Welcome To My Life...

Saturday, November 30, 2013

Hunger Games


Selepas satu minggu yang gila dengan demam, rakaman video, dan peperiksaan akhir subjek Hubungan Etnik, semalam aku dan rakan-rakan melepaskan semua tekanan dengan menonton wayang di Mid Valley.


Dalam tandas Mid Valley ada cermin. Pertama kali aku jumpa tandas macam ni. Selepas membuang air kecil, sempat lagi tangkap gambar kenangan. 


Yeah, kami masuk awal. Lepas tunggu orang masuk, kena tengok iklan suku jam. Fuhh, memang mencabar ketabahan. Selepas menanti dengan penuh kesabaran, barulah mula cerita yang mereka nak tengok sangat.


Terima kasih daun keladi kepada Anep yang belanja popcorn dan air. Nanti tengok wayang lagi, belanja lagi ya. ^_^ Caramel popcorn. Suku dah habis masa cerita bermula. Semua kerana iklan yang terlalu banyak. Ciss.


Inilah cerita yang kami tengok semalam. Hunger Games : Catching Fire. Sekuel kepada filem pertama yang ditayangkan tahun lepas. Bagi aku, plot cerita ni memang kreatif dan menarik. Memang puas hati tengok semalam. Berbaloi setiap nilai RM10 yang aku habiskan. Oh, kecuali bahagian penutup yang sangat mengecewakan. =.=

Lepas tengok wayang, kami makan McDonald. Fuhh, lama tak rasa Filet-O-Fish. Rindu sangat burger tu. Alhamdulillah, dapat rasa semalam. Lega. Kenyang jugak makan tu.

Diorang nak tengok cerita The Hobbit pulak bulan depan. Aku nak tengok wayang lagi, kalau ada bajet dari ayahanda. ^_^



Monday, November 18, 2013

Berniaga Lagi


Hari ni aku dan rakan-rakan serumah berniaga lagi untuk Bulan Usahawan. Tinggal Isnin minggu depan saja peluang kami untuk mencari rezeki melalui perniagaan. Mereka yang semangat, aku cuma membantu. Kali ni kami jual nasi goreng, sosej, dan kek batik.


Chef Azra sedang dalam proses menggoreng nasi.


Aku pula terlibat dalam proses packaging. Mengisi nasi ke dalam bekas-bekas.


Inilah nasi goreng yang dimasak oleh Chef Azra. Tetap sedap walaupun dia berpuasa hari ni. Selepas mengisi 33 bekas, ada lebihan sikit. Aku makan untuk sarapan. ^_^


Ada dua warna nasi yang kami tawarkan. Ada pelanggan bertanya beza kedua-dua nasi ini. Jawapan aku, sama saja. Kami hanya menyediakan pilihan. Jika mereka tak suka warna merah, boleh beli warna putih. Pilihan di tangan mereka. Customers always right. Mungkin tukang masak saja berbeza. Yang warna merah tu digoreng oleh Chef Ipan. Harganya sebekas RM1.50.


Kek batik yang disediakan oleh Chef Azra. Memang sedap. Kami jual dengan harga RM1.


Ini pula rambutan percuma yang kami sediakan untuk pelanggan. ^_^ Aku yang buat bentuk XY ketika kami menyusun makanan untuk dijual.


Inilah dia Piramid Nasi Goreng. Susunan yang katanya untuk menarik perhatian pelanggan. Macam-macam diorang ni. Itulah kisah rakyat Baitul Kacak berniaga. Alhamdulillah, semuanya habis dijual. Minggu depan pula masa untuk kami menjadi doktor berjiwa usahawan lagi.



A For AIR


Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran kupanjatkan kepada Allah. Jika bukan kerna rahmat-Nya, tak mungkin aku mendapat nikmat ini.

Hari ni sangat menggembirakan bagi aku yang dalam persediaan menghadapi ujian formatif. Aku dapat gred A solid untuk tugasan Assigned Independent Reading (AIR) bulan lepas. Pagi tadi semasa dalam kuliah Pharmacokinetics, aku ternampak seorang rakan tersenyum melihat tabletnya sambil menunjukkan sesuatu kepada seseorang. Aku kira itu laman web AIR.

Hati rasa resah. Aku mahu gred A. Tetapi aku juga berdebar mengenangkan tugasan itu aku hantar sangat lewat, pada hari deadline. Aku takut untuk menghadapi kemungkinan aku tak dapat gred yang aku harapkan. Alhamdulillah, dengan izin Allah, pemeriksa puas hati dengan penulisan aku.


Ada rakan serumah yang dapat B+ dengan pemeriksa yang sama. Seorang lagi rakan serumah pula dapat gred B. Ketika aku ke sesi Medical Museum jam 2.45 petang, rakan-rakan berbangsa Cina sedang tidak puas hati dengan gred yang mereka dapat. Dua orang budak pandai yang aku kenal hanya dapat gred B. Salah seorang dari mereka ditanda oleh pemeriksa yang sama denganku.

Apa yang mereka tak puas hati adalah kerana kami difahamkan oleh koordinator bahawa bahagian 'rujukan' tak penting untuk tugasan kali ini. Mereka geram kerana komen yang diberi pemeriksa 'rujukan diperlukan'. Aku bersyukur kerana aku memilih untuk tetap memasukkan bahagian itu. Mungkin itu membantu aku mendapat gred A. 

Aku rasa aku sangat bertuah. Walaupun mula menaip pada hari terakhir untuk menghantar tugasan, Allah memberikan ilham untuk aku mencurahkan hasil kajian dalam satu penulisan yang dipuji oleh pemeriksa sebagai 'well written'. Alhamdulillah. 

Hati ini sangat riang.


Sunday, November 17, 2013

Props In My Heart


Para pelakon teater MCW 2013 masih lagi mengalami withdrawal syndrome dengan terngiang-ngiang skrip yang mereka dengar setiap malam dalam sesi latihan. Bagi budak-budak props, kami juga sedang mengalami situasi yang sama.

Bukan mudah untuk melupakan kenangan tu. Selama hampir sebulan kami ke IMU pada waktu malam untuk menyiapkan props. Walaupun aku lambat menyertai pasukan ini, aku tetap rasa kelainan saat ini. Menerima hakikat MCW 2013 telah berakhir. Dan kembali kepada rutin harian yang membosankan.

Malam pementasan kami dilanda badai besar sebelum teater bermula. Namun dengan kerjasama erat, kami melepasinya dengan tindakan mendahului rungutan. Bekerja sebelum bercakap. Alhamdulillah. Bagi aku, pasukan ini memang dahsyat. Kejayaan teater kali ini sememangnya ditunjangi pasukan props yang tak kenal penat lelah menyediakan latar belakang pentas. Mereka ini wira-wira yang tak didendang.

Props team in memory

Gambar kenangan dengan ketua pasukan

Cantik kan tingkap tu? Tingkap tu hasil kreativiti rakan-rakan serumah aku yang mengorbankan waktu malam dan masa ulang kaji untuk ke IMU dan mengecat tingkap tu. Mula-mula aku tak tolong. Tapi lama-lama rasa teringin nak terlibat sama.






Terpaksa menghadap nota sampai nak muntah. Ujian formatif menanti hujung bulan ni. Sedang mencuba sedaya upaya untuk mengulang kaji semua yang perlu. InsyaAllah.



Saturday, November 16, 2013

Teater MCW


Alhamdulillah, malam tadi sempurna sudah kemuncak Malay Cultural Week (MCW) IMU 2013 dengan pementasan teater 'Alahai Menantu' di Lecture Theater 2 (LT2). 

Pelakon hanya datang pada jam 7.30 petang tapi aku dah berada di luar LT2 pada jam 6 petang untuk menyediakan sosej untuk jualan. Rakan serumah aku memang suka berniaga. Aku gerak sorang dulu memandangkan mereka siapkan popcorn untuk dimakan semasa menonton teater.

Kira-kira sejam sebelum teater bermula, kami dikejutkan dengan ujian Allah.


Sesuatu yang terpaksa dirahsiakan (atas permintaan kepimpinan persatuan) telah berlaku. Ada 'parasit' telah membuat onar. Kejadian tak diduga ni ibarat Taufan Haiyan bagi kami budak-budak props. Aku tabik spring kepada mereka. Tanpa banyak bunyi, mereka bertindak dengan kerjasama Wonderpets.

Dan... dengan izin Allah, persiapan berjaya disempurnakan untuk satu malam gilang-gemilang! Sementara rakan-rakan serumah jual sosej, popcorn, dan air kotak, aku pula jadi bouncer jaga tiket macam pekerja pawagam. Jam 8 lebih, pementasan pun bermula.


Pengarah, Haziq, dan penolongnya, Kak Ju.

Teater semalam memang best. Gelak ketawa penonton sepanjang pementasan memang dijangka kerana teater asal yang dipentaskan di UKM pun memang sangat kelakar. 

Awatif, Liya, Afeiq, Mars, Salina, Nazmi, Azam, Fatira, Sofia, Izni

Inilah barisan para pelakon selepas tamat persembahan. Satu persembahan yang menarik. Semua pelakon memainkan karakter yang menarik dengan banyak dialog spontan dan terkini menggeletek perut penonton. Sayangnya sari kata tidak begitu lancar membuatkan penonton asing tidak dapat memahami dialog untuk membuatkan komedi teater ini 'sampai'. Aku selaku penulis sari kata sangat kecewa. Tetapi pelakon lupa dialog juga mengganggu kelancaran sari kata apabila satu ketika skrip ditinggalkan jauh.


Situasi kacau-bilau pasca pementasan apabila penonton mengambil peluang untuk bergambar dengan para pelakon yang mula popular. 


Antara barisan pelakon yang berposing sakan selepas satu pementasan yang berjaya menghiburkan para penonton yang membeli tiket untuk ketawa.


Aku bersama dua orang rakan. Lakonan yang sangat mantap. Pak Alang (Azam) dan Pak Usop (Mars). Kedua-duanya spontan dan gila-gila. Memang kelakar.


Aku bersama pengarah dengan stail rambut baru. Gunting khas untuk teater ni. ^_^ Tahniah buat pengarah. Teater ni memang sangat menarik.


 Pelakon dan budak props bergambar kenangan meraikan kejayaan pementasan.


Aku bergambar kenangan di depan rumah kampung hasil karya budak props. Tahniah buat pasukan yang hebat ni. Walaupun kalian telah dipuji melangit oleh pengarah dan semua pelakon teater, aku tetap nak puji. Kalian semua memang terbaik. Apabila teater berjaya, hanya para pelakon dinyanyikan dan dipuji. Baru sekarang aku tahu budak props adalah wira tak didendang. Merekalah tulang belakang mana-mana pementasan teater. Akan ada entri khas menyusul.


MCW 2013 satu kejayaan. InsyaAllah, kami para pelajar semester pertama akan menyambung tradisi ni tahun depan dengan satu minggu yang lebih meriah dan lebih berjaya.


Friday, November 15, 2013

Nasi Mandy


Alhamdulillah. Semalam dapat makan nasi mandy. Senior ajak makan malam di restoran nasi Arab memandangkan ada yang berpuasa. Lebih kurang 15 orang termasuk aku bergerak ke Apartment Green, kira-kira sepuluh minit berjalan kaki dari simpang empat ke IMU dan Vista C.

Ada banyak sangat menu termasuk mandy, haneeth, kabsha, dan maghot. Aku pilih mandy sebab paling mahal. Alang-alang pertama kali datang biar boros. Tak habis duit sangat pun.


Haaaaa. Ni dia air jus tembikai. Mulanya aku nak minum air Mountain Dew. Tapi ubah fikiran. Sekali-sekala saja datang. Apa salahnya minum yang sedap sikit. Harganya cuma RM3. Ada kawan aku yang pesan jus mangga. Tapi dapat jus mangga campur susu dan sirap. Memang unik. Rasanya pun menarik.



Haaa. Inilah dia nasi mandy ayam. Alhamdulillah, memang sedap. Dan sangat mengenyangkan. Aku rasa 'penuh' sangat lepas siap makan. Harganya pun murah. Hanya RM10.

Senior belanja air. Syukur alhamdulillah. Moga murah rezeki mereka. Memandangkan kami datang ramai, tuan kedai tu bagi diskaun. Nasi mandy yang aku makan hanya perlu bayar RM9. Yang makan nasi lauk kambing lagi untung. Harga yang RM13 cuma perlu bayar RM9 juga. Aku tak kisah. Memang aku lebih suka ayam. Tuan kedai tu juga bagi brochure. Dah macam piza pulak. Boleh delivery ke Vista C.

Tak tahu bila nak pergi makan lagi. Memang sedap. InsyaAllah kalau parents aku datang sini, aku bawak makan nasi mandy. Entri seterusnya aku akan bercerita tentang pementasan teater 'Alahai Menantu' malam esok.



Thursday, November 14, 2013

Kurus



Banyak respons yang aku terima apabila gambar ni dimuat naik ke FB pagi tadi. Tapi tiada seorang pun yang benar-benar komen tentang apa yang cuba aku tunjuk dalam gambar ni.

Ada yang menegur jersi Chelsea yang aku pakai. Aku sememangnya penyokong tegar Manchester United. Dan sokongan aku terhadap Syaitan Merah tak pernah padam. Apa lagi nak membelot dan menyokong musuh ketat United. Aku memang beli banyak jersi dari Padang Besar. Itu sebabnya aku tak kisah jersi kelab mana pun. 

Ada juga yang menegur saiz aku. Mereka kata aku kurus. KURUS?? Alhamdulillah. Sebenarnya terkejut jugak kerana aku baru seminggu memulakan proses diet selepas makan tanpa kawalan selama dua bulan belajar di IMU. Aunty Ju dan Cikgu Su (cikgu Biologi) antara yang mengatakan aku nampak kurus. 

Sebenarnya gambar ni diambil semalam semasa latihan untuk pementasan teater. Malam Jumaat ni akan berlangsung teater 'Alahai Menantu' yang diolah daripada pementasan asal di UKM. Aku terlibat secara tidak langsung dengan budak-budak props. Aku terlibat secara langsung dengan teater ni melalui penterjemahan skrip dari Bahasa Melayu kepada Bahasa Inggeris untuk sari kata buat penonton bukan Melayu.

Apa yang aku sedang lakukan dalam gambar tu adalah mengecat tingkap rumah kampung. Itu yang sebenarnya cuba aku tonjolkan. Satu gambar membawa sejuta makna. Dan tafsiran semua orang berbeza.



Senior Bercerita


Baru-baru ni Muslim Society ada buat satu sesi perkongsian oleh senior untuk para pelajar yang akan menyambung pengajian di luar negara bagi program berkembar Partner Medical School (PMS).

Senior yang dijemput ni semuanya baru graduasi bulan Julai lepas dari universiti masing-masing di luar negara. Bagus sesi perkongsian ni sebab mereka yang ilhamkan. Mereka nak berkongsi pengalaman berada di negara orang.


Ni kami bergambar dengan Abang Abdul Karim selepas sesi perkongsian. Abang ni baru kahwin. Dia bawak juga isteri dia yang turut sama berkongsi hari tu. 

Senior datang berkongsi ni sebenarnya untuk pelajar semester lima yang akan menyambung semester enam di luar negara. Aku yang sem pertama ni tumpang mendengar cerita. Pelajar yang akan ke Seremban pun hadir sama.

Antara yang senior lakukan hari tu termasuklah mempromosi universiti masing-masing. Yang aku ingat termasuklah Universiti Southampton dan Universiti Galway. Isteri Abang Karim tu belajar di New Zealand tapi JPA dah tak hantar ke sana tapi dia bercerita jugak.

Agak menarik jugak sesi tu walaupun aku ada lima semester lagi yang perlu dilalui sebelum ke sana, insyaAllah. Hanya Allah yang tahu rahsia-Nya.

Moga hajat tercapai.


Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif