Welcome To My Life...

Monday, June 30, 2014

Reviu Piala Dunia 2014 #7

Assalamualaikum.

Dua lagi perlawanan Round of 16. Dua lagi pasukan melangkah gagah. Dua lagi slot suku akhir diisi. Hanya tinggal separuh tiket saja untuk direbut. Berbanding semalam, dua perlawanan malam tadi lebih dramatik. Dua pasukan Eropah bertemu dua lawan dari Amerika Utara. Satu pasukan gergasi Eropah, dan satu lagi tersungkur.

------------------------------

Belanda 2-1 Mexico

Kekalahan ini sangat kejam buat Mexico yang mendahului sejak awal babak kedua sehingga berlaku drama lewat permainan. Perlawanan berlangsung seimbang dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan. Mexico terlebih dulu di depan menerusi jaringan cantik Giovani dos Santos dari luar kotak penalti. Kemudian, Mexico menyerap segala asakan dari Belanda. Guillermo Ochoa terus menyelamatkan gawang Mexico. Dia dipilih pemain terbaik perlawanan sebelum berlaku kebangkitan Belanda. 

Akhirnya taktik Louis van Gaal menjadi. Dua minit sebelum berakhir masa permainan sebenar, hasil satu sepakan sudut yang ditanduk semula ke kawasan berbahaya, Wesley Sneijder mendapati tiada pemain yang mengawalnya. Rembatan padunya menerjah jaring. Ketika perlawanan menuju ke masa tambahan, Arjen Robben dijatuhkan di dalam kotak penalti oleh Rafael Marquez. Klaas-Jan Huntelaar tenang menyempurnakan sepakan itu untuk membawa Belanda ke suku akhir.

--------------------------------------

Costa Rica 1-1 Greece 
(selepas masa tambahan)
 FT 1-1
Penentuan sepakan penalti: 5-3

Babak pertama berlangsung tanpa banyak drama. Costa Rica lebih banyak menguasai bola tetapi Greece lebih banyak melancarkan serangan. Kapten, Bryan Ruiz, meletakkan Costa Rica di depan pada awal babak kedua. Beberapa minit selepas detik satu jam, Costa Rica terpaksa bermain dengan 10 orang pemain apabila Oscar Duarte dilayangkan kad merah. Greece menggandakan asakan tetapi menemui jalan buntu. Ketika perlawanan seakan sudah dimenangi Costa Rica, Sokratis Papastathopoulos menjaringkan gol dalam masa kecederaan untuk memaksa masa tambahan.

Pemain Costa Rica bertahan habis-habisan berdepan serangan bertubi-tubi dari pasukan Greece. Kostas Mitroglou hampir menjaringkan gol pada masa kecederaan babak kedua masa tambahan tetapi penjaga gol Costa Rica, Keylor Navas, menafikan dengan cemerlang. Penentuan sepakan penalti dimulakan oleh Costa Rica. Celso Borges, Bryan Ruiz, Giancarlo Gonzalez, dan Joel Campbell semua melakukan sepakan dengan sempurna. Begitu juga Mitroglou, Lazaros Christodoulopoulos, dan Jose Cholevas. Malangnya, sepakan penalti keempat Greece yang diambil Theofanis Gekas diselamatkan oleh Navas. 

Sepakan kelima Costa Rica dijaringkan oleh Michael Umana. Greece tumbang.

--------------------------------

Selayaknya Costa Rica mara selepas utuh bertahan menghadapi Greece yang memanfaatkan kelebihan seorang pemain. Lawan menanti di suku akhir adalah pasukan Belanda. Costa Rica perlu mencapai tahap terbaik mereka untuk menyekat kemaraan Belanda. Malam ini dua lagi tiket suku akhir akan ditempah. Dua pasukan Eropah bertemu dua wakil Afrika.

Perancis vs Nigeria (12 malam waktu Malaysia)
Jerman vs Algeria (4 pagi)



Sunday, June 29, 2014

Satu Ramadhan

Assalamualaikum.


1 Ramadhan 1435H.

Salam Ramadhan buat keluarga tercinta di Changlun, Kedah. Maaf anakanda tak dapat menyambut ketibaan Ramadhan bersama. Tak ada cuti di sini. Peperiksaan akhir akan menjelma selepas raya. Sebulan saja lagi. Terpaksa berkorban demi menuntut ilmu.

Alhamdulillah, murah rezeki kurniaan Allah. Pagi tadi sahur makan bihun sup. Petang ni berbuka dengan gulai kambing. Walaupun tak meriah seperti bersama keluarga, tapi inilah pengorbanan. 

Tadi telefon bonda. Khabarnya dah beli baju raya. Warna dirahsiakan. ^_^ Persiapan awal. Alhamdulillah, tahun ni rezeki sangat murah. Haiz. Esok ada mock OSCE. Ujian olok-olok untuk skil klinikal. Masih sedih sebab tak dapat sambut Ramadhan dengan famili.

InsyaAllah 18 hari bulan ni lepas mock exam, aku akan pulang untuk berpuasa di Changlun sebelum pulang ke kampung di Johor. InsyaAllah. 

Selamat berbuka puasa.



Sri Petaling
1910
29/06/2014


Reviu Piala Dunia 2014 #6

Assalamualaikum.

Dua perlawanan pusingan kedua berlangsung malam tadi. Dua slot suku akhir telah diisi. Empat pasukan dari benua Amerika Selatan berentap sesama sendiri. Pasukan mana sekalipun yang menang, wakil Amerika Selatan akan bertemu lawan dari zon yang sama kerana pemenang dua perlawanan ini akan bertembung.

------------------------

Brazil 1-1 Chile 
(selepas masa tambahan)
FT 1-1
Penentuan sepakan penalti: 3-2

Perlawanan pertama pusingan kalah mati edisi 2014 berlarutan sehingga ke penentuan sepakan penalti. Cara paling kejam untuk menentukan pemenang. Chile mendominasi permainan sejak sepak mula. Namun dengan formasi 5-3-2, jelas sekali modus operandi Chile adalah cuba menyekat Brazil dari menguasai bola. Para pemain Chile mengawal bola dengan kemas dalam organisasi tersusun. Sesekali Brazil menyerang, asakan Brazil mencemaskan benteng Chile. Gol dari David Luiz selepas Thiago Silva menanduk sepakan sudut kepadanya meletakkan tuan rumah di depan. Gol penyamaan Chile hadir menerusi kesilapan Hulk melakukan hantaran kepada rakan. Alexis Sanchez menyamakan kedudukan.

Babak kedua. Brazil mula mendapat rentak. Penguasaan bola masih milik Chile, tetapi Brazil lebih banyak melakukan serangan berbahaya. Perlawanan berlarutan ke masa tambahan walaupun Brazil mencuba habis-habisan untuk menang dalam masa permainan sebenar. Kedua-dua pasukan menemui jalan buntu dalam usaha menambah jaringan. Pemain gantian, Mauricio Pinilla, hampir melakukannya pada saat terakhir masa tambahan tetapi terkena palang. 

Brazil memulakan penentuan sepakan penalti. David Luiz tenang menyempurnakan tugas. Nasib malang Pinilla berterusan apabila sepakannya diselamatkan. 1-0. Willian gagal tetapi terselamat kerana Sanchez juga tidak bertuah. Marcello dan Charles Aranguiz berjaya menjaringkan sepakan masing-masing. 2-1. Sepakan Hulk diselamatkan penjaga gol dan Marcelo Diaz menyamakan kedudukan. Sepakan kelima. Neymar berjaya. Sepakan terakhir Chile. Ternyata nasib tidak menyebelahi Chile apabila rembatan Gonzalo Jara terkena tiang gol. Brazil menang 3-2.

------------------------------------------

Colombia 2-0 Uruguay

Perlawanan ini kurang dramatik. Colombia menguasai permainan sejak wisel pertama dibunyikan. Gol yang dicari-cari akhirnya dijaringkan oleh bintang muda, James Rodriguez yang terus membuktikan kehebatannya di pentas tertinggi dunia. Mendada hantaran rakan sepasukan, Rodriguez membiarkan bola jatuh sebelum merembat dengan kaki kirinya. Bola melepasi penjaga gol lawan, Fernando Muslera, dan terkena palang lalu masuk ke dalam gawang. Gol kedua pula dijaringkan pada awal babak kedua. Hantaran silang dari kiri ditanduk semula ke tengah kotak penalti oleh Juan Cuadrado. Naluri Rodriguez mengizinkan dia berada di tempat yang tepat pada masa yang tepat untuk mudah menolak masuk bola.

Sehingga akhir perlawanan, permainan dikuasai Colombia. Namun statistik menunjukkan Uruguay lebih banyak melakukan percubaan. Benteng Colombia utuh bertahan untuk menempah tiket menentang tuan rumah.

---------------------------------------

Dua lagi perlawanan berlangsung malam ini. Dua pasukan Eropah akan bertemu dua wakil benua Amerika. Mexico berpeluang untuk mengejutkan Belanda. Greece juga boleh melangkah jauh jika perlawanan memasuki masa tambahan. Apabila sepakan penalti menentukan pemenang, segalanya mungkin.

Belanda vs Mexico (12 malam waktu Malaysia)
Costa Rica vs Greece (4 pagi)



Previu Piala Dunia 2014 #2

Assalamualaikum.

Dalam bahagian satu, aku telah membincangkan empat perlawanan pertama untuk pusingan kedua. Kali ini aku teruskan lagi dengan empat perlawanan yang melengkapkan jadual Round of 16. Juara-juara kumpulan memiliki kelebihan di atas kertas berdepan pasukan-pasukan di tempat kedua kumpulan masing-masing. Namun di atas padang, aksi pada hari perlawanan akan menentukan. Kesilapan dan kelalaian akan dihukum dengan kejamnya. Kejutan akan berlaku.

1 JULAI

(E1) Perancis vs Nigeria (F2)
12 malam (waktu Malaysia)


Perancis antara pasukan yang menjaringkan gol terbanyak semasa peringkat kumpulan. Namun selepas membelasah Switzerland, Perancis gagal menembusi benteng Ecuador. Perancis akan mengharapkan sentuhan Karim Benzema untuk menggempur gawang Nigeria. Lawan mereka dari benua Afrika mara selepas menewaskan Bosnia dalam perlawanan kedua. Ketangkasan Vincent Enyeama akan diuji malam ini ketika Nigeria juga mengharapkan penyudah Ahmed Musa yang menjaringkan dua gol menentang Argentina.

Peluang: 58-42
Ramalan: Perancis 3-1 Nigeria

(G1) Jerman vs Algeria (H2)
4 pagi

  
Jerman memiliki jentera tengah antara yang terbaik dalam Piala Dunia kali ini. Mereka membelasah Portugal 4-0 dalam perlawanan pembukaan untuk meranapkan kempen Cristiano Ronaldo dan rakan-rakan. Jerman akan mengharapkan sentuhan emas Thomas Muller, yang sudah menjaringkan 9 gol di pentas Piala Dunia walaupun baru berusia 24 tahun. Rekod 15 gol Ronaldo (Brazil) akan dipecahkan dengan mudah.

Algeria pula perlu mengerah segala kekuatan untuk mencipta kejutan yang mungkin sukar dijelmakan. Algeria akan mengharapkan Islam Slimani sekali lagi ketika mengharapkan benteng pertahanan tak terlalu pemurah memberikan gol kepada pihak lawan.

Peluang: 61-39
Ramalan: Jerman 2-0 Algeria

2 JULAI

(F1) Argentina vs Switzerland (E2)
12 malam

    
Argentina mengutip mata penuh dalam Kumpulan F. Walaupun berhempas pulas, Argentina mengalahkan semua pesaing dengan beza satu jaringan. Lionel Messi sentiasa diragui untuk membuktikan kehebatan di peringkat antarabangsa dan kali ini dia berjaya. Messi menjadi tonggak Argentina dengan menjaringkan empat gol.

Switzerland pula menempuh jalan sukar. Mereka mengatasi Ecuador dalam perlawanan pembukaan menerusi jaringan saat-saat akhir. Selepas dibelasah Perancis dalam perlawanan kedua, Switzerland membenam cabaran Honduras untuk bertemu Argentina. Jika Switzerland masih bermimpi melangkah ke suku akhir, ketajaman penyudah Xherdan Shaqiri sekali lagi menjadi harapan.

Peluang: 60-40
Ramalan: Argentina 1-0 Switzerland

(H1) Belgium vs Amerika Syarikat (G2)
4 pagi


Belgium juga mencapai mata maksima. Belgium antara tiga pasukan (selain Mexico dan Costa Rica) yang hanya dibolosi satu gol. Kemantapan benteng menjadi kunci kejayaan Belgium kerana jentera serangan tidak terlalu tajam. Seperti Argentina, Belgium hanya menang tipis dalam ketiga-tiga perlawanan.

Amerika Syarikat pula terselamat dari 'Kumpulan Maut' yang turut melibatkan Ghana dan Portugal. Amerika Syarikat memberi cabaran kepada Jerman dalam perlawanan terakhir. Berdepan Belgium yang tak memiliki mesin gol, Amerika Syarikat berpeluang untuk mencipta kejutan.

Peluang: 51-49
Ramalan: Belgium menang selepas masa tambahan



Saturday, June 28, 2014

Previu Piala Dunia 2014 #1

Assalamualaikum.

Piala Dunia edisi 2014 akan bersambung hari ini di Brazil (12 tengah malam waktu Malaysia). 16 pasukan akan merebut lapan slot ke separuh akhir dalam perlawanan kalah mati. Tiada perlawanan timbal balas. Lapan pertarungan akan menentukan pasukan manakah yang layak menjadi lapan pasukan terbaik. Dalam entri bahagian satu ini, aku akan menulis previu empat perlawanan pertama.

29 JUN

(A1) Brazil vs Chile (B2)
12 tengah malam (waktu Malaysia)

 
Brazil masih belum benar-benar dicabar selepas melepasi kumpulan yang agak mudah. Ketika diuji Mexico, pasukan Brazil gagal menembusi kekentahalan pertahanan mereka. Manakala pasukan Chile melepasi kumpulan yang turut melibatkan juara bertahan, Sepanyol. Kejayaan membenam Sepanyol membawa Chile mara. Brazil masih pilihan untuk terus melangkah tetapi Neymar mesti beraksi di tahap terbaik kerana jentera serangan Brazil bergantung kepada Neymar.

Peluang: 55-45
Ramalan: Brazil 2-1 Chile

(C1) Colombia vs Uruguay (D2)
4 pagi


Diketuai James Rodriguez yang menghidupkan edisi Piala Dunia kali ini, Colombia tergolong antara empat pasukan yang memenangi kumpulan dengan sembilan mata penuh. Rodriguez masuk pada babak kedua ketika perlawanan terakhir menentang Jepun dan memusnahkan Negara Matahari Terbit. Uruguay pula melepasi Kumpulan Maut yang turut melibatkan England dan Itali. Kejayaan menewaskan Itali dalam perlawanan terakhir menempah pertemuan menentang pasukan dari benua yang sama. Tanpa Luis Suarez yang digantung kerana menggigit bahu pemain Itali, Giorgio Chiellini, Uruguay berdepan situasi sukar.

Peluang: 57-43
Ramalan: Colombia 3-1 Uruguay

30 JUN

(B1) Belanda vs Mexico (A2)
 12 tengah malam 


Seperti Colombia, Belanda juga mendapat pungutan mata maksima. Membelasah Sepanyol 5-1 dalam perlawanan pembukaan dan mengatasi Chile 2-0, jentera serangan Belanda menjaringkan gol terbanyak dalam peringkat kumpulan. Gandingan Arjen Robben dan Robin Van Persie menggerunkan lawan. Jentera serangan Mexico tidak terlalu tajam, tetapi benteng pertahanan mereka hanya dibolosi satu gol. Aksi cemerlang Guillermo Ochoa memukau dunia ketika mengekang asakan Brazil. Belanda akan berdepan halangan yang sukar tetapi dijangka melangkah ke suku akhir.

Peluang: 53-47
Ramalan: Belanda 1-0 Mexico

(D1) Costa Rica vs Greece (C2)
4 pagi 


Ini pertemuan yang paling seimbang tanpa pasukan pilihan. Costa Rica mara dari Kumpulan Maut selepas menewaskan Uruguay dan Itali serta seri dengan England. Tidak diletakkan harapan sebelum pertandingan bermula, Costa Rica kini dilabel pembunuh gergasi. Kubu mereka begitu kuat dengan hanya dibolosi gol dalam perlawanan pembukaan. Greece pula layak secara dramatik walaupun tewas 3-0 kepada Colombia dalam perlawanan pertama. Peluang sama rata tetapi Costa Rica memiliki sedikit kelebihan.

Peluang: 51-49
Ramalan: Costa Rica menang selepas masa tambahan


 

Friday, June 27, 2014

Reviu Piala Dunia 2014 #5

Assalamualaikum.


'Episod 5 - Genap Enam Belas'

Berakhir sudah peringkat kumpulan. Masa untuk pusingan kalah mati. Jika tidak dipisahkan dalam masa permainan sebenar, masa tambahan akan mengerah tenaga para pemain. Jika masa tambahan juga gagal memutuskan pemenang perlawanan, pemisah yang paling kejam adalah menerusi penentuan sepakan penalti. Sangat bergantung kepada tuah.

Senarai 16 pasukan yang layak:
juara, naib juara

Kumpulan A - Brazil (Amerika Selatan) || Mexico (Amerika Utara)
Kumpulan B - Belanda (Eropah) || Chile (Amerika Selatan)
Kumpulan C - Colombia (Amerika Selatan) || Greece (Eropah)
Kumpulan D - Costa Rica (Amerika Utara) || Uruguay (Amerika Selatan)
Kumpulan E - Perancis (Eropah) || Switzerland (Eropah)
Kumpulan F - Argentina (Amerika Selatan) || Nigeria (Afrika)
Kumpulan G - Jerman (Eropah) || Amerika Syarikat (Amerika Utara)
Kumpulan H - Belgium (Eropah) || Algeria (Afrika)

Berikut adalah statistik pasukan yang layak ke pusingan kalah mati berbanding pasukan yang layak ke Brazil (mengikut benua).

Afrika: 2/5
Eropah: 6/13
Amerika Selatan: 5/6
Asia: 0/4
Amerika Utara: 3/4

Separuh pasukan dalam pusingan kedua dari benua Amerika. Lima dari Amerika Selatan, dan tiga dari Amerika Utara. Benua Eropah memiliki wakil terbanyak dengan enam pasukan. Dua lagi slot diisi pasukan dari benua Afrika. Tiada langsung wakil Asia melepasi peringkat kumpulan.

Berikut adalah kedudukan semua pasukan yang mara ke pusingan kedua:

(G=games, W=win, D=draw, L=lose, GF=goals for,
GA=goals against, GD=goal difference, P=points)

Empat pasukan (Belanda, Colombia, Argentina, Belgium) mendapat 9 mata maksima, memenangi kesemua perlawanan masing-masing. Pasukan Belanda menjaringkan gol terbanyak diikuti rapat oleh Colombia dan Perancis. Ketiga-tiga pasukan ini juga memiliki goal difference (jurang antara gol yang dijaringkan dan bolos) yang paling tinggi.  

Mexico, Costa Rica, dan Belgium pula memiliki pertahanan terbaik dengan hanya dibolosi satu gol sepanjang peringkat kumpulan. Pasukan Greece menjadi satu-satunya pasukan yang layak dengan goal difference negatif di mana gol yang membolosi gawang mereka lebih banyak dari gol yang mereka jaringkan.

Setakat ini dulu analisa peringkat kumpulan. Entri previu pusingan kedua akan menyusul dalam masa terdekat.



Reviu Piala Dunia 2014 #4

Assalamualaikum.

Episod 4. Empat perlawanan terakhir peringkat kumpulan Piala Dunia edisi 2014 di Brazil. Tiga belas pasukan telah menempah tiket ke pusingan seterusnya. Hanya tiga lagi slot untuk diisi. Jika Jerman kalah kepada Amerika Syarikat dan Portugal membelasah Ghana, Jerman akan tersingkir. Secara realistik, itu sangat mustahil untuk berlaku.

----------------------------

KUMPULAN G

Juara: Jerman (Eropah)
Naib juara: Amerika Syarikat (Amerika Utara)

Amerika Syarikat 0-1 Jerman

Amerika Syarikat bukanlah pilihan untuk melepasi 'Kumpulan Maut' ini sebelum Piala Dunia bermula. Mereka memasuki perlawanan terakhir dengan hanya perlu mengelak kekalahan besar. Dan tugas itu dilaksanakan dengan sempurna. Amerika Syarikat berjaya mengekang bala tentera Jerman dalam pertembungan epik 'Perang Dunia Kedua 2.0'. Jaringan Thomas Muller memisahkan kedua-dua pasukan. 

Portugal 2-1 Ghana

Kekalahan besar Portugal kepada Jerman dalam perlawanan pertama meletakkan mereka dalam misi mustahil mencari kemenangan besar. Portugal menguasai perlawanan dan melancarkan serangan demi serangan. Hanya gol sendiri John Boye yang berjaya mereka kutip dari babak pertama. Jaringan Asamoah Gyan menyukarkan Portugal ketika Ghana hanya perlu menang untuk layak. 

Ghana gagal melakukan tugas itu dan Cristiano Ronaldo akhirnya menjaringkan gol selepas beberapa percubaan. Portugal mendapat tiga mata penuh tetapi para pemainnya terpaksa mengemas barang untuk pulang.

------------------------------

KUMPULAN H

Juara: Belgium (Eropah)
Naib juara: Algeria (Afrika)

Korea Selatan 0-1 Belgium

Selepas dibelasah Algeria, Korea Selatan berdepan pula pendahulu kumpulan. Tugas utama Korea adalah untuk mengelak kekalahan besar. Mereka berjaya dengan cemerlang tetapi dibantu oleh hakikat Belgium terpaksa bermain dengan 10 orang pemain selepas Steven Defour dibuang padang. Jaringan Jan Vertonghen memberikan mata maksima kepada Belgium yang memenangi kumpulan.

 Algeria 1-1 Rusia

Algeria boleh seri, dan Rusia mesti menang, itu sifirnya. Rusia bermula dengan baik apabila Aleksandr Kokorin meletakkan mereka di depan seawal minit keenam. Namun Rusia gagal mencari gol kedua yang dapat meletakkan mereka dalam kedudukan selesa. Kegagalan Rusia dihukum Algeria yang menyamakan kedudukan menerusi Islam Slimani. Algeria layak buat kali pertama ke pusingan kalah mati.

--------------------------------- 

Berakhir sudah peringkat kumpulan Piala Dunia 2014. Sekejap saja masa berlalu. Pentas Piala Dunia berehat dua hari sebelum disambung pada hari Sabtu di Brazil (tengah malam Ahad waktu Malaysia). Enam belas pasukan akan berentap untuk merebut lapan tiket ke pusingan suku akhir. 

Kelihatan juara-juara kumpulan akan mara lagi, kecuali kejutan berlaku. Dan tiada seri Piala Dunia tanpa kejutan. Kita harapkan gergasi-gergasi akan dibunuh dan pasukan bukan pilihan melangkah ke perlawanan akhir.



Thursday, June 26, 2014

Reviu Piala Dunia 2014 #3

Assalamualaikum.

Perlawanan-perlawanan terakhir peringkat kumpulan bersambung lagi. Kali ini untuk Kumpulan E dan Kumpulan F. Sebelum perlawanan terakhir, hanya Perancis dan Argentina sudah sah layak. Dalam Kumpulan E, semua pasukan masih berpeluang bergantung kepada keputusan kedua-dua perlawanan. Dalam Kumpulan G, Nigeria berpeluang cerah mengiringi Argentina walaupun jika mereka seri atau kalah.

Sejumlah 12 gol lagi dijaringkan.

----------------------------

KUMPULAN E

Juara: Perancis (Eropah)
Naib juara: Switzerland (Eropah)

Honduras 0-3 Switzerland

Honduras perlu menang untuk menghidupkan peluang layak ke pusingan kedua. Tetapi perlawanan semalam adalah pentas persembahan solo Xherdan Shaqiri. Bintang muda Bayern Munich ini meledak hatrik termasuk menjaringkan satu gol cantik seawal minit keenam perlawanan. Honduras tiada jawapan untuk mengekang aksi hebat Shaqiri. Kemenangan ini melayakkan Switzerland mengiringi Perancis.

Ecuador 0-0 Perancis

Ecuador mesti mengatasi Perancis dan mengharapkan Switzerland tewas dalam satu lagi perlawanan. Namun itu tidak berlaku dalam dunia realiti. Misi menumbangkan Perancis terlalu sukar. Ecuador terpaksa menahan asakan bertubi-tubi Perancis. Kegagalan Ecuador menang dan kejayaan Switzerland membelasah Honduras menyingkirkan Ecuador dari pertandingan. Walaupun seri, Perancis layak selaku pemenang kumpulan.

-----------------------------------

KUMPULAN F 

Juara: Argentina (Amerika Selatan)
Naib juara: Nigeria (Afrika)

Nigeria 2-3 Argentina

Jika Iran gagal memenangi satu lagi perlawanan, Nigeria akan tetap layak walaupun seri atau tewas kepada Argentina. Seawal minit ketiga, Lionel Messi meledak jaringan pertama Argentina tetapi disamakan serta-merta oleh Ahmed Musa. Messi kembali meletakkan Argentina di depan menerusi sepakan percuma cantik pada masa kecederaan babak pertama.

Musa sekali lagi menyamakan kedudukan ketika babak kedua baru bermula. Namun beberapa minit kemudian Marcos Rojo menjaringkan gol kemenangan Argentina. Walaupun tewas, Nigeria layak selepas Iran kalah dalam satu lagi perlawanan.

Bosnia 3-1 Iran

Iran wajib menang pertemuan ini dengan mengharapkan Nigeria tewas kepada Argentina. Bosnia pula sudah tersingkir dan ingin pulang dengan bermaruah. Edin Dzeko membuka jaringan untuk wakil Eropah itu. Seminit sebelum detik satu jam permainan, Miralem Pjanic meletakkan Bosnia dalam kedudukan selesa.

Reza Ghoochannejhad menghidupkan peluang Iran apabila dia merapatkan kedudukan jaringan tetapi ledakan balas seminit kemudian dari Avdija Vrsajevic memusnahkan harapan Iran. Bosnia menamatkan kempen Piala Dunia kali ini dengan tiga mata.

-----------------------------------   

Tiga belas pasukan telah layak (termasuk Belgium yang sudah selamat dari Kumpulan H) ke pusingan kedua. Masih ada tiga slot yang akan diisi. Dua dari Kumpulan G di mana Jerman dan Amerika Syarikat hanya perlu seri untuk kedua-dua pasukan layak. Ghana perlu membenam Portugal dan mengharapkan Amerika Syarikat mengalahkan Jerman. Algeria pula hanya perlu seri menentang Rusia untuk mara dari Kumpulan H.



Wednesday, June 25, 2014

Reviu Piala Dunia 2014 #2

Assalamualaikum.

Malam tadi berlangsung pula perlawanan terakhir untuk para pasukan dalam Kumpulan C dan D. Ketika saingan Kumpulan C masih terbuka dengan hanya Colombia yang sudah layak selepas dua perlawanan, Kumpulan D pula hanya melibatkan penentuan Itali menentang Uruguay untuk mengiringi Costa Rica.

Masih ada pesta gol seperti semalam. Hanya dari dua perlawanan.

----------------------------

KUMPULAN C 

Juara: Colombia (Amerika Selatan)
Naib juara: Greece (Eropah)

Jepun 1-4 Colombia

Jepun memasuki perlawanan dengan misi 'mesti menang' jika mahu melangkah jauh. Berdepan pendahulu kumpulan yang merupakan pasukan pilihan, Jepun menguasai separuh masa pertama. Namun ketinggalan menerusi sepakan penalti Juan Cuadrado. Jepun secara merit menyamakan kedudukan pada saat terakhir babak pertama menerusi tandukan Shinji Okazaki untuk melengkapkan dominasi mereka.

Malangnya, kemasukan James Rodriguez menghancurkan Jepun. Dua gol dari Jackson Martinez dan satu dari Rodriguez sendiri melengkapkan kempen Piala Dunia yang tak bertuah bagi Jepun.

Greece 2-1 Ivory Coast

Satu lagi perlawanan di mana satu pasukan 'mesti menang' dan satu lagi pasukan hanya perlu seri untuk layak. Peluang Greece sangat tipis sebelum perlawanan bermula tapi mereka menunjukkan keazaman untuk melepasi peringkat kumpulan buat kali pertama. Pemain gantian, Andreas Samaris, meletakkan Greece pada kedudukan 'mara' sebelum babak pertama berakhir.

Impian Greece kelihatan sudah musnah apabila Wilfred Bony menyamakan kedudukan ketika perlawanan hanya tinggal suku jam sebelum masa permainan sebenar berakhir. Tetapi bola itu bulat, dan perlawanan belum berakhir selagi wisel penamat belum dibunyikan. Dalam satu momen paling kejam untuk menyingkirkan Ivory Coast, Greece mendapat sepakan penalti pada minit-minit terakhir masa kecederaan. Georgios Samaras tenang menyempurnakan tugasnya untuk membawa Greece kali pertama ke pusingan kedua.

---------------------------------

KUMPULAN D

Juara: Costa Rica (Amerika Utara)
Naib juara: Uruguay (Amerika Selatan)

Itali 0-1 Uruguay

Memasuki perlawanan penentuan ini, Uruguay sedar mereka mesti menang kerana terikat pungutan mata dengan Itali. Jika seri, Itali akan mara kerana hanya tewas 0-1 kepada Costa Rica berbanding Uruguay yang tewas 1-3 kepada pasukan yang sama. Tiada jalan lain, Uruguay mesti menang. Jaringan emas yang dicari Uruguay dijaringkan pertahanan, Diego Godin, yang menanduk masuk sepakan penjuru.

Costa Rica 0-0 England

Pembunuh gergasi, Costa Rica, telah layak sebelum perlawanan ini ketika England juga sudah tersingkir. England menurunkan hampir semua pemain simpanan yang belum beraksi. Tanpa apa-apa pertaruhan besar antara mereka, perlawanan ini tiada urgency dan tekanan. England menamatkan kempen Piala Dunia dengan satu mata dan Costa Rica memenangi kumpulan yang dilabel 'Kumpulan Maut'.

---------------------------------  

Itali dan Ivory Coast hanya perlu seri dalam perlawanan masing-masing untuk layak selaku naib juara kumpulan. Tetapi mereka gagal. Greece dan Uruguay mencipta kemenangan dramatik untuk mara selangkah lagi. Uruguay perlu berdepan Colombia ketika Greece akan berdepan pembunuh gergasi, Costa Rica.

Malam ini, pasukan mana yang akan mengiringi Perancis dari Kumpulan E dan Argentina dari Kumpulan F akan diketahui.



Tuesday, June 24, 2014

Reviu Piala Dunia 2014 #1

Assalamualaikum.

Sekejap sangat masa berlalu. Malam tadi peringkat kumpulan sudah mula melabuhkan tirai dengan pasukan-pasukan dalam Kumpulan A dan B beraksi dalam perlawanan terakhir. Ketika dua pasukan yang layak dari Kumpulan B sudah diketahui lebih awal, pasukan yang mengiringi Brazil dari Kumpulan A ditentukan dalam perlawanan malam tadi.

Sejumlah 14 gol dijaringkan dari empat perlawanan. Pesta gol.

KUMPULAN A

Juara: Brazil (Amerika Selatan)
Naib Juara: Mexico (Amerika Utara)

Cameroon 1-4 Brazil

Brazil mesti menang perlawanan ini untuk mengesahkan tempat selaku juara kumpulan. Neymar meletakkan tuan rumah Piala Dunia edisi 2014 di depan sebelum Joel Matip menyamakan kedudukan. Neymar membalas untuk Brazil mendahului separuh masa pertama 2-1. Fred meledak selepas rehat untuk meletakkan Brazil dalam kedudukan selesa. 

Apabila mendapat berita Mexico selesa mendahului satu lagi perlawanan yang berlangsung serentak, Brazil perlu menjaringkan satu lagi gol untuk memastikan mereka bergelar juara kumpulan. Gol berharga itu dijaringkan oleh Fernandinho untuk melegakan penyokong tuan rumah.

Croatia 1-3 Mexico

Croatia dalam situasi 'mesti menang'. Jika seri, Mexico yang memiliki kelebihan mata selepas seri dengan Brazil dalam perlawanan kedua, akan layak mengiringi Brazil ke pusingan seterusnya. Perlawanan seimbang dan Croatia masih berpeluang sehingga Javier Hernandez masuk sebagai pemain gantian dan mula menambah bisa serangan Mexico.

Jaringan kapten, Rafael Marquez yang menanduk masuk sepakan sudut diikuti jaringan Andres Guardado dan Javier Hernandez yang membunuh sisa-sisa harapan Croatia ketika mereka cuba mencari jaringan penyamaan. Ketika Mexico mencari gol keempat yang memungkinkan mereka memenangi kumpulan, Ivan Perisic meledak gol sagu hati Croatia.

----------------------------

KUMPULAN B

Juara: Belanda (Eropah)
Naib juara: Chile (Amerika Selatan)

Australia 0-3 Sepanyol

Kedua-dua pasukan telah tersingkir awal selepas tewas kedua-dua perlawanan mereka. Bagi Australia yang meawakili benua Asia, mereka ingin mengejutkan bekas juara Eropah dan dunia. Malangnya, pemain Sepanyol begitu bersemangat untuk memulihkan maruah mereka yang tercalar teruk. Tiga gol dari David Villa, Fernando Torres, dan Juan Mata menyerlahkan kehebatan Sepanyol. Sayangnya, mereka sudah terlambat.

Belanda 2-0 Chile

Perlawanan yang menentukan juara kumpulan. Kedua-dua pasukan ingin menang untuk mengelak dari bertemu pasukan pilihan dan tuan rumah, Brazil. Perlawanan terikat tanpa jaringan sehingga pemain gantian, Leroy Fer menanduk cantik hantaran silang. Seorang lagi pemain gantian, Memphis Depay, menyempurnakan serangan kilat untuk mengesahkan status Belanda selaku pemenang kumpulan.

----------------------------

Malam ini, berlangsung perlawanan terakhir Kumpulan C dan D. Nasib Ivory Coast untuk mengiringi Colombia akan ditentukan malam ini. Tetapi perlawanan yang lebih mendapat tumpuan adalah aksi penentuan Kumpulan D antara Uruguay dan Itali. Uruguay mesti menang. Jika seri, Itali akan mara bersama Costa Rica.

Adakah pesta gol akan berulang lagi?


Sunday, June 22, 2014

No Holiday

Assalamualaikum.

Dah hampir dua bulan tak balik baiti jannati. Kali terakhir masa hujung April.


Sebenarnya terlalu sibuk dengan kehidupan sebagai pelajar semester dua perubatan. Sampai tak sedar hakikat ni. Peperiksaan akhir semester dua akan menjelang lepas raya. Banyak lagi yang perlu diulang kaji. Tekanan semakin menghimpit. Tulis entri ni pun sebab baru saja selesaikan tugasan terakhir, topik Assigned Independent Reading tentang masalah denggi yang masih menghantui Malaysia.

Teringat hakikat dah lama tak balik rumah ni pun sebab kawan baik masa sekolah dulu hantar SMS tadi. Dia tanya di mana lokasi aku. Dia sekarang cuti semester. Ikr, pelajar veterinar tahun kedua. Dah lama jugak tak jumpa dia. Masing-masing sibuk. Cuti pun tak sama. Dia cuti lama. Aku? Dush.

Ya, inilah hakikat pelajar medik. Dulu senior aku di sekolah menengah, Areleaf Hyecarl, ada beritahu tentang cuti budak medik yang tak sebanyak bidang lain. Aku juga sudah mendapat amaran tentang hakikat ini. Dan aku tetap pilih jalan ini.

Tiadalah aku menyesal. Dah terbiasa dan akan cuba membiasakan diri. InsyaAllah raya ni dapat cuti walaupun hakikatnya itu study leave. Sedih jugak sebab tak dapat berpuasa di samping famili tercinta. Nak buat macam mana kan. Pengorbanan seorang pelajar. Ramadhan di perantauan.





Sri Petaling
1740
22/06/2014



Qisya Delisya: Prolog-04

Assalamualaikum.




QISYA DELISYA
Prolog-04

"Sabarlah, Sya."

Puan Sharmili hanya menyedapkan perasaannya sendiri. Itu hakikat. Dia sudah mengulang skrip itu setiap hari. Keadaan tidak bertambah baik. Semangatnya saja kian terhakis. Saban hari menjadi burung kakak tua mengucapkan perkataan yang sama.

"Sampai bila, mak cik? Allah tak dengar ke doa kita?

"Astaghfirullah. Banyakkan istighfar, Qisya."

Qisya mengeluh. Istighfar di hati. Dia menyesal melafazkan kalimah itu. Semuanya kerana dia dibelenggu tekanan emosi. Dia tak bermaksud meragui Tuhan. Iman itu sifatnya bertambah dan berkurang. Mungkin kekuatan imannya sedang menurun. 'Astaghfirullah'.

"Mak cik tahu Qisya sedih. Mak cik pun sama."

Nada Puan Sharmili meruntun hati Qisya. Gadis itu mengangguk tanda faham. Tunduk. Sebak. Bukan kali pertama mereka berdialog dengan skrip yang sama. Mereka cuba saling menguatkan. Sentiasa berdoa semoga Allah meminjamkan ketabahan.

"Dah dua bulan, mak cik..."

Qisya bangun dari kerusi. Menapak ke tingkap. Melihat bintang-bintang di dada langit. Bulan purnama. Namun terlihat sinarnya malap tanpa bintang hatinya. Bintang yang paling terang. Dulu dia seorang gadis yang periang. Kini dia sudah tak ceria lagi.

Puan Sharmili menggantikan tempat Qisya di kerusi itu. Melihat gadis muda itu yang sudah hilang seri. Tak seperti Qisya yang dia kenali. Puan Sharmili masih pasti. Senyuman di wajah Qisya akan kembali. Lambat atau cepat, bergantung kepada takdir Ilahi.

-----------------------------------

Kini kau pun hadir
memberi cahaya
membangunkan ku
dari suramnya mimpi ngeri



Saturday, June 21, 2014

Dongeng dan Realiti

Assalamualaikum.

Piala Dunia 2014 kini di pertengahan saingan peringkat kumpulan. Pasukan terkenal seperti Sepanyol dan England sudah tersingkir ketika Colombia, Belanda, dan Chile melangkah gagah ke pusingan kedua. Malam tadi tiga lagi perlawanan berlangsung. Satu untuk Kumpulan D, dan dua untuk Kumpulan E.

Kumpulan D adalah antara kumpulan yang dilabel 'Kumpulan Maut' kerana dibarisi Uruguay, England, dan Itali. Jika ada yang mengatakan Costa Rica akan melepasi kumpulan ini sebelum perlawanan Piala Dunia bermula, pasti orang itu sudah dilabel hilang kewarasan. Siapa sangka, takdir Allah yang Maha Berkuasa. Mustahil itu hanya sifat manusia.

--------------------------------------------

KUMPULAN D

Itali 0-1 Costa Rica

Selepas mengejutkan Uruguay 3-1 dalam perlawanan pembukaan, pemerhati berpendapat Costa Rica tidak berpeluang mengejutkan Itali. Tetapi mereka membuktikan sebaliknya. Costa Rica mengukuhkan status selaku pembunuh gergasi (giant killer). Gol Bryan Ruiz yang disahkan melalui teknologi garisan gol memberikan kemenangan mengejut kali kedua bagi negara Amerika Utara itu yang kini mendahului Kumpulan D dengan enam mata dan mara buat kali pertama sejak tahun 1990.

Keputusan ini sekali gus menghancurkan peluang England yang sah terkeluar dari pertandingan. Itali pula akan membuat perhitungan terakhir dengan Uruguay untuk menentukan pasukan mana yang layak mengiringi Costa Rica ke pusingan seterusnya.

-------------------------------------------------

KUMPULAN E

Switzerland 2-5 Perancis

Perlawanan yang dilihat penentu juara kumpulan ini agak berat sebelah dengan Perancis mendahului 3-0 pada separuh masa pertama. Switzerland yang menewaskan Ecuador 2-1 dalam perlawanan pertama semakin hanyut apabila terpaksa bangkit dari ketinggalan 5-0. Mereka berjaya mencuri dua gol ketika para pemain Perancis sudah meraikan kemenangan dan hilang tumpuan.

Bagi Perancis, kemenangan ini bermakna peluang mereka untuk menjuarai kumpulan terbuka luas dengan hanya perlu seri perlawanan terakhir menentang Ecuador. Para pemain Perancis sudah meledak lapan gol, jumlah jaringan yang sama dengan Belanda.

Honduras 1-2 Ecuador

Honduras tewas ka walaupun mendahului perlawanan. Ecuador berjaya bangkit dengan dua jaringan Enner Valencia yang sudah meledak kesemua tiga gol Ecuador dalam edisi Piala Dunia kali ini. Pintu buat Honduras sudah tertutup. Ecuador pula masih berpeluang layak walaupun kemungkinan sangat tipis dengan berdepan pasukan Perancis.

---------------------------------------

 Kejayaan Costa Rica melangkah berani bagaikan kisah dongeng yang menjadi kenyataan. Masih ada fairytale di alam realiti. Mimpi boleh menjadi nyata dengan usaha. Sekurang-kurangnya itu yang pasukan bola sepak Malaysia boleh belajar dari Costa Rica. Tiada gergasi yang tak boleh ditumbangkan. Biar kita melangkah perlahan, bertatih di rantau Asia Tenggara sebelum ke pentas dunia. 

Cari jalan, bukan alasan.




Sri Petaling
1300
 21/06/2014

Qisya Delisya: Prolog-03

Assalamualaikum.


QISYA DELISYA
Prolog-03

Dia berasa sangat lemah. Namun dia enggan mengalah.

Badannya terasa penat. Dia sudah kehilangan tenaga fizikal. Mentalnya juga sudah hampir menyerah. Hanya sedikit kekuatan yang tak diketahui mana asalnya memberikan dia semangat untuk terus percaya. Dia masih yakin. Semuanya akan kembali seperti biasa.

Terasa katil itu bergetar. Telefon pintarnya dicapai. Pesanan di Whatsapp dibaca.

 'Balik tak, dear?'

'Malam ni aku tidur sini.'

Dia kembali meletakkan telefon di atas katil. Sekilas dia memandang ke sofa. Puan Sharmili masih lena. Tiba-tiba dia terdengar Puan Sharmili bersuara. Dia menghela nafas. Berat. Itu bukan kali pertama Puan Sharmili meracau. Kerap.

Puan Sharmili terjaga. Gadis itu mengalih pandangan. Seketika kemudian Puan Sharmili menghampiri dan memegang bahunya. Gadis itu membiarkan. Jika itu caranya Allah meminjamkan sedikit lagi kekuatan untuknya, biarlah begitu.

------------------------------

Memaksa diriku
menapaki jalan
arah yang tak pernah ku mahu
dalam hatiku


Thursday, June 19, 2014

Qisya Delisya: Prolog-02

Assalamualaikum.



QISYA DELISYA
Prolog-02

Puan Sharmili baru sedar dari tidurnya di sofa. Dia memandang gadis itu. Sayu. Melihat gadis itu menangis saban hari. Pilu. 

'Sabarlah, nak.'

Setiap hari gadis itu pasti datang melawat. Tak pernah sehari dia gagal memunculkan diri. Puan Sharmili bersyukur kerana Allah menghadirkan gadis itu untuk menemaninya. Sedikit sebanyak kedatangan gadis itu memberikan semangat kepadanya untuk terus bertahan. Walaupun gadis itu seperti kehilangan separuh nyawa.

Puan Sharmili faham penderitaan yang ditanggung gadis muda di depan matanya. Dia juga merasakan yang sama. Tertanya-tanya apa sebabnya ujian ini hadir menduga kesabaran. Dia bagaikan hilang kekuatan. 

Pantas Puan Sharmili bangkit. Perlahan dia melangkah ke sebelah gadis itu dan memegang bahunya. Sekadar memindahkan secebis kekuatan yang masih tersisa.

----------------------------------

Kusangka hidupku
selamanya kelam
terbelenggu ikatan
tanpa manisnya cinta



Let's Talk Series 2/14

Assalamualaikum.

Alhamdulillah. Malam tadi telah selesai berlangsung satu acara besar Muslim Society IMU yang diadakan sekali setiap dua minggu. Ini merupakan kali kedua selepas tajuk pertama dibentangkan adalah 'Muslim: Apa Aku Kisah?'.


Jom Sembang siri 2/14. Tajuknya 'The Wasted Potential'. Moderator, saudara Baharom. Panelis, saudara Firdaus dan saudari Shuhada. Figura-figura yang mantap dan lantang bersuara. Apa yang menarik juga malam tadi adalah persembahan istimewa dari ahli-ahli rumah aku, 'Der BaitulKacak'. Seminggu jugak kami berlatih untuk memberikan yang terbaik kepada persatuan yang memberi kami kepercayaan untuk menghiburkan audiens.


Alhamdulillah, memang lebih meriah kali kedua ni. Audiens lebih ramai berbanding kali pertama. Mungkin kerana publisiti yang berjaya. Tapi mungkin juga kerna aura dua panelis yang menarik rakan-rakan mereka untuk hadir menonton. Acara malam tadi juga dihiasi dengan kehadiran rakan-rakan lama dari INTEC yang belajar di Ireland. Mereka sedang cuti musim panas dan sudi hadir untuk memberi sokongan. Welcome to IMU!

Moderator dan panelis di pentas


Usai tamat sesi perbincangan, sesi soal jawab dan komen dibuka untuk audies melontarkan pandangan atau bertanyakan soalan untuk menjelaskan kekeliruan mereka. Masa ni 'Der BaitulKacak' semakin berdebar. Tiba masa untuk beraksi. 


Kami menyampaikan dua buah lagu malam tadi. 'Sesungguhnya' dendangan asal Raihan dan  'Al-Haq' dendangan asal Mawi dan AC Mizal. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar.


Baitul Kacak ada tujuh orang penghuni. Tapi hanya enam yang membuat persembahan malam tadi. Cukuplah dengan semua jersi rumah sukan IMU yang ada. Ya, rumah kami memang ada wakil dari setiap rumah sukan. Dalam gambar ni, kami sedang menjadi duta mempromosi rumah-rumah sukan IMU.





Sri Petaling
1805
19/06/2014


Qisya Delisya: Prolog-01

Assalamualaikum.


QISYA DELISYA
Prolog-01

"You tough boy, must last."

Senyap. Tiada reaksi.

'Remember you told me that you will never give up?'

Hati berbisik. Air mata mengalir.

"Hey! Answer me."

Tangan digenggam erat.

"Wake up dear."

-------------------------------------------

Kurelakan jiwa
tuk menjadi penghuni 
dalam sangkar hatimu
kerna engkaulah nadi
yang menghidupkan aku

Sunday, June 15, 2014

Di Ambang Esok

Assalamualaikum.


Semalam hari Sabtu. Hujung minggu. Berehat dari tekanan peperiksaan yang akan berlangsung lepas raya nanti. Rakan serumah ajak pergi tengok wayang. Aku setuju sebab dah lama tak ke Times Square. Mula-mula kami nak tengok filem baru Adam Sandler, 'Blended' dengan genre komedi romantik. Aku suka genre ni.

Tapi malangnya, filem tu tak tayang kat Times Square. Jadi kami pilih filem fantasi sains, 'Edge of Tomorrow'. Jangkaan aku, filem ni akan serius dengan aksi perang dan sarat dengan robot kerana ceritanya berkaitan alien.

Ternyata aku salah.

The movie is unexpectedly FUNNY. Memang puas hati. Worth every penny. Walaupun jalan ceritanya rumit, tapi aku menikmati perjalanan Tom Cruise yang memegang watak Mejar Cage. Memang lawak yang di luar jangkaan.

Live. Die. Repeat.

Filem ini seperti filem asing yang lain, tak kurang dengan pengajaran dalam skripnya. Sepanjang menonton filem ini, aku tak dapat lari dari membandingkan kisah mengembara masa ini dengan filem The Time Traveller's Wife dan About Time. Aku suka filem jenis ini. Tentang masa. 

Ada dua pengajaran yang sangat membuatkan aku terkesan. Dalam filem tu, ada satu ketika Mejar Cage mendapat peluang untuk menghadapi situasi sama beberapa kali dengan menetapkan semula masa pada permulaan cerita. Tapi setiap kali dia menghadapinya, dia gagal mencari jalan keluar untuk menang peperangan dengan alien tersebut.

Jika dikaitkan dengan hidup kita, ada sebabnya masa bergerak ke depan dan tidak berputar kembali. Ada satu lagi babak di mana Mejar Cage berjaya melepasi masalah sebelumnya dan tiada ilham untuk menghadapi situasi baru. Dia harus bermula semula. Moralnya, jika kita boleh memperbetulkan kegagalam silam, kita mungkin tak tahu bagaimana berdepan akibat selepasnya.

"I watched him die 300 times."

Itu kata heroin cerita ni kepada Mejar Cage. Srikandi ini juga pernah mempunyai kebolehan untuk menetapkan semula masa. Dan dia terpaksa melihat lelaki yang disayanginya mati berulang kali kerana dia gagal mencari jalan keluar dari masalah perang. Moralnya, jika kita boleh mengulang kembali masa untuk menikmati pengalaman bahagia sekali lagi, kita pasti tak mahu merasai semula saat-saat memalukan dan menyakitkan. 

Ada hikmahnya Allah membuatkan masa bergerak lurus ke depan. Masa tak berpatah balik. Konklusinya, Edge of Tomorrow adalah satu filem yang sangat menarik. 




Sri Petaling
2030
15/06/14


Monday, June 9, 2014

Mawar Impian

Assalamualaikum.


MAWAR IMPIAN

Lelah haus kembara
tiada pernah jemu
melintas sejuta negeri
merentas segala sempadan

walau seabad lama
tetap akan kutunggu
demi sebuah mimpi
menyunting mawar impian

moga kurnia Pencipta
jalan takdir bersatu
meraih cinta sejati
penghias taman larangan.

mfizan
1334, 9/6/14
-10 days to go-


Wednesday, June 4, 2014

Memori Air Manis : D2P2 (Akhir)

Assalamualaikum.

#mcskampunggetaway
Day 2 Part 2 (Finale)

Entri sebelum: Kanak-kanak riang

Sampai saja di kandang kambing, aktiviti pertama adalah fotografi dulu.


Seterusnya, masa untuk menyerang kambing. Ada juga kambing biri-biri. Ramai yang terus ambik daun untuk bagi kambing makan. Kelihatannya pada masa itu kambing-kambing memang sangat lapar dan rakus meragut daun yang dihulurkan.

Apa cerita takut biri-biri ni?


Bisnes pun dah maju dan berkembang pesat. Tukar profesion pulak. Jadi tauke biri-biri. Bergaya je lebih. Tapi seronok jugak tengok kambing makan daun.


Seronok sungguh pelajar-pelajar bidang kesihatan dapat berbakti kepada kambing. Walaupun biri-biri tu tak rela untuk bergambar, mereka tetap meneruskan sesi fotografi. Kesian kambing. Ada juga yang berpeluang mendukung anak kambing. Aku baru nak cuba ketika anak kambing tersebut me'najis'kan (baca: kencing) kawan aku yang sedang mendukungnya. Batal hasrat.


Ketika orang lain sibuk beli susu kambing yang segar, kami pulak sibuk bergambar.

----------------------------------------------

Selepas puas bergurau senda dengan kambing, kami pulang ke pusat homestay untuk makan tengah hari. Masakan kampung. Fuhh, memang lazat. Lepas makan, ada yang bersiap untuk perjalanan pulang. Dan ada juga yang belum puas. Sambung main di tasik belakang pusat homestay.


Aku lepas mandi, cuma pergi tangkap gambar. Tak ada mood nak main. Sebab hati dah kuciwa dengan kelewatan. Masa ni lebih jam 1 petang. Petang tu ada final Piala Thomas. Aku nak sampai masa perlawanan baru bermula. Nampak macam akan lewat. Sebab destinasi seterusnya adalah Bukit Melawati.


Muka tak sabar nak balik. Wajah tersenyum. Taufan di hati siapa yang tahu.

-------------------------------------

Destinasi terakhir: Bukit Melawati.

Aku tak tahu pulak ini tempatnya. Aku dah pernah pergi dengan famili untuk bertemu kawan lama ayah aku. Masa ni makin membara hati aku yang bergelora nak tengok badminton. Sampai je dah pukul empat petang. Nak naik bukit memang sejam jugak ceritanya. Aku tahu memang tak sempat sampai masa Lee Chong Wei beraksi. Hati meronta-ronta nak tengok siaran langsung final Piala Thomas. Apakan daya.....

Kisahnya, aku naik jugak bukit tu sebab dah bayar tiket masa nak sertai rombongan ni. Rugi pulak kalau aku tak naik sama. Jadi aku naik trem tu. Tapi tak turun di puncak bukit macam orang lain. Aku sambung perjalanan turun. Kawan-kawan yang lain semua turun sebab nak bergambar. Aku malas sebab dah pernah sampai sebelum ni.

Aku tak tahu apa yang berlaku di atas bukit tu.


Satu gambar membawa sejuta makna. Dan cerita yang tiada penghujungnya. Pelbagai riak wajah. Semua memang gembira. Aku rasa rugi tak ada dalam gambar? Tak. Aku tak pernah menyesal dengan apa yang tak sepatutnya aku menyesal. Masa ni aku tengah bosan main di taman permainan.


-----------------------------------------

Alhamdulillah, rombongan kali ni memang best. Walaupun sebenarnya aku kecewa sebab tak dapat tengok siaran langsung final Liga Juara-Juara Eropah dan Piala Thomas. Cuma kalau nak sertai lagi, memang aku fikir dua tiga kali. Sekian saja kisah memori di homestay Air Manis. Malas nak merapu tentang perjalanan balik dan kisah kekalahan Piala Thomas yang aku ceritakan dalam entri ni.

Terima kasih kerana membaca.

-TAMAT-



Sri Petaling
2220
04/06/2014


Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif