Welcome To My Life...

Wednesday, June 25, 2014

Reviu Piala Dunia 2014 #2

Assalamualaikum.

Malam tadi berlangsung pula perlawanan terakhir untuk para pasukan dalam Kumpulan C dan D. Ketika saingan Kumpulan C masih terbuka dengan hanya Colombia yang sudah layak selepas dua perlawanan, Kumpulan D pula hanya melibatkan penentuan Itali menentang Uruguay untuk mengiringi Costa Rica.

Masih ada pesta gol seperti semalam. Hanya dari dua perlawanan.

----------------------------

KUMPULAN C 

Juara: Colombia (Amerika Selatan)
Naib juara: Greece (Eropah)

Jepun 1-4 Colombia

Jepun memasuki perlawanan dengan misi 'mesti menang' jika mahu melangkah jauh. Berdepan pendahulu kumpulan yang merupakan pasukan pilihan, Jepun menguasai separuh masa pertama. Namun ketinggalan menerusi sepakan penalti Juan Cuadrado. Jepun secara merit menyamakan kedudukan pada saat terakhir babak pertama menerusi tandukan Shinji Okazaki untuk melengkapkan dominasi mereka.

Malangnya, kemasukan James Rodriguez menghancurkan Jepun. Dua gol dari Jackson Martinez dan satu dari Rodriguez sendiri melengkapkan kempen Piala Dunia yang tak bertuah bagi Jepun.

Greece 2-1 Ivory Coast

Satu lagi perlawanan di mana satu pasukan 'mesti menang' dan satu lagi pasukan hanya perlu seri untuk layak. Peluang Greece sangat tipis sebelum perlawanan bermula tapi mereka menunjukkan keazaman untuk melepasi peringkat kumpulan buat kali pertama. Pemain gantian, Andreas Samaris, meletakkan Greece pada kedudukan 'mara' sebelum babak pertama berakhir.

Impian Greece kelihatan sudah musnah apabila Wilfred Bony menyamakan kedudukan ketika perlawanan hanya tinggal suku jam sebelum masa permainan sebenar berakhir. Tetapi bola itu bulat, dan perlawanan belum berakhir selagi wisel penamat belum dibunyikan. Dalam satu momen paling kejam untuk menyingkirkan Ivory Coast, Greece mendapat sepakan penalti pada minit-minit terakhir masa kecederaan. Georgios Samaras tenang menyempurnakan tugasnya untuk membawa Greece kali pertama ke pusingan kedua.

---------------------------------

KUMPULAN D

Juara: Costa Rica (Amerika Utara)
Naib juara: Uruguay (Amerika Selatan)

Itali 0-1 Uruguay

Memasuki perlawanan penentuan ini, Uruguay sedar mereka mesti menang kerana terikat pungutan mata dengan Itali. Jika seri, Itali akan mara kerana hanya tewas 0-1 kepada Costa Rica berbanding Uruguay yang tewas 1-3 kepada pasukan yang sama. Tiada jalan lain, Uruguay mesti menang. Jaringan emas yang dicari Uruguay dijaringkan pertahanan, Diego Godin, yang menanduk masuk sepakan penjuru.

Costa Rica 0-0 England

Pembunuh gergasi, Costa Rica, telah layak sebelum perlawanan ini ketika England juga sudah tersingkir. England menurunkan hampir semua pemain simpanan yang belum beraksi. Tanpa apa-apa pertaruhan besar antara mereka, perlawanan ini tiada urgency dan tekanan. England menamatkan kempen Piala Dunia dengan satu mata dan Costa Rica memenangi kumpulan yang dilabel 'Kumpulan Maut'.

---------------------------------  

Itali dan Ivory Coast hanya perlu seri dalam perlawanan masing-masing untuk layak selaku naib juara kumpulan. Tetapi mereka gagal. Greece dan Uruguay mencipta kemenangan dramatik untuk mara selangkah lagi. Uruguay perlu berdepan Colombia ketika Greece akan berdepan pembunuh gergasi, Costa Rica.

Malam ini, pasukan mana yang akan mengiringi Perancis dari Kumpulan E dan Argentina dari Kumpulan F akan diketahui.



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif