Welcome To My Life...

Thursday, June 26, 2014

Reviu Piala Dunia 2014 #3

Assalamualaikum.

Perlawanan-perlawanan terakhir peringkat kumpulan bersambung lagi. Kali ini untuk Kumpulan E dan Kumpulan F. Sebelum perlawanan terakhir, hanya Perancis dan Argentina sudah sah layak. Dalam Kumpulan E, semua pasukan masih berpeluang bergantung kepada keputusan kedua-dua perlawanan. Dalam Kumpulan G, Nigeria berpeluang cerah mengiringi Argentina walaupun jika mereka seri atau kalah.

Sejumlah 12 gol lagi dijaringkan.

----------------------------

KUMPULAN E

Juara: Perancis (Eropah)
Naib juara: Switzerland (Eropah)

Honduras 0-3 Switzerland

Honduras perlu menang untuk menghidupkan peluang layak ke pusingan kedua. Tetapi perlawanan semalam adalah pentas persembahan solo Xherdan Shaqiri. Bintang muda Bayern Munich ini meledak hatrik termasuk menjaringkan satu gol cantik seawal minit keenam perlawanan. Honduras tiada jawapan untuk mengekang aksi hebat Shaqiri. Kemenangan ini melayakkan Switzerland mengiringi Perancis.

Ecuador 0-0 Perancis

Ecuador mesti mengatasi Perancis dan mengharapkan Switzerland tewas dalam satu lagi perlawanan. Namun itu tidak berlaku dalam dunia realiti. Misi menumbangkan Perancis terlalu sukar. Ecuador terpaksa menahan asakan bertubi-tubi Perancis. Kegagalan Ecuador menang dan kejayaan Switzerland membelasah Honduras menyingkirkan Ecuador dari pertandingan. Walaupun seri, Perancis layak selaku pemenang kumpulan.

-----------------------------------

KUMPULAN F 

Juara: Argentina (Amerika Selatan)
Naib juara: Nigeria (Afrika)

Nigeria 2-3 Argentina

Jika Iran gagal memenangi satu lagi perlawanan, Nigeria akan tetap layak walaupun seri atau tewas kepada Argentina. Seawal minit ketiga, Lionel Messi meledak jaringan pertama Argentina tetapi disamakan serta-merta oleh Ahmed Musa. Messi kembali meletakkan Argentina di depan menerusi sepakan percuma cantik pada masa kecederaan babak pertama.

Musa sekali lagi menyamakan kedudukan ketika babak kedua baru bermula. Namun beberapa minit kemudian Marcos Rojo menjaringkan gol kemenangan Argentina. Walaupun tewas, Nigeria layak selepas Iran kalah dalam satu lagi perlawanan.

Bosnia 3-1 Iran

Iran wajib menang pertemuan ini dengan mengharapkan Nigeria tewas kepada Argentina. Bosnia pula sudah tersingkir dan ingin pulang dengan bermaruah. Edin Dzeko membuka jaringan untuk wakil Eropah itu. Seminit sebelum detik satu jam permainan, Miralem Pjanic meletakkan Bosnia dalam kedudukan selesa.

Reza Ghoochannejhad menghidupkan peluang Iran apabila dia merapatkan kedudukan jaringan tetapi ledakan balas seminit kemudian dari Avdija Vrsajevic memusnahkan harapan Iran. Bosnia menamatkan kempen Piala Dunia kali ini dengan tiga mata.

-----------------------------------   

Tiga belas pasukan telah layak (termasuk Belgium yang sudah selamat dari Kumpulan H) ke pusingan kedua. Masih ada tiga slot yang akan diisi. Dua dari Kumpulan G di mana Jerman dan Amerika Syarikat hanya perlu seri untuk kedua-dua pasukan layak. Ghana perlu membenam Portugal dan mengharapkan Amerika Syarikat mengalahkan Jerman. Algeria pula hanya perlu seri menentang Rusia untuk mara dari Kumpulan H.



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif