Welcome To My Life...

Thursday, April 18, 2019

Tinggal Empat

Assalamualaikum.

Selepas tamat perlawanan kedua untuk pusingan suku akhir awal pagi tadi (waktu Malaysia), bermakna hanya tinggal empat pasukan saja untuk merebut takhta kejuaraan. 

Dua pasukan yang layak adalah seperti yang dijangka, manakala dua pasukan lagi melawan arus dan mencipta kejutan dengan gagah berani. Ini bererti dua lagi pasukan pilihan tersingkir. Dan yang lebih menarik daripada itu, dua pasukan pilihan yang tinggal akan berentap sesama sendiri di pusingan separuh akhir.

Berikut adalah ulasan ringkas untuk peringkat suku akhir:

------------

Manchester United 0-1 Barcelona
Barcelona 3-0 Manchester United
[agregat: 4-0]

Pendahulu semasa dan gergasi La Liga Sepanyol ternyata terlalu kuat untuk ditandingi. Beraksi di gelanggang sendiri dalam perlawanan pertama, United terlepas gol yang 'murah' untuk menyukarkan peluang mereka sendiri kerana Barcelona mendapat 'gol di tempar lawan' yang sangat berharga. 

Tekanan memuncak untuk United apabila bertandang ke Nou Camp, gelanggang keramat yang menyaksikan Barcelona hanya tewas sekali dalam beberapa tahun yang lalu (rekod untuk pertandingan Liga Juara-Juara Eropah). Kemenangan adalah satu-satunya jalan keluar United tetapi mereka bukan saja tewas, malah dihancurkan.

Dua gol daripada Lionel Messi dan satu lagi daripada bekas pemain Liverpool, Coutinho cukup untuk meranapkan United. Ketiga-tiga gol yang dijaringkan dalam perlawanan kedua ini adalah percubaan dari luar kotak penalti. Pendekatan Solksjaer wajar dipersoalkan kerana memasuki perlawanan kedua yang penting dengan membariskan Phil Jones, Chris Smalling dan Ashley Young di benteng pertahanan. 

Satu perjudian yang amat merugikan. La Remontada kedua berturut-turut yang diharapkan (selepas bangkit mengejutkan Paris Saint-Germain dalam pusingan sebelum ini) tidak kesampaian. Barcelona bukan seperti PSG.

-----

Ajax 1-1 Juventus
Juventus 1-2 Ajax
[agregat: 2-3]

Reputasi Ajax selaku 'pembunuh gergasi' semakin disegani dan kisah dongeng mereka akan disambung lagi.

Selepas bangkit daripada kekalahan di gelanggang sendiri dalam perlawanan pertama dan membelasah juara bertahan di gelanggang lawan, Ajax melakukannya sekali lagi dan kali ini di rumah jaguh Itali.

Bukan sebarang orang yang memperkuatkan Juventus. Pemenang pertandingan ini dalam empat daripada lima musim terakhir. Digelar 'raja' Liga Juara-Juara Eropah, Cristiano Ronaldo membuktikan kepakarannya dengan tandukan cemerlang untuk satu 'gol di tempat lawan'. Tetapi gol David Neres di awal babak kedua sangat penting kerana menjadi gol penyamaan dan menghidupkan sisa peluang Ajax yang masih berbaki.

Beraksi di Turin, pasukan muda Ajax yang jauh lebih murah daripada pasukan seperti Manchester United dan Juventus sendiri menunjukkan mereka tidak gentar. Cristiano Ronaldo sekali lagi menjaringkan gol melalui tandukan. Donny van de Beek mengatasi perangkap ofsaid untuk menyamakan kedudukan. Kapten muda Ajax, Matthijs de Ligt menanduk gol kemenangan untuk Ajax melangkah semakin hampir dengan keajaiban.

-----

Liverpool 2-0 Porto
Porto 1-4 Liverpool
[agregat: 1-6]

Seperti dijangka, Liverpool mudah menjinakkan pasukan berpengalaman Portugal untuk peringkat kalah mati pertandingan ini. 

Liverpool menang selesa di tempat sendiri dengan gol daripada Naby Keita dan Roberto Firmino. Porto gagal mendapatkan 'gol di tempat lawan' menjadikan tugas mereka sukar untuk bangkit. Beraksi di gelanggang sendiri, Porto dimusnahkan.

Trio penyerang Liverpol -- Sadio Mane, Mo Salah, Roberto Firmino -- masing-masing meledak satu gol. Pertahanan termahal dunia, Virgil Van Dijk cemerlang lagi menjaringkan gol untuk menaikkan sahamnya. 

Porto ternyata bukan lawan Liverpool. Mungkin Barcelona lebih 'hangat'.

-----

Tottenham 1-0 Manchester City
Manchester City 4-3 Tottenham
[agregat: 4-4]

Kejutan kedua di peringkat ini selepas Ajax. Manchester City dalam misi sensasi memburu 'quadruple' (empat kejuaraan) dalam saingan domestik dan benua Eropah. Manchester City telah pun memenangi Piala Carabao dan mara ke final Piala FA. Mereka juga sedang bersaing hebat dengan Liverpool untuk takhta Liga Perdana Inggeris. Pertembungan sesama sendiri antara dua pasukan Inggeris, maka satu mesti tersingkir!

Walaupun tewas di gelanggang lawan, City amat gagah di tempat mereka sendiri. Ledakan kaki kiri pemain Korea Selatan, Son Heung Min di stadium baru mereka ternyata berharga untuk Spurs. Aksi di Manchester ternyata menghiburkan. Empat gol dijaringkan dalam tempoh 11 minit pertama permainan untuk kedudukan terikat 2-2! Gol Raheem Sterling seawal minit keempat dibalas dengan dua gol pantas Son Heung Min. Bernardo Silva menyamakan kedudukan hanya seminit selepas gol Son. 

Dan pada minit ke-21, Sterling meletakkan City mendahului 3-2. Dalam kedudukan ini, Spurs masih berkelebihan dengan gol di tempat lawan walaupun agregat terikat 3-3. Walau apa sekali pun, City tidak boleh menang dengan kelebihan hanya satu gol kerana dua gol Son 'di tempat lawan'.

Sergio Aguero menjaringkan gol yang diperlukan City pada detik sejam tetapi Fernando Llorente merapatkan kedudukan sekali lagi dan sekali gus meletakkan Spurs kembali dengan kelebihan. Situasi paling sensasi berlaku dalam masa kecederaan apabila 'gol penting' Sterling dibatalkan kerana ofsaid selepas pengadil melihat reviu VAR (bantuan video). Bukan saja Sterling gagal melengkapkan hatrik, malah City tersingkir walaupun menang di tempat sendiri dan agregat terikat 4-4.

Bayangkan jika gol lewat Sterling itu dikira!

----------------

Perlawanan pertama separuh akhir akan berlangsung pada 30 April diikuti perlawanan kedua pada 7 Mei. Spurs dan Barcelona masing-masing akan beraksi di tempat sendiri dalam perlawanan pertama.

30 April
Tottenham vs Ajax
Barcelona vs Liverpool

7 Mei
Liverpool vs Barcelona
Ajax vs Tottenham

Dua pasukan pilihan (yang sepatutnya bertembung di final) akan berdepan sesama sendiri untuk merebut slot ke final. Sama ada Barcelona yang dipimpin Lionel Messi atau Liverpool dengan barisan yang seimbang kekuatannya di semua bahagian.

Jika Tottenham tidak berhati-hati, Ajax akan menyingkirkan mereka pula.

Ramalan peribadi penulis: 
Final Barcelona vs Ajax Amsterdam



Monday, April 15, 2019

Minat

Assalamualaikum.

Setiap orang mempunyai minat masing-masing. Kadang kita sanggup berhabis demi minat itu.

Ada orang yang minat mengumpul robot Gundam. Ada juga yang minat mengumpul setem (ini tradisional sikit, mungkin dah tak ramai sekarang). Kalau menonton filem The Doll dan The Doll 2 pula, agak pelik juga dengan mereka yang mengumpul anak patung. 

Adik penulis sendiri mengumpul collectible patung watak daripada siri Netflix, 'Stranger Things'. Harga patung itu penulis rasa lebih baik dibelanjakan pada benda lain yang lebih perlu. Hakikatnya, cara kita melihat nilai sesuatu barang tidak sama.

Sungguh, semua orang mempunyai minat yang tersendiri.

Penulis sendiri merupakan seorang bibliophile (pecinta buku). Sejak mempunyai sumber kewangan sendiri, penulis suka mengumpul buku-buku untuk dibaca pada masa lapang. Dan penulis mempunyai impian untuk ada perpustakaan mini di rumah sendiri nanti. Jumlah buku yang dimiliki penulis sekarang sudah mencecah lebih 100 buah judul dan jumlah itu akan terus bertambah. 

Masih sedikit sebenarnya jumlah itu jika hendak dibandingkan dengan bibliophile lain. Seperti rakan-rakan penulis di Facebook, ada yang membeli sampai 37 judul daripada satu lawatan ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2019 di PWTC. 

Penulis belum sampai ke tahap itu. Penulis agak memilih juga dalam memilih tajuk buku yang ingin dibeli. Biasanya penulis akan membaca reviu di halaman Goodreads terlebih dahulu untuk membuat keputusan sama ada ingin meneruskan niat membeli atau tidak. 

Apabila berbicara soal minat, duit bukan lagi sesuatu yang penting. Ada yang sanggup berhabis hanya untuk perkara yang diminati. Malah sanggup mengorbankan kehendak (dan mungkin juga keperluan) yang lain. Sesungguhnya, minat adalah satu daya yang aneh. 

Apa pun minat kita, janganlah menyusahkan dan membebankan orang lain. Buatlah apa pun yang kita minat dengan sederhana. Sesuatu yang terlebih itu selalu menjadi racun. 

Untuk pecinta-pecinta buku di luar sana, hidup bibliophile!



Sunday, April 7, 2019

Rollercoaster

Assalamualaikum.

Istilah 'roller-coaster' digunakan dalam bola sepak untuk menggambarkan satu perlawanan yang berbolak-balik dan bertukar-tukar pendahulu. Itulah yang berlaku dalam perlawanan Liga Super antara Melaka United menentang Selangor malam tadi yang disiarkan secara langsung di saluran TV9.

Sudah lama rasanya penulis tidak menonton satu perlawanan sebegini. Sama ada kedua-dua mempunyai kualiti rendah atau mereka berkualiti tinggi, kedua-dua pasukan menampilkan aksi menarik dan terpuji malam tadi.

Berikut adalah aturan tujuh gol dalam perlawanan tersebut:
Selangor 1-0 (Amri Yahyah)
Melaka United 1-1 (Patrick Reichelt)
Selangor 2-1 (Amri Yahyah)
Melaka United 2-2 (Patrick Reichelt)
Melaka United 3-2 (Darko Markovic)
Selangor 3-3 (Sean Selvaraj)
Selangor 4-3 (Sean Selvaraj)

------

Melaka United tidak mengalah walaupun ketinggalan dua kali. Dua gol Amri Yahyah dibalas dengan dua gol juga oleh pemain import dari Filipina, Patrick Reichelt. Semangat juang tanpa mengenal putus asa akhirnya membuahkan hasil untuk anak didik Zainal Abidin Hassan. Ledakan Darko Markovic meletakkan mereka di depan buat kali pertama.

Kelihatan tuan rumah sudah berjaya bangkit untuk menceriakan para penyokong mereka di gelanggang sendiri. Namun rupanya B. Sathianathan mempunyai idea yang berbeza. Kecederaan Syazwan Zainon memaksa pertukaran dilakukan. Sathianathan memilih Sean Selvaraj sebagai pengganti.

Selvaraj tidak menghampakan dan membalas kepercayaan itu dengan dua gol lewat. Gol pertama berpunca daripada sepakan sudut pendek. Hantaran silang kapten, Amri Yahyah ditanduk kencang oleh Selvaraj. Memasuki masa kecederaan, Selangor mendapat sepakan percuma di sayap kanan. Selepas berbincang dengan kapten, Fandi Othman mengambil sepakan tersebut yang dihantar cantik untuk satu lagi tandukan Selvaraj. Kepuasan Fandi terserlah apabila berjaya membantu gol tersebut.

Dua gol tandukan Sean Selvaraj melengkapkan dua gol daripada kapten Amri menghadiahkan tiga mata penuh kepada skuad Gergasi Merah. Drama kebangkitan di lewat permainan meranapkan impian tuan rumah.

Penulis mengharapkan satu lagi perlawanan berkualiti dan mungkin pesta gol untuk siaran langsung yang akan datang. 



Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal

Assalamualaikum.

Semalam penulis berkesempatan untuk menonton filem animasi tempatan yang sedang hangat diperkatakan: "Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal" terbitan Les' Copaque Production. Rakan-rakan dan netizen yang berbicara tentang filem ini semuanya memuji dan menggalakkan untuk pergi menonton di pawagam.

Rating IMDb: 8.6/10
Rating penulis: 9/10

Penulis dan empat orang lagi adik-beradik menonton di Jitra Mall. Satu keputusan yang tepat dan tidak sia-sia. Filem ini menampilkan sesuatu yang magis dalam dunia khayalan, sama seperti filem "Magika" satu ketika dulu.

--------

Berikut adalah 5 sebab untuk anda yang masih belum menonton pergi menyokong filem ini:

1. Menampilkan watak lagenda alam Melayu
Alam Melayu sangat kaya dengan lagenda yang diceritakan zaman-berzaman. Antara kisah lagenda yang diabadikan dalam filem ini ialah Mat Jenin, Raja Bersiong, Batu Belah Batu Bertangkup, Nakhoda Ragam, Mak Deruma, Si Tanggang, dan Bawang Putih Bawang Merah.

Malah krew penerbitan juga sempat menyelitkan watak terkenal daripada salah satu filem Seniman Agung P. Ramlee, iaitu "Nujum Pak Belalang" dan anaknya sendiri, Belalang. 

2. Sinematografi yang indah
Ramai netizen memuji krew penerbitan untuk latar filem yang bewarna-warni. Malah ada juga yang mengatakan filem Upin & Ipin ini sudah layak setanding dengan filem-filem yang dikeluarkan oleh Disney. Jika dikira rating tinggi di IMDb, nampaknya ramai yang bersetuju dengan hal ini!

3. Emosi yang bercampur
Sebuah filem yang baik itu akan memberikan satu emosi yang sangat kuat sehingga dikenang lama. Dan filem yang sangat baik pula memainkan beberapa emosi dengan begitu cemerlang. Itulah kejayaan filem Upin & Ipin. Ketawa ada, sedih ada, marah ada, saspens ada. Apa lagi yang kau mahu?

4. Nilai persahabatan yang tinggi
Tujuh sahabat (Upin, Ipin, Fizi, Mael, Jarjit, Mei Mei & Susanti) yang mengemas stor Atok bersama-sama sebelum mereka termasuk ke dalam portal yang membawa mereka ke negara Inderaloka. Tujuh sahabat ini terpecah dua sebelum mereka kembali bertemu di Pelabuhan Megah.

5. Adunan yang mantap
Seperti poin pertama penulis, banyak watak lagenda yang dimasukkan. Bukan mudah untuk mencampurkan semua watak ini ke dalam satu cerita kerana latar cerita mereka yang berbeza. Ia memerlukan imaginasi yang tinggi. Krew penerbitan berjaya menggabungkan watak-watak ini untuk satu cerita yang mantap dan 'masuk akal'. 

----------

Selain watak-watak lagenda lain yang mungkin sudah dikenali, Nakhoda Ragam agak asing bagi penulis sendiri. Melalui pembacaan pasca tontonan, Nakhoda Ragam rupanya seorang nakhoda kapal yang suka menyanyi dan bersuara sendu (digambarkan dengan baik dalam filem). Malah dikatakan Nakhoda Ragam ialah suami Puteri Gunung Ledang yang mati kerana tercucuk jarum ketika cuba mengejutkan isterinya yang sedang menjahit. Puteri Gunung Ledang lari ke gunung dan bersumpah tidak akan kahwin lagi.

Selain idea gabungan kisah lagenda yang disatukan, penulis juga tertarik dengan pengenalan watak antagonis Re-Ri-Ang iaitu tiga orang lelaki yang menjadi pembantu utama kepada Raja Bersiong. Re, Ri dan Ang boleh bertukar menjadi serangga untuk mengintip dan melakukan serangan. 

Satu lagi hal yang menarik perhatian penulis adalah idea "air mata" sebagai 'pencetus' kepada tumbuhnya Keris Siamang Tunggal selain elemen pantun Melayu yang ada di keris:

Dua sinar sebagai petanda
Hilang gelap datang cahaya
Dua jiwa menjadi pembela
Keris lama bertaut semula

Yang hak akan membela
Air mata merungkai segala

Tiga air mata yang 'menumbuhkan' Keris Siamang Tunggal untuk menjadi senjata adalah air mata Ipin yang merindui Upin, air mata Bawang Merah yang memaafkan Bawang Putih, dan air mata Mat Jenin yang merindui arwah ayahandanya, Raja Inderaloka.

Terdapat banyak pengajaran yang diselitkan dalam filem ini. Bawang Merah yang memaafkan Bawang Putih walaupun difitnah darah dagingnya sendiri. Dan kemaafan agung seorang bonda, Mak Deruma yang memaafkan anaknya, Si Tanggang yang derhaka dan disumpah menjadi batu, "Air dicincang takkan putus".

Babak paling menyentuh hati penulis adalah ketika Mak Deruma memaafkan Si Tanggang dalam tangisan dan kemudian batu Si Tanggang mengalirkan air mata sebelum tenggelam ke dasar laut. Sungguh Mak Deruma merindui anaknya dan melihat batu Si Tanggang setiap hari.

Filem ini wajib ditonton seisi keluarga. 


Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif