Welcome To My Life...

Saturday, June 21, 2014

Dongeng dan Realiti

Assalamualaikum.

Piala Dunia 2014 kini di pertengahan saingan peringkat kumpulan. Pasukan terkenal seperti Sepanyol dan England sudah tersingkir ketika Colombia, Belanda, dan Chile melangkah gagah ke pusingan kedua. Malam tadi tiga lagi perlawanan berlangsung. Satu untuk Kumpulan D, dan dua untuk Kumpulan E.

Kumpulan D adalah antara kumpulan yang dilabel 'Kumpulan Maut' kerana dibarisi Uruguay, England, dan Itali. Jika ada yang mengatakan Costa Rica akan melepasi kumpulan ini sebelum perlawanan Piala Dunia bermula, pasti orang itu sudah dilabel hilang kewarasan. Siapa sangka, takdir Allah yang Maha Berkuasa. Mustahil itu hanya sifat manusia.

--------------------------------------------

KUMPULAN D

Itali 0-1 Costa Rica

Selepas mengejutkan Uruguay 3-1 dalam perlawanan pembukaan, pemerhati berpendapat Costa Rica tidak berpeluang mengejutkan Itali. Tetapi mereka membuktikan sebaliknya. Costa Rica mengukuhkan status selaku pembunuh gergasi (giant killer). Gol Bryan Ruiz yang disahkan melalui teknologi garisan gol memberikan kemenangan mengejut kali kedua bagi negara Amerika Utara itu yang kini mendahului Kumpulan D dengan enam mata dan mara buat kali pertama sejak tahun 1990.

Keputusan ini sekali gus menghancurkan peluang England yang sah terkeluar dari pertandingan. Itali pula akan membuat perhitungan terakhir dengan Uruguay untuk menentukan pasukan mana yang layak mengiringi Costa Rica ke pusingan seterusnya.

-------------------------------------------------

KUMPULAN E

Switzerland 2-5 Perancis

Perlawanan yang dilihat penentu juara kumpulan ini agak berat sebelah dengan Perancis mendahului 3-0 pada separuh masa pertama. Switzerland yang menewaskan Ecuador 2-1 dalam perlawanan pertama semakin hanyut apabila terpaksa bangkit dari ketinggalan 5-0. Mereka berjaya mencuri dua gol ketika para pemain Perancis sudah meraikan kemenangan dan hilang tumpuan.

Bagi Perancis, kemenangan ini bermakna peluang mereka untuk menjuarai kumpulan terbuka luas dengan hanya perlu seri perlawanan terakhir menentang Ecuador. Para pemain Perancis sudah meledak lapan gol, jumlah jaringan yang sama dengan Belanda.

Honduras 1-2 Ecuador

Honduras tewas ka walaupun mendahului perlawanan. Ecuador berjaya bangkit dengan dua jaringan Enner Valencia yang sudah meledak kesemua tiga gol Ecuador dalam edisi Piala Dunia kali ini. Pintu buat Honduras sudah tertutup. Ecuador pula masih berpeluang layak walaupun kemungkinan sangat tipis dengan berdepan pasukan Perancis.

---------------------------------------

 Kejayaan Costa Rica melangkah berani bagaikan kisah dongeng yang menjadi kenyataan. Masih ada fairytale di alam realiti. Mimpi boleh menjadi nyata dengan usaha. Sekurang-kurangnya itu yang pasukan bola sepak Malaysia boleh belajar dari Costa Rica. Tiada gergasi yang tak boleh ditumbangkan. Biar kita melangkah perlahan, bertatih di rantau Asia Tenggara sebelum ke pentas dunia. 

Cari jalan, bukan alasan.




Sri Petaling
1300
 21/06/2014

No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif