan padu penyokong.

Berita baik dari Vietnam: tuan rumah diikat pelawat, Thailand 0-0. Kegagalan Vietnam untuk menang bermakna mereka hanya dua mata di depan pasukan negara selepas tamat lima perlawanan.

Berbaki tiga perlawanan lagi yang akan disambung pada bulan Mac 2020, Vietnam mendahului kumpulan dengan 11 mata tanpa sebarang kekalahan. Malaysia yang tewas dua kali memungut 9 mata untuk berada di tangga kedua kumpulan. Malaysia akan meneruskan kempen kelayakan menentang UAE di tempat lawan.

Empat bulan sebelum aksi bersambung. Tahun depan, Malaysia akan memiliki satu pool yang baik untuk memilih barisan lebih baik. Penyerang muda sensasi, Luqman Hakim setahun lebih matang untuk dapat menyertai pasukan senior. Mungkin juga nama seperti Mukhairi Ajmal, Muslihuddin Atiq dan Firdaus Kaironnisam dapat berlatih bersama 'abang-abang'. 

Malaysia mesti menang menentang UAE, Vietnam dan Thailand untuk ke pusingan akhir kelayakan. Harimau Malaya sedang lapar dan dahagakan kejayaan! Malaysia Boleh!




Sunday, August 25, 2019

Sokongan

Assalamualaikum.

Satu mimpi sudah menjadi realiti, masih ada mimpi-mimpi lain. Perkara yang terakhir yang kita mahukan dalam hidup ini adalah ibu bapa yang tidak menyokong impian kita. 

I am an adult now. I make my own decisions. The least parents can do is to support my dreams. 

Di satu tangan, kupegang hajat yang telah lama dipendam. Impian yang sekian lama sentiasa bermain di fikiran.

Dan di satu tangan lagi, kupikul tanggungjawab sebagai anak sulung lelaki untuk ummi dan ayah. Tak mungkin kubalas jasa keduanya di dunia dan akhirat.

Di persimpangan dilema, bantulah aku ya Rabb dalam urusanku. 


Program Transformasi Minda

Assalamualaikum.

Alhamdulillah, penulis baru saja selesai menghadiri kursus wajib Program Transformasi Minda yang menjadi syarat sah untuk diterima dalam jawatan perkhidmatan awam. Kursus induksi ini berlangsung di beberapa tempat di seluruh Malaysia dan bagi penulis di Hotel Seri Malaysia, Sungai Petani selama lima hari pada 19-23 Ogos. 



Selepas pendaftaran, penulis diberikan bilik berdua sepanjang program ini. Secara kebetulan, rakan sebilik penulis juga merupakan rakan satu universiti. Penulis puas hati dengan perkhidmatan yang diberikan oleh pihak Hotel Seri Malaysia sepanjang kursus ini berlangsung. Bilik dikemas setiap hari. Makanan pagi, petang dan malam pula sedap dan menyelerakan. Kenalah dengan tekak penulis. Hasrat untuk diet hancur begitu saja.

Jadual kursus begitu padat sepanjang lima hari program. Jadual peserta bermula seawal jam 6.10 pagi selepas solat Subuh di mana kami berhimpun untuk aktiviti senam robik. Kemudian, sarapan pagi. Ceramah bermula pada pukul 8 pagi sehingga rehat jam 1 petang untuk solat dan makan tengah hari. Ceramah dan aktiviti latihan dalam kumpulan bersambung pula sehingga rehat jam 7 petang untuk makan malam dan solat. 

Ceramah diteruskan lagi sehingga jam 10.30 malam. Walaupun begitu, jadual itu fleksibel dan kami sebenarnya pulang lebih lewat. Pada malam hari kedua, pembentangan logo kumpulan berakhir hampir jam dua belas malam. Dan malam terakhir kami di sana (Khamis malam Jumaat), malam persembahan berakhir sekitar jam 12.30 malam. Sebenarnya jadual berbeza mengikut tempat PTM dan fleksibel mengikut budi bicara barisan fasilitator. 


117 orang peserta dibahagikan kepada 8 kumpulan. Jadi setiap kumpulan mempunyai 14-15 orang ahli. Penulis terpilih dalam Kumpulan 8. Logo kami seperti dalam gambar di atas. Walaupun nama kumpulan bukan dicadangkan oleh penulis, tetapi warna dan perlambangan banyak diinspirasikan oleh ilham penulis.

Sebab kami memilih lebah ialah sifat yang lebah yang rajin dan bekerjasama. Begitulah kami bakal pegawai perubatan siswazah yang mesti rajin dan memerlukan semangat pasukan yang tinggi. Warna kuning dan hitam dipilih kerana sinonim dengan warna lebah. 

Warna kuning juga sinonim dengan durian yang dipanggil 'Raja Buah'. Simbolik untuk aspirasi kami menjadi yang terbaik dan memberikan khidmat yang terbaik. To be the best and give the best.

Warna huruf pertama B dalam perkataan Battle dibezakan dengan huruf lain dalam perkataan tersebut untuk menunjukkan kami Kumpulan 8. Dan warna merah dipilih kerana warna ini sinonim dengan keberanian.

Kami memilih warna jingga sebagai warna perkataan battle kerana warna jingga sinonim dengan api. Betapa semangat kami membara dalam perjuangan (battle) housemanship ini. 

Logo kami juga ringkas kerana less is more. Ringkas tapi penuh makna. 

----------

Tamat kursus lima hari, kami berpisah ke hospital masing-masing untuk berkhidmat. Masa untuk menempuh satu perjalanan yang diketahui sukar tetapi banyak mengajar. Seperti motto hidup penulis "when the going gets tough, the tough get going".


Sunday, August 18, 2019

Final Kami Datang

Assalamualaikum.

Alhamdulillah tsumma alhamdulillah. Indonesia meraikan ulang tahun hari kemerdekaan mereka. Tetapi di atas padang bola, pasukan bola sepak bawah 18 tahun kita lebih baik. Di pentas separuh akhir Piala Next Media Kejohanan AFF bawah 18-tahun, para pemain Malaysia yang keletihan berhempas-pulas sebelum menundukkan Indonesia 4-3 selepas masa tambahan.

Sesiapa yang menonton perlawanan tersebut pasti tahu situasi roller-coaster sepanjang 120 minit. Malaysia mendahului 1-0, kemudian mendahului pula 2-1, ketinggalan 2-3 di lewat permainan, tetapi bamgkit dengan dua gol lewat untuk menterbalikkan keputusan perlawanan. Satu perlawanan yang amat menghiburkan.

-------

Kembalinya kapten, Mukhairi Ajmal, dan bek kanan Azam Azmi memperkuatkan semula pasukan bimbingan Brad Maloney. Ketiadaan mereka ketika menentang Thailand teramat sangat dirasai apabila Malaysia kalah perlawanan terakhir kumpulan. Mereka digantung kerana mengumpul dua kad kuning. Kesebelasan utama yang dipilih Maloney untuk menentang Indonesia memang mantap di semua posisi. Harith Haiqal memimpin pertahanan, Mukhairi mengetuai jentera tengah, dan Luqman Hakim mengepalai jentera serangan.

Namun, barisan ini bukanlah yang terbaik kerana beberapa pemain utama direhatkan seperti Firdaus Kaironnisam, Muslihuddin Atiq, Umar Hakeem, dan Ahmad Zikri Khalili. Keletihan mengharungi beberapa perlawanan tanpa rehat yang cukup nyata terserlah ketika menentang Thailand. Memaksa para pemain ini lagi dikhuatiri akan mendatangkan kecederaan, sesuatu yang pastinya cuba dielakkan.

Indonesia menyerang dari awal, tetapi Malaysia yang memperoleh gol pendahuluan. Sepakan percuma Mukhairi Ajmal terkena pemain lawan, melambung tinggi dan jatuh betul-betul di hadapan penjaga go. Aiman Afif paling pantas bertindak untuk menampan bola menewaskan penjaga gawang lawan. Selepas mengasak bertubi-tubi, gol penyamaan yang dicari lawan berjaya dijaringkan oleh Beckham Putra.

Bersambung babak kedua, kelincahan Luqman Hakim yang diperhatikan oleh Ong Kim Swee terus mencetus sensasi. Selepas melepaskan diri daripada kawalan, Luqman merembat kencang dari jarak jauh untuk menjaringkan gol kedua Malaysia. Pemain ini mesti dibawa ke Sukan SEA! Indonesia menyerang bertalu-talu ke kubu Malaysia. Para pemain Malaysia semakin keletihan. Akhirnya Fajar Fathur meruntuhkan tembok Malaysia dengan ledakan kaki kiri.

Hanya berselang beberapa minit, kegagalan pertahanan mengeluarkan bola menyaksikan serangan balas kilat Brylian Negiehta yang berlari membelah pertahanan sebelum meledak kencang untuk Indonesia mendahului buat kali pertama. Tetapi situasi itu tidak kekal lama. Hantaran lambung Mukhairi tepat kepada pemain gantian, Muslihuddin Atiq yang masih segar. Pecutan Atiq menjemput kekasaran daripada pertahanan lawan untuk mendapatkan sepakan penalti.

Pemain mana yang berani untuk mengambil sepakan dalam situasi sangat getir? Harith Haiqal tampil tenang melakukan penyudah sempurna. Permainan berlarutan ke masa tambahan. Harith menjadi wira apabila menjaringkan gol kedua peribadi, sekali lagi dengan bantuan Mukhairi. Sepakan percuma Mukhairi dari sayap kiri ke far post memperdaya penjaga gol dan pertahanan Indonesia. Tandukan terbang Harith menjadi momen kemenangan yang indah untuk Malaysia menumbangkan seteru serumpun ini atau kita panggil noisy neighbours.

Maaf Indonesia, kami terpaksa menang di hari ulang tahun kemerdekaan kalian.

---------

Malaysia selaku juara bertahan (menewaskan Myanmar 4-3 dalam final edisi tahun lalu), akan menentang Australia di perlawanan akhir. Australia menumbangkan Myanmar 2-1 dalam satu lagi perlawanan untuk menempah pertemuan balas dendam selepas dibelasah 3-0 di peringkat kumpulan.

Ternyata status Kumpulan B yang digelar kumpulan maut itu benar kerana dua pasukan yang layak daripada kumpulan tersebut akan berentap sesama sendiri untuk merebut gelaran juara. Malaysia masih menjadi satu-satunya pasukan yang mengalahkan Australia dan juga satu-satunya pasukan yang menghalang Australia menjaringkan gol.

Penulis menjangkakan Australia akan beraksi lebih baik menentang pasukan Malaysia yang keletihan. Tetapi untuk mundur sebelum berjuang bukan sifat kita sebagai bangsa penakluk!

Piala ini milik kita, ayuh bawa pulang ke Malaysia!



Tuesday, August 13, 2019

Tiga Mata Sensasi

Assalamualaikum.

Penulis belum pun reda daripada rasa teruja yang amat sangat apabila pasukan kegemaran Manchester United membedil Chelsea 4-0 di kubu sendiri. Satu kemenangan yang amat membahagiakan. Dan petang tadi, pasukan bola sepak bawah 18 tahun menambah keceriaan.

Berdepan pendahulu kumpulan dan pilihan utama, Australia, Malaysia tidak gentar malah tampil berani untuk mencatat kemenangan ketiga. Memasuki perlawanan keempat masing-masing, Australia telah menjaringkan 12 gol dan hanya dibolosi 3 gol dalam 3 perlawanan awal. Malaysia pula yang bermula dengan langkah kiri tewas kepada Vietnam 0-1, bangkit untuk mengatasi Singapura 3-0 dan kemudian Kemboja 3-1.

Malaysia turun dengan misi mesti menang. Di atas kertas, misi ini agak mustahil dengan reputasi Australia yang pasukan senior mereka dalam kalangan 50 terbaik dunia sedangkan Malaysia jauh di belakang. Tetapi bagi penulis yang mengikuti rapat perkembangan pasukan ini sejak perlawanan pertama lagi, harapan itu ada. Kemantapan skil individu para pemain meyakinkan penulis. Jika menang 1-0 sekali pun, itu sudah memadai.

------

Selepas merehatkan para pemain pentingnya semasa menundukkan Kemboja, Brad Maloney kembali menampilkan kesebelasan terbaik untuk berdepan jaguh Asia ini. Brad Maloney memilih formasi moden 3-4-3 dengan Firdaus Irman kembali menjaga gawang selepas digantikan Sikh Izhan dalam perlawanan sebelum ini. Bek bertiga kembali diterajui oleh Ahmad Zikri Khalili, Harith Haiqal dan Azrin Afiq. Jentera tengah dikemudi oleh Azam Azmi, Firdaus Kaironnisam, Mukhairi Ajmal dan Umar Hakeem. Penggempur bertiga pula ialah Muslihuddin Atiq, Luqman Hakim dan Nasip Zain.

Australia memulakan perlawanan dengan garang seperti yang dijangka. Tidak gentar, Malaysia cuba mengimbangi asakan demi asakan. Akhirnya, satu hantaran jauh Nasip Zain berjaya disambar oleh Luqman Hakim yang tenang menewaskan penjaga gol lawan selepas mempamerkan kepantasannya untuk mengatasi dua pertahanan. Penyudah sensasi dari penyerang berbisa kebanggaan Akademi Mokhtar Dahari ini meruntuhkan terus ego besar Australia. 

Tersentak, Australia cuba bangkit. Namun Malaysia yang berjaya menambah gol kedua. Sepakan sudut Firdaus Kaironnisam disambar Azam Azmi dengan satu rembatan voli first-timer dengan teknik yang sangat menakjubkan. Rembatan kencang itu gagal ditepis oleh penjaga gol. Belum sempat pun Australia mempercayai apa yang sedang berlaku, Luqman Hakim menunjukkan kemampuannya sekali lagi dengan rembatan padu dari sayap kanan untuk menewaskan penjaga gol. 

Gol kedua peribadi Luqman dan gol ketiga Malaysia membakar hangus ego Australia. Cubaan mereka untuk bangkit bukan saja tidak berjaya, malah Malaysia berpeluang untuk menambah jaringan jika Azam Azmi dan Muslihuddin Atiq lebih berhati-hati dengan decision-making mereka. Malaysia sepatutnya boleh menambah sekurang-kurangnya dua gol lagi. 

Psikologi pemain Australia nyata tercalar sehingga mereka bertindak kasar terhadap para pemain Malaysia. Pengadil terpaksa melayangkan beberapa kad kuning untuk mengawal permainan yang semakin hilang kawalan kerana pemain Australia sangat tertekan. 

-------

Keputusan ini sangat membanggakan. Pasukan bawah 15 tahun negara juga menewaskan Australia 3-0 baru-baru ini dalam laluan mereka untuk menjuarai Kejohanan AFF bawah 15 tahun. Ternyata Program Pembangunan Bola Sepak Negara mula membuahkan hasil. Para pemain Malaysia tidak kekok untuk 'memegang' bola. 

Perlawanan terakhir kumpulan bertemu Thailand. Malaysia perlu menang untuk mengesahkan tempat ke separuh akhir. Jika berdasarkan prestasi dalam empat perlawanan awal, Malaysia tidak ada masalah untuk layak ke separuh akhir. Sama-sama kita saksikan dan nikmati persembahan hebat pasukan muda ini. 



Sunday, August 11, 2019

Pantang Mundur

Assalamualaikum.

Petang tadi, pasukan bola sepak bawah 18 tahun negara baru saja mencatatkan kemenangan kedua berturut-turut dalam Kumpulan B Kejohanan AFF Piala Next Media Bawah 18 tahun. Perlawanan menentang Kemboja adalah yang ketiga selepas tewas perlawanan pembukaan menentang Vietnam 0-1 dan bangkit membenam cabaran Singapura 3-1. Keputusan masa penuh: Malaysia membedil Kemboja 3-0.

Jurulatih negara, Brad Maloney, yang menggantikan Bojan Hodak meneruskan pendekatan berani dengan merehatkan beberapa pemain utamanya termasuk penjaga gol, Firdaus Irman, dan juga penyerang harapan, Luqman Hakim. Hal ini kerana jadual perlawanan peringkat kumpulan yang padat dengan semua pasukan terpaksa melalui lima perlawanan dalam tempoh 10 hari. Secara fizikal, jadual ini sangat mengarut kerana mudah mendatangkan kecederaan. 

Kapten pasukan menentang Kemboja, Mukhairi Ajmal (18 tahun, PKNP) membalas kepercayaan Maloney dengan merembat jaringan cantik untuk meletakkan Malaysia di depan. Muslihuddin Atiq (18 tahun, Terengganu) menggandakan jaringan beberapa minit sebelum tamat babak pertama. Dan Firdaus Ramli (17 tahun, AMD) melakukan sepakan percuma cantik yang melemaskan penjaga gol di saat-saat terakhir separuh masa pertama.

Malaysia gah mendahului 3-0 di waktu rehat. Untuk rekod, Kemboja mengejutkan Thailand 4-3 dalam perlawanan sebelum ini. Bersambung babak kedua, tiada sebarang tambahan jaringan berjaya dilakukan. Sikh Izhan Nazrel (17 tahun, AMD) yang menggantikan Firdaus Irman di gawang tenang apabila diperlukan untuk memastikan gawang Malaysia tidak dibolosi buat kali pertama selepas tiga perlawanan. 

-------

Mengekalkan kecergasan dalam senario jadual padat adalah sesuatu yang penting. Apakah taktik Brad Maloney untuk menghadapi kekangan seperti ini? Di bawah adalah analisis penggunaan pemain yang dilakukan oleh Maloney.



Boleh dilihat bagaimana Maloney mengamalkan penggiliran pemain atau player rotation dengan majoriti pemain yang dibawa beraksi dalam dua daripada tiga perlawanan. Hanya dua orang pemain iaitu Harith Haiqal (17 tahun, AMD) dan Firdaus Kaironnisam (17 tahun, AMD) yang bermain dalam kesemua tiga perlawanan setakat ini. Tetapi mereka hanya memulakan dua perlawanan sebagai kesebelasan utama, dan masuk sebagai pemain gantian dalam satu perlawanan yang lain. Ini bermakna, tiada seorang pun pemain dalam skuad 23 orang ini yang beraksi dalam kesebelasan utama tiga kali berturut-turut.

Penjaga gol utama, Firdaus Irman, dan penyerang utama, Luqman Hakim, juga tidak terkecuali. Pada pandangan penulis, polisi ini adalah sesuatu yang bagus dan strategi yang amat bijak untuk mendepani jadual peringkat kumpulan yang padat dan meletihkan. Taktik penggiliran pemain ini sekurang-kurangnya dapat menurunkan kemungkinan kecederaan ke tahap minima jika pun kecederaan sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Pendekatan ini bermakna kesemua pemain dapat kekal cergas dan bertenaga.

Tetapi sesuatu yang diperlukan oleh Maloney atau mana-mana jurulatih sekali pun yang mahu menggunakan polisi ini adalah squad depth yang baik. Ini bermakna mereka memerlukan skuad 23 orang pemain yang setanding kekuatan mereka agar pemain yang menggantikan pemain utama dapat memenuhi kekosongan itu tanpa menjejaskan mutu permainan pasukan.

Dan pada pandangan menulis yang menonton kesemua tiga perlawanan secara langsung, kualiti para pemain Malaysia berada pada tahap yang baik. Mereka bermain sedikit perlahan untuk menjimatkan tenaga. Pemain-pemain yang ditukar tidak merencatkan perancangan Maloney malah beraksi cemerlang secara individu mahu pun berpasukan. Buktinya, penjaga gol, Sikh Izhan yang menggantikan Firdaus Irman memastikan Malaysia mendapat clean sheet yang pertama.

Menentang Kemboja juga, Aidil Azuan (18 tahun, PKNP) dan Aiman Afif (18 tahun, Kedah) beraksi buat kali pertama dalam pertandingan ini, sama ada sebagai kesebelasan utama atau pemain simpanan. Malah penulis tertarik dengan permainan kemas Aidil Azuan yang tidak nampak kekok walaupun tidak beraksi dalam dua perlawanan awal. Aidil Azuan cemerlang menangani serangan-serangan yang dilancarkan oleh Kemboja.

Ketika ini selepas tiga perlawanan, hanya dua orang pemain iaitu Wazif Nazarail (18 tahun, Felda United) dan Riezman Irfan (18 tahun, Pahang) yang belum mendapat sebarang minit permainan. Penulis tidak melihat Riezman akan digunakan dalam perlawanan seterusnya menentang Australia kerana khidmat Firdaus Irman pasti ditagih kembali oleh Maloney. Mungkin Riezman akan diberi peluang menentang Thailand dalam perlawanan terakhir kumpulan. Manakala kelibat Wazif Nazarail mungkin dapat disaksikan dalam salah satu perlawanan.

Apa yang pasti, Luqman Hakim dan Firdaus Kaironnisam pasti akan kembali semula mengetuai pasukan menentang Australia selepas direhatkan. Penulis juga melihat Maloney akan meneruskan polisi penggiliran pemain yang membuahkan hasil ketika ini demi mengekalkan kecergasan dan memberikan rehat yang cukup untuk para pemain. Set pemain yang berbeza akan digunakan menentang Australia tetapi cabaran yang akan diberikan oleh kita tidak sedikit pun akan berkurangan.

Pantang mundur sebelum berjuang! 


Friday, August 2, 2019

Menggigil

Assalamualaikum.

Alhamdulillah tsumma alhamdulillah, segala puji hanya bagi Allah. Sesungguhnya kita manusia lemah dan tidak berdaya. Syukur, selepas hampir genap setahun menanti sejak menamatkan pengajian ijazah sarjana muda perubatan pada bulan Ogos tahun lalu, akhirnya penulis mendapat tempat latihan.

Sejak beberapa batch yang lepas, penempatan doktor pelatih dilakukan secara atas talian. Sebilangan doktor pelatih akan dijemput melalui e-mel mengikut jumlah kekosongan di semua hospital di seluruh Malaysia. Pada satu tarikh yang ditetapkan pukul 12 tengah hari, semua doktor pelatih yang layak ini akan berebut dan berlumba untuk mengisi kekosongan. 

Pengambilan bulan ini adalah untuk kali yang keempat bagi tahun ini, iaitu Bilangan 4/2019. Penulis tidak tahu jumlah sebenar tetapi dianggarkan lebih 1,000 orang doktor (kemas kini: 1,306 jumlah akhir) ditempatkan untuk intake kali ini (termasuk mereka yang memilih penangguhan daripada intake yang lepas). Ya, satu intake yang sangat besar (mungkin terbesar tahun ini). 

Entri ini adalah tentang pengalaman penulis sebelum, semasa, dan selepas proses penempatan secara atas talian ini. Atau dikenali juga sebagai e-housemen.

---------

SEBELUM 

Sejak awal bulan lagi, beberapa rakan (yang tidak dikenali) yang kurang sabar telah menelefon pihak kementerian secara kerap untuk bertanyakan tentang sesi pengambilan kali ini. Penulis kekal tenang dan tidak mahu mendahului panggilan formal. Tetapi penulis faham kerana kebanyakan kami sudah menunggu hampir setahun dan tidak sabar lagi (baca: teruja) untuk berkhidmat kepada orang awam.

Akhirnya, selepas beberapa kali 'diserang' dengan panggilan telefon, pengumuman rasmi daripada pihak kementerian sampai ke peti masuk e-mel kami pada 19 Julai 2019 (Jumaat). Kami diminta mendaftar di laman web e-housemen. Tarikh perlumbaan merebut penempatan pula ditetapkan pada 24 Julai 2019 (Rabu), jam 12 tengah hari. Tempoh lima hari yang sangat mendebarkan.

Mengikut makluman daripada para senior sebelum ini, dan perbicangan tanpa henti siang dan malam dalam group intake Ogos 2019, ini adalah perlumbaan tentang siapa laju. Maka bertebaranlah mereka mencari sambungan Internet yang paling pantas di atas muka bumi ini untuk memenangi perlumbaan. Soalan yang kerap ditanya, "di mana cyber cafe yang dicadangkan?". Penulis belajar benda baru tentang ping, download speed, dan upload speed. Ping lebih penting bagi kami kerana ia menunjukkan kestabilan sambungan Internet.

Debaran dari hari ke hari sangat menekan. Sengaja penulis tidak menghebahkan tentang proses pemilihan ini. Takut untuk berdepan soalan mereka yang mahu tahu keputusan nanti.

Persoalan yang sering berlegar di minda penulis, 'bagaimana jika tidak dapat ke tempat yang diidamkan selama ini'? Sanggupkah rasanya untuk berjuang selama dua tahun di tempat yang asing dan tidak pernah dibayangkan? Maka video proses pemilihan penempatan daripada senior terdahulu dibelek berulang kali untuk memastikan penulis tidak terlepas pandang butiran yang boleh memastikan penulis cukup pantas.

Akhirnya, hari yang dinanti tiba jua. Proses pemilihan yang dilihat dalam video berputar dalam fikiran. Dapatkah tempat yang sangat dihajati? Persoalan itu semakin kerap bermain dengan setiap saat menghampiri waktu penentuan. 

--------

SEMASA

Detik ini tak mungkin penulis dapat lupakan sampai bila-bila. Peluh tak keluar tapi menggigil! Nak tekan pun jadi susah apabila datang rasa panik untuk mendahului 'perlumbaan'. Penulis keraskan jua tangan demi tidak tewas. Tiba-tiba masalah timbul. Data tidak dapat dihantar di tengah-tengah perlumbaan. Penulis sudah mula risau. Apa perlu dilakukan?

Fuh fuh, selepas dicuba lagi, berjaya juga lepas halangan. Maklumat peribadi selesai, maklumat pendidikan selesai. Masa untuk memilih penempatan! Walaupun dinasihatkan untuk tidak memilih mengikut senarai negeri, penulis tak peduli lagi. Negeri Perlis ditekan. Hanya satu hospital yang ada. Hospital Tuanku Fauziah dengan 26 kekosongan. Pantas nama HTF ditekan. Tiada ragu lagi! Perlumbaan ini mesti tamat!

'Permohonan berjaya. Permohonan anda telah selamat diterima oleh sistem'. Syukur ALHAMDULILLAH! Hanya Allah yang tahu betapa leganya hati ini. Tempat yang diidamkan, diimpikan, dihajati dan dibayangkan sejak sekian lama. Akhirnya mimpi menjadi nyata. Menjadi doktor perubatan di Kangar bukan lagi angan-angan mat jenin, atau mimpi di siang hari. Ini bukan cobaan, ini betul-betul.

Ahaii senangnya dalam hati....

-------

SELEPAS

Penulis mengambil masa lebih sepuluh minit untuk menenangkan diri. Komputer riba ditinggalkan. Tangan yang menggigil teruk perlu dibiarkan rehat. Bertahmid dalam hati, alhamdulillah.

Penulis memeriksa group Telegram untuk melihat berita dari rakan-rakan yang lain. Rupa-rupanya di sebalik kegembiraan penulis, ada kedukaan dan keresahan yang lain. Hujan 'mesej swap' membasahi group, malah lebih laju daripada air sungai. Senario yang sama dari batch ke batch. Mereka yang tidak mendapat tempat yang diinginkan merayu untuk membuat pertukaran. Namun pertukaran (swap) ini hanya boleh dilakukan dengan prinsip 'suka sama suka'.

Selepas proses ini juga baru penulis dimaklumkan bahawa masalah aneh berlaku di awal pemilihan. Selain daripada masalah lagging (kerana trafik yang teramat sangat tinggi), senarai hospital di Sarawak terutamanya Kuching tidak dimasukkan sehingga berlalu beberapa minit. Hal ini disahkan melalui pengalaman yang lain juga.

Bukan saja hospital Sarawak, malah kegawatan ini juga melibatkan hospital lain. Contohnya, Hospital Putrajaya hilang seketika sebelum namanya muncul semula. Maka berlakulah drama apabila panik menyapa. Mereka memilih mana-mana hospital yang ada untuk membuat swap selepas itu. Penulis tak menyalahkan mereka. Apabila panik, kita hilang pertimbangan.

Ada satu kisah diceritakan sendiri rakan penulis di kolej dulu. Nama Hospital Sultanah Nur Zahirah yang dimahukannya tidak timbul di awal proses dibuka. Namun dia tidak panik, dan menanti sehingga beberapa minit kemudian. Sesudah refresh, nama HSNZ ada semula. Aneh tetapi benar. Mungkin sudah rezeki tertulis untuknya. Berkat kesabaran dan tawakkal yang tinggi. Sungguh bernasib baik rakan penulis itu.

Mesej rayuan untuk swap berterusan sehingga beberapa hari. Ratusan malah mencecah ribuan mesej untuk bertukar ke hospital yang dikehendaki. Alhamdulillah, penulis tidak perlu melalui semua itu.

----------

Apa seterusnya?

Banyak lagi kerja yang perlu dilakukan sebelum Program Transformasi Minda dan lapor diri. Buka akaun bayar cukai di Lembaga Hasil Dalam Negeri, pemeriksaan perubatan, akuan berkanun, membuat cop nama dan tag nama, dan banyak lagi. Perlu juga ke Kuala Lumpur untuk mengambil sijil pendaftaran sementara di Majlis Perubatan Malaysia.

Masa rehat sudah tamat. Masa untuk bekerja dan membanting tulang empat kerat. Moga penulis dikurniakan kesihatan dan kekuatan untuk berbakti kepada tanah air.




Friday, July 19, 2019

Teruja

Assalamualaikum.

Maafkan penulis kerana menulis entri bola sepak lagi walaupun telah ditegur oleh sahabat penulis. Sekali sekala apa salahnya kan? :p

Oh ya, penulis akan memulakan alam pekerjaan sebagai Pegawai Perubatan Siswazah bulan depan dalam Pengambilan 4/2019. Alhamdulillah atas izin-Nya.

Selepas menonton dua perlawanan pra-musim Manchester United dalam siri jelajah persahabatan, penulis amat teruja dengan musim Liga Perdana Inggeris yang akan bermula bulan depan. Menamatkan saingan di tangga keenam liga musim lalu, penulis sangat berharap kelab kesayangan penulis ini akan bangkit ke zaman kegemilangan seperti di bawah kepimpinan Alex Ferguson. 

Ole Gunnar Solksjaer sebagai jurulatih mementingkan kepantasan dalam taktikalnya. Setakat entri ini ditulis, hanya dua pembelian berjaya disempurnakan iaitu Daniel James dan Aaron Wan Bissaka. Kedua-duanya merupakan pemain yang pantas. Ole masih melakukan eksperimen dalam dua perlawanan persahabatan awal menentang Perth Glory dan Leeds United.

Manchester United mengatasi cabaran Perth Glory dengan kemenangan 2-0 hasil jaringan Marcus Rashford dan James Garner. Kemudian mereka mencatat satu lagi kemenangan 4-0 menentang Leeds United hasil jaringan Marcus Rashford, Mason Greenwood, Phil Jones dan Anthony Martial.

Manchester United menghadapi masalah untuk mendapatkan pemain baru yang diinginkan pada harga yang sesuai kerana kelab-kelab lain memilih untuk meletakkan 'harga Yahudi' apabila ia melibatkan Manchester United. Mereka tahu Manchester United merupakan kelab yang kaya. Tetapi mengikuti trend pasaran yang 'gila' ini hanya akan membuatkan keadaan bertambah buruk.

Ole membawa beberapa orang pemain muda graduan akademi untuk diberikan pendedahan. Penulis menjangka pemain-pemain ini akan mendapat peranan penting musim depan. Tahith Chong berusia 20 tahun, Angel Gomes 19 tahun, James Garner dan Mason Greenwood kedua-duanya berusia 18 tahun. Kesemua mereka memberikan persembahan yang menarik dalam kedua-dua perlawanan dan menambah dilema untuk Ole menentukan kesebelasan utamanya.

---------

Romelu Lukaku dijangka melengkapkan perpindahan ke Inter Milan tidak lama lagi. Penyerang tulen senior yang tinggal hanyalah Marcus Rashford dan Anthony Martial. Kedua-dua pemain ini boleh bermain di bahagian sayap. Greenwood mempunyai peluang cerah untuk diberikan peranan utama sebagai penyerang apabila musim baru bermula. Dan Greenwood juga telah digunakan sebagai sayap oleh Ole dalam perlawanan pra-musim ini. Chong juga sudah boleh diberikan peranan dalam skuad utama. Usianya bukanlah muda lagi, sama usia dengan Harry Kane dan Dele Alli apabila mereka mula mengukir nama. 

Ole dalam kedua-dua perlawanan dilihat selesa dengan formasi asas 4-2-3-1. Atau formasi ini boleh juga dibaca sebagai 4-1-4-1. Seorang pemain tengah bertahan untuk melindungi pertahanan dan penyerang tunggal. Jelas sekali Ole membina skuad ini untuk permainan serangan pantas. Kelajuan Daniel James begitu menyerlah. 

Dan Aaron Wan Bissaka juga tidak mengecewakan. AWB menunjukkan kepada peminat Manchester United apa yang mereka ingin saksikan di posisi bek kanan sejak sekian lama. AWB bukan saja pantas malah pintar membuat terjahan bersih. Untuk rekod, AWB mencatat keputusan terbaik untuk beberapa parameter statistik di posisi bek kanan musim lepas semasa bersama Crystal Palace. Pastinya satu pembelian yang berbaloi. 

Perlawanan seterusnya adalah menentang Inter Milan pada 20 Julai. Kemudian menentang Spurs pada 25 Julai dan menamatkan sesi pra-musim dengan berdepan Kristiansund pada 31 Julai. Inter Milan dan Spurs pastinya lebih sesuai untuk mengukur persediaan pasukan Ole untuk menghadapi musim baru. Dan semoga Bruno Fernandes dan Harry Maguire akan menyertai Manchester United seperti yang dijangka. 




Parlimen Malaysia Cipta Sejarah

Assalamualaikum.

Alhamdulillah, segala puji hanya bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Bagi seorang rakyat marhaen yang mengikuti perbahasan Parlimen secara dekat, penulis rasa berbangga apabila pada tanggal 16 Julai 2019 (hari Selasa), sidang Mesyuarat Kedua bagi Penggal Kedua Parlimen ke-14 menyaksikan satu sejarah yang amat bermakna dicipta.

Buat pertama kalinya dalam sejarah demokrasi berparlimen di Malaysia, satu pindaan Perlembagaan telah berjaya dilakukan dengan sokongan sebulat suara kedua-dua blok kerajaan dan pembangkang. Untuk rekod, ini bukanlah kali pertama pindaan Perlembagaan dilakukan. Sudah banyak pindaan Perlembagaan dibuat terutama ketika era pemerintahan Perdana Menteri ke-4, Tun Dr. Mahathir Mohamad (yang juga Perdana Menteri ke-7 ketika ini).

Namun ketika itu, blok kerajaan mempunyai majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat. Satu lagi fakta: sebarang pindaan Perlembagaan memerlukan undi dua pertiga ahli Dewan Rakyat. Apa pun pindaan Perlembagaan boleh dilakukan sesuka hati oleh pihak kerajaan kerana mereka tidak memerlukan sebarang sokongan daripada pihak pembangkang. Suara pembangkang terlalu kecil dan tidak dipedulikan. 

Kerajaan Persekutuan di bawah Barisan Nasional (BN) mula hilang majoriti dua pertiga di dewan rakyat dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 pada tahun 2008 di bawah kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi. Trend itu semakin buruk pada PRU-13 pada tahun 2013 apabila BN di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak bukan saja mendapat bilangan kerusi yang lebih sedikit, malah kalah dari segi undi popular.

Akhirnya, arus kebangkitan rakyat yang ditindas menenggelamkan terus bahtera Barisan Nasional dalam PRU-14 tahun lepas dengan perubahan kerajaan Persekutuan yang pertama sejak Malaysia mencapai kemerdekaan. Namun, Pakatan Harapan tidak mempunyai majoriti dua pertiga. Seperti dua kerajaan Persekutuan sebelumnya, pindaan Perlembagaan oleh pihak kerajaan menjadi mustahil tanpa sokongan blok pembangkang.

Malah secara logiknya, pihak kerajaan terpaksa melobi sokongan barisan pembangkang untuk membuat pindaan kepada Perlembagaan. Penulis telah menonton rancangan televisyen Designated Survivor (versi Amerika Syarikat). Penulis melihat senario bagaimana Presiden yang ingin mengubah polisi kerajaan terpaksa melobi sokongan ahli House of Representatives dan juga Senate

------

Awal tahun ini juga, kerajaan Pakatan Harapan cuba untuk membuat pindaan Perlembagaan terhadap perkara yang menyentuh status Sabah dan Sarawak selaku rakan kongsi Malaysia untuk menghormati Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Blok kerajaan gagal untuk melobi sokongan yang diperlukan kerana tidak menepati syarat yang diminta oleh blok pembangkang. Undi belah bahagi menyaksikan undi dua pertiga gagal diperolehi.

Usul pindaan Perlembagaan yang gagal untuk diluluskan memberi tamparan kepada pihak kerajaan dan menyedarkan mereka tentang realiti betapa pentingnya sokongan daripada blok pembangkang.

------

Belajar daripada kesilapan itu, YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Menteri Belia dan Sukan, telah bekerja keras untuk melobi sokongan blok pembangkang. Walaupun terpaksa berdepan syarat-syarat dari blok pembangkang untuk mendapat sokongan mereka, YB Syed Saddiq mendapat persetujuan kerajaan untuk menepati syarat tersebut sebelum usul Rang Undang-Undang (RUU) pindaan Perlembagaan dibacakan di Dewan Rakyat pada hari yang bersejarah.

Pindaan berkenaan mengubah perenggan Perkara 47 berkaitan umur untuk menjadi wakil rakyat diturunkan kepada 18 tahun, Perkara 119 berkaitan umur layak mengundi kepada 18 tahun, dan juga pendaftaran automatik pengundi apabila berusia 18 tahun. Peristiwa bersejarah ini juga berlaku tepat setahun usia Parlimen ke-14 bersidang.

----------

211 ahli Parlimen mengundi untuk menyokong RUU tersebut, melepasi minimum 148 undi yang diperlukan (dua pertiga Dewan Rakyat). Tiada yang mengundi untuk tidak bersetuju, dengan baki 11 ahli Parlimen tidak hadir untuk mengundi.


Kejayaan pindaan Perlembagaan Persekutuan yang pertama dalam sejarah melibatkan sokongan sebulat suara kedua-dua blok ini menjadi penanda aras baru dalam demokrasi moden di Malaysia. Betapa ahli Parlimen Malaysia telah mencapai kematangan demokrasi untuk mengetepikan perbezaan ideologi politik, dan meletakkan kepentingan rakyat sebagai yang utama. 

Kekuatan suara pembangkang dalam sistem demokrasi berparlimen ini mesti dikekalkan supaya prinsip 'semak dan imbang' pembangkang dapat dilakukan terhadap blok kerajaan. Selepas mengubah kerajaan Persekutuan buat pertama kali dalam sejarah, kematangan politik kita telah mencapai satu tahap yang baru.

Tidak guna lagi memandang ke belakang. Untuk maju, langkah dari sini adalah terus ke depan. Tarikh 16 Julai akan terus kekal dalam lembaran sejarah Malaysia apabila kita berbicara tentang kematangan demokrasi.




Saturday, June 29, 2019

Kembali Menulis

Assalamualaikum.

Dah bersawang blog ni. Dah lama rasanya penulis hilang sentuhan untuk menulis. Kalau ada pun sesekali penulis menerbitkan entri, majoritinya tentang hal kegemaran penulis: bola sepak. 

Sebenarnya, banyak saja hal yang berat tentang kehidupan yang berlegar di fikiran penulis tapi sukarnya untuk menterjemahkan kepada penulisan itu seperti menanggung gunung di belakang badan. Benarlah, memulakan penulisan itu yang sangat sukar. 

Sejak kebelakangan ini, banyak hal yang ingin penulis perkatakan. Tentang senario politik tanah air, isu-isu semasa, dan perkara-perkara yang singgah di pemerhatian penulis. Rasa ingin menulis itu ada tetapi ia berakhir di situ saja. 

Pada petang Khamis yang lalu, di jamuan Persatuan Anak-Anak Kelatan UUM (PAKU), penulis telah dikurniakan rezeki bertemu sahabat lama. Sebenarnya sudah bertahun-tahun berlalu seja kali terakhir kami dapat bersembang. Mungkin sejak meninggalkan alam sekolah menengah lebih kurang sembilan tahun yang lalu. Satu tempoh masa yang sangat panjang. 

And it takes nothing to gel again. Sepertinya kami baru saja berbual semalam. Sepertinya sembilan tahun itu hanyalah sembilan detik yang berputar di muka jam.

Beliau (yang sangat penulis hormati) menegur penulis kerana sudah lama tidak menulis (seperti dahulu). Beliau yang rajin singgah di blog picisan ini menegur kerana hanya banyak entri tentang bola sepak. 

Dia menolak ketika diminta sekeping gambar buat kenangan. Katanya, "there are more to life than a picture". Memori tidak semestinya dengan menyimpan gambar. Indeed, you are right. I still remember the days back then.

Dan jika dia membaca entri ini, terima kasih kerana selalu singgah dan menyokong dalam diam. Benarlah, kekuatan itu datang dalam banyak bentuk.

------

Moral of the day:
1. Permulaan selalunya sukar. Proses seterusnya insya-Allah lebih mudah.
2. Apa yang di ingatan mungkin hilang. Tulislah kerana lupa itu sifat manusia biasa. 



Saturday, May 11, 2019

Triple Miracle

Assalamualaikum.

Triple miracle happened in football, and all happened in the space of 24 hours.

Keajaiban adalah sesuatu yang dirasakan mustahil sebelum berlaku. Bola sepak tidak kurang rancak dengan keajaiban. Dan dalam tempoh 24 jam saja, tiga keajaiban terjadi di Eropah dan Asia.

-----------

Liverpool 4-0 Barcelona

This is Anfield! Itulah laungan para penyokong tuan rumah yang menyaksikan sesuatu yang amat dahsyat. Sebelum perlawanan, sukar untuk mengatakan Barcelona akan bertandang dan dibelasah. Barcelona hadir dari Sepanyol dengan kekuatan maksima manakala Liverpool tempang dengan kecederaan dua ayam tambatan, Mohamed Salah dan Roberto Firmino yang membentuk trio pemusnah bersama Sadio Mane.

Pengurus, Jurgen Klopp memulakan perlawanan semalam dengan Xherdan Shaqiri dan Divock Origi di tempat Salah dan Firmino. Untuk rekod, Liverpool juga ketinggalan secara agregat selepas tewas 3-0 di tempat lawan dalam perlawanan pertama. Liverpool memerlukan tiga gol tanpa balas untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan. Atau kemenangan 'hampir mustahil' 4-0. Jika satu gol dijaringkan Barcelona, Liverpool tidak boleh seri secara agregat lagi (peraturan gol di tempat lawan) dan memerlukan sekurang-kurangnya lima gol untuk layak.

Jaringan awal Origi membantu hasrat kebangkitan. Dua gol pantas Georginio Wijnaldum menyalakan harapan tuan rumah sekali gus menyamakan kedudukan secara agregat. Gol kedua peribadi Origi berpunca daripada sepakan penjuru pantas menghadiahkan malam sempurna untuk penyokong tuan rumah. Trent Alexander-Arnold bijak mengambil kesempatan atas kelekaan pertahanan Barcelona dan melakukan hantaran sempurna kepada Origi.

Walaupun penulis ialah peminat tegar Manchester United (seteru sepanjang zaman Liverpool), penulis tidak menafikan pasukan Klopp ini layak ke pentas akhir sekali lagi untuk tahun kedua berturut-turut. Tanpa kelibat Salah dan Firmino, pasukan Klopp masih dapat membedil Barcelona dengan kemenangan 'hampir mustahil'. Klopp telah membina satu pasukan dengan depth yang cukup ampuh. Klopp dan pasukannya mencabar Manchester City ke perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris, dengan kedua-dua pasukan jauh meninggalkan Chelsea di tempat ketiga. 

--------

Johor Darul Takzim 1-0 Kashima Antlers

Tiada gentar!

Sebelum perlawanan ini, JDT hanya mengumpul satu mata daripada empat perlawanan pertama manakala Kashima telah mengutip tujuh mata. Untuk rekod, Kashima merupakan juara bertahan untuk pertandingan Liga Juara-Juara Asia ini. Melihat kepada situasi selepas empat perlawanan awal, harapan terbaik JDT adalah untuk memberikan yang terbaik di pentas tertinggi Asia dan cuba memberikan cabaran kepada penyandang juara.

Hanya tiga pemain import diturunkan oleh ketua jurulatih (Benjamin Mora) iaitu Mauricio, Hariss Harun dan Gonzalo Cabrera. Selebihnya dibarisi anak-anak tempatan iaitu Izham Tarmizi (penjaga gol), S. Kunanlan, Aidil Zafuan, Corbin-Ong (naturalisasi), Afiq Fazail, Nazmi Faiz, Safawi Rasid dan Syafiq Ahmad.

Seperti perlawanan-perlawanan terdahulu di mana JDT dapat menyaingi pasukan-pasukan terbaik Asia, ternyata tuan rumah tidak malu-malu dan menguasai perlawanan. Namun begitu, JDT dilihat menghadapi masalah untuk mencipta peluang walaupun banyak menghabiskan masa di kawasan lawan. Sesekali serangan Kashima menggoncang benteng JDT dengan deretan peluang.

Adat bola sepak, penguasaan bola dan jumlah percubaan tidak menentukan pemenang. JDT mendominasi penguasaan bola (tanpa percubaan yang terlalu bahaya) tetapi Kashima mencipta peluang-peluang keemasan. Maaf Kashima, mencipta peluang saja tidak cukup jika tidak disudahkan. Satu hantaran lambung disambut Syafiq Ahmad di sayap kiri. Masih banyak yang perlu dilakukan Syafiq di posisi itu tetapi beberapa saat kemudian, Syafiq telah melakukan rembatan sempurna untuk gol yang dinanti-nantikan oleh semua penyokong tuan rumah.

Kashima berhempas-pulas mencari gol penyamaan (yang tak kunjung tiba) tetapi JDT kemas mempertahankan kelebihan itu sehingga ke wisel penamat. Hari yang sangat bersejarah dalam bola sepak Malaysia. Selepas menjadi pasukan pertama Malaysia ke peringkat tertinggi benua, JDT mencatatkan kemenangan pertama untuk pasukan Malaysia dalam sejarah.

Dan lebih manis, ia dilakukan menentang juara bertahan. Kemenangan itu menghidupkan peluang JDT untuk layak. Jika Shandong Luneng (pasukan China) mengatasi Kashima dalam perlawanan terakhir dan JDT juga mengalahkan Gyeongnam (pasukan Korea Selatan), JDT mungkin boleh mara lebih jauh.

Kerana mereka pernah bermimpi dan berusaha keras, JDT telah sampai ke tahap yang tidak pernah dilakukan pasukan Malaysia yang lain!

---------

Ajax 2-3 Tottenham Hotspurs

Sebelum perlawanan, saingan masih terbuka walaupun Ajax mempunyai kelebihan kerana menjaringkan satu gol di tempat lawan. Namun selepas tamat babak pertama di mana Ajax menambah dua gol, misi Tottenham menjadi sukar kerana perlu menjaringkan sekurang-kurangnya tiga gol. Bukan mudah untuk membayangkan hal itu menentang Ajax yang telah beraksi cemerlang dalam kempen musim ini termasuk menyingkirkan juara bertahan, Real Madrid.


Masih segar dengan kemenangan dramatik menewaskan Manchester City dalam pusingan sebelum ini (terikat agregat 4-4, Spurs layak dengan peraturan gol di tempat lawan), Tottenham tanpa Harry Kane mendapat wira yang tidak disangka. Dua jaringan pantas oleh pemain Brazil, Lucas Moura, dengan selang masa lima minit menghidupkan sisa-sisa perjuangan mereka.

Dengan Tottenham hanya memerlukan satu gol untuk mara, tekanan memuncak kepada tuan rumah. Mereka juga memerlukan hanya satu gol untuk memaksa Spurs menjaringkan dua gol lagi. Hakim Ziyech memiliki beberapa peluang tetapi ternyata malam ini bukan miliknya. Tottenham terpaksa menanti sehingga ke saat-saat terakhir masa kecederaan apabila takdir memihak mereka.

Hantaran lambung jarak jauh Moussa Sissoko disambut dengan kuisan oleh Fernando Llorente ke laluan Dele Alli. Kebijaksanaan Alli mencipta ruang yang sempurna apabila melorongkan bola untuk penyudah dramatik Lucas Moura yang melengkapkan hatrik. Mimpi Ajax telah musnah!


Para pemain Ajax tidak percaya mereka telah tersingkir. Pengurus Tottenham, Mauricio Pochettino, sendiri tidak percaya pasukannya berjaya melakukannya. Ini adalah kemuncak kecemerlangan Spurs yang masih berada dalam kelompok empat terbaik liga domestik. Lebih hebat, Pochettino melakukan keajaiban ini tanpa membeli pemain dalam dua jendela perpindahan yang lalu.

--------------

Buat kali pertama sejak 2008 (final Manchester United menentang Chelsea), final Liga Juara-Juara Eropah akan ditentukan oleh dua pasukan Inggeris. Final pada 1 Jun akan berlangsung di Wanda Metropolitano di bandar Madrid, Sepanyol.


Liverpool memburu kejuaraan pertama selepas kali terakhir menjuarai pertandingan ini pada tahun 2005 (ya, tahun keajaiban Istanbul). Tottenham pula mengidamkan menjadi juara Liga Juara-Juara Eropah buat kali pertama.

Ketika artikel ini ditulis, Chelsea dan Arsenal telah mara ke final Liga Europa. Ini bermakna perlawanan akhir kedua-dua kejohanan tertinggi di benua Eropah akan mempertemukan dua pasukan liga Inggeris. Ini juga bermakna pertembungan Piala Super UEFA antara juara Liga Juara-Juara Eropah dan juara Liga Europa nanti sudah pasti akan ditentukan oleh dua pasukan liga Inggeris.

Ternyata liga Inggeris sedang mendominasi benua Eropah ketika ini. Liga Perdana Inggeris bukanlah liga yang mudah seperti yang diperkatakan sesetengah pengurus dan pemain sebaliknya telah menjadi liga yang kompetitif dan melibatkan antara pasukan terkuat di benua Eropah.


Monday, May 6, 2019

Ramadan 1440H

Assalamualaikum.

Syukur, selesai terawih dan sahur 1 Ramadan 1440 H.

Alhamdulillah tsumma alhamdulillah, segala puji hanya bagi Allah. Tahun ini penulis berkesempatan untuk menjalani ibadah puasa Ramadan bersama keluarga tercinta.

Sebagai pelajar ijazah perubatan, penulis berpuasa tahun-tahun sebelum ini di perantauan termasuklah di Seremban (Negeri Sembilan) dan Batu Pahat (Johor). Lumrah sebagai pelajar perubatan, kami tidak mempunyai cuti yang lama. Kalau dapat cuti tiga minggu pun dah besar rahmat. Biasanya hanya seminggu dua.

Kekangan kos juga menghalang penulis untuk pulang menyambut awal Ramadan di kampung halaman. Tiada cuti yang panjang. Hanya sehari dua tidak memadai.

Selepas menamatkan pengajian ijazah sarjana muda, kini penulis sudah cuti hampir 10 bulan dan bakal memulakan housemanship tidak lama lagi. Ramadan tahun hadapan mungkin disambut bersama pesakit di hospital.

Jadi sebulan Ramadan bersama keluarga tahun ini adalah rahmat yang besar daripada Allah.

Moga ibadah puasa Ramadan kita tahun ini diberkati dan menjadi asbab kita ke syurga. 

Salam Ramadan.



Friday, May 3, 2019

Ada Apa Dengan Tapir?

Assalamualaikum.

Selamat Hari Bumi Sedunia dan Selamat Hari Tapir Sedunia. Hari Bumi Sedunia disambut pada tarikh 22 April setiap tahun manakala Hari Tapir pula diraikan pada 27 April setiap tahun.

Sejak bermain live game Dooit, penulis banyak mendapat pengetahuan am yang baru. Kali ini untuk minggu meraikan Hari Bumi (dengan kerjasama WWF Malaysia), penulis belajar pula tentang perlindungan hidupan liar di dunia secara am, dan menambah ilmu tentang tapir secara khusus. Untuk rekod, tapir adalah maskot Dooit!

Mengikut klasifikasi saintifik, tapir adalah sejenis haiwan MAMALIA dalam order "Perissodactyla". Berada dalam order ini menjadikan tapir lebih 'hampir' secara alamiah kepada kuda dan badak, berbanding dengan babi (yang dikaitkan kerana rupa tapir). Semua tapir berada dalam keluarga "Tapiridae" dan genus "Tapirus".

Secara asasnya, terdapat empat spesies tapir di dunia:

(1) Tapir Gunung (Tapirus pichaque)
(2) Tapir Tanah Rendah [juga Tapir Brazil atau Tapir Amerika Selatan] (Tapirus terrestris)
(3) Tapir Baird (Tapirus bairdii)
(4) Tapir Malaya (Tapirus indicus)

Pada tahun 2013, spesies kelima yang terkecil dikatakan telah ditemui:

(5) Tapir Kabomani (Tapirus kabomani)

Masih ada perdebatan sama ada spesies tapir kelima ini adalah variasi Tapir Brazil (Tapir Tanah Rendah) kerana hanya saiz yang kecil menjadi perbezaan. Hampir semua spesies tapir berada di benua Amerika Utara dan Amerika Selatan. Tapir Malaya menjadi satu-satunya spesies tapir dunia yang berada di benua Asia. 

-----

Nama lain bagi Tapir Malaya adalah Tapir Asia dan Tapir India. Tapir juga dikenali sebagai 'tenuk', 'cipan', dan 'badak tampung' dalam Bahasa Melayu. Tapir Malaya mempunyai satu ciri khas yang sangat unik iaitu warna badannya. Tapir Malaya boleh dikenali dengan mudah kerana berwarna hitam dan mempunyai bahagian berwarna putih dari bahu serta belakang badannya. Warna putih ini seperti tempat duduk (saddle).

CIRI FIZIKAL

Panjang Tapir Malaya biasanya antara 1.8 dan 2.5 meter, dengan ketinggian 90 - 110 sentimeter. Ekornya pendek saja (5-10 sentimeter). Berat mereka antara 250 ke 320 kilogram, tetapi tapir dewasa boleh mencecah berat 540 kilogram. Dan biasanya, tapir betina lebih besar berbanding tapir jantan! Tapir juga mempunyai belalai (snout) atau dipanggil proboscis yang berfungsi untuk mencari makanan dan sebagai snorkel semasa mereka berenang. Kaki depan tapir mempunyai empat jari, manakala kaki belakang pula tiga jari.

Tapir tidak mempunyai penglihatan yang baik. Selain mata yang kecil, mata tapir juga biasanya diliputi "blue haze" iaitu 'kekaburan kornea' kerana pendedahan berulang terhadap cahaya. Hal ini menyukarkan mereka untuk mencari makanan di waktu malam dan terdedah kepada ancaman pemangsa di dalam gelap. Namun begitu, tapir mempunyai pendengaran dan deria bau yang sangat baik untuk membantu pergerakan mereka.

KITARAN HIDUP

Kitaran hidup tapir menjadi salah satu punca semula jadi tapir semakin pupus. Tempoh mengandung bagi seekor tapir betina adalah selama 390-395 hari (13 bulan). Selain itu, anak yang dilahirkan pula hanya seekor (jarang berlaku kembar). Anak tapir yang dilahiran seberat lebih kurang 7 kilogram dan boleh mencecah 50 kilogram dalam masa sebulan. Anak Tapir Malaya merupakan yang terbesar semasa lahir (antara semua spesies) dan membesar lebih cepat berbanding spesies lain.

Berbanding tapir dewasa, anak tapir berwarna coklat dengan jalur atau bintik putih. Sama seperti tapir dewasa juga, warna ini memudahkan mereka untuk bersembunyi di dalam hutan. Warna ini akan bertukar ke warna dewasa dalam masa 4-7 bulan. Seekor tapir mencapai kematangan seksual pada usia 3 tahun.

Musim mengawan tapir adalah sekitar pertengahan tahun iaitu bulan April, Mei dan Jun. Seekor tapir betina biasanya melahirkan seekor anak setiap 2 tahun. Seekor tapir boleh hidup sehingga mencecah usia 30 tahun.

TABIAT

Tapir biasanya menanda kawasan dengan air kencing. Tapir adalah sejenis haiwan herbivor. Mereka makan daun dan tunas pokok. Kepelbagaian spesies pokok yang dimakan melebihi 100 spesies. Tapir merupakan agen pembiakan pokok yang penting. Najis tapir menjadi punca menyebarkan spesies pokok di dalam hutan.

Walaupun bersaiz besar, tapir boleh melarikan diri dengan laju apabila dalam bahaya. Tapir juga boleh mempertahankan diri kerana mempunyai rahang yang kuat dan gigi yang tajam (42-44 batang gigi).

Tapir suka tinggal berdekatan air kerana gemar berendam dan berenang. Selain itu, tapir juga merupakan haiwan yang aktif di waktu malam. Tapir lazimnya makan selepas matahari terbenam atau sebelum matahari terbit. Dan tapir tidur di tengah malam.

-----------

Trivia tentang Tapir Malaya:

1. Tapir Malaya merupakan spesies terbesar antara semua jenis tapir.
2. Kumpulan tapir dipanggil candle.
3. Tapir mungkin dilihat sama, tetapi boleh dibezakan secara individu dengan melihat tanda di bahagian leher.
4. Digelar 'pekebun hutan' kerana menyebarkan benih tumbuhan melalui najis mereka.
5. Sejenis haiwan yang senyap, pemalu dan biasa bersendirian.
6. Tapir mencari kaolin untuk meneutralkan racun dari tumbuhan beracun.
7. Anak Tapir Malaya yang lahir di Zoo Edinburg pada Februari 2019 dinamakan "Megat". Berita terkini adalah Megat telah pun meninggal dunia pada April 2019.

Dengan pembiakan yang perlahan dan kehilangan habitat menyebabkan tapir semakin pupus. Statistik PERHILITAN menunjukkan hanya tinggal 700-800 ekor Tapir Malaya di Malaysia dan angka ini mungkin terus berkurangan jika tiada langkah proaktif diambil.



Wednesday, May 1, 2019

Penamat Black Yang Menghancurkan

Assalamualaikum.

Bagi peminat-peminat tegar K-Drama (drama dari Korea Selatan), pasti tidak asing lagi dengan drama 'Black' yang mengisahkan seorang grim reaper jatuh cinta dengan manusia biasa ketika keluar ke dunia untuk menjalankan tugas.

Penulis bukan penonton setia K-Drama. Jadi drama ini semestinya mempunyai sesuatu magis yang hebat untuk membuatkan penulis terus teruja sehingga ke episod akhir. Penulis baru saja menamatkan tontonan drama ini di Netflix sebanyak 18 episod yang setiap satu berdurasi lebih kurang sejam setengah. 

Mungkin penulis akan ulas panjang lebar mengenai perjalanan drama ini dalam entri yang lain tetapi entri ini hanya akan fokus kepada penamat (baca: ending) 'Black'. Apabila penulis membelek reviu di alam maya, ramai yang tidak berpuas hati dengan penutup drama hebat ini. Dan penulis harus setuju dengan mereka. 

The ending does not do justice for the roller-coaster masterpiece.

Penulis boleh menyifatkan 10 minit yang terakhir telah memusnahkan satu mahakarya yang hampir sempurna. Bagi penulis, terdapat dua perspektif untuk mengadili sama ada penamat ini boleh diterima atau tidak.

----

Dari satu sudut, penamat itu dilihat satu kesudahan yang amat kejam untuk watak 'Kim Joon'. Selepas menyedari hakikat kematiannya yang dibunuh pada usia 13 tahun, jantungnya dikeluarkan dan diberikan kepada adik angkat oleh ibu angkatnya sendiri. Mayatnya pula disembunyikan di dasar laut dalam sebuah kereta yang sengaja ditenggelamkan. Tragedi yang amat dahsyat.

Tersangat kejam apabila penulis menentukan 'Banduan 420' (Kim Joon sebagai grim reaper) akan menjadi korban yang lebih tragis. Kim Joon diberitahu oleh Grim Reaper 007 bahawa Kang Ha-Ram telah mengetahui penglibatannya dalam tragedi kematian Joon. Lalu Kim Joon meminta dikenakan hukuman paling berat di Underworld iaitu kewujudannya dilupakan oleh semua orang di dunia. Ha-Ram yang membunuh dirinya dilahirkan semula tanpa kebolehan melihat bayang kematian dan hidup bahagia sehingga ke akhir hayat.

Bagaimana Joon yang telah dizalimi dipilih untuk pengakhiran yang sadis?

Bagi penulis, alternatif sepatutnya adalah Grim Reaper 444 dilupakan di Underworld dan dibenarkan hidup di dunia dalam tubuh manusia. Dengan itu, Black akan dapat hidup bahagia dengan Ha-Ram.

Itulah 'happy ending' yang tidak menjadi pilihan penulis skrip. Seperti lirik nyanyian Stacy "mungkin cinta sebegitu hanya kisah dongeng saja".

----

Dari sudut yang lain pula, grim reaper tidak layak bersama manusia adalah hakikat yang pahit.

Pengorbanan adalah sesuatu yang lazim dalam cinta. Dan Kim Joon memilih untuk 'mengorbankan' dirinya demi melihat Ha-Ram hidup bahagia (sesuatu yang tidak mampu Ha-Ram miliki sebelum ini kerana dapat melihat bayang kematian; dan tidak dapat juga bahagia ke depan kerana rasa bersalahnya menembak Joon pada hari tragis tersebut). 

Leo (yang tubuhnya didiami oleh rakan Black yang dibiarkan tinggal di dunia) memberikan rantai (yang pernah diberikan Ha-Ram kepada Joon) kepada Ha-Ram di hujung usia. Apabila memandang rantai itu, semua memori Ha-Ram kembali dan dia menangis teresak-esak kerana mengenangkan dia telah hidup bahagia di atas pengorbanan Joon.

Ha-Ram meninggal dunia pagi esoknya dan Black telah menanti untuk menjemput Ha-Ram. Dialog di babak akhir yang sangat menyentuh hati.

"I'm sorry, for remembering only now." Ha-Ram terkilan.

"Have you been well?" Black tersenyum.

"Yes. I have been well." Ha-Ram juga tersenyum.

"Were you happy?"

"I was. I was very happy."

"I'm glad to hear that."

Itu sajalah yang Black inginkan. Membiarkan Ha-Ram hidup bahagia di dunia. Itu sudah cukup untuk Black. Dalam hidup ini, kita berkorban untuk orang yang kita sayang. 

Begitulah keagungan cinta.





Thursday, April 18, 2019

Tinggal Empat

Assalamualaikum.

Selepas tamat perlawanan kedua untuk pusingan suku akhir awal pagi tadi (waktu Malaysia), bermakna hanya tinggal empat pasukan saja untuk merebut takhta kejuaraan. 

Dua pasukan yang layak adalah seperti yang dijangka, manakala dua pasukan lagi melawan arus dan mencipta kejutan dengan gagah berani. Ini bererti dua lagi pasukan pilihan tersingkir. Dan yang lebih menarik daripada itu, dua pasukan pilihan yang tinggal akan berentap sesama sendiri di pusingan separuh akhir.

Berikut adalah ulasan ringkas untuk peringkat suku akhir:

------------

Manchester United 0-1 Barcelona
Barcelona 3-0 Manchester United
[agregat: 4-0]

Pendahulu semasa dan gergasi La Liga Sepanyol ternyata terlalu kuat untuk ditandingi. Beraksi di gelanggang sendiri dalam perlawanan pertama, United terlepas gol yang 'murah' untuk menyukarkan peluang mereka sendiri kerana Barcelona mendapat 'gol di tempar lawan' yang sangat berharga. 

Tekanan memuncak untuk United apabila bertandang ke Nou Camp, gelanggang keramat yang menyaksikan Barcelona hanya tewas sekali dalam beberapa tahun yang lalu (rekod untuk pertandingan Liga Juara-Juara Eropah). Kemenangan adalah satu-satunya jalan keluar United tetapi mereka bukan saja tewas, malah dihancurkan.

Dua gol daripada Lionel Messi dan satu lagi daripada bekas pemain Liverpool, Coutinho cukup untuk meranapkan United. Ketiga-tiga gol yang dijaringkan dalam perlawanan kedua ini adalah percubaan dari luar kotak penalti. Pendekatan Solksjaer wajar dipersoalkan kerana memasuki perlawanan kedua yang penting dengan membariskan Phil Jones, Chris Smalling dan Ashley Young di benteng pertahanan. 

Satu perjudian yang amat merugikan. La Remontada kedua berturut-turut yang diharapkan (selepas bangkit mengejutkan Paris Saint-Germain dalam pusingan sebelum ini) tidak kesampaian. Barcelona bukan seperti PSG.

-----

Ajax 1-1 Juventus
Juventus 1-2 Ajax
[agregat: 2-3]

Reputasi Ajax selaku 'pembunuh gergasi' semakin disegani dan kisah dongeng mereka akan disambung lagi.

Selepas bangkit daripada kekalahan di gelanggang sendiri dalam perlawanan pertama dan membelasah juara bertahan di gelanggang lawan, Ajax melakukannya sekali lagi dan kali ini di rumah jaguh Itali.

Bukan sebarang orang yang memperkuatkan Juventus. Pemenang pertandingan ini dalam empat daripada lima musim terakhir. Digelar 'raja' Liga Juara-Juara Eropah, Cristiano Ronaldo membuktikan kepakarannya dengan tandukan cemerlang untuk satu 'gol di tempat lawan'. Tetapi gol David Neres di awal babak kedua sangat penting kerana menjadi gol penyamaan dan menghidupkan sisa peluang Ajax yang masih berbaki.

Beraksi di Turin, pasukan muda Ajax yang jauh lebih murah daripada pasukan seperti Manchester United dan Juventus sendiri menunjukkan mereka tidak gentar. Cristiano Ronaldo sekali lagi menjaringkan gol melalui tandukan. Donny van de Beek mengatasi perangkap ofsaid untuk menyamakan kedudukan. Kapten muda Ajax, Matthijs de Ligt menanduk gol kemenangan untuk Ajax melangkah semakin hampir dengan keajaiban.

-----

Liverpool 2-0 Porto
Porto 1-4 Liverpool
[agregat: 1-6]

Seperti dijangka, Liverpool mudah menjinakkan pasukan berpengalaman Portugal untuk peringkat kalah mati pertandingan ini. 

Liverpool menang selesa di tempat sendiri dengan gol daripada Naby Keita dan Roberto Firmino. Porto gagal mendapatkan 'gol di tempat lawan' menjadikan tugas mereka sukar untuk bangkit. Beraksi di gelanggang sendiri, Porto dimusnahkan.

Trio penyerang Liverpol -- Sadio Mane, Mo Salah, Roberto Firmino -- masing-masing meledak satu gol. Pertahanan termahal dunia, Virgil Van Dijk cemerlang lagi menjaringkan gol untuk menaikkan sahamnya. 

Porto ternyata bukan lawan Liverpool. Mungkin Barcelona lebih 'hangat'.

-----

Tottenham 1-0 Manchester City
Manchester City 4-3 Tottenham
[agregat: 4-4]

Kejutan kedua di peringkat ini selepas Ajax. Manchester City dalam misi sensasi memburu 'quadruple' (empat kejuaraan) dalam saingan domestik dan benua Eropah. Manchester City telah pun memenangi Piala Carabao dan mara ke final Piala FA. Mereka juga sedang bersaing hebat dengan Liverpool untuk takhta Liga Perdana Inggeris. Pertembungan sesama sendiri antara dua pasukan Inggeris, maka satu mesti tersingkir!

Walaupun tewas di gelanggang lawan, City amat gagah di tempat mereka sendiri. Ledakan kaki kiri pemain Korea Selatan, Son Heung Min di stadium baru mereka ternyata berharga untuk Spurs. Aksi di Manchester ternyata menghiburkan. Empat gol dijaringkan dalam tempoh 11 minit pertama permainan untuk kedudukan terikat 2-2! Gol Raheem Sterling seawal minit keempat dibalas dengan dua gol pantas Son Heung Min. Bernardo Silva menyamakan kedudukan hanya seminit selepas gol Son. 

Dan pada minit ke-21, Sterling meletakkan City mendahului 3-2. Dalam kedudukan ini, Spurs masih berkelebihan dengan gol di tempat lawan walaupun agregat terikat 3-3. Walau apa sekali pun, City tidak boleh menang dengan kelebihan hanya satu gol kerana dua gol Son 'di tempat lawan'.

Sergio Aguero menjaringkan gol yang diperlukan City pada detik sejam tetapi Fernando Llorente merapatkan kedudukan sekali lagi dan sekali gus meletakkan Spurs kembali dengan kelebihan. Situasi paling sensasi berlaku dalam masa kecederaan apabila 'gol penting' Sterling dibatalkan kerana ofsaid selepas pengadil melihat reviu VAR (bantuan video). Bukan saja Sterling gagal melengkapkan hatrik, malah City tersingkir walaupun menang di tempat sendiri dan agregat terikat 4-4.

Bayangkan jika gol lewat Sterling itu dikira!

----------------

Perlawanan pertama separuh akhir akan berlangsung pada 30 April diikuti perlawanan kedua pada 7 Mei. Spurs dan Barcelona masing-masing akan beraksi di tempat sendiri dalam perlawanan pertama.

30 April
Tottenham vs Ajax
Barcelona vs Liverpool

7 Mei
Liverpool vs Barcelona
Ajax vs Tottenham

Dua pasukan pilihan (yang sepatutnya bertembung di final) akan berdepan sesama sendiri untuk merebut slot ke final. Sama ada Barcelona yang dipimpin Lionel Messi atau Liverpool dengan barisan yang seimbang kekuatannya di semua bahagian.

Jika Tottenham tidak berhati-hati, Ajax akan menyingkirkan mereka pula.

Ramalan peribadi penulis: 
Final Barcelona vs Ajax Amsterdam



Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif