Welcome To My Life...

Wednesday, November 20, 2019

Harimau Malaya Mengaum Garang

Assalamualaikum.

Melihat rembatan kencang Safawi Rasid untuk gol kedua peribadinya dan juga gol kedua pasukan Malaysia malam tadi adalah satu momen yang sangat diidamkan. 

Sudah lama rasanya penulis menanti kembalinya zaman kegemilangan bola sepak Malaysia sejak mengikuti perkembangan pasukan bola sepak negara. Boleh dikatakan ketika ini adalah zaman emas bola sepak Malaysia, bukan saja untuk pasukan senior, malah pasukan bawah umur yang lain. Percaturan mengambil Lim Teong Kim untuk Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) mula menampakkan hasil. Sayangnya Lim sudah pulang ke Jerman kerana khidmatnya tidak dihargai lagi.

Selepas menewaskan Tajikistan 1-0 dalam perlawanan persediaan hasil rembatan padu Safawi, Malaysia menghadapi dua perlawanan kelayakan Piala Asia dan Piala Dunia di gelanggang sendiri. Pasca menumbangkan Thailand hasil magis Brendan Gan (gol dan bantuan gol), Malaysia berdepan pula musuh serumpun, Indonesia. Untuk rekod, Malaysia membenam Indonesia di depan penyokong mereka 3-2. 

Malaysia dengan misi mesti menang. Kemenangan akan memberikan tiga mata berharga dalam memburu slot ke pusingan akhir kelayakan benua Asia untuk ke Piala Dunia. Indonesia secara matematiknya sudah tidak berpeluang lagi dengan empat kekalahan maksimum daripada empat aksi. 

Walaupun Syafiq Ahmad dan Matthew Davies tidak dapat diturunkan kerana kecederaan dan penggantungan, Malaysia menurunkan barisan terkuat. Khairul Azhan mengawal gawang di depan benteng berempat Syahmi Safari, Shahrul Saad, Aidil Zafuan dan Corbin Ong. Azam Azih, Brendan Gan dan Syamer Kutty mengepalai jentera tengah di belakang gandingan serangan tiga serangkai Mohamadou Sumareh, Safawi Rasid dan Akhyar Rashid. 

Malaysia mendominasi permainan dari sepak mula. Jaringan yang ditunggu-tunggu oleh ribuan penyokong Malaysia yang memenuhi stadium akhirnya dijaringkan oleh Safawi Rasid. Hanya satu langkah diperlukan Safawi untuk melencongkan sepakan percuma cantik berkelas dunia yang pasti memukau setiap mata yang memandang. Teknik sepakan yang menakjubkan itu menyerlahkan satu hakikat yang bukan lagi rahsia: kaki kiri Safawi sangat-sangat berbisa. 

-------------

Memasuki babak kedua, Tan Cheng Hoe mengeluarkan Akhyar Rashid yang tidak menjadi dan memasukkan penyerang berpengalaman, Norshahrul Idlan. Gol kedua yang mematikan harapan Indonesia sekali lagi dijaringkan oleh Safawi Rasid. Dia memanfaatkan kesilapan pertahanan untuk mencuri bola sebelum meledak satu rembatan padu yang tiada tolok bandingnya. Seperti kata pengulas Astro Arena, "rembatan yang hampir mengoyakkan jaring". 

Indonesia mendapat peluang untuk merapatkan kedudukan tetapi sepakan penalti yang diperoleh gagal disempurnakan. Farizal Marlias yang menjatuhkan pemain lawas menebus kesilapannya dengan aksi menyelamat bak wira. Senyuman puas Farizal disambut sorakan padu penyokong.

Berita baik dari Vietnam: tuan rumah diikat pelawat, Thailand 0-0. Kegagalan Vietnam untuk menang bermakna mereka hanya dua mata di depan pasukan negara selepas tamat lima perlawanan.

Berbaki tiga perlawanan lagi yang akan disambung pada bulan Mac 2020, Vietnam mendahului kumpulan dengan 11 mata tanpa sebarang kekalahan. Malaysia yang tewas dua kali memungut 9 mata untuk berada di tangga kedua kumpulan. Malaysia akan meneruskan kempen kelayakan menentang UAE di tempat lawan.

Empat bulan sebelum aksi bersambung. Tahun depan, Malaysia akan memiliki satu pool yang baik untuk memilih barisan lebih baik. Penyerang muda sensasi, Luqman Hakim setahun lebih matang untuk dapat menyertai pasukan senior. Mungkin juga nama seperti Mukhairi Ajmal, Muslihuddin Atiq dan Firdaus Kaironnisam dapat berlatih bersama 'abang-abang'. 

Malaysia mesti menang menentang UAE, Vietnam dan Thailand untuk ke pusingan akhir kelayakan. Harimau Malaya sedang lapar dan dahagakan kejayaan! Malaysia Boleh!




Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif