Welcome To My Life...

Saturday, May 11, 2019

Triple Miracle

Assalamualaikum.

Triple miracle happened in football, and all happened in the space of 24 hours.

Keajaiban adalah sesuatu yang dirasakan mustahil sebelum berlaku. Bola sepak tidak kurang rancak dengan keajaiban. Dan dalam tempoh 24 jam saja, tiga keajaiban terjadi di Eropah dan Asia.

-----------

Liverpool 4-0 Barcelona

This is Anfield! Itulah laungan para penyokong tuan rumah yang menyaksikan sesuatu yang amat dahsyat. Sebelum perlawanan, sukar untuk mengatakan Barcelona akan bertandang dan dibelasah. Barcelona hadir dari Sepanyol dengan kekuatan maksima manakala Liverpool tempang dengan kecederaan dua ayam tambatan, Mohamed Salah dan Roberto Firmino yang membentuk trio pemusnah bersama Sadio Mane.

Pengurus, Jurgen Klopp memulakan perlawanan semalam dengan Xherdan Shaqiri dan Divock Origi di tempat Salah dan Firmino. Untuk rekod, Liverpool juga ketinggalan secara agregat selepas tewas 3-0 di tempat lawan dalam perlawanan pertama. Liverpool memerlukan tiga gol tanpa balas untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan. Atau kemenangan 'hampir mustahil' 4-0. Jika satu gol dijaringkan Barcelona, Liverpool tidak boleh seri secara agregat lagi (peraturan gol di tempat lawan) dan memerlukan sekurang-kurangnya lima gol untuk layak.

Jaringan awal Origi membantu hasrat kebangkitan. Dua gol pantas Georginio Wijnaldum menyalakan harapan tuan rumah sekali gus menyamakan kedudukan secara agregat. Gol kedua peribadi Origi berpunca daripada sepakan penjuru pantas menghadiahkan malam sempurna untuk penyokong tuan rumah. Trent Alexander-Arnold bijak mengambil kesempatan atas kelekaan pertahanan Barcelona dan melakukan hantaran sempurna kepada Origi.

Walaupun penulis ialah peminat tegar Manchester United (seteru sepanjang zaman Liverpool), penulis tidak menafikan pasukan Klopp ini layak ke pentas akhir sekali lagi untuk tahun kedua berturut-turut. Tanpa kelibat Salah dan Firmino, pasukan Klopp masih dapat membedil Barcelona dengan kemenangan 'hampir mustahil'. Klopp telah membina satu pasukan dengan depth yang cukup ampuh. Klopp dan pasukannya mencabar Manchester City ke perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris, dengan kedua-dua pasukan jauh meninggalkan Chelsea di tempat ketiga. 

--------

Johor Darul Takzim 1-0 Kashima Antlers

Tiada gentar!

Sebelum perlawanan ini, JDT hanya mengumpul satu mata daripada empat perlawanan pertama manakala Kashima telah mengutip tujuh mata. Untuk rekod, Kashima merupakan juara bertahan untuk pertandingan Liga Juara-Juara Asia ini. Melihat kepada situasi selepas empat perlawanan awal, harapan terbaik JDT adalah untuk memberikan yang terbaik di pentas tertinggi Asia dan cuba memberikan cabaran kepada penyandang juara.

Hanya tiga pemain import diturunkan oleh ketua jurulatih (Benjamin Mora) iaitu Mauricio, Hariss Harun dan Gonzalo Cabrera. Selebihnya dibarisi anak-anak tempatan iaitu Izham Tarmizi (penjaga gol), S. Kunanlan, Aidil Zafuan, Corbin-Ong (naturalisasi), Afiq Fazail, Nazmi Faiz, Safawi Rasid dan Syafiq Ahmad.

Seperti perlawanan-perlawanan terdahulu di mana JDT dapat menyaingi pasukan-pasukan terbaik Asia, ternyata tuan rumah tidak malu-malu dan menguasai perlawanan. Namun begitu, JDT dilihat menghadapi masalah untuk mencipta peluang walaupun banyak menghabiskan masa di kawasan lawan. Sesekali serangan Kashima menggoncang benteng JDT dengan deretan peluang.

Adat bola sepak, penguasaan bola dan jumlah percubaan tidak menentukan pemenang. JDT mendominasi penguasaan bola (tanpa percubaan yang terlalu bahaya) tetapi Kashima mencipta peluang-peluang keemasan. Maaf Kashima, mencipta peluang saja tidak cukup jika tidak disudahkan. Satu hantaran lambung disambut Syafiq Ahmad di sayap kiri. Masih banyak yang perlu dilakukan Syafiq di posisi itu tetapi beberapa saat kemudian, Syafiq telah melakukan rembatan sempurna untuk gol yang dinanti-nantikan oleh semua penyokong tuan rumah.

Kashima berhempas-pulas mencari gol penyamaan (yang tak kunjung tiba) tetapi JDT kemas mempertahankan kelebihan itu sehingga ke wisel penamat. Hari yang sangat bersejarah dalam bola sepak Malaysia. Selepas menjadi pasukan pertama Malaysia ke peringkat tertinggi benua, JDT mencatatkan kemenangan pertama untuk pasukan Malaysia dalam sejarah.

Dan lebih manis, ia dilakukan menentang juara bertahan. Kemenangan itu menghidupkan peluang JDT untuk layak. Jika Shandong Luneng (pasukan China) mengatasi Kashima dalam perlawanan terakhir dan JDT juga mengalahkan Gyeongnam (pasukan Korea Selatan), JDT mungkin boleh mara lebih jauh.

Kerana mereka pernah bermimpi dan berusaha keras, JDT telah sampai ke tahap yang tidak pernah dilakukan pasukan Malaysia yang lain!

---------

Ajax 2-3 Tottenham Hotspurs

Sebelum perlawanan, saingan masih terbuka walaupun Ajax mempunyai kelebihan kerana menjaringkan satu gol di tempat lawan. Namun selepas tamat babak pertama di mana Ajax menambah dua gol, misi Tottenham menjadi sukar kerana perlu menjaringkan sekurang-kurangnya tiga gol. Bukan mudah untuk membayangkan hal itu menentang Ajax yang telah beraksi cemerlang dalam kempen musim ini termasuk menyingkirkan juara bertahan, Real Madrid.


Masih segar dengan kemenangan dramatik menewaskan Manchester City dalam pusingan sebelum ini (terikat agregat 4-4, Spurs layak dengan peraturan gol di tempat lawan), Tottenham tanpa Harry Kane mendapat wira yang tidak disangka. Dua jaringan pantas oleh pemain Brazil, Lucas Moura, dengan selang masa lima minit menghidupkan sisa-sisa perjuangan mereka.

Dengan Tottenham hanya memerlukan satu gol untuk mara, tekanan memuncak kepada tuan rumah. Mereka juga memerlukan hanya satu gol untuk memaksa Spurs menjaringkan dua gol lagi. Hakim Ziyech memiliki beberapa peluang tetapi ternyata malam ini bukan miliknya. Tottenham terpaksa menanti sehingga ke saat-saat terakhir masa kecederaan apabila takdir memihak mereka.

Hantaran lambung jarak jauh Moussa Sissoko disambut dengan kuisan oleh Fernando Llorente ke laluan Dele Alli. Kebijaksanaan Alli mencipta ruang yang sempurna apabila melorongkan bola untuk penyudah dramatik Lucas Moura yang melengkapkan hatrik. Mimpi Ajax telah musnah!


Para pemain Ajax tidak percaya mereka telah tersingkir. Pengurus Tottenham, Mauricio Pochettino, sendiri tidak percaya pasukannya berjaya melakukannya. Ini adalah kemuncak kecemerlangan Spurs yang masih berada dalam kelompok empat terbaik liga domestik. Lebih hebat, Pochettino melakukan keajaiban ini tanpa membeli pemain dalam dua jendela perpindahan yang lalu.

--------------

Buat kali pertama sejak 2008 (final Manchester United menentang Chelsea), final Liga Juara-Juara Eropah akan ditentukan oleh dua pasukan Inggeris. Final pada 1 Jun akan berlangsung di Wanda Metropolitano di bandar Madrid, Sepanyol.


Liverpool memburu kejuaraan pertama selepas kali terakhir menjuarai pertandingan ini pada tahun 2005 (ya, tahun keajaiban Istanbul). Tottenham pula mengidamkan menjadi juara Liga Juara-Juara Eropah buat kali pertama.

Ketika artikel ini ditulis, Chelsea dan Arsenal telah mara ke final Liga Europa. Ini bermakna perlawanan akhir kedua-dua kejohanan tertinggi di benua Eropah akan mempertemukan dua pasukan liga Inggeris. Ini juga bermakna pertembungan Piala Super UEFA antara juara Liga Juara-Juara Eropah dan juara Liga Europa nanti sudah pasti akan ditentukan oleh dua pasukan liga Inggeris.

Ternyata liga Inggeris sedang mendominasi benua Eropah ketika ini. Liga Perdana Inggeris bukanlah liga yang mudah seperti yang diperkatakan sesetengah pengurus dan pemain sebaliknya telah menjadi liga yang kompetitif dan melibatkan antara pasukan terkuat di benua Eropah.


Monday, May 6, 2019

Ramadan 1440H

Assalamualaikum.

Syukur, selesai terawih dan sahur 1 Ramadan 1440 H.

Alhamdulillah tsumma alhamdulillah, segala puji hanya bagi Allah. Tahun ini penulis berkesempatan untuk menjalani ibadah puasa Ramadan bersama keluarga tercinta.

Sebagai pelajar ijazah perubatan, penulis berpuasa tahun-tahun sebelum ini di perantauan termasuklah di Seremban (Negeri Sembilan) dan Batu Pahat (Johor). Lumrah sebagai pelajar perubatan, kami tidak mempunyai cuti yang lama. Kalau dapat cuti tiga minggu pun dah besar rahmat. Biasanya hanya seminggu dua.

Kekangan kos juga menghalang penulis untuk pulang menyambut awal Ramadan di kampung halaman. Tiada cuti yang panjang. Hanya sehari dua tidak memadai.

Selepas menamatkan pengajian ijazah sarjana muda, kini penulis sudah cuti hampir 10 bulan dan bakal memulakan housemanship tidak lama lagi. Ramadan tahun hadapan mungkin disambut bersama pesakit di hospital.

Jadi sebulan Ramadan bersama keluarga tahun ini adalah rahmat yang besar daripada Allah.

Moga ibadah puasa Ramadan kita tahun ini diberkati dan menjadi asbab kita ke syurga. 

Salam Ramadan.



Friday, May 3, 2019

Ada Apa Dengan Tapir?

Assalamualaikum.

Selamat Hari Bumi Sedunia dan Selamat Hari Tapir Sedunia. Hari Bumi Sedunia disambut pada tarikh 22 April setiap tahun manakala Hari Tapir pula diraikan pada 27 April setiap tahun.

Sejak bermain live game Dooit, penulis banyak mendapat pengetahuan am yang baru. Kali ini untuk minggu meraikan Hari Bumi (dengan kerjasama WWF Malaysia), penulis belajar pula tentang perlindungan hidupan liar di dunia secara am, dan menambah ilmu tentang tapir secara khusus. Untuk rekod, tapir adalah maskot Dooit!

Mengikut klasifikasi saintifik, tapir adalah sejenis haiwan MAMALIA dalam order "Perissodactyla". Berada dalam order ini menjadikan tapir lebih 'hampir' secara alamiah kepada kuda dan badak, berbanding dengan babi (yang dikaitkan kerana rupa tapir). Semua tapir berada dalam keluarga "Tapiridae" dan genus "Tapirus".

Secara asasnya, terdapat empat spesies tapir di dunia:

(1) Tapir Gunung (Tapirus pichaque)
(2) Tapir Tanah Rendah [juga Tapir Brazil atau Tapir Amerika Selatan] (Tapirus terrestris)
(3) Tapir Baird (Tapirus bairdii)
(4) Tapir Malaya (Tapirus indicus)

Pada tahun 2013, spesies kelima yang terkecil dikatakan telah ditemui:

(5) Tapir Kabomani (Tapirus kabomani)

Masih ada perdebatan sama ada spesies tapir kelima ini adalah variasi Tapir Brazil (Tapir Tanah Rendah) kerana hanya saiz yang kecil menjadi perbezaan. Hampir semua spesies tapir berada di benua Amerika Utara dan Amerika Selatan. Tapir Malaya menjadi satu-satunya spesies tapir dunia yang berada di benua Asia. 

-----

Nama lain bagi Tapir Malaya adalah Tapir Asia dan Tapir India. Tapir juga dikenali sebagai 'tenuk', 'cipan', dan 'badak tampung' dalam Bahasa Melayu. Tapir Malaya mempunyai satu ciri khas yang sangat unik iaitu warna badannya. Tapir Malaya boleh dikenali dengan mudah kerana berwarna hitam dan mempunyai bahagian berwarna putih dari bahu serta belakang badannya. Warna putih ini seperti tempat duduk (saddle).

CIRI FIZIKAL

Panjang Tapir Malaya biasanya antara 1.8 dan 2.5 meter, dengan ketinggian 90 - 110 sentimeter. Ekornya pendek saja (5-10 sentimeter). Berat mereka antara 250 ke 320 kilogram, tetapi tapir dewasa boleh mencecah berat 540 kilogram. Dan biasanya, tapir betina lebih besar berbanding tapir jantan! Tapir juga mempunyai belalai (snout) atau dipanggil proboscis yang berfungsi untuk mencari makanan dan sebagai snorkel semasa mereka berenang. Kaki depan tapir mempunyai empat jari, manakala kaki belakang pula tiga jari.

Tapir tidak mempunyai penglihatan yang baik. Selain mata yang kecil, mata tapir juga biasanya diliputi "blue haze" iaitu 'kekaburan kornea' kerana pendedahan berulang terhadap cahaya. Hal ini menyukarkan mereka untuk mencari makanan di waktu malam dan terdedah kepada ancaman pemangsa di dalam gelap. Namun begitu, tapir mempunyai pendengaran dan deria bau yang sangat baik untuk membantu pergerakan mereka.

KITARAN HIDUP

Kitaran hidup tapir menjadi salah satu punca semula jadi tapir semakin pupus. Tempoh mengandung bagi seekor tapir betina adalah selama 390-395 hari (13 bulan). Selain itu, anak yang dilahirkan pula hanya seekor (jarang berlaku kembar). Anak tapir yang dilahiran seberat lebih kurang 7 kilogram dan boleh mencecah 50 kilogram dalam masa sebulan. Anak Tapir Malaya merupakan yang terbesar semasa lahir (antara semua spesies) dan membesar lebih cepat berbanding spesies lain.

Berbanding tapir dewasa, anak tapir berwarna coklat dengan jalur atau bintik putih. Sama seperti tapir dewasa juga, warna ini memudahkan mereka untuk bersembunyi di dalam hutan. Warna ini akan bertukar ke warna dewasa dalam masa 4-7 bulan. Seekor tapir mencapai kematangan seksual pada usia 3 tahun.

Musim mengawan tapir adalah sekitar pertengahan tahun iaitu bulan April, Mei dan Jun. Seekor tapir betina biasanya melahirkan seekor anak setiap 2 tahun. Seekor tapir boleh hidup sehingga mencecah usia 30 tahun.

TABIAT

Tapir biasanya menanda kawasan dengan air kencing. Tapir adalah sejenis haiwan herbivor. Mereka makan daun dan tunas pokok. Kepelbagaian spesies pokok yang dimakan melebihi 100 spesies. Tapir merupakan agen pembiakan pokok yang penting. Najis tapir menjadi punca menyebarkan spesies pokok di dalam hutan.

Walaupun bersaiz besar, tapir boleh melarikan diri dengan laju apabila dalam bahaya. Tapir juga boleh mempertahankan diri kerana mempunyai rahang yang kuat dan gigi yang tajam (42-44 batang gigi).

Tapir suka tinggal berdekatan air kerana gemar berendam dan berenang. Selain itu, tapir juga merupakan haiwan yang aktif di waktu malam. Tapir lazimnya makan selepas matahari terbenam atau sebelum matahari terbit. Dan tapir tidur di tengah malam.

-----------

Trivia tentang Tapir Malaya:

1. Tapir Malaya merupakan spesies terbesar antara semua jenis tapir.
2. Kumpulan tapir dipanggil candle.
3. Tapir mungkin dilihat sama, tetapi boleh dibezakan secara individu dengan melihat tanda di bahagian leher.
4. Digelar 'pekebun hutan' kerana menyebarkan benih tumbuhan melalui najis mereka.
5. Sejenis haiwan yang senyap, pemalu dan biasa bersendirian.
6. Tapir mencari kaolin untuk meneutralkan racun dari tumbuhan beracun.
7. Anak Tapir Malaya yang lahir di Zoo Edinburg pada Februari 2019 dinamakan "Megat". Berita terkini adalah Megat telah pun meninggal dunia pada April 2019.

Dengan pembiakan yang perlahan dan kehilangan habitat menyebabkan tapir semakin pupus. Statistik PERHILITAN menunjukkan hanya tinggal 700-800 ekor Tapir Malaya di Malaysia dan angka ini mungkin terus berkurangan jika tiada langkah proaktif diambil.



Wednesday, May 1, 2019

Penamat Black Yang Menghancurkan

Assalamualaikum.

Bagi peminat-peminat tegar K-Drama (drama dari Korea Selatan), pasti tidak asing lagi dengan drama 'Black' yang mengisahkan seorang grim reaper jatuh cinta dengan manusia biasa ketika keluar ke dunia untuk menjalankan tugas.

Penulis bukan penonton setia K-Drama. Jadi drama ini semestinya mempunyai sesuatu magis yang hebat untuk membuatkan penulis terus teruja sehingga ke episod akhir. Penulis baru saja menamatkan tontonan drama ini di Netflix sebanyak 18 episod yang setiap satu berdurasi lebih kurang sejam setengah. 

Mungkin penulis akan ulas panjang lebar mengenai perjalanan drama ini dalam entri yang lain tetapi entri ini hanya akan fokus kepada penamat (baca: ending) 'Black'. Apabila penulis membelek reviu di alam maya, ramai yang tidak berpuas hati dengan penutup drama hebat ini. Dan penulis harus setuju dengan mereka. 

The ending does not do justice for the roller-coaster masterpiece.

Penulis boleh menyifatkan 10 minit yang terakhir telah memusnahkan satu mahakarya yang hampir sempurna. Bagi penulis, terdapat dua perspektif untuk mengadili sama ada penamat ini boleh diterima atau tidak.

----

Dari satu sudut, penamat itu dilihat satu kesudahan yang amat kejam untuk watak 'Kim Joon'. Selepas menyedari hakikat kematiannya yang dibunuh pada usia 13 tahun, jantungnya dikeluarkan dan diberikan kepada adik angkat oleh ibu angkatnya sendiri. Mayatnya pula disembunyikan di dasar laut dalam sebuah kereta yang sengaja ditenggelamkan. Tragedi yang amat dahsyat.

Tersangat kejam apabila penulis menentukan 'Banduan 420' (Kim Joon sebagai grim reaper) akan menjadi korban yang lebih tragis. Kim Joon diberitahu oleh Grim Reaper 007 bahawa Kang Ha-Ram telah mengetahui penglibatannya dalam tragedi kematian Joon. Lalu Kim Joon meminta dikenakan hukuman paling berat di Underworld iaitu kewujudannya dilupakan oleh semua orang di dunia. Ha-Ram yang membunuh dirinya dilahirkan semula tanpa kebolehan melihat bayang kematian dan hidup bahagia sehingga ke akhir hayat.

Bagaimana Joon yang telah dizalimi dipilih untuk pengakhiran yang sadis?

Bagi penulis, alternatif sepatutnya adalah Grim Reaper 444 dilupakan di Underworld dan dibenarkan hidup di dunia dalam tubuh manusia. Dengan itu, Black akan dapat hidup bahagia dengan Ha-Ram.

Itulah 'happy ending' yang tidak menjadi pilihan penulis skrip. Seperti lirik nyanyian Stacy "mungkin cinta sebegitu hanya kisah dongeng saja".

----

Dari sudut yang lain pula, grim reaper tidak layak bersama manusia adalah hakikat yang pahit.

Pengorbanan adalah sesuatu yang lazim dalam cinta. Dan Kim Joon memilih untuk 'mengorbankan' dirinya demi melihat Ha-Ram hidup bahagia (sesuatu yang tidak mampu Ha-Ram miliki sebelum ini kerana dapat melihat bayang kematian; dan tidak dapat juga bahagia ke depan kerana rasa bersalahnya menembak Joon pada hari tragis tersebut). 

Leo (yang tubuhnya didiami oleh rakan Black yang dibiarkan tinggal di dunia) memberikan rantai (yang pernah diberikan Ha-Ram kepada Joon) kepada Ha-Ram di hujung usia. Apabila memandang rantai itu, semua memori Ha-Ram kembali dan dia menangis teresak-esak kerana mengenangkan dia telah hidup bahagia di atas pengorbanan Joon.

Ha-Ram meninggal dunia pagi esoknya dan Black telah menanti untuk menjemput Ha-Ram. Dialog di babak akhir yang sangat menyentuh hati.

"I'm sorry, for remembering only now." Ha-Ram terkilan.

"Have you been well?" Black tersenyum.

"Yes. I have been well." Ha-Ram juga tersenyum.

"Were you happy?"

"I was. I was very happy."

"I'm glad to hear that."

Itu sajalah yang Black inginkan. Membiarkan Ha-Ram hidup bahagia di dunia. Itu sudah cukup untuk Black. Dalam hidup ini, kita berkorban untuk orang yang kita sayang. 

Begitulah keagungan cinta.





Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif